Friday, 21 October 2011

SURAU AINUDDIN

Macam biasalah, solat isyak di surau ini. Surau Ainuddin. Berapa ramai jemaahnya? Tidak ramai. Adalah sebaris dari dinding kanan ke dinding kiri. Imam yang itu juga. Bilal yang itu juga. Di surau yang kecil begini saya suka datang. Jemaah kurang bukan apa, surau lain pun ada tidak jauh dari situ. Lagipun masjid besar ada di tepi jalan.
Bagi orang yang duduk dekat surau, surau itulah yang jadi tumpuan daripada pergi masjid besar. Kesian juga kalau jemaah surau itu kekal begitu tak tambah dan tak kurang.
Sebenarnya beginilah keadaan tempat solat sekarang. Di mana-mana pun begitu. Nak mengimarahkan masjid dan surau memang susah. Nak ajak orang ke masjid, selalunya budak tabligh sahaja yang rajin ajak orang pergi masjid, baru balik dari masjid pun disuruh pergi masjid lagi sebab nak diajak ke jalan Allah!
Sebenarnya nak imarahkan masjid senang sahaja, kalau jemaah subuh tak ramai mana, benarkan orang tidur di masjid atau surau. Amanahkan mereka jaga. Hidupkan malam dengan qiamulail sendiri atau berkumpulan.
Peraturan tak benarkan lepak di masjid dah jadi kemestian pula sejak tahun 80-an akhir. Pagar besi kanan kiri, tabung dirantai besar rantai gajah, takut dilarikan orang, sedangkan mesin ATM pun orang nak cangkuk.
Ini cadangan untuk mengimarahkan surau dan masjid, biar solat Subuh ada rupa. Kalau tidak empat orang saja, imam dan bilal campur orang luar tupun noja atau orang kerja pengawal keselamatan sebab mereka kena masuk tugas jam 7.00 pagi.
Tak percaya jenguklah Masjid Negara, Masjid Jalan Duta, Masjid Jamek KL, tapi jangan samakan dengan Masjid Jamek Kg Bharu yang memang ramai jemaahnya.
Sekarang nak lepak di masjid tak dibenarkan, cakap politik tak boleh, cakap hal hiburan tak mengapa, cakap hal Umno tak apa, atau Satu Malaysianya. Kengkangan terhadap orang ramai untuk mengimarahkan masjid amat menakutkan.
Nak bercakap itu tak boleh, ini tak boleh. Agaknya negara kita memang suka andainya rakyatnya bisu. Apa pun, surau Ainuddin yang saya kata tadi tidaklah dijadikan gelanggang apa pun. Memang jemaahnya yang itu, itu juga. Jika ada surau dekat rumah, jenguklah surau, sekalipun ada masjid yang besar. Nanti apa pula kata orang.
Memanglah, ada orang datang ke surau atau masjid sebab manusia. Segan nanti dikata tak campur orang. Sebenarnya, sesiapa sahaja yang menduduki AJK masjid atau Surau, mereka kena tunjuk muka supaya tidak dibicarakan orang.
Tidak manis kalau ada jawatan tapi tak jenguk masjid atau surau. Dan dek kerana segan dengan seseorang, ada orang terpaksa jenguk surau atau masjid agar tidak dikata dek saudara sendiri. "Tak pernah nampak pun kat masjid dan surau!"
Inilah fenomena dalam bermasyarakat. Kekadang surau dan masjid dijadikan ukuran, alim atau tidak alimnya. Orang meletakkan solat jemaah pada kedudukan teratas, tetapi bukankah ada juga ketua isi rumah yang perlu menjadi imam solat kepada anak dan isteri mereka.
Tanpa latihan mengimami anak dan isteri, akan pudarlah hafalan ayat-ayat al-Quran yang melekat dalam kepala selama ini. Jadi, latihan menjadi imam di rumah akan berguna ketika tidak ada imam atau bilal oleh sesuatu hal. Sudah pasti anda akan ditunjuk agar ke depan jadi imam.
Menjadi kebiasaan saya apabila ke Low Yat Plaza akan solat di surau Sg Wang Plaza, suraunya boleh tahan. Kemas. Solat di Times Square sempit dan tidak selesa, macam solat di lantai bawah Sogo kalau hari Sabtu dan Ahad atau cuti umum. Solat di Plaza Bkt Bintang, sempit juga, banyak warga asing, dari kalangan muslim Timur Tengah dan Afrika.
Sebenarnya di mana-mana bangunan ada tempat solat atau surau. Kekadang surau-surau ini mengadakan tazkirah mingguan atau bulanan juga. Surau di lantai bawah  Maju Junction sempit. Dan ada surau atau dianggap masjid juga di Balai Polis Dang Wangi, tetapi sejak dibuka semula, saya tak berani masuk. Bukan kerana buat salah, saya tak selesa menyaksikan orang berpakaian serba gelap begitu. Inilah kesan jangka panjang sebahagian besar budak reformasi dan saya pun begitu juga walau tidak menjerit kuat!
Esok ke surau lagi. Insya-Allah! []

No comments:

Post a Comment