Saturday, 1 December 2012

PINTU GHAIB YANG DIGEMARI, APA DIA?

SESIAPA PUN yang mengamati minat masyarakat terhadap dunia mistik, maka keinginan untuk mengetuk, membuka, dan menggeledah rumah jin adalah sesuatu yang digemari dan dicita-citakan.
Berbagai usaha dilakukan oleh individu tertentu untuk mencari di mana ada "rumah" jin agar mudah mengetuk dan mendobrak pintunya, sekaligus berbicara dan berwacana dengan makhluk yang satu itu. Itulah keinginan manusia di mana-mana apabila masa lapang begitu lempang. Masa digunakan untuk mencari rumah yang tidak ketahuan.
Peliknya, dalam usaha mencari rumah makhluk yang tidak dapat dilihat itu, ada berbagai cerdik pandai dalam perbidangan ini yang mengesyorkan agar anda menggunakan sebuah ilmu yang mereka panggil sebagai ilmu hikmah.
Nah, dengan adanya ilmu hikmah ini, anda akan dapat mencari di mana lokasi rumah si fulan dan mengetuknya untuk berkawan atau mendapatkan tips sesuatu daripada puak yang berbeza dengan kita itu.
Justeru, berbagai sarana diperlukan untuk menerokai dunia mereka. Nampaknya kerja untuk menerokai dunia yang tak kasat mata ini masih berterusan, masih berkesinambungan, patah tumbuh hilang berganti, ada sahaja orang yang gandrung dengan dunia begini.
Dengan adanya ilmu itulah mereka cuba mengetuk pintu alam jin. Nak mudah cakap, mereka nak ketuk alam hantu dan perhantuan yang ada di sekitarnya.
Sebenarnya, kita tidak boleh bermegah kalau mampu mengetuk dan mendobrak rumah jin, iaitu tempat tinggalnya, kerana kita tidak akan mampu menjelajahi dunia mereka yang luas kerana ia berada di dunia sana, dunia alam keghaiban.
Sepintar manapun seseorang itu menjadi paranormal, guru spiritual atau pakar ilmu hikmah dan berbagai gelaran hebat, mereka hanya mampu menerobosi dunia kecil alam kejinan yang tidak ketahuan arah.
Apabila telah berjaya masuk dan menyusup ke rumah jin sebagai satu dunia kecil daripada dunia yang luas ini, maka kita tidak boleh mencanangkan bahawa kita telah berupaya menerokai alam ghaib.
Sekalipun rumah jin itu berada di alam keghaiban, tetapi manusia tidak mampu menerobos ke dunia itu. Ingatlah dunia yang ghaib itu bukanlah berkelana ke alam jin semata-mata, kerana ia hanya setitik kecil daripada ruang yang maha luas.
Bukan tidak ada orang mendakwa, dengan seberkas ilmu hikmah yang dipelajari dia telah berjaya memasuki dunia alam ghaib. Dunia ghaib yang dimaksudkan hanya dunia jin sahaja, tidak lebih dari itu. Memang manusia tidak mampu memasukinya, sekalipun dengan menggunakan kaedah astral projeksi atau yang orang selalu sebut meraga sukma. Berjalan-jalan menjengah dunia jin ketika jasad berada di bilik khas untuk melakukan ritual tertentu.
Apabila disebut alam ghaib, ia bukan hanya dunia jin sahaja. Ini hanya satu titik keghaiban yang penuh prasangka selagi tanpa bimbingan dalil al-Quran dan as-Sunnah.
Tidak ada siapa yang tahu dunia Arsy bagaiana, al-Kursi, al-Lawh, al-Kitab al-Mubin, dunia para malaikat, dunia roh, kemudian alam barzakh, kesyahidan, belum lagi  tentang bab kiamat yang meliputi banyak perkara yang perlu diimani.
Di antara dunia ghaib yang biasa orang bicarakan adalah dunia jin kerana ia hampir kepada manusia. Perkara lain hanya boleh dibicarakan sejajar dengan keterangan al-Quran dan as-Sunnnah.
Dalam dunia kemalaikatan pula, peneroka ilmuan hikmah ada yang memandai-mandai memasukkan istilah kemalaikatan yang tidak sewajarnya untuk dibuat main-main. Nama-nama malaikat penjaga sesuatu dijadikan nama ilmu. Mungkin ada yang berkata, mana ada? Buktikan! 
Ilmu hikmah khadam Kursi misalnya didakwa sebagai sebuah ilmu hikmah yang kalau diamalkan ia boleh mengundang dan bersahabat dengan tujuh malaikat yang jadi khadam dari ayat Kursi (al-Baqarah: 255).
Dan yang menghairankan, ada orang boleh sebut nama khadam itu satu persatu, ada Abdul Salim, Abdul Rasyid, Abdul Sya'ar, Abdul Maidah dan Abdul Qariq(?) Kemudian ada ilmu yang dipanggil Ilmu hikmah panah Jibril. Nama besar ini tak sesuai untuk dijadikan nama sebuah ilmuan untuk mahir buat pukulan jarak jauh, untuk pagar badan, untuk bakar jin dan menjadi tukang ubat.
Sebuah ilmu lain yang dinamakan ilmu hikmah khadam Baqarah. Sudah tentu nama surah dalam al-Quran. Dengan ilmu yang satu ini konon anda akan dapat memanggil dan menjalin persahabatan dengan seratus [100] malaikat yang jadi khadam surah berkenaan. Bagaimana ada orang boleh mengira bilangan sampai seratus, dan apakah yang hadir itu benar-benar malaikat atau penjelmaan makhluk lain?
Hal yang sama kalau sesiapa mahu memanggil dan menjalin persahabatan dengan salah satu malaikat dari 17 khadam surah Yassin bernama Abdul Syiral. Dalam perkara ini memang eksklusif sekali kalau seseorang dapat berkawan dengan malaikat atau khadam dari surah berkenaan, dan tahu pula namanya Abdul Syiral.
Sudah tentu maklumat tentang yang ghaib ini hanya dituturkan oleh orang yang nyeleneh dengan pelbagai ilmu hikmah. Kita tidak perlu bertanya tentang sanad ilmu, kerana kalau diterokai habis-habisan, ia jadi seperti rekaan kalangan spiritualis masa lampau, entah ia dari kelompok sufisme atau tareqatan, atau keparanormalan, atau kepondokan [pesantrenan] yang selalu gah menawarkan ilmuan hikmah.
Jadi kalau sesiapa yang suka kepada ilmuan hikmah, maka salah satu yang hendak diajarkan adalah agar anda dapat mengetuk pintu rumah jin, maksudnya dunia jin. Dapat berkomunikasi dengan makhluk jin sudah dianggap kehebatan, apatahlagi kalau jin itu memberikan dana berupa wang dari bank mereka, atau memberikan apa sahaja benda-benda yang berharga. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment