Monday, 6 August 2012

BELAJAR ILMU SEGERA

ILMU SETARA mi segera memang banyak. Orang sekarang mahu segera. Kalau dapat PD cheque pun mahu disegerakan kalau boleh. Selain ilmu yang diperoleh secara online, secara titipan mistik, ada juga orang yang kemaruk ilmu dengan membuat andaian sendiri.
Contohnya, untuk menguasai suatu ilmu itu seseorang perlu mencari orang yang berilmu. Setelah mendapat orang yang menguasai ilmu itu, maka bersilalah depannya dan belajarlah ilmu yang dia ada. Akan tetapi, ia bukanlah mudah, kena bersila berhari-hari untuk dapatkan ilmu.
Bagaimana kalau orang yang punya ilmu itu kita korbankan, maksudnya, dipujuk agar memberikan ilmu di rumahnya, diberi makan minum dan tempat tidur semua. Sementara itu yang kemaruk ilmu pun mengasah parang dan pisau tajam-tajam.
Untuk apa bang? Untuk menguasai ilmu agar segera dikuasai. Caranya, dengan andaian dan tanggapan bodoh, dia fikir, kalaulah orang yang berilmu ini disembelih dan kemudian hatinya dimakan mentah, atau organ dalamannya diambil, pasti ilmu yang ada dalam dada orang itu akan mudah masuk. Inilah kaedah untuk mendapatkan ilmu secara mi segera.
Lantas, apabila angin kebodohan bertiup kencang, ketika sang guru iaitu yang punya ilmu sedang tidur pulas, maka kawan tadi pun pun mengikatnya dan lalu membunuhnya.
Setelah dibunuh si guru tadi, maka dia pun melapahnya bagai melapah kambing korban.
Organ dalaman yang penting diambil. Makan mentah-mentah, jangan dimasak kari atau masak tomyam. Dia pun makan jantung, minum darahnya, bahagian hatinya, dan ususnya.
Sudah kenyang makan organ guru, dia pun menyandar di dinding kamar."Sekarang aku sudah berilmu. Dengan berkat memakan hati, jantung dan ususnya, aku menguasai segala ilmu yang ada padanya."
Dan dia pun berdiri di depan cermin. Dia melihat mulutnya persis mulut beruang yang baru lepas melapah mangsanya.
Baru dia teringat. Guru yang diyakini itu telah dibunuh. Lalu dia dengan segala daya upaya memasukkan bahagian yang tinggal ke dalam karung plastik dan kemudian menanamnya di belakang rumah. Mujur jiran-jiran tidak ambil pusing kepadanya.
Maka dia pun membersihkan badannya, kemudian duduk berehat di rumah. Dia bersendawa dan kemudian rasa nak muntah. Tetapi dia tahan juga. Beginilah rasanya kalau makan hati dan jantung manusia. Dan kemudian dia mengambil bekas berisi darah. Dia minum darah itu umpama minum air sirap ketika berbuka puasa. Puas betul rasanya.
Telefon bimbit guru yang telah ditanam itu ada terletak di atas meja rumahnya. Dia fikir, setelah melakukan segala-galanya, dia mendapat ilmu yang dikuasai guru.
Tidak terfikir olehnya bahawa tidak ada kaedah belajar ilmu seperti itu. Siapa yang mengajarnya? Tidak lain adalah syaitan dan iblis. Hasutan makhluk ini begitu kuat membelenggu dirinya.
Dia akhirnya berpendirian bahawa sesebuah ilmu itu boleh dikuasai andainya orang yang berilmu itu kita perlakukan sedemikian. Dengan memakan organ dalaman sang guru mentah-mentah dan minum darahnya, maka ilmu itu akan masuk secara mi segera.
Guru yang jadi mangsanya itu adalah pengamal ilmu kebal. Di dalam ajaran gila yang dia dapat, bahawa orang yang ada ilmu kebal ia tidak mati walaupun sudah dibunuh. Jadi orang bingung ini yakin, setelah guru tadi dibunuh dia anggap guru itu akan menjalani dunia reinkarnasi.
Ini ajaran dari mana? Memanglah, kekadang ada sesuatu perkara yang tidak dapat difikirkan dengan rasional lagi. Seperti kes ini, hendak dapatkan ilmu dia sanggup bunuh orang yang berilmu itu dan makan organ pentingnya. Dia juga meyakini, orang yang mengamalkan ilmu kebal, dia tetap kebal, meski telah mati ia akan menjalani reinkarnasi dan wujud dalam raga lain.
Kaedah yang dilakukan oleh orang ini kemudian diketahui orang. Tindakannya membunuh orang yang ada ilmu kebal menyebabkan dia dipenjara seumur hidup. Adakah dia tidak terfikir, jika orang itu amalkan ilmu kebal, kenapa begitu mudah dia boleh sembelih? Di mana ilmu kebalnya?
Setelah dia membunuh orang kebal, dia akan jadi kebal. Sayangnya, dia tidak kebal juga sebab tidak lama kemudian tembelangnya diketahui orang. Kantoilah dia.
Mungkin nanti ada cerita lain lagi, di dalam penjara dia boleh lolos dan merayau-rayau di luar tembok penjara, menjelang pagi dia balik semula ke penjara. Kenapa? Kerana dia sudah jadi orang hebat, punya ilmu menghilang, ilmu mengecilkan tubuh, dan dia pun merasakan dirinya menjalani reinkarnasi palsu.
Ada-ada sahaja! Itu sebab, iklan ilmu perlu berpijak di bumi nyata. Sekarang banyak iklan ilmuan mistik yang tidak berpijak di bumi nyata. Guru menawarkan ilmu persugihan tetapi dia tidak sugih juga. Guru menawarkan ilmu pengasih, dia bercerai juga dengan isterinya. Guru menawarkan ilmu kebal, kena bacok juga kerana mahu uji kekebalannya. Mahu ilmu yang segera, makanlah mi segera, untuk sementara pasti kenyang sementara nak mencari ayam goreng atau roti nan. [] 

No comments:

Post a Comment