Saya paling seronok berada di George Town, Pulau Pinang. Walau ia negeri Lim Guan Eng (DAP) sebenarnya saya pernah merantau di kota itu dalam tahun 80-an ketika Dr M mula-mula menjadi PM. Saya ingat masa tu buku tentang Dr M saya pun teruja nak baca, saya beli dan baca. Ketika itu saya berkhidmat dengan Institut Masyarakat Berhad, di alamat no.9, Lorong Kucing, Pulau Tikus, Pulau Pinang. Kawan kerja masa tu, Ramli Samad, Adam Samad, Bakia, Lim Jee Yuan (jurugambar), Ng Sock Nye, Francis, Yusuf (pelukis), Normah (pembantu dokumentasi) dan saya sendiri. Masa itulah saya kenal SM Idris, Dr Martin Khor, Dr Lim Teck Ghee dan saya bekerja di bawah pengawasan dia, kebetulan mereka ni dapat grant dari luar untuk terbitkan majalah dan kajian dalam bentuk buku. Ketika inilah saya menekuni tesis-tesis dari luar negara tentang apa sahaja tanpa mengira topik kegemaran saya. Dan pernah anjurkan seminar appropriate technology di USM, dan teringat Prof Johan Galtung, Anwar Fazal, dan teringat Anwar Ibrahim datang sekali masa tu.
Saya suka meronda-ronda di sekitar George Town. Masa tu kota ini penuh maksiat. Nasib baik diimbangi oleh surau dan masjid yang bertaburan di sana-sini. Di Jalan Macalister ada dua masjid, di Jalan Burma ada satu, masuk ke lorong sikit ada surau lagi, di Jalan Chulia pun ada banyak masjid dan surau. Dari Masjid Benggali saya jalan ke Masjid Kapitan Kling, dari sana ke Masjid Melayu Acheen Street, kemudian ke Jalan Pintal Tali ada surau, ada masjid lagi di Jln Dr Lim Chwee Leong. Saya rasa George Town memang sempurna, ke mana anda pergi tak usah risau nak cari tempa solat. Ada di mana-mana. Hal ini berbeda dengan Melaka. Ada dua masjid sahaja Masjid Kg Hulu dan Masjid Kg Kling sahaja, yang lain jauh bagi pejalan kaki menyusuri kawasan bandar terutama berhampiran Jonker Walk.
Kesimpulannya, solat di Penang tidak ada masalah. Di tengah bandar ada sahaja tempat solat bagi sesiapa yang nak jaga solat. Tapi bagi kaki hiburan, sebagai merujuk tahun 80-an memang dahsyat sungguh. Anak Melayu kepit Minah Salleh, jalan stail orang baru balik dari Katmandu. Ada yang bersekedudukan dengan Minah Saleh, seingat saya seorang kawan nama dia Herman, juga berkepit dengan Minah Salleh. Sekarang apa dia buat pun saya tak tahu.
Di Chulia Street itu saya pernah terserempak dengan kawan sekampung dari Kg Warisan Pasir Panjang, Sekincan, Selangor, Jamuri Saring namanya. Dia lepak di Hotel Nam Wah (ingat lagi tu) dia suruh aku naik, dia mengadu teman wanitanya mengandung (luar nikah) dan dia minta tolong saya carikan orang pandai untuk gugurkan kandungan. Saya terkedu. Tak mahu masuk campurlah. Budak perempuan itu adalah bakal guru wanita yang akan mengajar murid-murid di sekolah. Tengok tu, jangan fikir guru itu sempurna ya. Saya no komen dengan perangai kawan sekampung ini. Saya teringat kakaknya Sakiah Saring, pernah jadi guru sementara di Sek Dato'Mustaffa Pasir Panjang, saya pun pernah mengajar di situ tahun 70-an bersama Sukran Jamil Zaini (buat penerbitan dan tak tahu buat apa lagi di tahun 2011 ni).
Dan dalam tahun 2010 saya ada jejaki George Town bersama isteri, rindukan nasi kandar di lorong tepi dekat Masjid Kapitan Kling, tengok-tengok kedai emas di situ, ronda di Chowrasta, dan tak lupa jenguk LINE CLEAR punya gerai nasi kandar. Malam-malam meriah di Penang Road. Hanya bezanya, lanca tak banyak macam dulu. Dulu tahun 80-an, lanca bersepah-sepah. Sana-sini bawa pelancong. Mat Salleh banyak naik lanca sebab nak cari bar yang bersepah-sepah. Masa tu pelacuran cukup galak. Anak-anak Melayu yang masuk bar akan dipelawa panggil perempuan, dan tauke suruh booking satu malam. Pendeknya maksiat menjadi-jadi.
Saya teringat kepada Warta Negara Press, Utusan punya, masa itulah saya ronda di Penang bersama novelis Azizi Abdullah. Azizi ajak saya makan di restoran nasi padang di Transfer Road. Masa tu pejabat akhbar ada di Argyill Street. Itulah kenangan saya bersama Azizi Abdullah.
Di George Town saya paling seronok solat di Masjid Benggali, Sabtu malam minggu ada perhimpunan tabligh. Gerai-gerai dan kemeriahan terasa macam di Masjid India Kuala Lumpur (tahun 80-an). Bulan puasa paling seronok, saya tinggal di Chulia Street, solat terawih di Masjid Kapitan Kling, untuk sahur saya suka beli udang besar di Chowrasta, ada restoran mamak di situ. Harga udang besar tidaklah mahal macam kedai Yasin dan Kudu Abdul atau Insaf di KL.
Kalau nak banding masa 80-an dan 2011 sekarang, Penang tenang. Masuk bandar kalau nak solat, anda boleh solat di mana-mana masjid yang bersepah. Syukur alhamdulillah, sejak BN tidak ada, kemaksiatan di kota ini makin terpinggir. Tidak galak macam dulu. Banyak hotel lama zaman 80-an dah tutup. Baguslah. Cuma peliknya di sepanjang Chulia Street ini saya lihat ada berbagai makam lama. Ada orang yang tinggal di sisi batu nisan pun dekat tanah wakaf Masjid Kapitan Kling.[]
No comments:
Post a Comment