SESEORANG YANG MENINGGALKAN puasa Ramadan kerana uzur atau tanpa uzur, wajib qadha' puasanya di luar bulan Ramadan.
Seseorang yang melambatkan qadha' puasanya kerana uzur syarie' yang berterusan, seperti ia masih musafir atau sakitnya berterusan hingga ke Ramadan tahun berikutnya, di mana tiada ruang langsung nak mengqadha'kannya, hukumnya harus ia melewatkan qadha' dan tidak wajib membayar fidyah sekalipun ia telah melangkaui beberapa Ramadan. Cuma wajib ke atasnya qadha' bilangan hari-hari puasa yang ia tinggalkan.
Sekiranya ia melewatkan qadha' puasa yang ditinggalkan hingga melangkaui ke Ramadan tahun berikutnya tanpa uzur syarie', maka wajib ke atasnya qadha' dan fidyah [1 hari = 1 qadha' + fidyah]. Dan sekiranya ia melampaui dua kali Ramadan atau lebih maka wajib 2 kali fidyah atau lebih iaitu bagi sehari puasa yang ia tinggalkan di samping qadha' [melangkaui 2 Ramadan maka 1 hari = 1 qadha' + fidyah].
Sunat menyegerakan qadha' puasa bagi mereka yang meninggalkan kerana uzur syarie'. Mereka yang tinggalkan puasa tanpa uzur syarie' maka pendapat pertama: Wajib disegerakan dan tidak boleh bertangguh.
Pendapat kedua: boleh dilambatkan dan ini pandangan kuat di sisi ulama-ulama mazhab Syafie di Iraq. Pendapat pertama adalah pandangan sahih yang dipilih oleh Imam Nawawi.
Sunat menyegerakan qadha' puasa secara berturut-turut. Qadha' puasa tidak boleh dilakukan pada hari-hari bulan Ramadan, Hari Raya Puasa, Hari Raya Korban dan hari-hari Tasyriq.
FIDYAH
1. Secupak makanan rasmi sesebuah negara untuk sehari puasa yang ditinggalkan.
2. Fidyah boleh diserahkan kepada seorang fakir miskin sahaja. Contoh: fidyah untuk sebulan puasa yang ditinggalkan boleh dibayar kepada seorang fakir miskin.
3. Kafarah [denda] berbeza dengan fidyah, di mana seorang fakir miskin tidak boleh menerima lebih dari secupak makanan yang dibayar kerana kafarah.
NOTA:
1. WAJIB QADHA' SAHAJA. Meninggalkan puasa kerana sakit, musafir, nifas, haid, pengsan, gila, terlupa niat, sengaja berbuka atau jimak [bagi isteri sahaja].
2. WAJIB FIDYAH SAHAJA. Meninggalkan puasa kerana hilang upaya berpuasa kerana terlalu tua atau sakit yang tiada harapan sembuh.
3. WAJIB QADHA' DAN FIDYAH SERENTAK. Tidak mengerjakan qadha' puasa hingga melangkaui ke Ramadan lain dan berbuka kerana hamil atau mengandung kerana takut mudarat ke atas bayi dalam kandungan atau susuan di mana bukan takut mudarat ke atas diri sendiri.
4. WAJIB QADHA' DAN KAFARAH. Puasa yang batal kerana jimak [bagi suami sahaja].
[dipetik dari PANDUAN PUASA RAMADHAN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia [Jakim], cet.4, 2007]
No comments:
Post a Comment