DI SEBUAH NEGERI khabarnya kebanyakan penduduknya mabuk kepada kemasyhuran. Maka di negeri itu kerap diadakan sayembara. Berbagai sayembara diadakan setiap tahun. Untungnya para pengatur program ini mendapat wang yang banyak kerana ada sahaja orang perseorangan, syarikat terkenal sanggup menjadi penaja. Semua ini gara-gara program itu dipayungi oleh seseorang yang juga terkenal dan dipandang hebat di dalam negeri itu. Maka rakyat yang hina dina, semuanya ingin mengadu nasib untuk sayembara begitu.
Teringat pula pada kisah Gangnam di Korea itu yang menjadi kegilaan anak muda dan tua tak sedar diri di seluruh dunia. Semuanya suka kepada tarian tak tentu arah itu. Padahal menurut kisah, orang yang memulakan tarian Gangnam itu dia hanya hendak menyindir golongan bangsawan dan kaya raya di Korea yang gemar mengadakan sayembara khusus untuk para perawan Korea. Disuruhnya melakukan tindakan yang berbau ekstrim dan tidak wajar kerana mereka itu para perawan ayu, tetapi hakikatnya, para perawan itu hanya mahu mengejar ketenaran, kemasyhuran, dihidangkan kemewahan, wang ringgit atau dollar Amerika, dihidangkan tempat tinggal yang serba hebat, dan yang penting, para perawan itu akan menjadi hidangan golongan lelaki kaya.
Di sebuah negeri juga khabarnya ada perebutan seperti ini tetapi dibuat secara senyap-senyap. Seseorang yang mahu menyertai sayembara itu perlu menyertai apa sahaja sayembara seperti Akademi Bintang Pesona, Akademi Suara Gedik, Akademi Terunakini, pendeknya semua perkara adalah fokus kepada lantai dunia hiburan. Jadi, di antara syarat untuk menyertai universiti yang serba aduhai ini, anda perlu pandai menyanyi, menari, ada gaya, ada rupa, kalau lelaki ya tampan, kalau perempuan ya perawan yang keayuannya menyerlah dan mempesona hingga tak ada perkataan untuk menceritakannya kecuali melihat gambar. Sayangnya foto-foto perawan gedik seperti ini haram dilihat, dirakamkan dan disimpan, apalagi nak disiarkan dalam media mana pun.
Sesiapa yang dapat masuk ke akademi [statusnya lebih hebat dari universiti yang ada di negara kita] maka para pelajarnya secara atomatik akan menjadi selebriti dikenali. Wartawan akhbar utamanya tidak malu-malu menggelar semua pelajar itu sebagai selebriti. Dan entah dasar apa patukan rujukan yang mereka pakai, maka semuanya layak jadi selebriti, layak diberikan anugerah, layak diusung ke sana-sini untuk bikin show, kemudian diberikan anugerah hebat-hebat, dijadikan duta produk itu dan ini, gambarnya terpampang di tepi jalan, bayangkan sebesar-besar billboard: UNTUK BERGAYA GUNAKAN...[hentamlah apa produk pun].
Itu satu hal. Sayembara di dunia hiburan memang meriah. Tidak ada kemeriahan dalam dunia umat selain kemeriahan meraikan kemuncak sayembara itu. Hadiah lumayan, hebat, perkasa, pendeknya daripada pelajar biasa yang ala kadar, apabila masuk ke situ, dek kerana dapat solekan lembut, yang lelaki rambutnya diset terpacak macam duri landak, yang perempuan pula diset menurut acuan jurumekapnya, maka dalam bab ini semuanya langsung tidak peduli dan tidak mahu merujuk pun kepada dua rujukan utama dalam Islam. Semuanya menggunakan akal masing-masing, ikut trend, dan para pengeluar produk berlumba-lumba melariskan barangan ketika sayembara menuju ke puncak.
Bayangkan berapa tempayan air mata dicurahkan oleh para ibu dan bapa yang hampa kerana anak gadisnya, atau anak terunanya yang berbakat tidak dapat menyertai sayembara.
"Jangan bimbang, anda bukan tidak berbakat, tetapi ada orang lain yang mengatasi anda, cuba lagi tahun depan," begitulah nasihat yang diberikan oleh jurubicara lelaki yang tergedik-gedik bagai wanita.Itu baru peringkat pemilihan sudah bertangis-tangisan.
Selain menyertai sayembara, untuk mencari kemasyhuran, seseorang perlu merancang sesuatu yang lain dari yang lain. Seandainya kita menyemak catatan masa silam, ada yang sanggup berenang di sebuah selat untuk mendapatkan pengiktirafan dan sanjungan. Ada yang sanggup belayar di tengah lautan. Ada yang sanggup pergi ke hujung dunia. Ada yang sanggup menyelam dalam air dan tidak timbul-timbul sehingga sekarang [maka juri dan panitia pun jemu menunggu kerana dek terlalu lama, sedangkan hadiah tidak dapat disampaikan kerana peserta paling lama menyelam itu sejak tahun 2001 sampai sekarang 2012 belum timbul].
Ada yang sanggup berjalan kaki dengan membawa bendera negara itu dan gambar pemimpinnya. Untuk dapatkan pengiktirafan dan sanjungan media, dia perlu menyatakan hasratnya untuk bertemu pemimpin besar negara itu. Ini lebih mudah untuk mendapatkan kemasyhuran. Atau ada yang sanggup kayuh sampan, kayuh basikal, semata-mata hendak mencari ketenaran. Janganlah anda mimpi dengan kayuh basikal seorang diri, bawa bendera negeri, anda akan masyhur kalau anda tidak ada matlamat nak tuju dataran, nak tuju istana atau nak tuju bangunan tertentu ketika ada upacara besar kenegaraan.
Bukan tidak ada orang kata kalau nak cari kemasyhuran, jadilah artis atau jadi penjenayah yang dikehendaki. Ya, sayembara nyanyian yang disebut di atas tadi adalah langkah-langkah untuk menjadi masyhur. Atau buatlah lirik lagu yang lain macam, cedok melodi orang lain, merapulah dan keluarkan dalam YouTube. Berapa orang klik? Wah, kalau sampai mencecah ratusan ribu, maka orang itu sudah masyhur. Kalau guru di kampung pun sudah ada angan-angan nak jadi selebriti juga, buat filem, buat drama, dan bayangkan. Proses untuk membuat sesuatu bukan macam buat benda kemasyhuran dalam YouTube itu. Kena ada perancangan. Ketika filem atau drama nak dibuat, semua kemasyhuran itu sudah membeku, orang tak ingat lagi. Tetapi, untuk jadi penjenayah ia bukan lagi kemasyhuran tetapi keterpurukan nama sepanjang hayat, lainlah kalau seseorang itu difitnah, keadaan jadi lain.
Sebenarnya kemasyhuran ini akan membunuh diri sendiri. Perwatakan dalam diri dan luar diri akan berubah dengan adanya kemasyhuran. Apalagi kalau setakat berjaya merentasi Lautan Atlantik dengan rakit batang pisang dia diberi gelaran hebat oleh pembesar negeri. Maka, nilai kebesaran itu sama sahaja tarafnya dengan rakit batang pisang itu. Disondol jerung habis berkecai.
Orang sekarang seolah-olah ingin kemasyhuran. Merasa seronok dan hebat kalau nama disebut-sebut, nama sering diundang, dipaparkan, diraikan, diminta mentas untuk menunjukkan bakat yang terbenam sekian lama. Kemasyhuran ini rupa-rupanya boleh merosakkan peribadi seseorang. Betapa tidak berbagai penyakit akan hinggap dalam diri, entah penyakit riyak, kesombongan, lupa diri dan cenderung kepada kemaksiatan.
Sayembara sebenarnya sudah lama wujud dalam wadah budaya sebelah nusantara. Sayembara kerbau di Sumatera dulu, antara kerbau Sumatera dengan kerbau Jawa melahirkan bahan lucu asal muasal nama Minangkabau. Begitu kisah di sebalik Tangkuban Perahu, Candi Prambanan, dan kisah anak Ratu Kidul yang tak reti bahasa itu. Semuanya ada sayembara.
Orang sekarang tak sebut sayembara lagi. Dulu Dewan Bahasa dan Pustaka adakan sayembara mengarang cerpen, sayembara novel, sayembara puisi dan entah apa lagi. Perkataan "kuno" ini sekarang sudah bertukar rupa dengan menggugurkan nama sayembara atau pertandingan. Maka digunakanlah kalimat yang hebat-hebat seumpama MAHARAJA BERUK, RATU MONYET, JAGUH SIAMANG, JUARA MENTADAK dan macam-macam lagi. Semuanya hendakkan hadiah meskipun hanya kepingan logam tak berharga, atau kayu diukir berbentuk patung makhluk hidup [jangan simpan dalam rumah, elok buang sahaja dalam tong sampah].
Kini, di negeri yang diceritakan ini, penduduknya masih suka mencari kemasyhuran. Diadakan macam-macam sayembara. Paling tidak suara buruk merbuk, suara kucing, suara cengkerik, suara belalang, suara nyamuk,suara langau, suara katak, desisan ular, lumba kura-kura [jangan ajak arnab nanti pasti kura-kura menang], atau paling tidak mancing keli afrika terbesar, mancing jerung, mancing paus, mancing ular, termasuk mancing gadis genit.
Akhirnya, akhbar dan majalah di negeri itu tidak ada cerita lain, mereka semua seronok membaca biodata para peserta sayembara, hinggakan makanan kegemaran peserta pun orang nak ambil tahu. Seperti orang baca data-data kuda dan jokeynya untuk lumba kuda esok di Sungai Besi. Padang lembut, padang basah, padang kering, race 2, race 3, nama kuda, nama jokey dan pemilik pun nak tahu. Study bang jangan tak study, betul-betul khusyuk sebab esok nak "mengundi" kuda mana yang hebat. Begitulah sayembara pun, kerana ada Khidmat Pesanan Ringkas [SMS] yang tak ikut sayembara pun berhempas-hempas hingga ada yang meleleh air mata. Begitulah hebatnya rakyat di negeri itu meraikan apa yang dinamakan sebagai sayembara. []
No comments:
Post a Comment