DULU orang tidak kisah pun dengan perkataan liwat. Ia disebut apabila membicarakan tentang umat Nabi Luth a.s. Akan tetapi, sejak perkataan ini dipopularkan oleh media perdana kita, saban hari Tv memaparkan keperihalan liwat, maka rasa ingin tahu anak-anak remaja kepada istilah itu menyebabkan ada di kalangan mereka menyelidik secara diam-diam. Perlakuan pendam ini rupa-rupanya memberi kesan buruk. Pengaruh media di negara kita bukan hendak membanteras kemungkaran, sebaliknya membiakkan kemaksiatan itu. Kini kita memetik buah ranum dari pokok fitnah liwat itu sehingga orang ketakutan dengan LGBT [lesbian, gay, biseksual dan transgender].
Media kita terutama untuk edisi hari Ahad pun seronok membicarakan perkara ini kerana ia disukai oleh para wartawan muda yang menyamar memasuki dewan-dewan di mana ada makhluk LGBT untuk ditemuramah dan dicungkil apa rahsianya. Kemungkinan kemesraan antara kelompok ini menyebabkan cerita dalaman pun boleh diselongkar habis. Berbagai skandal dipaparkan setelah berlaku penyamaran demi penyamaran. Untuk mencungkil rahsia gay mereka kena menyamar seolah-olah suka kepada kelompok gay. Untuk mencungkil rahsia lesbi mereka pun menyamar seolah-olah mereka juga kelompok lesbi. Begitulah untuk mencari rahsia tersembunyi kelompok yang lain. Dibimbangi dalam perkara penyamaran ini, ada penyamaran yang merosakkan, dari mencuba-cuba memasuki ruangan mereka, langsung "ketagih" maklum ramai kawan, termasuk kalangan profesional, orang-orang hebat, bahkan mungkin ada dari kelompok VIP pun.
LGBT BUDAYA KITA
Fathul Bari Mat Jahaya, Ustaz muda yang menjadi jurubicara kelompok tertentu umpamanya ketika diminta mengulas tentang LGBT yang sudah membudaya dalam masyarakat kita hanya berkata,
"Mereka menuntut hak kebebasan yang menyokong gaya hidup songsang ini, ia tidak boleh dipraktikkan di negara yang berpaksikan Islam." [Metro Ahad, 23 September 2012].
Ustaz ini yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, juga berkata bahawa golongan LGBT ini semakin berani berikutan ada PUAK TERTENTU yang menyokong gaya hidup bebas mereka itu. Fenomena ini cukup membimbangkan dan perlu dibendung bagi mengelakkan implikasi lebih teruk terhadap generasi muda terutama yang beragama Islam. Lalu beliau mengesyorkan agar kerajaan mengambil tindakan serius membanteras gejala ini, terutama wujudnya apa yang dikatakan sebagai parti liar LGBT seperti yang dilaporkan.
PUAK TERTENTU
Laporan akhbar juga sebenarnya hanya setakat laporan. Kalau tidak ada laporan dan pemberitaan maka fungsi akhbar itu tidak jadi nyata. Apa yang diulas di sini, siapakah yang dikatakan sebagai PUAK TERTENTU itu? Bukankah dalam media perdana selalu menuding ke arah saingannya dalam soal politik. Mereka menuduh pesaing dalam politiklah yang menyemarakkan LGBT. Kalau diamati baik-baik, ini seperti anda merancang buat kondomonium tepi bukit, setelah beberapa tahun kemudian anda marah kepada pemaju kondo itu, sedangkan anda juga terlibat meluluskan pembinaan kondo itu. Dalam kes LGBT, ada pihak yang telah mempopularkan LGBT dalam negara, memarakkannya dengan membenarkan aktiviti malam secara leluasa [dalam konteks ini DBKL banyak meluluskan permit dan lesen tertentu] kemudian pada waktu yang lain menyalahkan pihak yang tidak berkaitan apabila gejala sosial sudah merebak teruk. Peranan media, peranan aktiviti malam, peranan propaganda murahan tentang LGBT tidak diambilkira. Sampai kepada suatu peringkat, kelompok ini juga sibuk mengadakan semacam seminar, perhimpunan dan unjuk rasa anti LGBT. Entah ditujukan kepada siapa? Atau hanya kegiatan hujung minggu di samping meningkatkan nama NGO yang aktif dalam perjuangan itu.
MELAYU TAK SOPAN LAGI
LGBT dibenihkan sejak lama, terutama ketika pemecatan Sdr Anwar Ibrahim. Sejak itulah media ini meluncur dengan ganasnya membicarakan soal seks secara leluasa tanpa segan-segan. Istilah Melayu yang dikatakan bangsa bersopan santun dan beradat-istiadat sudah dirobohkan. Tidak ada kesantunan dan tidak ada adab lagi ketika itu. Semua fokus kepada soal seks yang dulu dijaga dengan penuh peradaban dalam soal pembicaraan. Akhirnya ia menjadi bahan fitnah yang melampau-lampau. Itu pada tahap pembenihan. Ia merangsang rasa ingin tahu golongan remaja. Bahkan memberikan kesan mendalam kepada remaja pendam yang ada rasa ingin tahu dan ingin merasai sesuatu yang dirasakan baru. Mereka mencari rakan sebaya yang sealiran nalurinya. Akhirnya, semua ini diterjemah dalam bentuk aksi pada malam-malam tertentu. Apabila sudah menjadi aktiviti malam minggu yang ghairah, ada pula pihak yang membentak-bentak, marah-marah kepada anak muda yang sudah ketagihan LGBT, mereka buat pesta, mereka berseronok dengan gaya mereka, kita katakan mereka buat pesta LIAR.
BENIH
Kita yang membenihkan keliaran ini pada tahap awal, apabila sudah jadi besar, kita pula yang marah-marah dan melahirkan rasa kecewa. Secara tidak langsung, inilah bahana daripada fitnah. Adanya pesta yang dikatakan sebagai liar itu adalah merupakan fitnah kepada umat. Memang sejak awal lagi tidak ada usaha membendungnya. Kita malah gembira dan tertawa kerana ada orang suka melakukan liwat. Kita megah membeberkan orang melakukan liwat dengan si fulan dan si fulan. Kita persendakan mereka, kita membabitkan dan menuduh secara serampangan di bawah dukungan politik kaum atasan. Semua orang memandang jijik, memandang hina kerana perlakuan keji itu, tetapi mereka tidak sedar, meskipun ia hanya berupa fitnah, ia telah melahirkan wabak yang akan "menyerang" umat pada masa 10 atau 20 tahun mendatang. Buktinya, setelah kita tinggalkan tahun 1997 dam 1998, kini kita pula membentak-bentak sebab ada serangan LGBT.
FITNAH DAN PURA-PURA
Ini adalah penyakit dalam diri kita sendiri. Kita yang membenihkan penyakit ini dan kemudian apabila sudah marak dan popular, kita mahu membanterasnya. Atau hanya kepura-puraan sahaja? Jika kita jujur, sedari awal lagi kita tidak akan mempopularkan budaya ini dengan segala macam fitnah yang ditabur melalui apa sahaja media. Penaburan fitnah yang leluasa pada masa lalu telah melahirkan pohon-pohon subur lesbi, gay, biseksual dan transgender. Jangan cuba menafikan kita yang membajai pohon itu kalau tidak adanya FITNAH melampau bagi membunuh karakter seseorang. Daripada kes liwat yang direka-reka itu kini telah membenihkan LGBT.
Percayalah, apa yang kita hadapi hari ini adalah bala yang ditimpakan ke atas umat yang lalai dengan bermacam fitnah. Kita cenderung kepada fitnah. Kita merelakannya, kita tidak berkata tidak, kita tidak menjauhinya bahkan kita tertawa, bertepuk tangan, setiap hari kita menyenangi bermacam fitnah, sedangkan pada masa yang sama kita menentang kemungkaran dan kita tahu pula menyebut semua itu bercanggah dengan Islam. Atau kita sebenarnya memang hanya tahu bercakap sahaja tentang kemungkaran tetapi tidak tahu bentuk-bentuk kemungkaran yang kita tidak suka itu?
POHON KEMUNGKARAN
Kini, apabila pohon kemungkaran sudah tumbuh subur di tengah kota metropolitan kita, kita tidak perlu resah dan gundah gulana. Kita sendiri yang menanamnya, kita sendiri yang memupuk, dibajai dengan baja yang terpilih dan mahal, kita sendiri yang membentuk masyarakat kita agar fokus kepada hiburan, muzik dan nyanyian adalah keutamaan kita. Rambu-rambu daripada hiburan yang melalaikan dan tidak berguna ini adalah suburnya pohon-pohon LGBT yang kita rungutkan. Amat malang, kalau kita hanya menyarankan kepada pemerintah membendung aktiviti yang dikatakan liar itu, sedangkan dulu siapa yang menabur benih dan menyuburkan aktiviti ini? Apabila telah subur dan meliar, ia menjadi sukar hendak membanteras. Pohon LGBT itu sendiri jika hendak ditebang, ia akan melalui berbagai tindak-tanduk protes, persoalan hak asasi dan soal kebebasan.
Hakikatnya, kita memang suka melihat LGBT subur. Dengan itu kita ada program yang memerlukan dana besar bernilai jutaan. Dengan adanya LGBT, ada kelompok boleh buat kerja, ada dana dan perjalanan aktiviti lancar. Panggillah orang tertentu untuk merasmikan dan melancarkan program. Buatlah hebat-hebat, misalnya, Kempen Kesedaran Membanteras LBGT seperti yang pernah diadakan dulu. Hasilnya? Kosong. Aktiviti LGBT tetap berlangsung. Ia bukan benda konkrit yang boleh dilihat depan mata, kalau tak mahu boleh dibuang. Ia bukan pohon dalam pengertian pokok perhiasan yang ditanam oleh DBKL di jalan-jalan utama. Ia sudah menjadi pohon yang tidak dapat dilihat dalam bentuk konkrit. Inilah masalahnya. Ulama muda tak akan dapat mengubah pohon itu kerana ia bukan pohon biasa. Siapa yang menanamnya dialah yang perlu mencabutnya. []
No comments:
Post a Comment