Wednesday 23 November 2011

RAKYAT GELISAH TAK BOLEH DEMO LAGI

Undang-undang apa pun yang sedang nak diluluskan di Parlimen ia akan mengekang kuasa rakyat daripada mengadakan demo. Tidak ada istilah demo haram atau halal, sebab di negara kita, sesuatu yang datang dari pihak Umno akan dianggap halal dan sesuatu yang datang dari pembangkang (baca PR) adalah haram dan menyalahi belaka. Inilah canggihnya sistem perundangan di negara kita.
Begitu juga dengan ISA yang dulu orang tepuk tangan dan mengalu-alukan, tetapi para sahabat semua menunggu dengan sabar dan tak berani komen berlebihan, sebab jika dipuji-puji ia akan makan tuan juga. Betul, ISA hanya dicelupkan dengan tepung berwarna dengan citarasa lain tetapi ia begitu juga rupa dan bentuknya.
Tengoklah apa yang sudah jadi dengan undang-undang perhimpunan tadi, pihak tertentu dalam Umno sedang merancang bagaimana tidak berlaku lagi demo rakyat besar-besaran, dan mereka harap Bersih 2.0 itu yang terakhir.
Orang tetap tak percaya adanya permit untuk demo melainkan ia dipohon oleh golongan Perkasa dan Umno. Jika ada pihak PR hendak memohon adakan demo termasuk NGO pasti akan diselidik habis, siapa dalang di belakangnya dan ada kaitan dengan pihak tertentu atau tidak, maka jika ada kaitan dengan penguasa pusat, maka ia dibenarkan.
Penipuan dalam sistem perundangan begini sebenarnya adalah ujicoba pihak pemerintah untuk mengalihkan persepsi rakyat terhadap apa yang dikatakan sebagai kekangan agar keselamatan negara lebih terjamin.
Undang-undang menghalang demo besar-besaran adalah rekayasa pihak Umno dan sekutunya kerana bimbang gelombang rakyat yang lebih besar akan berlaku. Bukankah sudah ada ura-ura nak mengadakan Bersih 3.0 jika tuntutan yang awal tidak dipenuhi?
Sebenarnya Umno dan pemimpinnya memang gerun dengan demo. Mereka tidak biasa dengan demo. Jika Umno nak buat demo selalunya tidak laku, tidak sepadat yang PR buat. Umno tidak ada pengalaman buat demo kerana Umno tidak ada poin untuk mengumpulkan rakyat.Sejauh ini rekod menunjukkan Umno hanya boleh buat demo jika ada peruntukan untuk menghadiri demo, siapkan beberapa ratus buah bas penuh dan semuanya free termasuk makan minum dan tempat lepak.
Ia tidak sama seperti demo yang dilakukan oleh NGO yang bersebelahan dengan PR, mereka datang dengan ketulusan tanpa ada duit poket dan nasi bungkus semua.
Ketakutan terhadap fenomena demo rakyat beginilah, pihak penguasa cuba menerapkan peraturan baru. Apabila hendak adakan demo kena mohon kepada pihak penguasa dulu. Logikkah pihak penguasa hendak beri kebenaran? Sudah tentu tidak, atas kertas orang anggap wah bagus amat BN mentadbir negara ya, tetapi ingatlah, dunia sedang memerhatikan tindak-tanduk yang tidak popular ini.
Rakyat akan lebih marah jika tidak dibenarkan unjuk rasa macam dulu. Umno sengaja hendak mengekang kebangkitan rakyat. Sebab jika berlaku ladi perhimpunan besar, nescaya ia lebih hebat daripada Bersih 2.0 yang berjaya membuka mata dan minda pemimpin Umno. Mereka selama ini menganggap rakyat kecil tidak ada kuasa, bahkan kejayaan Bersih 2.0 memberi momentum kepada bermacam perubahan yang tidak berubah-ubah, hanya retorik atas kertas. Jaminan demi jaminan dan perubahan demi perubahan, akan tetapi retorika dari kalangan pengarang kanan media arus perdana sahaja. Ia hendak menggula-gulakan semut rakyat.
Mungkin Bersih 2.0 itu yang terakhir, lepas ni, nak adakan perhimpunan AMAN DAMAI kena bagi notis 30 hari dulu, kena tunggu pelepasan boleh atau tak boleh, sudah tentu pihak polis akan rujuk kepada menteri dalam negeri, hasilnya: "Jangan benarkan!"
Maka kempunanlah orang nak adakan perhimpunan, kecuali jika ia dipohon oleh pihak yang memihak kepada UBN maka besar harapannya diluluskan dengan sokongan padu.
Kemudian tidak dibenarkan buat protes jalanan. Jadi perhimpunan AMAN ini menurut definisi Umno ia adalah perhimpunan AMAN yang dihadiri oleh budak-budak bisu, tak dibenarkan protes apa pun. Kemudian lingkungan 50 meter dari tempat larangan boleh dipertimbangkan.
Hanya orang yang keliru ia lebih parah daripada Akta Polis 1967 (Seksyen 27 dan 27A). Bagaimanapun menurut gong dan canang yang dipalu oleh "media arus Perdana Menteri" dengan akta molek ini Malaysia akan dikenali sebagai sebuah NEGARA DEMOKRASI terbaik di dunia dan Kutub Utara-Selatan.
Bolehkah dianggap negara terbaik dalam pengamalan demokrasi. sedangkan akta yang dipersembahkan itu tidak demokratik langsung. Maknanya, kalau dulu boleh lalu situ, sekarang tak boleh lalu lagi. Sama sahajalah. Ia bukan perubahan atau penambahbaikan, bukan juga transformasi, tetapi peratuan yang semakin KERAS dan membunuh aspirasi rakyat kebanyakan.

Kesudahannya:

Penganalisis berpendapat, lepas ini mohonlah apa sahaja perhimpunan AMAN, pihak polis sudah ada jawapannya. TAK BOLEH, HARAP MAAF.
Kemudian mohon lagi, tak dapat lagi. Notis 30 hari habis. Mohon lagi. MAAF. Akhirnya ia macam satu lingkaran syaitan.
Pi mai, pi mai, tang tu jugak.
Apa yang dianggap sebagai penjelasan pihak polis untuk mengklasifikasikan perhimpunan itu AMAN atau KECOH maka ia diputuskan di bilik berhawa dingin, dengan otak yang dingin.
Kesudahan daripada akta ini, sesiapa pun tak boleh buat perhimpunan lagi. Yang dibenarkan adalah pihak-pihak yang mengadakan perhimpunan untuk mengangkat gambar Tuk Jib dan sekutunya. Hidup Melayu dan Hidup Melayu, itu sahaja yang dibenarkan. Begitulah pendapat penganalisis isu ini ketika dihubungi. []

Monday 21 November 2011

SELAMATAN VERSI SUNAN KALIJAGA

Selamatan atau kenduri arwah adalah ajaran dan budaya Jawa untuk menyelamatkan jiwa orang yang telah meninggal dunia. Ajaran ini dikatakan sudah ada sebelum agama Hindu dan Buddha masuk ke Jawa. Ajaran selamatan ini menurut kajian mendapat pengaruh  dari ajaran agama Hindu dan Buddha, yang diubah kemudiannya hanyalah mantera ataupun doa. Setelah Islam masuk ke Jawa berbagai tatacara dan manteranya disesuaikan dengan prinsip ajaran Islam.
Secara eksplisit, ajaran penyelamatan jiwa orang yang telah meninggal, memang tidak ada. Islam mengajarkan kepada umatnya teknik yang sederhana sebagaimana yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. iaitu memandikan, mengkafankan dan mensolatkan jenazah - diharapkan jiwa si mati mendapat ampunan dan perlindungan Allah s.w.t. Diharapkan jiwa yang meninggal itu pulang kepada Tuhannya dalam keadaan tenang, terhindar dari seksaan kubur.
Orang-orang spiritual pada zaman dahulu berusaha menolong orang yang telah meninggal. Jiwa yang telah pergi itu perlu ditolong kerana mereka menyedari akan adanya kehidupan setelah mati. Dan upaya untuk membantu orang yang sudah meninggal ini mereka namakan sebagai selamatan di kalangan orang Jawa yang kita sebut kenduri arwah.
Memanglah selamatan itu adalah perbuatan bid'ah. Namun jika mengkaji sunah Rasul, ada tindakan sebagai penyelamatan jiwa yang telah pergi, iaitu adanya solat jenazah dan solat ghaib. Kedua adanya doa untuk meminta ampunan dan perlindungan kepada orang mukmin dan muslim, baik yang masih hidup atau yang sudah pergi lebih dahulu.
Di wilayah Nusantara ini, ajaran selamatan dikaitkan dengan nama Sunan Kalijaga. Menurut Sunan Kalijaga, selamatan hari pertama diadakan setelah hari ketiga kematian. Kemudian diadakan pada hari ke tujuh, ke-30, ke-40, ke-100 dan terakhir ke-1000 hari.
Dan sudah jadi amalan formal di mana-mana (bahkan di kalangan kita) selamatan diadakan sejak hari pertama secara terus-menerus hingga hari ke-7. Kemudian terus ke-100 (ngatos) dan ke-1000 (ngiwu).
Di dalam SULUK LINGLUNG PUPUH KINANTHI, sebuah "kitab" rujukan Jawa, setelah tiga hari berlakulah perubahan, iaitu perubahan kesedaran jiwa. Setelah melampaui sakratulmaut, hilanglah kesedaran, pudarlah "ananing" seumpama orang tidur nyenyak tanpa mimpi. Ia berlangsung selama tiga hari. Setelah tiga hari baharulah siuman kesedaran diri di alam akhirat.Tiga hari yang dimaksudkan itu hanya satu isyarat yang membawa maksud manusia ini hadir dengan melalui tiga sebab - Tuhan Yang Maha Esa, ibu, dan ayah. Bagi jiwa yang mengalami kematian tentu tergagap-gagap ketika dibangunkan (Qaf: 50), agar mayat tidak bangun secara mengejut dan kebingungan seperti orang tengah tidur nyenyak dikejutkan orang, maka orang yang tinggal di sekitar mereka memanjatkan doa agar jiwa si mati dapat bangun dengan sempurna.
Doa-doa yang dibacakan ketika solat jenazah berfungsi untuk menormalkan kesedaran si mati. Di kalangan masyarakat Jawa masa silam sebelum adanya ajaran Islam, mereka sudah ada doa atau manteranya untuk membantu si mati. Ada yang memulakan pada hari ke-3 dan ada yang memulakan pada hari pertama lagi.
Kiriman doa yang dilakukan ketika majlis selamatan (kenduri) dilakukan sebelah malam setelah jenazah disemadikan.
Selamatan mengikut pandangan Jawa zaman dahulu ada kaitannya dengan upaya membangkitkan kesedaran diri si mati. Setelah bangkit dan menghadapi alam baru (alam kubur) jiwa si mati akan melanjutkan perjalanan untuk mendaki alam berikutnya pula.
Dalam masa empat hari setelah bangkit kesedaran diri. Bagaimanapun ini hanya tanggapan budaya dan kepercayaan, sedangkan hakikat sebenarnya Allah s.w.t. yang menentukan perjalanan di alam itu seterusnya yang bersifat ghaib, dan kita tidak mengetahui apa yang terjadi melainkan menurut perkhabaran dari punca yang benar.
Berbalik kepada ajaran Jawa tadi, setelah sedar, ia akan melalui empat alam malaikat, empat keadaan di alam ruhiyah (alam roh) dan berbagai pancaran nafsu duniawi. Jika tidak ada masalah ia akan memasuki alam sirriyah - alam yang lebih tenang dan lebih luas.
Kemudian menuju ke alam nurriyah dengan berbekalkan makrifat. Perjalanan ini berlaku pada hari ke-30. Alam nurriyah ini ada dua tingkat iaitu pertama yang memancarkan rayuan dan godaan dengan tenang, tetapi di alam sirriyah inilah manusia menyedari kehidupannya di dunia. Dia menyesal atas segala kekurangan yang telah dialami ketika hidup dahulu.
Sunan Kalijaga menggambarkan keadaan jiwa yang menangisi nasibnya sendiri (seperti gambaran orang yang menyesal mengapa ada yang mengejutkan dari tidur mereka -[36:52].
Setelah berjaya merempuh alam ruhhiyah, maka masuklah pula jiwa itu ke alam uluhiyah yang paling rendah dan akan dicapai paa hari ke-40. Kesedaran akan asal-usul dirinya segera muncul. Sedarlah jiwa bahawa kini ia berada di alam kematian. Alam uluhiyah pertama ini dilalui hingga hari ke-100, ia masuk ke dalam alam uluhiyah yang berikutnya pula, alam yang terbentang dari hari ke-100 hingga hari ke-1000.
Pada tahap ini menurut pandangan Jawa ia disebut "kalepasan" atau moksa. Dikatakan pada tahap ini jiwa tadi sudah dapat "melepasi" ruang sengsara dan ruang bahagia (syurga dan neraka). Begitulah sekelumit pandangan hidup orang Jawa dari versi Sunan Kalijaga. Walllahu a'lam.[]

Sunday 20 November 2011

MENGURANGKAN INDEKS JENAYAH NEGARA?

Sudah tentu payah bagi orang ramai hendak menyuarakan pendapat bagi membantu pihak PDRM mengurangkan indeks jenayah di negara kita. Indeks jenayah akan bertambah sesuai dengan perkembangan semasa. Selagi nadi berdenyut, sesiapa sahaja akan cenderung untuk melakukan jenayah kerana semua ini bertolak daripada perkara CARI MAKAN.
Cari makan merupakan perkara utama yang menyebabkan data-data tentang jenayah di negara kita tidak dapat dikurangkan. Ketika orang awam tidak dibenarkan membuat sebarang komen tentang sesuatu isu apabila terjadi sesuatu perkara berkaitan siasatan pihak polis, maka rakyat akan menerima kekangan ini dengan menunjukkan sikap fasif. Mereka tidak mahu menyuarakan apa pun cadangan bagaimana hendak mengurangkan indeks jenayah.
Jika ditanya puncanya, bukan sahaja indeks jenayah, pihak berkenaan juga harus memeriksa bagaimana indeks persepsi masyarakat kita terhadap pihak PDRM. Adakah masyarakat menunjukkan sikap tidak peduli, tidak mahu ambil tahu atau enggan memberi kerjasama? Semua ini bertolak daripada kekangan pihak pemerintah terhadap rakyat dan pihak PDRM dijadikan benteng baris depan untuk berkonfrontasi dengan rakyat marhaen.
Meskipun layanan pihak PDRM diberi gambaran yang indah-indah, tahanan perhimpunan Bersih 2.0 misalnya diberi makanan dan layanan istimewa, ia berbeza sama sekali ketika insiden itu berlaku di kawasan jalanan, tembakan air, dan gas pemedih mata sebenarnya memberi gambaran indeks kekerasan terhadap orang awam.
Ia secara tidak langsung menyukarkan pihak PDRM untuk mengambil hati orang ramai.
Tugas menjaga keamanan ada pada pihak PDRM. Selama ini kenyataan dari pihak pegawai atasan PDRM memaparkan bahawa orang awam tidak dibenarkan campur tangan dalam urusan PDRM. Mereka lebih tahu daripada orang awam.
Kini apabila pihak PDRM mengharapkan pendapat awam diutarakan kepada pihak PDRM ia memberi gambaran seolah-olah pihak PDRM menyedari bahawa masyarakat awam di Malaysia perlu disantuni, jangan dikasari. Sebarang perlakuan kasar pihak PDRM terhadap rakyat, ia akan memberi kesan jangka panjang, mereka tidak mahu memberi sebarang teguran membina, apalagi untuk berkongsi idea tentang bagaimana mengurangkan indeks jenayah.
Ada di kalangan orang awam yang bersahaja memberitahu, balai polis sudah cantik, gaji mereka pun sudah dinaikkan, mahukah orang awam yang tidak bergaji memikirkan soal indeks jenayah negara?
Sebenarnya jenayah di negara kita sukar dibendung kerana pihak penguasa tidak menunjukkan suatu iltizam yang jelas bagaimana hendak mengurangkan jenayah.
Bukankah selama ini jenayah yang dibisingkan hanya jenayah orang-orang kecil yang mencuri di kedai runcit, curi ayam, curi telur, curi barang curi, jual barang curi, dan apa sahaja kecurian. Nampaknya kecurian kelas bawahan ini diberi keutamaan, sedangkan "kecurian" wang yang berjuta-juta tidak dapat ditangani.
Jika inilah sikap pihak penguasa kita, maka rakyat menjadi jera dengan sikap yang tidak profesional ini. Mereka menjadi kecewa dengan situasi yang ada. Wacana bagaimanapun untuk mengurangkan indeks jenayah tidak akan memberi kesan.
Di negara kita kini, berbicara soal politik yang cenderung kepada pembangkang dianggap menyalahi peraturan, dan mereka dianggap seperti "penjenayah" juga. Indeks jenayah akan meningkat kerana kita memberi takrif yang berbeza tentang jenayah. Jika kita mengamalkan sikap dualisme dalam memberi makna dalam sesuatu perundangan, rakyat jadi keliru.
Bagaimana mungkin ada kes jenayah (sebagai contoh) pihak tertentu tidak menekankan aspek motif. Biasanya pihak tertentu sangat galak mencari MOTIF sesuatu itu terjadi. Umpamanya, kalau kes bunuh, akan dicari motifnya. Kes penipuan wang ratusan ribu pun dicari motifnya. Pihak berkenaan begitu ghairah mencari modus operandinya.
Ada juga kes yang tidak disebut langsung tentang motif sesuatu perkara. Jika tanpa motif, ia seolah-olah ada sesuatu yang diselindungkan.
Sebenarnya, indeks jenayah di negara kita tidak akan berkurang. Jenayah semakin menjadi-jadi. Jika kita memberikan indeks yang sebenar, maka indeks tidak perlu bermain angka semata-mata untuk menggambarkan kegagalan atau kejayaan sesuatu tindakan.
Di negara kita ada pula Yayasan Mencegah Jenayah, ada pula pihak tertentu yang bertungkus lumus berbicara tentang jenayah, menonjolkan diri sebagai pakar dalam hal ehwal penjenayahan, berbicara di radio dan TV menjadi penasihat dalam hal ehwal penjenayahan, hasilnya tak ada apa. Kesedaran pada kejenayahan di negara kita masih macam itu juga.
Indeks jenayah akan terus meningkat jika kita cari. Bermula dari jenayah melibatkan wang dan seks, semuanya akan berangkai-rangkai kerana semua orang mahu CARI MAKAN. Jika kita hendak senaraikan jenayah dari A hingga Z, maka di dunia melayu Malaysia, indeks jenayah tidak akan menurun. Aspek jenayah itu sendiri perlu diperkirakan. Ia perlulah menyeluruh, dan tidak menjadikan soal jenayah sebagai mainan orang kecil sahaja. Amat jarang jenayah orang besar dipaparkan, bahkan kekecewaan orang ramai kini kerana pengkategorian jenayah juga mengikut status perorangan.
Suatu ketika kita dihebohkan dengan jenayah ragut, jenayah jalanan, kemudian jenayah yang melibatkan colek kanak-kanak, kehilangan tidak dapat dikesan - bermakna kita gagal dan buntu. Kini jenayah kesan dari seksual melampau yang dipopularkan oleh media massa buang bayi masih menjadi isu.
Jenayah pembunuhan umpamanya, ia adalah gambaran tanda-tanda akhir zaman. Di mana diterangkan dalam beberapa hadis mutawatir, berlaku pembunuhan di mana-mana memberi gambaran tentang akhir zaman. Pembuangan bayi pun salah satu tandanya. Rasuah menjadi-jadi, riba tidak dihiraukan, halal haram di kira sama sahaja, dan jenayah yang menjadi-jadi masih berhubung rapat dengan tanda-tanda akhir zaman.
Apabila orang menyedari dunia ini sudah semakin tua renta, maka penjenayah tentu akan takut. Dosa melakukan jenayah selama ini tidak dipedulikan orang.
Fitnah dan memfitnah juga perbuatan jenayah. Akan tetapi di negara kita, sebarang aduan tentang fitnah dan memfitnah tidak dilayan dengan sepenuh hati kerana sistem kita berpandukan kepada merit kepartian dan merit kesiapaan pelaku jenayah yang dilibatkan. Aspek pengenaan kepada seseorang dengan tujuan dimalukan sudah menjadi keutamaan. Bukankah ini juga suatu jenayah. Islam tidak menerima kaedah yang bejat ini.
Bagaimana sikap kita terhadap jenayah? Disebabkan jenayah itu banyak jenis, ada besar dan ada yang kecil, ada yang utama dan ada yang dikemudiankan, maka pandangan umum terhadap kejenayahan di negara kita juga dilayan secara umum. Orang tidak ambil peduli dalam soal jenayah.
Ada petugas yang diberi gaji, dinaikkan gaji mereka untuk membanteras jenayah. Seperti tugas guru di sekolah adalah mendidik murid atau pelajar mereka, tugas ibu bapa hanya memantau di rumah dan di luar rumah, di sekolah tugas guru. Guru tak boleh mengeluh jika murid atau pelajar melakukan jenayah. Apa guna bergaji tinggi, masa mengajar yang singkat - sepatutnya mengajar dalam tempoh 8 jam seperti orang kerja pejabat.
Kini nampak sangat kaum guru ditatang sangat seolah-olah menjadi agen penting dalam pembangunan sahsiah insan. Ia bukan ukuran sebenarnya. Kita perlu melihat aspek keguruan dengan bidang CARI MAKAN, sebab itulah apabila lulusan UPSI merayu agar mereka dipilih jadi guru, maka ada sesuatu yang tidak kena berlaku di negara kita.
Bukankah lucu, sebuah maktab untuk melatih guru dinaiktaraf jadi universiti akan tetapi mereka masih merayu untuk dilantik jadi guru juga. Apa guna universiti jika lulusannya tidak tahu hendak CARI MAKAN dan masih memandang perguruan sebagai sasaran akhir? Jika semua universiti mengeluarkan lulusan untuk disalurkan ke bidang keguruan, maka tidak gunalah universiti diwujudkan begitu banyak.
Dulu lulusan universiti jual kacang putih jadi bahan gurauan. Kini jangan hairan, banyak yang menjadi peniaga kecilan di pasar malam, dan jangan lupa, ketidakberesan dalam menentukan kerjaya seseorang yang berkelulusan universiti juga memberi sumbangan kepada berkembang atau tidaknya indeks jenayah di negara kita.
Semakin orang berpendidikan tinggi belum tentu akan memandu diri agar tidak terlibat dengan kejenayahan. Ingat, orang berpendidikan tinggi pun cenderung melakukan jenayah sesuai dengan keilmuan mereka. Dan tidaklah aneh di negara kita orang yang bergelar Datuk, Tan Sri, dan macam-macam gelaran termasuk gelaran tipu cenderung melakukan jenayah. menggunakan gelaran tipu juga suatu aspek kejenayahan di negara kita, seperti orang cenderung menjual pangkat, menjual gelaran semata-mata untuk CARI MAKAN.
Begitulah catatan orang kecil berkaitan dengan jenayah di Malaysia. []


KULIAH HARI MINGGU DI PERKIM

Seperti biasa, setiap hari minggu saya dan isteri habiskan masa di Perkim, mengikuti kuliah ilmu, tajuk apa sahaja, bicara apa sahaja, seperti program Tanyalah Ustaz. Bezanya yang hadir di kuliah mingguan ini termasuk saudara baru dari Indonesia, Filipina, Selatan Thai dan sebagainya.
Hari ini di Masjid Bandar Baru Sentul, ada program Perkim Putera, majlis jamuan Aidil Adha, seekor kambing panggang jadi santapan. Boleh tahan. Oleh sebab dah makan di rumah, saya hanya minum dan bawa nasi yang disediakan sebagai bekal ke Perkim untuk sambung kuliah yang terencat tadi, maklum ada dua program dalam satu masa, semua di bawah sayap Perkim.
Menjadi kebiasaan pada hari Sabtu dan Ahad ada kelas pengajian agama yang pelbagai. Semuanya mengikut tahap kemampuan pelajarnya. Budak-budak dari Afrika pun ada sekali belajar agama Islam. Mereka tentunya mengharapkan bantuan guru yang mahir Bahasa Inggeris.
Ada satu perkara yang biasa dilihat di depan bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, orang-orang yang bernasib kurang baik duduk berkumpul menunggu sumbangan nasi dalam bekas. Semua sudah dikhaskan kepada mereka. Berpuluh kotak nasi campur disediakan untuk mereka. Jadi, jangan kata pihak Perkim tidak beri sumbangan sedikit pun kepada budak gelandangan kota.
Buktinya, hari ini (Ahad) mereka diberikan nasi ayam yang mengenyangkan. Golongan gelandangan ini yang datang dari berbagai latar belakang seolah-olah tersisih dari budget ekonomi negara. Cerita budak sekolah dapat RM100 memang jadi bahan heban politik - bukti kerajaan yang ada hari ini prihatin kepada rakyat.
Bukan tidak ada orang menempelak, bagi RM100 pun kecoh, sedangkan pihak tertentu memberikan projek beratus juta secara kronisme tidak diberi perhatian sangat.
Golongan gelandangan ini menunggu sehingga dapat nasi kotak. Kemudian mereka meninggalkan kawasan bangunan Perkim dan menghilang entah ke mana. Ada di antara mereka yang penulis cam muka mereka, pernah menjadi khadam orang berniaga ubat di Chow Kit dan Masjid India.
Sejak bomoh Antarabangsa "hilang" dari persada Perbomohan Kota, lelaki itu seperti kehilangan tempat bergantung. Seminggu sekali di Perkim bolehlah dianggap sebagai jadual tetap yang terpahat di dalam kepala para gelandangan sekitar Chow Kit dan PWTC.
Sayangnya, seperti yang banyak dikeluhkan, mengapa mereka tidak mahu masuk mendengar atau mengikuti kuliah yang tempatnya selesa dan berhawa dingin itu? Hairan juga. Para gelandangan kota nampaknya lebih setia mengharapkan sumbangan nasi dalam kotak tetapi tidak sudi hendak mendengar pengajian agama.
Kebanyakan gelandangan yang hadir di kawasan bangunan itu adalah Melayu, beberapa orang sahaja dari kalangan budak India dan Cina. Ada juga dari kalangan pengawal keselamatan.
Sebenarnya kuliah di hujung minggu ini memerlukan audien yang lebih besar. Bilangan wanita lebih banyak daripada lelaki. Mungkin lelaki sudah pandai, atau menganggap Perkim tempat saudara baru. Jika mereka jenguk dewan kuliah Perkim ini tahulah mereka, kedatangan sesiapa juga yang inginkan ilmu agama memang dialu-alukan, bukan ada bayaran, makan pun dapat bagi sesiapa yang mengikuti kuliah lain setelah kuliah di situ. Ada yang hendak memantapkan bacaan al-Quran dan mengkaji tafsir Al-Munir, selain Furu' Masail yang juga pada hari Minggu.
Mungkin orang hanya ghairah jika ada rakaman RTM atau TV9 atau kerana sambutan Maal Hijrah atau apa sahaja sambutan. Walau tanpa gembar-gembur, kuliah itu berjalan dengan lancar. Bilangan yang hadir sentiasa pasang dan surut. Maklumlah hari minggu dan cuti sekolah pula. []

Wednesday 16 November 2011

LAGI-LAGI BUANG BAYI, KENAPA?

Ada perkara menarik yang berlaku di kalangan masyarakat Melayu. Kes buang bayi. Buang bayi ini mungkin ada beberapa tujuan, pertama hendak menyerahkan bayi itu kepada sesiapa yang menemuinya di tempat pembuangan, kedua, dengan harapan bayi itu tidak diketahui keberadaannya sebab ia tidak diperlukan lagi. Maksudnya, biarlah ia mati kelaparan dan kehausan. Ia sama dengan perbuatan membunuh bayi itu.
Kita belum dengar kisah bayi ditanam hidup-hidup seperti yang berlaku di zaman jahiliyah dulu. Meskipun kita sudah moden tetapi masih ada lagi kehidupan secara jahiliyah.
Rasanya sudah banyak dibicarakan soal pembuangan bayi yang dilakukan oleh wanita Melayu. Di mata orang Melayu seorang perempuan yang mengandung di luar perkahwinan adalah sangat memalukan. Ia dianggap menconteng arang ke muka orang tua.
Perlu diingat, apa yang dilakukan oleh anak-anak ada kaitan dengan orang tua. Maksudnya ia ada kaitan dengan didikan orang tua. Ada kaitan dengan pemakanan, ada kaitan dengan riba, ada kaitan dengan apa sahaja tindak-tanduk ibubapa dalam menanggapi sikap beragama secara "world-view" Melayu.
Barangkali inilah yang menyebabkan ibu Melayu teramat malu jika anak gadisnya mengandung di luar nikah. Ia memberi gambaran anak gadisnya terlalu bebas, berada di luar kawalan dan di luar pengetahuan mereka.
Kisah buang bayi di tong sampah, di tepi longkang, di belakang kebun, di tepi pondok pengawal, di belakang kantin, dan di mana-mana memberi gambaran bahawa masyarakat Melayu hari ini amat sakit. Mungkin angka-angka pembuangan bayi yang dipaparkan sebagai rujukan kes membuatkan kita resah dan gelisah.
Punca segala hal ini adalah perubahan yang ada di sekitar kita. Keadaan tempat tinggal, tingkat sosioekonomi mereka, pendidikan mereka, dan jangan lupa tingkat pendidikan dan sosioekonomi ibu bapa juga memberi pengaruh besar kepada data-data yang disebutkan itu.
Sudah tentu orang akan mengatakan bahawa agama adalah benteng yang paling teguh. Ceramah, simposium, halaqah, sembang-sembang, hujah, komentar, tulisan-tulisan akademik yang menyentuh tentang persoalan buang bayi ini sudah lama dijadikan topik utama.
Kutbah Jumaat pun biasa mengulas dan mengulangi topik yang sama tentang pembuangan bayi dengan harapan kaum remaja, kaum lelaki yang memberi input kepada kebejatan moral perempuan Melayu ini diberi peringatan dan ingatan.
Nampaknya, meskipun media massa kita kerap memaparkan kesudahan daripada kes pembuangan bayi, ia masih tidak dapat membendung kejadian itu berulang dan berulang lagi. Ia tidak memberikan kesan kepada bakal-bakal pembuang bayi di masa depan.
Pembuangan bayi ada kaitan dengan hubungan seks luar nikah. Siapa yang membuang bayinya sesuka hati? Mereka adalah perempuan Melayu kita yang masih remaja, masih besekolah, pelajar pusat pengajian tinggi, pekerja kilang, kerja sendiri, penganggur, dan sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka bersalah kerana melahirkan bayi tidak berbapa.
Kenapa orang membuang bayi? Puncanya kerana sikap Melayu terlalu menjaga agar mukanya tidak dicoreng dengan arang oleh anak perempuan atau kaum kerabatnya. Perasaan malu diaibkan oleh perbuatan mengandung di luar nikah itu diterjemahkan dalam bentuk tindakan nekad, campak bayi hingga mati, buang bayi ke parit, ke sungai atau mungkin banyak kejadian buang bayi yang tidak diketahui orang lain. Bayi itu memang telah dibuang atau telah ditanam tetapi aib yang ditanggung itu dapat disembunyikan.
Jika yang membuang bayi ada rekodnya, ia hanya melibatkan kes-kes yang telah dihidu oleh orang ramai dan ada laporan. Bagaimana kes pembuangan bayi secara senyap-senyap? Jika perempuan Melayu itu bijak dan belajar dari filem-filem jenayah, mereka tahu bagaimana hendak menghapuskan jejak pembuangan bayi itu. Mungkin kes pembuangan bayi yang bersifat pendam seperti gunung berapi pendam ini lebih banyak jika hendak direkodkan.
Bayangkan, berapa banyak yang menggugurkan kandungan secara senyap di tangan "bidan" kampung? Belum lagi klinik swasta yang dikatakan turut menawarkan khidmat pengguguran bayi secara senyap? Ada juga ikhtiar masing-masing mengikut petua-petua tradisional yang konon sangat ampuh untuk mengggugurkan janin dalam kandungan yang masih terlalu muda.
Semua ini kita hendak salahkan siapa? Menyediakan tempat perlindungan perempuan muda yang hamil tanpa nikah ini bukanlah satu penyelesaian. Ia masih tetap mencoreng arang ke muka ibu bapa juga.
Kepada siapa kita hendak salahkan? Hiburan Melayu yang melambakkah? Filem dan video kelucahankah? Telefon bimbit yang canggihkah? Bukankah laptop saiz kecil dan apa sahaja yang ada boleh memuat-turunkan bahan-bahan kelucahan. Bahan porno memang digemari semua orang.
Cerita-cerita porno pun ada dalam blog. Ia lebih dahsyat jika dibandingkan dengan novelet kisah seks tahun 70-an dan 80-an dulu. Bukankah ini memberi sumbangan kepada pembuangan bayi?
Sebenarnya apa yang berlaku ini adalah sebahagian dari tanda-tanda akhir zaman. Suka atau tidak suka, kita terpaksa terima. Masyarakat Melayu kita memang sudah lama bejat. Masalah dadah pun belum selesai, kini buang bayi pula. Kes buang bayi ada kaitan dengan dedah, dadah dan cabul. Seks bukan boleh dicuba-cuba di luar dunia perkahwinan.
Lelaki bujang yang tidak dapat mengawal diri mungkin gemar mengunjungi rumah urut. Atau mengunjungi rumah pelacuran, mereka melampiaskan nafsu syahwatnya di situ. Atau kepada pasangannya bukan bertujuan untuk dikahwini, tetapi sekadar untuk pelampiasan syahwat. Golongan inilah yang menyebabkan perempuan Melayu hamil luar nikah.
Satu perkara lagi yang kita lupa, bahawa sejak akhir-akhir ini kita begitu ghairah menggunakan isu-isu seks, contohnya liwat, video seks dan apa sahaja yang berbau seks untuk dijadikan model berita perdana, modal siaran muka depan akhbar arus perdana dengan tujuan memalukan seseorang yang menjadi musuh politik.
Inikah akhlak yang dimiliki umat Melayu? Umat Melayu gila seks? Kisah liwat dan porno tidak habis-habisnya mengalahkan masyarakat Barat. Di Barat yang porno begitu tidak laku lagi, sebaliknya di dunia Melayu ia dijadikan senjata untuk membunuh seseorang.
Dan jangan marah, jika Allah SWT menimpakan bencana kepada umat Melayu dengan kaum perempuan Melayu banyak melahirkan anak luar nikah, membuang bayi di mana-mana yang mereka suka. Inilah gambaran perempuan Melayu mutakhir yang "unjuk rasa" kepada sesiapa sahaja yang faham maksudnya, bahawa janganlah terlalu gembira mengaibkan seseorang.
Hari ini, kita masih bermain dengan isu seksual. Ini memberi gambaran umat Melayu yang dangkal akhlak. Di mana kita hendak banggakan dengan umat Melayu yang konon umat sangat berbudi bahasa, lemah lembut dan sopan santun, sebaliknya dalam bab seks, umat Melayu tidak tahu mengatur diri mereka. Seks seolah-olah barang baru, baru ditemui semalam, dan setiap orang akan mengusung kisah seks, kisah yang mengaibkan umat Melayu semua tak kira apa pegangan politik mereka.
Akhirnya, keruntuhan umat Melayu, selain kerana barah rasuah, sangup jual negeri, umat Melayu juga tergadai maruahnya kerana pembuangan bayi tidak dapat dibendung lagi. Jadi kita tak perlu berkeluh kesah jika ada perempuan Melayu membuang bayi. Ia sudah jadi macam pembuangan sampah biasa. Bayi yang dibuang itu bukannya bayi, tetapi sampah. Sebab ia juga menjadi simbolik kepada peradaban umat Melayu mutakhir yang sudah tidak keruan. Walllahu a'lam.[]

BERI TUISYEN KEPADA HAKIM?

Ini kisah masa lampau ketika berada di pejabat Dewan Perniagaan India WP/Selangor di Jalan Tuanku Abdul Rahman, atas restoran Insaf dekat KFC dan Minerva itu.
Saya buat kertas tuisyen pos untuk Pak Ambrose yang kawan-kawan panggilnya Botak sebab dia sudahlah tinggi, botak lagi dan sering pakai tali leher. Dia kalau bercakap suka sebut nama Samy Vellu, yalah masa itu Samy Vellu memang hero dalam BN.
Kebetulan menyusun bahan untuk tutorial dan beberapa subjek tertentu di pejabat Ambrose, saya diminta oleh Ambrose untuk bertemu seorang peguam bernama Prasad Abraham, kad namanya diserahkan kepada saya.
Tugas saya adalah membuat "tutorial" di pejabat peguamnya yang terletak di Bukit Nanas.
Jadi, selain di pejabat Dewan Perniagaan India itu, saya juga meluang masa membuat tuisyen di pejabat peguam. Masa itu Prasad tidak dikenali sangat.
Tetapi pada hari ini, peguam yang dulu menjadi anak "murid" saya telah menjadi hakim Mahkamah Tinggi. Beliau membuat penghakiman yang melegakan, dalam kes Khalid Samad dengan Utusan Melayu, hakim berkenaan memberi tamparan hebat kepada Utusan Melayu yang terkenal sebagai akhbar yang suka menabur fitnah di kalangan pembaca Melayu.
Kes ini menyebabkan saya teringatkan Prasad Abraham, seorang peguam ketika itu yang sangat meredah diri, boleh berkawan dengan saya, dan membenarkan saya datang ke pejabat beliau untuk bincang-bincang tentang aspek tatabahasa dan kebahasaan Melayu peringkat tinggi. Saya gunakan kertas-kertas soalan dari universiti kalau tak salah saya ketika itu. Seorang pelajar universiti membekalkan bahan untuk menambahkan bahan tutorial saya di pejabat Dr Prasad ketika itu.
Alhamdulillah, peguam yang gigih itu belajar dan terus belajar hingga bergelar Dr dan kini menjadi Hakim Mahkamah Tinggi pula. Kes Khalid Samad (Pas) ini benar-benar menggembirakan semua orang.
Walaupun sudah banyak kes tidak menyebelahi Utusan Melayu, akan tetapi akhbar yang dikatakan berjiwa Melayu itu masih tidak berubah, sikap mereka masih memusuhi orang Melayu dan mengadu-domba agar orang Melayu saling membenci. Terima kasih Dr Prasad Sandoshan Abraham! []

Tuesday 15 November 2011

Hidayatullah.com - Kisah Orang Indonesia Keturunan Yahudi

Hidayatullah.com - Kisah Orang Indonesia Keturunan Yahudi

MENULIS UNTUK PENERBITAN

Sebenarnya ramai penulis yang terlibat dengan dunia penerbitan. Walaupun buku yang ditulis itu untuk dijadikan santapan murid di sekolah-sekolah, para penulis buku kanak-kanak tidak semestinya dari kalangan guru atau bekas guru. Jika anda semak buku-buku untuk bacaan kanak-kanak, anda akan temui sejumlah nama-nama yang biasa di dalam genre bacaan kanak-kanak.
Menjadi kebiasaan, setelah sesebuah karya siap, mereka akan ajukan bahan atau manuskrip, atau bahan lengkap siap ilustrasi dan laman depan-belakang buku, ia akan dikemukakan kepada penerbit buku. Setiap penerbit buku ada pengkhususan mereka masing-masing.
Ada yang menerbitkan buku-buku motivasi, ada yang terbitkan buku sekolah rendah dan menengah sahaja, ada yang menerbitkan buku untuk bakal guru atau bakal jururawat. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang bijak mereka akan menerbitkan bahan yang sesuai bagi setiap kelompok sasaran.
Menjadi kebiasaan penulis bebas ini menulis apa sahaja buku untuk diterbitkan. Ada yang cenderung kepada buku panduan ibadat, buku doa, buku tentang keislaman, dan jika sesiapa teliti, kebanyakan penerbit buku keagamaan yang berjaya adalah dari satu kelompok sahaja. Penerbit Melayu kurang menyerlah kerana pemasaran mereka lemah.
Kini sudah ada penerbit Melayu yang dianggap berjaya menerbitkan buku-buku yang menarik. Judul dan lay out buku yang dihasilkan menarik. Harga buku pun semakin meningkat. Soalnya, siapa yang menjadi sasaran penerbit?
Sebenarnya pembeli buku ada bermacam perangai. Kaki buku akan membeli apa sahaja buku sekiranya isi buku itu perkara yang digemari. Terbitkanlah buku dengan judul DAJJAL atau TANDA-TANDA KIAMAT, ia tetap mendapat perhatian pembaca. Sama halnya nota-nota keagamaan tentang tajuk yang mudah, ada khalayak yang memburunya.
Sahabat penulis yang sering datang ke rumah, dia menyiapkan manuskrip tentang GUNUNG BERAPI dan GEMPA BUMI. Katanya untuk bacaan umum peringkat menengah. Ada yang menyiap manuskrip tentang cerita kanak-kanak. Cerita dongeng atau apa sahaja cerita lama yang boleh ditulis semula dengan penambahan.
Setiap penulis mempunyai kaedahnya untuk menulis. Begitu bagaimana mereka boleh mengolah cerita lama seperti kisah PAK PANDIR itu. Ia boleh diolah supaya kepandiran itu tidak terlalu teruk. PAK PANDIR perlu dicerdikkan sesuai dengan peredaran zaman.
Apabila telah menemui berbagai penerbitan dengan berbagai kerenah mereka, ada sahaja cerita yang tidak enak. Penulis sifulan tidak menepati janji. Penulis sifulan telah dibayar lebih, tetapi manuskrip yang dijanjikan tidak disiapkan dan terus menghilang.
Dan menjadi perkara biasa, ada penulis terkenal dalam genre tertentu telah digam oleh penerbit. Maka penulis itu semakin sukar hendak menyusupkan karyanya kepada pihak penerbit, kecuali menerbitkan karya sendiri, cetak dan edar dengan usaha sendiri.
Apabila kita melongok ke negara jiran, bilangan buku terbitan mereka jauh lebih dahsyat daripada buku terbitan tempatan. Usaha terjemahan kitab-kitab utama nampaknya telah dipelopori oleh penulis Indonesia. Mereka sangat aktif.
Di Malaysia pula ada penerbit yang hendak mencari jalan mudah, menerbitkan semula buku-buku dari Bandung dan Jakarta. Ada yang diterbitkan semula setelah "membeli" borong manuskrip atau salinan semula buku induk yang ada.
Faruk umpamanya pernah menggunakan novelet remaja dari Indonesia untuk dipindah bahasakan kepada Melayu. Dari pengalaman penulis, lenggok pertuturan dialek Jakarta dengan Kuala Lumpur tentulah tidak sama. Apabila dipindah bahasa tentulah nampak canggung jalan ceritanya.
Kini ghairah kebanyakan penulis adalah bagaimana nak siapkan novel tebal hingga 500 halaman. Ada penulis yang menganggap kerja menulis senang sahaja. Apa yang kita fikirkan, apa yang kira tanggapi, apa yang kita khayalkan boleh dijadikan bahan tulisan. Apalagi ada laptop. Bila-bila masa boleh tulis.
Bahkan ada penulis yang menyiapkan novel seperti mengisi tempat kosong. Novel boleh ditulis dengan menuliskan bab akhir terlebih dulu. Happy ending atau sebaliknya. Kemudian berpindah ke bahagian tengah. Inilah yang orang katakan sebagai kerja mudah menulis novel yang dibangga-banggakan.
Apa pun menulis novel adalah kerja leceh. Anda perlu menjaga watak yang anda tampilkan. Seperti drama TV juga, novel perlu fokus kepada dua tiga watak utama. Lainnya hanya sampingan atau watak tambahan untuk menghidupkan cerita. Ketika membuat penyuntingan buku kanak-kanak penulis kerap menemui kecelaruan watak, ada watak tenggelam timbul, ada watak mengejut dan macam-macam lagi. Sebenarnya menulis perlu kemahiran dan kebiasaan. Mereka yang biasa menulis novel tentu tidak biasa jika diminta menulis artikel umum misalnya. Setiap orang ada kemahiran masing-masing.[]

JALAN BANGLADESH DI JALAN SILANG

Jika Puduraya menjadi Pudu Central, maka apa salahnya Jalan Silang menjadi Jalan Bangladesh. Lihatlah kiri kanan jalan semua barangan dari Bangladesh dilonggokkan di situ. Ketika meninjau kedai-kedai itu, semua produk adalah dari sana, tidak ada tulisan yang boleh kita baca. Ubat-ubatan jenis sapu luaran, pil demam, dan macam-macam pil, ubat kuat cara dia, makanan cara dia, semua pelik-pelik belaka, dan tidak ada orang Melayu yang masuk ke situ, sebab yang Melayu tahu hanya kapur dan sirihnya sahaja. Itupun kapur dan sirih hanya tinggal perlambangan adat budaya, amalan makan sirih sudah tidak ada lagi. Lagu "Makan Sirih" masih dinyanyikan, tetapi sejauh mana orang mengikut budaya nenek moyang dulu yang menjamah sirih untuk memulakan sesuatu. Kemudian dalam soal adat peminangan ada tepak sirih. Itu simbolik sahaja, sedangkan tepak sirih tidak ada kegunaan lagi di zaman moden ini. Akan tetapi budak-budak Bangladesh gemar sekali makan sirih.
Bukan sahaja budak Bangladesh, budak-budak dari Nepal pun suka. Kenalan penulis seperti Gill, Gautham, Gungga dan Arjun juga suka makan sirih. Sudahnya, lantai atau aspal jadi sasaran crit-crit, semuanya jadi kotor. Bas yang mereka naiki setiap hari pun berbau.
Budak-budak Bangladesh berada di mana-mana terutama di kawasan Lembah Klang. Mereka menguasai sektor perburuhan. Projek pembinaan yang ada di mana-mana dipenuhi oleh budak-budak Bangladesh. Ada yang bekerja di bahagian logistik, di bahagian sekuriti tapak pembinaan, membuat kerja-kerja rencam, pendawaian, ketukangan, kimpalan, bengkok besi, tukang cat, memasang perancah, memasang gondola, memasang mask, kontrol kren, kawalan lalu-lintas, dan berbagai lagi. Pendeknya jika anda berkesempatan berada di tapak projek, anda akan saksikan begitu ramai tenaga kerja dari Bangladesh berjejalan membuat punch card yang diwajibkan oleh ketua masing-masing.
Mereka mempunyai ketua masing-masing mengikut sub-kontrektor yang ada. Kontraktor yang menggaji mereka boleh arahkan mereka pergi ke mana-mana tapak projek jika projek yang ada hampir selesai. Ketika sebuah apartment mewah hampir siap, kontraktor bahagian dapur akan membekalkan apa sahaja keperluan dapur yang lengkap untuk dipasang. Begitu pemasangan cermin yang menjadi trend di kebanyakan bangunan moden hari ini. Cermin yang berat itu perlu dinaikkan dengan menggunakan kren. Budak-budak Bangla yang menjaga lalu-lintas dan pengawal amaran bekerjasama dengan budak kren yang bertugas di puncak bangunan. Budak yang mengendalikan kren ada macam-macam perangai, ada yang cermat dan ada yang panas baran. Makan minum selagi berada di kren atas bangunan dipesan melalui walkie-talkie. Teh tarik, nasi campur, air botol dan sebagainya, dinaikkan dengan menggunakan kren dari lantai bawah ke tingkat 50 di atas. Budak-budak Bangladesh tahan dimarah, ada yang dimaki, dan mereka juga kuat bergurau serta pandai menyesuaikan diri dengan keadaan.
Kehadiran budak Bangla menyemarakkan kedai Mydin, kerana kebanyakan budak Bangla menganggap kedai itu sebagai kedai harga patut, tidak seperti orang Melayu yang berpantang dengan kedai tertentu. Bangla menjadi pelanggan beg saiz besar dan selimut. Negerinya selalu banjir dan hujan. Selimut sangat diperlukan.
Budak Bangla boleh makan apa sahaja makanan di kedai mamak, kedai Pakistani dan yang sejenis dengannya. Mereka tinggal berpencaran, ada yang di kawasan rumah kongsi tapak pembinaan, ada yang menyewa bilik beramai-ramai. Mereka boleh berjimat menanggung kos sewaan tempat tinggal dan makan bersama.
Ikan air tawar adalah kegemaran budak-budak Bangla. Mereka tidak cenderung kepada udang, ketam, ikan tenggiri atau ikan saiz besar. Mereka lebih gemar ikan sepat, ikan puyu, haruan, ikan bilis basah, dan ikan-ikan yang kita tak kenal pun. Lihatlah kedai yang menjual segala jenis ikan di Jalan Silang. Ikan air tawar berukuran besar menjadi kegemaran mereka. Sama juga dengan daging kambing.
Bau masakan mereka sama sahaja antara satu kelompok dengan kelompok lain. Mereka juga mahir masak briyani secara Bangla. Tomato tidak boleh tinggal. Mesti ada dalam semua masakan gulai. Komuniti mereka sangat bersatu, maklum berada di perantauan. Setahun sekali mereka akan kutip duit untuk beli lembu atau kambing. Ada masanya mereka berkongsi beli rusa. Dari pengalaman penulis, budak-budak Bangla sanggup membayar harga mahal untuk dapatkan daging rusa. Bayangkan seekor rusa lebih RM3 ribu harganya. Mereka sembelih di luar, dagingnya dilapah dan di bahagi-bahagikan sama rata. Ketika mereka bekerja di K Resident (sekarang Regency, depan KLCC, Jalan Ampang), mereka berkongsi daging rusa, seorang menapat sekilo lebih. Harga yang dibayar terlalu mahal untuk mendapatkan daging rusa.
Masakan kegemaran mereka adalah gulai kari secara Bangla. Sungguhpun mereka seolah-olah golongan yang berpendapatan rendah, mereka mampu mengirimkan wang ke kampung halaman masing-masing. Selain menggunakan khidmat penghantaran wang yang bercambah di sekitar Jalan Silang dan Central Market itu, mereka juga saling berkiriman wang dan barang jika ada sesiapa hendak balik kampung.
Budak Bangla mudah didekati. Sama juga budak Nepal yang kadang-kadang orang susah nak bezakan mana satu Nepal dan mana satu Bangladesh.
Budak-budak Bangla kebanyakannya berkawan dengan Awek Indon. Mereka lebih senang berkawan kerana semuanya adalah orang luar. Perempuan Melayu kurang tertarik kepada mereka. Hanya Melayu yang kemaruk dengan filem Hindustan akan rapat dengan Bangla. Perempuan dari Jawa Timur berkawan dengan Bangla sehingga ring tone pun lagu Hindustani. Nonton filem Hindustan, dan makan makanan Bangladesh atau yang serasa dengannya.
Bekas majikan penulis khabarnya yang menjalankan perniagaan restoran di Bandar Baru Bangi, berkawan dengan lelaki Bangla. Kebiasaan lelaki Bangla bijak mengambil kesempatan, berkawan dengan wanita tempatan bagi tujuan menguatkan ekonomi mereka. Ada yang telah berkahwin dengan wanita tempatan, bekerja sebagai jurubahasa Bangladesh di mahkamah. Dia selalu solat di Masjid Jamek, dan berborak-borak dengan grup penulis di situ.
Ada juga budak Bangla yang menyamar. Contoh, seorang lelaki Bangla memberitahu penulis namanya Kalam. Sebenarnya dia beragama Hindu sana. Dia menggunakan nama Kalam seolah-olah dia seorang Islam, dan dia terus terang dapat memperdaya seorang janda Melayu yang bekerja di Jalan Ampang. Pasangan yang tidak berkahwin ini kerap membeli-belah di pasar malam sekitar Ampang.
Di pinggir Kuala Lumpur, ada budak Bangla yang berniaga ikan dan sayur. Mereka menolak kereta sorong sambil membunyikan "hon" seperti penjual roti. Setiap hari dia menjadi harapan kepada suri rumah yang malas hendak pergi ke Chow Kit. Inilah "warung tolak" yang berada paling hampir di dapur rumah orang-orang kita.
Kalau kita amati, setiap budak Bangla di bumi Malaysia ini ada kerja. Tidak kira kerja apa. Berbeza dengan budak-budak Melayu yang memilih kerja. Sebenarnya sikap kita sendiri tidak betul. Kita selalu menandang sinis kepada orang yang bekerja macam itu. Berapa ramai Melayu yang kerja di sektor pembinaan?
Tidak ramai. Mungkin mentaliti Melayu lebih menggemari kerja dalam suasana dingin, pejabat, syarikat ada nama sebagaimana gambaran dalam drama TV kita.
Jika sesekali jenguk Jalan Silang, anda akan hairan, kini di kanan dan kiri jalan sudah dipenuhi dengan kedai mereka. Barangan mereka, sirih mereka, curut mereka, dan apa sahaja makanan kegemaran mereka ada di situ.
Sama juga kesibukan Melayu terhadap belacan, sambal dan sebagainya. Jangan hairan, Jalan Bangladesh semakin meriah dan padat pada hari ini.[]

Monday 14 November 2011

KISAH MENYAMAR SEBAGAI DR

Suatu ketika penghuni sebuah bilik di Taman Sri Watan, Ampang, telah berpindah ke rahmatullah. Dia adalah warga Indonesia yang mendapat Mykad ehsan daripada pemimpin kita di Sabah sana. Dia asal dari Bulungan, Kaltim.
Setelah dia tidak ada, biliknya kosong. Masuklah seorang lelaki yang memberikan namanya sebagai Benedict, berasal dari Melaka. Dia mungkin keturunan Portugis, dia bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi warna kulit dan penampilannya seperti seorang Melayu kulit ciku masak (sawo matang=Jawa).
Penghuni rumah di Lorong 9 itu tidak peduli siapa pun datang menyewa, asalkan bukan pendatang haram sudahlah. Encik Hadi selaku tuan rumah cukup peduli dalam soal ini, sebab dia tak mahu diganggu dengan masalah perundangan.
Masuk Benedict tuan rumah pun gembiralah, sebab bilik itu sudah lama kosong, tak ada siapa berani sewa sebab takutkan "hantu" seperti kata Mariani yang berasal dari Fatani, Thailand, ketika memberitahu tuan rumah. Dia salah seorang penyewa yang agak lama selain Azmi dan seorang lagi orang Ipoh yang kerja di bank.
Mariani yang tidak tahu apa telah dikelentong habis oleh Benedict dengan mendakwa dia seorang doktor pakar. Pakar bahagian apa? Mariani tidak tanya pula sebab dia tidak faham doktor itu bagaimana tugasan dan bidangnya. Mariani hanya tukang masak gerai di sebuah warung belakang Risda, Jalan Ampang.
Maka, hebohlah di rumah Encik Hadi itu ada seorang doktor pakar menyewa sebuah bilik. Untuk apa sewa bilik begitu? Bukankah doktor pakar mampu menyewa Kondo Menerung? Atau beli kondo?
Mariani tidak fikir apa, keyakinan dia begitu tinggi kepada doktor pakar. Baguslah, nanti sakit pening, boleh rujuk kepada doktor pakar.
Kawan-kawan yang menyewa di lantai bawah mengusik Mariani, "Mu pening kepala, apa mu susah, mu tanyalah doktor pakar, mana tahu ada paracethamol?"
"Tak beranilah, ambo perempue key, dio laki-laki, takut!" kata Mariani.
Lagipun, doktor pakar itu sudah menggoda Mariani yang janda itu agar berubat dengan doktor pakar. Mujur janda ini masih waspada. Dia hormat kepada seorang doktor.
Suatu masa doktor itu bertemu dengan Encik Hadi dan sembang di warung tomyam, kebetulan Mariani pun ada tolong secara sambilan di situ. Doktor tadi belanja Encik Hadi makan dan baki duit itu ditinggalkan sahaja untuk pegerai. Mariani pun puji kemurahhatian doktor pakar itu.
Rupanya dalam sembang menyembang itu, doktor itu memberitahu Encik Hadi, seorang bekas pegawai kilang elektronik di Hulu Klang, bahawa doktor itu adalah dr.Phd. Bukan doktor pakar sangat. Encik Hadi pun keliru apabila sembang dengan budak penyewa bilik di rumah sewanya.
"Doktor tu kata dia nak ajak pergi Port Dickson, dia nak berada di sana selama seminggu, nak buat kajian tentang air laut!" Itulah yang Encik Hadi difahamkan. Selidik air laut, ini doktor bahagian apa pula? Dia pakar kelautankah?
Akhirnya, kebetulan Encik Hadi pun orang negori, maka dia pun temankan doktor pakar itu ke PD. Kata Encik Hadi, dia pergi bawa badan sahaja, lain semua perkara doktor pakar itu belanja.
Ada bawa kertas, laptop, kamera dan sebagainya? Tidak? Ada buat kajian apa-apa tentang air laut? Tidak.
"Dia nak rehat di PD," itu kata Encik Hadi.
Nak dijadikan kisah, setiap malam Benedict ajak Hadi dan kawannya seorang lagi Mejar Bersara makan-makan di sebuah restoran yang siap dengan penari dan karaokenya.
Benedict yang memang seorang doktor pun memperkenalkan Encik Hadi sebagai Dr.Hadi, dan kawannya seorang lagi Dr. juga walaupun dia hanya Major Bersara. Ada tiga doktor pakar menjamu selera di restoran itu. Encik Hadi tak boleh kata apa, nak menolak gelaran itu sudah serba salah, nanti Benedict malu pula di depan perempuan dari Filipina itu. Mereka goyang dan senggolan dahsyat untuk menggatal. Jadi, kajian air laut itu hanyalah untuk menguji keayuan budak Filipina itu dan kemudian serahkan tip.
Encik Hadi berterus terang bercerita dengan disaksikan isterinya yang menyampah bukan main. Percaya sangat dengan orang sampai kena kelentong.
Persoalan tentang doktor sudah terjawab. Kebetulan masih di PD lagi, doktor itu pinjam kereta Major Bersara, doktor terlupa letakkan stetoskop dalam kereta di bangku belakang, doktor mesti ada alat penting itu. Apabila serah kucni kereta kepada Major, Benedict lupa benda itu. Isteri Major pun ambil alat teropong istimewa itu. Isteri Major berlagaklah macam doktor, tekan sana tekan sini. Nak kesan degupan jantung konon. Alahai, tak berfungsi pun. Itu stetoskop dah rosak. Macam mana doktor pakar boleh tak sedar bawa stetoskop rosak?
Khabar ahad mengatakan, gara-gara stetoskop tertinggal dalam kereta itulah, Benedict malu amat kepada dua doktor yang baru dilantik, Dr Hadi dan Dr Major Bersama Sifulan.
Disebabkan dah malu alah, kajian air laut di PD disingkatkan. Masing-masing balik ke Lembah Klang, kecuali Major Bersara kerana dia memang tinggal di kawasan PD.
Selang beberapa minggu kemudian, Dr Benedict pun punggah TV 12" dari biliknya secara senyap. Dia bawa beg doktornya. Ke mana dia nak pergi? Tak ada siapa tanya, tapi seorang penghuni rumah sewa Encik Hadi atau Dr Hadi (lulusan Restoran dan Karaoke PD College?) ada mengambil gambar dengan telefon bimbitnya.
Jelas, Dr Benedict sudah pindah. Mungkin dia malu kepada Dr Hadi dan Dr Major Bersara Sifulan. Adakah kisah ini melibatkan jenayah?
Sejauh ini Dr Benedict belum dipastikan melakukan jenayah. Dia hanya menyamar doktor kepada seisi rumah sewa Dr Hadi. Dr pakar itu juga menganugerahkan gelaran doktor secara segera kepada Encik Hadi, dengan gelaran Dr Hadi semata-mata nak jaga gengsi di depan budak cantik dari Filipina.
Benedict macam biasa dia minum dan merapu bersama budak Filipina. Kajian air laut masin atau tawar sudah dilupakan.
Kini bilik itu kosong. Tidak nampak kelibat doktor yang hebat itu. Tidak ada lagi kereta biru Volvo 240 lama tersangkak di situ. Maka sahlah doktor pakar sudah pindah.
Baru-baru ini salah seorang penghuni rumah sewa Dr Hadi, ada nampak Volvo 240 itu di Petaling Street. Nak ke mana doktor kita?[]

ISU LEMBU LEBIH DARI KAPAL SELAM?

Ketika blog ini dicatat, di luar sana masih kecoh dengan persoalan lembu. Kebetulan dalam beberapa hari yang lalu kita menyambut Hari Raya Korban, maka lembulah yang dicari orang. Tetiba meletuplah isu lembu. Bukan fitnah dan bukan rekaan, tetapi ini berdasarkan Laporan Audit Negara. Tidak ada siapa yang boleh menyanggah, tak tahulah mungkin ada di kalangan pembesar kita yang mengatakan laporan itu tidak kemaskini, tidak memuat data-data lengkap atau kekeliruan pengambilan data. Apa pun, semua ini sudah pecah sekarang. Semua orang sudah tahu, orang kampung yang tak minat politik pun dah minat, tak tahu hal lembu melembu pun dah tahu. Baguslah, maknanya rakyat sudah sedar, seorang pemimpin, yang menang dalam pilihanraya tidak digalakkan mengkayakan diri mereka. Tidak digalakkan bergaya dengan kereta mewah sedangkan jiran-jiran masih pakai Kancil atau Saga biasa.
Dah jadi kebiasaan orang Melayu suka "pamer" kekayaan dan kemewahan. Orang kerja Gomen selalu begitu, apa nak hairannya, duit macam misai, dicukur habis akan tumbuh lagi. Duit mereka begitulah, habis duit pergi cucuk di ATM. Tetapi bagaimana orang yang bukan kerja Gomen, dan buat kerja sendiri, tebas rumput, mengait pisang, kelapa sawit, cari ketam nipah di pantai, kutip siput, kutip pucuk pakis, tebang pisang nak buat kerepek pisang, buat penyapu lidi, bela ayam kampung ala kadar, ambil upah kerjakan sawah atau kebun orang, maka orang politik terutama yang masuk ikut "tingkap" iaitu yang telah kalah dalam pilihanraya tapi masih diberi ruang untuk duduk di Parlimen, maka mereka akan melakukan kenistaan seperti kes lembu Feedlot RM250 juta. Bagi orang kecil, cerita macam ini menyebabkan mereka marah. Mereka begitu susah nak dapatkan duit RM25 sehari, tanyalah Pakcik Jaga. Tetapi orang politik (terutama yang berada di sisi penguasa -UBN-) dengan senangnya memperoleh kekayaan atas dasar merit keahliparlimenan dan kebarisanasionalan - di sinilah mata rakyat kecil, orang kecil akan jadi merah, pedih, sedih, kerana orang yang berkuasa dengan sewenang-wenang melakukan sesuatu yang dianggap merendahkan imej mereka.
Betapa tidak, nama projek ternak lembu, harapannya dapat membekalkan daging (bukan tenusu) untuk sedikit keperluan domestik. Apa sudah jadi? Diserahkan kepada sebuah syarikat. Jika projek ini dikendalikan oleh jabatan atau kementerian lain atau agensi kerajaan lain pun rasanya, sama sahaja, mereka tak mampu melakukannya.
Teknologi kita jauh ketinggalan biarpun ada kajian demi kajian tentang kaedah ternakan lembu ini. Bacalah jurnal tentangnya. Memang indah data-data dan pengkaedahannya, sayangnya, kita belum sampai ke peringkat menterjemah dalam bentuk praktik.
Kes yang menimpa Shahrizat ini berkaitan dengan kemampuan menjalankan perniagaan di bidang ternakan. Rekod di negara kita, belum ada orang boleh pelihara lembu sehingga melahirkan generasi cowboynya. Belum ada.
Lembu pawah, bela lima ekor, bela sekandang bolehlah. Apabila berskala besar, maka akan kecundanglah kerana menyedari apa nak gaduh, kalau gagal pun bukan rakyat marhaen tahu?
Zaman dah berubah rupanya. Memberi dana besar untuk sesuatu projek ternak lembu ini seolah-olah kisah skim cepat kaya. Bukankah ramai di antara umat Melayu yang kecundang kerana menyertai skim cepat kaya ternak lembu? Anda boleh ternak lembu, tak perlu ladang, tak perlu kandang, tak perlu pegang tali lembu, tak perlu carikan rumput lembu, semua akan diuruskan oleh sebuah ladang perintis.
Daftar sekarang. Minimum seekor lembu sebanyak sekian dan sekian. Begitulah sahabat saya bercerita dalam tahun 2008, itulah kisah pelaburan ternak lembu. Tiba-tiba gagal. Sama gagalnya macam projek ternak ketam, ternak keli, ternak ketutu dan macam-macam lagi.
Ingatlah zaman sekarang, nak mengaut duit bukannya susah benar. Janji berani redah. Dalam kes ternak lembu (NFC) tadi kegagalan mengurus wang yang besar menyebabkan ia sudah lari dari matlamat asal - ternak lembu untuk dapatkan dagingnya. Memang ada yang sudah mendapat habuan daging itu, tetapi khabarnya kosnya atas dasar asal pulang modal sikit. Maka bekalan daging diberikan kepada puak tertentu pula yang masih dalam "lingkaran syaitan" belaka.
Maka apabila pihak odit melaporkan kegagalan di beberapa agensi tertentu yang berkaitan kementerian tertentu, pemimpin atas memberi jaminan akan bertindak mendakwa mereka. Itu kenyataan politik, televisyen dan media perdana pun sama riuhnya mengulas kenyataan yang tak berwibawa itu. Terbukti, tidak ada tindakan apa-apa.
Bertindak bererti menepuk air cili dalam dulang, memercik kena mata, pedih jadinya.
Sehingga kini, orang pun keliru, orang gelapkan duit RM3 ribu pun kecoh tetapi ini "penyalahgunaan" pertuntukan yang besar tidak ada apa-apa kesan. Kaedahnya di bumi Malaysia ini, kita suka buat kecoh kalau rasuah RM30 dilaporkan guna menaikkan imej peribadi seseorang konon individu itu antirasuah. Padahal rasuah kecil-kecilan inilah yang paling dominan.
Jika anda rajin, merayaulah waktu malam. Tunggu di mana simpang, intip dan selidik.
Apabila ada lelaki Bangladesh atau Indonesia lalu, maka ada seseorang menahannya. Tengok itu dan ini, Berapa kamu bagi? "RM50" - ini adalah gambaran biasa di bumi Malaysia. Wang di mana-mana diminta oleh para "pengemis" - istilah mudahnya adalah "peras ugut".
Sayang, tidak seorang pun berani melaporkan benda ini. Kerana orang sudah membuat tanggapan ada apa dengan RM50, sedangkan yang RM50 juta pun tak peduli? Yang Rm500 juta pun tak kisah.
Kefahaman tentang wang ini masih rendah di kalangan masyarakat. Ada sebabnya. Mereka tak mahu dipayahkan dengan bermacam soal selidik yang berbelit-belit. Soal selidik itu akan mengganggu tugasan mereka yang kebanyakan kerja kilang. Mereka rakyat asing, jika lebih-lebih nanti bimbang mereka sendiri yang terjerat kerana tidak faham tentang kaedah dan sistem yang ada.

HEBAT
Berbalik kepada kes NFC tadi, apabila peruntukan asal menurut kertas kerja berjela-jela adalah untuk ternak lembu daging, maka begitulah wang itu akan disalurkan, bukan untuk membeli kereta mewah, bukan untuk membeli banglo atau kondo mewah. Kalau beli kondo RM9.8 juta bagi menempatkan lembu daging tidak mengapa juga sebab ia masih ada kaitan. Maklumlah, teknologi ternak lembu daging di Malaysia jauh lebih hebat daripada teknologi di Belanda, New Zealand dan Australia.
Mungkin pakar-pakar antarabangsa akan datang ke Malaysia untuk mengkaji keberkesanan meletakkan lembu daging di kondo mewah, bagaimana pengurusan kondo sibuk menguruskan soal najis dan rumput kering untuk makanan lembu, dan bagaimana sukarnya pihak pengawal keselamatan kondo itu mengawal keadaan apabila lembu-lembu banyak mengganggu pengguna lain di dalam lif. Maka lif bombalah yang dijadikan pilihan. Pada pintu lif bomba itu diletakkan lambang lembu. Ia khas untuk membawa naik dan turun lembu-lembu istimewa.
Maka, kawasan persekitaran kondo itu persis kandang lembu, bau najis lembu harum semerbak. Najis lembu perlu dikutip dan dibuang setiap hari. Ada petugas khas mengutip najis lembu. Seorang kontraktor Melayu diberi tugasan itu dengan lima pekerja rakyat asing. Tidak ada masalah, tuan punya kondo tidak bising apabila lembu dibawa masuk naik lif. Bahkan anak-anak kecil yang tinggal di kondo itu bangga kerana mereka berjirankan lembu.
Kesibukan keluar masuk membawa lembu dari ladang ke kondo "Meraung" itu memang membuatkan kawasan sekitar jadi sibuk dan macet. Bayangkan, lori keluar masuk bawa rumput, bawa lembu, bawa doktor haiwan dan sebagainya.
Apa pun, projek lembu daging yang dijangka akan menambah keluaran daging dalam pasaran domestik tidak jadi kenyataan. Di Parlimen, orang-orang dari kelompok BN ikut mengulas. Memang ada di kalangan MP yang rasa iri hati. Jika bagi projek kepada seorang senator, kenapa tidak bagi kepada senator yang lain dan MP lain? Ini baru adil.
Maka tidak hairanlah apabila Bung Mokhtar sudah berani bangun mengkritik masalah ini. Yang benar tetap benar, apa hendak diselindungkan lagi. Ia akan jadi liabiliti kepada Umno dan kerajaan UBN. Usaha Khairy Jamaluddin hendak membela NFC dalam soal beli kondo pun tidak menyengat. Orang lain tidak peduli sangat kerana ada perasaan "geram" kerana masih ada menteri yang tidak faham dengan permasalahan masa lampau.
Apakah mereka tidak ingat dengan berbagai masalah yang menimpa projek-projek mega di bawah tatakelola UBN? Isu Kerpan, isu Perwaja, isu GLC, isu Pelabuhan Klang, isu kapal selam, isu Altantunya, isu Perimekar, isu SPR, isu tuntutan Bersih 2.0, wah...banyak isu yang perlu ditangani, tetapi sejauh ini semuanya terkapar dan terbiar. Rakyat kecil yang selalunya dinafikan oleh pemerintah hanya disogokkan dengan laporan yang indah khabar dari rupa.
Rasanya isu lembu ini tidak menjadi jika tanpa laporan odit, kemudian ada Pak Menteri bercakap hendak mendakwa mereka yang menyalahgunakan kedudukan, dan sekarang rakyat kecil menunggu apa tindakan susulannya. Yang memelikkan orang kecil, kes besar yang dianggap berprofile tinggi (mana tak tingginya sebab di kondo berapa tingkat?), maka orang itu tuduh pihak ini, dan pihak ini tuduh pihak itu. Ada yang kata, mereka tak ada kuasa menyiasat, dan pihak yang satu kata belum ada laporan belum ada arahan dan macam-macam alasan.
Senang cakap, isu lembu ini mungkin akan jadi macam isu kapal selam. Ketika orang sibuk membincangkan soal perkara itu, pihak yang terkena akan sibuk pula menggunakan isu dangkal seperti video seks. Gunanya untuk mengalihkan tumpuan rakyat kecil kepada isu lembu. Agaknya, isu lembu itu ada kaitan dengan Hari Raya Haji, dan sekarang sudah dekat nak menyambut Awal Muharram, maka pihak tertentu berharap isu ini sejuk.

SISTEM KITA
Begitulah sistem yang ada di bumi kita. Banyak isu yang tidak selesai, semuanya ditangani secara retorik belaka. Mereka bising untuk menambahbaikan, tetapi pada masa yang sama mereka juga menambahrosakkan apa yang ada. Mereka merosakkan minda rakyat kecil dengan slogan dan momok habuan, habuan RM100 negara berkebajikan. Mungkin beberapa tahun kemudian kita dapat berita, ada pihak tertentu menggelapkan wang peruntukan untuk sifulan dan sifulan.
Bukankah kisah begini sudah lumrah? Tengoklah, hanya untuk kursus sahaja, mereka beli yang bukan-bukan, laptop dan printer dibeli semahal-mahalnya (bil tipu), ini sudah menjadi asam garam kehidupan umat Melayu. Tidak habis-habis memanipulasi sebutharga dengan tujuan mendapatkan sedikit imbalan. Jika tidak diajar dengan kaedah begini sejak semula, tentu mereka tidak mempraktikkannya. Barangkali pengaruh politik menyebabkan timbul keberanian melakukan ubahsuai sebut harga, lagipun rakyat kecil di kampung apa tahunya?
Walaupun isu lembu nampak hebat dan dibesarkan, nampaknya media arus perdana masih takut hendak jadikan ia sebagai tajuk utama. Ulasan pun sipi-sipi sahaja walaupun akhbar itu bermoto berani dan tegas.
Buat sementara waktu isu lembu masih panas. Rakyat bawahan menunggu apakah tindakan yang akan dibuat oleh pihak berkuasa ke atas masalah lembu ini.
Masihkah ingat dengan kisah peruntukan dalam bidang sukan pada sebuah kementerian yang berkait dengan kesukanan sebagaimana didedahkan oleh Nadeswaran, wartawan berani The Malay Mail dan kemudian jadi wartawan penting The Sun? Peruntukan besar untuk meningkatkan prestasi sukan negara tidak memberi apa-apa makna, kita masih kecundang dalam apa juga bidang sukan berpasukan. Malah Vietnam dan Mynmar pula boleh mengalahkan kita dalam bidang kesukanan popular. Peruntukan demi peruntukan telah disalahguna.
Tidak ada orang atau pihak yang didakwa kerana salahguna wang yang banyak. Apabila ia menjadi liabliti kepada pihak tertentu, maka kaedahnya ialah diarahkan diam. Maka diamlah sifulan dan kini dia hidup senang lenang.
Bayangkan jika dulu berada di kandang sektor penyiaran? Tentu nasibnya tidak segelimang hari ini. Dan bayangkan pula jika sifulan itu adalah pendukung Pakatan Rakyat, maka hingga ke hari ini sifulan itu akan naik turun mahkamah kerana dimalukan "Pecah amanah" - kesimpulannya, orang kecil mendapati di bumi kita ini perundangan boleh dikatakan YA dan TIDAK atas kapasiti di mana seseorang itu berada.
Andainya boleh dipesongkan perhatian rakyat, maka pesongkan segera, misalnya terjadi tanah runtuh, banjir besar, kapal terhempas, tsunami dan sebagainya.
Inilah kelemahan orang kecil di bumi kita. Pantang ada isu baru, yang lama disenyapkan. Ini adalah strategi dalam kepropagandaan maklumat, membius massa dengan isu-isu jelmaan guna mengarahkan massa kepada kelir "Wayang Kulit" yang baru, bukan lampu minyak tanah (gaslin) tapi lampu yang lebih putih dan bergelimang cahayanya.
Wayang pun dimainkan - rakyat kecil tidak peduli siapa Dalangnya. Biasalah, di bumi kita ini DALANG adalah orang penting yang menggerakkan sesuatu.
Jangan nanti dalam kes lembu ini orang akan mencari siapa DALANGnya, iaitu dalang yang mencetuskan isu lembu ini. Inilah yang terjadi di bumi kita. Keadaannya sudah lari dari permasalahan yang dasar. Lain buat hal, lain pula yang dijadikan isu. Semua ini adalah kemungkinan yang tidak dijangka dalam tindak-tanduk politik untuk membenamkan isu. Walllahu a'lam. []

Saturday 12 November 2011

PAGAR MAKAN PADI

Jangan nak ketawakan kalau ada pengawal keselamatan yang diibaratkan pagar makan padi. Setahu penulis, di Sekincan sana, di Pasir Panjang sana, adalah kawasan sawah. Sawah kami di sana tidak ada pagar pun. Justeru harapkan pagar makan padi ni kena baca ulang untuk memahami maksudnya. Atau mungkin kena buat yang baru dan lebih sesuai.
Ada seorang pengawal keselamatan berkhidmat di Bangunan Loke Yew, dekat Bangunan Sultan Abdul Samad, masa itu dia berkhidmat dengan Syarikat Helang Keemasan. Bertugas sif siang dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Dia kerja macam biasa. Masa itu dia tinggal di Sentul Pasar. Entah betul atau tidak kurang pasti. Ini berdasarkan sembang kawan penulis.
Nama budak sekuriti tu Muthu. Dia kalau bercakap dengan bos syarikat atau bos-bos syarikat yang ada di bangunan itu bukan main lembut. Pandai ambil hati.Pandai ampu, dan pandai segala-galanya. Akan tetapi kelemahannya jika ada pitih dia akan minum sikit, kasi ringan kepala.
Kerja tak ada masalah. Dia cukup jaga budak-budak bawahannya. Dia baik dengan budak-budak yang kerja dengan Bueken, dengan budak-budak Portmouth University,dengan budak-budak kerja pejebat peguam, masa itu Mahkamah Perusahaan pun ada di situ, tingkat tiga kalau tak silap. Ada pejabat mewah yang konon jadi think tank sebuah syarikat yang menjadi penasihat untuk segala macam projek, konon projek di Sepang, projek di Putrajaya, syarikat Henry & Butcher, dan banyak lagi.
Biasanya kalau hari Sabtu, pejabat sampai pukul 1.00 petang. Maka relaks sikitlah Muthu dengan kawan-kawannya bertugas. Budak-budak di situ, hanya jaga parking lot yang ada, terutama kawasan parking VIP yang kekadang menimbulkan kekecohan. Orang kaya memang berlagak habis, siap pemandu dan tempat parking yang tak boleh dikacau-ganggu.
Muthu hanya kena jaga agar orang luar tak sebarangan keluar masuk, kena ronda di lantai bawah, tempat parking, dan hingga ke lantai paling atas, boleh nampak Dataran Merdeka. Hari Sabtu biasanya Dataran Merdeka ada persembahan riuh rendah. Maka orang melayu biasanya berjejalan kalau ada pesta, tak kiora pesta apa pun. Malam minggu, tempat parking penuh. Maka Muthu selaku ketua sif malam memantau sekitar.
Dalam hati Muthu, malam itu dia boleh kaut duit dengan membuka ruang parking di lantai bawah bangunan itu. Kenakan bayaran RM3-RM4 pun tak apa. Orang mesti bayar punya sebab tempat itu dekat. Malam itu secara diam-diam Muthu bertugas seorang diri. Seorang lagi petugas sesi malam disuruh tidur. Tak ada masalah Muthu boleh jaga seorang.
Dalam pada itu Muthu selaku ketua pengawal sesi malam lupa. Dalam banyak-banyak kereta yang masuk untuk parking di lantai bawah bangunan itu adalah budak-budak pekerja pejabat di bangunan itu. Maka budak itu dengan bijaksananya telah menggunakan telefon bimbit merakamkan adegan yang berlaku.
Esoknya, budak yang jadi pemandu kereta mewah bos sebuah syarikat yang jadi perencana segala projek hebat di sana-sini melaporkan, "Malam tadi ada orang dah kantoi!" katanya.
Siapa dia yang kantoi tu? Siapa lagi Muthu.
Dan kisah kantoi dapatkan duit parking kereta secara haram itu telah pecah secara diam-diam. Che Ali Che Mok yang tinggal di Gombak pun geram bukan main. Dia bekerja memantau hal ehwal keselamatan bangunan itu selain hal berkaitan dengan keselamatan banjir. Maklum bangunan itu dekat sungai, kalau hujan lebat, siren di bawah bangunan itu akan berbunyi. Budak bertugas akan berkejar ke bawah, tekan butang siren tadi supaya diam. Kemudian tutup lubang air. Gunanya agar limpahan air sungai tidak masuk ke lantai bawah bangunan itu.
Hari Ahad, kerja macam biasa budak Muthu itu. Tetapi dia nampak gelisah dan tak menentu.Masuk hari Isnin, Muthu sudah cabut. Tembelangnya pecah. Budak bawahan termenung. Tak sangka, orang yang diharap menjadi ketua dah buat hal. Maka Muthu terpaksa menipu kawan-kawan kerjanya dengan mengatakan dia ada hal. "Saya punya saudara ada masalah, dia suruh saya balik cepat ke Sentul." Muthu pun naik motosikal tinggalkan bangunan itu. Dia tak akan datang lagi ke situ. Maka kecoh, konon pihak pengurusan bangunan hendak menyaman Helang Emas dan macam-macam. Temberang Che Ali sahaja.
Dipendekkan cerita. Budak Muthu kemudian tak kerja. Ke mana nak lari. Kerja sekuriti bukan senang, kamu lari, bermakna satu sen tak ada duit. Kalau kejadian "pecah amanah" berlaku setelah dapat gaji tak apa. Atau setelah dapat pinjaman RM200 pada setiap 20 haribulan.
Mana tahan nak menganggur lama. Budak Muthu lari ke Balakong. Cari kerja di sana. Dia pun dapat kerja dengan sebuah syarikat Arm....Gaji RM850, begitulah penulis diberitahu. Syarikat Nippon Express. Bukan syarikat bas ekspress, tetapi syarikat pengangkutan.
Setiap hari lori kontena keluar masuk. Dari Penang, dari Johor, dari Singapura, dari Kuantan (barang alat ganti kenderaan), dari Bangkok pun ada.
Dapatkah Muthu mempertahankan dirinya sebagai seorang pengawal yang menjaga padi di sawah? Tengoklah cara dia bekerja di situ. Menurut seorang kawan, di tempat baru ini, dia boleh tidur di kawasan tempat kerja, tak payah balik rumah, tidur di rumah khas untuk para pemandu. Maka Muthu bolehlah jimat.
Dia kerja dengan tekun, banyak dia bagi cadangan itu dan ini, dia boleh membodek habis bos syarikat pengangkutan itu.
Pendeknya percaya habislah. Hanya kelemahan dia, apabila bertugas di situ, jumpa geng dia yang kaki minum, maka dia akan masuk ke rumah kontena untuk teguk sedikit. Apabila sudah meneguk dia mula mengantuk mabuk. Maka urusan keluar masuk, rekod dan laporan setiap jam dan minit ditulis oleh rakannya. Rakan banyak membantu ketika Muthu mabuk.
Apabila ada ruang, Muthu boleh berleluasa menanam kepercayaan kepada seluruh kaki tangan bawahan syarikat. Disebabkan sesama bahasa pertuturan, maka dia ramai kawanlah, kawan minum pun ramai. Maka keadaan tempat kerja makin selesa benar bagi dia. Padahal menurut laporan budak-budak kerja di situ yang penulis diberitahu, budak-budak hanya menipu syarikat sahaja. Rekod kedatangan ada, tetapi orangnya tak ada. Begitulah yang terjadi setiap malam. Ada budak Melayu bertugas malam, dengan pakaian cincai, selekeh, hisap ganja lagi, kemudian berdengung. Pukul 3.00 pagi balik ke rumah langsung tak muncul lagi.
Di situ pihak ibu pejabat selalunya membuat panggilan kepada pos-pos kawalan yang ada.
"Keadaan bagaimana? Berapa orang bertugas? Baik? Okay!" Itulah yang selalu disebut apabila ditanya oleh petugas di ibu pejabat. Ada juga pegawai ronda yang datang pada waktu pagi kita-kira pukul 4.30 atau lebih awal lagi.
Setelah setahun lebih kerja di situ, Muthu semakin dipercayai. Boleh diamanahkan. Nak dijadikan cerita, pada hari cuti umum, bos Billy tidak ada di situ, budak kerja pun tak ada, kunci van syarikat diletakkan pula di dalam laci di bawah kawalan Muthu.
Muthu pun pandu van syarikat menuju ke belakang, punggah zink yang terbiar dan apa sahaja yang boleh dibawa keluar untuk dijual di kedai besi buruk. Dia pun punggah zink dan aluminium, sementara sahabat baiknya yang tak tahu membaca dan menulis Si Kalimuthu menunggu di pondok kawalan utama.
Biasanya dia akan mencatatkan keluar masuk lori. Misalnya sebuah kontena masuk. Jam 8.35 pagi. WHB4702,T762. Termasuk nombor trelar yang diheret. Apabila keluar, ia dicatat sekali lagi, sebab kepala lori itu akan membawa kontena lain misalnya T821 pula. Ada barang atau kosong. Kena periksa kontena itu dulu.
Si Muthu yang sudah dipercayai kejujuran dan amanahnya telah memunggah zink terpakai untuk dijual di kedai besi buruk. Sudah berangan-angan nak dapatkan duit, boleh beli air minum dan boleh mabuk lagi. Hari minggu boleh rehat dan mabuk sikit.
Kebetulan masih cuti umum, keadaan lengang, hanya Muthu dan Kalimuthu sahaja yang ada di situ. Maka, Muthu pun dengan penuh yakin memandu van syarikat yang diamanahkan kuncinya menghala ke depan pejabat.
Dalam masa yang sama, entah bagaimana bos besar masuk dengan mercedeznya. Mak oi, Muthu gelabah bukan main. Dia pakai uniform jaga tapi bawa van syarikat. Bos besar berhenti. Dia keluar dan tahan van yang meluncur dari arah belakang kawasan parking kontena dan lori.
"Nak ke mana?" tanya bos besar.
"Ada...ada...," merapulah Muthu menjawabnya. Dia kata nak hantar zink keluar, pegawai anu suruh hantarkan zink itu keluar.
Bos besar tak percaya. Dia terus minta kunci. Ketika dia hendak letakkan kereta mercedeznya, Muthu sudah kelam-kabut capai sana-sini dan terus cabut meninggalkan kawasan Nippon Ekspress. Ini kes kedua dia kantoi lagi. Mana nak tutup muka.
Kalau repot polis memang ada kes. Kes pagar makan padilah. Tapi ini kes kecil, orang kecil curi zink nak dijual di kedai besi buruk.
Pengajaran cerita ini, seseorang pegawal keselamatan yang biasa melakukan kerja tidak jujur, pecah amanah, akan tetap melakukan di tempat lain. Dalam kes ini penulis tertarik dengan kisahnya sebab, Muthu telah melakukan dua "kecurian" sedangkan dia diamanahkan sebagai ketua kepada para pengawal lain.
Seperti diceritakan oleh seorang sahabat, kecurian pertama yang kantoi, mengutip bayaran parking kereta di lantai bawah bangunan Loke Yew Dataran Merdeka (2006) dan kemudian memunggah zink buruk untuk dijual (2008) di Balakong.
Berdasarkan kisah orang biasa ini, tidak hairanlah, ada pegawai kerajaan berkedudukan pecah amanah, pegawai atasan atau bawahan pun sama. Soal duit akan merabunkan semua orang. Kadang-kadang orang boleh hilang pertimbangan.
Sebut harga yang melampau dan memanipulasi harga barangan adalah perbuatan yang biasa dilakukan oleh kalangan kita. Lagi-lagi kalau ia melibatkan projek perdana. Tengoklah kisah lembu dengan Shahrizatnya. Tengoklah kes kapal selam. Kes Pelabuhan Klang. Kes korek pasir. Selagi ada ruang, orang akan melakukan apa sahaja kejahatan yang tersembunyi.
Dalam kes syarikat pengangkutan umpamanya, masih ada pemandu yang membuat klaim duit minyak yang berlebihan. Alasan, lori kuat makan minyak. Setelah direkodkan secara rahsia, bukan masalah enjin lori, tetapi pemandu tidak mengisi penuh tangki minyaknya walaupun resit menunjukkan seolah-olah penuh, begitu juga ada lori kontena yang mengelak di jalan tol, tetapi dia dapat klaim dari tol orang lain. Resit tol boleh dibeli.
Kisah Muthu yang tak serik-serik ini mungkin boleh dijadikan pengajaran. Berhati-hati dengan orang yang bermulut manis. Kuat mengampu dan mengatakan serba boleh buat itu dan ini.
Kisah ini sengaja dipaparkan kerana ia mewakili kisah orang kecil. Kisah orang kecil biasanya orang tak peduli. Kisah mereka juga perlu dipaparkan.[]

MINI MARKET PULA TUTUP

Kisah Pakcik Jaga masih menarik perhatian penulis. Apa tidaknya, ada sebuah kisah lucu yang dialami oleh pakcik ini dalam tahun 2011. Masih segar lagi. Berlaku pada hari Khamis. Dia solat di masjid jamek berdekatan, solat zuhur kerana ada tazkirah menarik. Sambil mendengar tazkirah Pakcik Jaga mencatat mana poin-poin penting.
Sebenarnya cara dia buat begitu memang betul. Penulis tak pernah nampak orang bawa buku catatan ketika tazkirah. Padahal jika bawa buku catatan, mereka boleh catatkan poin-poin penting tazkirah. Tidak seperti Pakcik Jaga yang amat teliti dalam soal mencatat.
Tidak hairan dia suka pakai seluar banyak poket. Pen dan buku nota kaiz kecil memang selalu ada dalam poket kiri seluarnya.
Setelah mengikuti tazkirah dan solat zuhur, dia pun menyusuri jalan Tun Perak, Lebuh Ampang dan menuju ke sebuah kedai yang terkenal juga, mini market Carefour, pekerjanya Melayu belaka. Akan tetapi suasana kedai itu tidak menarik, muram, patutlah pelanggan tidak masuk sangat.
Pakcik Jaga keluar dari masjid terus masuk ke situ sebab nak cari sesuatu. Dia berjalan dengan membawa beg galas berisi buku bacaan dan buku nota. Beg galas itu kosong, sebab dia belum beli apa-apa.
Ketika dia bergerak ke bahagian belakang pasar mini itu, seorang lelaki menghampiri Pakcik Jaga. Orang muda itu tidak minta maaf pun kerana mengganggu Pakcik Jaga.
"Boleh saya periksa beg?" pinta lelaki itu.
Setelah dibuka zip, beg galas itu tak ada apa, ada buku berjudul ZIKR karya Ibnu Atha'illah (w.709/1350M) iaitu penulis kitab terkenal AL-HIKAM. Kemudian anak muda itu memeriksa poket seluar Pakcik Jaga itu kanan dan kiri. Apa yang ada, buku nota saiz kecil. Tasbih dan minyak wangi (atar).
Anak muda yang memeriksa Pakcik Jaga itu adalah kononnya sekuriti dalaman yang berwawasan yang tugasnya tip-top, berjaya mengurangkan kes kecurian barang.
Merah padam muka Pakcik Jaga. Bayangkan anda pun akan terperangkap dengan perasaan yang serupa kiranya anda baru keluar dari masjid Jamek Bandaraya dan kemudian ditahan sebaik sahaja masuk ke pasar mini Carefour.
Dengan sebab tahanan rambang itulah Pakcik Jaga mula menuturkan doa kutukan agar mini market itu ditutup dalam waktu terdekat, atau dilindungi agar tidak dimasuki pelanggan untuk selama-lamanya. Dia berdoa dengan keadaan marah.
Setelah itu dia pun berdiri di depan kaunter, bertanya apa nombor telefon mini market itu? Kepada siapa dia hendak berhubung? Dia tidak puas hati dengan sikap bodoh anak muda Melayu itu memeriksa Pakcik Jaga yang hanya membawa tasbih, buku nota dan pen  ketika masuk pasar mini Carefour.
Budak jaga kaunter terkebil-kebil. Pakcik Jaga masuk ke Carefour semula kerana tidak puas hati dia ingin bertanya siapa pegawai bertugas termasuk sekuriti dalaman yang sibuk hendak menangkap orang itu.
Sayangnya, budak-budak itu sudah keluar. Kata hendak jaga sangat daripada dicuri, tetapi ketika itu hanya ada seorang sahaja yang berada di kaunter. Perkara ini kiranya dilaporkan ke ibu pejabat syarikat tentulah memalukan.
Akan tetapi dengan berkat doa dan kutukan oleh Pakcik Jaga, sebagaimana yang dia pernah lakukan ke atas sebuah supermarket di Selayang tahun 2006 yang lampau, maka mini market Cartefour pun menerima nasib yang sama. Kedai semakin lengang, tak ada siapa masuk. Macam lalu tepi kubur. Dan oleh sebab kesal dengan kejadian itu, Pakcik Jaga tidak mahu jenguk lagi kedai itu dengan harapan kedai itu tutup, dan biarlah budak-budak yang berlagak itu menganggur. Kedai Carefour itu kini sudah tutup. Maka Pakcik Jaga memberitahu penulis, dia gembira, doanya telah dimakbulkan.
Kedai yang begini, apabila dikunjungi budak dadah mereka tak periksa sangat, akan tetapi apabila datang lelaki berkupiah akan diperiksa. Keyakinan mereka tinggi bahawa orang yang berkupiah ini pencuri ulung di tengah kota ini. Dan gara-gara itu, Pakcik jaga tidak akan masuk ke mana-mana kedai mini Carefour. Ini sebagai pengajaran. Sama juga kebencian Pakcik jaga ini dengan kedai di Jalan Masjid India dekat pondok polis itu. Orang ramai memang berjejal konon nak dapatkan barang murah, kalau setakat nak beli sebuku sabun, carilah kedai lain. Buat apa bersesakan begitu. Dan biasalah, muka Melayu sahaja... []

Friday 11 November 2011

KISAH PAK MAN

Pak Man ni pelik. Dia tinggal di Balakong, Taman Impian Ehsan kalau tak salah. Kerja di pusat pengajian tinggi UPM, Serdang, masih bujang walau dah berusia. Pergi kerja naik teksi. Balik kekadang naik bas. Walau kerja di pusat pengajian tinggi, apabila bertemu kawan-kawan kerja yang tidak setaraf dengannya, Pak Man ni banyak yang tidak tahu. Dia lebih banyak bertanya walaupun kepada Pak Jaga yang lebih berusia darinya.
Mungkin dia kurang bijak menggunakan ruang yang ada untuk menambahkan ilmu. Dia lebih gemar bekerja siang dan malam. Pelik kan? Siang kerja ikut time pejabat dari pagi santak ke petang. Lepas balik dari kerja dia terus berkemas kerana dalam pukul 7.00 malam dia kena masuk kerja sebagai pengawal keselamatan.
Orang ini memang rajin kerja. Akan tetapi bolehkah bertahan bekerja berterusan begitu? Jika pegawai kerajaan bercuti di hujung minggu, dia tetap bercuti tetapi malamnya kena kerja. Masalahnya, selama mana dia boleh bertahan tidak tidur, atau tidak cukup tidur.
Ada kawan dia di pejabat kata Pak Man ni mata macam burung jampuk, macam burung hantu. Dia ketawa sahaja. Duit banyak nak buat apa?
Memang banyak mana pun tak cukup. Apa dibelinya? Memang tak beli apa pun, kereta tak ada, motosikal pun tak, apalagi basikal. Hairannya sejak tahun 2007 lagi dia sanggup bersengkang mata kerja di sebuah syarikat pengangkutan di Balakong, Nippon Ekspress, jadi pengawal dari pukul 7.00 malam hingga 7.00 pagi.
Menurut kata kawannya yang tinggal di Taman Impian Ehsan, Balakong, dia tidur sambil duduk, kepala menyandar ke dinding. Kawan setugas yang memantau dia jika ada pegawai ronda datang.
Inilah yang dianggap pelik. Kerja pengawal keselamatan ini kata orang yang dah kerja, ia merupakan kerja yang berterusan tak ada cuti, tak ada kenduri-kendara, tak ada hari raya, tak ada... selagi tak ada pegawai gantian.
Gaji bukan sebanyak manapun, bagi orang luar konon pengawal bergaji Rm1,200 lebih. Itu sembang atas kertas, Pak Man beritahu melalui SMS baru-baru ini, gaji dia hanya RM950.00, itupun kata dia bulan lepas bagi tak penuh.
Inilah kisah pengawal keselamatan yang diperas dan diperkuda oleh pihak syarikat. Ada juga tugas yang disub-subkan. Pakai unoform Syarikat Anu, tetapi sebenarnya ia digaji melalui sub Syarikat  Ana.
Kekadang seronok juga apabila dapat sembang-sembang dengan pengawal keselamatan yang bertugas untuk kita mengetahui keadaan mereka.
Kisah Pak Man ini satu contoh. Dulu apabila ada cuti Pak Man akan hubungi saya. "Aku ada di Bukit Bintang!" kata dia. "Datanglah boleh sembang-sembang." Saya balas, buat apa pergi Bkt Bintang, baik kamu tidur di rumah. Malam kerja, siang kerja, tak penatkah?
Dalam diam-diam sebenarnya di dalam relung hati Pak Man ada sesuatu rahsia terpendam mengapa dia perlu kerja begitu "kejam" sekali. Hak tubuhnya untuk berehat tidak diberikan. Kini, setiap malam dia kena bekerja walaupun diberi upah RM950.00. Campur gaji sebelah siang di pejabat dia dapat dua ribu lebih mungkin dekat tiga ribu. Tak cukup Pak Man? Tak cukup.
Itulah keluh kesah seoerang kenalan berasal dari Ipoh dan kini tinggal di Balakong. Kegigihan dia mencari wang sehingga sesekali lekat di rumah menjadi persoalan juga.[]

TIADA HAD UMUR KATA PAK JIB

Orang BN sekarang lena tidurnya. Sana-sini sekarang sibuk cakap fasal pilihanraya, mereka fikirkan siapa nak jadi calon baik yang Adunnya atau MPnya. Semua orang dah mencongak, ada yang bakal tersingkir dan bakal dicalonkan. Di Masjid India ada senator sibuk buat majlis itu dan ini, panggil sifulan dan sifulan, tujuannya tak lain untuk menonjolkan komitmen diri dalam kepartaian. Begitu dengan orang-orang Mubarak(Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia) - Pak Jib bercakap tentang hal usia untuk bertanding ini di depan Mubarak sebab mungkin ada orang dalam Mubarak yang teringin hendak kembali bertarung di gelanggang.
Pak Jib kata yang penting dalam menentukan calon BN kali ini adalah calon yang MESTI menang. Sebab pilihanraya kali ini dianggap sengit. Pak Jib mengalu-alukan ahli Mubarak menguatkan kepimpinan parti berikutan perubahan landskap sosial politik pada masa ini yang berlaku dengan pantas kerana taraf pendidikan yang makin meningkat, revolusi teknologi komunikasi dan maklumat serta fenomena globalisasi atau dunia tanpa sempadan. Pak Jib juga ingatkan sesiapa yang turun padang agar jangan mendabik dada di depan golongan muda.
Pak Jib menasihatkan Mubarak, sedangkan Pak Jib pun belum tentu membawa perangai itu ketika berdepan anak muda. Yang lepas-lepas anak muda sebaliknya menempelak beliau kerana kenyataan yang tidak konsisten, sekejap boleh dan sekejap tidak, orang begini mengelirukan dan tidak boleh dipercayai. Jika melihat kepada kritikan media terhadap Pak Jib, memang dia menghadapi persaingan paling sengit dalam pilihanraya kali ini, justeru jangan anggap BN akan menang dengan mudah.
Dan tidak menghairankan ada keluh-kesah mengatakan, undi pos naik mendadak di kawasan Nuru Izzah, bukankah ini hendak memberi ruang kepada Makcik Senator tu ruang untuk masuk bertanding semula. Jika memang mudah-mudahan kes lembu itu boleh dipendamkan, dan jika kalah lagi, apakah akan menjadi Senator semula? Jika orang yang bermaruah, tawaran itu akan ditolak.
Selain itu ada pula perubahan-perubahan lain yang seolah-olah dirancang bersama SPR untuk menambahkan lagi senarai pengundi jin, hantu, iblis dan halimunan untuk mengundi calon BN dalam pilihanraya akan datang. Gunanya supaya calon yang berumur, yang dah tak berdaya maju, yang tak ada idea membina dicalonkan semula. Kita pun tak percaya, Pak Jib bercakap jujur. Sebabnya, Mubarak ini bukanlah berkuasa sangat, mereka semua bekasan, selalunya bekasan akan bercakap lantang sebagai bekasan, yang dia bimbang kiranya para bekasan itu bercakap di atas pentas PR. Itu yang dibimbangi. Bukan soal had umur atau apa, tetapi kata orang nak menunjukkan bahawa mereka ada "harapan" untuk diambil sebagai calon pilihanraya kali ini. Biasanya, menjelang pilihanraya mana-mana yang tercicir atau rasa tidak diendahkan akan merajuk dan bercakap merapu di pentas politik orang lain. Biasalah dalam politik. Apabila Pak Jib menjanjikan soal usia tidak diambil kira sangat, maknanya legalah orang-orang yang perasan penggal perkhidmatan mereka akan ditamatkan. Itu ucapan ambil hati sahaja.
Ketika kecoh dan dekat pilihanraya nanti, ia jadi lain pula. Mubarak entah ke mana, Perkasa entah ke mana dan Amanah bagaimana pula? Adakah Amanah hendak bertarung juga dalam pilihanraya kali ini? Orang pun hairan juga bagaimana dengan orang-orang yang melompat itu? Adakah mereka ada ruang untuk dilantik sebagai calon BN? Tidak mungkin. Orang Umno mesti mengamuk kerana menunggu terlalu lama untuk jadi calon, sedangkan orang yang lompat, tak ada jasa apa pun, hanya jasa melompat nak diberi peluang bertanding sebagai calon BN? Tentulah tidak sama sekali.
Kali ini Pak Jib mesti pening kerana masalah dalam Umno akan menjadi kelam-kelibut sebab berebut jawatan dan berebut jadi calon. Tengoklah nanti.[]

Wednesday 9 November 2011

ALKISAH PAKCIK JAGA SUPERMARKET

Kisah berlaku lebih kurang dalam tahun 2006. Pakcik Jaga ini tinggal di sebuah asrama di Kg Bahru, Kuala Lumpur, dekat bangunan Naza, Jalan Raja Muda, Kuala Lumpur. Dia berulang-alik naik Rapid ke Selayang untuk bertugas sebagai jaga. Kerja jaga bukanlah mudah. Biar paku berderet di kedua belah bahu, gaji macam tu jugak. Nampak gah dengan uniform sahaja, beban tugas berat.
Begitulah keluhan Pakcik Jaga. Kebetulan dia ketika berada di Masjid Jamek pernah bertemu dengan Pak Kassim Ekor Kuda, kerana rambutnya diikat ke belakang, Pak Kassim ada ijazahkan sedikit "ilmu hikmah" kepada Pakcik Jaga melalui Pak Husein Ali, dari Pak Zain Yahya (pelakon drama). Menurut Pak Kassim, amalkan suatu amalan yang dia peroleh di masjid pada suatu ketika itu dari seorang alim yang berada di alam keghaiban.
Maka Pakcik Jaga pun mencatatkan ilmu yang dituturkan oleh Pak Zain. Kita tak dapatlah nak terangkan secara terperinci sebab nota temuramah telah hilang dari simpanan. Antara yang diingat oleh Pakcik Jaga adalah melakukan amalan pada waktu tengah malam hingga menjelang Subuh atau sebelum Subuh. Sediakan kain warna hijau, potong elok-elok macam sejadah. Ketika seseorang itu solat sunat hajat umum, letakkan kain hijau itu di bahagian belakang seolah-olah nak jadi imam solat.
Kata Pak Zain, yang solat di belakang anda ketika itu adalah jin-jin Islam. Mereka akan mengaminkan doa anda. Setelah selesai solat dua rakaat, duduklah berwirid, jika umur Pakcik Jaga 53 tahun, dia kena baca sebanyak itu. Sedekahkan fatiha kepada arwah-arwah orang yang rapat termasuk guru-guru, selawat atas Nabi SAW mengikut bilangan umur pengamal, kemudian membaca surat al-Ikhlas sebanyak seribu kali. Ada lagi kaedah yang tidak diingat kerana penjelasan Pak Zain dan Pak Hussein diambil dalam masa dua hari, pada waktu yang berbeza.
Maka Pakcik Jaga itu pun amalkan ilmu hikmah itu selama dua malam berturut-turut. Dia rasa seronok beramal begitu. Semakin khusyuk jadinya pada tengah malam berwirid di dalam kamar.
Di masjid ketika terserempak Pak Kassim, Pakcik Jaga beritahu, "Aku dah buat seperti mana yang kamu berikan selama dua malam."
"Insya-Allah! Kamu akan dapat apa yang dihajatkan," kata Pak Kassim tanpa memberitahu apa maksud hajat itu.
Tidak ada apa-apa. Kalau diamalkan pun akan dapat pahala, jangan fikir soal apa yang akan dapat.
Dipendekkan cerita, gara-gara amalan yang dilakukan selama dua malam sahaja, dan itu sudah berlalu sekian lama. Tetapi, mulut Pakcik Jaga jadi masin.
Contohnya, ketika dia bertugas sebagai ketua keselamatan itu, dia sering diganggu oleh anggota sekutiri dalaman yang cemburu kerana Pakcik Jaga naik pangkat begitu mudah, dalam seminggu sudah ada satu paku. Soal paku bukan penting sangat. Tetapi orang yang tak tahu dunia jaga, akan anggap ia hebat benar.
Bagi Pakcik Jaga ia tak ada apa-apa.
Sebagai jaga di supermarket, bos supermarket yang juga sesekali ronda akan beritahu Pakcik Jaga apa yang kena dan tak kena. Banyak perkara yang tak kena diberitahu kepada Pakcik Jaga, biasanya, pegawai bawahan Pakcik Jaga tidak kemas, baju keluar, hisap rokok waktu tugas, atau duduk di pintu masuk pasaraya. Ini semua hal remeh temeh. Pakcik Jaga sebagai ketua kena ronda, dan cek budak-budak pekerja supermarket masuk kerja. Belum lagi jaga orang bawahan. Gaji tak seberapa. Maka Pakcik Jaga pun stress amat.
Suatu hari anak buah bos besar datang jumpa Pakcik Jaga, dia tuduh jaga itu lepaskan satu troli barang yang tidak dibayar. Mana ada? Kecoh dan geram betul. Sejak itu Pakcik Jaga mulai tidak senang bertugas di situ. Nampak kelibat anak buah bos dia akan melafazkan semacam doa kutukan.
Dan pada suatu hari ketika berpeluang pindah ke lokasi bahagian pakaian di tingkat atas, Pakcik Jaga dengan geramnya telah berdoa, menadah tangan dan menolak ke arah pintu naik ke bahagian atas. Maksud menolak itu agar tidak ramai orang shopping di atas. Alhamdulillah. Permohonannya dimakbulkan, hari Sabtu, tingkat atas lengang tak ramai orang naik. Budak perempuan yang jadi juruwang terkuap-kuap mengantuk tak ada orang nak beli. Sabtu malam Minggu pun begitu.
Maka Pakcik Jaga teringat solat dua rakaat yang dia buat dulu. Masih ampuhkah?
Dia pun hairan dengan apa yang terjadi. Dia tertanya-tanya ketika solat sendiri di surau terpencil di bangunan itu. Keesokan harinya, apabila nampak sahaja anak buah bos lalu dan kebetulan pegawai atasan sekuriti dalaman menemui Pakcik Jaga dan mengadu banyak hal, maka Pakcik Jaga pun berdoa lagi. Mohon diberi kemudahan dan tunjukkan di mana kebenarannya.
Dan petang itu dia berdoa lagi akan berlaku sesuatu di bangunan itu. Nah, esok paginya ketika dia masuk kerja, seluruh anggota keselamatan bangunan sudah kecoh. Kenapa? Kedai jual telefon kena pecah. Telefon bimbit kena curi. Pencuri naik ikut bumbung bangunan. Ikut tiang tepi naik dan naik ke siling bangunan. Masuk ke dalam kedai, buka peti pameran. Gara-gara kes ini sekuriti dalaman pening kepala. Ketua sesi malam letak jawatan. Pakcik Jaga senyum sahaja. Tertanya-tanya juga, adakah disebabkan dia duduk berdoa dan membacakan ayat-ayat tertentu ketika sangat stress kerana diperlekeh dan diperlecehkan oleh anak buah bos?
Selang dua hari kemudian Pakcik Jaga menguji ilmu hikmahnya lagi, dia berdoa di pintu tangga naik ke tingkat atas supermarket itu. Dia berdoa kerana dia rasa dia selalu dizalimi oleh petugas dalaman supermarket itu, semua pegawai Melayu yang kerja sekuriti di situ memandang rendah Pakcik Jaga. Dianggapnya orang bodoh, tak berpelajaran patut jadi jaga.
Maka kali ini berdesing lagi telinga Pakcik Jaga. Dia pun berdoa lagi dan minta didatangkan apa sahaja bala ke atas pemilik supermarket dan petugasan bawahannya, iaitu mana-mana yang berbuat zalim ke atas dirinya.
Nak dijadikan cerita, pada pagi itu dalam pukul 10.00 pagi ketika bahagian atas (bahagian pakaian dan beg) hendak memulakan perniagaan, tiba-tiba lampu dan pendingin hawa tak berfungsi. Gelap. Pintu bahagian atas ditutup. Bahagian bawah pun bergelap. Terpaksa dapatkan tenaga sokongan tapi tak cukup. Apa yang terjadi. Selaku petugas keselamatan Pakcik Jaga pun memeriksa apa yang berlaku. Kabel elektrik di bahagian pembekalan yang ada di bangunan itu sudah terbakar. Pakcik Jaga senyum. Tertanya-tanya apa yang telah berlaku?
Sudah berlaku beberapa perkara yang mencarik pemikiran Pakcik Jaga.
1. Pelanggan tak naik pada hari Sabtu malam Minggu ke tingkat atas.
2. Berlaku kecurian kedai telefon bimbit.
3. Kabel terbakar- seluruh pasaraya bergelap.
Untuk mempastikan tidak berlaku apa-apa lagi, Pakcik Jaga tidak mahu melanjutkan permintaan lagi kerana mulutnya masin.
Adakah ini berkat shalat dua rakaat sebagai imam dan mengimami jin solat malam (andaian dan agakan Pakcik itu sahaja seperti gambaran Pak Kassim ketika mengijazahkan ilmu hikmah ini).
Keadaan makin meruncing, pada suatu ketika pihak sekuriti dalaman mahu rasuah. Jika syarikat sekuriti tempat Pakcik Jaga hendak sambung kontrek, pihak syarikat perlu sediakan cek tunai setiap bulan, sekeping cek RM300 untuk ketua sekuriti di situ, dan RM300 untuk pegawai Melayu yang ditugaskan membuat pemilihan syarikat sekuriti.
Bayangkanlah, hanya perkara kecil begini pun ada rasuah. Inilah pegawai Melayu di sebuah pasaraya yang letaknya di Selayang, Selangor. Tak perlu disebut apa nama pasarayanya.
Gara-gara pihak syarikat sekuriti enggan melayan permintaan rasuah itu, maka pada hari itu bos Pakcik jaga mengarahkan agar buat kejutan.
"Suruh semua orang berkumpul di pintu keluar, pintu dua, buka uniform, tinggalkan pasaraya ini dan kita lepak di warung tomyam tepi jalan, okay?" begitu pesanan Encik U.
Maka Pakcik Jaga pun tinggalkan tempat itu. Dia tidak bekerja sebagai jaga lagi, tetapi sejak dia tinggalkan jaga, dia pernah tersepak sampul surat 4x9 mengandungi duit RM450.00, dan dalam minggu yang sama dia dapat lagi RM50.00 duit terpijak di depan Kamdar, atas rumput. Semua ini mungkin berkat amalkan ilmu hikmah dari Pak Kassim.
Satu lagi sebelum berpisah Pakcik Jaga hanya berharap, "Pasaraya ini akan terbakar suatu hari nanti!"
Itupun kerana pegawai ronda tanya. "Apa lagi yang kamu nak doa?"
"Tak ada apa, biar bangunan tu terbakar habis!" kata Pakcik jaga melepaskan geram.
Setelah tinggalkan tempat itu setahun kemudian, berita kebakaran sebuah pasaraya dibaca oleh Pakcik Jaga. Ada budak Vietnam mati terbakar. Pakcik Jaga tentu kenal dengan budak Vietnam itu kerana mereka sama-sama mengecat dan pasang rak-rak di lantai dua supermarket itu. Pakcik Jaga pun tahu sejarah permulaan lantai dua yang menempatkan pakaian, beg dan barang elektrik.
Sejak Pakcik jaga tidak mengamalkan baca wirid hingga seribu kali selepas solat sunat dua rakaat, mulut Pakcik Jaga tidak masin lagi. Walllahu a'lam.[]

TENTANG SEKS BEBAS DI KL

Ketika blog ini disiapkan, di luar sana masih kecoh tentang Perhimpunan Seks Bebas, benakah akan diadakan perhimpunan dengan tema sedemikian? Bodoh benarlah penganjur jika gunakan tema itu. Sebenarnya perhimpunan itu pernah diadakan sejak tahun 2008-2010 yang lalu. Dan sebagai susulan daripada jadual mereka, ia sepatutnya akan diadakan pada tahun ini.
Sayangnya, wanita yang menjadi orang kuat nak adakan sesi pertemuan bagi membincangkan isu seksualiti ini adalah orang yang sama menganjurkan Bersih 2.0. Dendam kesumat terhadap wanita keturunan India ini masih membara di kalangan pihak tertentu, dan inilah masanya mereka hendak membalun. Secara tak langsung dikenenkan kepada Pakatan Rakyat. Bukan isu seksualiti sangat, tetapi siapa Ambiga itu.
Penulis bukan bersetuju dengan agenda untuk memartabatkan golongan minoriti ini, tetapi rasanya, bising-bising yang berlaku ini hanya kerana Ambiga dulu pernah menganjurkan Bersih 2.00 dan berjaya menghimpunkan ramai orang terutama kalangan pembangkang. Pihak penguasa melihat tokoh wanita ini mahu menganjurkan benda lain pula, hendak "membela" golongan minoriti yang berkelakuan ganjil  dalam masyarakat, iaitu:

1. Mereka yang mengamalkan homoseks - termasuk dalam kelompok ini adalah gay, golongan lembut seperti di Lorong Hj Taib atau di Bangunan Wisma Genting Jalan Sultan Ismail. Dan mereka yang mengunjungi club eksklusif di sekitar Bukit Bintang.
2. Mereka yang mengamalkan lesbian - di kalangan wanita, termasuklah puak pengkid, perempuan berlagak jantan, berkepit ke hulu ke hilir.
3. Kelompok yang bersahabat dan bersekongkol dengan kelompok 1 dan 2 di atas atas dasar status, menjaga imej, sekadar bersosial, berseronok atau menikmati kebebasan.
Senang cakap, mereka ini bolehlah dianggap penggiat dan pengamal pemikiran liberal (baca Charles Kurzman(ed), Liberal Islam: A Sourcebook, sudah ada terjemahannya Wacana Islam Liberal, Paramadina, Jakarta, 2001).

Perhimpunan seksualiti itu berkemungkinan hanya sebagai wadah bagi mereka mengemukakan pendapat tentang seksualiti berdasarkan naluri, pemikiran liberal, berdasarkan hak asasi manusia, ya kerana mereka yang menggerakkan perkara itu adalah kalangan mereka yang berpendidikan liberal - dan tak mungkin seorang yang berpendidikan agama akan menyertai kelompok ini - justeru mereka hanya mengikutsertai kerana semata-mata dasar hak asasi manusia. Sebagai aktivis masyarakat, mungkin mereka mahu mencari kelainan dengan mengikutsertakan kelompok minoriti tadi agar kedudukan mereka diberi perhatian.
Memanglah kelompok yang sudah menyimpang dari kebiasaan ini payah hendak diluruskan. Seseorang lelaki gay tidak akan melenyapkan kenafsuan gaynya apabila sentiasa bergaul di kalangan mereka. Begitu seorang yang lembut (Mak Nyah) akan bergaul dan berkelompok dengan komuniti mereka baik di lorong-lorong, di ruang butik, ruang andaman, ruang gubahan dan sebagainya. Mereka ada kelompok tersendiri.
Rakan-rakan dan kelompok inilah yang membentuk jatidiri mereka, mereka tidak akan lepas dari kelompok yang dirasakan sesuai dan menerima keberadaan mereka.
Golongan lesbian akan mencari kelompoknya. Sebenarnya di negara kita tidak ada sebuah kelompok besar yang dianggotai oleh tiga kelompok tadi sehingga membentuk sebuah persatuan yang mengancam orang lain.
Tanpa persatuan mereka sebenarnya telah menghidupkan "persatuan" mereka di kelab-kelab eksklusif yang mereka sering kunjungi.
Kelompok gay dengan dunianya, kelompok lesbian dengan dunianya. Mereka pun ada kelompok tertentu yang menggambarkan status pekerjaan dan pendidikan mereka. Kalangan gay dan lesbian jalanan tentulah berbeza dengan gay yang kelas atasan.
Keadaan di Barat jauh bezanya dengan suasana di tempat kita. Budaya Melayu memandang serong terhadap amalan songsang seperti aktiviti golongan gay.
Dunia gay dan homoseks ini mungkin berlaku di negara kita sebagai ujian yang Allah turunkan berupa bala. Bala yang Allah turunkan kerana di negara kita isu yang tidak habis-habisnya disebut orang hingga mengaibkan seseorang tanpa belas kasihan ialah isu liwat dan homoseks.
Ketika perkara ini tidak diketahui masyarakat, isu liwat dibesar-besarkan, setiap hari istilah ini dijelaskan secara terperinci, budak-budak sekolah pun nak tahu apa maksud liwat dan bagaimana hendak menerangkan perlakuan liwat itu kepada kanak-kanak?
Ini adalah kesan daripada keterlanjuran media arus perdana di Malaysia yang tidak menapis bahan, dan sewenang-wenangkan terlalu fokus kepada isu homoseks dengan tujuan menjatuhkan imej seseorang yang menjadi tokoh politik.
Cara fitnah melulu dan memberi gambaran bahawa homoseks menjadi ancaman negara, konon mempunyai kelompoknya dari kalangan elitis, secara tak langsung memburukkan imej Malaysia. Siapa yang merosakkan imej negara ini jika bukan para pemimpin di Malaysia sendiri, pemimpin yang kata mereka sayang kepada Melayu, pantang Melayu diperlekehkan, pantang Melayu diperbodohkan, pantang Melayu diliwatkan, tetapi umat Melayu, pemimpin Melayu sendiri gemar kepada perlakuan keji ini, setiap hari dipaparkan secara besar-besaran bahkan ada pula kes liwat bersiri, siri 1 dah tamat ada siri 2 pula.
Dan sekarang apabila ada pihak hendak menganjurkan wacana tentang seksualiti baik yang berhubung dengan homoseks atau lesbianisme, maka kita jangan gelojoh menuding sana-sini.
Sebenarnya pihak penguasa dengan cara zalim telah membiakkan seksualiti songsang ini secara tak langsung. Sebagai kesan daripada keseronokan pihak pemerintah menjatuhkan imej seseorang musuh politik, inilah natijahnya, orang secara terbuka akan berbicara tentang homoseks dan lesbian. Mereka akan menuntut hak agar diberi pengiktirafan, tak usah diganggu kebiasaan ganjil yang mereka lakukan.
Sebenarnya, tanpa bising-bising pun, kelompok homoseks dan lesbian ini memang sudah bergerak lama. Ia memberi gambaran sebenar isi sebuah kota metropolitan. Tidak dapat tidak, kita harus mengakui, bahawa dasar keterbukaan, membenarkan kehadiran pelajar asing, pelabur asing, apalagi, kita membuat perjanjian perdagangan bersama dengan negara yang sepatutnya tidak dipautkan.
Apabila kelompok homo dan lesbi ingin pengiktirafan ia sama seperti tuntutan golongan minoriti di bumi Malaysia. Bagaimana kita melayan tuntutan minoriti? Begitu jugalah apabila kelompok ini bersuara. Mereka akan meminta sesuatu menurut acuan liberalisme, pemikiran mereka menurut acuan Barat, seperti yang telah disebutkan tadi, tak akan orang berpendidikan agama menyertai mereka.
Dan kita perlu sedar, pengaruh media massa arus perdana penting agar tidak memberi ruang bagi mempopularkan budaya gay, budaya homoseks, budaya lesbian, budaya keMaknyahan, lihatlah bagaimana dunia hiburan kita meluluh-lantakkan budaya sezaman? Lihatlah bagaimana cara media kita melayani para artis yang syok digelar selebriti?
Budaya kota yang cenderung kepada homoseks dan lesbi ini sudah lama bercambah. Dan jangan hairan ada wanita tinggal bersama wanita untuk melakonkan kehidupan suami-isteri, mereka ini terjebak dalam kerancuan seksualiti, bukan tidak tahu ke mana arah hendak dibawa, tetapi sudah begitu bawaan mereka. Di sebuah kondominium di Balakong, penulis menemui seorang wanita berumur yang berlagak jantan (suami) bermotosikal besar, sering membawa beg sandang, dia aktif dalam sukan lasak, dia juga mempunyai seorang "isteri" yang masih muda.
Bayangkan bagaimana keduanya boleh tinggal di sebuah rumah di bangunan kondo 20 tingkat itu? Golongan gay dan lesbi ini ada yang berpendidikan tinggi, telah disebut tadi, mereka berfikiran liberal dan menolak sekatan dan aturan. Justeru mereka memilih lokasi yang eksklusif, kondo mewah, apartment mewah, villa dan sebagainya. Di situ mereka berkelompok, berpencaran di kalangan masyarakat biasa untuk melupuskan pengenalan diri masing-masing.
Salah satu bentuk homoseks jalanan yang popular di tengah kota kita ialah apa yang orang muliakan sebagai MakNyah. Kelompok ini diberi liputan yang menarik oleh media, bahkan ada wartawan menulis kisah malam mereka. Mencari pelanggan. Jika lelaki berpakaian wanita, jika lelaki menelan pil hormon untuk menghaluskan kulit, memontokkan payu dara, beraksi wanita seksi, apakah tugasan mereka pada waktu malam? Mereka bukan pelacur wanita, tetapi adalah pelacur lelaki tetapi mengenakan pakaian gaya MakNyah. Mereka ini adalah pecahan daripada kelompok homoseks dan gay tadi.
Golongan ini memang dipandang biasa oleh masyarakat, mereka bergerak bebas dalam dunia butik, dunia andaman pengantin, dunia solekan, jurumekap artis, tukang masak, pelayan dapur, wartawan, artis dan sebagainya. Maknanya, masyarakat kita telah menerima kehadiran MakNyah atau lelaki lembut ini. Buktinya, drama TV kita, filem melayu kita, media hiburan kita, memberi ruang secukupnya kepada golongan ini untuk mencambahbiakkan kecelaruan gender itu dalam bentuk tulisan, dalam bentuk tanggapan, ulasan semasa dan wacana mereka yang menggambarkan perasaan dalaman mereka sebagai Waria(wanita pria). Ada yang menggelarnya kelelawar kerana keluar pada waktu malam, mereka sekadar ingin memenuhi hasrat seksualiti mereka yang terpendam.
Kita tidak sentuh lagi dalam bab pandangan Islam terhadap kelompok yang keliru dengan kegenderan mereka. Kelompok ini menjadi masalah di tengah kota. Ketika satu pihak mencemuh dari sudut agama, ada pula kelompok liberal membela mereka kerana inilah hak asasi manusia namanya. Maksudnya, setiap individu bebas melakukan apa sahaja yang dikehendaki mereka. Bagaimana mereka hendak menterjemahkan sesksualiti mereka, itu adalah hak peribadi. Mereka menolak kaunseling dan nasihat yang menjurus kepada kebaikan. Dan jangan bicara tentang kaum Luth yang telah menerima hukuman dari Allah SWT.
Biasanya, apabila seseorang itu sedang menuju ke usia emas, maka istilah yang melibatkan tiga kelompok itu akan dibuang secara perlahan-lahan. Mereka pun akan insaf jika mereka menyedari Islam itu anutan sebenarnya. Mereka akan mencari arah untuk pulang ke pangkal jalan - taubat nasuha - dan menjadi individu bertaqwa. Kelompok ini bukan golongan jalanan dan mereka mampu untuk melakukan transformasi keimanan dan ketaqwaan secara berperingkat sebelum mengakhiri sebuah kehidupan yang penuh dengan kenistaan.
Nah, jika kita fikirkan secara mendalam, kepada siapa kita nak salahkan jika persoalan seksualiti menyimpang ini menjadi bahan kegerunan di hujung tahun 2011? Bukankah ada pemimpin Melayu sendiri yang menyemarakkan agenda kumpulan gay dan lesbi? Tanpa publisiti berlebihan dan tanpa adanya kes-kes berkaitan seksualiti seperti liwat dan sebagainya, maka keburukan ini tidak akan tertimpa kepada umat Melayu. Sekarang tiba masanya kita untuk bermuhasabah diri. Kita bukan benci kepada perlakuan songsang itu, malah kita memeriahkan lagi agenda kelompok ini dengan mencipta kes-kes untuk diperdagangkan bagi tujuan menjatuhkan imej seseorang. Inilah natijah. Wallahu a'lam. []