Sunday 10 February 2013

JALAN PASAR PUDU KUALA LUMPUR

Nama pun Jalan Pasar Pudu, dah tentu ada pasar.
Kawasan pasar sentiasa sibuk dan sesak jika semua peniaga membuka gerai masing-masing. Suatu ketika dulu, bilangan jurujual dari kalangan warga Indon begitu ketara, baik yang jual ikan, jual sayur, jual santan, sampaikan kepada jual barangan lainnya.
Mereka bekerja dengan upah harian. Sentiasa ada duit. Kerja dari awal pagi hingga petang. Peniaga keturunan Cina sudah menyerahkan tugasan itu kepada mereka.
Kini bilangan jurujual dari seberang sudah kurang. Wajah-wajah Bangladeshi pula yang ada.
Yang menariknya, di Jalan Pasar Pudu ini, orang berniaga di kaki lima kedai dan jalan sudah beroperasi lama. Sejak dulu lagi.
Di sini, sesiapa sahaja yang sengaja nak tengok-tengok barang elektrik yang bernama pelik-pelik, buatan China atau Taiwan semua ada di sini.
Kekadang bukan nak beli sangat, tetapi nak tengok kerenah peniaga.
Bilangan peniaga Melayu tempatan memang kurang. Lagipun orang Melayu malu hendak berniaga di kaki lima. Mereka nak berniaga besar sahaja. Tidak mahu mencontohi peniaga kaki lima dari seberang yang sudah lama berniaga. Itulah kerjanya setiap hari. Biarpun Bandaraya bukan tidak kacau, termasuk yang menyamar pelanggan, mereka tetap dapat cari duit.
Jika dulu mereka jual madu kelulut botol besar, sekarang sudah jual macam-macam batu cincin pula. Jika dulu bersila tepi jalan untuk jadi bomoh nombor ekor, sekarang sudah pakai kupiah dan jual benda-benda lain yang tak ada kaitan dengan perjudian.
Bukan tidak ada yang sepuluh tahun dulu jual ramalan nombor, hari ini di Jalan Pasar, masih jual benda yang sama. Itulah kemahiran dia. Tukar dan fotostat. Sendiri buat. Acuan sudah ada. Yang kaki nombor ramalan akan berdiri di depannya untuk mendengar ceramah singkat.
Yang jual ubat sapu untuk kaum lelaki, hari ini tidak edar kertas fotostat yang kabur tulisannya, sebaliknya kini siap gunakan gambar yang sudah dirakam melalui handphone canggih.
Gambar apa bang? Gambar burunglah. Dia kata itu gambar burung yang terbaik setelah menggunakan minyak sapu. Burung boleh jadi besar apabila disapu dengan minyak istimewa itu.
Nampaknya peniaga itu tekun dengan barangan yang sama sejak sepuluh tahun dulu!
Hanya yang tidak ada sekarang, jual minyak panas, minyak sapu untuk sakit-sakit lutut, kebas-kebas dan salah urat. Sambil berniaga, sebagai selingan dan menarik pelanggan berkeliling, peniaga itu pukul gendang dan tiup serunai. Ular tedung dipamerkan. Ular sawa putih dikeluarkan.
Jangan takut. Dia bukan jual ubat penawar bisa ular. Tidak. Teringat saya kepada Ali Ular yang dulu selalu buka gelanggang di kaki lima Jalan Pasar itu. Dia meninggal dunia gara-gara patukan ular yang sentiasa dibawa ke mana-mana. Itulah penangan ular bisa.
Untuk berniaga di situ tidak perlu modal besar. Dengan modal serendah RM50 anda sudah boleh bentang kain dan susun barang niaga di lantai bawah. Kalau malu berniaga, tak payah berangan hendak berniaga.
Anak-anak Melayu yang biasa makan gaji, memang malu hendak berniaga macam itu. Mereka anggap berniaga begitu bangsat sangat.
Ingat. Berniaga adalah seni. Kalau seni berniaga tidak dipelajari daripada peringkat yang paling asas, maka sampai bila tidak akan jadi peniaga. Meskipun anda hanya hendak menjual pen atau seluar dalam sahaja! []

No comments:

Post a Comment