Orang masih suka beraya di kampung. Mereka anggap ada nostalgia. Ada kenangan manis apabila berada di kampung. Terkenang kedegilan masa silam, tak suka berpuasa, puasa yang yuk, pagi-pagi buka periuk, atau pura-pura puasa di depan kawan, hakikatnya tadi melantak buah mangga yang masak gugur; pendeknya, nostalgia itu yang orang imbau semula. Termasuk kenangan bermain mercun, sampaikan cucu-cucu zaman silam bukan nak duit raya, tetapi nak mercun raya cap Dewi Terbang buatan China. Dari dulu pun memang mercun didatangkan dari China. Kilang mercun di negara kita bukan tak ada, pernah terjadi kebakaran kilang mercun yang mengharukan suatu ketika dulu.
Ada orang suka balik kampung sebab nak rasa kuih dulu-dulu; masakan dulu-dulu yang tradisional kata mereka, mana ada lagi? La ni orang dah malas nak buat kuih. Kuih tradisi ini hanya dibuat oleh orang tua-tua, sementara orang muda megah dengan kek cawannya, dan mungkin megah dengan kek gelas, kek kole, kek bakul atau kek besen!
Sesekali balik kampung boleh tengok bebudak buat meriam buluh atau meriam tanah yang bunyinya menggelegar bumi. Jangan tengok sahaja, tolong bubuh karbait dan cucuh sekali. Tengok muncung meriam itu baik-baik, bagaimana ia boleh berbunyi? Kalau meriam begini yang Portugis bawa ke Melaka, alamat orang kampung happy menyaksikannya. Harapkan bunyi sahaja yang kuat, tapi tak ada apa.
Lain padang lain belalang. Jangan nak samakan ritual yang penduduk kampung lakukan di malam raya. Ada yang bertakbir dari rumah ke rumah dan ada yang happy bakar bunga api dan mercun. Bak kata orang sekarang, tanda-tanda hari raya ialah apabila mercun dibakar bagai nak rak. Memang pun, menjelang tengah malam, mercun sahaja di sana-sini, termasuk yang jenis roket, sisa roket itu jatuh atas bumbung rumah jiran-jiran.
Di pagi raya, biasanya ada yang semacam "sungkem" dengan orang tua, ada yang merembeskan air mata, mungkin terkenangkan zaman dulu-dulu, selalunya ia diasosiasikan dengan arwah-arwah ahli keluarga yang lebih dulu pergi meninggalkan mereka. Takbir raya pun mendayu-dayu, tidak ada semangat untuk meraikan kemenangan setelah mendapat ijazah dari madrasah Ramadan. Pengajian sebulan membawa kesedihan. Semua orang bersedih sehingga di lantai masjid pun bersedih, takbir raya tidak ada semangat, mendayu-dayu, apa nak buat, sudah jadi resam orang Melayu, semua nak dilagukan, hatta takbir, tahmid dan tahlil pun mendayu-dayu juga [hal ini pernah ustaz ulas di majlis tazkirah].
Kemudian hari ini orang sibuk nak buat barak'an, buat kumpulan bermotosikal untuk menziarahi setiap rumah di kariah masing-masing. Kalau boleh hari ini tumpu sebelah utara kampung dulu, kemudian petangnya sebelah baruh, sebelah bendang atau sebelah laut. Esok sambung sebelah selatan pula, membawa ke arah barat dan timur. Mereka ada perkiraan untuk membahagikan zon eksklusif kampung. Ada ketua barak'an yang dilantik. Dialah yang memimpin kumpulan itu bergerak dari satu rumah ke satu rumah. Cara permohonan maaf kepada tuan rumah main borong sahaja. Ketua akan mewakili anggota rombongan menyatakan rasa terima kasih kepada tuan rumah dan memohon kemaafan sekaligus. Kemudian beredar.
Sudah tentu kalau satu rumah segelas kecil air limau ditelan, di rumah lain ada beberapa gelas lagi yang perlu diminum. Kalau 50 buah rumah, mereka minum 50 gelas air!
Apabila sudah terlalu kenyang dek kerana hendak menjamah apa sahaja di setiap rumah, paling tidak kacang-kacang, maka rasa lain macam isi perut. Di rumah tadi sudah menjamah ketupat dan rendangnya. Ini ditambah lagi kuih berbagai jenis. Aduhhhhh!
Tak menghairankan ada yang sakit perut. Apa taknya, air bandung diminum, air semarang diminum, cendol pun diminum, teh tarik, nescafe, semua ditala sehingga tidak fikir perut sendiri, sudahnya orang sibuk terjah rumah orang untuk barak'an, dia sibuk dalam bilik air pula. Selamat melabur!
Ada semacam kebanggaan kalau tradisi barak'an itu diteruskan. Maka adalah pihak tertentu yang memuji kumpulan sekian-sekian kerana setiap tahun mengadakan barak'an.
Ketika sibuk menguruskan peradatan sebegitu, orang selalu lupa, waktu zohor adalah paling sukar. Ketika sedang bertandang di rumah orang, masuk waktu solat. Masjid sudah tentu tinggal separuh saf sahaja atau lima enam orang sahaja. Lainnya, sibuk barak'an -- maknanya kita masih mengutamakan tradisi berhari raya begini sehingga mengabaikan perkara fardu.
Betul kata ustaz, ketika Ramadan bukan main pulun di masjid, masuk malam raya sudah tidak tentu arah lagi. Kelangsungan dari madrasah Ramadan itu berakhir ketika ini juga. Ketika kita sambut raya. Lainnya semua keletihan, kepenatan, keriuhan suara anak-anak, ipar duai, anak buah, keriau sana keriau sini, fikiran turut keletihan. Inilah cara kita berhari raya. Lain padang lain belalang. Jangan nak samakan adat orang beraya di kampung kita dengan kampung orang lain. Jangan anggap pelik pula. Itu baru kita tengok kampung kita beraya, belum tengok kampung di Bangladesh sana, atau di Madras sana, di Pakistani, di Iran, di Mosul, di Ankara, di Mesir dan di mana sahaja. Ada yang aman dan ada yang beraya dengan membawa senjata.
Lain padang lain belalang.
Nikmat keamanan yang kita rasai sekarang adalah nikmat yang Allah beri. Bukan nikmat dari kerajaan yang orang sanjung-sanjung sekarang. Jika ada beberapa negara yang tidak aman, maka kebanyakan negara dalam keadaan aman. Mereka juga menikmati keamanan dan kemakmuran seperti kita juga. Kalau kita anggap padang kita rumputnya subur menghijau, padang orang lain mungkin lebih dahsyat lagi kesuburannya, saujana mana memandang. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment