Rumah atau tempat yang selalu dikumandangkan lagu-lagu, tidak kira apa genre lagu pun, maka ia akan ditinggalkan oleh malaikat rahmat, sudah tentu menjauhkan diri dari Allah, setelah malaikat Rahmat pun enggan datang, syaitan pula yang berdendang mengikut rentak muzik yang ada.
Lihatlah, boleh dikatakan kita sering membiasakan mendengar lagu, tak peduli lagu Inggeris, lagu Hindustani, lagu dangdut, lagu Siam, lagu pop dendangan artis tempatan atau dari seberang sana, maka semuanya akan menjauhkan diri dari Allah.
Kata ulama, selagi mana kita mendengar lagu, hinggakan sanggup memasang fon telinga, bekerja tanpa muzik seperti tidak ada ghairah dalam hidup, jadi, lagu sudah menjadi sebahagian dari kehidupan umat, tidak dapat dipisahkan, seperti kita tidak boleh berpisah dari nonton televisyen sekalipun programnya membosankan, yang melanggan Astro pun merungut, benda yang sama diulang-ulang, atau umat dilekakan oleh makluman tentang program yang tidak boleh diabaikan, saksikan persembahan Ratu Jazz, saksikan Ratu Pop, saksikan Ratu Gelek, saksikan Raja Gelek, saksikan Raja Pop, dan macam-macam gelaran kenistaan lagi.
Para pemandu umpamanya, muzik dan nyanyian dijadikan teman ketika dalam perjalanan pergi dan balik kerja, setiap hari, setiap waktu mahu mendengar celoteh pengacara radio dari berbagai stesyen yang ada - kita terhibur dengan celotehnya, ulasan tentang lagu-lagu dan artis yang serba menarik - semuanya melekakan.
Sekiranya kita mendengar lagu dan nyanyian dalam kenderaan, ia sama juga dengan keadaan di rumah tadi. Kita menjauhkan diri dari Allah, malaikat Rahmat tidak menyertai kita kerana kita amat asyik dengan muzik dan nyanyian. Fikirkan, meskipun kita siap berdoa dalam perjalanan merempuh highway yang ratusan km, kita tidak tahu apa yang akan terjadi dalam perjalanan.
Berbeza pula bagi mereka yang sentiasa mendengar bahan ilmuan, entah tazkirah yang baik, yang mengajak umat kepada mengingat Allah sekalipun dalam perjalanan yang menjemukan, mendengarkan bacaan al-Quran mengikut surah-surah kegemaran, atau bicara tentang hadis. Minat pemandu yang satu ini berbeza sama sekali dengan mereka yang asyik dengan lagu Hindi, asyik dengan rock kapak, asyik dengan lagu-lagu Melayu klasik, maka mereka itu hanyut dalam kelekaan.
Dalam kaedah perubatan Islami, seorang mualij yang bijak, tempat melakukan pengubatan harus disteril dari suara muzik dan nyanyian. Bersih dari bunyi muzik, entah petikan gitar klasik, piano, keyboard, klarinet dan sebagainya. Mampukan umat melakukan steril jika setiap hari jiwanya telah dibuai dengan muzik dan nyanyian, sejak sekolah rendah, sekolah menengah dan setelah bekerja pun.
Kita sama sekali tidak peduli dengan ingatan Abu Bakar asy-Shiddiq yang mengatakan bahawa muzik dan nyanyian itu adalah seruling syaitan [Abu Hudzaifah Ibrahim, Rumah yang Tidak dimasuki Malaikat, 1997, terj. Buyuut La Tadkhuluhaa al-Malaikah].
Muzik dan nyanyian adalah merupakan salah satu pintu masuk yang dilalui oleh syaitan untuk merosak hati manusia, merosak jiwa manusia. Cuba periksa baik-baik biodata sang iblis yang singgahsananya berada di lautan yang jauh itu, tetapi setiap hari tentera iblis dikerah untuk menyerang umat di bumi ini.
Penghibur sebenar kepada iblis adalah artis yang ada di mana-mana pun. Lagi dedah aurat, lagi melenggang-lengguk dan mengirai rambut atas pentas, atau memetik gitar, maka happylah bala tentera iblis dihiburkan oleh manusia. Begitu juga kalau wartawan hiburan sibuk nak tahu kegemaran artis pujaan umat, maka sang iblis pun tumpang semangkuk juga meraikan mereka.
Di ruang inilah syaitan dan iblis yang menjadi musuh umat memasang jeratnya, kebetulan kita tidak ada ilmu, iaitu ilmu tentang kedudukan muzik dan nyanyian, tentang kedudukan alat muzik sebagaimana yang banyak disentuh dalam hadis-hadis yang shahih.
Syaitan dan iblis memang suka mendekati orang yang cetek ilmu, iaitu yang menjauhkan diri dari cuba mengetahui, menyelidiki bagaimana kedudukan nyanyian dan musik di sisi Islam? Bukankah, mendengar lagu, tak kira siapa yang menyanyikan, tambahan diiringi dengan alat muzik itu adala diharamkan? Ia diharamkan kerana muzik dan nyanyian dapat menghalang hati umat dari al-Quran serta dapat membuat kita tekun dalam kefasiqan dan kemaksiatan [Ibnul Qayyim al-Jauziyah juga mengingatkan kita dalam kitabnya Ightsah al-Lahfan, juga Yusuf Qhardawi dalam Fiqh al-Ghina'wa al-Musiqi fi Dhau' al-Quranu wa as-Sunnah].
Ada ulama yang agak moderat dalam soal lagu, kerana dia menentukan beberapa syarat bagi nyanyian yang dibolehkan, iaitu tema dan isi lagu itu sejalan dengan adab dan pengajaran Islam. Nyanyian dan lagu yang memuja kezaliman, memuja penguasa yang zalim - taghut - dan fasiq, tentulah tidak sesuai.Apalagi kalau kita semak lagu kita hanya berkisar pada soal cinta, kecewa, bangang melulu, memuja kecantikan perempuan, bertendensi kesyahwatan muda-mudi, semua ini bukan adab dan ajaran agama kita.
Dalam nyanyian, kita lupa penampilan penyanyi [atau artis] bagaimana, adakah suaranya merangsang, membangkitkan berahi, melenggang lenggok dan sebagainya, dan yang penting pendedahan aurat yang berleluasa dalam dunia muzik dan hiburan.
Soalnya bukan penyanyi itu sahaja, malah yang penting, Nabi shallahu alaihi wa sallam sendiri tidak gemar dengan sikap umat di kemudian hari, iaitu zaman kita sekarang yang menghalalkan sutera, arak dan alat muzik [termasuk nyanyian].
Ingatlah, larangannya kerana penyanyi perempuan yang tidak dihalalkan memandangnya dapat menyebabkan nyanyian itu menjadi haram. Keharaman kerana ia mendatangkan fitnah. Bukan tidak ada penerbit rancangan hiburan kita yang lepas pandang dalam soal ini, atau mereka langsung tidak ambil peduli akan keharaman perkara ini. Atau bimbang hancurlah program yang sudah diatur jika semua tak boleh, itu tak boleh dan ini tak boleh.
Punca semua ini adalah kerana kebodohan umat. Umat sudah sekian lama selesa dengan budaya popular yang bersarang dalam budaya setempat. Sejak dulu kita membenarkan muzik dan nyanyian diperdengarkan, tidak ada orang ambil pusing tentang keharamannya, tidak ada orang cakap tentang malaikat Rahmat masuk rumah atau tidak, dalam kenderaaan pun begitu juga, tidak terfikir pula ada malaikat Rahmat dalam kenderaan untuk menyambut doa yang dipanjatkan.
Kenapa di kalangan tertentu amat mengambil berat akan soal kelalaian umat dewasa ini. Ya, tidak lain kerana jika kita tetap memilih muzik dan nyanyian, baik di rumah, di pejabat atau dalam kereta, maka dibimbangi malaikat Rahman menjauh dari kita. Itu sebab doa kita kosong tak ke mana, berdoa sambil mendengar celoteh pengacara radio memutarkan CD lagu kegemaran. Berdoa ketika mendengar suara lengkingan penyanyi kulit hitam wanita dari Amerika sana. Berdoa untuk naik kenderaan tetapi kita memasang lagu dangdut,
" ...ahh! ahh! Senggol-senggolan oo..oh senggol-senggolan..."
Sebenarnya, lagi umat tidak tahu [jahil] tentang perkara ini, tentang keharaman perkara yang disebut tadi, dan punca-puncanya, lagi gembira syaitan dan iblis melihat ketidaktahuan kita. Lagi kita bangang dalam soal ini lagilah mereka berdendang-sayang.
Bayangkan dari pagi sampai ke malam kita terus mendengar dendangan lagu. Orang berniaga di bulan Ramadan, memasang lagu degung-degang, sedangkan semua orang sedang berpuasa. Ibadat puasa itu untuk siapa? Bukan setakat lapar dan dahaga sahaja, telinga pun kena puasa juga. Akan tetapi kita mendengar dan menyukai sesuatu yang dibenci, sesuatu yang diharamkan.
Amat aneh, ketika kita berpuasa lagi televisyen kita sudah sibuk mewar-warkan program hari raya, yang diiklankan adalah konsert artis sekian pada hari raya pertama, kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Penting sangatkan konsert itu kepada umat Islam? Begitu juga drama entah apa tajuknya, dipaparkan akan ditayangkan pada raya pertama, kedua, ketiga, keempat dan sebagainya.
Dimegahkan beraya bersama artis, beraya bersama seniman dan macam-macam lagi. Semua acara ini adalah acara kemaksiatan. Konsep hari raya sudah lari jauh. Ia bukan hari bermuzik dan berdendang ria begitu. Ia adalah amalan Melayu yang sudah berzaman, tak ada siapa berani tegur, kalangan ulama pun membisu, mereka yang minat hiburan mungkin mengeluh, "Boringlah kalau tak ada hiburan!"
Kata-kata ini akan menjadi bahan ketawa syaitan dan iblis. Mereka gembira kerana umat masuk dalam perangkap dan tipu daya mereka.
Amat pelik juga apabila setiap Ramadan kita mendengar dentuman meriam tanah, meriam buluh, mercun dibakar siang malam. Sedangkan puasa itu apa sebenarnya? []
No comments:
Post a Comment