MASYARAKAT kita tak boleh ada isu. Jika ada isu baharulah mereka ambil perhatian terhadap sesuatu itu. Contohnya dalam bab surau.
Bila disebut surau, di tempat hentian rehat PLUS pun ada surau. Di pejabat kita pun ada surau. Di kampung pun ada surau.
Pendeknya, mana ada tempat yang tidak bersurau? Semuanya ada. Paling tidak surau kecil muat tiga orang sahaja untuk berjemaah. Itu dibuat jangan tidak, asalkan ada sudahlah.
Surau biasanya tidak menjadi tumpuan orang sangat. Di mana-mana orang melakukan safar, mereka akan tuju masjid di tepi jalan. Kalau tak ada masjid, baharulah mereka pergi ke surau.
Di Kuala Lumpur, sebagai contoh, kalau kita pergi Sogo, ada surau di lantai bawah, Di Bangunan Mara pun ada, di Maju Junction pun ada.
Di The Mall pun ada, apatah lagi di Bangunan Perkim.
Di Bukit Bintang ada surau, sebelahnya Sungai Wang Plaza pun ada surau [lagi selesa dibandingkan surau Plaza Bukit Bintang]. Di Times Square pun ada surau.
Pendeknya, setakat nak solat tidak ada masalah, surau ada di mana-mana.
Kalau surau terletak di kawasan resort, sudah tentu surau itu tidak ada jemaah. Tidak ada imam, siak dan bilal seperti surau di taman perumahan.
Sesiapa yang nak solat silakan ke surau itu. Maknanya, surau itu diwujudkan untuk memberi kemudahan kepada orang yang nak solat. Bahkan, ketika orang bersuka ria di kawasan resort seperti itu, biasanya agenda solat tidak diberi keutamaan.
Ini pengalaman penulis ketika menjengah surau di mana-mana kawasan yang berhampiran laut. Sama juga surau di bangunan tertentu.
Tentang bab struktur ruang solat yang tidak mengarah ke kiblat bukan suatu masalah. Banyak surau yang susun atur sejadah atau karpetnya senget bagi diselaraskan dengan arah kiblat. Jadi tak perlu ruang solat itu dirobohkan dan buat baru.
Tempat yang begitu tidak ada jemaah. Boleh jadi hanya laku pada waktu zohor atau asar sahaja. Subuh dan isyak tidak ada siapa menjengah [mungkin lampu pun tidak dinyalakan].
Itu surau di kawasan tepi laut. Bagaimana surau di kawasan tempat tumpuan pelancong? Sudah pasti surau itu tidak berfungsi sangat.
Sebuah surau di bawah bangunan tempat tinggal masyarakat yang bercampur, di mana ada orang-orang Islam turut tinggal di situ, suraunya sentiasa berkunci. Sesekali sahaja dibuka untuk solat maghrib, itupun yang hadir hanya orang-orang Bangladesh sahaja, anak-anak Melayu yang sibuk dengan motosikal dan bergebang di restoran langsung tak hirau pun.
Surau yang begini, agaknya jadi kecoh kalau ada orang tertentu buat hal disurau. Biasanya masyarakat kita begitu, yang tak jenguk surau di lantai bawah pun ikut terkecoh sama.
Usahkan di bangunan begitu, surau di sebuah kampung, yang mana penduduknya tinggal bertebaran di sekeliling surau [pagi tadi solat subuh di Gombak, hanya ada empat orang!] dan masjid pula hanya satu saf sahaja [suasana raya masih ada agaknya].
Apakah setelah kecoh-kecoh tentang surau umpamanya, orang ramai akan mengunjungi surau bagi mengimarahkan tempat itu? Rasanya tidak. Orang hanya terkecoh nak ambil gambar surau untuk kenangan.
Ini isu baru. Dalam seminggu dua nanti ia basi, orang tak peduli.
Sudah kita kata tadi, surau ada di mana-mana. Ada surau yang aktif seperti keadaan masjid kampung, ada juga surau yang tak ada sesiapa nak jenguk.
Pengalaman solat di masjid lama di Masai, Johor, solat Subuh ada 3 orang sahaja [zaman dulu]. Yang lain semuanya solat di masjid baru yang serba indah. Surau di pusat membeli belah pula, tengok tempat, ada yang dikunjungi orang dan ada yang sepi dari kunjungan.
Surau jadi isu, kalau begitu tolong tengok surau yang ada depan rumah. Pagi tadi [subuh] pintunya dibuka atau tidak? Dah jadi isu baharulah nak tarik sejadah di situ. []
No comments:
Post a Comment