Tuesday 26 February 2013

TENGOK SYIAH DARI JAUH [5]

Kisah Imam Mahdi yang ditunggu penganut agama Syiah adalah sesuatu yang seronok untuk dibaca dan difahami. Kisah ini bolehlah dianggap sebagai mitos dalam Syiah. Boleh jadi ada yang kata ia termasuk dalam mistik Syiah, dongeng Syiah, dan sebutlah apa sahaja. Mahdi Muntazar yang ditunggu-tunggu umat Syiah ini telah menghilang atau ghaib. Ia umpama cerita misteri juga.
Khabarnya ada dua bentuk ghaib yang berlaku.
Pertama, pada hari bapanya meninggal pada tahun 260H, sejak itu Syiah mendakwa  si ghaib itu telah bersembunyi dan pandangan manusia. Kalau nak berhubung dengan orang yang ghaib itu bolehlah dihubungi melalui "nuwwab" [para wakil] atau "sufara" [para utusan] yang konon ditentukan sendiri oleh orang yang telah ghaib itu. Dengan cara itu hubungan dengan pencinta ahlul bait berterusan.
Ketika imam yang ditunggu-tunggu itu ghaib, dia masih kanak-kanak. Konon budak yang ghaib itu kini sudah terlalu tua di alam sana dan dia sedia memberikan apa sahaja semacam fatwa kepada penganut Syiah tentang apa sahaja yang ditanyakan. Konon, andainya ada persoalan, silakan berkomunikasi dengan orang yang ghaib itu dan anda akan mendapat jawapannya. Para wakil atau utusan itu akan membawa jawapan bertulis. Inilah anehnya, walaupun ia telah ghaib, masih boleh diminta fatwa dan pendapatnya.
Selama keghaiban budak itu dan kini sudah tua renta, para wakil atau utusan itu khabarnya dilantik sendiri oleh si ghaib tadi. Mereka yang dilantik seramai empat orang, iaitu:
Usman bin Said al-Umari; Muhammad Usman Said al-Umari; Husain bin Ruh dan Ali bin Muhammad as-Samari.
Mereka yang jadi orang tengah atau utusan ini berpeluang mendapat harta "khumus" [zakat satu perlima bahagian], ada yang komen ini peluang mereka mendapat harta dengan keyakinan bahawa mereka dilantik dan dipilih orang imam yang sedang ghaib itu.
Ghaibah yang pertama tadi yang dipanggil ghaibah sughra, ia berlangsung selama 70 tahun. Sejak ziarah safir terakhir dari sufara yang empat itu [nama empat orang tadi]  dan sebelum meninggalnya  safir terakhir, iaitu as-Samari, ada "sepucuk" surat pula dari imam yang ghaib itu.
"Telah tiba masa ghaibah tammah [pemergian sempurna] maka tidak ada penampakan lagi kecuali telah diizinkan oleh Allah s.w.t., maka barangsiapa mengaku melihat aku maka dia adalah pembohong."
Ghaibah yang kedua mereka panggil sebagai ghaibah kubra iaitu pada tahun 329H. Sejak itu mereka mengharapkan imam itu muncul. Ada had masa yang telah mereka tetapkan, tetapi apabila masanya sudah tiba, imam tak muncul-muncul juga. Jadi mereka tambah lagi masa penangguhan dan penungguan imam. Mereka ganjakkan masa demi maslahat keyakinan yang batil itu. Mereka akan kata, "Sesungguhnya Allah telah 'bada' [nampak] bagi-Nya (apa yang tadinya tidak dia ketahui), dan tidak ada ketentuan waktu untuk kemunculannya."
Hairannya, meskipun imam yang ditunggu tidak muncul, boleh pula utusan tadi dapat surat kiriman dari alam ghaib sana. Utusan yang terakhir itu dapat surat dari orang ghaib.
"Dengarkanlah, semoga Allah mengagungkan pahala saudara-saudara mu tentang dirimu, sesungguhnya engkau akan mati antara hari ini hingga enam hari. Maka tumpukan urusanmu. Janganlah berwasiat kepada sesiapapun untuk menggantikan jawatanmu setelah ketiadaanmu. Kerana telah tiba masa ghaibah tammah -kepergian kekal-. Maka tidak ada kemunculan kecuali setelah ada izin  dari Allah yang Maha Tinggi penyebutan-Nya. Akan ada dari Syiahku orang yang mengaku tetap melihat diriku sebelum keluarnya Sufyani dan Syaihah [tiupan sangkakala] maka ia ada pendusta dan pembohong." [Ikmal ad-Dien, Ibnu Babawaih, Jil. II, hal. 193; Al-Thusi, Al-Ghaibah, hal.257, sebagaimana dikutip Mamduh Farhan: 2001] 
Konon, dengan surat dari orang ghaib itu, maka putuslah sudah imam mereka dengan ghaibah kubra tahun 329H itu.
Kisah orang ghaib, ghaib sejak zaman kanak-kanak, dan kini entah berada di mana, mereka pun tak tahu. Ada yang berkata Mahdi itu ada di Madinah, di Makkah, Yaman, Thaif, Gunung Radhwa dan di Samura'.
Yang tidak menjadi persoalan di kalangan mereka, ghaib bagaimana kalau orang yang ghaib itu boleh hantar surat kepada wakilnya? [Mamduh Farhan al-Buhairi, GEN SYIAH, Sebuah Tinjauan Sejarah, Penyimpangan Aqidah dan Konspirasi Yahudi, Darul Falah, Jakarta Timur: 2001]. []

Friday 22 February 2013

KISAH SULTAN SULU MEMBINGUNGKAN

Ketika catatan ini dibuat, tidak diketahui apa perkembangan terbaru di Lahad Datu, Sabah.
Apabila "rombongan" yang diketuai Datu Ajbimuddin Kiram sudah mendarat di Lahad Datu, baharulah timbul macam-macam cerita.
Isu ini tidak timbul sebenarnya kalau kerajaan Filipina dan MILF[Front Pembebasan Islam Moro] tidak menandatangani semacam perjanjian tanda sepakat di antara mereka dengan Malaysia selaku orang tengahnya.
Kisah pemimpin negara pergi ke Filipina memang sempat dicanangkan, semua orang puji peranan pemimpin kita mendamaikan puak yang sering bersengketa selama ini.
Ada yang komen, tengoklah, apa yang Pakatan Rakyat boleh buat? PR tidak mampu nak ajak dua pihak yang bersengketa berunding  dan kemudian pihak MILF mendapat hak otonomi di selatan Filipina itu.
Timbul tohmah pula konon pihak Pakatan Rakyat yang "undang" kerabat Sultan Sulu itu mendarat di Lahad Datu, Sabah. Ini lagi melucukan. Sumber dari agensi berita luar negeri itu memang temberang besar, dan memang patut kalau Anwar kata, ia sumber berita dari Umno.
Akan tetapi sumber berita yang benar, punca mereka mendarat di Lahad Datu adalah kerana tak puas hati pihak Filipina dan MILF, termasuk Malaysia yang jadi orang tengah, telah melupakan kedudukan Sultan Sulu.

HAK OTONOMI
Kalau soal MILF boleh diberi hak otonomi, bagaimana pula dengan Sultan Sulu?
Dari situ kemudian melarat-larat diungkit bahawa Sabah itu disewa oleh pihak orang putih, sebuah syarikat menyewanya dengan bayaran yang tidaklah tinggi.
Bermakna, rakyat tidak tahu menahu, orang Sabah sendiri, termasuk yang datang dari Suluk, Sulawewi, Bulungan, Kaltim, Visayan, Tawi-Tawi dan sebagainya tidak tahu sejarah masa silam.
Orang Semenanjung pun tak tahu bahawa Sabah itu disewa. Kena bayar sewaan kepada Sultan Sulu.
Sejarah Sultan Sulu ini panjang dan berbelit-belit kalau nak kaitkan dengan cerita sewa menyewa ini.
Orang hairan, bagaimana kes yang belum beres ini dikatakan telah beres?
Memanglah dari dulu ada cerita tentang tuntutan Filipina ke atas Sabah. Tuntutan itu tidak diteruskan sangat kerana ia lebih kepada tuntutan dari Kesultanan Sulu.
Dulu Sabah dikenali sebagai Borneo Utara, ia pernah menjadi wilayah dalam Kesultanan Brunei [1473-1658]. Kemudian kerana peranan Kesultanan Sulu mengukuhkan kedaulatan Kesultanan Brunei itu, mereka mendapat ganjaran berupa wilayah itu. Wilayah Sabah itu diberikan kepada Kesultanan Sulu.
Kemudian dalam tahun 1761, pihak British melalui East India Company buat perjanjian dengan Sultan Sulu untuk menyewa Borneo Utara [Sabah] untuk dijadikan pos perdagangan mereka. Termasuklah kelengkapan tentera Sultan Sulu yang ketika itu kena berdepan dengan Sepanyol, satu lagi kuasa Barat yang mengintai di sebelah timur.

SYARIKAT INGGERIS
Hak sewa menyewa Sabah ini kemudian bertukar dari tangan ke tangan hingga sampai kepada North Borneo Company pula. Sewa kena bayar kepada Sultan Sulu. Orang putih yang menyewanya.
Kemudian selepas 1885, Inggeris, Sepanyol dan Jerman buat perjanjian  yang dinamakan Protokol Madrid, yang mana Sepanyol mulai melepaskan tuntutannya ke atas Borneo Utara. Berikutnya Borneo Utara atau Sabah itu menjadi kawasan di bawah kawalan Inggeris.
Selepas Perang Dunia ke-2, Inggeris nak pulangkan semula kawasan itu kepada Kesultanan Sulu, tetapi satu pungutan suara telah dilakukan untuk mengetahui apakah rakyat di Sabah itu mahu ikut ke dalam Malaysia yang bakal dibentuk atau kepada Sultan Sulu. Keputusannya, rakyat memilih untuk ikut ke dalam Malaysia hinggalah pada September 1963 terbentuknya Malaysia.
Pihak Kesultanan Sulu "terdiam" kerana pilihan rakyat menentukan begitu. Akan tetapi yang orang tak tahu, meski sudah berlangsung lama, sewa Sabah ini tetap dibayar. Pembayaran dikeluarkan setiap tahun kepada Sultan Sulu.
Mungkin pihak Sulu berpendapat, seperti sewa tanah, sewa bangunan gudang atau rumah, apabila tiba masanya ia kena pulangkan kepada pemiliknya. Begitulah kira-kira yang diidamkan oleh pewaris Kesultanan Sulu yang ada.
Khabarnya, bilangan yang menuntut hak ini begitu ramai. Lebih dari 60 orang yang menyatakan hak mereka ke atas Sabah.
Sultan Sulu sekarang, Muedzulail Tan Kiram, adalah sultan terkini yang diiktiraf oleh kerajaan Filipina. Beliau tinggal di Jolo, Sulu. Sejarahnya sangat panjang. Percaturannya pun hebat dan perlu difahami menurut runut sejarah.

SULTAN SULU
Jika tidak berlaku kes "kumpulan bersenjata" di Lahad Datu, para wartawan Malaysia langsung tak ambil peduli pun tentang Kesultanan Sulu. Hakikatnya ia wujud. Kalau disemak perjanjian mereka dengan orang putih pun dibuat dalam bahasa Melayu, tulisan jawi dan cantik. Boleh dibaca walaupun dengan langgam lama.
Menurut catatan, sejak tahun 1963, dokumen sewaan oleh British North Borneo Company itu telah dipindahkan oleh Inggeris kepada Malaysia.
Jika tidak ada kekecohan ini, orang tidak tahu bahawa sewa sebidang tanah seluas Sabah itu hanya 73,040.77 Peso [iaitu catatan tahun 2003].
Kita harap kes tuntutan dari kerabat Sultan Sulu ini diselesaikan dengan berhemah secara rundingan. Hanya apakah sewaan itu mahu dinaikkan sesuai dengan perubahan masa, atau ada cadangan lain yang diterima oleh semua pihak tanpa menimbulkan sebarang pertikaian. Selain pertikaian yang seolah-olah berlaku di antara dua negara, timbul juga pertikaian di kalangan penuntut hak yang ramai bilangannya. Kita tunggu, apa episod sesudahnya. Wallahu a'lam. [disari dari berbagai sumber Wikipedia, Vivanews].

PENGARUH MAT BOM
Sementara itu, menurut sumber dari Sabahkini.net mengatakan kisah sekumpulan anggota "tentera Sultan Sulu" di Lahad Datu ini hanya merupakan tindakan kecil yang berpunca daripada pengaruh hebat Ahmad Malandi @ Mat Bom, orang kuat Umno di Sungai Nyamuk. Ahmad Malandi dikatakan menggunakan kedudukannya di dalam parti bagi tujuan mendapatkan kelebihan berupa tanah. Telah berlaku isu perebutan tanah, dakwa mendakwa berkaitan tanah adat yang konon telah dikuasai oleh Felda Sahabat 18.
Perkara tanah adat ini khabarnya sudah berlarut-larut hingga dibawa ke Mahkamah, dan ia tidak berpihak kepada Ahmad yang menyebabkan beliau "mengajak" suku-sakatnya yang berketurunan Sulu agar membantu tuntutan beliau.
Beliau yang dilaporkan mengidap angin ahmar dan pernah terlantar di Hospital Lahad Datu, turut diziarahi kerabat dari Sulu. Kebetulan "Projek IC" di zaman dulu turut melibatkan kelompok ini. Bukan setakat itu, pihak berkenaan juga menjanjikan pembahagian tanah seluas seribu ekar sekiranya perjuangan mereka berhasil.
Sumber turut melaporkan bahawa dalang sandiwara itu memang sudah nyata, kerana kumpulan yang berkampung di Lahad Datu dan menimbulkan kekecohan itu adalah terdiri daripada kalangan saudara-mara belaka, hubungan perkahwinan antara mereka menguatkan lagi kekerabatan yang terjalin lama. Tidak menghairankan, ada pihak yang mengatakan bahawa kemungkinan pihak mana yang "mengundang" dan membiayai kos perjalanan dan persenjataan itu sudah dapat diagak walaupun masih tidak sahih.
Sumber juga melaporkan, kemungkinan senjata diperoleh di Tawi-Tawi dari pasaran gelap di sana.
[tambahan dari sumber Sabahkini.net dan www.erapasca.com].

KESAN PROJEK IC
Tidak dapat dinafikan, projek IC yang telah berlaku begitu lama, bagi tujuan tertentu pihak penguasa telah menjadi beban kepada negara. Bilangan orang luar yang menjadi rakyat Sabah secara mengejut telah bertambah dan terus bertambah.
Di luar nalar pemikiran kita, bilangan orang Suluk yang menyelinap begitu ramai. Mereka yang sudah memiliki dokumen "sah" boleh pergi ke mana sahaja termasuk ke Kuala Lumpur. Terbukti mereka juga turut menghadiri perhimpunan politik yang tidak difikirkan implikasi buruknya pada kemudian hari.
Dan yang lebih mengharukan, di kalangan mereka ini cukup bijak bermain "politik", mereka menyertai atau menubuhkan NGO bagi kepentingan tertentu. Mereka pegang jawatan tertinggi, dan boleh ke tempat lain untuk berhimpun, berseminar dan menyatakan dukungan mereka atas sesuatu isu.
Orang luar terlupa, bahawa ikatan kekeluargaan Suluk, "Marga Suluk" ini mempunyai objektif jangka panjang yang orang luar tak tahu. Apabila mereka sudah diberi hak kerakyatan, diberi itu dan ini, bilangan mereka sudah bertambah dan kuat, maka kesatuan itu akan menyerlahkan objektifnya.
Kita pun tidak tahu, apakah benar mereka yang "menyeberangi" laut itu benar-benar dari Jolo, dan mereka semua ada "kepentingan" dengan perjuangan bagi mendaulatkan Kesultanan Sulu. Kita tidak ambil tahu pun, kerana media kita langsung tidak ambil peduli.
Ada penganalisis mengatakan, semua yang berlaku sekarang adalah kesan dari pemberian dari projek IC yang keterlaluan bagi memenangkan parti tertentu dalam pilihan raya. Sudahnya, kita semua menanggung akibatnya. Hendak dipersalahkan kepada siapa? Kita boleh senyum kalau melihat MyKad mereka dengan nama-nama pelik Sembilang bin Badukang, atau mungkin Sepat bin Puyu, Lundu bt Patin. Jangan tertawa. Sudah terbukti pun!
Dan kalau dilihat sepak terajang mereka, ada di antara kelompok itu diberi kedudukan istimewa dalam parti politik. Sedangkan kita langsung tidak ambil peduli apakah "matlamat" mereka dengan menduduki kedudukan yang istimewa itu?
Jelas, dari analisis, mereka tidak berpihak kepada pembangkang, tidak berpihak kepada parti-parti kecil yang bukan dominan dalam politik nasional. Mereka ada matlamat jangka panjang. Mereka memilih parti yang berkedudukan dan ada kuasa. Kita semua faham, parti mana yang mereka sokong, yang mereka dukung demi mencapai matlamat itu.
Kia tidak perlu hairan kalau di kalangan ahli parti itu ada yang mendakwa kerabat Diraja Sulu, begitu juga yang mereka yang menduduki jawatan utama dalam NGO yang selalu beriringan dengan pihak penguasa. Apabila keadaan sudah jadi seperti sekarang, tidak perlu mencari dalangnya. Kajian dari mana pakar atau cerdik pandai pun akan kembali kepada jawapan yang sama. Ia berada dalam lingkaran yang sama. Fahamilah situasi ini. [sumber berbagai laporan termasuk mb.com.ph].
Terbaru sebagaimana dilaporkan dalam blog yang lain, ada tokoh sebuah parti politik dikatakan mempunyai pejabat di Selangor, dia diberi gelaran istimewa oleh Sultan Sulu yang tinggal di Manila. Dia yang juga tokoh penting dalam parti nasional adalah penasihat "kerajaan" bagi pihak "baginda" Sultan Sulu. Seperti tajuk paparan ini, "Kisah Sultan Sulu Membingungkan", jelas, sampai sekarang orang ramai bertambah bingung kerana ada bermacam jenis Sultan yang wujud gara-gara isu Borneo Utara ini. Di mana kita hendak mencari salasilah sultan yang sebenar? Sekiranya setiap orang mengaku sebagai sultan yang sah, kita pun tidak tahu, adakah matlamat mereka hendak "meminta balik" tanah leluhur mereka atau perebutan kuasa, perebutan jawatan sultan yang nampaknya sedang terbuka lebar sekarang. Sesiapa sahaja mendakwa sebagai kerabat, saudara-mara sultan, sementara ada laporan dari Jolo, mengatakan sultan yang sebenar adalah yang ada di Jolo dan bukan di Sabah, di Manila atau di mana-mana pun! Kita tunggu apa kesudahan cerita ini. Nampaknya makin menarik, ada unsur ketegangan, ada mitos pencarian, mitos mencari salasilah, mitos sejarah silam dan banyak lagi yang membingungkan. []  

JUMPA LELAKI "NIKAH JIN" KE BUKIT BINTANG

Kuala Lumpur selalu macet. Pantang ada hujan. Kemacetan ini membosankan bagi mereka yang ada urusan. Jadi dalam perjalanan nak ke Bukit Bintang, saya mencuba perkhidmatan bas percuma dari KLCC Jalan Ampang ke Bukit Bintang. Penumpang bas aneka rupa dan aneka bangsa. Inilah percampuran yang menyeronokkan. Kalau guna kenderaan peribadi, anda tak akan jumpa aneka bangsa begini. Boleh bertegur sapa, dan menyatakan sesuatu yang ditanyakan. Seorang lelaki yang saya kira dari Amerika Selatan, ingin ke Chinatown. Dia khuatir tidak akan sampai ke sana, dan saya nyatakan ada khidmat bas percuma untuk ke sana di Jalan Raja Chulan nanti. Dia seronok mendapat sedikit panduan begitu.
Di Kuala Lumpur, perkara yang paling susah nak terangkan kalau orang tanya hotel-hotel yang baru dibuka semalam, seminggu lepas, sebulan lepas atau tahun lepas. Nama hotel yang begitu pelik dan tak popular kerap ditanyakan. Kalau ada kad perniagaan atau apa sahaja boleh kita "teroka" dan mengagak di mana ia. Kekadang hanya nama hotel tapi lorong mana, jalan mana tak diberitahu. Ini yang menyukarkan. Mungkin polis pelancong tahu. Sayangnya sekarang, polis pelancong tidak kelihatan lagi di Kuala Lumpur ini. Ke mana gerangannya?
Jadi, dalam bas yang sendat dipenuhi warga mancanegara, kebetulan saya berdiri dekat seorang lelaki Cina yang biasa saya lihat. Berseluar pendek paras lutut, berkasut kanvas, bersetokin, baju t biasa. Memang dia biasa. Saya tepuk dia, tegur dia dan tanya itu ini tentang Jalan Masjid India, tentang Pak Raden Wali Sembilan, dia ingat. Dia ingat semula, dan dulu ketika saya temu bual seseorang, lelaki Cina ini kerap berada di sisi saya, dan dia melihat apa yang saya lakukan, baik mencatat sesuatu atau memotret sesuatu. Dia tahu apa yang saya buat.
Lelaki Cina ini sebenarnya salah seorang lelaki yang dikatakan oleh Pak Raden telah "nikah" dengan jin perempuan. Biar betul bang!
Lelaki inilah yang bercerita kepada kami bahawa ketika dia duduk melamun di sebuah bilik hotel di Jalan Masjid India, tiba-tiba ternampak kelibat ular besar atas katil.
Jangan merapu bang! Itu cerita lelaki Cina itu. Dia sendiri yang kehairanan, sambil terkedip-kedip matanya, dia hairan, pasal apa dia boleh nampak begitu pada waktu siang bolong? Dia kata, dia nampak ular melingkar atas katil, anehnya ular itu berkepala manusia, perempuan, ada tiara di kepalanya. Siapakah gerangannya itu?
Bermula dari pertanyaan mistik itulah, lelaki Cina itu kemudian ingin tahu apa sebenarnya.
Melalui perantara Pak Raden selaku jurutunjuk, jurukunci dan jurubuka, maka lelaki Cina ini diberikan keterangan tentang ular besar itu dengan lebih terperinci.
Kefahaman lelaki ini sudah mula nyata, dia tahu siapa ular misteri itu. Dan ada kaitan Puteri Kidul dengan Puteri Blorong. Duanya ada kaitan kata Pak Raden.
Agaknya, disebabkan rasa ingin tahu, lelaki Cina ini kemudian memutuskan hendak "nikah" dengan jin perempuan itu.
Maka Pak Raden pun khabarnya uruskan semua perkara. Termasuk potong kerbau balar, hantar kepala kepala kerbau ke laut, bagi persembahan atau sajian, itulah yang disebut sebagai larung sajian. Larung sajian dibuat di Laut China Selatan, di Pantai Timur.
Sebenarnya dari dulu lagi saya ingin tahu apa kesudahan episod nikah jin ini.
Kebetulan lelakio Cina ini sudah berada di depan saya. Saya fikir, kalau saya tanya tentang jin itu tentu dia sukar nak menjawabnya. Bukankah perkara ini menjadi kerahsiaan dalam ilmuan mistik. Jadi, saya tak tanya apa pun, sebaliknya hanya sembang topik lain hinggalah kami turun di Jalan Imbi bersebelahan Times Square. Saya nak jumpa Pakistani yang saya amanahkan untuk baiki laptop saya.
Jadi, memang begitu agaknya. Lelaki Cina ini tidak kelihatan smart. Dia memang tak pernah smart pun apa lagi sejak "nikah" dengan jin dari luar negeri. Ada perbezaannya? Tak nampak beza. Dia masih macam dulu.
Sebenarnya banyak soalan terkumpul dalam kepala yang saya enggan nak luahkan. Iaitu tentang "perkahwinannya" dengan jin perempuan itu. []

OKU JADI BOMOH SUSUK BERKAWAN DENGAN JIN

Ini sebuah kisah biasa. Seorang wanita, 45, lahir dalam keadaan cacat kedua belah kakinya. Dengan sebab itu pergerakannya ketika masih kanak-kanak jadi bahan ejekan dan tawa kawan-kawan. Dia rasa tersisih kerana kecacatannya itu. Itu zaman kanak-kanak. Sesiapa pun kalau jadi seperti dia tentu akan merasa rendah diri, ingin mengasingkan diri dan menjauh dari orang ramai.
Begitu yang terjadi kepada wanita keturunan Jawa ini, dia mengambil jalan pintas dengan berkelana di sebuah rumah kosong. Biasanya kalau rumah kosong begitu, orang sering kaitkan dengan perumahan jin. Memang betul pun.
Setiap hari kanak-kanak perempuan ini lepak di rumah kosong. Dia melayan fikiran, melamun, mengkhayalkan sesuatu yang indah. Hakikatnya dia tidak mampu lebih dari itu. Keluarganya bukan orang berada. Hidup sekadar cukup makan dan pakai.
Ketika lepak di rumah kosong itu, dalam diam-diam dia diminati sekumpulan jin baik jin jantan dan jin betina. Dia cukup betah berada di rumah kosong itu meskipun orang lain menganggap rumah itu angker atau menyeramkam.
Apabila seorang berkata seram, maka yang lain pun ikut seram. Akhirnya memang rumah itu digeruni penduduk kampung kecuali budak perempuan yang kini telah dewasa, telah bersuami dan memilik dua orang anak.
Dia bersuamikan seorang lelaki yang mempunyai sedikit ilmu tentang keparanormalan. Maksudnya, dia boleh jadi bomoh untuk menolong sesiapa sahaja yang sudi bertandang ke rumahnya. Mungkin itulah profesion yang patut dia teruskan. Pasangan suami isteri ini pun tidak bersekolah tinggi, hanya sekadar sekolah rendah dan menengah setakat setahun sahaja. Banyak masalahnya, keluarga tidak mampu menyekolahkan mereka.
Kisah ketika wanita itu masih kanak-kanak yang gemar menyendiri di rumah kosong telah menyebabkan dia disukai golongan jin.
Kumpulan jin di rumah kosong memang suka kalau dia datang ke situ setiap hari. Dia boleh duduk-duduk atau kalau mengantuk dia baring-baring di rumah itu. Dia tidak tahu, selain dia, ada makluk lain bersama dengannya, itulah makhluk jin.
Jin ini kemudian memberikan ilham kepada wanita cacat itu untuk jadi bomoh susuk. Itulah kepakarannya. Dia dikenali sebagai bomoh susuk, manakala suaminya paranormal biasa. Disebabkan keduanya sudah menekuni bidang bomoh susuk dan keparanormalan, maka tidak malu-malu, mereka pasang papan tanda di depan rumahnya: BOMOH SUSUK siap dengan nombor telefon tangannya sekali.
Sesuatu yang biasa, tetapi sebenarnya bomoh susuk ini luar biasa jika dibandingkan dengan orang lain yang sebaya dan senasib seperti dirinya.
Hubungan baiknya dengan makhluk jin sejak kanak-kanak telah menjadikan dia seorang bomoh susuk. Dia tidak belajar dari mana-mana bomoh dan pakar susuk. Maksudnya, dia belajar dari jin. Jin yang mengajar dia bagaimana hendak memasang susuk.
Hakikatnya, memasang susuk bukanlah susah kalau sesiapa tahu kaedahnya. Susuk itu sendiri benda misteri. Orang tidak melihat apabila susuk telah ditanam ke bahagian tertentu badan pelanggannya. Wanita ini begitu mahir dalam seni pemasangan susuk.
Selain kehebatannya memasang susuk, dia juga gemar dedah cerita peribadinya. Suami isteri yang sudah bergelumang dengan dunia bomoh, paranormal dan sentiasa dikunjungi golongan jin, mereka menjadi pasangan yang tidak tahu malu.
Si isteri, iaitu bomoh susuk itu tidak malu-malu menceritakan kehebatannya bahawa sungguhpun dia cacat tetapi di alam ghaib, dia adalah wanita tercantik, wanita yang selalu menjadi dambaan golongan jin.
Bayangkan, dia boleh bercerita tentang bagaimana setiap malam, ada sahaja jin jantan datang ke rumahnya.
Ketika dikunjungi jin jantan, wanita ini kena beritahu suaminya, "Kang, ada tamu ini malam!"
Dengan kata-kata itu, suaminya sudah faham. Si isteri perlu tidur berasingan kerana tetamunya iaitu jin jantan ingin tidur dengan isterinya yang juga bomoh susuk itu.
Apakah ada hal misteri dan mistik yang menyebabkan bomoh susuk itu sanggup menduakan suaminya walaupun dengan izin. Jin dan manusia diberi beban yang sama, beribadah kepada-Nya. Apa yang disyariatkan kepada manusia, begitu jugalah kepada jin. Itu sebab Allah subhanahu wa Taala menjadikan jin.
Meskipun wanita itu boleh bercerita apa sahaja, suaminya hanya angguk-angguk dan setuju benar dengan perangai isterinya.
Wanita itu bangga menceritakan bahawa yang datang ke rumahnya adalah para pangeran, kaum elitis dan bangsawan dalam dunia jin.
Dia pasrah dan sedia untuk digauli oleh jin jantan setiap malam.
Malah dia dengan bangganya menceritakan kalau semalaman dia tidur dengan jin jantan, jin bangsawan dari kraton jin, rambutnya jadi gimbal. Rambut jadi gimbal gara-gara kesyahwatan yang melampau melayani jin-jin jantan itu.
Wanita yang jadi bomoh susuk ini pun hebat juga. Dia sebagai bomoh atau dukun susuk memang sesuai benar kalau dikunjungi oleh orang yang berangan-angan nak menang pilihan raya, nak rebut jawatan dalam pemilihan jawatan penting kepartaian. Meski dia cacat, ilmunya dikatakan hebat. Dari mana dia belajar ilmu susuk? Ya, sanad ilmunya dari jin-jin yang tinggal di rumah kosong itu.
Sebagai pakar susuk, sudah tentu ada keganjilan pada dia. Sungguhpun dia tergolong OKU, akan tetapi ada lelaki yang menoleh dua kali ke arahnya kerana sungguh dia OKU, tetapi cantik, ada aura, ada daya tarik yang entah berkat dari ilmu susuk atau bayangan jin-jin sahaja.
Wanita yang jadi pakar susuk ini kemudian mendakwa dia bukan sahaja disukai oleh jin-jin jantan dari berbagai lapisan masyarakat jin jantan, dia juga disukai jin nenek-nenek. Jin nenek ini dia temui sewaktu naik rakit menyeberangi sungai tidak jauh dari rumahnya. Itu cerita lama. Ketika dia hendak mencari sayuran di seberang sungai. Di sana banyak daun pegaga, bayam liar dan kangkung. Nenek itu tidak diketahuinya latar belakangnya. Dia adalah nenek kebayan sebenarnya.
Nenek misteri itu memberikannya mangkuk dari bahan kuningan. Orang memanggilnya bokor. "Kamu perlukan bokor ini, kerana dengan adanya benda ini, kamu boleh letakkan wang di dalamnya. Sesiapa pun yang datang ke rumah kamu nanti akan letakkan wang di situ," itulah kata-kata nenek misteri itu.
Terbukti, benda itu dia simpan di rumah. Sesiapa yang datang nak pasang susuk atau hendak berubat seadanya menurut kemampuannya maka bokor itu dijadikan sarana untuk meletakkan wang.
Pelanggannya tidak kira siapa. Kalau datang orang politik hendak dapatkan susuk pengasihan, dan pemikat sebagai pemimpin pun, siapa yang tahu? []

Thursday 21 February 2013

BUKAN TOYOL SAHAJA PANDAI CARI DUIT!

Di negara kita, nama toyol memang popular. Budak gondol, perut buncit, berukuran kecil setinggi botol kicap yang kerjanya mencuri duit di rumah-rumah orang ini memang ada dipelihara oleh orang-orang tertentu. Hanya budak toyol ini terlalu rahsia. Toyol tidak mahu mencuri wang dari rumah jiran-jiran sebab sudah disepakati, sudah diberi taklimat kepada budak toyol agar tidak naik ke rumah saudara-mara, jiran-jiran terdekat, bimbang nanti tembelang kekayaan diketahui orang. Malu kalau yang memiliki toyol itu bergelar haji atau hajah, malu kalau yang memiliki toyol itu bergelar Dato atau Datin, atau ustaz sekalipun.
Nah, dalam dunia mendapatkan duit secara ketoyolan ini, ada banyak teknik atau ilmu yang boleh dipelajari dan "dibeli" [toyol paling murah RM1,750] sekiranya seseorang itu sudah tidak memikirkan siapa dirinya lagi. Atau dengan kata lain, sudah putus harap dan ingin lari dari persoalan lain. Kata orang toyol boleh dibeli di Jawa Timur [Kg.Surowati, Panceng, Gresik atau di Klaten].
Maka, apa sahaja yang mereka cari selain daripada toyol?
Menurut orang pintar, ada lagi makhluk lain atau ilmu lain yang boleh mendatangkan duit. Antara lain adalah:
  • KHADAM JIN - dengarnya boleh dapat sampai 19 jin atau ratus jin pun boleh. Konon jin itu akan membantu anda mendapatkan duit atau istilah kerezekian. Daripada usaha yang dilakukan oleh khadam, ia akan mendatangkan duit sebagai matlamat akhir. Selain khadam begini, ada yang dipanggil Khadam Pendamping, boleh disuruh apa sahaja. Termasuklah bab mendatangkan duit.
  • POPOK WEWE - siapa yang amal ilmu ini mereka akan diberi  "popok wewe" [asalnya dari kain lampin bayi] dan jadikan ia sebagai tangkal atau penarik rezeki kalau sesiapa yang buka gerai, kedai runcit atau mini market. Atau usaha apa sahaja yang mendatangkan duit. Hanya "dukun" tertentu sahaja boleh bagi ilmu mengarut macam ini.
  • BUTA HIJAU atau BUTO IJO - kenapa dikatakan hijau? Ya, sebab ia berupa makhluk menyeramkan, badan tinggi besar, berbulu hijau, matanya merah berapi, dan makhluk ini sangat sakti. Ia ibarat gergasi besarnya. Apa gunanya? Sesiapa yang memelihara "haiwan" ini mereka boleh dapatkan duit dengan meminta kepada jin Buto Ijo ini. Kalau diminta, konon makhluk ini akan jelir lidah dan keluarkan duit dan kepingan emas kecil dari mulutnya. Aneh! Bukan mulut sahaja, kalau Buto Ijo itu betina, dia boleh sorokkan berlian dalam kemaluannya. Suruhlah Buto Ijo itu keluarkan benda itu, tak kan orang yang memiliki kena seluk kut? Hairannya, "dukun" yang menyediakan ilmu ini dia kata Buto Ijo boleh tolong carikan duit sampai dekat RM2,000 semalaman. Kalau sebulan berapa? Kaya gitu! Hanya kita kena faham, makhluk ini pun nak makan juga, ada sajiannya, ada tumbalnya, khidmat bukan percuma. Bahkan boleh mengorbankan diri pemiliknya. 
  • BAJANG - kata yang empunya cerita, ia adalah adik beradik kepada toyol juga, hanya namanya Bajang. Bajang kena dipelihara. Dapatkan seekor Bajang daripada "dukun" yang tahu tentang dunia kebajangan. Jangan tanya dukun urut sakit kaki. Bagaimana rupa Bajang? Khabarnya, ia bermata bulat, mulutnya kecil panjang dan vertikal. Semalaman dia boleh cari duit hingga belas ribu ringgit. Ini lagi dahsyat. Hanya kita kena tahu apa sajiannya, apa syaratnya, ada tumbal atau tidak. Kalau dia nak tumbal ahli keluarga pemilik bagaimana? Sendiri jawab. 
  • BABI NGEPET - hanya sesuai untuk pasangan suami isteri yang suka menjauhkan diri dari masyarakat. Rumah terpencil. Waktu malam suami merayau jadi babi, boleh masuk rumah orang tanpa ikut pintu, maklum sudah jadi jin babi ngepet. Isteri di rumah kena jaga lampu minyak tanah. Ada isyarat dari api pelita itu. Kena belajar mengenal bentuk api dan warna dan lintuknya apabila kecemasan. Sebab, ketika suami menyamar jadi babi untuk mencuri di rumah seseorang, kekadang, nasib tidak menyebelahi dia kena kepung. Api pelita di rumah yang dijaga oleh isteri perlu diamati baik-baik. Ketika api itu menunjukkan suami yang jadi babi sedang kecemasan dikepung, pelita dirumah perlu dipadamkan. Padam bererti gelap. Gelap tak nampak apa. Sama juga, kehadiran babi di rumah orang. Mereka yang mengepung babi tak nampak apa. Babi selamat, boleh balik ke rumah dan bawa duit atau emas yang dia dapat. Babi ngepet tidak pegang duit, tetapi ilmu dari ngepet ini boleh pindahkan duit dan barang kemas ke dalam karung khas yang diletakkan di rumah pengamal ilmu. Kalau babi dikepung pun, makhluk itu tidak ada bawa duit dan benda lain. Kosong. Pemindahan harta secara auto-ghaib ini memang aneh.
  • KAHWIN JIN - yang biasa kita dengar ialah kahwin dengan puteri jin seperti Puteri Selatan atau lainnya. Tetapi yang ini kahwin dengan jin yang boleh disepakati agar membantu "suami" atau "isteri" agar dapat duit atau rezeki secara ghaib. Jin perempuan ini boleh disuruh untuk mendapatkan harta. Cara bagaimana? Itu kena tanya orang pintar atau pak dukun yang menyediakan khidmat ini. Tapi kena bayarlah, bukan percuma.
  • BLORONG - ini pun macam kahwin jin juga. Sebenarnya siapa yang berkawan dengan Blorong, orang itu boleh kaya juga sebab Blorong ini adalah sejenis jin pelik, kepala manusia badan ular. Dia juga boleh jadi "manusia" sepenuhnya ketika dilayani pasangannya. Setelah puas melayani nafsu, "ular Blorong" agar pergi menyusur keluar. Dia akan tinggalkan sisik yang berupa emas, ada yang mengatakan sisik ular tadi yang berupa emas beratnya sampai 2kg. Bayangkan? Kalau satu malam dapat 2kg. seminggu dapat 14kg. Sedangkan emas 200gm pun sudah mahal, apalagi kalau ditimbang sampai berkilo-kilo. Rasanyanya, ini maklumat yang mengelirukan. Jika orang yang bersahabat dengan ular ini dapat setiap hari sebanyak 2kg. maka dia kena siapkan bilik kebal, setiap rak-rak bersusun sisik emas ular. Mungkin pihak pembeli emas hairan. Emas dari mana boleh sampai berkilo-kilo begitu? Ikut logik. Pak dukun itu sendiri yang jadi perantara kena cuba dulu. Kalau dia pun tidak boleh dapat emas sampai 2kg. tak perlulah temberang kepada orang lain. Jika begitu tak perlu fikirkan masalah negara lagi, hanya fikirkan ular, ular, ular dan ular. Mungkin lelaki yang berkawan dengan ular badannya pun hamis macam ular juga.
  • KANDANG BUBRAH - inipun perkara pelik. Orang yang amal ilmu ini konon dijamin jadi kaya raya. Rumahnya pun hebat. Betapa tidak. Kerana salah satu syarat pengamal ilmu ini dia kena baiki rumah setiap hujung tahun. Ada sahaja yang hendak dibaiki. Ada sahaja yang hendak ditambah-tambah. Apa nak hairannya, ilmu kandang ini memberikan kekayaan mistik.
Masih ada lagi beberapa pemeliharaan makhluk yang sukar hendak dipercayai. Sedangkan beberapa nama yang disebutkan tadi pun orang tidak percaya, apalagi hendak ditambah beberapa nama ilmu lain lagi. []

ASMARADANA KLASIK JAWA

Lagu "Asmaradana" nyanyian Tiara Jaque, dalam filem PUTERI GUNUNG LEDANG pernah jadi hit. Saban hari dimainkan di radio swasta. Kalau ada show pun lagu ini dianggap lagu cari makan di kalangan artis.
Ada sebuah buku lama bertajuk SEKS JAWA KLASIK tulisan Hariwijaya. Di dalamnya diceritakan bahawa seni bercinta mereka sebut asmaragama. Ia sudah ada sejak zaman Hindu-Buddha di Jawa. Mungkin ia diadopsi dari kitab lain dari India sana.
Secara harfiah asmara bererti cinta atau percintaan. Manakala gama adalah senggama. Asmaragama ertinya seni persenggamaan.
Orang Jawa klasik membahagikan seni bercinta ini kepada beberapa titik perhatian.
  • ASMARANALA - maksudnya, kedua insan yang bercinta hendaklah saling mencintai, cinta itu muncul dari landasan cinta kasih dari lubuk hati masing-masing. Ketika dua jiwa bergetar maka mereka mendapat kebahagiaan ketika bercinta. Ia bukan saluran untuk keberahian semata-mata, tapi perpaduan dua hati yang saling mencinta dan mendabakan. Nikmat seksual itu diperoleh daripada perpaduan cinta tadi.
  • ASMARATURA - apa dia? Kedua pihak hendaknya dilandasi oleh rasa tarikan dari cantik dan tampan pasangan masing-masing. Pasangan juga kena mengakui ada kebangsaan terhadap pandangan masing-masing, melihat pasangannya cantik, atau pasangannya tampan. Kebanggaan satu pasangan, tidak sama dengan orang lain. Justeru jangan perhatikan orang lain.
  • ASMARATURIDA - maksudnya, kedua insan bercitan akan semakin larut dan asyik-masyuk, bersenda gurau, desah nafas, dan apa sahaja adegan yang menyukakan.
  • ASMARADANA - inilah perkataan yang popular di tempat kita hingga jadi judul sebuah lagu. Maksudnya, syair, puisi, dan kata-kata mutiara yang apabila dituturkan sangat mengesankan di telinga pasangan yang bercinta. Kata-kata yang dilontatkan penuh dengan daya pesona dan daya magis. Wanita yang sudah ada benih cinta akan menyerahkan jiwa raganya.
  • ASMARATANTRA - adegan berciuman di mana-mana bahagian tubuh pasangan. Ini lebih menumpukan kepada teknik bercium dan menikmati ciuman di antara pasangan bercinta.
  • ASMARAGAMA - inilah titik terakhir dalam pencarian asmara yang pelbagai tadi. Ada paduan pihak yang memberi dan yang menerima, itulah hubungan senggama.
Dalam kitab klasik Jawa, unsur lelaki adalah keupayaan atau alat untuk mencapai kebenaran yang agung, manakala unsur wanita adalah merupakan prajina atau kemahiran  yang mebebaskan. Senggama adalah darma seorang wanita terhadap lelaki. Seks dianggap sebagai sumber kehidupan, kunci harmoni rumah tangga, dan kelangsungan bagi keturunan. Justeru itu seks perlu dipelajari menurut kitab tua itu.
Menurut sumber kraton atau istana Jawa, bahawa di dalam kraton itu ada beberapa kitab lama yang membicarakan atau mengajarkan soal seni bercinta dan senggamaan.
Ada pula tari-tarian kraton yang menggambarkan hubungan lelaki dan perempuan yang dulunya hanya dinikmati oleh kalangan para raja dan kaum bangsawan sahaja.
Kenapa kitab itu ditulis dan dijadikan panduan untuk warga kraton?
Kitab itu bertujuan agar para permaisuri, selir [gundik], atau isteri para bangsawan lainnya dapat membahagiakan suami masing-masing.
Kalau setengah orang suka menyebut kehebatan KAMASUTRA seni bercinta dari India itu, maka di Jawa sudah ada kitab tuanya. Selain itu, ada juga pustaka yang dipanggil SERAT DARMAGANDUL yang juga berkaitan dengan bab suami isteri dan panduan berumah tangga.
Menurut kitab tua itu, isteri sebagai pendamping suami [lelaki] perlu empat perkata, iaitu PAWON, PATURON, PANGREKSA dan hindari PADUDON.
Apa maksudnya?
Pawon maksudnya, isteri itu perlu tahu memasak di dapur. Kalau tak tahu masak, sudahnya nanti suami pula yang jadi tukang masak. Sudah terbalik. Tetapi zaman sekarang sudah banyak yang terbalik begini, suami yang masak, isteri tengok televisyen drama Korea.
Paturon maksudnya, tempat tidur. Isteri kena lincah dan bijak mengimbangi suami di tempat tidur.
Pangreksa maksudnya, penguasaan. Mampu mengelola rumah tangga dan memenuhi kehendak suami.
Padudon pula, pertengkaran dan suka ngomel. Jadi ini yang perlu dihindari. Isteri kena memahami karakter suami.Kalau suami berkarakter api, maka isteri kena karakter air. Jika karakter api dengan api, musnahlah jadinya. Ia hanya perlambangan dalam falsafah kerukunan hidup suami isteri menurut versi Jawa. [Sarian dari LIBERTY, ed.2437, 2011].

Wednesday 20 February 2013

MASA INILAH SIBUK CARI KYAI, KENAPA?

Sebenarnya perkara ini langsung tidak terlintas dalam fikiran untuk dicatatkan dalam blog. Kebetulan jumpa kawan satu sekolah yang sempat melemparkan kemegahannya di depan saya dan rakan-rakan lain, dia imengatakan, Menteri Perdana telah memanggilnya, konon dia antara salah seorang yang bakal jadi calon parlimen Sungai Besar. Maka dia telah terlempar kata, bahawa seorang mufti di sebuah negeri telah memberitahunya agar pergi berjumpa Kyai. Disebutkan nama Kyai itu. Kalau nak jumpa Kyai, kenalah pergi ke seberang dulu. Dia kata geng-geng dia dalam parti politik Kedacingan banyak yang menggunakan jasa para Kyai. Inilah yang menariknya.
Yang menjadi persoalan pada kita, tahukah seseorang itu akan Kyai yang hendak ditemui itu, atau sekadar nama depan ada Kyai, ada padepokan, ada pesantren, ada perguruan ilmu hikmah, dan sebagainya? Mungkin tidak kenal pun. Mereka beranggapan setiap tempat yang dinyatakan itu ada Kyainya, dan boleh diminta jasa baiknya untuk mendapatkan sesuatu. Apa sesuatu yang dimaksudkan? Tidak lain untuk membina keyakinan diri agar terpilih jadi calon, agar menang dalam pilihan raya kali ini.
Andainya seseorang itu berlagak datang dari Kuala Lumpur mahu ketemu dengan Pak Kyai, maka mereka akan disuguhkan berbagai Kyai dengan bermacam padepokan, berbagai nama pesantren, berbagai nama perguruan dan yang dibimbangi mereka terperangkap oleh kelicikan Kyai Gadungan. Kyai-Kyai ini sedia melayani sesiapa juga yang berhajat asalkan ada fulusnya.
Dibimbangi Kyai yang selama ini menawarkan khidmat menebak ramalan undian Marsix Hong Kong-Taiwan, ikut menerabung tawarkan khidmat meningkat karisma, membangkitkan aura dan kewibawaan diri, lontaran bicaranya didengar massa, lalu kalau dia ikut bertanding nanti, pasti menang. Orang ini juga boleh mengaku Kyai dan boleh menolong sesiapa sahaja yang hajatnya berkaitan dengan jawatan atau pemilihan, lagi-lagi untuk pilihan raya umum!
Kalau tidak biasa berdepan dengan situasi itu, maka mereka yang baru nak kenal Kyai akan terperangkap dengan berbagai nama pelik, seumpama Ma'ruf Mangku Alam Kyai, Kyai Ki Ageng, Yayasan Metafisika, Kang Mas Bagus, Kyai Ki Edan, Mahaguru Khadam, Kyai Pengasih, Ajian Pamungkas Sabda Kencana dan sebagainya.
Dek kerana dah bingung dan keletihan mencari Kyai, maka ada yang terjengah Kyai ilmu persugihan. Disebabkan sudah duduk berborak-borak, Kyai persugihan ini juga sambil tertawa, dia bilang, dia bisa membantu sesiapa yang hendak menghadapi pemilu [pilihan raya] -- apa lagi kalau tokoh kita dari Kuala Lumpur berlagak kaya, lagak bangsawan, lagak elitis melampau. Maka orang macam ini elok "disembelih" cukup-cukup.
Sebenarnya terlalu banyak tempat untuk mendapatkan solusi kepada sesiapa yang sudah buntu nak cari orang pintar [arif] bagi menyelesaikan permasalahannya. Tetapi apakah ilmu dari Kyai ini mampu menguasai kejayaan seseorang, mampu menjamin kemenangan seseorang kalau pengundi hantu, projek MyKad dan banyak pemindahan nama dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya?
Mungkin ada yang terperangkap di dalam permainan Sang Kyyai Gadungan tadi, langsung dikenakan tumbal sekali. Maksudnya, untuk mendapatkan pesona dunia, pangkat, jawatan, kemenangan dalam pilihan raya, ada yang sanggup "mengorbankan" orang yang dikasihi, sanggup korbankan dirinya sendiri, atau mengorbankan musuhnya sebagai tumbal. Diharap perkara begini tidak berlaku. Kerana kesannya amat mendalam, satu kerja bodoh yang tidak sepatutnya difikirkan oleh orang yang mengaku beragama Islam.
Dunia ini tidak ke mana sudahnya. Pangkat dan kedudukan pun begitu juga. Adakah hanya kerana hendak pilihan raya kita sibuk mencari Kyai? Sudah dinyatakan tadi, ada banyak Kyai dan bermacam jasa yang boleh mereka tawarkan. Yang kita bimbang, kita hanya bertemu Kyai Minyal Pelet, Kyai Pengasih, sebab bidang ini juga ada kaitan dengan meningkat karisma dan aura dalam diri penyandangnya, atau pengamalnya.
Sebagai contoh, sebuah Yayasan mendakwa boleh menolong sesiapa yang hendak memenangkan diri dalam pilihan raya, jumpa "ustaz" ini dan nyatakan hajat anda. Mungkin dia akan berikan tokoh politik yang berhajat sejenis ilmu diberi nama ASMA TASEK RAJEH. Tasek Rajeh ini dari bahasa Madura yang maksudnya "laut besar".
Asma ini kalau mengikut kata orang pintar yang empunya ilmu, ia merupakan "ijazahnya" Nabi Khidir Balyabni Malkan kepada Sunan Kudus yang mana ijazah ini dilakukan di tengah laut. Itulah sanad ilmunya. Di tengah laut mana tidak diceritakan. Kalau uastad ini temberang kepada sesiapa pun yang bersila di depannya, tentu tokoh politik yang bergelar, tak kira Dato, Tan Sri, Datuk Sri atau apa pun gelaran, mereka tentu tercengang!
"Dato', asma' ini banyak dimiliki para auliya dari Pulau Madura, itu sebab namanya Asma Sungei Rajeh. Asma atau ilmu ini mempunyai kekuatan lebih dahsyat dibandingkan asma Sungei Rajeh mana pun!" kata ustad yang juga tidak malu jika dipanggil Kyai.
"Maksudnya Pak?" tanya tokoh politik itu.
"Daya magisnya dan kekuatannya lebih dari asma yang lain," kata ustaz lagi. Dia tidak peduli kalau Dato atau siapa pun tidak faham apa benda yang dia cerita tentang asma-asma ini. Apa benda sungai rajah pun.
"Saya nggak faham ustaz!"
"Nggak apa-apa, pokoknya asma ini bener-bener punya kekuatan dan daya magis yang luar biasa! Bisak memenangkan pemilu! Bisak membungkem mulut lawan ketika meeting, bisak taklukkan orang-orang yang ada di sekeliling anda. Yang lebih utama ya, ketika pemilu!"
Dek kerana sudah pening, tak faham apa yang dimaksudkan dengan asma dan bungkem, dia angguk dan terima sahajalah. Berapa sedekah ikhlasnya dia pun bayar. Bukan mahal pun, kalau Rp660,000 baru berapa? Sedangkan sejuta Rp baru RM350 [lebih kurang atau ada perubahan, ini contoh sahaja].
Masa inilah orang sibuk nak cari Kyai di Pesantren atau Padepokan itu dan ini. Kalau kena yang betul tak apa, tetapi ramai juga yang nyelonong masuk ke "Padepokan" Wong Sinting, yang sanad ilmunya dari gunung dan perkuburan keramat.
Maka, cantik benarlah kalau tokoh kita yang nak menang pilihan raya kesasar sampai ke situ. Di tempat sendiri dia membodohi rakyat, membodohi penduduk kampung, di seberang sana Pak Kyai Gadungan pula membodohi dia. Wah! Kalau begini apa yang akan terjadi? Pertarungan ilmu pada Kyai nampaknya. Wallahu a'lam. []

Friday 15 February 2013

PANJAT GUNUNG TEBU DAPAT SEBUNTIL DUIT RM1

Ini betul-betul panjat gunung, tapi bukan Averest, Kalimanjaroo, Kinabalu atau Tahan.
Gunung Tebu. Itulah yang diceritakan oleh seorang sahabat yang kini khabarnya tinggal di Kajang, Selangor.
Dia cerita pada suatu malam dia mimpi, mimpi orang lelaki berjubah putih.
Lelaki itu berpesan, dia nak jumpa.
"Jumpa di mana?" tanyanya.
"Gunung Tebu! Aku tunggu sampai kamu datang, seeloknya lepas Asar!" kata lelaki berjubah.
Nama pun kisah mistik, jadi adunan fakta nyata dan mimpi kena gaul sekali.
Kerana dia dianggap mengetahui ada sesuatunya di sana, maka esok dia pergi ke gunung yang dimaksudkan. Dia nak jumpa lelaki berjubah itu.
Mungkin kalau orang lain yang mimpi, dia akan kata:  "Ah, mimpi orang tua berjubah? Apa ni?"
Sahabat ini walaupun dapat pesanan dalam mimpi, dia sanggup pergi ke sana. Dia terus tuju ke Gunung Tebu. Tempat itu khabarnya sudah biasa dia jenguk. Maka untuk jenguk kali ini bukanlah sukar.
Dia pergi menjelang waktu asar.
Dia pun tertanya-tanya, siapa agaknya lelaki berjubah putih yang dimimpikan itu? Biasanya, dia akan memanggil Tuk Ayah kepada sesiapa sahaja yang berwatak ketua-tuaan begitu.

KALIJAGA
Dia yang pernah dapat sabuk dari Sunan Kalijaga dalam sebuah gua di Kelantan mahu tahu apa hajat sebenar lelaki berjubah itu?
Waktu asar dia sudah ada di situ.
Jalan perlahan-lahan.
Pergi gunung macam ini kena laporkan diri juga.
Mana tahu, naik gunung tak turun-turun. Mana tahu jumpa gergasi kena ngap di atasnya.
Dia nampak ada lelaki berjubah. Ntah tunggu siapa. Maka dia beranikan diri mendekati lelaki berjubah itu.
"Tuk Ayah tunggu seseorang nampaknya?" katanya sambil bersalaman.
Tak tahu bagi salam ke tidak.
"Semalam saya berpesan supaya datang ke sini, kamulah agaknya yang saya jumpa ya?" ini soalan pelik. Bagaimana orang tua berjubah boleh tahu sahabat ini telah bermimpi?
"Apa maksud Tuk Ayah memanggil saya ke mari?" soal sahabat tadi.

HANTAR MIMPI
Dia tak mahu tanya lebih-lebih tentang mimpi, bagaimana cara menghantar mimpi dan sebagainya.
Takut orang tua itu merajuk atau ghaib. Dia tetap mengesyaki lelaki tua ini adalah jin.
Tanpa disedari, berbual-bual begitu, maghrib sudah dekat.
Sahabat tadi tidak pula cerita apa benda yang mereka bualkan. Ini macam teka-teki sahaja.
"Kamu tunggu di sini, tunggu sampai aku datang semula," pesan lelaki berjubah.
Sahabat tadi kebingungan.
Tunggu di situ? Dalam tanah berlekuk macam perigi buta? Hisss, ntah apa yang ada dalamnya? Ular, lipan, kala jengking dan macam-macam yang dia fikirkan.

GHAIB
Tapi ketika dia memikirkan pesanan pelik sambil memikirkan kesediaan untuk menunggu, dia lupa kepada lelaki berjubah. Lelaki itu telah ghaib. Agaknya dia nak solat maghrib di mana-mana.
Habis sahabat tadi bagaimana?
Dia tak cerita pun.
Dan malamnya dia duduk di tanah lekuk macam perigi buta duduk bersila, tarik kain pelikat masam untuk dijadikan selimut. Duduk dengan beralaskan daun dan beg plastik. Bawa handphone, kamera digital, ada beg kecil untuk menyimpan buku nota dan pen.
Dia pun duduk dalam lubang itu semalaman bertemankan nyamuk.
Kenapa tak bawak ubat nyamuk?
Tidak terfikir pun. Kalau ada bawa kan senang.
Dia hanya bawa pemetik api dan rokok.
Malam itu sampai ke pagi dia duduk di situ. Nak kata berwirid pun tidak.
Bermantera pun tidak.
Duduk saja-saja sementara menunggu lelaki berjubah datang semula.
Kalau dia tak datang? Baliklah. Nak buat apa lagi. Memang jin suka kacau manusia. Nak menyakat.
Bukan tidak mengantuk. Tak terkira berapa kali dia menguap.
"Waaaaaaahhh!"

JIN BERJUBAH
Menjelang fajar, sudah ada seberkas cahaya melimpah ke gunung, dia terkejut.
Lelaki berjubah sudah berada di tebing pergi buta itu.
"Sekarang kamu boleh pulang!" kata lelaki berjubah.
"Tak kan suruh balik gitu sahaja?" dia tertanya-tanya dalam hati. Tak sempat tanya apa, dia terpinga-pinga, maklum tidur duduk, lelaki berjubah ghaib semula.
Memang betul dia telah dimainkan jin berjubah.
Tiba-tiba. Dia rasa di bawah punggungnya, tempat daun-daun yang disusun dan beg plastik itu, ada kertas. Kertas apa ni? Dia gunakan handphone untuk menyuluhnya.
"Duit apa nih?" dia sauk dengan tangan kanannya.
"Duit seringgit? Sapa yang bagi nih?" soalnya.
Dia sudah syak. Ini meski kerja orang tua berjubah itu. Tapi, apa tujuan dia bagi duit begitu?
Disebabkan dia tak bawa guni atau kotak besar pun, dia hanya gunakan kain pelikat Cap Gajah Menungging untuk dijadikan buntil.
Dia ikat hujungnya. Dia kutip duit ringgit yang bertaburan dalam perigi buta itu dan kemudian disumbat dalam buntil kain pelikat.
Dipijak lagi biar sendat dan mampat.
Happy bukan main sahabat kita mendapat duit sebuntil sendat.
Duit itu entah siapa yang bawa, atau ini mainan sihir dari jin?
Ketika dia menuruni gunung dia terserempak dengan bebudak muda yang menjaga kawasan itu.
"Bawak apa tu?" usik seorang pegawai.
"Daun kayu, nak buat ubat!" kata sahabat ini.
Ketika dia nak humbankan buntil kain dalam kereta dia tarik segenggam duit kertas itu.
"Ini duit apa? Memang duit ringgit betul. Ada nombor siri semua. Tapi..."
Dia belek depan belakang duit seringgit itu.
Semuanya dicap depan belakang: bertulisan jawi CIK SITI WAN KEMBANG!
Semuanya dicap begitu. Dakwat merah.

DANA GHAIB CIK SITI
Maknanya wang sebuntil itu dibawa dari perbendaharaan negeri Cik Siti Wan Kembang yang berada di alam ghaib, dan mungkin lelaki berjubah itu datang dari negeri itu.
Dia jadi wakilnya. Hanya dia tak terangkan, untuk apa "dana" itu diberikan kepada sahabat ini.
Setelah memikirkan, sambil memandu, dia cadang nak bagi duit itu kepada orang ramai.
Nak dibelanjakan pun tak boleh.
Lainlah kalau orang yang suka mistik.
"Hey, ini duit mistik bang, jangan buang, kena simpan! Mana tahu?"
"Mana tahu apa?"
"Ada ong!" kata orang itu sambil tertawa.

DUIT TAK LAKU
Begitulah dia bahagi-bahagikan duit itu kepada orang ramai termasuk kenalannya [saya mintak RM3.00 sahaja untuk simpanan, kemudian untuk media, saya susun beberapa helai duit itu atas meja dan snap dengan kamera, siar dalam majalah INTISARI].
Apakah hikmah dari pemberian duit yang tak boleh digunakan untuk urusan bank nyata, melainkan sah untuk bank ghaib?
Sahabat ini tidak pula bercerita dia naik Gunung Tebu sebab nak tarik duit.
Dia tak fikir pun. Aleh-aleh dapat duit sebuntil.
Berapa agaknya semua sekali? Malas nak kira.
Lagipun dia dah pergi pasar pagi, bahagi-bahagikan duit itu untuk kenangan.
"Nih nak beli apa bang?"
"Simpan, buat ibu duit!" sahabat saya itu tertawa.
Ini bukan ritual tarik duit. Sahabat ini langsung tak terfikir nak dapat duit bercap begitu.
Kalau tahu begitu, dia akan bawa guni lagi besar. Mana tahu dananya lebih hebat! []

Thursday 14 February 2013

KALAU NAK KAYA PERGI GUNUNG!

Ada cerita menarik yang sering diulang-ulang. Biarpun seribu kali, orang masih nak tahu juga. Iaitu amalan orang yang sudah habis ikhtiar, dia panjat gunung untuk dapatkan kekayaan.
Bolehkah panjat Gunung Jerai atau Kinabalu bagi mendapatkan kekayaan? Kalau tak ada duit bagaimana nak panjat dua gunung itu, atau Gunung Ayam, Gunung Tebu dan Gunung Ledang sekalipun.
Yang ini Gunung Kemukus, gunung yang ada di Jawa Tengah di Sragen.
Sesiapa yang nak suka-suka melakukan zina [?] maka kena naiklah ke gunung itu. Konon untuk mendapatkan kekayaan. Kekayaan apa? Macam-macamlah yang direka oleh si cerdik pandai.
Di situ juga ada makam yang dikeramatkan, iaitu Makam Pangeran Samudro dan ibunya. Kalau sesiapa mengetahui asal-usul makam itu, tentu akan fikir betapa rosaknya pemikiran orang yang memuliakan kubur itu, sekalipun dia orang hebat dari kerajaan Majapahit masa silam.
Kelakuan tokoh hebat yang dikatakan telah berzina dengan ibunya sendiri tidak dijadikan sempadan, malah dijadikan ikutan orang yang kepepet dan habis ikhtiar nak cari pitih.
Konon dulu, Si Samudra dari kerajaan Majapahit telah jatuh cinta kepada Dewi Cintrowulan, ibunya sendiri. Dia jatuh cinta pun kerana kesilapan teknik, tidak kenal ibunya sendiri, maka dia bercinta dan berkasih dengan wanita yang kebetulan adalah isteri ayahnya di Majaphit.
Untuk menutup malu, Samudra diusir dari Majapahit. Dia berkelana ke sana-sini sampai akhirnya dia singgah di Kemukus. Dia tinggal di situ membawa diri.
Tidak lama kemudian Dewi Cintrowulan datang menyusul ke gunung mencari cintanya. Padahal dia adalah anak lelakinya. Mereka mengulangi episod cinta pelik antara ibu dan anak.
Kisah begini seolah-olah mendapat sanjungan berlebihan. Betapa tidak, sampai sekarang, orang berduyun-duyun berpeleseran di gunung itu untuk melampiaskan syahwat atas alasan mengikut fatwa Samudra.
Khabarnya, ketika mereka berdua-duaan orang kampung sudah datang berkerumun untuk menghajar mereka. Mereka berdua dilempar dengan batu dari segenap penjuru sampai mati. Mayatnya ditanam di situ dalam satu liang lahad.
Sebelum dihukum selanjutnya, Samudra sempat berfatwa songsang.
Dia kata, sesiapa yang datang ke situ yakni Kemukus, dan melakukan zina doanya akan dimakbulkan. Ini adalah fatwa sesat yang menjadi panutan orang kemudian sementelah mengetahui "daulat"nya dari kerajaan Majapahit.

AMANAT
Ada yang menceritakan, konon Samudra berfatwa:
"Baiklah, aku menyerah untuk dihukum, tapi dengarkan amanatku.
Sesiapa yang meniru perbuatanku yang jelek, itulah yang akan menebus dosaku dan aku akan menolong orang itu dalam bentuk apa pun."
Samudra sudah meninggal gara-gara kena rejam penduduk sekitar. Mungkin orang mengira dia sudah bersih setelah menerima hukuman rejam begitu. Maka makamnya dianggap keramat, sesiapa yang datang ke situ untuk mencari persugihan atau kekayaan perlu menziarahi makamnya.
Bukan setakat ziarah sahaja, malah kelakuan Samudra yang perlu ditiru iaitu berzina perlu dilakukan juga sebagai syarat untuk mendapatkan kekayaan mendadak.
Ini benar-benar ajaran mengarut dan menyesatkan umat. Meskipun sudah diketahui makam itu bukanlah makam wali, orang tetap memuliakannya bagi tujuan tertentu.
Itu belum lagi yang percaya dengan keberuntungan yang diperoleh setelah ziarah makam, berpeleseran di situ untuk mencari pasangan zina, selanjutnya untuk memohon sesuatu agar dimakbulkan. Aneh. Ziarah makam, berdoa dan berzina dijadikan sarana utama.
Yang lebih memelikkan ada petua atau syarat, seseorang kena berzina dengan wanita yang sama, sebanyak tujuh kali bagi ritual penyempurnaan. Inilah ruang untuk bermaksiat yang aman, tidak ada siapa yang mahu mengusir mereka.
Sudah berzaman, kisah Samudra jadi tatapan, sehingga akhirnya sampai ke pemikiran orang pintar ilmu, mereka sajikan pula dengan ilmu persugihan Gunung Kemukus. Anehnya syarat zina sudah jadi kemestian.
Tidak dapat dibayangkan, bagaimana sudahnya ritual kekayaan ini, apakah mereka benar-benar memperoleh kekayaan atau memperoleh keseronokan sahaja? Wallahu a'lam. Sumber: www.satriamataram.com. []

Wednesday 13 February 2013

MARI KITA GESEK BIOLA DI MANA-MANA

"Gesek Biola" pernah saya jadikan tajuk cerpen yang tersiar dalam akhbar hari minggu. Ia mengisahkan tentang orang KL yang suka buka cerita asalkan ia menjanjikan duit.

DUIT EPF
[1]. Dulu ketika duit KWSP boleh dikeluarkan untuk beli PC, maklumlah lagu IT asyik dimainkan di dalam media, maka saya kerap dengar orang tanya, "Nak keluarkan duit EPF tak?" Buat apa? "Nak beli komputer." Akhirnya ramai yang keluarkan duit EPF, bukan nak beli komputer sangat, mereka hanya fikirkan, nak jual komputer itu bagi mendapatkan wang tunai. Ini nasihat siapa? Nasihat para broker yang asyik berkeliaran dan menggesek biola agar orang yang mendengar terlena sejenak. Dengan saya pun mereka gesek biola juga, tetapi disebabkan saya main "gitar" dan "drum" pembiola itu tak mahu gesek depan saya.

BANK
[2]. Dulu sebelum pecah Perang Iraq - menceroboh Kuwait. Rakan-rakan di Daya Bumi kerap meeting tentang projek besar nak set up sebuah bank, tak salah saya Bank Kuwait. Saya ada baca proposal yang kerap diusing dek budak-budak dan orang di Daya Bumi. Mereka kerap turun naik pejabat di situ. Sembang sampai ke kafetaria. Dek kerana projek besar itu, kawan kita sudah tempah bush jacket, dua pasang sekali. Siap tukang jahit datang pejabat, ukur dan sukat. Ada broker Jalan Masjid India asal Ipoh dapat bush jacket free. Bergaya sakan dia. Projek nak tubuhkan bank ini jadi bahan bualan berbulan-bulan, dan saya sempat mendengar sembang mereka bersama seorang peguam, penulis proposal, taukeh Cina kaya yang ada kaitan dengan business besi waja [tak perlu sebut syarikatnya], taukeh Cina ini selalu kita tanya, itu dan ini, dia adalah kerabat kepada bekas Ketua Menteri Melaka. Apa taknya, anak dia kahwin KM! Urusan nak buat bank kena cari pelabur kaya, maka ada yang pergi Brunei melobi orang kaya di sana, ada yang pergi Singapura, tak kurang yang ke Jakarta. Ketika itu, rakan-rakan di Daya Bumi ada yang sudah pasang angan-angan dapat duit komisyen selonggok nak beli itu dan ini. Salah seorang kawan di antara mereka kini sudah berkedudukan istimewa di sebuah Istana [ tak payah sebut Dato siapa ya]. Jadi, inilah penangan penggesek biola. Berangan-angan nak dapat duit sekepuk, tapi kedudukan tak ada. Itu jam yang saya ingat, ada yang nak bercakap dengan menteri itu dan ini. Dan kemudian yang saya dengar, ada pula political fund yang disebut-sebut. Tup-tup, tentera Iraq masuk ke Kuwait. Proposal entah ke mana, dan yang berangan itu melopong. Kawan yang ada di Daya Bumi itu sudah tukar tajuk ketika saya temui di Masjid Jamek LRT, KL. Mujur juga dia ingat masjid walaupun projek tak menjadi. Tak apalah! Peguam tadi pun biasa saya temui di masjid itu.

HARTA DI LONDON
[3]. Ada seorang lelaki yang berpakaian kemas. Dengar ceritanya dia ni kerabat juga. Hanya tak sahih kekerabatannya itu bagaimana. Dia cerita kepada saya, dia ada fakta mengatakan ibunya ada meninggalkan harta kerana ia ada kaitan dengan sebuah istana [negeri mana tak nak sebutlah]. Dengar cerita juga, lelaki ini adalah anak gundik. Dia ada harta yang diwariskan oleh ibunya, hanya sayang, kalau nak selongkar dokumen lebih lanjut, dia kena pergi London. Dahsyat juga nih. Berapa nilai harta itu? Kiralah dari dulu sampai sekarang? Tentu puluh atau ratus juta! Sambil mengeluh, dia kata, dia tak boleh buat apa kerana tidak dapat rekomendasi dari pihak kraton. Mahu tak mahu, dia hanya bergantung kepada seunit rumah dekat Jalasn Thambosamy, tak jauh dari Jalan Dang Wangi, KL. Dia kutip sewaan rumah itu setiap bulan. Kerabat yang berkaca mata dan berpakaian smart ini sudah lama tidak kelihatan di Kuala Lumpur.

KARTU PENDUDUK
[4]. Ada pula seorang lelaki yang selalu berpakaian kemas, bagai sang peguam. Kalau menyamar memang layak sangat. Dia ni berani sunguh. Pantang jumpa budak Bangladesh atau Pakistani. Dia boleh ajak sembang dan gebang dengan budak itu semua dan kemudian dia kata dia boleh tolong dapatkan IC, masa itu belum ada MyKad lagi. Dia ini juga pantang jumpa orang Jawa Timur. Sanggup singgah di rumah kongsi, borak-borak. "Wak tak mahu kartu penduduk? Bisak diatur Wak!" katanya. Khabarnya dia menawarkan khidmat dapatkan benda itu. Sejauh mana cable dia kukuh, saya tak tahu. Tetapi dia memang penggesek biola juga.

BALAK DAN TANAH
[5]. Ada lelaki yang setiap hari duduk menunggu seseorang. Kalau disapa, "Tunggu siapa bang?" Ya, tunggu Si Fulan, nampak tak? Bab tunggu menunggu ni saya sudah masak. Kekadang sehari suntuk duduk menunggu di lantai bawah Semua House. Siapa masuk ke situ pasti haus dahaga. Semuanya haus dahaga. Di situ mereka boleh tarik bangku duduk ramai-ramai. Buka pelan. Buka peta. Yang biasa saya dengar adalah, peta atau pelan tanah untuk dijual. Pada pelan itu ditandakan dengan dakwat merah, agar senang nak cerita. Ini pun salah satu cara nak gesek biola. Selain itu, tanah KSK balak. Ada sahaja tanah balak untuk ditebang sampai beratus ekar. Pernah mereka usung pelan tanah di kawasan Rompin, Pahang. Sanggup pergi Kuantan, jumpa pengurus besar yang kendalikan tanah itu. "Ya, memang kita nak jual dengan harga sekian, tapi buat masa ini belum ada yang ngam," kata pengurus tanah yang diamanahkan [gelaran Dato]. Kemudian penggesek biola turut sembang fasal papan pelapik landasan kereta api. Siap spesifikasinya sekali. Nak berapa kapal? Bukan main hebat dia tanya. Macamlah papan itu sudah sedia belakang rumah dia. Padahal dia hanya tumpang komisyen. Sekeping harga berapa? Kalau dari Seremban sampai JB, berapa papan pelapik nak digunakan. Tengok mesin kira. Kira berapa komisyen boleh dapat. Ada yang buka cerita, nak beli besi buruk satu kapal besar untuk dihantar ke Afrika, siap dokumen yang difaks dari sana. Dahsyat ya broker di Wisma House ini. Ada cikgu dari Kepong, keturunan Cina, dia nak cari siapa nak beli sarung tangan getah. Jangan kira berapa bungkuslah, cerita berapa kontena mahu? Kemudian ada lagi yang buka pelan, nak jual tanah dan bangunan, nak supply simen Portland, tebang getah tua, tarik balak berendam, nak jual kilang, nak jual kondo, nak jual apartment mewah, banglo dan sebagainya; hanya saya tak jumpa lagi orang usung pelan nak jual surau atau jual masjid. Yang lain semua saya dah dengar dari mulut para broker yang ada di Jalan Masjid India. Ada juga yang bawa pelan kawasan lombong emas! Mungkin dalam tahun 2013 ini ada pelan-pelan projek yang hebat-hebat termasuk kapal selam, perahu layar mewah, kapal pesiaran, bas pesiaran tiga tingkat, atau projek bangunan 100 tingkat.

BENDA MISTIK
[6]. Dalam pada isu tanah dan bangunan, ada juga yang sibuk nak cari batu merah delima. Kemudian sibuk nak rantai babi [rantai anjing mereka tak mahu, begitu juga rantai beruk, rantai beruang atau rantai kapal]. Ada juga nak cari benda-benda pelik untuk dibawa ke depan bomoh atau pawang, terutama keris yang boleh menari Gangnam Tari Kuda. Strerika ayam jantan, atau lesung tembus mereka sudah lupa. Atau besi kuning, selendang puntianak, kain mori mayat, dan macam-macam lagi. Semua ini adalah sub kepada hal-hal lain yang ada dokumennya.

KAPITAN KLING
[7]. Cerita warisan Kapitan Kling yang nama sebenarnya Abdul Qadeer, menyebabkan saya menjenguk makamnya di belakang bangunan Majlis Agama. Sempat berbual dengan pewarisnya. Dia juga menceritakan ada harta tak alih yang diwariskan kepada piut-miutnya, hanya dokumen tak berapa jelas, dokumen lama menyebut nilai hartanya dalam nilai wang Sepanyol. Harta dia bukan di kawasan pelabuhan Penang sahaja, malah merayap sampai ke Singapura dan Melaka. Maklum Negeri Selat. Kalau nak tahu kena semak dokumen lama di London agaknya, macam sahabat tadi yang kata ada harta warisan di London juga. Patiamah yang ikut ceritanya berkelambu sampai "tujuh" lapis, makamnya ada di sisi makam Kapitan Kling. Dokumen [salinan] telah diusung oleh broker Masjid India. Hebat! Hebat! Itu belum lagi kapal korek bijih di Ipoh dan sekitarnya.

Ada lagi tak benda lain? Ada. Tunggulah kalau dapat maklumat terkini. []

SURUH JIN MASUKKAN DUIT DALAM AKAUN!

Ini lagi cerita menarik.
Kalau benda ini masuk siaran televisyen, rasanya berjejal, berbaris atau bersiku-sikuan kerana nak daftar dulu.
Ia bukan ada borang. Kata yang empunya cerita, hanya orang yang mumpuni sahaja boleh buat. Sekiranya skim masuk duit dalam akaun tak buat apa-apa "program" masuk duit, maka ia memang sangat ditunggu-tunggu.
Semua orang nak tahu.
Apa pun, ini hanya cerita sahaja. Bab masuk duit dalam akaun bank ini memang sudah lama disembangkan orang. Hanya logik tak logik sahaja.
Untuk menghebatkan cerita, ia dianggap sebagai ilmu. Kalau tak ada ilmu bagaimana nak masukkan duit dalam akaun bank?
Ilmu ini dikatakan sebagai ilmu hikmah. Kena semak balik cerita Nabi Musa a.s. dengan Khidir. Yang Khidir ajar itu adalah sebahagian ilmu hikmah.
Ilmu ini untuk memecahkan kebuntuan anda tak berduit atau menurut istilahnya ilmu persugihan. Tidak semestinya sugih, asal ada duit pun sudah memadai.
Konon, sesiapa yang sudah jumpa pakar ilmu hikmah ini, dia akan diajarkan bagaimana kaedah memanggil jin khadam yang siap membantu anda yang perlukan duit.
Hanya janganlah fikir nak pitih belanar gitu. Hanya anda akan hairan, bagaimana angka dalam akaun bank anda boleh berubah. Maknanya ada "makhluk" yang masukkan duit.
Siapa yang masukkan duit tu? Kata mereka, itulah jin yang sudah disepakati untuk memasukkan duit ke dalam akaun anda.
Mudahkah hendak amalkan ilmu begini?
Orang nak dapatkan duit sanggup bancuh simen, angkat batu, bengkok besi, tujah tangkai sawit, sembah pokok getah [di belakang rimau akar dah tunggu], maka bagi yang berharap nak senang cara begini kena amalkan suatu ritual tertentu.
Khabarnya, bukan mudah nak buat ritual suruh jin masukkan duit dalam akaun bank. Ritual pemanggilan itu memakan masa 30 jam!
Walapun begitu, kata yang punya ilmu, ia tidak menggunakan sarana tumbal atau sajian yang menyesatkan.
Boleh buat ritual 30 jam itu di rumah orang pintar itu atau melalui jarak jauh [hebat! zaman ni macam-macam orang fikirkan nak cari duit cara mudah].
Sama juga, ada orang beramal sampai 30 jam lamanya semata-mata nak mantapkan ilmu tarik wang balik. Wang yang anda belanjakan di kedai tadi akan masuk semula dalam dompet. Kalau tadi keluar RM50 maka tanpa disedari duit itu masuk semula ke dalam dompet. Siapa yang masukkan? Inilah yang nak belajar.
Ini adalah wang ghaib namanya.
Teringat saya pada suatu kisah anak tempatan yang berguru di Banting [tak tahu dengan Wak mana pulak] -- dia kata, Wak itu ada bagi ilmu pada dia. Macam ilmu di atas tadi, duit masuk dalam akaun tanpa disangka-sangka.
Yang cerita perkara ini bukan orang biasa. Dia sudah biasa dengan wartawan. Dia tak akan cerita kepada wartawan, takut ditulisnya dalam majalah Misteri pulak kisah dia.
Selama dia menjadi orang suruhan Wak di Banting, dia selalu tengok macam-macam orang jumpa Wak. Orang datang jumpa Wak bagi duit. Sedangkan dia sebagai khadam kepada Wak tak dapat duit langsung.
Sebelum dia tinggalkan pondok Wak, lelaki ini mintak ilmu untuk dimanterakan.
Itulah yang diceritakan lelaki ini kepada seorang lain sebelum dirawikan semula di sini.
Dia membaca mantera yang diajar oleh Wak, dan kemudian masukkan kad ATM Bank Antah Berantah Bhd. Dia ikut arahan, masukkan nombor PIN. Dan dia tengok baki dalam akaun.
"Mak oi!" dia terhairan bin takjub. Siapa yang masukkan duit dalam akaunnya? Dia tak ada edar surat berantai pun. Tak ada selitkan kertas putih di peti surat atau tampal pada pokok tepi jalan.
Dia pun keluarkan duit.
Termenung memikirkan hal itu ketika dia duduk di dalam restoran makanan segera. Walaupun restoran itu ada kaitan dengan Yahudi, dia tak fikir soal itu. Dia hairan, siapa yang masukkan duit dalam akaunnya?
Duit royalti lamakah? Atau ada kawan lama hutang baru bayar? Tidak juga.
Dia keluar semula. Masukkan kad lagi. Tak puas hati. Dia keluarkan duit lagi.
Sebenarnya kisah ini pernah saya paparkan dalam sebuah majalah semimisteri, hanya nama-namanya dirahsiakan.
Mungkin Wak tadi mengamalkan ilmu hikmah suruh jin masukkan duit dalam akaun? Wallahu a'lam. Kebenarannya perlu diperhalusi. []

PERNAH DENGER ORANG MATI HIDUP BALIK?

Dulu, keadaan di depan Wisma Yakin lapang sungguh. Boleh duduk santai, boleh parking BMW atau Merce untuk urut kaki kedua belah. Tukang urut cukup ramai, termasuk yang kaki lentok. Sambil tunggu pelanggan ada yang melentok sampai tersandar.
Menyedari keadaan itu, seorang rakan yang berniaga di kaki lima yang dulu pernah jual emas tiruan menjelang nak raya, dia saya syorkan agar jadi tukang urut. Kalaulah yang lentok pun boleh mengurut, apa sangatlah dengan kawan kita yang tegap dan bukan kaki lentok.
Kalau dia berada di tengah-tengah yang lentok, maka dialah yang akan jadi pilihan.
Dia pun cuba. Alhamdulillah. Dia yang segar di tengah yang lentok mendapat pasaran. Jutawan pun urut kaki pada dia. Saya ingat lagi, bekas Pengarah Muzium Negara pun urut kaki situ, bekas pengacara radio Moshi-Moshi Noramin pun urut situ.
Tukang urut ini kalau ada maklumat pelik dia akan beritahu saya, baik melalui SMS atau lambai sekiranya kebetulan saya ada nongkrong di Wisma Yakin.
Nongkrong di situ bukan apa, kerana selalunya janji nak jumpa orang di situlah.
Biasanya ada orang berniaga ubat.
Saya ingat lagi Faizol Tonik pun ada buka gelanggang, siap bagi air Yassin lagi. Tonik dari simpanannya dilelong habis. Masa itu dia pakai motosikal paling besar, siap bawa Atur [boleh pegang alat komunikasi ini sudah dikira hebat, boleh letak atas meja makan, masa itu hp yang kita tengok hari ini belum muncul sangat].
Bukan sahaja Faizol dari Perak. Ada orang tua jual ubat akar kayu, siap bawa kucing dan burung merbuk seekor. Duduk dalam sangkar tak gaduh. Orang tua ini kalau tak salah Mat Desa namanya, selalu masuk hutan cari akar kayu, dia siap tunjukkan permit masuk hutan. Dia boleh lipat kaki kanan atau kiri atas tengkok. Orang muda pun tak boleh buat.
Kemudian masa itu heboh minyak dhob. Biawak padang pasir. Peniaga dhob bukan main bergaya siap park BMW [tak kiralah siri apa pun janji BMW]. Duit dicampak-campak sahaja. Orang beli minyak dhab setakat nak cuba. Mentaliti orang lelaki, kalau minyak itu boleh dikenakan pada "burung jantan" maka itulah yang dicapai dulu.
Sungguh!
Bukan tidak ada yang jual Pacat Pill. Cerita yang sama juga. Bukan tidak ada pertunjukan ular. Siapa lagi kalau bukan Ali Ular yang telah pergi buat selama-lamanya. Dialah penyeri lapangan depan Wisma Yakin.
Sampa suatu ketika Bandaraya bagi permit berniaga ubat-ubatan tradisi sahaja.
Jenuhlah orang nak kumpul ubat. Ada yang jual ubat pelebat rambut.
Tetapi ada seorang tua yang menarik perhatian kita. Dia orang Jawa asal dari Parit Yaani, Johor sana.
Dia kalau datang kekadang pakai topi, siap bush jacket atau blazer rapi. Kasut berkilat. Bentang kain. Letak beg niaga. Susun barang, susun gambar-gambar kenangan. Sambil menyusun, adalah seorang dua singgah melihat apa yang orang tua ini nak buat.
"Ini gambar isteri saya, isteri nombor...bukan janda-janda, tidak ada janda, semua anak dara," katanya sambil mengeluarkan makjun dari dalam begnya.
Makjun yang siap dipaketkan itu dijual RM10.00. Yang biasa beli, orang tua itu tak sempat ngoceh sudah ada yang hulur duit merah.
Selain itu dia jual pil Pangkor Laut. Cap kuda laut kalau tak silap. Sambil bersila macam Pak Dalang wayang kulit, orang tua ini mula ngoceh.
"Pernah denger orang mati hidup balik?" dia tanya orang di depannya. Siapa pun tak ada yang jawab.
Orang mula berkerumun.
"Sayalah orang yang sudah mati tapi hidup balik," katanya. "Umur saya sudah seratus tahun!"
Ada yang senyum-senyum dan ada yang terperangah mendengar ocehannya itu.
Dia mahu mengatakan bahawa kelebihannya itu adalah kerana mengamalkan makjun dan jamu-jamu.
Dia yang kadang-kadang duduk bersila memakai blangkon cara Kejawen, wah memang mentereng kelihatannya.
Dia dianggap orang tua di kalangan para peniaga ubat kaki lima. Kekadang dia buka gelanggang ketika Wan Razali juga buka gelanggang.
Sejak tahun 70-an lagi, gaya Wan Razali memang khas dia sahaja. Kalau dia niaga di Johor Bahru, di Mersing, di Kuantan atau Ipoh, begitulah gayanya.
"Nama saya Wan Razali," katanya. "Kalau abang pergi mana-mana jumpa orang macam saya, ikat rambut macam ni, atau pakai topi koboi, sayalah!" Orang tertawa mendengar telatahnya. Memang menghiburkan.
Kebetulan kalau hari Jumaat. Orang nak solat Jumaat boleh lupa, tahu-tahu sudah nak habis tazkirah.
Orang tua yang bersila jual makjun pula bilang dia sudah mati dan hidup balik.
Dia belum sempat menghuraikan kata-katanya yang simbolik itu.
Sampai sekarang, orang tua ini jadi bahan sembang di kalangan kawan-kawan yang lepak di kawasan Jalan Masjid India. "Pernah denger tak?" []

SIAPA KETURUNAN ISKANDAR DZULKARNAIN TU?

Sejak dulu lagi orang berlumba-lumba hendak mengaku mereka keturunan Iskandar Dzulkarnain. Dek kerana hebatnya nama itu, ramailah yang mengaitkan nama Iskandar Dzulkarnain. Mengambil sempena seorang raja besar dari Makedonia itu.
Untuk sembang tentang nama besar ini, tidak cukup sehari dua. Tajuk ini memang menarik, kalau hendak dibukukan boleh jadi terlampau tebal dan penat hendak membacanya.
Ada dua Iskandar, satu yang dikatakan Alexander the Great dan satu lagi Dzulkarnain yang disebutkan di dalam al-Qur'an.
Di alam Melayu kita, nama Iskandar Dzulkarnain diheret-heret sehingga ada pujangga zaman dulu sanggup buat cerita mengenai raja-raja konon nenek moyang atau leluhurnya Iskandar Dzulkarnain.
Ini adalah mitos yang terdapat di dalam Sejarah Melayu, kemudian ada lagi teks "sejarah" seperti Hikayat Siak yang mencedok bab asal-usul raja dan dikaitkan dengan leluhur bernama Dzulkarnain itu.
Kalau mengikut teks hikayat dan sejarah itu, keturunan raja-raja kita bermula dari Iskandar Dzulkarnain.
Tidak ada siapa nak mengkaji mengenai perkara ini.
Betul atau tidak leluhur mereka dari Dzulkarnain yang masyhur itu?
Atau sengaja pihak pengarang istana pada zaman dulu hendak mencari kemasyhuran. Mana mungkin salasilah keturunan hendak dikaitkan dengan gergasi atau hantu peri misalnya.
Jadi, dipilihnya nama besar yang di luar lingkungan budaya lokal.
Tokoh dan peristiwa yang hendak diceritakan sudah terlalu lama, sudah jauh dari zaman Dzulkarnain, nama itu pun sudah luput dan tinggal sejarah; pujangga yang menulis, yang sudah tentu dapat arahan daripada kalangan pembesar menjadikan ia sebagai mitos tak masuk akal, mahu dijadikan sebagai dasar untuk kesahihan dan kedaulatan raja-raja pada zaman dahulu.
Sudah menjadi kegemaran pujangga zaman dulu memasukkan nama Dzulkarnain walaupun tanpa asas yang benar.
"Alkisah, inilah cerita Sultan Iskandar Zulkarnain, ayahnya Darab, Raja Istambul. Ibunya Safiah Arqiah, konon anak raja Mesir. Iskandar Zulkarnain dikurniakan Allah subhanahu wa Taala pangkat yang tinggi di dunia. Kerajaannya punyalah hebat dari Masyrik ke Maghrib."
Dari susur yang mana leluhur itu boleh diperkaitkan?
Adakah susur dari Mesir, Parsi atau India?
Tiga negeri itu pun termasuk dalam kekuasaan raja besar itu.
Misa Melayu juga mencatatkan bahawa golongan bangsawan ini berketurunan dari nasab Iskandar Dzulkarnain.
Nama pun karya sastera bercorak sejarah. Dengan sebab itu mitos asal-usul keturunan itu boleh dileretkan kepada sesiapa sahaja, tetapi biarlah tokoh yang hebat di mata dunia.
Pembaca karya sastera sejarah pun tahu, nasab yang disebutkan itu terlalu jauh, tidak masuk akal. Kerana apabila diselidik secara saksama, kewujudannya tidak ada pengaruh pun dari luar Nusantara.
Dan peranan pujangga masa silam turut membantu mengangkat nama-nama tertentu untuk diletakkan pada kedudukan yang selayaknya.
Kalangan rakyat pada masa itu tidak tahu menahu, kecuali pihak penjajah yang mula menerokai wilayah di sini dan turut membantu melahirkan karya sastera bercorak sejarah.
Penulisan karya sebegini adalah bergantung kepada naungan.
Pujangga atau penulis sastera sejarah didorong oleh faktor penjajah juga secara tidak disedari.
Kebanyakan karya yang dianggap penting itu memang ditulis setelah kedatangan penjajah. Seni menulis sastera sejarah baru ada setelah dicelikkan oleh penjajah.
Tidak hairan ada karya yang pro kepada sesuatu pihak mengikut siapa yang menjadi penulisnya.
Hal Iskandar Dzulkarnain memang digemari para penulis sastera sejarah pada masa itu. Ia adalah idea penulis itu dan bukan sesuatu yang sudah termaktub dalam apa-apa "kanun" pun.
Tidak hairan, kalau Sejarah Melayu masukkan bab mitos ini, maka kemudian ada teks lain yang meniru gayanya, iaitu teks Hikayat Siak.
Hikayat ini pun tumpang sekaki mengaitkan tokoh Dzulkarnain.
"Tidak boleh seseorang itu membinasakan hambanya jika bukan hukum dari al-Qur'an [dan as-Sunnah]. Bukanlah kita pancaran Iskandar Dzulkarnain kalau bersifat pengecut terhadap makhluk."
Ketika menulis cerita sejarah yang penuh mitos itu, pengarangnya bebas memasukkan apa cerita karut pun, iaitu cerita yang popular pada masa dulu, mitos-mitos oral yang ada hubungan dengan leluhur mereka.
Penulis hikayat itu tidak menyaksikan apa yang terjadi, dalam kes ini tentang asal-usul pemula keturunan raja pun dia tak tahu, hanya setakat melaporkan apa yang diceritakan orang. Hanya memulakan cerita dengan syahdan, hatta atau maka tersebutlah perkataan...
Di dalam kewartawanan hari ini selalu menyebut "dikatakan", "beliau dilaporkan sebagai berkata" dan banyak lagi.
Dalam cerita mitos tadi boleh dimuatkan apa sahaja rekaan bagi menggambarkan kehebatan tokoh, diceritakan tentang karomahnya, tentang daulatnya; kalau orang baca pada hari ini mereka tahu semua itu adalah rempah ratus untuk memanjangkan cerita hikayat. Jika hendak mengaitkan dengan Raka Makedonia itu, jalinannya terlalu kabur atau semacam dibuat-buat [Muhammad Yusoff Hashim, Hikayat Siak, dirawikan oleh Tengku Said, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992].

Tuesday 12 February 2013

ASYIK TERKEJUT MEMANJANG, APA CERITA?

Seperti yang dilaporkan banyak media pendacingan, ada beberapa peniaga di Penang terkejut apabila pembesar pusat datang ke gerai mereka. Menurut laporan, ada peniaga di Persiaran Gurney terkejut habis apabila Menteri Perdana datang membeli sesuatu di gerai mereka.
Mungkin orang tak tahu bagaimana kedaaan terkejut itu. Adakah dek kerana terkejut ada pembesar negara datang ke situ sampai kelu nak berkata apa, atau sampai tak berdaya nak layan pelanggan utama itu, atau pengsan seketika kerana terkejut bukan kepalang.
Adakah sesiapa yang berniaga pernah terkejut ketika dikunjungi Obama atau Menteri Perdana dari luar negeri umpamanya?
Rasa terkejut itu adalah pandangan wartawan sahaja. Cara wartawan menulis seolah-olah peniaga itu kemaruk sangat dengan kehadiran seseorang di tempat mereka berniaga.
Sepatutnya tak payahlah tulis TERKEJUT. Apa nak terkejutnya kalau datang muka-muka yang sudah biasa mereka tengok melalui layar tv. Melainkan orang yang tak ada tv dan tak pernah beli akhbar perdana, mereka tak kenallah siapa yang datang.
Wartawan sepatutnya tidak melaporkan peniaga gerai itu sebagai terkejut.
Ia memberi gambaran kehadiran pembesar itu seolah-olah pemangkinan untuk melariskan jualan. Ia dijadikan sarana untuk pelarisan niaga.
Dan mungkin orang yang berniaga itu akan sembang berbulan-bulan.
"Gerai dia memang hebat, sampai Menteri Perdana pun datang pi beli sotong bakak, beli pasembuk!" usik rakan-rakan.
Bagaimana pula kalau dia masuk restoran? Adakah tuan punya restoran terkejut sampai lari keluar kerana nak tukar kain dan baju dan songkok. Al-maklum, pakaian seharian itu dah masam kerana jenguk sana, jenguk sini dalam restoran untuk pastikan menu sudah siap.
Begitu juga kalau tengah duduk di saf pertama di masjid, datang pembesar negeri, tak kan kita nak terkejut sampai undur ke saf ke lima kut?
Ada kawan yang suka baca akhbar tabloid, dia kata, kenapalah wartawan yang melaporkan asyik guna perkataan TERKEJUT sahaja?
Dalam laporan jenayah pun terkejut. Nampak mayat pun terkejut. Nampak bangkai anjing pun terkejut.
Nak beli apam balik pun terkejut? Kalau semua terkejut, itu menggambarkan peniaga itu tidak bersedia dalam menjalankan perniagaannya.
Nak terkejut apa? Bagaimana kalau nenek kebayan dari Gunung Ledang datang? Terkejut tak? Tentulah tidak, sebab dia tak tahu nenek tu siapa. Kalau nendek dah pergi baru orang bagi tahu, "Tadi nenek kebayan dari Melaka datang tau tak?"
"Nenek kebayan???" terus dia pengsan dek kerana terkejut.
Itupun belum tentu terkejut. Sebab dia tak tahu cerita temberang Melayu zaman Melaka dulu. Nak terkejut apa. Orang dulu paling terkejut kalau nampak Sang Kelembai.
Dan untuk episod seterusnya, kebanyakan peniaga di Malaysia ini semuanya terkejut andainya ada pembesar negara masuk ke tempat mereka. []

NASI KANDAR MEMANG SEDAP KATA NAJIB

Secara tak langsung Najib sudah kempen makan nasi kandar. Tahulah dalam dunia kepolitikan dan keampuan menjelang nak pilihan raya ni, apa yang pemimpin kata, itu yang jadi panutan, apa yang pemimpin makan, itu orang pembesar nak makan [meskipun bukan citarasanya yang tulen].
Maka, ketika Najib dan juak-juaknya di Penang, ada dua santapan yang dikatakan bagus. Satu, makan hidangan PSY yang betul-betul dikagumi, ada yang menitik air mata terharu. Kagum yang bukan kepalang kagum. Kalau boleh biarlah PSY tu duduk di Chow Kit lama-lama, boleh jual produk Korea sekali.
Yang kedua, ialah nasi kandar. Kalau Najib dah kata makan nasi kandar kena makan di kedai, kalau bawa balik tak sedap.
Jadi, Nasi Kandar Beratur di Jalan Kapitan Kling, Georgetown, Penang, itu sudah masuk dalam carta tempat makan yang paling top buat masa ini. Sudah tentu lepas ni, gambar-gambar Najib makan nasi kandar yang tersiar dalam paper utama akan dipotong dan diframekan, siap gantung dalam restoranto itu.
NASI KANDAR BERATUR
Nampaknya sudah menjadi budaya kita di mana-mana, kalau nak makan nasi kandar ketika waktu puncak, maka semua orang kena beratur. Kalau tak beratur nanti kawan di depan jeling-jeling. "Ni mesti orang baru mai tak tau adat!"
Di Georgetown sendiri di sana-sini ada kedai nasi kandar. Sebelah Chowrasta pun ada restoranto nasi kandar, dekat simpang nak pi Macalister pun ada, Jalan Pinang pun ada [kayu dah tak ada, Line Clear masih wujud], pendeknya hang pusing sana, pusing sini kalau setakat Georgetown tak susah nak cari nasi kandar.
Hanya bukan semua gerai dan restoranto itu menyajikan nasi kandar menurut selera masing-masing.
Ada orang nak cari nasi kandar masa waktu puncak dengan melihat panjang mana orang beratur. Kalau panjang berjela, memang banyak peminatlah.
Ada orang suka makan nasi kandar di gerai-gerai kecik, macam di satu lorong sebelah tembok Masjid Kapitan Kling itu. Ia pun jadi tumpuan. Gerai itu ada dua sesi, pagi dan petang. Lain orang berniaga. Sudah bertahun-tahun begitu, mereka masih berniaga sampai la ni.
Disebabkan kepopularan nasi kandar ini, restoranto dan gerai nasi kandar sudah merambah ke negeri lain.
Apabila ada orang berniaga nasi kandar di Kuantan misalnya, mereka tulis NASI KANDAR PENANG.
Bukan di Kuantan sahaja, di Kuala Lumpur pun serupa.
Elok berniaga nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman, dia masih pakai nama Penang juga. Macam orang jual rojak, dikatakannya ROJAK SINGAPORE. Padahal dia berniaga di Kuala Lumpur.
Inilah jenama.
Dek kerana mengejar jenama, maka di sana-sini tumbuh restoranto nasi kandar. Siap tulis, NASI KANDAR PENANG.
Bagi yang kaki makan nasi kandar, mereka akan jenguk dulu. Jenguk hidangan yang dipamerkan di dalam ruang berkaca. Telur dadarnya macam mana, tebal tak? Sotong, ketam, udang besar, kari ikan bawal hitam, ikan tenggiri, kepala ikan [merah, tenggiri, bawal hitam] ayam, ayam goreng tuu diyaa!, daging dan semua sekali kena tengok dulu.
Kalau mereka tengok ada ikan keli bersalut tepung bergoreng, mereka akan fikir dua kali. Nasi kandar mana ada ikan keli?
Sah, ini sudah campur-aduk PECEL LELE dengan BAKSO. Maka peminat nasi kandar tadi sudah lari cari tempat lain.
Begitu juga kalau gerai nasi kandar ada jual ikan talapia, ada sayur cara Melayu, maka ia bukan nasi kandar lagi.
Berapa banyak restoranto yang guna label nasi kandar sudah bungkus. Berniaga beberapa bulan sudah tutup. Puncanya, jenama nasi kandar tidak dijaga. Mereka fikir kalau letak label NASI KANDAR PENANG sudah memadai.
Di Alor Setar lagi bagus. Ada orang berbaris nak beli nasi lemak. Baris punya baris, apabila sudah dekat dia orang terkejut. "Mana nasi lemak bang?" dia tanya. Sebab yang sedang dicedok itu bukan nasi lemak, tetapi nasi keperangan macam nasi tomato atau kebiryanian. Jadi, kena tengok keadaan. Istilah lain-lain.
Di Kangar pula, pagi-pagi orang dah balun nasi sebukit penuh. Tu dia! Memang tak perlu makan tengah hari lagi nampaknya, sekali harung.

MANA SEDAP?
Ada orang tanya, di Kuala Lumpur ada restoranto nasi kandar tak?
Susah jugak nak jawab. Kalau nak ikut indeks berbaris tadi, maka ada dua tempat yang orang berbaris, tapi tak lah panjang berjela.
Semuanya di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Yaseen, Kudu Abdul, Odeon dan Ibrahimsa. Walaupun semuanya nasi kandar, antara Yaseen dengan Kudu lain rasanya. Itu belum lagi makan nasi kandar di Georgetown yang Najib kata best tu [maaf ya bukan iklan makan ya].
Orang yang kaki makan nasi kandar mereka tahu ke mana nak cari. Dan jangan hairan, sekarang di mana-mana pun orang gunakan NASI KANDAR dengan sewenang-wenangnya, sampaikan restoranto semi-Pakistani pun guna label nasi kandar juga.
Bolehkah orang kita [Melayu] jual nasi kandar?
Boleh, bukan tak boleh, tapi persepsi sudah lama tertanam bahawa nasi kandar ini dijual oleh keturunan itu sahaja. Jangan fikir nasi kandar laku, hang pun nak buat restoranto nasi kandar.

RESTORAN MENYAMAR KANDAR?
Sudah banyak restoran yang "menyamar" di kebanyakan kota di negara kita.
Semuanya nasi kandar. Hakikat sebenarnya, apabila anda masuk dan jenguk menunya, ia bukan nasi kandar tulen. Ia nasi kandar peniruan. Seperti yang saya kata tadi, menu sudah bercampur pecel lele atau ayam penyek.
Biasanya nasi kandar jadi tumpuan. Ada orang suka mencuba. Kalau sedap boleh ulang lagi. Itu yang berani cuba. Tetapi nak senanglah, tengok menunya dulu.
Kenapa orang Melayu susah nak berniaga kedai makan?
Puncanya, kita terlalu taksub dengan makanan tuk nenek kita dulu. Semua nak sedia. Dari hujung meja sampai ke hujung meja semua nak kena masak dan sediakan. Maklum nak layan selera pelanggan yang berlainan ragamnya.
Menu yang banyak sampai berpuluh jenis pun bukan tarikan, ia memenatkan dan ada kalanya jadi pembaziran.

MENU MUDAH
Tengok nasi kandar. Simple.
Orang berbaris nak makan. Menu nasi kandar banyak tertumpu kepada kekicapan.
Tengoklah, kuah yang warna kehitaman itu apabila dicampur-campur, kuah daging, kuah ketam, kuah udang, kuah ayam, kuah kepala ikan, rasanya jadi semacam, itu sebab orang berselera makan nasi kandar.
Kaedah campuran sikit-sikit ini yang menyebabkan nasi selera.
Siapa nak masak gaya nasi kandar di rumah? Kuah sampai lima enam jenis?
Campuran ini yang jadi sedap. Sudah ramai mencuba masak gulai secara nasi kandar. Ada yang jadi dan tak jadi. Ia tak akan jadi kerana campuran kuah yang sedikit-sedikit itu menimbulkan rasa yang enak. Itu yang Najib kata nak makan nasi kandar, elok makan di gerai atau di restorantonya.
Kalau bawa balik, bukan tak jadi nasi kandar, campurannya tak lengkap.
Bolehkah gulai cara Melayu dicampur aduk begitu macam nasi kandar? Jawabnya, ada yang tak boleh makan. Mana kena gulai lemak nak campur gulai daging atau ayam misalnya.
Tetapi, ada orang boleh balun semacam je.
Jadi, lepas ni, bolehlah pekena nasi kandar. Tapi ingat. Bukan semua restoranto yang mendakwa sebagai NASI KANDAR PENANG itu nasi kandar. Di sekitar Jalan Ampang yang dikata hebat itu pun, masih bukan nasi kandar sebenar! Begitu juga di Bukit Bintang. Jalan-jalan cari makan. []

Monday 11 February 2013

PERNAH DENGAR IKAN DALAM BUAH KELAPA?

Sekitar tahun 70-an, 80-an dan 90-an, kalau anda berkunjung ke Chow Kit dan sekitarnya [terutama Keramat Supermarket, dekat Masjid Pakistani], atau ke Jalan Masjid India, sekitar Jalan Melayu, atau ke Bus Stand Klang, atau Jalan Pasar Pudu, dan di mana sahaja, anda selalu lihat ada orang berlonggok mendengar ocehan peniaga kaki lima. Longgokan peminat pedagang kaki lima ini jauh lebih ramai dibandingkan mendengar tazkirah di masjid atau surau.

PAK DAYAK
Selalunya apabila orang berlonggok begitu, rasa ingin tahu orang lain pun menggebu-gebu. Baik siapa pun ingin tahu, apa halnya? Ada orang kemalangankah? Orang matikah? Atau ada pertunjukan silap mata? Atau demonstrasi pedagang ubat dengan beberapa ekor ular peliharaannya? Atau pedagang kaki lima membawa anjing kecil yang bijak melakukan berbagai aksi? Atau sekadar penjual minyak wangi murah? Atau pedagang dari Kalimantan yang mengaku sebagai Pak Dayak? Begitulah, rasa ingin tahu membuak-buak. Ini naluri semula jadi manusia.
Jadi, kadang-kadang kumpulan manusia berlonggok itu melampau-lampau hingga melebar ke tepi jalan utama. Kenderaan lalu-lalang. Teringat saya kepada kumpulan muzik BABA GROUP yang katanya mantan anggota dari grup Orkes Tentera Darat. Band ini kerap main di tepi jalan, depan Maybank, dekat Mydin setentang Jalan Raja Alang dekat Chow Kit. Baik ketika main band lagu dangdut dan lagu Black Night kumpulan Deep Purples itu, peniaga kaki lima juga tak peduli kalau orang berjejal sehingga melimpan ke tepi jalan.
"Baik-baik sikit bang, karang balik rumah sedar-sedar punggung tinggal sebelah sahaja," kata pengacara persembahan band berseloroh. "Nanti kakak di rumah hairan, tak kan abang tak sedar punggung dah tinggal sebelah? Rupa-rupanya disondol dek kereta masa tengok persembahan nyanyian di Chow Kit." Orang pun tertawa suka. Inilah hiburan rakyat namanya.

ALON-ALON ASAL KELAKON
Orang jual ubat pun begitu. Saya pula suka tengok perangai orang yang terjingkit-jingkit nak melihat orang jual ubat. Dengan bijaksananya mereka kata, "Alon-alon asal kelakon. Yang jauh mari dekat, yang dekat mari rapat," katanya sambil meletakkan barang dagangan di atas alas kain merah, hitam atau atas sejadah lebar. "Yah! Hoooop! Hooop!" terdengar jeritan pedagang ubat. Kekadang dek kerana mendengar suara itulah makcik dan pakcik pun sanggup tumpang sekaki melihat apa bendanya. "Hoooop!" kata pedagang itu lagi. "Sebentar lagi saya akan tunjuk permainan...jangan ke mana-mana, sesiapa yang ada urusan teruskan urusan abang, sementara yang tak ada urusan, atau masih ada masa lagi, ya silakan tunggu, lihat permainan saya..."
Biasanya sambil berkata begitu pedagang kaki lima siap mengikat kain hitam atau merah di pinggangnya, mengikat kain lain di kepalanya. Wah! Pakaian serba hitam. Kelihatan seperti mahaguru silat. Atau seperti paranormal sakti mandraguna. Atau seperti pawang. Atau seperti bomoh. Ya, katakanlah apa sahaja. Maka, pedagang kaki lima itu bersuara lagi dengan lantangnya, "Sebentar lagi saya akan tunjuk permainan pelik. Ya... pernah dengar dalam buah kelapa muda ada anak ikan?" Tidak ada seorang pun menjawab. Memang tak ada siapa berani bersuara berkata, "Pernah!"

ANAK IKAN
Pada hari yang lain, dek kerana geram dengan soalan yang sama diulang-ulang, kebetulan saya berada di kawasan itu, maka saya pun memberanikan diri berkata: "Pernah! Saya pernah lihat dalam buah kelapa muda ada anak ikan." Pedagang kaki lima itu terkebil-kebil. Dia tidak suka mendengar jawapan saya. Rakannya malah mengenyit mata yang memberi maksud jangan layan soalan bodoh bin bangang itu. Mana ada ikan dalam kelapa muda? Lainlah kalau ditaruh di dalamnya setelah dilubangkan.
Soalannya, dari mana idea soalan tersebut?
Itu kisah lama tahun 80-an.
Kalau kita dengar temberang pedagang kaki lima di masa itu, kita kena goreng cukup-cukup. Masa itu seingat saya, kelompok yang menjadi tumpuan adalah pedagang kaki lima berpakaian serba hitam tetapi konon mampu meramal empat angka.
Selalunya hari Rabu, Khamis, Sabtu dan Ahad adalah hari tumpuan. Sebab pada hari itu ada pembuangan "undi" -- jadi galaklah orang pintar mengaku boleh meramal itu dan ini. Bilangan peminatnya cukup dahsyat.

SAMUN SIANG HARI
Penipuan pun menjadi-jadi. Bahkan di suatu peringkat, pedagang kaki lima sampai sanggup meminta duit terus terang.
Modus operandinya cukup menarik.
Dia akan kata, "Sesiapa yang minat boleh sediakan wang kecil RM1.00."
Wang senilai itu memang tidak jadi masalah. Tidak kurang 20 orang serahkan duit seringgit seorang. Duit itu kemudian dioles dengan minyak wangi untuk melahirkan kesakralan ritual rekaan.
Di akhir persembahan, sesiapa yang serah wang kecil sudah terperangkap.
"Siapa yang bagi wang kecil tadi sila duduk dan pegang tangan satu sama lain, jangan lepas!" kata pedagang itu.
Kemudian satu persatu disiasat wang di dalam dompetnya.
"Kalau saya jumpa abang di mana-mana dan saya minta belanja makan dan minum, bolehkah?" orang yang ditanya pasti angguk kepala. Bahkan semuanya angguk, tak ada yang geleng. Siapa berani geleng memang watak antagonis! "Kalau saya ambil ini wang RM200 apa boleh?" Si bangang itu angguk kepala, padahal dia disamun hidup-hidup!
Inilah adegan yang kerap saya lihat di Kuala Lumpur. Ramai yang bangang rupanya.

SOALAN BODOH, JAWAB DENGAN BODOH
Seperti juga soalan, "Siapa pernah tengok dalam buah kelapa ada anak ikan?"
Hanya saya sahaja yang nak mencuba menjawab dengan berkata "Pernah!"
Saya nak tahu apa reaksinya. Pedagang itu terkejut rupa-rupanya di Kuala Lumpur ini ada orang yang tahu cerita anak ikan dalam kelapa. Ia cerita versi Sungai Ogan, Sumatera!
Dalam episod tadi pedagang kaki lima sampai sanggup pegang dompet pelanggannya. Dia belek dan kira berapa duit yang ada. Kemudian dia tarik duit RM100 sampai dua helai. Budak yang berkata sanggup bagi belanja dan minum itu terkebil-kebil.
Ini bukan pukau. Sama sekali bukan pukau. Ini semua trik psikologi.
Dengan kaedah itu, sebahagian besar orang yang sudah serahkan duit kecil telah menyerahkan wang kepada pedagang kaki lima itu. Sesiapa yang wangnya telah ditarik, akan diberikan anvelope berisikan nombor bertuah, ditaruh benda mistik lain atau batu cincin Gurkha yang murah. Setelah wangnya diminta, orang yang serahkan wang kecil tadi diarahkan supaya pulang. "Terus keluar, beli nombor, jangan patah balik, nanti langgar pantang," katanya beralasan. Bijak! Bijak!
Perihal samun secara "halal" ini menyebabkan ada orang geleng kepala. "Kenapa bodoh sangat? Ada duit beratus-ratus serah kepada kaki temberang?"
Setakat yang diketahui, belum ada kes polis pun berkaitan dengan pedagang kaki lima yang mengaut duit secara mudah begini. Pedagang kaki lima itu kebanyakannya bukan orang tempatan. Semuanya datang dari seberang laut. Gaya pertuturan memang gaya Kejawen, siap blangkon segala, banyak istilah yang bermunculan dari bibir mereka seperti Sang Kama Jadi,  mandraguna, Ratu Adil, rawe-rawe rantas, dan banyak lagi.
Permainan tepi jalan ini memang menarik untuk dicatatkan. Ia juga boleh dijadikan bahan menyendal dalam filem tempatan.

ANAK IKAN DALAM KELAPA
Saya mulanya hairan juga, dari mana pedagang kaki lima dapat idea cerita ada ikan dalam buah kelapa?
Rupa-rupanya, cerita ini ada kaitan dengan seorang tua bernama Kiayi Haji Masagus Abdul Hamid bin Mahmud, Palembang, atau setepatnya di Muara Sungai Ogan, Sumatera.
Mungkin pedagang kaki lima itu asal dari wilayah Sumatera selatan dan sekitarnya. Jadi dia tahu kisah menarik ini.
Kiayi yang telah mendirikan dua buah masjid iaitu Masjid Kyai Muara Ogan di Kertapati dan Masjid Lawang Kidul di tepi Sungai Musi.
Suatu hari Kiayi hendak ke masjid, kebetulan Residen Belanda ada di tepi sungai. Dia lambai Kiayi supaya singgah.
Setelah rapat ke tebing, Kiayi pun naik mendekati Residen Belanda.
"Ada apa panggil saya ke mari?"
Kata Residen, "Kiayi pernah bilang di masjid bahawa setiap ada air di situ ada kehidupan? Apa betul begitu yang Kiayi bilang?"
Pak Kiayi angguk kepala.
"Adakah perkataan Kiayi itu boleh dipertangungjawabkan?"
"Ya! Kenapa?" tanya Kiayi pula.
"Okay, bolehkah Kiayi buktikan bahawa di dalam buah kelapa itu ada kehidupan di dalamnya?" Ini soalan perangkap maut namanya. Mana ada kehidupan dalam kelapa muda? Memang tak ada. Hanya ada air sahaja. Tetapi Kiayi sudah bersedia dengan keilmuannya. Ini darurat namanya. Orang kafir mahu memperleceh ulama.
"Dengan segala irodat dan kehendak-Nya, maka semua yang ada di muka bumi ini boleh saja terjadi," balas Kiayi optimis.

PANJAT KELAPA
Maka Residen Belanda itu menyuruh anak buahnya panjat pokok kelapa dan jatuhkan sebiji kelapa. Bawa buah kelapa itu di depan Residen dan Kiayi sekali.
Kemudian Residen kata, kalau di dalam buah kelapa itu tidak ada kehidupan, Kiayi akan diusir dari kawasan Ogan, tetapi kalau benar ada kehidupan, kedudukan Kiayi akan meningkat statusnya di mata rakyat dan mata pihak Belanda sekali. Ia semacam ugutan.
Orang kampung yang berkerumun di situ sudah dag-dig-dug. Gementar kerana Kiayi akan dihalau dari Palembang, habislah dua masjidnya terbiar. Tidak ada lagi imam dan tidak ada lagi tazkirah di masjid itu.
Sebaik buah kelapa itu dibelah, maka terlihat seekor ikan kecil menggelepar.
"Allahu Akbar!" terdengar suara orang orang.
Semuanya takjub termasuk Residen Belanda wilayah Palembang itu.
"Wah, ini sihir Kiayi! Saya pun ingin belajar sihir dari Kiayi," kata Residen.
"Ini bukan sihir, saya amalkan doa dan ayat-ayat al-Qur'an yang menjadi pedoman umat Islam, saya yakin dengan kebesaran Allah subhanahu wa Taala," kata Kiayi.
Jadi, berdasarkan cerita Kiayi Muara Ogan itulah, kita boleh mengagak, bahawa pedagang kaki lima yang selalu menyoal tentang anak ikan dalam kelapa itu, mereka ada pedagang yang berasal dari wilayah seberang Selat Melaka.
Jadi, kalau anda jumpa pedagang kaki lima bertanya soalan yang sama, anda beranikan diri berkata "Pernah!"
Sebenarnya pedagang kaki lima itu tidak punya ilmu mandraguna sakti apa pun. Semua itu hanya lakonan.Wallahu a'lam. []

RINGAN-RINGAN, CERITA MISTIK, BORAK DENGAN ROH

Cerita politik menegangkan. Jadi, saya nak cerita mistik semula. Kali ini cerita menarik yang saya dapat dari pembacaan. Kisah bagaimana seorang lelaki miskin yang mempunyai tiga anak lelaki sanggup melepaskan sang isteri bekerja di luar negeri sebagai pembantu rumah. Ketika isteri direlakan pergi merantau, sang suami dalam diam-diam kahwin satu lagi. Ketika isteri sudah berbadan dua, kandungan berusia lapan bulan lebih, isteri yang merantau balik bercuti sebulan. Gelabah bukan main. Rahsia perkahwinan dah bocor. Isteri yang balik bercuti melabrak ke rumah isteri muda yang sedang mengandung, maka berlakulah pertengkaran hebat. Ketika sudah kesyaitanan, berlaku tonjol menonjol dahi, tolak menolak, dan isteri tua telah menolak madunya hingga jatuh terlentang, lalu terjadilah episod menyedihkan. Isteri muda yang hamil tua itu meninggal dunia. Isteri tua dan suami kena gari. Isteri kena 20 tahun penjara, dan suami kena 15 tahun.

PENJARA
Kisah berlaku di dalam penjara.
Di dalam kurungan penjara itu lelaki yang dipenjara 15 tahun tinggal bersama seorang pesalah lain, asal dari Sumatera. Orang itu tidak tidur pada waktu malam. Dia asyik bercakap dengan dinding bilik tahanan. Setiap malam begitulah yang dilakukannya.
Akhirnya lelaki yang baru masuk penjara ini memberanikan diri bertanyakan sesuatu. Dia takut juga nak tanya lebih-lebih, lagipun semua orang kata orang itu gila, dia stress sejak masuk penjara.
"Maaf, bang, boleh kita berbual-bual?"
"Ya, boleh sahaja, apa salahnya!"
"Kenapa kok abang ni saban malam bercakap seorang diri? Apa abang ada masalah?"
"Saya tak ada masalah apa, hanya kamu dan orang lain tak tahu, bahawa setiap malam saya berbual-bual dengan isteri saya yang datang dari jauh, dari Batu Sangkar, Sumatera Barat."
"Begitu jauh? Kenapa boleh datang sini malam-malam?" tanya lelaki yang ingin tahu. Dia betul-betul bingung. Di dalam bilik tahanan itu mana ada orang lain, tidak ada perempuan datang pun pada waktu malam. Jangan-jangan dia memang sudah gila, stress kerana ditahan terlalu lama.
"Kamu tahu tak? Ada sebuah ilmu yang kalau kamu amalkan, kamu boleh mengajak sesiapa juga datang untuk berbual-bual. Waktu malam lebih sesuai untuk berkomunikasi," terang lelaki yang disangka gila itu.
Perbualan ini beraku di sebuah penjara di negara jiran, bukan penjara di Kajang atau Sungai Buluh.
Sebaik mendengar kata-kata gila dari rakan di dalam tahanan itu, lelaki itu pun ingin mengetahui lebih dekat tentang kaedahnya.
Kebetulan isteri mudanya sudah meninggal ketika hamil tua gara-gara ditolak oleh isteri tua yang baru balik dari Eropah, dia kerna sebagai amah di sana untuk tambah pendapatan. Sama juga banyak isteri-isteri yang tinggalkan suami semata-mata mahu kerja di Kuala Lumpur.

BELAJAR ILMU DALAM PENJARA
Akhirnya lelaki yang disangka gila itu memberikan sebuah ilmu kepada lelaki itu.
"Saya sudah lupa, apa nama ilmu yang kamu bilang semalam?" tanya lelaki yang baru masuk penjara.
"Ilmu teleportasi pajamaradan," jawabnya pendek.
"Apa gunanya?"
"Untuk mendatangkan orang-orang yang kita perlukan. Tapi yang datang rohnya, roh yang maujud, sedang tubuh badannya ada di sana sedang tidur nyenyak, itu sebab saya datangkan mereka waktu malam."
"Jadi, ilmu ini hanya untuk waktu malam sahaja?"
"Itulah waktu yang sesuai, ketika orang itu tidur, kita panggil rohnya datang ke sini untuk diajak berbual-bual, bahkan saya boleh melakukan hubungan badan dengan isteri saya di dalam penjara ini!" mendengar keterangan kawan itu orang baru itu termenung panjang.
"Kalau gitu, saya nak belajarlah!"
Sambil tertawa, lelaki yang disangka gila itu melanjutkan bicaranya.
"Kamu nak jumpa siapa?"
"Seperti kamu, saya nak jumpa isteri saya, tapi dia sudah meninggal, begitu anak saya yang mati dalam kandungan ibunya," jawab lelaki itu dengan nada polos.
"Kasihan kamu, saya kira saya yang paling malang, tapi ada lagi orang yang malang!"
Lelaki yang disangka gila itu menepuk-nepuk belakangnya.
"Ya, kita dipenjara ini akan berada lama, bukan setahun dua. Elok kita amalkan ilmu ini. Mujur saya masih hafal benar dengan ilmu ini. Beruntung kamu dapat tinggal satu bilik tahanan dengan saya. Saya akan ajar kamu dengan cermat, masa masih panjang, jangan gelojoh."
"Okay, saya sedia belajar. Tapi apa sahaja syaratnya? Apakah ada puasa mutih semua seperti Kejawen?"
"Sudah tentu! Kamu kena puasa mutih, ngebleng dan pati geni."
"Ada manteranya?"
"Yah, sudah tentu dengan manteranya sekali!" rakan itu tertawa gembira.
Baru kali ini dia melihat rakan setahanan itu gembira dan tidak kelihatan stress memanjang.
Untuk pengetahuan, mutih ini maksudnya hanya dibenarkan makan nasi putih dan air putih sahaja [air suam]. Ngebleng maksudnya tak boleh makan minum, keluar rumah [dah tentu tak boleh keluar sebab dalam penjara], kena kurangkan tidur, kena duduk memerap [dalam penjara lebih mudah beramal nampaknya].
Patigeni pula, selalunya bersama dengan ngebleng sekali. Kena berjaga, tak boleh tidur, pati geni boleh 24 jam, 3 hari atau 7 hari. Semuanya, baik mutih, pati geni kena baca niatnya.
Hanya diingat, puasa ini bukan tuntutan syariat. Ia hanya kebiasaan dalam ajaran yang dipanggil puasa-puasa Kejawen.
Dalam penjara itu, dia belajar mantera berbahasa Melayu, maklumlah orang itu asal dari Sumatera. Jadi bukan mantra Jawa halus yang susah nak disebut kerana sebutan fonetiknya berbeza. Ada beberapa aksara Jawa yang tidak boleh dicari persamaan dengan huruf "T" atau "D" -- jika diejakan bunyinya jadi lain.
Dalam tahanan yang tidak ada apa aktiviti menyebabkan dia begitu mudah menghafal mantera cara Melayu.
Sayangnya, mantera itu rahsia juga. Tidak digalakkan untuk dipelajari pun, sebab ia tidak ada kaitan dengan amalan yang dituntut dan diberi ganjaran pahala.
Akhirnya, setelah kawan tadi menjalani mutih, ngebleng dan patigeni, maka pada tengah malam tepat jam 12.00 malam dia pun membaca mantera memanggil roh isterinya yang telah meninggal dunia. Isterinya meninggal kerana "dibunuh" oleh madunya sendiri, oleh isteri tuanya yang pernah bekerja sebagai pembantu rumah di Eropah sana.
Dia duduk bersila, letakkan tangan ke dada, baca mantera berulangan, kepala memandang ke langit-langit bilik penjara.
Apa yang terjadi?
KEDENGARAN SUARA ANGIN KENANG.
Keadaan menjadi sejuk. Dan dengan semena-mana datangnya makhluk yang diseru, iaitu isteri kepada lelaki tadi dan anak kecil yang digendong oleh ibunya.
Ibunya adalah isteri lelaki itu yang mati akibat ditolak dengan keras oleh isteri tuanya dulu. Gara-gara kes itulah dia masuk ke dalam penjara kerana dia didakwa subahat membunuh isterinya sendiri.
Kini isterinya yang sudah meninggal bersama bayi dalam kandungan telah datang ke penjara. Dia pun berbual-bual dengan isterinya itu.
Sekarang barulah dia tahu, kenapa rakannya bercakap seorang. Dia yang sedang berbicara dapat memandang makhluk itu maujud walaupun hanya roh.
[Tentang hal ini mungkin berlaku kekeliruan. Adakah dia hanya mendengar suaranya sahaja tanpa melihat jasadnya?]
Kisah ini menarik untuk difilemkan. Sebab dalam cerita tadi, lelaki yang dapat berbual dengan isterinya yang sudah mati, dia diberitahu isterinya, bahawa anak itu sudah diberi nama di alam sana. Dia dilahirkan di dalam kubur secara ghaib. Dia membesar di alam ghaib.
Keyakinan ini tidak ada dalam Islam. Mungkin ada di dalam ajaran Kejawen dan pengajaran ilmu kemistikan secara mereka. Ilmu ini tergolong ilmu sakti mandraguna. Ilmu pemanggilan roh ini pula katanya diberi nama teleportasi padamaranja telemafiksi.
Ilmu apa ni bang? Inilah ilmu kejawen kata lelaki yang dianggap gila itu kerana setiap malam bercakap sorang. Dia bukan cakap sorang, tetapi bercakap dengan makhluk ghaib yang diundangnya.
Majdi Muhammad asy-Syahawi berkata, "Saya ingatkan anda agar tidak mengikuti ucapan jin yang dianggap sebagai arwah itu yang bersumber dari khabar-khabar kuno. Dia bukan arwah, tapi ia adalah jin.Saya telah menjelaskan perkara ini di berbagai kitab, sebagaimana dijelaskan dalam pasal "Apakah jin mengetahui hal ghaib?" Di situ kami singkap  rahsia di sebalik persekongkolan antara jin dengan tukang sihir..." [Tahdhir al-Arwah wa Taskhir al-Jaan al-Haqiqah wa al-Khurafat, terj. (2009) SELOK BELOK ARWAH]. []