TEMAN KITA orang dari Baling Kedah, Pak Mail, tetap bekerja di Kuala Lumpur walaupun sudah hari raya. Itu tugas dia. Jangan sesiapa nak suruh dia berhenti atau bercuti. Dia nak kerja. Lebih baik daripada orang yang tak nak kerja. Lepak sana, lepak sini. Jadi, Pak Mail kira berhari raya di tempat kerjalah. Ini suasana biasa bagi orang yang bekerja.
Tadi sengaja jenguk Pasar Pudu untuk melihat apa yang ada. Peniaga ikan, daging, ayam, sayur-mayur macam biasa. Rancak, masuk hari ini orang sudah mula rasa jemu makan rendang semua. Tak kan nak makan rendang sahaja, ia meningkatkan kolestrol sebenarnya. Begitu juga dengan lemang dan randangnya.
Macam orang pergi buat "sejarah" [istilah orang Ponorogo, Jawa] mereka akan hadap kuih yang sama sahaja dari satu rumah ke satu rumah. Akhirnya mereka tak nak makan pun.
Masa ini kalau ada sesiapa sediakan ubi rebus cecah kelapa parut bergula pun orang berebut. Jangan hidang satey, sebab kuah satey adik-beradik nasi himpit, lontong [jangan lotong kesarung sudahlah!]
Menariknya di KL ini, bilangan rakyat asing membeludak di sekitar kawasan utama -- Jalan Silang dan Kota Raya, Central Market, Chow Kit Road -- pengangkutan awam penuh dan sarat dengan penumpang dari manca negara -- Nepal, Bangladeshi, Vietnam, Filipina, Mynmar, Indonesia.
Warna bangsa itu dapat dilihat dengan jelas apabila mereka berkelompok di tengah kota.Golongan ini berdatangan dari segenap penjuru di kawasan Selangor utamanya, semuanya tertumpu ke KL.
Jangan fikir orang tempatan [Melayu?] telah mudik ke kampung dan tinggalkan KL. Tidak juga. Ramai juga yang tak pergi ke mana. Raya di KL pun seronok juga. Boleh raya dengan Nepal, dengan Bangladeshi dan Pakistani dan siapa sahaja yang merayakan hari besar ini.
Hanya tak seronoknya raya di KL ini, pahala puasa Ramadan baru-baru ini semakin mencair semula. Apa tidaknya, di pusat kota berkeliaran gadis-gadis atau wanita yang telanjang bogel.
Ini memalukan, bagaimana mereka boleh bogel begitu? Mungkin ilmu tak sampai kepada mereka kut? Tak sampai apa, yang bogel itu termasuk orang yang berkelulusan dari universiti luar negeri termasuk dari Amerika pun.
Tak hairan yang bogel dan berlari-larian mengejar bas, menahan teksi, berpimpinan tangan, semuanya sedang meraikan hari raya konon.
Kenapa kita kata bogel? Mereka tak lah lucutkan pakaian tengah ramai, nanti dikata bingung pula. Hanya perumpamaan yang pernah Nabi s.a.w. katakan, berpakaian tetapi telanjang.
Ada yang berlagak macam mak datin pergi pasar, bersama sang suami yang Dato' barangkali, kembang megah apabila peniaga puji keayuannya, Dato' apa lagi, tetapi sayangnya, meski bertudung rapi, bahan kain untuk baju yang dipakai oleh mak datin itu tidak kena, jarang, buat kebaya sendat, agaknya inilah fesyen hari raya terbaik kali ini.
Kemudian ada yang rasanya orang Melayu kita, kelek anak dua orang, tetapi pakai seluar pendek berambu-rambu masuk restoran. Wah, hebat. Inilah pakaian perempuan Melayu terakhir.
Pendeknya, dalam bab berfesyen ini kalau ada siapa yang rajin nak buat kandid dengan kameranya, maka banyaklah yang menarik. Ada yang bertudung rapi, baju pun longgar, kira okay, tetapi, seluar jenis jeans sendat tumit tinggi lagi, nak jalan pun susah. Yang pakai kebaya sendat tetapi bawahnya menjulur cukup ramai, inilah fesyen yang terhebat, sayangnya, bahan kain tak sesuai, jarang, dan ada yang sendat. Kebaya sebenarnya tak sesuai sebagai pakaian muslimah, itulah yang pernah saya dengar komentar dari seorang ustaz.
Pendeknya macam-macam fesyen yang anda boleh jumpa, maklum setahun sekali keluar dari tempurung yang ada. Keganjilan itu ketara amat. Ketika solat sunat aidul fitri, kaum ibu pun ramai, tetapi meski mengenakan tudung, anehnya leher dan lurah terdedah juga. Maknanya mereka tak faham apa tujuan bertudung atau menutup aurat itu. Atau maksud aurat perlu dijelaskan kepada mereka.
Atau, memang itulah corak budaya Nusantara yang sudah diamalkan sejak sekian lama.Di kalangan gadis-gadis remaja pula mereka sibuk hendak bersalaman dengan semua orang. Ini semua adalah pengaruh festival filem, penyampaian anugerah artis dan persembahan yang biasa tv kita paparkan. Tv telah mendidik umat menjadi begitu dan pihak mufti yang warak agama, yang berkelayakan untuk menegur tak berani menegur kalau ia program RTM atau Tv umno.
Jalan Silang tadi, penuh dan sendat dengan orang-orang dari luar negeri. Maka Malaysia pun tersohorlah sebagai negara tumpuan yang masyhur. Di jalan itu, darah air pinang dan sirih bercipratan. Sudah sewajarnya pihak DBKL meletakkan papan tanda DILARANG MELUDAH atau kena sediakan tong ludah macam di Papua [di Merauke].
Jika orang mahu lihat bagaimana hari raya dihayati oleh umat yang sebenarnya, maka di tengah kota ini terlalu menyakitkan hati. Di kampung Melayu tradisional pun masih ada golongan yang begini. Mereka berpakaian tetapi telanjang, menziarahi jiran-jiran, bersalaman dengan semua orang lelaki perempuan tak kira siapa. Inilah budaya rambang yang ada di tempat kita.
Ketika jenguk Bukit Bintang, kebetulan ternampak Pak Arab ntah dari mana, ditahan oleh perempuan tukang urut di pintu utama bangunan kedai. Melihat gambar risalah tentang khidmat urut dan urut lanjutan yang sedia dihidangkan untuk pelanggan. Duit Pak Arab lagi lebat itu sebab mereka gamit Pak Arab!
Itupun salah satu cara sambut Hari Raya di KL ini. Tempat shopping dah padat semula. Orang rasa jenuh nak hadap kuih-muih raya, jenuh nak teguk air sirup, oren, sarsi atau coke. Jenuh nak makan ketupat dan lemang. Tunggulah dalam masa sebulan ini pesta makan masih berlanjutan.
Yang sedapnya, pesta makan juga dijadikan sarana untuk "memancing undi" oleh tokoh tertentu yang mengadakan pesta makan dan melantak selagi mahu! Dan tak lupa, ketika menghadiri pesta makan itu, ramai pula yang datang bogel! []
No comments:
Post a Comment