Tuesday 15 July 2014

PASAR KARAT DAH LENYAP?

TAK TAHULAH apa nak kata. Suatu hari saya diberitahu oleh para peniaga di pasar karat lorong belakang Jalan Petaling, Kuala Lumpur, bahawa mereka dah lama tak dibenarkan berniaga oleh pihak DBKL.
Lori DBKL sentiasa diletakkan di tepi jalan untuk memantau agar tak ada lagi sesiapa berniaga di lorong itu. Itulah lorong yang menjadi sandaran para gelandangan, orang miskin, orang yang terdesak untuk menjual apa sahaja barang terpakai.
Ada yang berniaga di situ dengan harapan dapat beberapa ringgit bagi membeli ikan atau beras. Apabila mereka tak dibenarkan berniaga, saya tak tahu, bagaimana mereka nak beli ikan dan beras. Nak bayar bil air dan api pun tak mampu.
Ini menyedihkan.
Menurut paparan media, kawasan itu hendak dibersihkan agar imej KL terjaga. Maknanya, DBKL sejak dulu asyik memikirkan imej dan menjaga nama baik KL di mata para pelancong asing.
Sedangkan, pasar kasar adalah satu sub-budaya juga. Ia tidak boleh dipinggirkan. Ramai pelancong masuk ke situ. Mereka tak rasa pelik, sebab pasar benda macam itu di luar negeri pun ada.
Alasan DBKL konon para peniaga di situ merungut perniagaan mereka terjejas!
Hakikatnya, tak pernah ada peniaga di situ yang merungut dan menghantar memo kepada DBKL.
Kesan dari penutupan pasar karat adalah menambahkan lagi bilangan orang gelandangan di KL, sedangkan dalam bulan Ramadan baru-baru ini pihak tertentu bukan main riuh nak membela golongan gelandangan.
Sepatutnya pasar karat diberi kebenaran beroperasi seperti sedia ada. Soal sampah sarap bukanlah isu besar, begitu juga penjualan CD cetak rompak atau video lucah. Atau soal menjual barangan curi yang selalu jadi bahan momokan.
Sejak dulu, pasar karat dijadikan wadah untuk orang miskin menjual apa sahaja barang-barang terpakai milik mereka. Ada yang jual telefon bimbit, jual tablet, jual PC, notebook, buku baru dan buku terpakai, pakaian, dan berbagai barangan.
Kini, sesiapa yang memiliki barang terpakai tidak boleh menjualnya seperti dulu. Setahu saya, orang DBKL sendiri pun ramai yang menyusup ke situ mencari barang murah. Kaki tangan kerajaan pun ramai masuk situ cari benda terpakai sebelum masuk pejabat.
Pasar karat bukan wadah menghinakan dan merosakkan imej KL. Ia hanya satu sub-budaya kota. Kenapa kita menolak kehadiran mereka? Kesan dari penutupan itu orang miskin telah dinafikan untuk berdikari mencari duit.
Jangan ada di antara kita yang menuduh orang yang gelandangan, kaki lepak itu pemalas atau apa. Mereka rajin berusaha, tetapi sayangnya DBKL memandang dari sudut kepegawaian atasan sahaja. Mereka merangka dasar di bilik hawa dingin. Mereka tidak turun ke lorong. Jadi, mereka tak tahu apa cerita pasar karat yang sebenar.
Setidak-tidaknya berilah kelonggaran mereka berniaga dari pukul 7.00 pagi hingga 9.00 pagi setiap hari. Mereka adalah penghuni kota juga. Mereka perlu mencari wang dengan menjual apa sahaja yang boleh dijual bagi mendapatkan beras, gula atau ikan.
Dengan tindakan DBKL ini, memang elok kepada mereka yang kepayahan nak cari duit, duduk bersila dan meminta sedekah depan supermarket hebat. Apa nak malu? Kebetulan sekarang kecoh nak saman orang yang bersedekah dan meminta sedekah.
Apa nak jadi dengan dasar DBKL? []

1 comment:

  1. Adakah anda memerlukan bantuan kewangan? Adakah anda mencari dana untuk membayar kredit dan hutang? Kami memberi pinjaman dengan kadar faedah 2% Sila hubungi kami untuk maklumat lanjut: larryellisonfinance@gmail.com

    E-mel: larryellisonfinance@gmail.com

    ReplyDelete