Monday 31 October 2011

TIGA EKOR KUCING

Ada tiga ekor kucing jantan. Namanya Lintang, Tengku Cik dan Sitam. Ibu kepada kucing ini namanya Mak Ching. Tiga ekor kucing jantan ini tinggal di sebuah negeri bernama Merali. Pada kiraan komuniti kucing itu, Tengku Cik bakal ditabalkan sebagai raja segala kucing di negeri itu. Tapi apakan daya, sifat lemah lembut Ku Cik dan tidak tegas menyebabkan perlantikan ditangguhkan.
Tengku Cik dan adik-beradiknya cukup berdisiplin. Mereka buang air kecil di dalam bilik air, ada yang buang air kecil di atas singki dapur terutama Si Lintang. Sitam pula kencing di satu bekas khas. Manakala untuk berak, ketiga kucing jantan itu menuju ke tandas berpasir yang khas disediakan.
Punyalah menjaga disiplin, ketiga kucing ini tidak pernah kencing atau berak merata-rata. Maka tuan punya kucing itu selalu memuji kucing yang cerdik belaka dan bersekolah di Sekolah Rendah Perkucingan, Merali.
Tiga kucing ini terkurung dalam rumah tuannya Makcik Gayah.
Suatu hari, ketiga-tiga kucing itu diperintahkan keluar rumah. Maka ke tiga-tiganya pun gembira bukan main dapat keluar rumah. Mereka berjalan ke sana-sini dan mencari lipas.
Itulah kepandaian kucing jantan tiga ekor itu. Nak tangkap cicak pun belum mahir, jadi ketiga-tiganya hanya kutip lipas yang tak berguna atau cengkerik.
Setelah dapat, Cik atau Lintang akan masuk ke rumah ikut celah-celah tingkap. Lipas itu dilambung-lambung macam bola. Seronok dua ekor kucing itu bermain bola lipas. Datang Makcik Gayah, lipas itu dirampasnya dan dibuang ke luar tingkap. Apa lagi?
Lintang dan Tengku Cik pun termenung. Bola permainan sudah dirampas oleh Makcik Gayah.
"Cik! Apa sebab tuan rumah kita rampas lipas yang kita main?" tanya Lintang.
"Tak kan kamu tak tahu?"
"Kenapa?"
"Makcik tu makan lipas!"
"Yakah?"
"Ya, tak ingatkah kamu? Setiap kali kita bawa masuk lipas dalam rumah, pasti Makcik Gayah akan rampas lipas tu, agaknya sedap tak lipas tu? Dia masak apa ha?"
"Tulah, lain kali kalau kita dapat lipas jangan main depan Makcik Gayah, nanti kena rampas lipas tu."
"Habis nak main kat mana?"
"Main di luarlah, kalau dalam rumah Makcik Gayah ambik."
Tapi Pak Gayah suami Makcik Gayah selalu tolong Lintang dan Cik tangkapkan cicak untuk dijadikan permainan. Kedua kucing jantan itu manalah tahu makan cicak. Sejak kecil ketiga kucing ini hanya makan ikan proses dalam tin. Ikan sardin mentah dipotong kecil, atau sardin dalam tin. Kemudian biasa makan biskut bermacam nama yang dibeli. Ada yang sedap dan ada yang tak sedap.
Suatu ketika, kerana terlalu asyik bermain, ketiga kucing jantan itu telah melakukan kesalahan besar yang menyebabkan Makcik Gayah marah bukan main.
Apa tidaknya, meja bulat kayu jati milik Makcik Gayah sudah pecah cerminnya. Entah siapa yang pecahkan cermin bulat itu, tak ada siapa yang nampak. Baik Tengku Cik, Lintang dan Sitam, ketiganya buat selamba sahaja ketika Makcik Gayah marah-marah. Nak marah siapa? Cik, Lintang atau Sitam? Ada dendanya?
Marah Makcik Gayah sekejap sahaja. Lepas tu dia akan pujuk balik Cik, Lintang dan Sitam.
Makcik Gayah kutip serpihan cermin bulat yang biasanya terpasang di meja kayu jatinya. Makcik Gayah tak boleh marah ketiga-tiga kucing itu. Mereka binatang, apalah tahunya.
Beberapa hari kemudian, kucing-kucing itu jadi murung. Ada yang keluar rumah sudah lewat tengah malam baru nak masuk semula. Makcik Gayah perasan. Walaupun kucing itu tak faham bahasa manusia, tetapi naluri kehaiwanan itu boleh dibaca.
Makcik Gayah bukan marah sebab pecahkan cermin meja bulat. Tidak. Makcik Gayah pujuk Lintang, Sitam dan Cik.
Bagi tiga ekor kucing itu, sejak cermin meja pecah, keadaannya sudah berubah. Ketiganya tidak aktif bermain lagi dalam rumah. Kadang-kadang hujan renyai pun mereka nak keluar. Entah nak cari apa di luar sana. Lipas? Cicak atau tupai tanah?
Selang beberapa hari kemudian Sitam pun batuk-batuk. Dia selesema. Kata Makcik Gayah Sitam demam. Sitam tak selera makan. Asyik tidur sahaja kerjanya. Makcik Gayah pujuk Sitam makan, tetapi kucing itu tak mahu makan. Merajuk agaknya.
Dan entah bagaimana, Sitam makin murung sejak kejadian itu. Sitam asyik tidur di tempat sejuk sahaja. Bilik air atau tandas jadi sasarannya. Nak minum pun tak mahu. Lintang dan Cik susah hati juga. Kini hanya mereka berdua yang keluar bermain. Sekejap keluar dan masuk semula. Mereka tidak berani pergi jauh sebab akan bergaduh dengan kucing luar. Ada tak adanya, Lintang menunggu di tepi tingkap. Kalau dia nampak tupai tanah, Lintang akan lompat mengejarnya.
Tanpa diduga, Sitam jatuh sakit. Dua ekor kucing tidak aktif lagi bermain bole kertas atau lipas. Keduanya murung. Musim hujan menyebabkan keduanya tak dibenarkan keluar oleh Makcik Gayah.
Sitam jatuh sakit hingga ia mati dalam bilik air. Esoknya, Pak Gayah tanam bangkai Sitam di belakang dapur rumah. Kalau tidak salah Pak Gayah, kawasan itu sudah jadi macam kubur kucing. Kalau diberikan batu nisan, berceracaklah nisanya. Tapi, kubur kucing hanya terletak di bawah pokok mangga dan tempat Makcik Gayah bakar sampah.
Kini tinggal dua ekor kucing milik Makcik Gayah, Lintang dan Tengku Cik. []

KISAH CURI SAWIT

Gara-gara curi sawit jadi kecoh seluruh kampung. Bukan apa, dulu kampung yang satu ini hanya terkenal sebagai wadah kelapa kering dan padi sahaja, kemudian ditokok dengan biji kopi, tak menjadi, tukar kepada koko, gred koko tak bagus, tukar kepada sawit. Hinggakan siapa pun tak jangka, dari kelapa kering menjadi kelapa sawit, dah macam Felda pula layaknya. Kini kalau masuk kampung, kelapa sawit di mana-mana, dah macam Felda atau ladang sawit.
Disebabkan sawit ada harga, sawit yang sudah dikait dan dilonggokkan dicuri dek kaum. Bukan siapa punya kerja. Khabarnya dari tuan punya ladang itu sendiri. Maka kecohlah. Orang itu tuduh si fulan, yang lain tuduh si fulan. Tuduh menuduh menyebabkan hubungan di antara penduduk kampung tak berapa ngam. Apa tidaknya, asyik tuduh orang lain, tup-tup, anak sendiri yang buat hal.
Ini kisah biasa di kampung. Di kampung tersebut (tak payah sebut namalah) memang dari dulu terkenal dengan dadahnya. Jadi kalangan cerdik dan yang tak pandai pun memikirkan kenapa jadi demikian, padahal kawasan itu adalah zon selesa Umno Tegar.
Umno Tegar tak pernah ambil kisah pun dengan masalah dadah. Yang sibuk di KL sahaja. Umno di kampung syok sendiri. Nak jadikan cerita sahabat baik saya di zaman 70-an dulu ramai yang tergolek jadi doktor pakar belaka, mereka suntik lengan dan paha, lepas tu jarum penyucuk diselitkan di celah pangkal pisang. Datang doktor lain pakai jarum yang sama. Itulah punca merebaknya anak-anak kampung tergolek dan kemudian menjadi bahan kajian cerdik pandai dan cerdik bodoh di kalangan cendekiawan negara.
Agaknya ini satu kepuasan kalau melihat orang kampung tergolek. Yang puas adalah semua aparat penguatkuasaan di peringkat daerah, mukim dan kampung, mereka lepas tangan. Mereka hanya tahu serbu dan tangkap. Tetapi punca segala masalah tidak dikenal pasti. Di mana pengedarnya? Waktu bila mereka masuk ke kampung?
Tentang hal ini jangan kiranya anak siapa lagi yang terlibat dengan gejala tak sihat ini, anak kerani ke, anak posmen, anak petani, anak pesawit, anak nelayan, anak cikgu kecik atau cikgu ganal, semua terlibat, pendeknya jangan nak megahlah kutuk sana, kutuk sini, dan kerabat kita pun terlibat sama.
Jadi, berhubung dengan kes curi sawit ini, ada yang diusir dari kampung supaya berkelana jadi calon gelandangan di tengah kota. Gunanya untuk menutup kes curi sawit. Khabarnya, walaupun beberapa orang penagih dah diserkup atas aduan yang menjengkelkan, masih ada kes kecurian sawit.
Soalnya, siapa pula yang mencuri?
Sejak orang kampung ada kebun sawit, lagak kampung sudah berubah. Mereka kaya raya, setiap rumah mesti ada sebuah atau lima buah kereta tersadai di depan rumah. Ada yang macam orang putih tuan punya ladang, kereta ke kebun lain, ke ladang lain, pendeknya hebat!
Di KL sahaja ramai orang hidup melarat. Orang kampung hidup senang lenang. Kalangan yang pencen gomen lagilah hebat. Pendeknya mereka jadi ketua pada segala-galanya.
Akan tetapi, masalah yang menggejala sekarang ialah isu dadah. Ia tidak dapat ditumpaskan kerana rangkaian pengedarnya licik, dan mungkin seperti di tahun 70-an awal ada anak pembesar daerah terlibat sama. Itu yang menyebabkan masalah tak boleh selesai. Datang Khir Toyo pun langsung tgak guna. Masalah tetap masalah. Khir bukan peduli soal dadah di kampung, dia hanya sibuk di Shah Alam dan KL.
Sesekali jenguk kampung, saya dengar celoteh orang kecil di kampung. Celoteh orang besar tak guna. Dia akan cerita yang baik-baik sahaja. Orang kecil kena dengar juga.
Sehingga ke saat ini, masalah kecurian ini memang tak boleh nak kawal. Sebagai pengajaran, lepas potong, kumpulkan dan kemudian angkut sekali dan terus jual. Jangan longgok lama-lama.[]

INTISARI DAN DZULNUR'AIN

Dua majalah ini tinggal kenangan. Ada tak adanya, kedua majalah ini tersimpan di Perpustakaan Negara. Kedua majalah ini wujud bermula dengan Intisari dan kemudian muncul pula rakannya Dzulnur'ain. Intisari lebih fokus kepada cerita-ceriti biasa, tentang apa sahaja termasuk yang mistik, bergantung kepada situasi. Walaupun saya pernah duduk di kerusi nombor dua dalam majalah itu, sebenarnya isi majalah lebih dikuasai oleh Abu Bakar Ninggal (ABN).
Kenapa dua majalah ini berada di pasaran pada ketika itu? Tidak lain hanya untuk bergandingan dengan majalah lain yang ada di pasaran ketika itu. Bayangkanlah, selain Mastika, Intisari, Dzulnur'ain, ada Pesona, Misteri, Variasi, Variasari, Visi, Wawancara dan macam-macam lagi. Ini dalam bentuk ukuran saku. Ada yang berbentuk tabloid yang semuanya menyendalkan kisah-kisah yang serupa.
Sesuatu yang ketara pada masa itu adalah setiap majalah akan berlawanan judul muka depan dengan tujuan menarik pembaca.Mereka tidak mengira apakah pembaca akan muak dengan cerita-cerita begitu? Tidak terfikir pun. Selalunya pihak pengedar majalah (semuanya bukan Melayu) akan melaporkan, keluaran kali ini bagus atau keluaran kali ini merosot. Laporan dari tukang edar ini diambil kira, bukan soal matlamat sesebuah penerbitan yang sudah siap dengan wawasan masing-masing.
Apa pun, setiap majalah memuatkan kisah yang sama. Bahan yang dimuatkan adalah kisah-kisah yang dikutip dari berbagai sumber:
1. wartawan majalah itu sendiri mencari bahan dengan cara menjelajah ke sumber asalnya.
2. ada yang mendapat maklumat daripada pembaca yang menghubungi editor mengatakan ada perkara menarik untuk dipaparkan.
3. ada tukang ubat yang menghubungi wartawan atau meja editor meminta agar ditemubual dan diambil gambar kegiatan mereka.
4. ada sumber yang diambil melalui iklan pak dukun, pak bomoh, pak pawang dan apa sahaja sumber.
5. mendapat tugasan daripada editor kanan.
6. bahan daripada surat pembaca.
7. bahan daripada penulis bebas yang ingin belajar menulis (ada pemandu teksi, penganggur dan pekerja swasta yang minat menulis dan bawa kamera mereka buat cerita dan gambar sekali).
8. biasa juga wartawan menghubungi kalangan paranormal yang sudah biasa untuk mendapatkan cerita baru.
9. ada yang menemubual ustaz, kesan daripada tazkirah yang dirasakan menarik untuk diperpanjangkan bahannya.
10. ada pula seseorang yang ingin membuat pengakuan. Hasil daripada pendedahan ini kemudian ada pula yang membuat pengakuan rekaan sahaja, berdasarkan pengalaman orang lain dan diceritakan semula.
11.ada cerita yang terpaksa didramatisasikan kerana tukang cerita tidak dapat memanjangkan cerita menutut alur logika.
Sebenarnya untuk mengisi ruang majalah kecil 128 halaman bukan mudah apabila ia perlu disiapkan mengikut dateline tertentu. Nampak mudah, tetapi apabila telah terlibat secara rutin, secara bulanan, ia kadang-kadang membuatkan kita tension.
Bukan perkara pelik kalau cerita yang dihantar oleh orang luar dianggap kurang ummph oleh pihak editor maka ditokok-tambah. Misalnya kisah zina budak Bangladesh dengan minah Indon. Ia kisah zina biasa, tidak menarik, tetapi di tangan editor ia sudah berubah menjadi kes melekat, hingga dibawa ke hospital kononnya. Tanyalah kepada Dr Ismail Thamby, pernahkah dia berdepan dengan kes melekat ketika zina? Memang tak ada kata dr pakar ini (baca bukunya, Panduan Menjaga Kesihatan Seksual, Batu Caves: PTS Millennia Sdn Bhd, 2006).
Semua ini adalah sensasi. Selain itu kisah orang tangkap hantu masuk dalam botol, kisah toyol, kisah orang jumpa makhluk halus, kepercayaan tahayul, keercayaan khurafat di Alam Melayu dipaparkan. Ada yang berbentuk cuplikan daripada nota-nita silam seperti di dalam Notes and Inquiry, JMBRAS itu. Sumber kisah Tuk Panglima Kinta kahwin bunian itu diambil dari bahan ini. Manakala sesiapa yang rajin semak Jurnal antarabangsa, terbitan universiti luar negeri, memang banyak kajian budaya dan pengamalan yang boleh dipaparkan untuk majalah. Dalam kes ini saya sendiri pernah dapatkan sumber dari ASIAN Comtemporary, sebuah jurnal yang menarik (kes kambing kambing yang dipersembahkan oleh nelayan di Pulau Tuba, Pulau Pinang).
Sebenarnya sumber dari Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu pun banyak. Akan tetapi disebabkan bilangan majalah terlampau banyak (masih kecil jika dibandingkan dengan bilangan majalah dan tabloid di Indonesia).
Berbalik kepada Intisari, walaupun ia cuba bersaing dengan majalah lain, yang kebanyakannya adakan majalah terbitan rakan-rakan penulis belaka. Bahkan ada yang pernah satu bumbung pun. Masing-masing hendak berlawan. Indeks pasaran majalah adalah merujuk kepada mamak yang menjadi agen pemasarannya. Mereka yang menjadi penentu sesebuah penerbitan hendak meneruskan atau tidak bahan-bahan tertentu yang sensasi. Pengedar inilah yang meminta bikin cerita melekat, bikin cerita orang mainlah, dan macam-macam. Pengedar geleng kepala kalau jualan majalah merosot. Padahal dia peduli apa dengan polisi sesebuah majalah, mereka hanya kira laku dan tak laku sahaja.
Disebabkan dah terlampau banyak majalah di pasaran, masalahnya, penjual akhbar dan majalah menghadapi masalah nak menyusun majalah sais kecil ini. Ada yang disusun dengan kemas dan ada yang bertindih, hanya nampak nama majalah sahaja. Isi kisah apa pun mereka tak nampak. Jadi, hampalah siapa yang beranggapan judul zina sampai melekat itu akan menarik minat. Kekadang tajuk sahaja yang hebat, tetapi ceritanya hambar.
Di kalangan orang ramai pun, ada kalangan mereka yang pantang bertemu penulis. Ada sahaja ceritanya. Ramai yang suka bercerita rupanya. Contoh, Arwah Pak Wan Kelantan, rajin bercerita tentang pengalamannya di Kelantan. Dia banyak memberi bahan kisah tentang besi bat sami Siam, guna-guna Siam yang membunuh, kisah petani cabar Allah SWT dengan parang, kisah memancing jumpa hantu dan sebagainya.
Di Chembong, saya bertemu dengan pegawai pertanian yang mendapat benda mistik dari alam bunian. Keris, batu dan selendang (bukan kundu sumai puntianak tau!). Pendeknya, setiap orang suka kalau gambarnya dirakamkan dan ceritanya dipaparkan. Tukang ubat lagi suka. Contoh, kebanyakan tukang ubat akan bentangkan majalah yang memuatkan kisahnya. Kisah dia jual buntat kelapa, kisah dia jual teras kayu, teras buluh, kisah dia ada benda pelik yang ditemui dalam hutan, dalam gua atau yang mendakwa jumpa Puteri Gunung Ledang. Kisah begini perlu dipaparkan mengikut dakwaan mereka, tak perlu diulas logik atau tidaknya.
Seperti kisah seorang lelaki berbadan gempal dari Johor Bahru, dia mendakwa bersahabat dengan amoi yang sudah mati accident. Dia kerap jumpa amoi itu di kawasan jirat Cina. Boleh percayakah? Kemudian dia simpan kemenyan bunian, dia jumpa kucing besar kambing dan macam-macam. Itu belum lagi bab Makam Puteri Jalang di Kota Tinggi. Kisah ini biasa sahaja, tetapi pada penulis yang banyak membaca kisah makam puteri jalang ini boleh dikaitkan dengan kisah dari Jawa Barat tanah Pasundan. Ada kisah wanita mempunyai tanda di lengan. Sesiapa yang nikah dengannya akan meninggal dunia setelah beberapa tahun kahwin. Kahwin lagi dan berlaku lagi perkara yang sama. Ia boleh dikaitkan dengan ilmu hitam atau saka.
Ada juga budak tabligh yang menghubungi penulis hanya hendak tunjukkan batu pelik. Memang batu ini tak ada yang pelik. Jika dilihat dengan mata kasar, biasa sahaja, akan tetapi ada yang menilik dan merekayasa agar batu itu menjadi mistik. Ada urat di dalamnya, ada tulisan kalimah ALLAH dan sebagainya.
Di bandar Baru Sentul, seorang wanita menghubungi majalah kerana ada perkara menarik hendak diceritakan. Sebaik sampai ke tempat wanita itu, tak ada benda yang pelik pun. Terpaksa korek banyak cerita lain untuk mendapatkan bahan yang lebih menarik. Jadi, tidak semestinya setiap kali jumpa orang akan dapat cerita menarik. Banyak yang tak menarik pun. Jika pandai, jadikan ia sebuah cerita yang menarik.
Kekadang untuk mengisi majalah kecil begini, kita perlu kreatif menulis fiksyen. Daripada kisah bisa dijadikan ia luar biasa dan menarik.
Contoh kisah memancing jumpa makhluk misteri, ini sudah biasa. Akhbar perdana pun ada ruangan khas tentang pengalaman memancing. Ada juga temubual yang tidak saya tulis pun, iaitu kisah seorang juruodit dalaman sebuah syarikat perkenal I&P yang buat pelaburan di Kalimantan. Juruodit itu mendakwa dia sebagai gigolo ketika mudanya. Datin-datin jadi sasaran. Ini memang cerita menarik, masih boleh ditulis semula setiap tahun. Kemudian kisah seorang bekas DJ Radio Ibukota yang berkelana ke Banting, Selangor, menjadi khadam kepada bomoh tarik duit. Dia konon boleh masukkan kad ATM dan tekan berapa nak. Konon duit pun keluar berhelai-helai sedangkan akaunnya kosong. Kisah kehebatan diri atau nak tunjuk dia itu berilmu "tarik duit?"
Teringat saya dengan cerita isteri, ketika Ustaz Shauki buat kuliah mingguan di Perkim (30.10.2011) ada seorang wanita mengisahkan pengalamannya bertemu dukun pintar di Ulu Yam, Selangor. Dia beritahu Ustaz Shauki (ada blognya ustad ni) sesiapa nak dapatkan cerita kena bayarlah kepada wanita itu. Wanita itu kata dia ada banyak cerita misteri. Akan tetapi sepanjang saya mencari bahan dan temu ramah orang, tak pernah kita keluarkan biaya untuk bayar cerita. Ada pun belanja makan minum kalau kebetulan sembang di restoran atau warung kecil sahaja. Itu adatlah. Apalagi kalau nak ambil gambar. Kena pandai dapatkan sudut menarik. Ada kalanya kisah saya dapat di laman masjid atau surau.
Wanita yang mendakwa banyak cerita di Bandar Baru Sentul, ketika saya temu ramah untuk dapatkan cerita semakin kalut apabila dia mendakwa penulis adalah anak kepada Presiden Singapura Lee Kuan Yew. Apa ni? Mengarutlah. Disebabkan wanita itu berbicara tak ada sempadan, saya tutup nota saya. Jadi kita perlu nilai cerita bagaimana yang nak dipaparkan. Ada cerita yang boleh dan tak boleh dipaparkan.
Sebenarnya sebahagian besar majalah kecil ini pernah dapat surat cinta dari Jakim. Surat yang mengingatkan kepada editorialnya agar berhati-hati dalam menyiarkan sesuatu bahan. Contohnya, Intisari kena tegur tentang kisah perut busung hingga keluar lintah, konon kerana buatan orang, ilmu hitam. Jakim tidak gemar dengan sebab dan akibat yang begini. Terlalu mengada-ngada. Misalnya, orang yang ketika hidup pindahkan batu pancang sempadan, ketika meninggal kuburnya tak muat, terpaksa digali semula. Atau kerana orang itu begitu dan begini, liang kuburnya ada ular besar atau kala jengking. Ingatlah, semua ini cerita. Bahkan ada kisah-kisah islami yang pernah memaparkan kisah tersebut dan ia diolah semula oleh penulisnya.
Seperti kisah lelaki yang membunuh 99 orang, ia masih boleh ditulis oleh sesiapa pun dalam berbagai bentuk penceritaan guna memberi pengajaran kepada orang lain.
Kedua majalah yang saya ceritakan ini menemui jalan buntu kerana jualan merosot. Bukan dua majalah ini sahaja, majalah lain pun senasib. Yang nampak bertahan sekarang adalah Mastika, Variasari, Misteri dan beberapa lagi masih wujud di pasaran. Sebenarnya mereka beruntung kerana tiada saingan. Kenyataannya, bilangan majalah kecil ini meningkat atau menurun hingga boleh dihitung dengan sebelah tangan adalah berpunca dari pasaran merundum. Orang dah memiliki saluran lain untuk mendapatkan bahan. Zaman dulu novelet Mona Gersang jadi rebutan anak muda. Di pasar-pasar malam anak muda mencari novel panas. Kini yang lebih panas, malah siap dengan gambar sekali sudah ada di depan mata. Kesan dari sinilah majalah kecil semakin menipis, dan mungkin suatu masa nanti tidak ada lagi. Begitulah kisah dua majalah yang kebetulan penulis terlibat dalam pembikinannya bersama Hj Abu Bakar Ninggal, Khairul, Syarifah, dan tak lupa sahabat lama M Jusub Taib (Majusta), arwah Dharmala NS yang popular dengan nama Tuk Awang Ngah itu. Kisah santau yang Tuk Awang tulis banyak merujuk buku yang saya pinjamkan kepada arwah Abdul Muluk Daud. Mereka adalah orang yang pernah terlibat sama dengan majalah Intisari di peringkat awal, dan saya pernah bersama-sama majalah Pesona, Salleh Hamzah dan Rahmah Saad. []

Monday 24 October 2011

Rausyanfikir: Sisi lain tentang sastera

Rausyanfikir: Sisi lain tentang sastera: Oleh Mohd Ali Atan Dalam rencana sastera berjudul Ke Mana Hala Tuju Sastera Melayu? , Zariat Abdul Rani mengemukakan pandangan Syed Hu...

Sunday 23 October 2011

TUJUH LAPIS LANGIT

Firman Allah SWT: "Allahlah yang mnciptakan tujuh lapis langit dan seperti itu pula bumi..." [at-Thalaq: 12]

Abdullah bin Salam telah mendekati Nabi SAW lalu dia bertanya dan terjadilah dialog berikut:

"Ya Rasulullah, dari apakah Allah menciptakan bumi?"
"Dari buih laut."
"Tuan benar! Dan dari apakah Dia menciptakan buih?"
"Dari gelombang."
"Tuan benar! Dan dari apakah Dia menciptakan gelombang?"
"Dari lautan."
"Tuan benar! Dan dari apakah Dia menciptakan lautan?"
"Dari kegelapan."
"Tuan benar! Ya Muhammad, kestabilan bumi itu dengan sebab apa?"
"Dengan gunung-ganang."
"Tuan benar! Kestabilan gunung-ganang dengan sebab apa pula?"
"Dengan gunung Qaf."
"Tuan benar! Kestabilan gunung Qaf itu dengan sebab apa?"
"Dengan zamrud hijau. Warna hijau di langit pun berasal darinya."
"Berapakah jarak tingginya?"
"Sejauh 500,000 tahun perjalanan!"
"Tuan benar! Berapakah garis tengahnya?"
"Sejauh 2,000 tahun perjalanan!"
"Adakah di sebalik gunung Qaf itu ada sesuatu?"
"Di sebaliknya ada 70 bumi dari misik (kasturi)."
"Tuan benar! Apa pula yang ada di sebaliknya?"
"Tujuh puluh bumi dari kafuur!"
"Tuan benar, apa pula di sebaliknya?"
"Tujuh puluh bumi dari anbar."
"Tuan benar. Apa pula yang ada di sebaliknya?"
"Tujuh puluh bumi dari emas."
"Apa pula yang ada di sebaliknya?"
"Tujuh puluh bumi dari perak."
"Tuan benar, apa pula yang ada di sebaliknya?"
"Tujuh puluh bumi dari besi."
"Tuan benar. Apa pula yang ada di sebaliknya?"
"Di sebalik semuanya itu ada 70,000 alam Malaikat yang tidak mengetahui jumlahnya selain Allah. Para Malaikat ini  tidak mengenal siapa Adam dan Hawa, juga tidak mengenal Iblis dan semua pengikutnya. Tasbih mereka adalah tujuh kalimat iaitu: LAA ILAAHA ILLALLAAH MUHAMMAD RASULULLAH."
"Tuan benar! Dan adakah di sebalik semua itu ada sesuatu yang lain?"
"Ya ada, iaitu ular membelitkan ekornya pada semua alam ini."
"Sekarang ceritakan kepadaku tentang penghuni seluruh lapisan bumi itu."
"Penghuni bumi lapisan ke tujuh adalah golongan Malaikat. Lapisan ke enam Iblis dan penolongnya. Lapisan ke lima syaitan-syaitan. Lapisan ke empat ular-ular. Lapisan ke tiga kala jengking. Lapisan ke dua jin. Dan lapisan pertama adalah manusia."
"Tuan benar. Dan tujuh lapis bumi itu berada di atas apa?"
"Di atas lembu jantan."
"Bagaimana sifat lembu jantan itu?"
"Lembu jantan itu mempunyai 4,000 kepala jarak antara satu kepala dengan kepala lainnya sejauh 500 tahun."
"Tuan benar. Lembu jantan itu berada di atas apa?"
"Di atas batu karang."
"Tuan benar. Batu karang berada di atas apa?"
"Di atas belakang huut, ikan besar."
"Ikan besar di atas apa?"
"Di atas lautan yang dalamnya 7,000 tahun perjalanan."
"Tuan benar. Air laut itu berada di atas apa?"
"Atas angin."
"Angin pula di atas apa?"
"Di atas kegelapan."
"Kegelapan di atas apa?"
"Di atas neraka Jahanam."
"Tuan benar. Neraka Jahanam di atas apa?"
"Di atas tanah."
"Tuan benar. Adakah di bawah tanah itu ada sesuatu?"
"Pertanyaan anda  kali ini keliru, sebab tidak ada yang mengetahui apa sebenarnya yang ada di bawah at-Tsaru (tanah) itu selain Allah."
[Kisah diriwayatkan oleh Qatadah dari Abu Khalid r.a.]
Nota: Dunia itu luasnya 14,000 farsakh (1 farsakh= 1 k.8km), seribu farsakh untuk Sudan (orang hitam). Lapan ribu farsakh untuk bangsa Rome. Tiga ribu farsakh untuk bangsa Parsi. Seribu farsakh untuk bangsa Arab. Dan seribu farsakh untuk bangsa China dan Turki.
Sumber: Syaikh Abu Nashr Muhammad bin Abdurrahman al-Hamdani, As-Sab'iyyaatu Fil Mawaa'idhil Barriyyaat, a.b. Idrus H.Alkaf, "Mengungkap 7 Rahsia Gaib", Surabaya:Karya Utama, t.t.

KISAH DUKUN DAN BOMOH

Orang Melayu memang suka jumpa bomoh, dukun, pawang dan sebagainya. Lagi besar gelaran, macam Dr. Khalifah, Raden, Sri Sultan, Mahaguru, maka bertambahlah pengaruhnya atau setidak-tidaknya bubuh aje gelaran Datuk!

Tetapi ingat:


1."Barangsiapa datang kepada bomoh/dukun kemudian membenarkan apa-apa yang dikatakannya, maka sungguh dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad." (HR.Ashabus Sunan)
2."Barangsiapa mendatangi paranormal atau dukun kemudian membenarkan apa yang dia katakan, maka sungguh dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW." (HR.al-Hakim)
3."Barangsiapa yang datang kepada paranormal kemudian dia bertanya tentang sesuatu maka tidak diterima solatnya selama 40 hari." (HR.Muslim)
4."Bukan dari golonganku orang yang mengadu nasib dengan burung atau meramal nasib dengan burung atau berdukun atau didukunkan atau menyihir atau disihirkan, dan barangsiapa mendatangi dukun kemudian membenarkan apa yang dikatakannya, sungguh dia telah kafir kepada apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW." (HR.al-Bazaar dengan sanad jayid)

Hakikatnya:
Semakin ramai orang nak jadi bomoh, dukun atau orang pintar. Ilmu paranormal sekarang boleh dipelajari dengan mudah, dalam masa tak sampai 24 jam anda boleh jadi bomoh atau orang pintar. Berbagai ilmu perdukunan dan penipuan atas nama Ilmu Hikmah bertaburan di sana-sini. Maka orang pun belajar ilmu karut dengan topeng Ilmu Hikmah.
Ramai juga melayu yang sibuk jumpa orang pintar bertanyakan itu dan ini, mendapatkan pengasih, mendapatkan azimat atau tangkal untuk dibawa berjalan, untuk mendapat itu dan ini termasuk kedudukan dan pangkat, hatta untuk pilihanraya.
Teringat:
Ketika saya pergi jalan-jalan ke rumah seorang pelukis bernama Pak Alias di Pantai Dalam, maka isteri Pak Alias memberitahu saya, bahawa tadi ada dua orang ternama datang jumpa isterinya yang juga seorang paranormal wanita asal Pariaman, Sumatera Barat. Ilmu apa agaknya yang dua VIP yang kini adalah PM kita dapatkan dari orang Pariaman tadi? Saya tak nak tanya pun. Cukuplah sekadar maklumat dari Pak Alias sang seniman yang pernah melukis Diponegoro berkuda.[]

KERIS JAWA DAN KERBAU PADANG

Kisah ini dongeng lelucon yang ada kaitan dengan asal usul kenapa orang di Sumatera itu dipanggil Minangkabau.
Kedua mengapa orang Jawa selitkan keris di belakang, sedangkan Melayu moden macam Umno cium keris atau selit keris di depan.
Walhal keris asalnya dari Jawa. Melayu banyak belajar hal ehwal keris dari Jawa.
Dahulu kala konon ada dua kerajaan yang asyik berperang tak henti-henti, itulah kerajaan di Padang dan kerajaan di Jawa. Raja Padang dan Raja Jawa asyik berperang. Keduanya tidak berperang sangat, tapi para perajuritnya banyak yang terkorban.
Orang Padang tidaklah melanggar Jawa, sebaliknya menunggu kedatangan prajurit Jawa ke Sumatera. Masa dulu perajurit Jawa juga pernah pergi ke Malaka untuk berperang menentang musuh di sana. Mana larat, awak bawa keris dan tombak, Feringgi bawa bedil dan pedang!
Oleh sebab perang tak habis-habis, maka keduanya pun berpakat untuk berdamai. Tetapi dengan satu syarat, keduanya tidak perlu tanding senjata, tetapi bertanding - laga kerbau.
Ini sudah dikira idea baru. Masa itu dikira lateral thinking juga macam Edward de Bono.
Maka, kedua pihak pun setuju untuk mengadakan pertandingan laga kerbau. Macam biasa, Raja Jawa kena mengalah. Laga kerbau perlu diadakan di Sumatera bukan di Jawa.
Pihak Raja Jawa siapkan seekor kerbau yang hebat, ukuran badannya pun bukan calang-calang kerbau. Macam adat kratonan Jawa, kerbau hebat itu dipanggil Kyai Gentong Pamungkas. Hebat!
Fikirlah, mana ada kerbau dipanggil kyai? Kyai itu maknanya orang yang yang alim, warak, kaki masjid dan surau. Bagaimana kalau kerbau jadi kyai?
Rupanya bukan itu. Kyai ini tidak ada kaitan dengan watak taqwa seseorang. Ia hanya gelaran. Memang inilah gelaran yang paling popular di Jawa. Kalau haiwan pun dipanggil kyai apalagi manusia yang berkupiah dan berserban.
Untuk siapkan kerbau, pihak Raja Jawa macam biasalah dengan adagt Kejawennya, kerbau dimandikan, diberi mandi bunga tujuh jenis, siap umbo rampenya, bakar kemenyan, mantera dan memantapkan tenaga kerbau agar dapat mengalahkan kerbau pilihan orang Padang.
Sementara itu di Padang, Raja Padang susah hati mendengar Raja Jawa sudah siapkan kerbau bernama Kyai Gentong Pamungkas. Dah tentu kerbau Raja Jawa cukup tangkas.
Penasihat Raja Padang namanya pelik sikit, lucu pula, SUTAN BAGINDO MARINGKIAK MACAM KUDO.
Dah tentu Sutan Bagindo ni dahsyat juga. Mariangkiak macam kudo? Macam kuda bunyinya.
"Aku ada cadangan Pak Raja," kata Sutan Bagindo.
"Apa dia?"
"Jangan takut kalau kita tak ada kerbau bosar macam Raja Jawa punya. Biarlah dia nak namakan Kyai ke Lebai ke atau Ustaz, tapi aku ada cadangan istimewa. Tunggulah, jangan bimbang. Masa pertandingan dimulakan, aku nak buat surprise!" kata Sutan Bagindo.
Maka kemudian Raja Jawa berangkatlah dengan kapal kecil siap dengan kerbau, rumput makanan kerbau, menyeberangi Selat Sunda, langsung ke Sumatera. Berhari-hari bergerak, akhirnya sampailah ke Padang.
Upacara pertandingan pun dimulakan.
Kerbau bernama Kyai Gentong Pamungkas dijampir dan dimantera lagi. Dibakarkan kemenyan dan disertai oleh pawang dan bomoh serta paranormal kondang.
"Pertandingan akan dimulakan sekarang... lihat Kyai Gentong Pamungkas telah masuk ke padang, berjalan mundar-mandir menunggu tandingannya masuk," demikian kata pengacara majlis.
Orang ramai bertepuk. Kebanyakan orang Padang, dan sedikit orang Jawa yang hadir kerana jauh. Jika Raja Jawa bagi duit tambang mungkin ramailah orang Jawa datang ke Padang.
"Diminta pihak Raja Padang mengeluarkan kerbau tandingan mereka!"
Semua orang menunggu dengan sabar.
Seekor anak kerbau telah dilepaskan oleh Sutan Bagindo.
"Apa ni?" kata para penonton. "Masak anak kerbau mahu berlawan dengan kerbau Kyai Gentong?"
Atas muslihat Sutan Bagindo, Raja Padang naik cemas. Kalau anak kerbau dilawankan dengan kerbau dewasa, mana yang menang. Memang gilo Sutan Bagindo. Anak kerbau nak lawan bapak kerbau?
"Gila kamu Sutan Bagindo, kamu memalukan aku," kata Raja Padang.
Tetapi Sutan Bagindo ada siasat, anak kerbau yang hingusan itu tanduknya masih kecil, tapi Sutan Bagindo sudah sambungkan tanduk kerbau dengan besi tajam yang bahaya. Kalau besi itu terkena perut Kyai Gentong, pasti tembus!
Tunggulah dulu.
Orang  Padang resah takut kalah. Akhirnya sebaik anak kerbau itu melihat ada kerbau besar di tengah gelanggang ia terus mengejarnya. Kenapa? Anak kerbau fikir, kerbau besar itu adalah ibunya. Dia mahu menyusu kerana sudah lapar dan dahaga. Inilah peluang baik untuk menetek.
Maka anak kerbau pun terus meluru dan menyeruduk bawah kerbau besar. Anak kerbau mahu menetek. Biar Kyai Gentong itu kerbau jantan, dia tak peduli.
Randukan dari anak kerbau menyebabkan kerbau besar kesakitan. Apa ni? Aku jantanlah! Tak kan kamu nak menetek dengan aku. Kerbau besar berlari mengelak. Bukan apa, dia tak ada mood nak bertarung, bawah badannya sudah luka kena tusuk besi tajam yang disambung pada tanduk anak kerbau.
Apa lagi, anak kerbau terus mengasak dan mengasak mahu menetek kerbau besar. Akhirnya kerbau besar tumbang di gelangggang. Perutnya luka teruk dirodok tanduk anak kerbau.
Anak kerbau terpinga-pinga mendengar orang Padang bersorak. Raja Jawa temungkul melihat kejadian itu.
"Dengan ini kita isytiharkan kemenangan di pihak Raja Padang! Beri tepukan!"
Dengan pengumuman itu kisah perang yang berlarutan antara dua pihak Padang dan Jawa  telah dimenangi oleh Raja Padang.
Raja Padang adalah pihak yang menang dalam laga kerbau tadi. Justeru itu orang Jawa memanggilnya, puak Menang Kerbau. Kamu lawan dengan siapa? Dengan Menang Kerbau.
Maka panggilan menang kerbau itu terkenal di seluruh Jawa.
Raja Jawa tampil mendekati Raja Padang. "Aku menyerah kalah, kamu yang menang!"
Kemudian Raja Jawa mencampakkan kerisnya yang berluk-luk itu ke padang. Sementara kerbau besar Raja Jawa sudah terbaring di gelanggang.
Melihat Raja Jawa mencampakkan keris, Raja Padang berkejar mengambilnya.
"Pisaumu! Aku tak mahu pisau mu ini, kenapa berluk-luk, mana boleh aku gunakan untuk potong daging kerbau?" kata Raja Padang.
"Ambillah aku tak mahu!" kata Raja Jawa.
Raja Jawa berlari. Raja Padang mengejar hendak menyerahkan keris itu kepada Raja Jawa. Raja Padang mengejar dan mengejar. Akhirnya apabila sudah dekat, Raja Padang pun sisipkan keris Raja Jawa itu di belakang ikat pinggang Raja Jawa.
Raja Jawa pulang ke Jawa dengan keris tersisip di belakangnya. Konon, bermula dari kisah tadi, keris Jawa memang disisipkan di bahagian belakang, manaka keris orang di wilayah lain disisipkan di bahagian depan.
Dengan sebab orang Padang telah menang dalam pertandingan tadi, mereka dipanggil Menang Kerbau. Untuk memudahkan menyebut mereka sebutnya Minangkabau.
Semua ini adalah wawasan brilian dari Sutan Bagindo Maringkiak Macam Kudo. Kalaulah Malaysia mempunyai pegawai umpama Sutan Bagindo, tak adalah politik Malaysia ini caca-marba dengan ketuanan melayu dan hidup melayu.
Nasib baik generasi muda Indonesia tidak bilang, "Lihat, malingsia, keris pun dibilangin milik mereka. Melayu malingsia bilang keris milik mereka. Aduh kok jahat banget?" []

IBNU MUSLIM DALAM KENANGAN

Saya pernah bersama Ibnu Muslim (Pak Hussein Yaacob) yang menjadi kolumnis HARAKAH tidak lama dahulu. Seingat saya, ketika zaman tahun 80-an, Pas tidak memiliki akhbar sendiri seperti hari ini, maka Pak Hussein telah menerbitkan Mingguan BUMI, terbitan Arliz Creative, pejabatnya pindah randah, tapi yang lama di Kompleks Damai, Jalan Damai, KL.
Ketika itu saya, Pak Hussein (Ibnu Muslim), dibantu oleh Abdullah Tahir, Rahim Tahir, menyiapkan akhbar tabloid politik. Masa itu keadaan daif. Masih mesin taip biasa. Hantar setting pun jauh. Apabila tiba masa dateline, menggelabah betul, kalau sekarang ni senang aje nak sumbat bahan untuk tabloid.
Bahan blog banyak, sumbat sahaja. Gambar-gambar pun lumayan untuk kisah luar negeri. Nak mengulas pun mudah. Zaman dulu alangkah susahnya, seperti yang saya lihat Pak Hussein akan baca akhbar perdana yang ada pagi-pagi. Kemudian dia panggil saya Misjah Aini, suruh ambil mesin taip. Dia pun mula mereka-reka cerita untuk muka depan.
Tajuk muka depan cukup penting, biasanya kami termasuk Dollah Tahir, Pak Hussein asyik rombak-rombak tajuk depan. Kemudian sisipkan tajuk-tajuk menarik di dalamnya. Seingat saya, pada suatu hari saya dan Pak Hussein solat zohor di Masjid Pakistan lepas itu makan bersama di gerai Pakistan.
Ada suatu hari tu, Pak Hussein nampak Ustaz Ismail Kamus pakai jubah putih solat sendiri di masjid, dia solat sunat. Dan kemudian dia jadi imam solat dalam kelompok kecil setelah solat zohor imam Pakistan dilaksanakan. Jadi tak salah apa pun. Yang saya hairan, Pak Hussein di minggu itu karang cerita untuk Mingguan BUMI, bertajuk DUA IMAM DI MASJID PAKISTAN.
Tergamam saya dibuatnya.
Ketika ini muka Pak Hussein mencuka betul. Mingguan BUMI sasarannya untuk orang PAS yang masa itu tak ada surat khabar mingguan. Di tangan Alias, akhbar Pak Hussein jadi caca-marba nak ikut muka depan The Malay Mail, mesti ada gambar perempuan cantik, tak cantik tak mahu! Inilah selera Alias Mohamed. Dan seingat saya, ketika bersama Dr Alias itu kami siapkan buku The Trial of Mokhtar Hashim.
Penerbitannya Gateway Publication, kalau tak salah.
Saya juga biasa ke pejabat Pas di Jalan Pahang untuk interview tokoh Pas masa itu. Kadang-kadang bersama wartawan The New Straits Time dan Berita Harian.
Ketika bersama Pak Husseinlah saya rapat dengan Pak Sako, Mustapha Hussein seorang perjuangan dari Perak. Sempat temuramah dan tulis kisahnya sikit.
Ketika bersama Mingguan BUMI juga saya kenal dengan anak saudara Pak Hussein bernama Faznan Junoh yang sibuk sangat nak jadi wartawan. Cuma dia kena belajar menulis lagi. Sampai sekarang Faznan sesekali terserempak di Masjid Pakistan, dia lepak-lepak di situ.
Begitulah sedihnya,menerbitkan sebuah tabloid semi politik pada masa itu. Disebabkan Dr Alias ni rapat dengan Tengku Razaleigh Hamzah, maka kenyataan dan suara Ku Li sering dipaparkan.
Akan tetapi Ibnu Muslim tak setuju dengan corak yang dibawa oleh Dr Alias yang mahu menjadikan Mingguan BUMI melarat-larat, ada gambar perempuan tak tutup aurat dan macam-macam hal lagi. Masa tu setting pun guna compugraphic lagi. Sedih juga masa itu.
Kemudian ada pula puak Dato Musa Hitam terbitkan akhbar Harian yang nak mencabar harian lain. Ramai penulis ikut akhbar harian tu, antaranya yang saya ingat kawan saya Rahim Tahir, khabarnya Juwie (Auww!) pun ikut juga, gaji semua lebat-lebat, saya saja tak nak ikut. Sebab saya dah congak, gaji lebat macam tu berapa bulan boleh bertahan?
Sesiapa yang pernah ikut buat harian itu pasti tahu. Lepas tu lingkup semuanya. Bertaburanlah, sehingga Juwie masuk Utusan Melayu! Saya tetap dengan Minguan BUMI yang tak seberapa tu. Tabloid ini akhirnya tak ada minyak nak jalan. Pak Hussein "rampas" semula KDNnya dari Dr Alias. Maka Alias tidak ada media untuk menyatakan buah fikirannya dalam Rencana Pengarang dan Awang Putatnya.
Kini, apabila mengenang zaman serba kekurangan Mingguan BUMI saya terkenangkan Ibnu Muslim, saya terkenangkan Syed Jaafar al-Sagoff yang meringkuk kerana ISA gara-gara jadi tukang sebar risalah untuk al-Quds di Masjid Jamek Jalan Bandar, dan saya juga pernah tolong dia terjemah rencana mengenai Revolusi Iran. Saya ketika itu sedikit pun tak peduli soal Syiah atau Wahabi. Padahal kisah Syiah telah saya gali termasuk al-Kulaninya, mushaf Fatimahnya, dan imam yang ghaibah itu.
Syed Jaafar dari Johor selalu solat di Masjid Jamek, selepas dibebaskan dari ISA dia masih solat di situ dan saya teringat, dia ada membawa seketul batu Karbala. Batu itu diletakkan di tempat sujud. Saya tidak pun dipengaruhi Syiah walaupun banyak membaca bahan tentang Syiah. Dan kisah revolusi dulu pun banyak disiarkan dalam Mingguan BUMI. Agaknya kerana ini ada yang menuduh Syiah ada dalam Pas. Tak betul. Syiah ketika itu adalah fenomena yang mendunia. Semua orang kagum dengan Khomeini, bukan kagum dengan ajaran Syiah. Cara dia menjahanamkan Raja Syah Iran yang angkuh itu adalah suatu kejayaan rakyat. Ketika itu mana-mana negara di dunia yang beraja rasa tersindir apabila Raja yang hebat boleh tumbang dan membawa diri ke luar negeri. Mati dalam kehinaan. Begitulah nasib raja besar. Barangkali ada yang kata, ini semua pengaruh Syiah di Timur Tengah. Monarki goyah kerana Iran dan Syiah? Wallahu a'lam.[]

Friday 21 October 2011

ORANG TEATER

Dulu saya dengar seorang teman bercerita, bahawa seorang penggerak teater bangsawan dikenali (nak kata terkenal tak kena) yang tinggal di KL ada mengamalkan ilmu mistik.
Ilmu mistik bagaimana tanya saya?
Menurut seseorang yang rapat kepada seniman teater itu, tokoh ini seperti mengamalkan sejenis ilmu "gelap" mistik, aroma tubuhnya pada waktu malam sangat tengik, nak kata busuk tak busuk, tapi cukup tengik.
Sebaiknya tak diceritakan kepada orang ramai. Akan tetapi teman tadi dah menyembang di sebelah, saya tumpang dengar sahajalah.
Maka, ghibah itu menyebutkan sang suami aromanya terlalu menyesakkan hidung, hingga tak betah. Maka larilah permaisurinya dari kamar peraduan setelah beradu bersama. Maklum dia selalu memegang watak raja dengan tengkolok, keris bak raja betul (teringatkan kawan yang kata nak tabalkan diri jadi Raja Melaka, saya pun tertunggu-tunggu, bila agaknya?)
Kenapa menyesakkan hidung? Si isteri (bekas) mengadu sang suami yang kebangsawan berteater itu berbau sesak (nak kata bangkai tak sedap), maka permaisuri mengesyaki baginda mengamalkan ilmu.
Ilmu apa? Permaisuri pun tidak tahu.
Dan khabarnya sejak namanya melonjak naik kerana anugerah istimewa, dia pun lupakan permaisurinya buat seketika sampai berpisah terus. Jadi sembang yang saya dengar tadi adalah dari bekas permaisurinya. Betul atau tidak, wallahu a'lam. Ini ada kaitan dengan kisah mistik, mainan orang dulu-dulu untuk tujuan duniawi. Ilmu jenis apakah, masih tidak dapat dipastikan, kerana ia adalah misteri.
Teringat saya kepada teman yang jadi pelakon pembantu, jadi pewarung, jadi penarik beca, jadi macam-macam tukang sampuk (pelakon pembantu untuk beberapa scene arwah Zain Yahya). Skrip dia dirombak-rombak oleh tokoh ini dan jadi milik dia. Dulu tokoh ini pesan kepada Zain suruh buatkan skrip drama, dah buat, macam-macam kerenah pula dibuatnya. Entahlah...! []

SURAU AINUDDIN

Macam biasalah, solat isyak di surau ini. Surau Ainuddin. Berapa ramai jemaahnya? Tidak ramai. Adalah sebaris dari dinding kanan ke dinding kiri. Imam yang itu juga. Bilal yang itu juga. Di surau yang kecil begini saya suka datang. Jemaah kurang bukan apa, surau lain pun ada tidak jauh dari situ. Lagipun masjid besar ada di tepi jalan.
Bagi orang yang duduk dekat surau, surau itulah yang jadi tumpuan daripada pergi masjid besar. Kesian juga kalau jemaah surau itu kekal begitu tak tambah dan tak kurang.
Sebenarnya beginilah keadaan tempat solat sekarang. Di mana-mana pun begitu. Nak mengimarahkan masjid dan surau memang susah. Nak ajak orang ke masjid, selalunya budak tabligh sahaja yang rajin ajak orang pergi masjid, baru balik dari masjid pun disuruh pergi masjid lagi sebab nak diajak ke jalan Allah!
Sebenarnya nak imarahkan masjid senang sahaja, kalau jemaah subuh tak ramai mana, benarkan orang tidur di masjid atau surau. Amanahkan mereka jaga. Hidupkan malam dengan qiamulail sendiri atau berkumpulan.
Peraturan tak benarkan lepak di masjid dah jadi kemestian pula sejak tahun 80-an akhir. Pagar besi kanan kiri, tabung dirantai besar rantai gajah, takut dilarikan orang, sedangkan mesin ATM pun orang nak cangkuk.
Ini cadangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, biar solat Subuh ada rupa. Kalau tidak empat orang saja, imam dan bilal campur orang luar tupun noja atau orang kerja pengawal keselamatan sebab mereka kena masuk tugas jam 7.00 pagi.
Tak percaya jenguklah Masjid Negara, Masjid Jalan Duta, Masjid Jamek KL, tapi jangan samakan dengan Masjid Jamek Kg Bharu yang memang ramai jemaahnya.
Sekarang nak lepak di masjid tak dibenarkan, cakap politik tak boleh, cakap hal hiburan tak mengapa, cakap hal Umno tak apa, atau Satu Malaysianya. Kengkangan terhadap orang ramai untuk mengimarahkan masjid amat menakutkan.
Nak bercakap itu tak boleh, ini tak boleh. Agaknya negara kita memang suka andainya rakyatnya bisu. Apa pun, surau Ainuddin yang saya kata tadi tidaklah dijadikan gelanggang apa pun. Memang jemaahnya yang itu, itu juga. Jika ada surau dekat rumah, jenguklah surau, sekalipun ada masjid yang besar. Nanti apa pula kata orang.
Memanglah, ada orang datang ke surau atau masjid sebab manusia. Segan nanti dikata tak campur orang. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang menduduki AJK masjid atau Surau, mereka kena tunjuk muka supaya tidak dibicarakan orang.
Tidak manis kalau ada jawatan tapi tak jenguk masjid atau surau. Dan dek kerana segan dengan seseorang, ada orang terpaksa jenguk surau atau masjid agar tidak dikata dek saudara sendiri. "Tak pernah nampak pun kat masjid dan surau!"
Inilah fenomena dalam bermasyarakat. Kekadang surau dan masjid dijadikan ukuran, alim atau tidak alimnya. Orang meletakkan solat jemaah pada kedudukan teratas, tetapi bukankah ada juga ketua isi rumah yang perlu menjadi imam solat kepada anak dan isteri mereka.
Tanpa latihan mengimami anak dan isteri, akan pudarlah hafalan ayat-ayat al-Quran yang melekat dalam kepala selama ini. Jadi, latihan menjadi imam di rumah akan berguna ketika tidak ada imam atau bilal oleh sesuatu hal. Sudah pasti anda akan ditunjuk agar ke depan jadi imam.
Menjadi kebiasaan saya apabila ke Low Yat Plaza akan solat di surau Sg Wang Plaza, suraunya boleh tahan. Kemas. Solat di Times Square sempit dan tidak selesa, macam solat di lantai bawah Sogo kalau hari Sabtu dan Ahad atau cuti umum. Solat di Plaza Bkt Bintang, sempit juga, banyak warga asing, dari kalangan muslim Timur Tengah dan Afrika.
Sebenarnya di mana-mana bangunan ada tempat solat atau surau. Kekadang surau-surau ini mengadakan tazkirah mingguan atau bulanan juga. Surau di lantai bawah  Maju Junction sempit. Dan ada surau atau dianggap masjid juga di Balai Polis Dang Wangi, tetapi sejak dibuka semula, saya tak berani masuk. Bukan kerana buat salah, saya tak selesa menyaksikan orang berpakaian serba gelap begitu. Inilah kesan jangka panjang sebahagian besar budak reformasi dan saya pun begitu juga walau tidak menjerit kuat!
Esok ke surau lagi. Insya-Allah! []

DI CENTRAL MARKET DENGAN ORANG JOHOR

Tadi saya keluar ke Kuala Lumpur, solat Jumaat di Masjid Jamek Jalan Bandar KL. Cadang nak pergi Uda Ocean lepas solat. Borak dengan Abang Husein Ali dan Amin di Masjid Jamek. Masa jalan ke Central Market, terserempak dengan Abang R sedang berborak kosong dengan perempuan, saya terus masuk campur, berdiri tercegat depannya. Itulah Abang R. Saya fikir dia ada di Batu Pahat, tetapi dia sudah ada di KL semula. Dia ni asyik ulang alik, Johor dan Kuala Lumpur.
Saya ajak borak di restoran mamak di Central Market. Hari ini tak ramai orang lepak, lepas Jumaat. Oh, ya tadi kutbah Jumaat cerita tentang derma organ untuk transplant, baik ginjal, injap jantung, tulang, peparu, hati dan mata. Sesiapa pun digalakkan mendermakan organ mereka apabila meninggal kelak.
Dan saya teringat bos saya dulu Ahmad al-Hassan Pang Abdullah, saudara baru, dia meninggal setelah menjalani transplant di China, beberapa tahun lepas tu, timbul komplikasi. Kebanyakan kesesuaian penderma dan yang mendapat organ akan dikesan beberapa bulan selepas pembedahan dibuat. Dulu bos saya ni asyik dialisis seminggu tiga kali. Bos kata, dia sudah sakit buah pinggang sejak usia muda. Dia berkahwin dengan wanita Melayu, Puan Salmah yang kemudian menjalankan business restoran di Bandar Baru Bangi, Selangor. Tak tahu bagaimana Pustaka Al-Has yang ditinggalkan oleh suaminya itu.
Berbalik kepada kisah Central Market, di situ saya mendengar penjelasan Abang R tentang seorang bergelar Datuk. Datuk ni setahu saya dari dulu sampai sekarang masih sayang kepada tali leher, kemeja putih lengan panjang, seluar hitam, kasut kilat, dalam kereta mercedez (memang dia mengidam sejak tahun 80-an lagi) ada kot yang digantung, untuk bergaya, memang Datuk ni kuat bergaya. Orang kata dia jaga imej sepanjang masa.
"Dia bagi tahu aku, kalau ada kenal mana-mana janda kaya dia nak berkawan," kata Abang R kepada saya.
"Janda kaya?" soal saya.
"Dia nak cari janda kaya," tegas Abang R.
"Ini kisah tahun 80-an, dulu pun dia mengidam janda kaya, sampai dapat kahwin adik menteri, memang ramai janda kaya dan tak kaya yang dia pikat dan kemudian kahwin, lepas tu cerai, lari ke utara, dan kahwin lagi, cerai dan kahwin lagi, sekarang nak cari janda pula?"
"Tu yang dia bagi tahu aku!"
"Ini cerita lama tau, mungkin sekarang dia melawa dan bergaya sebab bantuan janda kaya. Memang hasrat dia dari dulu hendak jadi pisau cukur. Selalu perempuan cukur lelaki, tapi sekarang lelaki cukur perempuan sampai habis bulu-bulunya dicukur!" kata saya.
Kemudian saya minta kad perniagaan Datuk hebat ini dan saya salin satu persatu namanya.
Mana datangnya gelaran Datuk kepada bapa dia? Setahu saya bapanya tidak bergelar Datuk pun.
Apa nak hairan, bomoh bedah batin pun boleh guna gelaran hebat Sri Sultan, Nongrogoto, Raden, Datuk, Mahaguru Khalifah dan macam-macam.
"Dapat Datuk dari negeri mana?"
"Melaka!"
"Apa jadahnya Melaka pulak? Melaka mana ada Sultan nak bagi anugerah? Tak kan si Khalil tu bagi kepada dia gelaran Datuk, dia duduk Selangor, asal dari Bagan Serai, dia orang banjar, kenapa Melaka bagi gelaran Datuk?"
"Entahlah, kata Ahmaz Razali seorang penyair kita, nama bapaknya bukan gitu, tapi Si Kadri!"
"Dia ni memang suka tukar-tukar nama, dengan kamu dia berani bagi business card, tapi dengan saya dia tak berani, takut tembelangnya pecah!"
"Kau tahu, masa Hisamuddin buat rumah terbuka di PWTC bukan main orang panggil dia Datuk, siap berdakap-dakapan lagi!"
"Itu tandanya dia orang Umno, kakak ipar dia Umno!"
"Dia ada cerita, pernah bertanding di Hulu Langat, tapi kalah!"
"Elok dia kalah, kalau dia menang saya banyak modal untuk hebahkan problem dia sebenar. Mujur dia tak ikut bertanding jadi Adun di Selangor, kalau tak saya dedahkan dalam blog, siapa dia sebenarnya."
"Tahu pun engkau!"
"Saya kenal dia, hanya sejak dia bergelar Datuk saya tak nak kawan, sebab Datuk tu rekaan dia semata, orang panggil dia Datuk, Datuk, lama-lama melekatlah."
"Ahmad Razali kata Datuk tak betul, dapat dari Melaka!"
"Itulah yang tak logik. Dia duduk Selangor, kenapa Melaka nak bagi. Apa jasa dia?"
Datuk yang satu ini memang suka bergaya. Dan ketika saya menulis untuk blog ini teringat saya kepada kata-kata sahabat saya tadi, bahawa Datuk teringin nak cari janda!
Kalau janda kaya yang beg tangannya sampai RM230,000 sebuah, atau yang hartanya banyak, ratus juta, dia mahulah.
Inilah lelaki yang kaki cukur. Boleh buat drama LELAKI MELAYU TERAKHIR KAKI CUKUR.
Sesiapa sahaja janda kaya yang kahwin dengannya perlu sediakan sebuah kereta mewah, gaya mesti, belanja harian untuk duit minyak dan tol, kemudian sediakan rumah mewah sebab Datuk nak berehat.
Apabila mendengar cerita kawan tadi, saya teringat Cikgu Nijib yang mengajar di Jalan Tun Sambanthan. Tahun 80-an akhir kalau tak salah. Datuk suruh cikgu bangang ni beli sebuah van jenis Daihatsu Hijet, beli atas nama Cikgu Nijib, cikgulah katakan, beli apa je  bank terus lulus. Dah dapat van Datuk inilah yang menggunakan setiap hari, van itu digunakan untuk cari duit, kutip derma secara haram, dapat duit pakai sendiri, kalau ada cek cash pun sapu, duit tunai lagi bagus, dengan van baru itulah dia jual ikan. Van yang harum naik busuk kerana bawa udang dan sotong. Inilah Datuk di zaman gerhananya yang lampau.
Kini Datuk bergaya dengan kereta besar. Tetapi apabila kawan saya tadi beritahu Datuk nak cari janda kaya, saya pun hairan. Kan di dalam Umno banyak janda kaya, pikatlah, tapi entah kenapa dia tak nak kacau pula. Agaknya kalau janda Umno nanti tembelang diketahui.
Khabarnya lelaki ini baik dengan Khir Toyo. Yalah dulu. Khir Toyo pun dah tumbang nak harap apa lagi. Lepas tu dia bagi tahu kawan saya, dia ada enam biji rumah di Selayang, disewakan. Baguslah tu, tu sebab dia nak tambah cawangan, cari janda lagi.
Kisah begini memang cantik untuk diolah sebagai sebuah cerpen, novel atau drama pendek. Ending cerita suruh Datuk tu naik bas turun bas, kunci kereta kena rampas, macam drama Melayu yang ada di TV sekarang. Kebetulan Datuk pun kahwin dengan penerbit filem. Hebat tu. Tu sebab dia bergaya, kenapa tak cari artis janda aje? Agaknya dia tahu artis tak kaya mana, kejap aje kayanya. Masa glamor.
Nampaknya, inilah ragam manusia. Kalau bab bomoh dan pawang menipunya lain, bab gila Datuk ni lain pula penipuannya. Wallahu a'lam.[]

Thursday 20 October 2011

BUKIT MALAWATI

Ada orang yang tidak senang dengan sejarah batu hampar di Kuala Selangor. Kenapa? Konon batu hampar itu tempat orang memancung kepala. Musuh yang tidak sebulu akan dipancung dengan senang-senangnya, tapi ini bukanlah hukum hudud atau hukuman qisas yang orang sebut itu.
Ada pengunjung yang buat komentar, konon dulu ada wanita yang berzina telah menjalani hukuman bunuh di batu hampar itu. Bunuh cara bagaimana? Pancungkah? Anehnya, hanya perempuan itu dikatakan telah menjalani hukuman, manakala pasangan zinanya bebas lepas. Jadi orang yang membaca catatan pada papan tanda tentang sejarah batu hampar rasa tak puas hati. Ini kezaliman namanya. Tak kan hanya perempuan sahaja yang dihukum, lelakinya mana? Ada khabar yang tak sahih, mengatakan kerana pihak lelaki itu adalah golongan yang dihormati dan kelas bangsawan lagi. Kasihan sesiapa yang berbuat onar dengan kalangan bangsawan pada zaman dulu. Pihak bukan bangsawan menjadi mangsa keadaan. Agaknya memang undang-undang begitu.
Menyebut batu hampar, suatu ketika saya berada di situ seorang diri selepas solat di masjid bawah sana (dekat tangga nak ke makam diraja).
Kata Pak Raden Puji Masono, di tengah dataran Bukit Malawati itu ada terowong rahsia yang hanya diketahui secara terawangan. Maknanya buat teropong secara mistik ghaib. Adalah mantera dan kaedahnya. Di situ konon tersimpan harta karun. Milik siapa? Mungkin milik orang yang bertelagah dan berperang zaman dulu. Bukankah ia dulu adalah sebuah kubu pertahanan.
Kemudian ada sebuah batu nisan, atasnya, berbalut kuning. Setelah Raden Puji buka (dengan surat kebenaran masuk ke situ, katanya melalui jasa baik Cik Puteri) ada semacam surat rahsia, ditulis pada kulit belulang. Kebetulan benda itu dibawa ke KL dan saya pegang, rasanya keras, tak boleh buka surat wasiat itu, kecuali atas kehadiran Cik Puteri (?).
Inilah di antara sekilas kisah mistik yang ada di Bukit Melawati, Kuala Selangor.






SILUMAN ATAU JADI-JADIAN

Umumnya apabila disebut jadi-jadian orang teringat kepada filem HARIMAU JADI-JADIAN. Mengenai mistik harimau jadian atau siluman ini, ia adalah perkara misteri. Bahkan dalam kelompok keluarga penulis pun ada kisah yang moyangnya dulu naik harimau dari tanah Sumatera.
Memang setahu saya, tanah Sumatera memang kaya dengan kisah harimau. Itu sebabnya ada sejenis harimau yang dipanggil harimau Sumatera. Filem Negara menggunakan lambang harimau. Bank dan syarikat tertentu ada yang menggunakan lambang harimau. Ia melambangkan kegagahan dan kemegahan. Moyang kita pun berasa megah bercerita mereka naik harimau. Mana cicit, piut dan miutnya tertanya-tanya, naik harimau bagaimana?
Di Negeri Sembilan setahu saya banyak kisah tentang harimau.Masjid Kuala Dulang, Kuala Klawang, Jelebu, konon ada kisah penampakan harimau di situ. Apabila sebut masjid, tentu teringatkan harimau. Begitu juga kisah harimau di tempat lain. Ada orang bersahabat dengan harimau, ada yang bela harimau siluman.Ia menjaga tuannya. Aumannya menggerunkan.
Di zaman moden ini ada orang yang guna khadam harimau, konon dengan adanya khadam jenis ini, rumah mereka dijaga oleh  penampakan harimau. Sesiapa yang berniat jahat ke atas harta benda tuannya, orang itu akan melihat kelibat harimau belang depan rumah atau harimau putih. Sudah tentu, orang yang berniat jahat akan lari ketakutan. Ilmu Maung Sakti begitulah konon, apabila dituntut dan diamalkan, ia menjadi pagar kepada harta benda.
Menurut Hamidy Harahap (dalam GREGET TUANKU RAO, Komunitas Bambu, Depok, 2007:20) harimau telah menjadi simbol atau kemegahan kepada keturunan Babiat atau Marga Babiat. Mereka gelar diri mereka Suku Harimau. Harimau  menjadi tokoh dalam berbagai mitos Asia termasuk dalam kepercayaan, seni dan imaginasi (Harahap, 2004: 95). harimau di tanah Sumatera ada yang digelar sebagai SUTAN MANGINTE di Dolok. Harimau dianggap sebagai raja. Sesiapa yang jumpa harimau, perlu menyapa harimau itu dengan panggilan hormat OMPANG (datuk, kakek, mbah). Bukan kerana memuliakan harimau itu, dibimbangi yang ditemui itu adalah siluman harimau. Sesiapa yang nak masuk hutan, kena hormat dengan harimau itu. "Mbah aku nak lalu cari buah, aku tak nak kacau Mbah!" begitulah kata hormat lebih kurang.
Sebut harimau, saya teringat sahabat saya Mazlan Manaf (almarhum) mengajak saya ke sebuah kebun durian di Ulu Klang, dia buat pondok dan main masak-masak. Tanam cili dan sayur di situ. Dia tunjukkan bagaimana harimau makan durian, disusunnya biji durian itu cantik-cantik. Tak macam manusia yang suka sepah-sepahkan biji durian.Penjaga kebun durian di Sumatera pula lain ceritanya. Jika ada Mbah nak makan durian, mereka kena bagi kepada Mbah. Durian jatuh dibiarkan harimau tu makan dulu. Jatuh kedua, kalau harimau nak makan, biarkan dia makan. Jatuh ketiga, barulah orang berseru kepada Mbah.
"Ompung! Tunggu ya, bagi durian yang ini untuk saya," orang itu pun datang memeungut durian. Khabarnya harimau tengok sahaja orang itu pungut durian.
Maknanya, hormat manusia kepada harimau itu kena dijaga.Sutan Manginte di Dolok itu sesekali membaham juga manusia di hutan. Konon harimau akan membaham dan mengambil kemaluan mangsa dulu. Konon korban harimau itu adalah kaki seks yang jahat. Itu sebab ia menjadi mangsa Sutan Manginte.
Di Malaysia, orang tak buat begitu kepada harimau, tetapi yang pemberani hanya menyimpan taring harimau, gigi harimau, misai harimau, kulit harimau sedikit, konon boleh buat tangkal azimat. Boleh buat penggerun. kepercayaan mistik ini sudah melegenda begitu lama hingga ke zaman moden sekarang.Tak percaya bukalah laman web tentang benda-benda mistik ni. Nescaya anda akan temui misai, gigi, taring dan kuku harimau dijual dengan harta ratusan. Padahal di Pasar Pudu, kadang-kadang ada India dari India jual taring, misai, dan kuku harimau. Murah aje, tak payah jampi semua.
Di Sumatera kalau Sutan Manginte mengamuk dan membahan manusia, maka pawang harimau diundang untuk mengusir harimau. Ada kalanya berhasil, ada kalanya tidak. Bukan senang nak halau harimau dari membaham manusia. harimau itu pun jangan-jangan tak tahupun ia diberi gelaran Sutan! Kisah tentang macam ini cukup banyak di Nusantara. Ada manusia berbaik dengan macan. Prabu Siliwangi dikaitkan dengan macan juga.
Mengikut kepercayaan misteri Kejawen, makhluk halus itu ada dua kelompok, iaitu yang lahir asli makhluk halus dan yang berasal dari manusia (arwah). Inilah yang dinamakan jin siluman. Konon jin siluman ini tinggal di danau, laut, samudra luas mereka hidup dan mengamalkan sistem kuno, ada raja, ada permaisuri dan pegawai atasan (ingat tak dengan kisah Ratu Kidul? Konon ia mempunyai istana).

TENTANG TAHLIL ARWAH

Tahlil arwah tu apa? Ia acara pengiriman pahala bacaan kepada si mati yang sudah menjadi tradisi di kalangan masyarakat dan menjadi milik masyarakat Islam semua. Lazimnya pada majlis itu dibacakan ayat-ayat suci al-Quran tertentu, ada yang baca surah yasin dulu, membaca Laa ilaaha illallah, subhanallah dll. dengan niat pahala bacaan tersebut dihadiahkan atau dikirimkan kepada si mati tertentu atau arwah kaum muslimin pada umumnya.
Umumnya mereka baik dengan pengertian sebenarnya atau hanya ikut-ikutan (sebab tak tahu asal-muasalnya) mereka mengaku bermazhab Syafie. Namun demikian pada hakikatnya, dalam hal kenduri arwah dan tahlilan ini yang pahalanya dikirimkan kepada arwah ini berlawanan dengan pelbagai pendapat lain dari kalangan mazhab tersebut maka jumlahnya sangat sedikit dan tentu sahaja pendapat tersebut dipandang lemah, sebab ia bertentangan dengan al-Quran(an-Najm:39) dan sunnah Nabi SAW serta sahabat.
PENDAPAT IMAM SYAFIE
Imam an-Nawawi (kitab Syarah Muslim) menyatakan, adapun bacaan Quran yang pahalanya dikirimkan kepada si mati maka masyhur dalam mazhab Syafie tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim... Sedang dalilnya Imam Syafie dan pengikutnya iaitu firman Allah (ertinya): "Dan seseorang tidak akan memperoleh melainkan pahala usahanya sendiri" dan sabda Nabi SAW (ertinya) "Apabila manusia telah meninggal dunia, maka terputuslah amal usahanya kecuali tiga hal iaitu sedekah jariyah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang berdoa untuknya (si mati)." [An-Nawawi, Syarah Muslim, Juz 1, hal.90].
Dalam kitab Takmilatul Majmuk, Syarah Mazhab, pula menyebutkan: Adapun bacaan Quran dan mengirimkan pahala untuk si mati dan mengganti solatnya dan sebagainya menurut imam Syafie dan jumhurul ulama adalah tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim dan keterangan seperti ini telah diulang-ulang oleh Imam Nawawi di dalam kitabnya Syarah Muslim. [as-Subuki, Takmilatul Majmuk, Juz X, hal.426].
Al-Haitami (dalam Al-Fatawa al-Kubra al-Fikhiyah) mengatakan, si mati tidak boleh dibacakan apa pun berdasarkan keterangan yang mutlak dari ualama mutaqaddimin (terdahulu) bahawa bacaan yang pahalanya dikirimkan kepada si mati adalah tidak sampai kepadanya sebab pahala bacaan itu adalah untuk pembacanya sahaja. Sedang pahala hasil amalan tidak dapat dipindahkan dari amil (yang mengamalkan) perbuatan itu, berdasarkan firman Allah (ertinya) - "Dan manusia tidak memperoleh kecuali pahala dari hasil usahanya sendiri." (Juz 2, hal.9).
Imam Muzani (dalam Hamisy al-Umm, Juz 7, hal.269) pula mengatakan, Nabi SAW memberitahukan sebagaimana yang diberitakan Allah, bahawa dosa seseorang akan menimpa dirinya sendiri seperti halnya amalnya adalah untuk dirinya sendiri bukan untuk orang lain dan tidak dapat dikirimkan kepada orang lain.
Imam al-Khazin (Al-Jamal, Juz 4, hal.236) dan yang masyhur dalam mazhab Syafie bahawa bacaan Quran yang pahalanya dikirimkan  adalah tidak dapat sampai kepada si mati yang dikirim.
Kemudian dalam Tafsir Jalalain (Juz 2, hal.197) maka seseorang tidak mendapat pahala sedikitpun dari hasil usaha orang lain.
Ibnu Katsir (Tafsirul Quranil Azhim, tafsir ayat an-Najm:39), yakni  sebagaimana dosa seseorang tidak dapat menimpa kepada orang lain, demikian juga manusia tidak dapat memperoleh pahala melainkan dari hasil amalnya sendiri dan dari ayat yang mulia ini, Imam Syafie dan ulama-ulama yang mengikutinya mengambil kesimpulan, bahawa bacaan yang pahalanya dikirimkan kepada si mati adalah tidak dapatr sampai kerana bukan dari hasil usahanya sendiri. Oleh kerana itu, Nabi SAW tidak pernah menganjurkan umatnya untuk mengamalkan dan tidak pernah memberikan bimbingan baik dengan nas mahupun dengan isyarat dan tidak ada seorang sahabat pun yang mengamalkan perbuatan tersebut, kalaulah amalan itu memang baik tentu mereka lebih dahulu mengerjakannya, padahal amalan qurban (mendekatkan diri kepada Allah) hanya terbatas yang nas-nasnya (dalam Quran dan hadis) dan tidak boleh dipalingkan dengan qiyas-qiyas dan pendapat.

Demikianlah, pendapat para ulama bermazhab Syafie tentang kenduri arwah yang popular di kalangan umat Melayu Nusantara (menjadi amalan kalangan Nahdatul Ulama di Indonesia). Jelas, bahawa para ulama mempunyai pandangan bahawa mengirimkan pahala bacaan Quran (Yasin) kepada si mati itu adalah tidak sampai kepada si mati atau roh yang dikirimi, lebih-lebih lagi kalau yang dibaca itu selain al-Quran, tentu sahaja tidak sampai kepada si mati.
Maka, kalau tidak sampai pahala bacaan itu, bukankah kenduri-kendara itu jadi membazir? Umat Melayu galak mengadakan kenduri arwah menjelang bulan Ramadan akan hampir. Ada pula orang bertanya, bagaimana kalau  segtelah selesai kenduri arwah itu mereka berdoa ramai-ramai: ALLAHUMA AUSHIL TSAWABAMA WARA'NAAHUILA RUHI FULAN...(YA ALLAH SAMPAIKANLAH PAHALA BACAAN KAMI TADI KEPADA ROH FULAN...)?
Soalan ini dijawab begini:
Ulama telah sepakat bahawa pengiriman pahala bacaan itu tidak dapat sampai kepada roh yang dikirimi sebab bertentangan dengan firman Allah (an-Najm:39). Adalah sangat janggal kalau kita mengirimkan juga pahala bacaan (Yasin dan lain-lainnya) yang bermakna kita telah melanggar syariat-Nya, dan kemudian kita  mohon agar perbuatan yang melanggar syariat itu diberi pahala dan lebih dari itu, mohon lagi agar pahalanya disampaikan kepada roh si mati. Ulama beranggapan, adalah janggal dan tetap tidak dapat dibenarkan kerana terjadi hal-hal yang bertentangan iaitu di satu pihak, pihak amalan mengirim pahala bacasan adaslah amalan sia-sia, yang bererti melanggar syariat yang kemudian amalan itu kita pohonkan agar diberi pahala dan pahalanya dikirimkan kepada roh.
KENDURI ARWAH
Ada orang mengadakan majlis kenduri arwah, menyediakan makanan untuk orang yang datang, biasanya jemaah masjid atau surau diundang bersama. Ia disertai pula dengan makan-makan. Ada juga yang mengadaskan majlis khaul di perkuburan (kalangan bangsawan mungkin). Masyarakat keturunan Jawa setahu saya paling akrab dengan ritual begini (kenduri arwah maksudnya). Jika dikaji balik, ia ada kaitan dengan amalan Kejawen bermula dari zaman wali-wali 9. Jika disemak kitab-kitab yang ada, amalan ini adalah terlarang. Pengikut mazhab Syafie sendiri tidak mengetahui kerana sikap kita yang enggan mentelaah kitab-kitab berkaitan mazhab Syafie. Kita bangga dengan mazhab Syafie, tetapi kita tidak menekuni apakah ajaran dan tegahannya.
Misalnya:
"Ya, apa yang dikerjakan orang iaitu berkumpul di rumah keluarga arwah dan dihidangkannya makanan untuk itu adalah termasuk bid'ah munkarat, yang bagi orang yang membanterasnya akan diberli pahala." (I'anatut Thalibin, syarah Fathul Mu'in, Juz 2, hal.145).
"Dan apa yang dibiasakan orang tentang hidangan makanan oleh keluarga si mati untuk dihidangkan kepada para undangan adalah bid'ah yang dibenci dalam agama, sebagaimana halnya berkumpul di rumah keluarga si mati itu sendiri kerana ada hadis sahih yang diriwayatkan Jarir yang berkata,'Kami menganggap bahawa berkumpul di rumah keluarga si mati dan menghidangkan makanan adalah sama dengan hukum niyahah (meratapi si mati) yakni haram." (Ibid,Juz 2,hal.146).
"Dan yang ditegah ialah menyelenggarakan makan-makan pada hari pertama, hari ketiga, sesudah seminggu dan juga memindahkan makanan ke kuburan secara musiman (maksudnya khaul). (Ibid. hal.146).
Imam Syafie sendiri pernah menegur: "Aku tidak menyukai maktam iaitu berkumpul di rumah keluarga si mati meskipun di situ tidak ada tangisan, kerana hal itu malah akan menimbulkan kesedihan baru." (dalam al-Umm, Juz 1, hal.248).
Ada banyak lagi sanggahannya. Tetapi sebagai penengah, mengikut sebuah hadis, kita digalakkan:
kaum muslimin baik tetangga si mati atau sanak saudara henaklah berusaha menghiburkan hati keluarga si mati yang sedang ditimpa kesusahan. Bantuan berupa bahan makanan dan semacamnya bagi keluarga si mati adalah wajar, lagi-lagi kalau keluarga yang memang miskin dan tidak mampu.Imam Syafie juga menganjurkan bantuan sebegini.
Kenduri arwah hingga berhari-hari adalah bertentangan dengan ajaran imam Syafie. Di setengah tempat ada kenduri arwah hari pertama, hingga hari ketiga, kemudian ke tujuh, ke-40, ke-100(ngatos), ke-1000 (ngiwu). Itulah yang dinamakan kenduri arwah. Biasanya dilakukan selepas solat maghrib. Tidak pula ada amalan solat jemaah di rumah misalnya solat Isyak, didahulukan dan kemudian baca tahlil. Ada di kalangan kita yang membaca surah al-Ikhlas mengikut bilangan tertentu hingga ratusan kali, malah ribuan kali. Ada tukang catat. Malam pertama sekian ratus, malam kedua sekian ratus begitulah dicampur-campur hingga genap kehendaknya. Amalan ini tidak terdapat keterangannya di dalam hadis Nabi SAW. Ia adalah bawaan dari sisi Kejawen campur ajaran Pak Sunan dari Wali 9.
Berkumpul buat kenduri, masak-masak memang menyusahkan keluarga si mati. Kenduri arwah menurut imam Syafie adalah terlarang, ada yang mengatakan bid'ah ghairu mustahab, bid'ah yang tidak disukai. Ada yang mengatakan ia bid'ah munkarat (haram). Apa yang penulis paparkan bukanlah cerita baru. Ia sudah lama menjadi bahan perbincangan. Jika rajin semaklah dalam laman web yang ada. Memang begitulah jawapannya. []

Wednesday 19 October 2011

FALSAFAH DENGAN JAAFAR DBP

Tadi semasa masuk ke pasar Chow Kit, KL, saya terserempak dengan Jaafar Rahim, mantan petugas di DBP, yang asyik menekuni karya falsafah. Dulu saya fikir kawan ni nak bikin buku tentang falsafah yang berat-berat sebab dari dulu saya selalu tengok Jaafar ni suka kepada karya falsafah. Hingga suatu ketika dulu saya pernah berebut-rebut buku terpakai yang koyak sikit cover depan atau belakangnya, saya pun kumpul buku falsafah juga. Kekadang buku yang saya pinjam di Perpustakaan pun Jaafar nak pinjam, dia bawa balik, saya suruh dia fotostat je, hingga saya pergi DBP nak dapatkan buku tu balik. Dah lupa apa judulnya, tetapi ada kaitan dengan dunia filsafat.
Filsafat yang islami ketara kurang diketekuni, tetapi yang membarat itulah yang ada. Kebanyakan cerdik pandai kita di universiti menggeluti karya besar filsafat dari wadah Barat. Tetapi kalau mahu dibilang filsafat sangat pun tidak, ia hanya menjurus kepada bidang kajian sastera dengan pendekatan Barat, kerana teori sastera memang dicuplik dari sana.
Kegiatan bicara kritikan sastera yang menggunakan teori besar di negara kita sudah menurun,menurun dengan ketuaan kepada semua pembicara yang ada. Tidak ada pengganti. Dulu orang bicara tentang pendekatan intertexual, memang menarik, dan satu hal yang menarik perhatin pembicaraan tentang heteronomies, pembicaraan tentang hudhuri yang terasa dekat kepada intertexual Syiah.
Suatu ketika oraqng asyik berbicara tentang strukturalisme di dalam pembedahan karya, kemudian membuat semacam comparative study tentang teks. Dalam teks dan luaran teks. Dan berbalik kepada Jaafar tadi, saya teringat tulisan beliau tentang hermeneutiks kerohanian dan aplikasinya terhadap Mantiq at-Tayr (Abdul Ahmad, Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin, DBP,1994). Ada tulisan Jaafar yang sedikit ada kaitan dengan bidang yang dia minat. Sayang benda itu tidak ditekuni lagi, kerana sudah tinggalkan meja DBP, tapi buku masih bersusuk di rak-rak.Hermeneutiks ini macam tafsir dan takwil. Itu sebab apabila anda berbicara tentang Islam Liberal, salah satu upaya kelompok ini adalah hendak menggunakan kaedah hermeneutiks ini membedah al-Quran. Kalau boleh apa salahnya, tapi kena tahu bahasa al-Quran, bukan menjenguk al-Quran dari perspektif Barat, menukik pendapat kaum orientalis yang memang hebat-hebat dalam bidang pengkajian al-Quran.
Bahkan bukan tidak ramai di kalangan cerdik pandai Barat yang menggumuli al-Quran langsung jatuh cinta kerana mereka tidak dapat menolak lagi kehebatan isi al-Quran dengan penalaran hermeneutiks yang digagahi cerdik pandai dengan berbagai pendekatan. Mantiq at-Tayr(maksudnya Persidangan Burung-burung) ini bukan karya besar Farid al-Din Attas yang berbau Parsi (Syiah). Dia penyair sufi. Menatap karya puisi sufi Parsi memang terlalu muluk-muluk, melankolik, syahdu rindu, apa pun kepenyairan mereka berbeza wadah dengan manusia penyair di bumi Nusantara ini. Barangkali kalau puak Islam Liberal mahu membedah al-Quran menurut acuan dan cara hermeneutiks ia sukar diaplikasikan, justeru, lebih baik membedah puisi sufi Parsi.
Itulah Jaafar Rahim yang mula saya kenal sewaktu saya di USM menghadiri seminar teknologi wajar anjuran syarikat kami di Pulau Pinang bersama CAP (Persatuan Pengguna Pulau Pinang). Sejak ini saya kerap berjumpa dengannya di Masjid India kerana "berebut buku" siapa dulu datang dia dapat. Kebetulan banyak buku filsafat yang saya peroleh di situ.[]

PAWANG TEMBERANG CHOW KIT ROAD

Saya teringat zaman kawan-kawan menghadapi musim sukar di tengah kota. Seorang kawan yang juga menulis rencana politik DI, pernah berniaga ubat di Lorong Haji Taib. Dan dia juga pernah menjaja ubat di Jalan Melayu, Jalan Masjid India, KL. Seorang pengarang akhbar tabloid yang selalu siarkan kisah-kisah sensasi juga pernah buka gelanggang di dua tempat itu bersama DI. Mereka jual ubat untuk dapatkan duit beberapa helai. Bukan soal mereka yang berniaga ubat, tetapi orang lain yang memang setiap malam berniaga ubat di situ.
Yang paling mengesankan adalah seorang Melayu dari Taman Soga, Batu Pahat, dia konon belajar ilmu kedukunan dari Siam, dan menjadi dukun atau bomoh nombor ramalan. Maka ramailah orang Melayu yang terpikat dengan celotehnya. Dia bijak, dengan mempamerkan salinan cek yang hebat, ada cap MAGNUM CORPORATION lagi, cek itu bernilai puluhan ribu ringgit. Konon dia ni adalah peramal empat digit yang hebat di Chow Kit, selain kelompok warna dari Indonesia yang membuka gelanggang, dalam telur ada empat digit. Ada yang buat ramalan dengan cara besi timbul ke permukaan air, ada yang angka telah siap, dan pendeknya semua orang masa itu gila empat digit.
Orang-orang ini tidak tahupun ada hadis yang menegah perbuatan mereka mempercayai cakap bomoh atau pawang temberang. Mereka tak tergerak pun nak mempelajari hal ini semua. Ada yang boleh meramal angka empat digit dengan cara mencampurkan nombor tarikh cabutan, campur enam digit angka sendiri, dan campurkan angka 666666. Sistem ini diketengahkan oleh seorang bekas tentera (cara no.5). Konon dia banyak mengaut duit dengan sistem itu.

Ada beberapa kaedah orang mendapatkan nombor ramalan:
1. Jumpa bomoh Cina, India, Orang Asli atau Bomoh Melayu.
2. Jumpa geng penipu di Chow Kit terdiri warga dari Indonesia yang mahir mengelabui mata orang ramai dengan lakonan cipta angka ramalan atas pinggan atau piring putih.
3. Jumpa geng penipu di Chow Kit terdiri dari warga Indonesia yang mahir menggunakan kaedah pecah telur ayam masukkan ke dalam sampul surat, keluar nombornya (sudah siap tulis dengan asid limau).
4. Jumpa geng dari Indonesia yang mahir gunakan besi timbul, dalamnya ada kertas angka tergulung terselit dalam besi(buat dirumah, ada teknik supaya besi itu timbul).
5. Jumpa abang bekas tentera tadi, dia buat sistem kiraan dengan ideanya sendiri.
6. Jumpa ahli astrologi Cina di mana-mana yang buka praktek (iklan dalam The Sun)
7. Jumpa budak Indonesia yang selalu fotostat angka ramalan dengan kaedah barisan angka ditekap dengan pelubang angka tepat. Sebaik ramalan keluar, dia pun tampal dan fotostat angka perubahan ini dan mendakwa ada orang kena 1st Prize, rugi siapa yang tak beli. Dia ni adalah satu-satunya peniaga ramalan nombor yang paling lama bertahan hingga tahun 2011, dia berniaga di Jalan Pasar Pudu, setiap hari. Berkaca mata, bawa beg hitam, kaki meja direka khas.
8. Anak muda keturunan Cina duduk bersila siap mengira angka ramalan dengan bayaran RM2, juga apek di Jalan Silang, siap meramal dengan menggunakan sistem (5) di atas.

GILA NOMBOR
Pendeknya, masa itu orang gila nombor paling banyak. Pantang ada budak Indon buka gelanggang. Muka yang sama. Mereka juga pandai main sandiwara, ketika kawan tengah buka gelanggang dan orang tengah sesak padat, dia pun masuk mencelah, serah duit beratus-ratus. Duit dalam sampul. Duit diletakkan depan pawang temberang, ada tempat bakar kemenyan, bakar setanggi, kain hitam, kain merah, "Tengok abang, orang sudah kena, dia kasi hadiah sama saya! Siapa mahu kasi?" katanya dengan megah.
Kata-kata si pawang temberang itu menambah keyakinan orang lain. Semua berkeyakinan tinggi menunggu bagaimana proses buat angka ramalan itu dimulakan. Biasanya siapa yang minat tolong sediakan wang kecil RM1, masuk dalam envelop.
Masing-masing menunggu bagai nak gila. Pawang temberang pun jerit-jerit, asap kemenyan lagi banyak, lagilah bagus. Ini kesan psikologi. Aroma kemenyan itu menimbulkan sugesti tinggi di kalangan orang yang kemaruk angka ramalan terutama hari Sabtu, Ahad dan Rahu (dulu hari Khamis).
Pawang temberang nombor ramalan ini ada di mana-mana. Sampai tahun 2011, masih ada saki bakinya di Lorong Petaling Street dan Jalan Pasar,Pudu. Ramai sudah mengaku kalah. Orang dah tak percaya dengan temberang.
Ingatkah kepada Dr Raden Johari Mansor yang namanya hebat gunakan gelar Sri Sultan, konon mewarisi kepakaran dari kraton Jawa. Itu sebab dia guna nama Raden. Di Malaysia orang yang nak jadi bomoh, pawang atau paranormal (sebutan mereka) amat gemar gunakan nama Raden. Inilah peluang untuk menipu orang.
Dulu ada juga Pak Raden Salleh (ayahanda Khalid Salleh pelakon tu), cuma orang tua itu yang mengaku umur seratus tahun isteri ada empat, "Anak dara semua!Janda-janda tidak ada! Semua rokon(rukun) hidup damai satu rumah."
Dia bukan bomoh dan pawang, dia hanya jual makjun. Jadi tak ada apa salahnya dengan Raden Salleh.Begitulah ujar Pak Raden Salleh yang biasanya jual makjun Pangkor Laut. Duit mencurah-curah jika dia bersila buka gelanggang di Jalan Masjid India (tahun 80-an hingga awal 90-an).
Seseorang yang menyamar dukun hebat biasanya akan mula belajar menipu orang ramai apabila berasa diri mereka terkenal dan hebat. Puncanya, ada wartawan tabloid yang memberi ruang. Mereka paparkan iklan dengan harga istimewa setidak-tidaknya selamat untuk kos cetak tabloid dengan iklan itu. Di sinilah, bomoh atau pawang temberang akan menggunakan media akhbar tabloid yang tidak popular untuk melariskan dagangannya. Banyak juga pawang atau bomoh temberang jadi cerdik setelah berkawan dengan wartawan. Contohnya, Bomoh Antarabangsa yang buka praktek di Hotel Kowloon. Siap bawa jala untuk menjaring makhluk halus. Temberang betul.
Bermula daripada gelaran yang logik hingga gelaran yang tak logik. Nama Raden dibubuh, nama Datuk ditambah, kemudian Prof lagi. Kemudian ada gelaran Datuk Kelana persilatan. Bab ini no komen. Mahaguru persilatan dengan sewenang-wenang menganugerahkan gelaran hebat-hebat kepada seseorang, dan ada Menteri yang terkena iaitu Datuk Dr. Zahid Hamidi, dapat anugerah selempang lagi serba kuning dari Datuk Raden Johari Mansur yang penipu (semaklah blog Uncle Seekers).
Sebenarnya ramai orang yang menyamar sebagai pintar, menyediakan berbagai kepakaran yang sebut sahaja masalah anda, mereka siap menolong, ini saya lihat iklan Tuk Baba di Masjid India. Dulu buat operasi di Pasar Borong Selayang, sekarang pindah di Masjid India. Ada juga astrologer keturunan India yang hebat, nama Prof juga, dulu di Semua House, kemudian pindah ke Campbell. Tak tahu masih aktif atau tidak.
Selain bertemu pawang temberang dan dukun temberang, kaki nombor juga mempunyai kemahiran membaca kod rahsia tiket ramalan angka yang sudah dibeli. Mereka boleh mengagak angka itu masuk atau tidak. Mereka membeli RM1 sehelai demi sehelai sehingga masuk RM50.00. Kad yang dibeli semakin tebal.
Seorang lelaki di Ampang ketika wafat, kamarnya digelidah dan dibersihkan oleh tuan rumah mendapati lelaki itu yang keturunan Syed menyimpan tiket angka ramalan berikat-ikat banyaknya. Mujur sahabat baiknya menyorokkan benda itu dan buang ke tong sampah. Ini untuk mengelakkan fitnah.
Begitulah, yang hendak diceritakan tentang bomoh dan pawang temberang yang bertebaran di mana-mana kerana ada orang yang mabuk empat digit. Di Johor Bahru, mengikut tinjauan peribadi, ada sebuah kedai kopi yang dipenuhi oleh lelaki Melayu dan perempuan Melayu yang kemaruk dengan empat digit. Mereka study kod tiket yang dibeli dan kemudian membeli lagi, diubah lagi dan beli lagi, paling tidak mereka akan gunakan istilah PUSING atau PAU.
Oh, ya, ada satu lagi kegilaan orang KL. Iaitu angka CHEEFA. Biasanya angka dibeli dari seorang ejen secara haram. Kalau kena dengarnya RM1 dibahar RM36 atau lebih (kalau tak silaplah). Pemain angka begini kebanyakan peniaga kecil dan pasar malam di Chow Kit, peniaga ikan dan semua yang berkawan dengan mereka. Ia permainan angka paling popular. Duit pun dapat segera, ejen boleh tahu siapa kena dan siapa tak kena. Hanya kena simpan kertas kecil sebagai bukti.Pondan paling kemaruk dengan CIPA.
Begitulah hebatnya permainan angka ini. Dari empat angka menjadi enam angka. Ada juga yang dua angka sahaja. Siang angkanya lain, petang lain, larut malam lain. Itulah CHEEFA atau CIPA. Ramai juga geng pemandu teksi yang suka lepak main angka begini. Yang dah kena akan ketagih, macam orang ketagih empat digit. Orang ketagih jadi bomoh dan pawang ekor pun sama juga. Inilah ragam manusia kota yang elok dicatatkan. Semua ini tinggal nostalgia. Ke mana perginya bomoh dan pawang hebat itu? Istilah yang saya guna pawang dan bomoh ekor ni tidak kena sebenarnya, tapi sengaja digunakan untuk menggambarkan kegiatan meramal dan mengetahui hal yang tersembunyi (ghaib?).[]

PUISI NOSTALGIA

MENGGIGIT LANGIT

duga dalam lautan hidup
merambat kian ke mari dalam nostalgia
peradaban tempang telah sirna
kita kembali merasakan warna jingga
 melempang rasa dalam kabut petang
  hujan berlari dalam diam-diam
    terbenam di bawah payung hakiki
      jalan-jalan jadi lempang
        tenang.
warni pelangi di hujung daun
tergenggam oleh tangan peribadi
menggigit langit dalam beban cita
sembari mengalah
melebar ambisi.
masa silam bertumpuk di bawah
bebayang pohon cemara
pantai zaman dengan pasir putih
terkambus
oleh catatan zaman.
kita tetap menunggu nuansa manis
datang dan pergi
merambah dalam sukma peribadi
nyaris menggigit langit
dalam lipatan camar-camar petang.

Ampang, Selangor.
Mac 2010.

HORISONMU

horisonmu kekasih
lengkap dalam nota gemawan cantik
lentik mendaun
terjah pohon-pohon damai
melayah di sela-sela titik jelaga
merembes dengan payah
mengukir jernih habis.

horisonmu kekasih
terbina di hujung sana
dalam lanskap kematu petang
semua bersiap
melafazkan setia janji
kota itu terbina di anjungnya
dengan warna bianglala
yang berlari
di dalam butiran pasir tengah laut
dan buih-buih itu kita kutip
buat pahala kita.

Ampang,Selangor.
April 2010.

ANGIN YANG MENDESIS

suara angin amat kerasnya
menerobos jendela malam
dalam sepi dan terbata-bata
pencarian tak bertepi
ke mana hala mentari kini
segala tak pasti
tinggal malam penuh konserta.

ayuh! kini nyanyikan lagu malam
dalam sepi dini kauterpana
oleh janji-janji angin yang mendesis
lewat di cuping kanan dan kirimu.

suara angin kan terus menggoda
setiap detik yang menjanjikan
pohonan tetap juga akur
bersama daun-daunnya yang garing
gugur satu persatu
seperti puisi kelmarin.

dengarkah kau suara angin mendesis
lewat malam dini yang basah
telah kaurakamkan melodi lembut
dengan jejarimu ini
pasrah segala
yang merambat
yang mengelus
angin dini tetap saja mesra.

Kg.Pasir Panjang, Selangor.
Ogos, 1979.
[Majalah Sarina,Jil.4,No. 41,Ogos, 1979]

PERTANYAAN TAK BERJAWAB

kau, dengarkah suara angin menerobos
kasar-kasar membelah
daun cemara tinggal sehelai
cuma menanti mentari kesian
panasi atau keringi sendiri
ya, kau tentu telah mendengarkan.

ini pertanyaan dari lelakimu
dalam diam-diam, memperkosamu
sejuta kali
lengkap
penuh estetika dan nuansa murni
aduhai, engkau yang berjalan dalam
kamarindu
kau yang mendakap sejugta puisi-puisiku
manis suaramu kucicipi
persis ENGKAU jua yang abadi.

kau, dengarkah suara bayi mengerang
di hujung lautan itu persis lagumu
menikam-nikam sukma sampai sumsum
temulang
aduh, ngeri
tangisan yang bukan kepalang
mencengkam terus
dan dalam perlahan kudengari
tetesan air mata bayi yang keras
di atas sepatuku.

kau, dengarkah suara-suara malam
yang bertanya
yang meredah hutan belukar mimpi
penuh takjub
dan dalam diam aku berbisik:
"kau jarang menjawab
setiap yang kutanyai dan apakah engkau bisu?"

Kg.Pasir Panjang, Sekincan, Selangor.
November 1978.
[Majalah Sarina, Jil.3. No.34, Januari,1979].

Monday 17 October 2011

TEMBERANG ORANG PINTAR

Kalau kita rajin semak iklan perubatan tradisional, kita akan jumpa kenyataan yang bukan kepalang tanggung, indah, meyakinkan, asyik, dengan ayat-ayat cinta produk yang memikat. Dahulu, saya tertarik dengan iklan seorang pintar yang mendakwa sebagai Dato Mahaguru Prof. Dr. dan macam-macam lagi, siap dengan nama berbau Kejawen, tup-tup orang itu apabila dah lama menipu, maka corak penipuan pun makin besar. Dulu tipu pelanggan, melayu yang tak tahu apa, bedah batinlah, auralah, dan macam-macam, lepas tu tipu besar pula.
Rasanya, selain Dato Mahaguru Kraton ini, adas juga seorang lagi yang mengaku sebagai Bomoh Antarabangsa yang buat perniagaan di Kowloon Hotel, JTAR KL. Pembantunya geng jual ubat di Chow Kit. Kisah bomoh bertaraf antarabangsas ini telah didedahkan oleh Din, Pahang, yang katanya kenal sangat dengan bomoh itu. Semuanya menipu. Ambil kesempatan kerana nama selalu terpampang dalam akhbar tabloid yang tak berapa laris.
Penipuan bomoh telah banyak kali didedahkan, Orang kita tidak serik-serik nak jumpa bomoh. Padahal jumpa bomoh dan percaya kata-kata mereka solat tidak diterima selama 40 hari. Mana nak ganti? Padahal orang Melayu paling kemaruk jumpa bomoh Asli di sekian tempat, minta pengasih, minta nombor, ada yang urut batin (Kawan saya Zainal Kastam beritahu, pakar urut batin di Bt 12 Gombak ni, setelah urut jantan, si jantan itu kena test dulu dengan tukang urut batin - maknanya kena ngeseks dulu), bagi yang kemaruk seks tentu akan jumpa orang begini.
Kemaruknya orang kita dengan orang pintar semakin menjadi-jadi. Kemudian ada yang menggelar diri mereka Datuk Baba, Dewa Kewangan, Pakar Tenaga Dalam, Pukulan Jarak Jauh dan macam-macam. Satu lagi banyak pula yang mendakwa berguru di Jawa, paling tidak dengan perguruan Wali 9, untuk menaikkan darjatnya. Maka segala kepandaian dan tipu helah paranormal sakti yang terbiasa dibawa pula ke sini. Maka adalah orang pintar menipu, mengeruk duit orang susah dengan mendakwa kepandaian yang muluk-muluk.
Rasanya Uncle Seekers jadi orang pemberani apabila dia dedahkan watak Dato Johari Mansor, Arief Cakra Alam dan sebagainya. Jika tidak ada pemberani macam Uncle nescaya penipu ini akan meneruskan kerjayanya. Dan saya selalu beritahu kawan-kawan, produk kecantikan yang berbagai nama kini sudah jadi hambar, tak kiralah artis mana pun, terkenal atau tidak, bahkan saya tak setuju ada produk alat kesilahtan gunakan nama Aziz Satar, nama Julie Dahalan, nama siapa-siapalah. Itu bukti, produk itu tidak dapat menarik pelanggan. Dengan gunakan nama artis, produk konon akan mendapat perhatian orang ramai. Targetnya adalah melayu, selagi guna artis melayu, maka melayu diperbodohkan.
Saya teringat akan tenaga dalam dan pukulan jarak jauh. Di Jawa sana, berbagai pendedahan akan penipuan paranormal telah didedahkan. Di Malaysia agak lambat. Dan baru-baru ini saya terserempak dengan Mohd.Osman (Man Copet) di Chow Kit, dia ni tinggal di Kg Periuk, Kg Bharu,KL. Dia kata dia pernah duduk di Pulau Jerejak bersama Omar Din Si Mahaguru Silat, dan Meor Rahman. Saya tak pasti. Mungkin betullah. Lagipun Man Copet ini kata, dia asyik keluar masuk penjara sahaja. Di dalam penjara dia kenal orang-orang itu.
Dengan saya dia mengaku kenal dengan Wak Sukir, Gunawan, Mantri, dan tentu Drs Sulaiman (mantan menteri UBN) yang semuanya hebat-hebat belaka di zaman kegemilangan mereka. Mereka juga ada melakar sejarah tersendiri, seperti juga Man Copet. Walau dulu kaki copet, hendaknya dia berubah. Dia kata, dia ada maklumat tentang Najib. Maklumat apa? Ntah. []

Thursday 13 October 2011

TABLIGH

Ntah berapa kali pintu rumah diketuk. Ada sahaja budak tabligh nak ajak saya pergi berjemaah di masjid atau surau. Ada majlis agama. Fikir tentang iman. Dan kebiasaan orang tabligh mereka akan bicara tentang bab iman dahulu. Dan dalam kitab susunan ahli hadis dari India, Maulana Zakariya al-Kahdawali itu, memang bab iman dulu yang dibicarakan, maka ahli tabligh pun apabila jumpa orang akan mengajak agar itu itu berfikir atas perkara keimanan. Ini yang penting.
Saya malas nak layan, sebab saya dulu rajin join mereka di Masjid India, ketika di Penang di Masjid Benggali, padahal pejabat kerja saya dulu (Pustaka al-Has) di Taman Seri Petaling, dekat masjid tabligh. Kaedah budak tabligh ni mengajak orang pergi surau atau masjid, kalau orang dah pergi surau dan masjid, mereka akan ajak abang atau pakcik tu keluar KE JALAN ALLAH.
Mungkin orang rasa hairan, keluar ke jalan Allah itu ke mana?
Orang yang diajak, akan disenaraikan dalam kumpulan untuk kerja dakwah, fikir atas iman. Pergilah dari lokasi tertentu ke lokasi tertentu. Ketuk pintu ajak ke masjid, kalau orang itu baru balik dari masjid kena pergi lagi sebab nak dengar budak-budak tabligh bercakap tentang IMAN.
Kitab pegangan para tabligh baik di Malaysia atau Indonesia adalah FADHILUL AMAL susunan Maulana Zakariya. Ke mana pun pergi mereka pasti tidak lekang dari kitab itu, padahal Maulana Zakariya juga merujuk kitab hadis lain.
Teringat saya, ketika join jemaah sana, tapi saya tak keluar pikul kuali dan cerek atau selimut macam orang lain. Saya berkampung di Masjid India, tidur di situ.Makan satu talam. Sedap.Ketika tidur himpit-himpit tu, ada pula mamak berkaca mata tebal usia 70-an pandai pula nak usik "anu" jemaah lelaki lain yang tidur berdekatan. Bahaya juga budak tabligh ni kata hati saya. Hal ini saya rahsiakan, tak cerita pun, hanya dalam blog ini.
Ketika majlis taklim taklum, khaguzari, saya ikut sekali. Suatu ketika ketika diminta baca kitab Maulana Zakariya saya pun bacalah, semua orang lain duduk mendengar sambil angguk-angguk kepala, inilah gaya budak tabligh ketika mendengar hadis dibacakan, dah sudah saya pun bicara tentang hadis tadi, dan akhirnya saya nasihatkan geng tabligh supaya membaca juga kitab-kitab lain selain buku Fazilat Amal yang diusung ke sana-sini. Apa dah jadi, esoknya, ada seorang lelaki panggil saya, jangan join tabligh. Dan sejak itu, saya jauhkan diri dari dunia tabligh sebab ilmu agama tidak berkembang kalau satu kitab sahaja yang jadi pegangan. Patutlah di Indonesia sana, tabligh dikritik habis-habisan. Ada yang kata ia menjurus kepada kesufian. Okay, cukuplah setakat ini. []

KISAH SEORANG KAWAN

Seorang teman beritahu baru-baru ini bahawa Datuk "S" sudah jadi penerbit filem Melayu. Dia pakai mercedez lagi. Ajak kawan pergi rumah terbuka di PWTC. Datuk S ini sudah kerap kali saya tengok makan di bangunan supermarket Uda Ocean dekat Jalan Bandar tu. Dia macam sorok-sorok ketika duduk di satu sudut ruang medan makan. Tentu ada bicara besar di sana. Agaknya bicang projek drama atau filem.
Apabila kawan yang dari Johor ni cerita tentang Datuk S saya nak ketawa. Sebab saya tak akan percaya kalau Datuk S boleh jadi penerbit filem. Tak ada latar belakang filem pun. Kalau dia ceburi bidang itu memang sesuai benar, kerana Datuk S ini termasuk kelompok yang suka bertukar pasangan.
Jika Datu S nak buat filem atau drama, saya ada skrip menarik. Semua ini kisah benar sebagaimana yang diceritakan oleh Pak "D" dan Jaafar Kaya.

PERTAMA
Cara nak cari duit. Mula-mula pergi ke masjid, solat sunat dua rakaat, tengok ada sekeliling. Ada ke tidak, lepas tu ambil surat-surat yang ada dalam peti surat, atau surat derma yang terpampang kat papan makluman masjid. Ambil list kutipan derma itu dan bawa keluar. Suruh kawan pakai kupiah, lagak tua-tua sikit, masuk kedai mamak, bagi salam, hulur list derma. Selalunya tidak menghampakan. Kenapa saya beri contoh yang ini? Sebab Datuk S pernah melakukan kerja begini di zaman dia meracau tak tentu hala. Kawan dia dah jadi arwah pun, orang Ipoh, saudaranya di Teluk Intan, Perak. Kebetulan saya kenal rapat dengan orang Ipoh ni.
KEDUA
Di sebuah warung di Muar, Johor. Tiga lelaki kehabisan wang untuk tambang bas balik ke KL. Apa nak buat. Setelah berpakat, Datuk S arahkan orang Ipoh berlakon sebagai bomoh asal KL. Okay, masuk ke gerai kakak Melayu yang lengang tak ada orang. Tarik bangku dan duduk. Kakak tanya nak minum apa? Dengan ramah, tanya kakak nampak lengang sahaja ni, tak ramai pelanggan ke? Kakak yang termakan soalan akan terperangkap. Yalah, sejak dua menjak ni gerai kakak tak berapa menjadi. Ketika kakak tu siapkan minuman. Tiga lelaki ni berpakat nak kenakan kakak. Orang Ipoh jadi bomoh pelaris. Maka apabila kakak itu letakkan gelas minuman, mereka pun gayunglah. Kakak aji ni bomoh pelaris niaga. Dia boleh bantu kakak. Yakah? Ya! Umpan mengena. Akhirnya kakak di Muar itu ambillah petua dari bomoh terkenal KL ni. Hari tu orang Ipoh suruh kakak cari air kolah masjid, tujuh masjid, cari bunga tujuh jenis, buah kana, dan entah apa lagi. Semua ini hanya rekaan sahaja, bukan betul. Dan pengerasnya, sekian-sekian ringgit dan sen. Maka kakak itupun berilah duit kepada bomoh terkenal dari KL yang juga sahabat saya. Datuk S lega, sebab lakonan orang Ipoh menjadi. Seorang lagin kawan yang ikut ialah Jaafar namanya, seorang kontraktor kecil (buat tandas untuk projek perumahan Taman Tan Yew Lai). Untuk dapatkan duit tambang bas ekspress ketiganya sanggup berlakon dan menipu si kakak. Kakak yang tak tahu menahu yakin 100%. Kemudian suatu ketika Jaafar yang kebetulan sudah menjalani transformasi, dari orang susah dia dah jadi senang. Dia pun sembang dengan saya di Masjid Jamek Jalan Bandar, dia beli rumah cash, beli mercedez cash, rumah pasang pendingin hawa sampai dapur, anak-anak makan burger tiap hari atau KFC, baguslah, dia dah kaya. Dulu time susah sanggup menipu kakak di Muar tu. Orang Ipoh jadi sandaran suruh berlakon sebagai bomoh. Apabila Jaafar dah kaya, orang Ipoh pun dia lupakan. Ini boleh buat cerita.
KETIGA
Soal kebolehan. Sebut apa sahaja. Nak projek lautan dalam tangkap ikan? Nak repair masjid Campbell, Jalan Dang Wangi (ketika itu masjid lama, dan saya pun pernah jadi muazin untuk solat di situ). Datuk S ni jenis berani, menurut Dollah Kuantan, dah ramai kena tipu dek Datuk S. Ada usahawan wanita di Johor kena tipu berapa ribu ringgit pun tak tahulah dek kerana projek lautan dalam. Datuk S pandai main PRO. Perempuan itu bagi duit. Dia pun cabut. Kelebihan Datuk S ini dia boleh kahwin dengan janda, adik kepada menteri kabinet. Saya kenal orang itu. Dah hairannya, saya sendiri tak tahu berapa orang isteri Datuk S. Ini boleh buat drama. Tajuk pelarian. Datuk S sanggup tinggalkan KL semata-mata mengelak daripada dicari oleh orang yang pernah ditipu. Projek lautan dalam pun tipu. Lepas tu kahwin cikgu Kolam Air, pun naya punya cerita. Pas tu kahwin staff nurse HKL pun naya punya kes. Pas tu budak permpuan Hotel Regent pun naya punya kes. Banyak sungguh, sampai saya tak tahu sebab saya dah jauhkan diri, tak mahu berkawan dengan Datuk S yang bermasalah. Sebab ramai orang cari, ada orang nak pukul, yalah sebab aniaya orang, tipu sana, tipu sini. Suatu hari, kawan saya Shah dari Sitiawan, Perak, tunjukkan business card tertera nama Datuk S. Saya terkejut betul. Datuk S ada projek besar kata Shah kepada saya. Dia tunjukkan kad itu. Saya terus rampas kad itu. Ni Datuk mana yang kamu kenal ni? Dia ni, nama dia saya tahu, latar belakang dia pun saya tahu, dulu kerja posmen, tidak amanah kena buang kerja. Tetapi kepada orang lain dia mengaku jadi kelasi kapal. Maknanya ilmu navigasi dia hebatlah. Datuk S di pintu depan masjid berpakaian serba hitam, samping, songkok tinggi, benar-benar lagak Datuk.
KEEMPAT
Di Kedai Buyung Yunus, kedai buku, puak ni telah masuk untuk kutip derma. Masih tiga sekawan. Dia bawa list derma yang silap. Apabila kertas derma dihulur, orang kedai pun baca. "Awak kenal dengan setiausaha surau ni?" Dengan beraninya tiga abdul ini mengatakan kenal. Baik sangat dengan orang itu. Setiausahalah katakan! Disebabkan main redah sahaja, ketiga abdul itu terpinga-pinga apabila orang itu memperkenalkan dirinya, "Akulah yang jadi setiausaha surau tu, list derma itu aku yang keluarkan, kenapa pulak kamu yang bawa dari KL?" Maka tiga abdul itu merah padam. Seorang keluar, yang kedua keluar, dan tinggallah orang Ipoh jadi tagan...mujur orang tu tak repot polis. Kalau tidak tiga abdul termasuk Datuk S pun kena sekali. Kes macam ini terjadi juga di Masjid Tanah Melaka, ketika nak kutip derma, orang kedai tahan mereka. Orang Ipoh kena tahan setelah tuan kedai perangkap siapkan makanan dan minuman, polis dipanggil. Khabarnya selesai disebabkan orang Ipoh gunakan jasa baik saudaranya bekas Majistret di Johor untuk runding. Datuk S punya angkara, orang Ipoh dijadikan tameng malu.
Cukuplah tiga episod ini. Jika didramakan jadi menarik, lucu pun ada. Kebetulan Datuk S nak jadi orang filem.
Walaupun Datuk S mengaku ada terbitkan drama, saya tetap tak percaya. Setahu saya, Datuk S ni, bulan September cerita filem, bulan Oktober cerita ikan pula, dan bulan November cerita ternak lembu. Sebagai sahabat kepada orang Ipoh dan Jaafat, saya mendapat banyak maklumat tentang Datuk S ini. Kisah Datuk S ini menarik, wataknya boleh ditokok tambah, sebab sepanjang saya kenal dengan dia, dia ni mempertahankan imej baju putih lengan panjang, seluar hitam dan tali leher. Kemudian timang kunci kereta. Biar kereta tak ada pun tak apa, asalkan boleh timang kunci. Ketika nak gayung orang, dia sanggup pinjam kereta kak menteri tu untuk membalun kepercayaan orang lain. Saya ingat, Bala seorang lelaki India dari syarikat Afrikom, pejabatnya di Bangunan Dato' Zainal (sekarang dah tukar nama), dia pinjam volvo si kakak menteri.
Kenapa kisah ini saya ingat? Yalah, kawan saya yang di Muar dah cerita bahawa dia jumpa Datuk S, dan orang itu beritahu dia, Datuk S dah jadi orang filim! (Bukan filem ya, kena sebut FILIM). []

Monday 10 October 2011

MERAK KAYANGAN DEWAN FELDA

Hari minggu banyak kenduri kahwin. Saya jenguk dua tempat. Satu di dewan komuniti Lorong Ibu Kota Kanan, Taman Ibu Kota, dan dua di dewan Merak Kayangan, Balai Felda, Jalan Gurney. Kenduri saudara mara juga sebelah isteri. Yang saya nak komen, sekarang orang di KL lebih suka anjurkan majlis kahwin di dewan-dewan seperti ini, kalau nak gah lagi di hotel ternama lagi banyak belanjalah.
Memang ramai saudara yang ditemui, ada yang datang dari Negeri Sembilan, dari kawasan Selangor saja dah bersepah, dari Singapura, saudara sebelah mak mertua. Dan dari Gombak yang berkaitan dengan keluarga pengantin perempuan. Dan hujung bulan ini saya nak balik ke Kg Warisan, kenduri kahwin lagi di rumah abang ipar di Tali Air 9 Pasir Panjang.
Hanya yang saya rasa terkilan, majlis perkahwinan begini menjadi wadah orang berdatangan dan pergi, macam-macam stail pakaian. Ada pula yang pakai pakaian sendat, nak jalan pun tak boleh. Ada yang pakai kebaya sendat dan jarang. Macam pesta hiburan layaknya. Muzik moden tidak dialunkan sangat, hanya ada kumpulan nasyid buat persembahan di pentas khas. Ini kira okaylah. Tak ada kugiran atau band macam zaman dulu kalau kenduri kahwin mesti ada hiburan begini.
Kemudian anak-anak buah tak faham, semua orang nak bersalaman.Mungkin mereka tidak faham. Asal jumpa salam, sampaikan dengan pengantin pun nak bersalam juga? Dalam majlis begini, sesuatu yang tak diduga pasti terjadi.[]