Monday, 6 August 2012

MALAM LAILATUL QADAR

TAZKIRAH DI mana-mana pun pada masa ini adalah berkisar pada topik malam lailatul Qadar.
Mengikut hadis riwayat Bukhari dan Muslim, "Carilah lailatul qadar pada malam sepuluh terkahir Ramadan."
Maknanya, sekarang kita dah nak masuk ke malam terakhir itu.
Kemudian dalam sabda yang lain dinyatakan, "Carilah lailatul qadar pada malam ganjil pada sepuluh malam terakhir." [riwayat Bukhari]
Kata Imam Nawawi malam lailatul qadar itu berpindah-pindah pada setiap tahun. Ia tidak tetap pada sekian haribulan dan sekian hari [al-Majmu', 6/450].
Umat pun dinasihatkan agar menggunakan kesempatan ini untuk memperbanyakkan ibadat dan berdoa.
Aisyah r.a. pernah bertanya kepada Nabi s.a.w., "Sekiranya aku berada pada lailatul qadar, apa yang aku perlu buat?"
Jadi baginda menjelaskan supaya kita beriktikaf pada malam sepuluh terakhir Ramadan di mana fadilatnya lebih banyak dari hari-hari biasa. Iktikaf tadi adalah mendampingi masjid untuk mentaati Allah. Kalau gerun dan takut kepada masjid tak berpeluanglah. Ada sobat komen, nak iktikaf macam mana, tepat pukul 11.00 malam masjid tutup, orang tak boleh masuk lagi. Takut semua kipas dan tangga masjid hilang dicuri orang.

IKTIKAF
Nabi s.a.w. beriktikaf pada 10 malam terakhir Ramadan. Isteri-isteri baginda juga ikut iktikaf.
Jadi, nak iktikaf kena berniatlah nak iktikaf. Tidak sah melainkan dengan berniat. Iktikaf hanya boleh dibuat di masjid. Seseorang yang nak iktikaf hendaklah masuk ke masjid sebelum mentari terbenam ke-20 Ramadan [Panduan Puasa Ramadhan, Jakim, cet.2007].
 Apa nak buat ketika iktikaf?
- solat sunat
- baca al-Quran
- bertasbih, bertahmid, bertakbir
- beristighfar, berselawat dan berdoa
- mengikuti majlis ilmu
- mengulangkaji hadis-hadis
- membaca tafsir
- membaca sirah nabawi.

MASJID INDIA HEBAT
Saya tertarik dengan materi tazkirah yang diberikan para ustaz di mana-mana pun, tentang 10 malam terakhir yang mana keadaan masjid makin lengang. Entah kenapa. Ramai yang beriktikaf di restoran besar, berbuka di hotel dan tempat makan yang hebat-hebat. Di situlah yang ramai beriktikaf.
Kemudian, bilangan jemaah masjid tak kiralah solat fardu atau tarawih pun, ia makin kurang. Kata ustaz tidak ada masjid yang penuh dan padat melainkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Itupun orang dari luar yang padatkannya, terutama yang buat umrah.
Di Malaysia ini kata ustaz, ada sebuah "masjid" yang menjadi tumpuan ramai, sendat sampai tak ada ruang nak solat, itulah MASJID INDIA. Bukan masjidnya yang dimaksudkan, tapi di sekitarnya, orang sibuk membeli itu dan ini.

TUKAR ITU DAN INI
Dan kenapa kita sibuk benar nak cat itu dan ini, tukar langsir, beli kuih atau biskut raya, kemudian sibuk beli antena TV, tukar TV baru [tv adalah sumber kemaksiatan di musim raya, hindarkan diri dari menonton apa program pun sepanjang puasa dan raya dan setelahnya].
Inilah yang jadi tradisi umat di tempat kita. Lelong batang buruk yang memang buruk dan hancuk dalam plastik. Lelong baulu yang dah garing, lelong apa sahaja yang nak hancur macam muruku. Dan menjelang malam akhir, berkampuglah orang berbelanja, air botol, air sirap, daun palas, pucuk kelapa muda nak buat sarung ketupat...wah...kalau tak ada ini raya atau tidak?

DAH TAK SEGAN
Masuk hari-hari terakhir, orang dah mula makan pukul 3.00 petang di restoran, tak segan silu. Ini pemandangan biasa di bandar yang sibuk. Engkau, engkau, aku aku!
Beruntunglah orang yang melakukan iktikaf pada 10 akhir Ramadan, maka kerugian besarlah orang yang berlegar-legar di pasar malam mencari benda yang tidak ditemui. Rugi besarlah mereka yang leka di tempat membeli-belah besar. Leka di lobi hotel ternama. Leka huha-huha...akhirnya, kata ustaz, Ramadan kali ini macam tahun lepas juga, tak ada perubahan.

UBAH
Bagaimana nak ubah minda Melayu?
Sukar. Kalau orang sudah dicanai mindanya oleh media seperti majalah, akhbar, tv dan segalanya, maka malam lailatul qadar itu hanya wacana di mimbar masjid. Di luar masjid, lailatul qadar terlempar begitu sahaja, dan orang tak peduli kerana banyak benda yang orang cari. Mereka tak cari lailatul qadar.
Contohnya:
Sibuk cari daging dan ayam. Sibuk cari kain langsir. Sibuk cari sarung bantal [apa kena dengan bantal?]. Sibuk beli emas. Sibuk beli emas tiruan [kalau pakaian tutup aurat, emas pun orang tak nampak tau!]. Sibuk beli air oren dalam botol. Sibuk beli kacang-kacang.

RANDANG
Jangan lupa beli santan, beli kerisik, beli ketupat siap, beli lengkuas, beli daun kunyit, cari sana, cari sini, habis pulakkkk. Nampak tak rayalah kalau tak ada rendang. Randang kena buat dua jenis, randang dagiang dengan randang ayam. Belum lagi randang kerang, randang puyuh, randang Tuk nenek, randang Mak Si Randang!
Ke mana sudahnya lailatul qadar?
Ia ada di supermarket, ada di pasar malam, ada di saat orang sibuk leka mencari persiapan untuk raya. Kalau tak ada persiapan bagaimana?
Tak apa, bukan itu matlamat sebenar. Bukan nak membazir. Beli itu dan ini. Kalau boleh biskut tunjuk kena 10 jenis paling tidak. 10 balang kena sediakan.

SEDIKIT
Mana lailatul qadarnya?
Adalah 10 orang atau lebih sikit yang iktikaf di masjid. Mereka mewakilkan sesiapa yang masih sibuk buat persiapan hari raya.
Nah, satu lagi persiapan 10 terakhir ini dikacau ganggu oleh perjalanan jauh balik kampung.
Tol sana, tol sini, macet. Berbaris. Siaplah saman on the spot. Itu belum bab yang kemalangan lagi, kalau setakat gesel dan cium itu hal biasa, belum yang terbakar, masuk gaung, masuk longkang, langggar bontot trelar berhenti, langgar dan lari, lari dan langgar, terbalik, terbabas, pendeknya yang menghairankan media kita pun buat jahat, dibuat senarai untuk direkodkan, berapa kemalangan maut, berapa yang kemalangan ringan dan biasa. Ia seperti nak galakkan setiap negeri berlumba-lumba mencipta kemalangan. Macam data pingat olimpik pula.

JANGAN LUPA TV
Satu lagi ketika kita bersiap dengan 10 terakhir Ramadan, tv durjana sibuk hebohkan agar umat Islam tengok drama Tv  atau filem terbaik di hari raya pertama, kedua, ketiga dan sebagainya. Bukan itu sahaja ada program artis lagi siap menyanyi.
Ingat nak cari pahala ibadat 83 tahun [seribu bulan] tapi kecundang dek syaitan yang berkeliaran, menghasut umat agar meraikan raya mengikut acuan mereka. Maka syaitan dan iblis pun tertawa, bala tenteranya sedang berehat menyaksikan umat sedang berpesta pora menyambut 10 hari terakhir Ramadan dengan pesta makan-makan dan berbelanja besar. Dan sebab itulah lailatul qadar diadakan, ia bagi mereka yang sedikit itu hendak mendapatkannya, sedangkan yang ramai berebut cari gula-gula dan kuih untuk persiapan raya.
Wallahu a'lam bishowab. []

No comments:

Post a Comment