INILAH KISAH YANG MENCARIK ADAT. Ketika menyusuri bab keris, kerana hendak tahu siapa Mpu yang telah membuat keris di zaman kerajaan Majapahit untuk mengesan siapa yang mengetuk besi untuk dijadikan Taming Sari, saya terjumpa kisah menarik.
Si Mpu [orang yang ahli buat keris] Gandring memang popular namanya. Hanya di Melaka, negeri yang ramai orang berkeris di masa silam, tidak ada tukang buat keris, yang ada apek di Jalan Tukang Besi buat parang panjang, parang cengkok dan pisau.
Hairan, dari mana orang Melaka dapat keris? Termasuk Hang Tuah dan sahabatnya?
Baiklah, jadi Mpu Gandring yang kerja buat keris siang malam, telah didatangi peminat keris. Namanya Ken Arok. Dia bukan sebarang orang, kalau sekarang memang ada pangkat besar juga.
CARA BUAT KERIS
Masa dulu, orang macam Mpu Gandring kalau nak buat keris, dia kena semak dulu tarikh lahir orang yang menempah, kemudian kena puasa cara Kejawen bagi ritual [tak ada kena mengena dengan puasa sunat], dah tu semak haribulan Jawa dulu, kalau nak buat juga, cari bahan besi dan campurannya, lalu adakan ritual khusus, baca mantera bakar kemenyan sampai berkepul-kepul dan terbatuk-batuk.
Ceritanya amat melucukan. Betapa tidak, dia buat keris untuk Ken Arok, keris itu adalah keris pusaka Ken Arok, ia diberi khadam semua hingga jadi sakti keterlaluan. Keris bikinan Mpu Gandring sudah banyak bunuh orang, memang keris itu suka minum darah manusia.
Makanya Ken Arok telah melakukan pembunuhan sewenang-wenang. Termasuk yang dibunuh adalah Mpu Gandring sendiri. Setelah membunuh tukang buat keris, ia juga membunuh anak buah dan keluarga Ken Arok. Inilah dahsyatnya keris yang dbuat daripada besi biasa, tetapi kerana diritualkan dengan cara paganisme, maka ia jadi senjata syaitan dan iblis.
BUANG KE LAUT
Kerana onar sebilah keris itulah, akhirnya ada yang mencadangkan agar keris itu dicampak ke laut. Agaknya itu sebab menurut kisah, keris Taming Sari jatuh ke laut.
Setelah keris sakti itu dicampak ke laut, dengan tujuan membuangnya, konon keris yang diperbuat daripada besi dan kemudian dimasukkan khadam padanya sehingga ia berhantu, maka setelah dicampak ke laut ia pun bertukar jadi seekor naga atau ular besar. Besar mana tak dapat dibayangkanlah.
Kisah naga ini memang menarik, usahkan di Tasik Chini, Pahang, di Jawa lagi hebat.
ANAK JIN
Ada kisah yang menyebut seorang bangsawan telah berkahwin dengan jin laut. Maka lahirlah seorang anak lelaki yang dibesarkan di dalam laut [istana]. Setelah remaja, ibunya yang tinggal di dalam laut sebab dia keturunan jin, anak remaja itu diserahkan kepada suaminya agar dipelihara di daratan.
Agar anak jin itu kenal bumi, kenal manusia. Sayangnya, si anak terlalu nakal. Habis orang kampung dilabrak kalau dia mahu makan. Main redah dapur orang, makan nasi orang sampai habis. Maklum anak keturunan jin, selera makannya luar biasa.
Ramai orang repot kepada polis. Polis siasat.
Alahai, yang buat hal adalah anak raja, orang bergelar. Anak raja jin. Nak siasat atau tidak?
Kata bapa kepada anak remaja itu, "Tak kisahlah anak aku ke anak siapa, kalau jahat sangat, tangkap dia!" itu kata bapa yang prihatin undang-undang, padahal dia tidak tahu ajaran Nabi Muhammad s.a.w. tentang keadilan pun.
Maka si bapa susah hati. Dia pun laporkan ke istana dalam laut. Guna handphone canggih. "Hallo dindaku, ada perkhabaran buruk tentang anakanda kita."
"Kenapa kekanda?"
"Anakanda kita bermasalah, suka mencuri, memeras orang kampung."
"Ya ke?"
"Ya!"
"Habis nak buat apa dengan anakanda kita tu?"
"Tulah yang kekanda inginkan pandangan you!"
"Okay, adinda cadang kita buat sayembara, siapa yang boleh kalahkan naga, maka dia akan kita pilih jadi Tengku Mahkota!"
"Wah! Ini cadangan yang bagus. Okay, kita akan laksanakan sayembara itu!"
Maka kemudian, diadakan sayembara yang berupa cabaran.
Sesiapa yang dapat mengalahkan NAGA SAKTI maka dia akan dipilih menjadi TENGKU MAHKOTA negeri. Tambahan orang bangsawan itu memang berharap anaknya yang degil itu akan dilantik jadi Raja juga suatu masa nanti.
Kalau raja bengkeng macam tu mana rakyat nak hormat. Jadi, kena hapuskan! Nak tangkap dan buang, susah, nanti terasa, dia masih anak juga. Maka raja pun adakan sayembara.
Anak remaja yang bingung itu setuju nak bertarung dengan naga sakti dari laut.
Maka terjadilah pertarungan sengit. Kalau nak sebut, tujuh hari tujuh malam mereka bertarung tak henti. Tak ada yang menang dan kalah.
Tetapi apabila ibunya yang menyamar naga itu tengok permainan itu berlanjutan, dia pun menghantar kesaktian agar terjadi petir yang dahsyat.
Panahan kilat dan petir dahsyat pun terjadi. Semuanya jadi tenggelam punca. Tak tahu apa yang terjadi. Mana naga dan mana anak raja pun tak tahu. Akhirnya anak raja itu tahu-tahu sudah diberikan anjakan pradigma bertukar jadi naga.
Dia masuk ke laut semula. Terus tinggal dengan ibunya semula.
Kenapa buat sayembara?
Agaknya si ibu yang dari keturunan jin malu, dia sudah suruh anaknya tinggal dengan bapanya di darat, tetapi dasar anak jin, tak tahu nak sesuaikan diri. Dia buat perangai jin juga.
Kalau disuruh masuk laut semula sudah tentu anak remaja itu tak mahu. Ini hanya helah ibunya sahaja. Yang jadi naga besar itu sebenarnya ibunya sendiri. Ibu lawan anak namanya.
Itulah kisah yang tak masuk akal, sama juga keyakinan adanya keris sakti milik Ken Arok dibuang ke laut sampai jadi naga! []
No comments:
Post a Comment