KETIKA BULAN RAMADANLAH di mana-mana tempat membeli-belah mengadakan semacam show bagi disaksikan para pengunjung yang ada, sasaran utama adalah orang-orang yang nak menyambut Hari Raya.
Maka, diwujudkan pentas bagi yang tak ada pentas, manakala yang sudah ada pentas hanya pasangkan backdrop bagi meraikan sesuatu. Temanya tentulah baik meraikan bulan Ramadan atau meraikan Hari Raya. Dan dalam sambutan raya ini, sudah sedia maklum ada lambang tertentu yang menjadikan ia senada dengan sambutan, gantungan ketupat atau gambar ketupat, ada pelita, ada gambaran keceriaan bermain bunga api dan berpakaian secara Melayu.
Dalam pada ghairah nak meraikan bulan puasa ini, ada yang mengadakan demonstrasi masakan oleh chef terpilih, sudah tentu masakan yang ada kesesuaian dengan bulan Ramadan, maklum bukankah bulan puasa ini ruang untuk menjamu selera seada-adanya?
Sambil mengundang konon selebriti [sayang orang pun tak kenal siapa dia] untuk bersama-sama chef, bukan ada peranan sangat, orang nak meraikan bulan Ramadan dia sibuk jangan lupa dapatkan album terbaru atau melanggan sekian dan sekian. Perkenal dan perhebatkan diri sendiri.
Kemudian selain mengharapkan kerjasama penonton atau audien, diadakan pula acara nyanyian, konon lagu-lagu yang sesuai dengan bulan Ramadan. Tidak ada lagu yang sesuai pun. Tambahan yang tampil di pentas itu penyanyi perempuan, siap dedah aurat lagi, boleh tanya puasa tak, kepada para penonton. Dia pun menyanyilah lagunya yang terbaru!
Ada yang buat show dengan band mementas, ada yang pakai minus one sahaja. Degung-degang yang bingit, ia memberi gambaran kepada orang putih yang berlegar-legar itu bahawa inilah cara Melayu sambut hari raya yang bakal menjelang. Inilah juga cara Melayu raikan bulan puasa yang nak disaksikan oleh pelancong dari Timur Tengah, inilah cara Melayu sambut puasa.
Dalam ruang yang bingit itu, kalau sebelah petang, mereka langsung tak dengar suara azan berkumandang. Kalau ada surau kecil pun, yang ramai datang adalah warga dari Timur Tengah, sementara bilangan orang tempatan amat kecil, mungkin mereka lari ke masjid berduyun-duyun mencari pahala jemaah.
Bagaimanapun, ada juga acara bebal yang dianjurkan oleh pihak tertentu - adakalanya melibatkan orang Melayu sendiri yang menyusun acara pentas.
Diselingi dengan lagu-lagu yang tak semenggah, ada tarian terkinja-kinja, anak-anak remaja pakai ketat, konon itulah tarian serba terkini, pakcik dan makcik tengok ya, jangan banyak komen! Contoh, program ini saya ambil dari Maju Junction Jalan Tuanku Abdul Rahman KL, semuanya berjoget-joget waktu berpuasa:
1. Joget Hari Raya - ada ke joget hari raya? Baru sekarang saya tahu.
2. Tarian Kuda Kepang - persembahan tanpa baca mantera dan pagar gelanggang. Dan tak ada yang kesampuk makan bunga dan kejar orang pakai baju merah.
3. Tarian Riang Ria Aidil Fitri - ini pun hairan, ada ke tarian riang ria tu?
4. Tarian Magnutip
5. Tarian Zapin Johor
6. Mari Berjoget - hairan, puasa-puasa yang merupakan ibadat ada pula berjoget-joget. Ini ajaran dari mana? Mazhab mana.
Hairannya, ada juga pakcik dan makcik yang tercongok depan pentas menyaksikan bebudak muda menari, terkangkang kanan, terkangkang kiri, lompat dan kemudian mendekam di atas pentas, habis tarian siap ada tepukan tangan gemuruh. "Tepuklah sikit!" kata pengacara yang bangang.
Ingatlah, tempat membeli-belah ini istilahnya adalah pasar. Orang sebut pasaraya. Bukan pasar nak sambut raya, tetapi pasar besar tempat tumpuan ramai. Di sinilah wadah yang digemari syaitan dan iblis. Disuruhnya orang berpuasa, tetapi berleka-ria lihat itu dan ini, asar sudah nak terkambus, tengok jam, tak lama lagi nak buka puasa. Maka sibuklah cari restoranto yang hebat atau yang biasa di tepi jalan. Kalau lambat nanti tak dapat tempat. Wah, bab berbuka kena tepat waktunya. Tetapi asar sudah terpelanting tidak dipedulikan. Inilah sikap kita.
Dan hairannya, puasa-puasa juga, namun tidak ada perubahan. Golongan yang dedah aurat, yang suka pakai seluar Bermuda, baju t bergambar bintang Barat wanita dengan dada tersembul, atau ada tulisan yang hebat-hebat, ikutlah aku, dakaplah aku, ciumlah aku, 1Malaysia, janji tak ditepati dan macam-macam lagi. Jadi, puasa-puasa juga, ia macam puasa budaya bukan puasa ibadat.
Orang tumpukan kepada majlis berbuka.
Yang seronoknya, ada tempat membeli-belah yang turut adakan majlis berbuka bersama anak-anak yatim, bersama orang tua-tua, bersama orang-orang gelandangan, bersama orang bingung, dan macam-macam lagi.
Ketika orang menjamah hidangan ada pula persembahan nyanyian, panggil audien naik pentas, tanya itu dan ini, dapat hadiah! "Lagu apa yang saya nyanyikan tadi, sapa tau?" itu soalan susah. Soalan yang senang adalah begini, "Ada berapa helai misai kucing jantan?"
Begitulah gayanya kita menyambut puasa. Selain sibuk mencari hidangan berbuka, kita sibuk juga berebut-rebut sampai tarik muka kerana nak cari tempat selesa. Tak percaya tengoklah sendiri.
Sepatutnya sempena bulan puasa ini, tak perlu acara pentas semua. Tak perlu hendak ceria-ceria. Biarlah RTM atau TV3 dan yang setara dengannya berleka-ria. Tak boleh ditiru.
Bagi mengambarkan suasana puasa dan raya, para artis undangan diminta tampil dengan berbaju Melayu dan yang perempuan kena sesuailah, tapi dedah aurat juga. Baju Melayu dan songkok semakin kurang dipakai oleh orang Melayu. Mungkin ia sudah tercemar kerana pakaian ini juga dipakai untuk pertunjukan kuda kepang, pemain gamelan, pemain muzik keroncong, lagu-lagu tradisional atau istilahnya klasik, pakaian ini juga dipakai untuk grup kompang, grup marhaban dan berarak-arak keliling padang acara maulid.
Pakaian ini juga nak pakai untuk solat raya? Sebab itu orang Melayu mencari pakaian lain bagi meraikan hari raya. Baju Melayu bukan mesti.
Mengapa boleh ada show tarian dan nyanyian sempena sambut puasa ini? Inilah kesilapan kita. Ramai yang tak faham. Mereka fikir pentas itu hal lain, dan puasa itu lain. Minda ini kena berubah, patut sudah berubah sejak dulu lagi. Puasa adalah segala-galanya, buat apa kita rosakkan puasa dengan muzik dan nyanyian meskipun kita nak sambut majlis berbuka misalnya.
Kalau kita tengok dalam blog ada acara tarian, pakai ketat, bagai nak terlondeh menari-nari atas pentas, baguslah. Apabila blogger ulas, walaupun disindir, tak faham-faham juga. Inilah gayanya kalau meraikan Ramadan mengikut acuan sendiri. []
No comments:
Post a Comment