Friday, 6 July 2012

CARI KARTA KARUN KENA ADA ILMU, KALAU TIDAK

ORANG FIKIR nak cari cari karun senang.
Bukan sesiapa yang ceburkan diri dalam bidang ini terus boleh bawa cangkul dan penyodok untuk korek harta karun.
Kemudian siapa tahu di sesuatu tempat itu ada harta karunnya? Memang tak ada siapa tahu. Ia macam benda ghaib. Benda dalam tanah. Kalau ada orang jumpa pun kebetulan sahaja.
Bukan tak ada keganjilan yang berlaku, orang dapat harta karun setelah jumpa dengan perempuan tua di pagi buta. Perempuan tua itu adalah pemilik pusaka harta karun.
Kalau dia nak bagi, dia boleh tahan sesiapa juga pengguna lebuhraya dan akan ditunjukkan di mana harta karun itu tersimpan. Ini kes di Bukit Tujuh, jalan K.Lipis - Gua Musang.
Tetapi, bukan senang hendak jumpa nenek kebayan ini. Mintak bagaimanapun, nenek tidak mahu muncul tumpang kereta di pagi buta. Sebabnya, jika ada sifat penakut dalam diri, sifat kecut kepada hantu perempuan atau puntianak, maka jangan harap hendak dapat harta karun dari nenek.
Untuk cari harta karun, seseorang itu perlu mempunyai bekalan ilmu linuwih kata orang Jawa. Maklum tempat yang anda terokai itu adalah tempat jin bertendang. Takut anda kena tendang jin.
Ilmu linuwih ini konon perlu dipelajari secara berperingkat-peringkat, tak boleh sekali harung. Ia bahaya. Jika tak kuat hendak menguasainya boleh jadi gila isim. Itu sebab ilmu sebarangan jangan dipelajari, takut ilmu tak jadi, hari-hari merapu bercakap tentang karun dan karun sahaja.
Menurut orang yang menekuni ilmu ini, sesiapa yang sudah menguasai ilmu linuwih ini, dia boleh tengok jin di alam sana. Maknanya dia kena baca mantera untuk membuka tirai ghaib [bukan ghaib sebenar, sebab hal ghaib tidak ada di sisi manusia, pengetahuan manusia tidak sampai ke situ] - setelah itu dia dapat tengok muka jin kepala botak perut buncit. Itulah makhluk yang menjaga harta karun.
Biasanya harta karun disorokkan di kawasan pulau terpencil. Termasuklah pulau-pulau di kawasan hutan paya bakau. Bukankah lanun berada di laut? Di situlah mereka mudah sorokkan barang samun atau barang pelanunan.
Contoh di sebuah pulau mistik, ada makhluk yang menghuni pulau sunyi itu. Orang boleh pergi ke situ, tetapi kena beritahu jin penjaga pulau.
Bagaimana cara nak melihat makluk misteri itu?
Kata orang, dengan cara baca mantera dan usap mata kedua belah sahaja sudah boleh tengok makhluk itu. Itulah ilmu yang orang sebut sebagai ILMU LASATGAIR.
Baca mantera, sapu ke mata kedua belah, langsung terbuka keajaibannya. Mantera apa yang dibaca, kata orang mantera itu adalah mantera LAOT KEMANG namanya.Iaitu mantera khas untuk melihat makhluk halus menjaga  harta karun di pulau-pulau sunyi.
Kata yang empunya cerita, meskipun tak sahih, setelah tirai mistik itu terbuka, orang itu akan dapat melihat perubahan mendadak. Daripada sebuah pulau berhutan tebal, anda melihat perkampungan yang permai. Kemudian pokok yang hijau nampak putih, penghuni pulau itu adalah makhluk berukuran kecil kepala botak, bilangannya pun banyak. Negeri merekalah katakan!
Raja yang menghuni pulau itu adalah raja jin. Sesiapa yang berbuat baik kepada jin kepala botak di pulau mistik, mereka boleh dapat gelaran dan anugerah kebesaran.
Di Malaysia, kalau orang tahu ada raja jin boleh bagi gelaran, rasanya berbaris orang nak dapatkan bintang dan darjah kebesaran dari raja jin. Boleh buat cerita filem komedi seram ni.
Di negeri raja jin ini sesiapa yang datang akan dapat cendera hati berupa emas. Bukan dalam bentuk perhiasan, tetapi berupa batang-batang emas. Sebatang emas beratnya sekilogram. Berat tu. Satu kilo berapa harga emas di pasaran? Kalau satu gm RM138 satu kilo sudah berapa? Kiralah.
Yang hairannya, raja jin di pulau mistik itu tak mahu emas berbatang-batang itu. Dia hanya mahu minyak wangi. Bawalah minyak wangi jenama mahal pun, lagi dia suka.
Jadi, dahsyat juga raja jin ini. Dia tahu pakai minyak wangi mahal-mahal, harga RM890 sebotol pun lagi dia suka. Bagi yang harga RM10 minyak wangi tiruan pun boleh juga, tapi melampaulah. Harga emas sudah berapa satu kilo, tak kan nak bagi raja jin minyak wangi pasar malam?
Cerita emas pemberian raja jin ini kalau sampai ke Malaysia pasti orang yang jadi broker batu delima dan rantai babi akan meleleh air liur. Berangan-angan. Sekilo emas tulen. Ia harta karun dari dunia jin. Anehnya boleh dimiliki oleh orang yang ada ilmu pelik yang disebutkan tadi.
Emas harga sampai juta, tetapi raja jin hanya mahu minyak wangi ARAMIS, DUNHILL, SAFARI dan jenama apa sahaja asalkan mahal.
Jadi, sesiapa yang nak harta karun kena belajar ilmu di atas tadi, setelah mahir, jumpalah jin kepala botak, bawa minyak wangi mahal untuk dapatkan sebatang emas tulen berat sekilo. Balik dari pulau itu, atau mana-mana tempat jin itu, bolehlah berlagak dengan gelaran terbaik.
Jika dulu nama anda Jengkol, balik dari pulau sudah bergelar Datuk Bagindo Bosar Jengkol. Siap dengan bintang kebesaran dari pulau itu.
Untuk keluar dari pulau itu, kena baca mantera semula dan kemudian pejam mata, sapu mata, buka, dengan tiba-tiba pulau itu sudah berubah semula. Pokok berdaun putih sudah jadi hijau dan tak nampak lagi perkampungan atau orang-orang kenit berkepala botak.
Kisah ini macam cerita khayalan, tetapi ada orang perempuan, Siti Zaharah Alimuddin yang bapanya tauke bot tambang turut ikut ke pulau itu bagi mendapatkan batang emas. Dia sudah berkongsi kekayaan hasil dari jualan emas itu. Siti berangan-angan nak menyelam ke dasar laut bagi mengetahui harta karun yang terbenam dalam kapal Dai Nippon pula di perairan Sumatera dekat Aceh. Wow! Hebat Siti! []

No comments:

Post a Comment