Sunday, 2 December 2012

RASA GERAM PUN ADA, KENAPA?

TADI pagi minggu macam biasa, kami berada di bilik Anggerik, ibu pejabat Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur kerana ada kuliah kecil dari dua ustaz, Ustaz Zainuddin dan Ustaz Shauki [blognya pun ada], ustaz pertama bicara tentang neraka sementara ustaz kedua fokus kepada Furu' Masail. Bilangan kaum wanita termasuk saudara baru hampir 50 orang, sementara kaum lelaki ada 5 orang sahaja. Apa tak tahunya, senarai ada depan meja. Apa nak malu. Memang beginilah kalau ada majlis ilmu. Di masjid atau surau pun sama juga. Ada 18 orang termasuk pentazkirah, kekadang ada 10 orang sahaja. Jangan bandingkan dengan ceramah Ustaz Azhar Idrus, sampai pasang kanopi dan tikar lagi [macam di sebuah masjid di Jalan Gombak tidak lama dulu]. Menariknya, Ustaz Zainuddin yang turut membawa buku terbarunya tentang MORSI pemimpin Mesir itu. Manuskrip buku itu mencatatkan setakat bulan September 2012, jadi jangan ada sesiapa yang mengharapkan bahan terkini. Buku tak sama dengan akhbar harian. Biasalah, selain ada wacana ilmu ada juga sesi soal jawab tentang apa sahaja, macam Tanyalah Ustaz di televisyen, lagipun Ustaz Shauki pun biasa muncul dalam program Tv.
Menyentuh tentang program Tv, bukan tidak ada para penganjur program ceramah, Forum Perdana dan macam-macam yang iklankan, ustaz sekian dan sekian akan memberi ceramah, kalau ustaz biasa muncul dalam program Tv, maka iklan yang terpampang di pagar masjid adalah penceramah Tv sekian-sekian, atau program Tanyalah Ustaz. Kalau Imam Muda yang diundang, maka imam masjid atau surau iklankan bahawa imam berkenaan akan datang ke masjid, ada kuliah maghrib. Datanglah. Jangan fikir kalau ada hebahan begitu orang akan datang, nampaknya orang tidak peduli sama ada yang nak bagi ceramah itu Imam Muda atau Imam Tua. Tak jadi apa. Pasang iklan atau tidak, sama sahaja [ini merujuk sebuah masjid di Jalan Gombak]. Agaknya kalau orang kata penyanyi terkenal akan sampaikan kuliah Subuh barulah orang nak dengar, tak mandi pagi pun sanggup panjat tangga masjid. Bukan majlis ilmu itu, tetapi nak tengok apa fesyen pakaian artis itu, atau sahaja nak bersalaman. Inilah impak yang tak baik di kalangan masyarakat kita. Kenapa, apabila seseorang itu namanya gah dalam bidang hiburan baharulah mampu menarik massa? Pihak masjid pun bukan tidak pernah cuba iklankan sekali, lepas tazkirah ada jamuan. Itupun tak menjadi, setakat jamuan sahaja. Agaknya nak kena sebut jamuan apa, sebutkan menunya sekali. Akan tetapi sudah jadi cerita lain pula, awak nak ke majlis ilmu atau nak makan?

BAB MAKAN
Kenapa melalut sampai bab makan? Yalah, setiap minggu apabila ada kuliah [sebenarnya banyak kuliah pada hari ini, baik untuk saudara baru dari Afrika, dari negara luar pun ada, tetapi bilangannya kecil]. Setiap pukul 12.00 lebih, pihak Perkim ada menyediakan makanan untuk semua yang belajar di Perkim. Makanan juga disediakan untuk orang-orang gelandangan. Entah macam mana hari ini, ramai sungguh, hinggalah petugas Pak Daniel, seorang saudara baru mengarahkan orang yang berpusu-pusu itu agar jangan berebutan untuk mendapatkan makanan. Bayangkan. Apabila bilangannya luar biasa sedikit daripada biasa, bimbang makanan yang khusus untuk pelajar Perkim tidak cukup. Maka orang gelandangan tertentu sahaja yang dapat nasi yang disediakan. Kenapa boleh ramai begitu?
Mungkin antara puncanya:
[1].Di kawasan Chow Kit tidak ada van bawa makanan seperti kebiasaan.
[2].Ibu pejabat PAS di Jalan Raja Laut juga tidak beroperasi hari minggu.
[3].Bantuan makanan juga mungkin tidak disediakan di sekitar Pasar Seni, Bangkok Bank atau dekat Kota Raya.
Sudahnya, mereka yang kelaparan itu datang ke Perkim kerana mereka tahu, inilah sahaja harapan akhir.
Kenapa saya sengaja masukkan cerita makan ini dalam blog? Ya, bayangkan, ketika ada orang yang merebut tender projek besar sampai mengaut keuntungan ratusan atau ribuan juta, ada yang hidup bergelumang dengan kemewahan kerana status bangsawan, anak-anak bangsawan dilayan begitu istimewa hingga makan dan minumnya guna sudu dan garfu "emas", tetapi ada sekelompok orang gelandangan di Kuala Lumpur, kota yang orang megahkan, kebetulan pejabat Perkim ini dekat sahaja dengan PWTC, sedangkan semalam puak-puak Umno baru habis bersidang dengan penuh harapan, ia menjadi parti yang membela rakyat, kenapa di Perkim pada tengahari ini keadaan begitu "kecoh" gara-gara tak cukup makanan untuk diagihkan kepada orang-orang yang kelaparan?
Penulis rasa sedih memandang episod begitu apabila mengenangkan, para pembesar negara menggerogoti kekayaan ekonomi negara. Terlalu emosional saya hingga kepada ustaz penceramah pun saya luahkan perasaan jengkel saya terhadap ketidakadilan sosial, kehidupan masyarakat gelandangan [Melayu kebanyakannya] tidak terbela.
Sanggupkah kita mendengar para orator hebat itu berbicara di dewan yang dingin dengan tepukan gemuruh, gelak tawa para pemimpin yang hidup mewah, sedangkan di tepi Jalan Ipoh, dekat PWTC ada orang yang kelaparan menagih nasi bungkus? Perkim memang telah melakukan sesuatu yang terdaya, lagipun makanan yang ada adalah untuk para pelajar di Perkim, hanya kebetulan jika ada lebihan baharulah diberikan kepada mereka yang meminta-minta itu.
Terfikir juga, apa yang hendak dibanggakan kalau orang itu dapat tender projek pasang kamera perangkap kelajuan, orang itu dapat tender baiki jalan, orang itu dapat tender besar-besar sedangkan ada orang yang kelaparan di sudut kota. Itu untuk makan tengah hari. Bagaimana makan petang dan malam? Jadi, kita jangan marah kalau mereka naik jadi pencopet, jadi penipu, jadi peragut, jadi pengutip makanan terbuang, pengutip makanan di kedai KFC atau MacDonald [ada orang yang masuk ke situ order air sahaja, apabila ada sisa orang makan macam kentang goreng atau ayam goreng tak habis, mereka ambil --- ini perkara benar].
Bayangkan, ketika kita sibuk hendak mengutip derma membantu orang luar negeri, maka jenguklah di sudut kota kita yang kita megahkan. Tidak ada gunanya kita cakap berdegar-degar penuh semangat nak membela bangsa dan sebagainya, janganlah. Itu lakonan kerana ada kamera Tv yang berputaran di sekitar. Dan jurufoto akhbar pun mengada-ngada mengambil sudut yang konon amat menarik, lelaki tua menangis kerana bimbang Umno kehilangan kuasa, atau para perwakilan melopong mulut mendengar celoteh perwakilan yang seronok melihat orang lain tertawa mendengar celotehnya. Sepatutnya dalam persidangan itu, turut diundang wakil dari para gelandangan. Tak perlu pakai songkok dan samping, pakai macam biasa sebagai gelandangan. Ini tidak, kita lebih muliakan kaum artis, kaum penyanyi, kaum pemuzik yang ajaran agama kita menolak kehadiran mereka.
Memang sejak dulu lagi dalam blog, saya lebih gemar menulis tentang orang gelandangan. Bayangkan, ketika musim hujan ini. Di mana mereka tidur? Orang yang kaya megah cerita sewa hotel seratus bintang, cerita tentang beg tangan, kasut, lipstik [bertudung], jam tangan, rantai leher dan apa sahaja aksesori kemegahan belum masuk bab komunikasi moden, telefon pintar[istilah sebenar telefon bodoh -- kalau anda tak usik ia bodoh sampai bila-bilapun dan tak akan pintar]. Mereka tidur di kaki lima kedai, lorong-lorong [itupun dengan zalimnya, belakang kedai pun sudah dipagar, tak dibenarkan lepak di situ], mereka kena cari jejatas yang tak ada lampu [bayangkan nyamuk], atau tidur dalam kolong besar [ini cerita kawan saya yang kini berada di Brisbane, Australia. Dia pernah tidur dalam kolong kerana tak ada tempat tinggal. Di Australia dia hidup senang, kerajaan Australia bagi dia duit, dalam setahun katanya dia boleh dapat RM120,000. Di negara kita yang kita megahkan, boleh dapat banyak ini? Itu sebab dia merajuk dan tinggal di Brisbane. Terbaru dia baru balik dari makan angin, naik kapal pesiaran mewah ke Lautan Pasifik].
Nasib orang gelandangan di negara kita memang terbiar, hidup terlonta-lonta, banyak fitnah tentang mereka. Kalau ada kecurian mereka yang dituduh. Pecah kereta pun mereka juga. Besi penutup longkang hilang pun mereka. Habis mereka pun nak makan. Kita sembang fasal makanan restoran rakyat 1Malaysia yang murah, tetapi orang gelandangan tak layak makan di situ, warung di lorong itu jauh lebih murah.
Kadang-kadang ada orang suka jika bilangan gelandangan bertambah di KL. Sebabnya, kalau ada program bersama pemimpin, maka sibuklah, kamera Tv dan wartawan fokus kepada cerita, memberi sumbangan kepadas golongan gelandangan, bagi bantal, bagi selimut, bagi makanan dan minuman, pendeknya layanan istimewa, Tv pun siarkan acara itu. Wah, hebat. Dah dapat bantal dan selimut itu, ke mana mereka nak usung? Bukankah masalah utama mereka tidak ada tempat tinggal meskipun sebuah bilik sekecil bilik air pun! Inilah yang orang kaya tak perfnah fikir. Mereka hanya tahu berkata, orang-orang ini pemalas! Ya, anda berani cakap begitu kerana anda CEO hebat, gaji puluhan ribu sampai tak wajar, tetapi semua itu lantikan, dan payungan dari kroni, tanpa payungan itu, tak usah haraplah nak berlagak berlibur di malam minggu di kelab atau cafe eksklusif tertentu. Cuba anda jenguk laman akhbar Inggeris kita yang masih ghairah siarkan, para orang kaya, kenamaan, bangsawan, kerabat meraikan majlis-majlis tertentu. Banyak gambar yang menjolok mata, tidak menggambarkan mereka itu golongan Islam, lebih ditonjolkan budaya hedonisme! Kalau bergambar dengar orang kedutaan, terutama kerabat, bukan main hebat, macamlah dunia ini mereka punya.
Jadi kenapa kita jadi geram tadi di Perkim? Sebab orang gelandangan tak dapat makanan, bekalan tidak cukup. Perkara ini berlaku dekat PWTC tempat orang bersidang semalam. Huha-huha tentang menolong rakyat, ada juga rakyat yang terbiar. Apabila media paparkan masalah mereka, satu operasi besar-besaran dibuat, ringkus semua orang gelandangan. Malu, kota besar seperti KL masih ada orang gelandangan begitu. Malu, kan kita negara kaya, negara hebat? Kalau ada sesiapa tanya para gelandangan, mereka akan dapat berbagai kisah sedih yang media tak pernah paparkan. Percayalah! []

No comments:

Post a Comment