Tuesday, 28 August 2012

SUBJEK SEJARAH MENAKUTKAN, KENAPA?

MENJELANG hendak menyambut merdeka macam-macam orang dok sindir golongan muda dan golongan tua. Ada yang kata buta sejarahlah, tak mengenang jasa orang lama berjuang menuntut kemerdekaanlah, ada yang kata tak patriotik sebab tak kibarkan bendera, ada yang kata golongan muda tidak ambil peduli kerana mereka sudah selesa dengan kemajuan yang ada di sekitarnya.
Seperti biasa, saya tidak suka mengambil pendapat prof.madya atau apa dari pusat pengajian tinggi, saya lebih suka mengambil pendapat seorang prof yang bergelandangan di tengah kota, kata prof yang gelandangan ini, bagaimana generasi muda hendak minat kepada subjek sejarah, bukan subjek itu berat kerana banyak tarikh yang hendak diingat, subjek itu jadi berat kerana siapa salah cakap orang itu akan didakwa di mahkamah.
Kata prof yang selalu tidur bawah jambatan itu, tidak ada subjek yang bahaya dipelajari di mana-mana institusi pengajian tinggi, pilihlah subjek apa pun, hanya anda kena berhati-hati dalam subjek sejarah, sebab salah cakap, salah beri pendapat, ada orang repot polis, kemudian anda akan didakwa kerana bercakap tentang hal ehwal sejarah yang tidak dipersetujui oleh sesetengah pihak.
Kata prof itu, dengan merujuk kepada kes Mat Indera yang menimbulkan polemik hebat sehingga kena siasat polis, generasi muda semakin gerun kepada subjek sejarah. Akhirnya para pelajar diminta menjadi burung kakak tua, jangan fikir sangat tentang apa tajuk pun, tapi hafalkan untuk peperiksaan semata-mata.
Jangan pandai-pandai hendak beri pendapat atau menghuraikan sesuatu topik kerana anda akan dihukum kerana bercakap tentang subjek sejarah.
Mungkin benar juga cakap prof gelandangan yang namanya enggan dipaparkan di laman ini. Namun pendapat prof gelandangan ini jauh lebih bernas daripada prof yang menduduki apa kerusi pun di jabatan sejarah atau jabatan tawarikh.
Kalau orang muda tidak minat sejarah, jangan marah pada mereka. Kaedah guru mengajar sejarah di sekolah bagaimana? Bukankah mereka masih melongok teks sejarah, mengambil fakta-fakta, kalau dalam pelajaran sejarah pelajar diminta menyenaraikan apa faktor-faktor yang membawa kepada sesuatu perkara, mereka diminta hafalkan kronologinya, tak lebih dari itu.
Lepas itu skema jawapan yang diatur oleh pemeriksa kertas pun, asal ada fakta disenarai maka diberikan markah sekian, kemudian dicampurkan semua sekali. Maka fakta-fakta itu menggambarkan corak hafalan, sejarah jadi beku, kalau ada sesiapa yang bercakap fakta lain yang tidak disenaraikan maka orang itu akan dianggap penjenayah, dia penjenayah kerana "menipu" atau "menafikan sejarah" - contoh kes yang melibatkan Mat Sabu tidak lama dulu menggambarkan caca-marba bagaimana kita menanggapi sejarah sebenarnya.
Jangan marah kalau pelajar sekarang takut dengan subjek sejarah. Guru pun tak berani nak mengajar lebih-lebih. Jangan gunakan pendapat sendiri, kena ikut pendapat prof yang pakar dalam sejarah, kalau prof kata itu, maka itulah yang hendak dihafal. Sejarah adalah hafalan, itu sebabnya pelajar muda takut dan gerun kepada sujek sejarah.
Paparan ini adalah kesan dari wacana tentang sejarah yang dipaparkan dalam Variasi, [Harian Metro, Isnin 27 Ogos 2012], orang yang duduk di menara gading tidak berani bercakap lebih daripada apa yang biasa dibicarakan dalam media arus perdana, bukan apa takut gading itu retak.
Salah satu suara dari menara gading yang belum retak itu mengatakan, memupuk minat golongan muda terhadap sejarah tidaklah sukar kerana pandangan mereka lebih kritikal serta mempunyai kekuatan pandangan baru menerusi pelbagai sumber.
Kata-kata prof ini bahaya sebenarnya, bukankah pandangan lebih kritikal terhadap sejarah akan menyebabkan anda melakukan kesalahan? Pandangan baru dari berbagai sumber pun boleh dianggap sebagai kesalahan besar dalam memperkatakan sejarah negara.
Pelajar patut diingatkan betapa bahayanya mengeluarkan pendapat sendiri berhubung sejarah, sebab apa yang terjadi kepada Mat Sabu adalah bukti yang nyata, di mana setiap orang perlu berhati-hati ketika mengulas tentang sejarah, atau lebih baik diam dan jangan ulas langsung, sebagaimana pandangan prof yang tidur di bawah jambatan itu.
Kenapa wartawan akhbar berkenaan tiba-tiba cenderung nak interview prof berkaitan dengan subjek sejarah ketika kita bersiap nak menyambut kemerdekaan? Semua ini kerana mood nak sambut merdeka terasa hambar, apa yang dirancang, apa yang dicanang semuanya kena kritik, lagu tema pun kena kritik apa lagi logo yang ada.
Kenapa kita begitu berhati-hati? Nampanya bukan sahaja nak bercakap tentang sejarah kena hati-hati, nak sambut merdeka pun kena hati-hati, lagu tema merdeka pun kena hati-hati, jangan jadi seperti yang berlaku sekarang, janji ditepati, menjadi sejuta tanda tanya rakyat. Apa janjinya? Rakyat tak pernah dengar pun ada orang berjanji kepada mereka, kemudian apa yang ditetapi? Agaknya janji nak panjat pokok kelapa, janji nak main mercun, atau janji nak buat rumah terbuka, atau janji di bawah rumpun bambu, janji nak jumpa di pondok buruk tepi bendang, atau janji nak tangkap ikan, janji nak jemur ikan kering, janji nak tengok wayang, janji nak makan roti canai banjir, janji nak jumpa depan Sogo, atau janji nak ke Chow Kit, atau janji tak mahu baca buku sejarah.
Kalau ada orang kena saman atau kena dakwa kerana perkara sejarah, maka murid-murid sekolah rendah pun tak mahu belajar sejarah lagi. Pelajar sekolah menengah pun takut. Itulah subjek yang paling bahaya dipelajari, maka mereka terpaksa belajar subjek lain. Lupakan subjek sejarah, cari subjek yang tidak merbahaya dipelajari.[]

No comments:

Post a Comment