Friday, 30 August 2013

RINDU MAKAM IMAM? KITA BAWA DEPAN RUMAH UNTUK DIZIARAHI!

BAYANGKAN kalau di Malaysia jadi begitu. Apabila ada di kalangan kita yang taksub melulu kepada makam-makam keramat misalnya, akan ada orang bagi idea. "Apa kata kita buat replika makam tersebut, kita bawa naik lori, tunjukkan kepada orang ramai. Siapa nak tengok kena bagi dermalah! Duit minyak!"
Ini hanya misalan. Masyarakat kita masih tersusun rapi. Tidak sampai ke peringkat memuja atau mengusap kubur replika tokoh tertentu.
Tetapi di negeri yang mengamalkan Syiah, sudah ada kubur bergerak. Kita di Malaysia, ada tengok tandas bergerak, balai polis bergerak, wakil pos bergerak, klinik bergerak, dan macam-macam gerak lagi. Agaknya kalau ada orang bawa replika Makam Hang Tuah atau Makam Mahsuri, ada atau tidak orang nak tengok?
Nescaya orang tak peduli. Paling tidak mereka akan tanya, "Nak bawa ke Muzium mana benda tu?"
"Kak, ni bukan nak bawak ke Muzium mana-mana, kita nak tunjuk kepada orang kampung, inilah Makam Hang Tuahnya! Bukankah Hang Tuah kata tak kan Melayu hilang di dunia?" kata jurucakap yang membawa lori itu.
"Sapa nak tengok makam gitu?" kata perempuan itu mencebik.
"Hey, kak, kalau di luar negeri makam macam ni dia orang kerumun tahu?" jurucakap itu cuba menerangkan.
"Negeri mana?"
"Syiah!"
"Aku pun tak tahu apa, nak cakap Syiah!" perempuan itu tutup pintu rumah.

Begitulah episod membawa makam replika kalau ada di Malaysia.
Bagaimana kalau di Iran sana? Penghormatan mereka terhadap Imam sangat mengujakan. Bayangkan, kubur para Imam mereka sering dikunjungi. Mereka sanggup merangkak dan keluar mengundur demi menghomati perkuburan Imam. Ada yang sujud, ada yang solat mengikut cara mereka. Mereka jadikan perkuburan itu sebagai masjid.
Mereka begitu taksub terhadap kubur Imam kerana Imam itu diberi gambaran yang menakjubkan di dalam referensi mereka. Contoh di dalam AL-KAFI kitab hadis yang menjadi panduan mereka bahawa Imam mereka amat istimewa tak serupa manusia biasa.
  • Mereka boleh tahu tarikh nak mati. Kalau rasa nak mati mereka boleh pilih tarikh yang sesuai, boleh bookinglah maksudnya [al-Kafi, Vol.1, hal.258]. Perkara ini kontradik sekali [dengan Luqman: 34].
  • Mereka mengetahui apa yang akan terjadi, dan yang telah terjadi [Vol.1, hal. 260] bertentangan dengan an-Naml: 65].
  • Imam adalah pemilik bumi dan seisinya [Vol.1, hal.407]. Dunia dan akhirat juga milik mereka [ berlawanan dengan Hud: 123].
  • Imam itu penyangga bumi [pengibaratan].
  • Imam memiliki semua kitab suci yang diturunkan Allah.
  • Imam mengetahui apa sahaja ilmu yang dimiliki Malaikat.
  • Sesiapa yang ziarah ke kubur Husain, pahalanya sama atau bahkan lebih jika dibandingkan dengan haji dan umrah 20 kali [Furu' al-Kafi, hal.59].
Jadi, apa tujuan orang membawa replika kubur seperti yang kita cerita tadi? Mungkin dengan memandang replika itu sahaja, atau kalau dapat menyentuhnya, ia ada sedikit manfaatnya. Buat masa ini kita belum dapat maklumat mengenai ganjaran melihat replika kubur begitu.

IMAMAH
Kalau mengikut doktrin Syiah, pemerintah perlu berdasarkan Imamah. Pemimpin tertinggi mereka adalah seorang Imam. Imam yang dimaksudkan adalah IMAM 12. Tetapi sekarang, Imam yang mereka harapkan belum muncul sebab takut kena bunuh. Jadi, Imam itu masih menyorok bawah tanah. Agaknya ada terowong yang lebih hebat telah dibina pada masa silam. Imam itu sedang dalam persembunyian atau ghaibah.
Jika tidak ada Imam maka tidak ada pemerintahanlah? Inilah kalau pada congak kita. Tetapi Syiah ada alasan lain. Mereka juga ada ijtihadnya, walaupun kebanyakan pendukung Syiah amat marah kerana Sunni pandai berijtihad mengada-adakan sesuatu yang tiada [bid'ah].
Apa ijtihad mereka?
Mereka kata, kedudukan Imam boleh diganti dengan seorang yang FAQIH yang mereka sebut sebagai WILAYAT AL-FAQIH.
Kalau ikut kaedah tradisi Syiah, perkara ini tidak wujud. Maka ia bolehlah dikira benda bid'ah juga. Ulama mereka sepakat [ijtihad?] dan ia akhirnya diterima sebagai ajaran Syiah untuk dikemaskinikan. Puncanya kes Imam yang ghaib tak muncul-muncul.
Al-Khomeini [dalam Al-Hukumah al-Islamiyah, tanpa penerbit, nipis 154 halaman] -- ia asalnya nota kuliah di Najaf, Iraq.
Dia menjelaskan apa sebenarnya WILAYAT AL-FAQIH atau pemerintahan atau kekuasaan ulama. Gagasan ini kemudian diterapkan di Iran selepas revolusi Syiah Iran [bukan Revolusi Islam 1979].
Kenapa perlu diwujudkan kaedah pemerintahan begitu? Alasannya kerana Imam ke-12 tak muncul-muncul sampai sekarang. Tak kan langsung tak boleh memerintah kut? Nak tunggu sampai bila? Maka, dia berpendapat tak kan nak tunggu lagi sedangkan sudah lebih seribu tahun ia mengalami GHAIBAH KUBRA. Imam yang ditunggu [al-muntadzar] tidak muncul juga. Adakah selama ketiadaan Imam itu orang Syiah tidak ada pemerintahan? Maka, kepimpinan ulama pun ditegakkan sebagai mewakili Imam yang belum muncul.
Tujuannya agar berlaku kesinambungan pemerintahan sejak zaman Nabi s.a.w. sampai sekarang. Lagipun sistem pemerintahan ini kata mereka adalah perintah Allah.
Khomeini beranggapan, pemerintahan Islam seterusnya sistemnya adalah perintah Allah yang bersifat qath'iy dan berlaku sepanjang masa. Manusia hanya melaksanakan dan tidak ada hak mencampuri dalam bentuk apa pun [hal.43, kuliahnya].
Selama Imam ke-12 belum muncul [dan tak akan muncul pun] maka seluruh fungsi dan tugas Imam ghaib itu dikendalikan oleh para ulama Syiah. Kata Khomeini, seorang faqih bukanlah Nabi, tetapi ia adalah wasy al-naby = penerima wasiat Nabi. Ketika masa ghaibah berpanjangan ini, masa ghaibah lagi, maka faqih kena berperanan sebagai Imam dan pemimpin mereka.
Sebetulnya gagasan yang dibawa oleh Khomeini ini bukanlah mendapat dukungan semua ulama yang ada. Hanya mereka enggan mengulas kerana keadaannya belum sesuai. Mereka di Iran menganut "madzhab" Ja'fari Ithna 'ashari. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment