ORANG kata ini pun satu lagi ilmu hikmah. Biarlah mereka berpendapat begitu. Ilmu ini konon adalah ilmu linuwih yang diperoleh oleh seseorang daripada leluhur mereka. Maksudnya, ilmu itu dipelajari dari orang tua-tua dulu yang gemarkan ilmu begini, jika mereka tak suka ilmu macam ini tentu mereka tak tahu apa pun tentang kelinuwihan sesuatu ilmu.
Apa hebatnya ilmu yang satu ini?
Menurut sumber [yang belum tentu sahih] ilmu ini perlu dipelajari secara berperingkat-peringkat, tidak boleh dipelajari sekaligus. Tidak boleh buat macam mi segera. Bahaya kata mereka. Kalau tak kuat, seseorang itu boleh jadi gila dibuatnya.
Ia tergolong ilmu mistik.
Apa kelebihan ilmu Lasatghaib ini? Menurut yang empunya ilmu, dengan mengamalkan ilmu ini anda akan dapat tengok makhluk jin.
Inilah salah satu keseronokan manusia kalau dapat ilmu mistik. Mereka paling suka kalau dapat tengok jin. Kalau dapat jumpa jin perempuan lagilah mereka suka.
Akan tetapi yang empunya ilmu Lasatghaib ini bukan kerana hendak jumpa jin perempuan, dia gunakan ilmu ini semata-mata untuk mencari sumber kekayaan, kalau boleh tarik harta karun. Jadi, Lasatghaib bolehlah dikategorikan sebagai ilmu persugihan.
Apa faedahnya dapat tengok alam jin? Kata mereka seronok, sebab mereka boleh memasuki dunia yang pelik tetapi benar.
Misalnya, dalam ekspedisi mistik di sebuah pulau tak ada orang, ketuanya yang amal ilmu Lasatghaib kata dia ingin berjumpa Si Raja Jin. Bagaimana dia tahu raja jin ada di situ? Itu ada sebahagian daripada ilmu yang dipelajari dari leluhurnya dulu.
Pemilik ilmu tinggal membacakan suatu mantera dan kemudian sapukan ke mata kedua belah, maka terjadilah pembukaan hijab mistik ghaib, iaitu jendela dunia jin sahaja. Ghaib tidak meliputi semua keghaiban. Ia hanya sebatas dunia jin di pulau itu sahaja. Kena ingat tu, ia bukan ilmu ghaib dalam pengertian yang sebenar. Ia ghaib secara bahasa mistik mereka sahaja.
Sesiapa yang ikut ke pulau itu pun kena usap mata mereka agar dapat melihat sebuah pulau milik jin.
Mantera apa yang dia baca? Dia membacas mantera Lautkemang, sebuah mantera khusus untuk melihat makhluk halus di situ.
Setelah dibacakan mantera dan diusapkan mata kedua belah, maka terjadi perubahan dalam penglihatan mereka. Keadaan jadi semacam nanar, alam sekitar berubah, pokok-pokok jadi keputihan macam disembur dengan cat.
Kemudian dapat pula melihat makhluk halus itu, oh, bentuknya kecil, macam orang kenit, berkepala botak licin. Bilangannya tak terkira. Ada di mana-mana di pulau itu.
Untuk pengembaraan pelik itu ada lima paranormal dan pak dukun yang tahu ilmu begini. Dialah yang mengatur rancangan untuk bertemu Raja Jin.
Mereka sudah tahu persembahan apakah yang sesuai untuk raja di pulau misteri itu. Ya, raja di situ hanya inginkan "ufti" berupa wangi-wangian, bawaklah apa sahaja wangian terbaru dan paling mahal, pasti dia tertawa gembira.
Konon dengan menghidu wangian itu, jangka hayat makhluk itu akan berpanjangan lagi. Setelah duduk mengadap Raja Jin, mereka berbual-bual dan menyatakan hajatnya. Raja Jin tidak marah pun, tidak ketawa terbahak-bahak atau menunjukkan wajah bengisnya.
Raja Jin suka hati didatangi manusia biasa dari alam yang berbeza, alam yang pokoknya berdaun hijau, sedangkan di alam jin di pulau itu pokoknya berdaun putih.
Ketika lima orang itu hendak tinggalkan istana Raja Jin, mereka dihadiahkan emas, emas dari dunia jin. Inilah matlamat sebenar orang bertemu Raja Jin di pulau itu. Tidak diketahui apakah Raja Jin itu memiliki bongkah emas lagi di pulau berkenaan? Kalau ada tentu orang yang sama yang jenguk lagi, bawa minyak wangi mahal-mahal dan duduk bersila depan Raja Jin. Mungkin ada perjanjian sulit. Agaknya, Raja Jin itu kata, "Aku bagi engkau sekali ini sahaja, lain kali jangan datang kalau nak benda ini, kamu datang aku telan kamu semua, jangan harap nak balik. Aku jadikan kamu orang kenit, kepala botak, kamu semua mahu?"
Sudah tentu mereka geleng kepala. "Tak mahu!"
Dikhabarkan, kumpulan orang berilmu linuwih itu sudah jadi orang kaya setelah berjumpa Raja Jin. Sayangnya, ilmu ini terlalu rahsia. Jangan harap mereka nak bagi tahu apa bacaan manteranya dan bagaimana nak beramal dengan ilmu itu.
Bagi mereka, lebih baik jangan diajarkan kepada sesiapa. Sebabnya, ia akan menyebabkan seseorang itu belajar ilmu Lasatghaib semata-mata untuk dapatkan benda-benda berharga seperti itu daripada makhluk jin.
Dia pun tak cerita, apakah jin bagi benda berharga itu percuma sahaja selain hadiah minyak wangi yang dibawa? Tentu ada bisikan ghaib yang orang tak faham.
Kata yang empunya cerita, ilmu ini adalah salah satu ilmu persugihan, tetapi sudah dilupakan orang. Hanya tinggal orang tertentu sahaja yang tahu, itupun mereka merahsiakan. Atau mereka harapkan ilmu ini pupus setelah mereka tiada. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment