Friday, 21 December 2012

SYIAH DILIHAT DARI LUAR

MUNGKIN ada  orang kata Syiah sudah berkembang biak di negara ini sejak kejayaan Revolusi Islam Iran. Sokongan kepada  revolusi itu pada mulanya kerana umat memandang hanya itulah satu-satunya negara yang berani berhadapan dengan Amerika Syarikat. Ada lagi negara yang berani melawan Amerika iaitu Libya dan Iraq. Kini Libya dan Iraq tidak menjadi masalah kepaa Amerika, cuma Iranlah satu-satunya negara pemberani yang masih lantang mengkritik Amerika.
Lain-lain negara yang bukan sekutunya tidak berani lantang seperti Iran.
Salah satu "produk" yang membimbangkan kalangan umat yang disebarkan ke merata negara luar adalah pegangan agama Syiah. Apakah hendak dipanggil agama kerana ia hanya berupa keyakinan yang dipusakai sejak turun-temurun - Ali bin Abi Thalib menjadi tokoh bagi segala-galanya.
Saya gunakan tajuk seperti di atas kerana umumnya kita bukan penganut ajaran Syiah. Rakan-rakan saya yang menyertai Syiah pun asalnya mengikut Ahlu Sunnah wal Jamaah[ASWJ], jika sejak remaja mengamalkannya, kemudian ketika sudah berumur lanjut baru nak tukar ikutan kepada Syiah,ia tidak menepati cara Syiah yang sebenar. Ia umpama orang memakai jubah atau serban, kalau seseorang itu mahu menampilkan dirinya sebagai Syiah, memang tidak akan kelihatan pun. Mungkin kalau mereka berpakaian secara para Mullah di Iran sana baharulah kita boleh agak, "Oh dia ikut Syiah!"
Rakan saya seorang habib yang menyertai Syiah, saya tak nampak apa perbezaannya antara orang Sunni dan Syiah. Dia solat juga di masjid Jamek LRT Kuala Lumpur. Hanya saya tak peduli dia bawa batu Karbala atau batu yang dia kutip di tepi jalan. Jika ditanya tentulah sensitif.
Bagi saya, rakan ini menyertai Syiah kerana dia berketurunan para habib. Kalangan habib di Indonesia pun banyak yang menyertai Syiah, bukan kerana apa, ya kerana ahlul baitnya. Kebanggaan Syiah adalah kerana mereka mendakwa sebagai ahlul bait. Siapa yang tidak bangga menjadi ahlul bait, kalau boleh seseorang yang bukan ahlul bait pun mahu disambungkan ke situ. Bahkan ada sebuah buku yang mengatakan bahawa golongan diraja di bumi Nusantara ini semuanya ahlul bait belaka. Mungkin ia perlu bahasan lebih lanjut.
Disebabkan saya melibat Syiah dari jauh, maksudnya, saya bukan orang Syiah. Saya hanya mendengar sedikit sahaja perkhabaran tentang Syiah. Merujuk kepada teks sahaja.
Akan tetapi ketakutan orang luar terhadap Syiah tentu ada alasannya. Mereka pertama-tamanya bukan melihat kehebtan Syiah yang telah berupaya menguasai Iran dari pegangan monarki kebal yang didukungi Amerika.
Dari luar kita kena berpaksi kepada al-Qur'an. Kita membaca al-Qur'an, cuba mentaddaburi al-Qur'an semampu mungkin. Sedangkan kalangan Syiah bagaimana? Bukankah sudah popular mengatakan Syiah memiliki mushafnya sendiri yang dipanggil Mushaf Fatimah. Mushaf ini pun tak ada sesiapa yang pernah melihat termasuk para Mullah di Qom, Iran. Ia seperti perkhabaran ghaib yang serba fiksyen.
Walaupun di depan kalangan ahlus sunnah mereka akan kata, oh saya baca al-Qur'an seperti yang anda baca. Susahnya, dalam Syiah, ada banyak cabang dan rantingnya, negeri Iran yang luas itu yang kebetulan lokasi agama Majusi yang menyembah api, maka ajaran nenek moyang itu telah membentuk kepelbagaian ajaran meski atas nama Syiah.
Tidak banyak yang kita tahu tentang Syiah Imamiah itu yang berpaksikan kepada 12 Imam, jika disenaraikan imam itu bermula daripada Ali bin Abi Thalib. Mereka membentuk rangkaian imam-imam mereka yang 12 orang. Tidak boleh lebih, kalau lebih itu penganut Syiah bukan Imamiah. Pecahan Syiah ini terlampau banyak. Mana satu rangkaiannya pun kita jadi pening memikirkan. Ia seperti rekaan semata-mata.
Kedudukan Imam 12 amat penting, dan keyakinan yang mereka ajarkan kepada orang baru yang ingin jadi Syiah agak tidak masuk akal juga. Bagaimana tidak masuk akal, ya kalau al-Qur'an itu sendiri sudah diragui.
Bukankah para sahabat terlibat dalam tugasan menyusun al-Qur'an yang dulunya berpencaran? Siapa para sahabat ini? Sedangkan dalam tradisi Syiah, mereka tak iktiraf langsung kedudukan sahabat meskipun mereka itu sudah dijanjikan syurga?
Semua bermula dari sini. Jika mereka menolak para sahabat, sedangkan para sahabat juga yang melakukan penyusunan al-Qur'an, dengan sendirinya mereka menolak al-Qur'an yang dikerjakan oleh para sahabat. Di antara ramai sahabat itu dia hanya suka kepada Miqdad, Abu Dzar dan Salman al-Farisi.
Mereka banyak mengkritik kedudukan para sahabat.Bahkan mereka mencela kesemua sahabat, isteri Nabi s.a.w. juga dihina begitu teruk sekali sehingga digolongkan sebagai kafirin!
Sanggupkan orang di luar kotak budaya Syiah, menerima Syiah setelah usia lanjut, dan mengubah segala keyakinan yang telah mantap? Saya tertarik kupasan Maulana Mohd Aasri [tahun 2005] ketika bentang kertas kerja mengenai Syiah di Kedah.
Apabila seorang Islam sudah meragui al-Qur'an, dengan apa lagi yang hendak dijadikan pegangan? Mahu tunggu Mushaf yang tidak wujud? Inilah bentuk pemikiran yang mencarik adat.
Kedudukan Imam 12 itu sendiri digambarkan begitu melampau-lampau. Keutamaan Imamiah ini terlalu unggul, bahkan "melebihi" keutamaan para Nabi dan Rasul!
Apabila mereka tidak iktiraf posisi para sahabat, maka dengan sendirinya mereka tak akan sudi membelek kitab-kitab hadis yang 6 [ash-Shihabus Sittah] itu. Mereka lebih yakin kepada al-Kafi yang mengandung 16,199 hadis Syiah.
Dan baru-baru ini saya memperoleh "bacaan" dari kelompok Syiah iaitu buku Dialog Sunnah Syiah[terbitan 1983, Mizan, Bandung, buku ini telah saya miliki sejak tahun 84 lagi], buku Meniti Titian Kebenaran [2008, susunan Khair Izzah], Inilah Al-Khulafa' ar-Rasyidin Rasul! [2011, Khair Izzah]. Khabarnya buku seperti ini diedarkan di kawasan Lembah Klang untuk melebarkan pengaruh hasil dari pembacaan.
Dalam buku mereka sedapat-dapatnya bab al-Qur'an yang begitu sensitif tidak akan diutamakan. Mereka hanya tumpu kepada soal para sahabat.
Kata Maulana, kelompok Syiah meminta sesiapa yang nak masuk Syiah kena baca syahadah, bacaan syahadahnya tidak sama seperi ASWJ, mereka membuat penambahan yang mengutamakan Imam mereka. Sama seperti ketika mereka azan. Kita di Malaysia belum pernah dengar bagaimana Syiah azan kerana mereka tidak ada masjid. Bayangkan kalau mereka sudah ada masjid, maka sebarang upacara, ritual keagamaan dan sambutan tentunya lebih rancak lagi.
Di Indonesia, menurut sumber Vivanews, mereka tidak berani buat masjid atau penempatan kaum Syiah, kerana ia akan mengundang bentrokan antara Sunni dan Syiah. Di Jawa sudah terjadi serang menyerang hanya kerana Syiah dan Sunni. Ketika mereka sedikit mereka kurang memberi kesan, apabila bilangannya sudah banyak, nescaya akan timbul ketegangan.
Tadi saya ada sebut kawan baik saya solat bawa batu Karbala. Mungkin dia pernah pergi melawat Iran dan menjenguk Karbala sekali. Karbala yang terletak di Irag kini sudah terbuka kepada orang Syiah.
Menziarahi Karbala lebih utama daripada Makkah dan Madinah. Itulah ajaran Imamiah. Jika kita berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, mereka berpegang kepada sunnah Imamiah mereka sahaja [jika tidak betul sila betulkan].
Kemudian Maulana Mohd Asri ada menyentuh tentang solat kaum Syiah, mereka solat tiga waktu. Ini mengingagtkan saya kepada adat orang Lombok solat tiga waktu juga. Mungkin mereka tiru dari ajaran Syiah.
Di negara kita apabila sebut Syiah kita selalu singgung nikah mut'ah kerana inilah bab yang paling digemari oleh pengikutnya. Nikah mut'ah ini sudah biasa diceritakan orang mengenai peri buruknya pernikahan cara ini, termasuk boleh nikah dengan kanak-kanak pun. mereka juga mengutamakan ziarah ke makam Hussain, pahalanya menyamai ratusan haji mabrur atau ratusan umrah. bayangkan, sesiapa yang nak pahala lebih kenalah join Syiah. Lawat makam di Karbala sana dan kemudian dapat pahala berganda.Agaknya dalam bab inilah puak Wahabi mahu menghancurkan makam yang ada, sebab puak-puak Syiah berlebihan dalam menanggapi sesbuah makam. Kalau dalam dunia Melayu Nusantara ia adalah makam keramat belaka. Kalau dilihat dari jauh, bangunan makam itu lebih hebat daripada masjid yang ada. Di negara kita bukan tidak ada makam yang dibina indah begitu melebihi masjid atau surau [di mana?].
Apabila mengingat perang Iran-Iraq, dan serangan tentera Bersekutu di bumi Iraq dulu, memang cukup cantik percaturan mereka. Iran gembira kerana Amerika Syarikat telah hapuskan Saddam Husein. Dengan orde baru di Iraq sekarang, Syiah dapat melakukan upacara yang gilang gemilang untuk sambutan 10 Muharam. Mereka bersukaria, memukul badan, melumur darah, dan kalau orang luar lihat mereka, akhirnya ada yang buat kesimpulan, "Sungguh pelik umat islam ini, melakukan ritual yang memudaratkan diri sendiri, pukul badan, merintih, meraung bagai orang kerasukan!"
Akhirnya bagi orang yang tak faham, mereka fikir itulah bentuk Islam yang sebenar. Sedangkan di kalangan ASWJ mereka tak pernah buat kerja karut itu. Di Sumatera barat ada perayaan membawa tabut. Jadi jangan hairan, ajaran Syiah di luar Iran akan jadi bermacam-macam. Itu belum lagi Syiah luaran iaitu mereka yang baru masuk Syiah. Mereka tetap mendakwa bahawa mereka Islam juga, Islam Syiah.
Maulana Mohd Asri juga ada menyebut tentang cerita dongeng Syiah yang dikaitkan dengan Nabi Ayub, Nabi Yunus, Nabi Adam yang semuanya diuji. Kenapa mereka diuji, sebabnya mereka tidak meyakini Imam 12. Adam a.s. diusir dari syurga juga kerana dia dikatakan dengki kepada Imam 12. Nabi Yunus a.s. berada dalam perut ikan kerana dia menolak Imam 12. Begitu juga cerita Nabi Nuh juga dikaitkan dengan Imam 12.
Nak mudah dan hendak selamat, ikutlah dan yakini Imam 12. Kedudukan Imam Ali itu lebih utama dari yang lain.
Pendeknya, sebagai orang luar, kita lihat Syiah dari jauh. Kalau kita baca teks kitab mereka baharulah kita tahu penyimpangan dan penyelewengan ajaran mereka. Mujur juga mereka ada teks. Teks itu yang membolehkan kita tahu di mana yang tidak betul. Sebenarnya cerita tentang Syiah ini cukup banyak dan hebat. Hanya bagi yang melihat dari jauh, lihatlah dari jauh sahaja dan tak perlu memasuki pintunya, dengan syahadahnya dengan keyakinannya sehingga kita menjadi seorang Syiah. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment