Sunday, 25 August 2013

KELEBIHAN MEMAKAI SABUK, BENARKAH?

Penulis pernah ditunjukkan sabuk yang diperoleh dari sebuah gua di Kelantan oleh seseorang yang mendakwa bahawa sabuk itu adalah milik Sunan Kalijaga. Benar tidaknya, bukan perkara mustahak untuk diselidik secara mendalam.
Kerana ia dikatakan sabuk Kalijaga, maka kain yang diperoleh dari seorang Mbah di dalam gua itu disimpan sebagai koleksi benda-benda mistik.
Penggunaan sabuk sudah lama menjadi cerita pedagang kaki lima.
Ada yang berupa ikat pinggang dengan kain hitam, kain kuning, kain merah, kain hijau dan warna apa sahaja mengikut siapa yang menciptanya.
Ikat pinggang itu bolehlah dianggap sebagai tangkal atau azimat.
Ia diikat di pinggang, dipakai setiap hari ketika nak pergi kerja, terutama yang naik motosikal atau kereta, dengan benda mistik itu mereka yang memiliki meyakini ia akan menjadi pendinding.
Dalam tahun 80-an hingga 90-an, pedang kaki lima di Kuala Lumpur, Kuantan, Johor Bahru, atau di Pekan Rabu Kedah, ada yang mempamerkan semacam ikat pinggang yang menyerupai sabuk bertuah ini.
Pemakaian sabuk sudah menjadi lumrah di kalangan orang yang memang menyukai benda-benda berbau mistik.
Biasanya, cerita pedagang kaki lima dari luar [dari seberang selat maksudnya] mudah mempengaruhi anak-anak muda yang ingin melindungi diri mereka dari berbagai ujian di sekitarnya.
Pedagang kaki lima akan bercerita tentang kelebihan memakai ikat pinggang itu. Tidak diketahui apa yang terikat di dalam ikat pinggang itu, kebanyakan orang yang terpengaruh tidak berani membukanya, takut "kuwalat/ketulahan" -- maklum di dalamnya ada rajah-rajah tertentu. Rajah yang pelik-pelik ini bagi yang taksub sangat menggerunkan.
Justeru, jangan letak di sebarang tempat. Jangan bawa masuk ke tandas atau tempat maksiat. Maknanya, sejak memiliki ikat pinggang yang harganya tidak mahal [ masa dulu dijual dalam lingkungan RM50 tidak termasuk pengerasnya] -- maka yang memiliki akan menjaga ikat pinggang itu dengan berhati-hati.
Nak keluar malam kena pakai, nak pergi kerja lagi mustahak.

PERLINDUNGAN
Apa gunanya? Sabuk ini kata mereka boleh dijadikan sebagai sarana untuk perlindungan diri. Dengan memakai ikat pinggang itu, kalau bawa motosikal mereka lebih yakin tak ciluk kanan dan kiri. Bagi yang memandu kereta mereka rasa ada jaminan kerana di pinggang sudah ada sabuk bertuah.
Cerita mitos tentang kelebihan ikat pinggang ini sejak dulu sampai sekarang masih diyakini keberkesannya. Meski ia seolah-olah cerita tokok tambah, pemakainya akan yakin penuh kerana ketika akad jual beli sabuk tadi, orang itu dipaksa untuk meyakini benda bertuah itu.
"Sesiapa yang tidak yakin dengan sabuk ini, tidak perlu memilikinya," itulah yang pedagang kaki lima tuturkan.
Sekalipun dia tidak memaksa, tetapi berapa ramai lelaki bertali leher yang terpancing dengan ceritanya itu?
Ini cerita lama. Bahkan ada yang menyertai kumpulan silat juga turut memiliki semacam sabuk bertuah begini. Atas tujuan apa, tidak pula diceritakan.

CIPTAAN INDIVIDU
Sekarang, sesiapa yang ingin memiliki ikat pinggang bertuah atau sabuk ini, mereka perlu berjumpa dengan orang pintar terlebih dulu. Sabuk itu orang pintar yang menciptanya.
Dia yang menjahit dan dia juga yang melakar rajah tertentu setelah meniru dari rujukan yang dianggap kuno dan sahih isinya.
Apa kelebihan memiliki sabuk bertuah itu?
Antara lain, berdasarkan testimoni mereka, sesiapa yang memakainya, kalau terjadi kemalangan jalan raya, ia tidak akan mengalami kecederaan yang teruk, atau paling tidak baju yang koyak, tapi tak ada apa-apa.
Begitu juga ada cerita yang mengatakan, kereta yang dipandu boleh terbalik, tetapi pemandunya boleh merangkak keluar sambil mengusap-usap kedua belah lengan bak hero dalam filem aksi hebat.
Lebih menarik, ada testimoni yang mengatakan, ketika berada di tempat parkir kereta, tiba-tiba datang sekumpulan lelaki berniat jahat menghampirinya. Berkat memiliki sabuk itu, apabila pemilik sabuk berteriak, maka semua yang ada tadi lari lintang pukang dan ada yang berdiri kaku tidak bertindak apa.
Kenapa jadi begitu?
Khabarnya, oang yang memiliki sabuk tadi seolah-olah telah mengalami kekebalan diri, dia dilindungi oleh suatu pemandangan aneh. Betapa tidak aneh, musuh yang hendak menyerang melihat pemakai sabuk tadi bukan manusia biasa lagi, tingginya luar biasa, kata orang macam gergasi saiz tubuhnya.
Apa lagi? Lintang pukang mereka lari atau meminta maaf tak mahu ganggu lagi.

KEBAL
Ada juga yang mendakwa pemakai sabuk tadi jadi kebal, ditetak dengan parang atau ditusuk dengan pisau tidak lut.
Faktor ini, orang tergila-gila mencari sabuk bertuah. Tetapi kena ingat, siapa yang memiliki sabuk bertuah itu? Cerita di laman maya memang mengagumkan, rasa ingin mencuba.
Cerita sahaja belum boleh dijadikan bahan bukti. Testimoni kosong boleh dipaparkan bila-bila masa.
Walaupun benda mistik begini boleh dipesan melalui pos dan masukkan duit di mana-mana agen pentransfer duit, kebenarannya belum dibuktikan.
Kalau umpamanya seseorang itu gagal menggunakan sabuk itu, mungkin akan ada alasannya lagi, iaitu ANDA LANGGAR PANTANG!
Atau paling tidak ANDA TIDAK YAKIN 100% terhadap benda mistik ini.
Berdasarkan iklan, atau cerita orang, SABUK RAJAH umpamanya kalau dimiliki ia akan dapat memberi manfaat kepada pemakainya:
1. Dia jadi kebal senjata tajam, baik tetakan atau tusukan.
2. Ia jadi penangkal mara bahaya dan menambah kewibawaan.
3. Kalau pemakai bereaksi, membalas pukulan atau tumbukan, maka powernya cukup hebat, pemegang sabuk pun tak jangka begitu.
4. Kalau ada sesiapa yang nak menyerang, dan pemilik telah bersedia bertindak, musuh akan jatuh atau jadi lemah secara mendadak.
5. Kemudian musuh akan terhenyak ke belakang walau tidak disentuh.
Tentang sabuk Kalijaga yang didakwa diperoleh dari sebuah gua, dihantar oleh seorang Mbah berjubah yang penulis sebut tadi, tidak pasti kegunaannya. Pemilik tidak menceritakan tentang kelebihan sabuk tadi.
Berkenaan penggunaan sabuk atau ikat pinggang ini, ia sama seperti orang menggunakan tangkal dan azimat. Maka berhati-hatilah kerana sudah jelas bagaimana hukumnya orang yang memakai tangkal atau azimat ini mengikut ajaran agama [sila rujuk bab yang berkaitan]. Paparan ini hanya menyentuh bab tentang keyakinan sekelompok peminat benda-benda mistik yang dikatakan ada kelebihannya jika dimiliki. Wallahu a'lam. []  

No comments:

Post a Comment