Tuesday 30 April 2013

SANDIWARA BABAK BELUR MEDIA PERDANA

LAGI dekat nak pilihan raya nanti, kita boleh tengok dan dengar orang melaporkan:

SIFULAN dan SIFULAN isytihar diri masuk Barisan. Mereka mendapat liputan yang amat dahsyat, mengalahkan bintang atau selebriti.
RANTING sekian dan sekian telah dibubarkan dan mereka berpadu suara menyokong Barisan [tak kira barisan apa pun! Paling baik masuk saf solat jemaah].
Pendeknya, masa inilah siapa yang mengidam nak dapatkan liputan lebih, atau orang kampung cakap, nak masuk tv tigasuku pun, inilah masanya!
Jangan tangguh-tangguh, isytikarkan diri masuk itu dan ini dan kemudian kamera pun fokus kepada anda, close up cantik gitu!
Kena pula buat persiapan awal-awal bersama pemimpin tertinggi Parti, siap bedak dan gincu agar tak kelihatan pucat lesi -maklum darah gemuruh- maka inilah saat yang mendebarkan.
Dapat masuk tv tigasuku begitu sudah kira bikin gempak sekampung.
Akan tetapi kalau isytihar masuk roket, bulan dan sahabatnya, tak ada tv tigasuku siarkan. Menyampah adalah. Mereka tak suka ada orang masuk roket, bulan dan sahabatnya. Masuk Barisan tak apa.
Ini yang orang bilang sandiwara babak belur.
Memang sandiwara  itu ada banyak babak.
Kalau zaman dulu, kena ada tukang tarik tirai 1, tirai 2 dan tirai 3 bagi menggambarkan lokasi yang berlainan.
Sandiwara kita hari ini makin canggih. Tetapi, meski canggih macam manapun, pemikiran kita masih di takuk lama.
Asal ada pilihan raya, sandiwara pun dipentaskan.
Skrip yang dipakai masih skrip yang lama. Zaman dulu punya. Sandiwara macam ini tidak ada audien -- kalau ada pun jenis yang tengah mengantuk, lipat kain, atau membelai anak, membelai kucing, picit jerawat dan macam-macam hal lagi.
Sandiwara yang dipentaskan itu gimik politik.
Kita tak kata pembangkang [PR] sebab PR tak ada tv tigasuku. Inilah yang pernah terjadi. Kali ini sandiwara yang sama dimainkan lagi. []

DAKWAT OH DAKWAT! PAKAI INAI BAGAIMANA?

Membaca laporan dari blog dan FB yang ada, tahulah kita bahawa dakwat yang dikatakan boleh mengelakkan seseorang pengundi mengundi banyak kali sudah jadi bahan pelecehan.
Bagaimana tidak, orang yang mengundi awal, iaitu undi pos, mereka dakwa dakwat yang dicalit itu boleh dibasuh dengan mudah. Ia tidak kekal.
Ada orang bagi cadangan, apa nak susahnya, pokok inai banyak di negara kita.
Kita gunakan kaedah inai. Dah semua berinai macam nak jadi pengantin semua pengundi tak kira tua dan muda. Barulah banyak fitnah.
Ketika itu kalau semua orang jarinya berinai, tahulah, bukan sebab sebab dah kahwin lain, atau nikah luar sempadan, tetapi baru lepas mengundi.
Laporan polis pun telah dibuat.
Ini bukan kerja main-main. Apakah kita tidak belajar dari negara luar yang sudah lama amalkan menggunakan dakwat?
Yang kita bimbang sekarang, disebabkan banyak masalah, seandainya timbul alasan-alasan klise --- konon dakwat tak cukuplah, atau dakwat sudah ditukarkan dengan dakwat lainlah, maka "mungkin" penggunaan dakwat ditangguhkan untuk pilihan raya akan datang pula!
Maka sekali lagi kita hampa melihat perjalanan pilihan raya yang BERSIH.
Masa tinggal beberapa hari, sesuatu perlu dibetulkan. Jangan dipermainkan. Rakyat sedang mengharapkan kerja tulus ikhlas SPR. Kalau rakyat dipermainkan, maka hilanglah keyakinan mereka terhadap SPR.
Ada berapa hari lagi?
Jangan membina alasan yang dipengaruhi oleh kerajaan sementara. Wallahu a'lam. []

Sunday 28 April 2013

KENAPA ORANG TAKUT KEPADA PAS DAN SEKUTUNYA?

Berdasarkan komen di sana-sini, jelaslah, orang Melayu tak suka PAS dan sekutunya. Sebab kalau mereka ini memeritah, perempuan Melayu yang terawal dan terakhir pun kena tutup aurat. Lepas tu ada yang kata mereka kena solat setiap hari [habis solat seminggu sekali agaknya?], buat itu tak leh, buat ni tok leh. Tok leh belako! Kata mereka.
Kemudian di kalangan yang sudah merancang untuk bikin semarak industri perfileman negara, yang merancang nak jadikan suatu tempat tu sebagai "Bollywood Melayu" -- maka ambisi mereka berkecai. Habislah!
Harapan mereka nak dapat ratusan juta projek buat itu dan ini akan ranap. Kalau nak buat juga atau nak teruskan juga, mereka kena ikut garis panduan yang ditetapkan. Sudah tentu melibatkan golongan ulama untuk menasihati mereka. Kalau tidak, mereka akan buat sesuka hati mereka. Jangan ingat mereka berpendidikan tinggi faham serba-serbi, dalam bab hukum kena rujuk juga. Tak boleh jadi Pak Pandir.
Apabila ada orang perempuan boleh komen tak suka parti yang sukakan Islam, maka ada sesuatu yang nak dibetulkan. Adakah dia memang benar-benar protes gitu atau setakat suka-suka nak uji sejauh mana komen dari orang lain? Dia sahaja buat provokasi begitu supaya orang lain mendidih membacanya.
Begitu juga dengan lontaran komen dari orang filem.
Kefahaman mereka terhadap filem masih berlandaskan rujukan Barat. Kalau kita nak juga buat filem, kita kena buat filem yang bertendensikan kebaikan, tidak memaparkan bab yang menggambarkan "Gila-Gila Remaja" samseng, gangster dan sebagainya. Memanglah orang kata, ia ada mesej. Berapa banyak audien yang faham mesej? SMS pun ada yang tak faham.
Begitu juga dalam dunia hiburan pentas. Kita masih ingat dulu ada akhbar yang mendakwa dapat sambutan hebat adakan acara hiburan pentas. Ia dibarengi oleh tv swasta. Memang heboh betul dibuatnya. Tetapi apa manfaatnya kepada orang luar bandar?
Pentas itu adalah tempat mereka melebarkan sayap kemasyhuran. Sudah menjadi kebiasaan, "Jangan lupa, dapatkan album saya yang terbaru di pasaran! Dan...untuk anda semua, terimalah lagu terbaru saya DENGARKANLAH! Tepuklah! Tak semangat pun! Abang-abang di sana tu, tepuklah..." Begitulah yang biasa kita santap di mana-mana pun.
Itu promosi diri namanya.
"Dan...perkenalkan... inilah hero filem HANTU BOGEL yang membuatkan semua hantu gerun kepadanya...berikan tepukan gemuruh! Huwaaaaaaah!"
Bertepuklah mereka. Bersoraklah mereka. Macam orang kerasukan.
Maklum hero filem seram.
Jadi, ketakutan oleh filem ini bukan saja bersarang dalam minda orang yang penting, orang yang tak penting termasuk krew pun bukan main risau. Habislah kali ini. Itu sebab di sebuah kampung [jiran] seisi rumah jadi krew dan pelakon tambahan. Siap pasang bendera BN kanan kiri rumah [saya pun pasang kad kecik BN yang saya kutip tepi jalan dekat masjid, tampal di pintu; semoga perayu undi tak datang sebab mereka tahu saya penyokong tegar BN, hehehe...].
Mungkin kalau urusan pentadbiran berubah nanti, persatuan itu dan ini akan adakan perjumpaan penting untuk membincangkan perkara yang mereka risaukan itu. Jadi, untuk melayani mereka kenalah bagi pencerahan sekali kepada mereka. Jangan dok di takuk lama lagi. Kena berubah. Ini yang mereka tak suka. []

SEJAUH MANA PROJEK IC SABAH UNTUNGKAN BN?

PROJEK IC Sabah rupa-rupanya sudah lama dilancarkan di sana. Orang Semenanjung banyak tak tahu pun. Apabila pecah berita tentang Lahad Datu dan adanya suruhanjaya yang menyisat masalah pendatang asing di Sabah, maka orang Semenanjung baru menyedari bahawa ia adalah projek yang mendapat keizinan daripada pihak berwewenang di Pusat. Maka semua orang diam kerana ia projek Orang Besar -- rakyat kecil jangan masuk campur. Kalau Orang Besar buat projek "jual orang" pun jangan fikirkan sangat, awak orang kecil duduk diam-diam, pembangunan negara terus berjalan, dan harga barangan terus meningkat, biarlah rakyat hidup kais pagi makan pagi. Tidak mengapa, kerana rakyat memang didahulukan!
Ketika saya tinggal di Ampang, saya berjiran dengan tiga sahabat yang semuanya begitu vocal anti Barisan Nasional, namanya Pak Sham, Pak Rohman dan Pak Saifuddin. Ketiga-tiganya sudah tidak ada, seorang meninggal di Ampang, dan saya terlibat sama uruskan pengebumiannya di Jalan Quari Cheras. Urusan jenazsah yang berbayar sampai RM1200 cash [memang seronok orang yang business urusan mayat cara begini, berebut-rebut nak uruskan, solat jenazah di Hospital Ampang, empat orang sahaja].
Seorang lagi meninggal di Sabah [atau mungkin dia telah balik ke Bulungan di Kalimantan Timur, berdasarkan salinan KP yang saya simpan]. Seorang lagi Pak Sham yang pernah berkelana di surau Pudu Raya [sebelum Pudu Central, juga jemaah di Masjid Jamek LRT sejak tahun 2000 lagi, selain Masjid India dan Pakistani KL].
Yang nak saya cerita adalah Pak Rohman dan Pak Saifuddin. Dia tinggal di rumah Encik Hadi [Taman Seri Watan, Ampang] yang pernah bekerja dengan sebuah kilang orang putih di Hulu Klang. Kilang itu tutup dan buka operasi di Vietnam. Encik Hadi tak mahu ikut ke Vietnam, dan dia sendiri tidak tahu maklumat peribadi Pak Rohman dan Pak Saifuddin.
Ketika Pak Rohman meninggal [setelah mengidap kencing manis dan jari kaki dipotong] baharulah kami tahu rupa-rupanya baik Pak Rohman atau Pak Saifuddin adalah dua orang yang hadir hasil dari Projek IC di Sabah itu.
Memang orang Barisan Nasional fikir, apabila mereka sudah diberi KP Sabah [Malaysia] mereka akan bebas masuk ke Semenanjung. Mereka ini berguna untuk menaikkan undi BN. Tetapi dua orang yang saya cerita ini memang tidak suka kepada BN, kenapa? Agaknya mereka sedar bahawa kemasukan mereka ke Semenanjung adalah akibat "kena jual" -- dijual oleh orang politik, sebalin dapat wang, mereka juga dapat menambahkan undi bagi memenangkan BN.
Nama Saifuddin dan butir peribadi tidak ada bezanya. Hanya tempat kelahiran dan alamat tentulah di Sabah sana sebelum tukar alamat di Kuala Lumpur. Begitu juga Pak Rohman yang saya mati-matian ingat dia orang Sabah. Patutlah apabila berborak dengan saya, saya ajuk cakap Sabah dia tidak layan sangat. Dan keraguan saya mulai timbul apabila dia pernah mengeluarkan sepatah perkataan bahasa Indonesia yang saya jadi kaget dibuatnya.
"Kalau Pak Rohman sekolah di Sabah, mana mungkin dia tahu menggunakan perkataan itu?" keraguan saya terjawab setelah dia meninggal. Dia hanya menyewa sebuah bilik di Taman Seri Watan. Saya dan rakan-rakan geng penyokong PAS cari dokumen peribadi, tak jumpa. Ada salinan KP lama Kartu Penduduk menunjukkan dia lahir di Bulungan Kalimantan Timur. Pak Saifuddin juga dari Bulungan, Kaltim. Terjawab sudah.
Nak tahu apa cerita pada Projek IC ini?
Sesiapa yang ingin tukar nama ya silakan. Sesiapa yang nak muda semula pun silakan. Jadi Pak Rohman kawan saya ni sudah tukar tarikh lahirnya menyebabkan dia boleh bekerja lagi sehingga umur 60 tahun. Ketika dia meninggal umurnya baru 49 tahun sedangkan ikut Kartu Penduduk yang ada usianya sudah 63 tahun. Nampaknya pengubahan tarikh lahir sudah jadi fenomena sejagat dalam Projek IC.
Okaylah. Ia tidak memberi apa-apa impak kepada kita kalau mereka nak bubuh nama apa pun. Begitu juga tukar tarikh lahir jadi muda. Sudahnya dia kantoi dalam bab KWSP. Sepatutnya dia dah boleh ambil duit itu, tetapi disebabkan ganjak umur, maka dia kempunan. Warisnya cuba uruskan, tetapi apa yang jadi kemudiannya saya tidak tahu.
Sekiranya mereka yang datang dari Kalimantan mahu tuntut wang KWSP, mereka tentu akan bawa dokumen yang salah. Nama sebenarnya Syed Abdul Rahman, di Malaysia dia sanggup membuang nama Syednya [kebetulan ada saudaranya berniaga di Singapura, dia juga turut membantu urusan jenazahnya itu hari].
Berdasarkan cerita ini, saya tidak pula nak semak orang-orang pelik yang mengaku dari Sabah di KL ini. Baik para jemaah Masjid Pakistani KL yang ada. Ramai juga Pakistani dari Sabah, bebudak Sabah yang tidak bertutur dengan bahasa gaya Sabah, malah keIndonesiaan pekat. Untuk menguji pertuturan biasanya saya lebih Indonesia dari mereka. Di situlah mereka terperangkap.
Jadi, jangan hairan kalau ada orang Sabah keluyuran di KL ini. Semuanya mengaku Sabah. Padahal untuk bercakap tentang Sabah pun mereka tidak tahu. Mereka ada orang yang telah dipujuk agar memiliki KP seperti orang lain.
Di Kuala Lumpur sendiri ada seorang teman [bergelar Dato dan pernah aktif Umno di Selangor] ketika dia melepak tak berduit dia selalu tawarkan itu dan ini kepada rakyat asing. Nak IC? Kita ada kabel. Boleh uruskan. Tapi bayarlah duit. Berapa? Beratus-ratus ringgit. Jamin lulus katanya. Sampai sekarang kalau jumpa Dato ini saya akan ingat aktivitinya.
Sekarang kita nak tanya, sejauh mana Projek IC Sabah ini menjana kemenangan UBN di Semenanjung? Berdasarkan cerita kawan tadi yang memang semuanya bencikan Umno, maka tidak hairan kalau mereka yang sudah masuk dalam projek tadi akan tukar selera pula. Mungkin mereka akan undi PR pula. Tentu mereka sedar, bahawa ketika nak minta KP itu bukan main susah, dipermainkan, diperbodohkan, dijualbelikan dan macam-macam hal lagi.
Kalau Projek IC dianggap sebagai alat untuk menang pilihan raya, maka fikir dua kali. Ketika susah, siapa sahaja boleh berlakon minta bantuan. Apabila sudah bergaya ada perniagaan bagus, maka, "Sudahlah! Dulu kamu tipu kami. Kena bayar beratus-ratus, macam-macam janji, habuk pun tarak!"
Kini produk dari Projek IC Sabah itu bertaburan di Semenanjung. Hanya ia masih macam rahsia sahaja. Selagi UBN masih berkuasa, cerita projek ini akan disenyapkan dari media. Kalau dah tumbang, baharulah berebut-rebut nak bercakap, berebut-rebut nak buat kenyataan akhbar!
Diharapkan tak lama lagi, kalau angin perubahan benar-benar terjadi, akan ada sebuah akhbar baru yang menjadi bacaan rakyat. Ia sebagai ganti Utusan, Berita, NST, MM dan sebagainya. Biarkan akhbar itu pupus ditelan sejarah. []

Saturday 27 April 2013

SIAPA PEMIMPIN TOUCH N GO?

TOUCH N GO
Kebetulan Si Mazlan Ismail yang jadi calon BN Permatang Pauh ada sebut benda ini, "touch n go" maka, elok benar diulas. Sedarkah Si Mazlan ni apabila dia berkata bahawa pemimpin macam Anwar Ibrahim tu umpama pemimpin "touch n go," lepas pilihan raya nanti dia tak jenguk Permatang Pauh lagi dah! Sebagai orang baru dalam politik UBN Mazlan ni tidak rasa lagi bagaimana kalau dapat jawatan penting. Dia lupa bagaimana dengan Si Najib tu? Apakah dia bukan pemimpin "touch n go" juga? Berapa kali dia jenguk Pekan, Pahang? Dan Najib tu tinggal di Pekankah? Jangan nak kata PR, dalam UBN kebanyakan pemimpinnya adalah jenis "touch n go" -- sekarang tengah kempen pilihan raya. Semua calon pantang dengar ada orang kematian, kemalangan, kucing sakit, lembu sakit, semua nak bantu. Masa inilah nak tunjuk baik, setelah menang pilihan raya semuanya hilang selama empat tahun, masuk tahun ke lima apabila penggal nak habis baru timbul. Jadi, kepada Mazlan, nak kempen cakaplah baik-baik. Siapa pemimpin "touch n go" yang sebenar? Terlanjur sebut soal "touch n go" perkataan ini sudah lama diusung dek broker di Kuala Lumpur dan ada kaitan dengan Umno. Ia adalah projek juga. Kini kad ini digunakan dengan leluasa. Dulu bas Rapid berlagak ada mesin untuk top up "touch n go" -- lepas menteri rasmikan, semua hancur. Sekarang nak top up kena pergi stesyen LRT juga. Jangan fikir oh, UBN dah buat yang terbaik. Orang yang tak pernah naik bas, tak pernah naik pengangkutan awam mereka cakap sahaja pandai. Masalah rakyat bawahan mereka tak tahu.

RAMAN ADA UBAT
Itu yang dia cakap. Dia bakal berlawan dengan Azmin Ali dari Pakatan Rakyat. Sebagai doktor dia kata dia ada ubat. Ubat apa? Ubat untuk memenangi kerusi di Gombak. Raman kata rakyat sudah muak dengan permainan politik kotor PR. Setahu penduduk Gombak, yang main politik kotor hanyalah pihak UBN sahaja. Politik samseng baling batu ketika PR buat ceramah, bukan kotorkah? Samseng upahan buat kacau ganggu. Tidak usah dabik dada, ketika beliau diberi peluang jadi MP Gombak pun tidak ada apa yang beliau boleh buat di Gombak. Dan beliau kata, selalu turun padang. Sebagai rakyat di kawasan Gombak, tahu benar, padang mana yang dia turun? Padang sekolahkah? Ini semua kempen ketika nak pancing undi. Akan tetapi disebabkan dia juga membawa obor 1Malaysia, ada nama Najib, maka bagi pendukung Pakatan Rakyat, mereka akan tolak Raman di Gombak!

PEMBANGUNAN
Di sana-sini orang bercakap tentang pembangunan. Nikmat kemakmuran yang melimpah. Semua ini bukan di tangan manusia. Tetapi kita lupa, asyik sebut semua itu dirasai rakyat kerana Barisan Nasional. Inilah ajaran yang silap. Nikmat atau tidak yang rakyat rasai adalah ujian dari Allah SWT. Akan tetapi kalau pemimpin yang diberi kuasa sebagai khalifah sendiri tidak ada ciri-ciri kekhalifahan maka nikmat akan bertukar menjadi bencana pula. Sekarang di mana-mana orang bercakap bahawa segala apa yang rakyat nikmati sekarang adalah berkat usaha keras para pemimpin UBN. Yang rakyat nampak hanya pada fasa terakhir sebelum parlimen dibubarkan. Ketika itulah pihak yang berada di Pusat menghamburkan duit sesuka hatinya. Penghamburan duit itu kemudian dihebahkan sebagai bukti bahawa rakyat didahulukan. Tengoklah kaum wanita nak berniaga sampai periuk belanga besar pun diagih-agihkan. Banyak mana peniaga wanita yang dapat periuk belanga baru itu? Semua ini hanya untuk "snapshot" bagi paparan media propaganda belaka. Rakyat sudah bulatkan fikiran, Negara mana pun tetap ada pembangunan. Kerajaan mana pun yang memerintah mampu membawa pembangunan jika tidak ada sekatan. Kerajaan negeri yang ada banyak disekat oleh Pusat gara-gara kerajaan yang berlainan. Peruntukan seperti tidak berapa beres. Ketika nak pilihan raya sibuklah semua, seolah-olah tiada hari esok. Semua nak disegerakan hari ini juga. Teringat saya, ada grup UBN datang minta butir peribadi seorang OKU berusia 80-an yang nak minta bantuan baiki rumah. Sudah tiga kali grup "gelombang biru" datang. Alih-alih mereka kata tak ada peruntukan. Menjelang nak bubar parlimen baru-baru ini datang lagi minta butir-butir peribadi OKU tadi. Tidak ada sistem kerja langsung. Atau nak tunjuk lagak sebagai AJK parti kawasan? Sudah tiga kali minta perkara yang sama. Yang itu hari bagaimana bang? Hilanglah! Inilah cara kerja orang Umno peringkat bawahan [rujukan kes di Gombak, KL].
Kalau intai media UBN hari ini mereka dakwa, hanya kerajaan UBN sahaja yang boleh membela kebajikan penduduk di sesebuah kawasan tertentu. Maksudnya, kalau parti lain yang menang pilihan raya, mereka tak tahu nak buat apa. Duduk sahaja selepas menang. Macam ada kes di Nibung Tebal, dia kata sejak menang pilihan raya, pusat khidmat pun tidak dibuka! Ini cerita apa ni? Hakikatnya, pusat khidmat milik UBN sendiri pun banyak yang tak berfungsi. Jangan nak tuduh pihak PR sahaja. Yang tak jenguk kawasan pun ramai. Habis, rumah ada di KL. Bertanding sahaja di kawasan luar bandar. Habis pilihan raya duduk memerap di KL. Ini fenomena biasa. Jangan nak kata orang PR, orang UBN lagi sudah lama amalkan perkara ini. Hanya dulu, orang Melayu tak celik. Tak berani komen. Nak tegur YB pun tak berani. Zaman dulu jawatan Exco pun dah boleh simpan gunung emas. Sekarang? Sejak PR wujud dan semakin kuat, orang yang mengidam gunung dan bukit emas terpaksa berhati-hati! Ini kira sudah baik. Maknanya, PR telah membawa perubahan sikap kebanyakan YB yang ada. Jangan fikir nak bolot harta sahaja. Janji ditepati apa dia? Percayalah, lepas pilihan raya ini kalau UBN menang lagi, janji ditepati itu hanya kata-kata indah yang puitis! Masa ini, ketika kempen, kita tengok semua yang bergelar hebat-hebat sanggup duduk di warung, borak dengan orang kampung, yalah nak pancing undi. Mereka fikir orang kampung ni ikan baung dan siakap mereka? Pancing tu pancinglah. Jangan buat perangai lama. Sudah ada jawatan boleh larikan duit ke Bangladesh pula. Sudah ada jawatan boleh dapat kontrak membekalkan itu dan ini di tempat latihan budak-budak muda. Patutlah mereka hendak sangat adakan pusat latihan untuk belia tu, sebab semuanya duit. Itu lubuk duit yang orang kampung tak tahu! Semua aktiviti adalah lubuk duit.

MAHASISWA
Ada yang kata mahasiswa adalah golongan cerdik. Mereka sudah boleh membezakan yang baik dan buruk.
Tetapi ada orang marah kalau mahasiswa sokong PR. Kenapa? Sebagai golongan cerdik, mereka tahu mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka nampak kebaikan ada pada PR dan keburukan itu bersarang dalam UBN. Kalau mahasiswa sokong PR mereka tidak dipermainkan pun oleh pemimpin pembangkang. Jangan nak kata mereka tidak tahu menilai, atau mereka diperkudakan pembangkang. Habis siapa yang sokong BN pula bagaimana? Adakah mahasiswa yang sokong Umno itu orang cerdik? Sokong PR orang bodoh? Sebenarnya mahasiswa  tidak keliru dalam menerima apa yang ada. Jika mereka cenderung nak sokong PR biarkanlah, jangan kita kata mereka itu diperalat atau tidak reti berfikir. Rasanya, mereka yang condong sangat kepada UBN untuk mencari keselesaan adalah golongan yang tidak reti memilih. Ada orang kata banyak isu yang dimainkan pembangkang [PR] adalah isu bermusim, dan mahasiswa pula terpengaruh dengan isu itu. Dikatakan bermusim kerana sekarang musim kempen nak pilihan raya. Tidak salah mahasiswa atau tenaga pengajar di universiti sokong PR. Begitu juga kalau ada kalangan guru yang cenderung kepada PR -- itu menandakan mereka itu golongan cerdik.

Kalau kita tengok tv yang UBN kontrol hari ini, tidak ada berita yang baik tentang PR. Semuanya dihina, dinista, difitnah dan macam-macam lagi. Paparan ini akhirnya menjadikan rakyat muak. Rakyat mula menjauhkan diri dari propaganda media perdana. Mereka beralih mendengar ceramah. Itu sebabnya ceramah yang dibuat oleh PR mendapat sambutan hangat. Berbeza dengan ceramah UBN, mereka jadi ramai kerana kerahan "tenaga" yang keterlaluan. Semua jentera kerajaan dipergunakan walaupun ia bertentangan dengan peraturan tentang mana yang boleh dan tak boleh bagi sebuah kerajaan sementara?
Tetapi hari ini, kerja menghambur duit, menjanjikan dana sampai ratusan juta masih disebut oleh para pemimpin Pusat walaupun jawatan mereka terumbang-ambing. Kalau mereka kalah dalam pilihan raya kali ini bagaimana nak tunaikan janji itu? Fikirkan masak-masak. Percayalah, mana pihak pun jika diberi peluang menguasai Pusat mereka tahu bagaimana memerintah. Rakyat sudah muak dengan kerajaan UBN. Tidak ada perubahan yang rakyat lihat. Ubah sikit atau serah sikit kepada rakyat, tetapi pemimpin atasan kaut pula yang lebih. Kemudian mereka temberang mengatakan mereka sahaja yang tahu memerintah! Justeru itu MITOS yang mengatakan hanya UBN yang pandai memerintah negara perlu dimusnahkan! []

Thursday 25 April 2013

HURU-HARA KHAYALAN, 13 MEI JADI IGAUAN

Sehingga sekarang, orang masih ditakut-takutkan dengan momok 13Mei 1969.
Ketika itu saya masih bersekolah di Pasir Panjang, Sekincan, Selangor. Kampung kita ni dekat Sekincan, perkampungan orang Cina yang sekarang dikuasai oleh DAP. Ketika 13Mei, kalau hanya berdasarkan pasang telinga pada radio dan tengok televisyen hitam putih, maka umat Melayu tidak dapat cerita sebenar.
Kebetulan tadi [lepas Subuh] saya sempat menemani seorang lelaki berusia 80-an. Masih mampu berjalan dari rumah ke masjid. Inilah yang terbaik. Bukan rumah dekat pun nak start motosikal. Atau nak bawa kereta. Hanya dua pembalingan sahaja jaraknya.
Cerita bermula apabila melihat bendera BN dan Umno yang digantung di tepi jalan sudah luruh dek hujan dan angin kencang baru-baru ini. Lelaki berusia ini fikir, itu hasil dari perbuatan manusia yang tak suka parti tertentu. Saya kata, ia tidak ada kaitan dengan tangan manusia, sebaliknya kuasa Allah SWT yang menurunkan hujan lebat dan angin. Kalau bendera parti gugur pun tidak perlu nak berprasangka buruk.
Kemudian lelaki ini sentuh mengenai bakar kawasan pondok yang parti politik dirikan. Saya beritahu yang kena bakar adalah pondok pihak yang bukan BN. Maknanya pondok dari kumpulan Pakatan Rakyat selalu jadi sasaran bebudak jahat, bebudak upahan. Bagi duit mereka buat.
Peliknya saya kata, kenapa baik PM,TPM atau orang bawahannya tidak pernah sekali pun menasihatkan orang-orangnya agar menjaga imej dan jaga nama baik parti Umno dan BN. Cubalah mereka nasihat rakyat yang tidak sebulu dengan sesuatu parti agar jangan merosakkan bendera parti lawan, jangan pasang kain pemidang atau sepanduk yang menghina parti lawan, atau memasang sepanduk rekaan memburukkan PR dengan mengatakan akan tukar agama rasmi, agensi kerajaan dibubarkan, sampai semua nak bubar, hatta sistem beraja pun. Ini kerja siapa? Dari tangan dan minda siapa kalau bukan dari golongan yang bencikan Pakatan Rakyat.
Yang membakar hak orang lain, semua orang sudah tahu. Begitu juga apabila kita sentuh tentang 13Mei yang pernah dilaung-laungkan sebagai amaran kepada PR oleh pihak yang sedang berkuasa -- ia adalah huru-hara khayalan. Hal ini kemudian diberi bumbu dan rempah sehingga menggerunkan rakyat. Dikaitkan dengan Kumunis, dikaitkan dengan agenda pembangkang dan perkauman yang sempit.
Sudah berapa lama kita tinggalkan 1969 tetapi ia masih jadi hantu genderuwo, jadi cepet, jadi memedi, jadi pontianak dan macam-macam hantu jembalang untuk takutkan orang Melayu.
Bersama lelaki berumur tadi, tersebutlah nama-nama "pahlawan Melayu" tersohor pada ketika itu di Kuala Lumpur, antaranya Gunawan, Sukir, Man Tri dan beberapa nama lain yang ketika itu sangat digeruni.
Orang tidak tahu bahawa nama-nama "pahlawan Melayu" berketurunan Jawa dan Boyan itu turut memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya ketika "huru-hara khayalan" itu berlaku.
Semuanya berpaksikan kepada tindak-tanduk orang tertentu yang bermula dari Kg.Bahru [Balai Dato Harun sering disebut-sebut]. Masa itu berbagai jurus dan seni mempertahankan diri mahu digunakan sepenuhnya hinggakan ada kelompok yang mengamalkan pukulan jarak jauh, pukulan angin, "selempang merah" dan macam-macam perkara pelik ingin tumpang kegagahan.
Jadikan ia iktibar. Ketika itu memang dunia orang Melayu terlalu kecil. Mereka tidak tahu apa pun. Gangster Melayu pun bermaharajalela. Tengoklah dalam filem Melayu hitam putih, unsur gangster itu banyak dipaparkan. Hanya kerana berebut perempuan dedah aurat mereka bergaduh. "Jambatan Gesel" di Kg.Bharu jadi bahan gosip dan pergaduhan, pantang gesel nak berentap. Pendeknya masa itu seolah-olah berada di zaman gelap Melaka ketika ada banyak penyamun sampaikan Sultan pun ikut menyamar nak hapuskan penyamun.
Daripada laporan dan cerita lisan penduduk yang hidup sezaman dengan kejadian 13Mei, jelas "huru-hara khayalan" itu bukanlah kerana masalah perkauman. Bukan kerana sebuah parti memenangi pilihan raya dan mereka meraikan kemenangan itu. Sudah jadi tradisi, Kuala Lumpur adalah kawasan parti lawan. Sampai sekarang pun, "lambang keris" tidak mampu menawannya.
Kenapa pemimpin hari in tidak mahu menasihatkan ahli-ahli partinya agar berbaik sangka walaupun dengan parti lawan. Kenapa nak ugut dengan huru-hara semua? Bukankah ia hanya cerita hantu rekaan sahaja? Kejadian yang berlaku dulu adalah di luar jangkaan dan pemikiran Melayu pada ketika itu. Minda Melayu ketika itu masih berpaksi kepada jurus dan kekuatan senibela diri. Sekarang mereka sudah sedar, anak-anak muda hari ini tidak tahu apa tentang mitos ciptaan itu. Janganlah ditakut-takutkan lagi. Ketika kita sering bercakap mengenai kehebatan Malaysia yang penduduknya berbagai kaum, pada masa yang sama kita membenihkan rasa benci kepada kaum lain.
Contoh, sampai sekarang orang masih bangkitkan isu HUDUD dan KALIMAH ALLAH? Kenapa? Bukankah ini agenda yang sengaja umat Melayu bangkitkan bagi menimbulkan ketakutan baru kepada kaum lain? Jika begini, sampai bila pun perpaduan antara kaum di negara kita hanya utopia.
Kini Pakatan Rakyat telah berjaya membentuk parti pelbagai kaum yang unik. Tidak pernah rakyat melihat kaum-kaum lain seronok berdiri megah di bawah bendera bulan, bendera roket atau bendera PKR. Mereka tidak gerun.
Kaedah kempen yang dilakukan oleh para pemimpin UBN nampak menjurus kepada ketidakharmonian, mereka mahu memecahbelahkan rakyat. Mahu melakukan pecah dan perintah. Apabila telah berlaku keadaan tidak menentu baharulah mereka mahu melebarkan sayapnya sebagai penyelamat atau pelindung.
Kesimpulan cerita: Jangan kerana angin kencang, atau hujan yang menyebabkan bendera atau sepanduk parti jatuh melayang masih nak salahkan parti lawan. Pacak bendera lambang bulan atas pokok, masuk hari kedua bendera sudah hilang. Sedangkan bendera cap keris dan gelombang biru masih berkibar megah tanpa orang "bulan" dan "roket" usik pun! Inilah kefahaman seni berpolitik yang berbeza. Sampaikan ustaz nak berceramah tentang ilmu pun diganggu seolah-olah yang mengganggu dan yang bagi surat layang itu lebih baik tazkirahnya. "Kalau mampu, silakan bagi tazkirah hari Jumaat ini!" Ini cabaran untuk mereka.
Setiap hari bercakap tentang HUDUD seolah-olah ia undang-undang rekaan sebuah parti politik. Golongan ini usahkan menolak hudud, pengajian ilmu di masjid pun mereka gerun. Mereka hanya mahu tajuk terbaik, mengenai pembangunan luar bandar, bantuan untuk rakyat, keamanan dan kemakmuran negara. Mereka tidak dibenarkan orang bercakap mengenai kemakmuran pemimpin negara. Keserakan orang yang berkuasa membolot segala harta, tak cukup satu bukit nak bukit yang satu lagi, tak cukup dua bukit nak peluk gunung pula! Kalau boleh van jenazah yang mewah pun diperlukan untuk membawa jenazah ke perkuburan yang mewah! Kaya miskin, berpangkat atau tidak, glamor ata hina, semuanya masuk ke liang lahad. Jadi, tolonglah, jangan membina "huru-hara khayalan" setiap kali ada pilihan raya. Rakyat sudah bosan dengan cerita hantu begini. Wallahu a'lam. []

Wednesday 24 April 2013

IMAM MUDA MASJID DAPAT SURAT LAYANG GARA-GARA TAZKIRAH

ORANG Melayu masih ramai yang tak faham tentang Islam. Betullah kata para pentazkirah di mana-mana pun. Kita hanya faham Islam setakat luaran sahaja, ada solat Jumaat, ada puasa, ada uruzan jenazah dan nikah. Itu sahaja yang kebanyakan orang tahu. Lebih dari itu, mereka tak nak ambil tahu, atau sengaja mengelak jangan belajar lebih-lebih, nanti jadi tahu semua. Jahil lebih baik. Maka di sana-sini orang Melayu memang suka hidup dalam kejahilan.
Mereka seolah-olah mahu biarlah orang Melayu hidup macam keadaan dulu. Tak payah tazkirah lebih-lebih. Membosankan. Solat Jumaat seminggu sekali sudah cukup. Solat harian buatlah di rumah. Solat juga. Pada mereka solat berjemaah itu siapa yang nak buat, buatlah.
Kefahaman orang Melayu terhadap Islam memang setakat itu sahaja. Bagi orang Melayu yang tidak pedulikan agama, mereka anggap keadaan kehidupan sebagai Muslim sudah memadai setakat itu sahaja. Mereka tidak suka dengar tazkirah. Kutbah pun kalau boleh biarlah penuh dengan slogan seperti yang biasa dilihat melalui televisyen di rumah.
Ada nyanyian, ada tarian, drama cerita orang kaya, cerita usahawan Melayu berjaya dan cerita Melayu berdengkian.
Apabila ada ustaz yang juga secara kebetulan imam muda masjid di situ bagi tazkirah, maka beberapa orang AJK Masjid berkenaan sakit telinga.
AJK yang memang gemar naik sampan di kawasan gelombang biru tidak suka tazkirah yang mengupas hadis tentang kaedah memilih pemimpin. Kalau boleh janganlah dikupas dalam-dalam. Sebut sekali imbas sudahlah jangan nak diterangkan satu persatu. Pedih telinga mendengarnya.
Itu cerita dua minggu lepas. Dan pada minggu lepas, disebabkan tajuk kutbah biasa sahaja, saya solat di masjid itu. Hanya kalau kutbah itu nadanya lain, saya lebih suka pergi ke Masjid Pakistani, Chow Kit KL. Di sana rasa aman dan tenang jiwa dibuatnya.
Di masjid yang berdekatan rumah, ada pantangannya. Janganlah bagi tazkirah yang menyentuh soal memilih pemimpin, sekalipun itu hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam. Kalau ada ayat Quran yang bersangkutan pun, tolong ya, jangan dibacakan dan diterjemahkan untuk tazkirah hari Jumaat.
Tadi, ustaz yang juga imam muda masjid berkenaan kita undang bagi tazkirah di sebuah surau kecik. Jemaah tak ramai mana pun. Ustaz ini kita beri lampu hijau buatlah kupasan apa hadis atau ayat al-Quran apa pun, kita terima. Lagipun surau kita ini bukan ada pengaruh gelombang biru pun.
Sudah menjadi kebiasaan, pengayuh perahu di kawasan gelombang biru memang tidak gemar hadir ke majlis tazkirah begitu. Mereka hanya suka hadir kalau ada Maulidul Rasul, pakai baju Melayu sedondon, arak sepanduk, siap berselawat dan berarak keliling kampung. Itu dianggap sudah maha sempurna. Ia mengikut ajaran daripada pihak yang di sana.
Mereka juga hanya suka kalau ada solat terawih di bulan puasa. Sibuklah para AJK Masjid ini. Begitu juga kalau tiba masa nak korbankan lembu. Semua tunjuk muka. Siap ambil gambar, mengalahkan jurufoto akhbar. Sayangnya, blog masjid macam itu juga, tak ada pembaharuan.
Tadi, ustaz dari masjid ini beritahu jemaah, dia sudah dapat surat layang dari seseorang yang tidak diketahui siapa.
Tidak mungkin para jemaah yang hantar. Lagipun masjid yang kita sebut ini ramai jemaah keturunan Bangladeshi, Pakistani, Arab, dari Afrika dan sebagainya.
Kira hebatlah jemaah yang mendengar tazkirah kontot itu kalau dia boleh tangkap apa bahan yang ustaz terangkan. Maksudnya, bukan dia nak terima ilmu yang disyarahkan, sebaliknya tidak setuju. Apa ni? Jangan cerita politik dalam masjid. Inilah fahaman sekularisme yang telah ditanamkan lama di kalangan masyarakat Melayu.
Mereka yang tidak tahu apa akan anggap fatwa itu betul. Jangan wacanakan hal politik dalam masjid. Kalau begitu bagaimana ustaz hendak terangkan apa sahaja perkara yang berkaitan dengan bab memilih pemimpin, ketaatan kepada pemimpin kalau tidak menyebutkan nasnya sekali.
Surat layang itu sudah diagak ia datangnya dari puak gelombang biru. Sampai bila pun puak ini tidak mahu menerima pencerahan sebagaimana pemimpin atasannya juga.
Kawan-kawan jemaah beritahu ustaz muda, teruskan bagi tazkirah yang begitu rupa. Saya katakan, kalau Masjid Jamek LRT Kuala Lumpur sudah buka, tazkirah politik mesti diutamakan, nak pilihan raya tak kan cerita politik tak boleh?
Begitu juga ketika saya hadiri kuliah di Perkim, semua ustaz bicara tentang pilihan raya. Mood sudah ke situ sekarang. Mana-mana pun orang cakap tentang memilih pemimpin. Kalau tak betul nanti kita akan ditanya di akhirat. Kita subahat dengan pemimpin yang telah kita undi, yang telah kita pilih. Pemimpin yang adil itulah yang kita mahukan.
Agaknya, disebabkan AJK masjid itu pengecut, atau hanya nak tunjuk lagak kebiruan, dia hanya setakat hantar surat layang. Nasihatkan ustaz agar jangan cerita bab politik lagi. Ceritalah bab sejarah Nabi-Nabi atau sejarah para sahabat. Habis kalau kena bab tentang siyasah bagaimana nak cerita? Lompatlah, jangan sentuh sangat.
Pening! Maka ustaz yang nak bagi tazkirah kena tengok dulu siapa audiennya. Gelombang biru atau gelombang hijau. Gelombang biru muda tak ada hal. Sebagai seorang ustaz dia kena sampaikan ilmu tentang politik. Tidak perlu layan kehendak AJK yang tidak tahu apa. Sudahlah jenguk masjid seminggu sekali, atau ketika ada upacara macam Maulud Nabi, korban lembu atau penyampaian sumbangan untuk anak yatim, ada ucapan politik, siap lambang politik dibawa masuk masjid.
Patutlah masjid itu tidak ramai jemaahnya. Hanya ada satu saf. Itupun tak penuh. Yang datang muka-muka itu juga. Muka AJK tenggelam timbul, bahkan langsung tak ada pun!
Jadi kepada ustaz muda tadi, kami bagi semangat agar teruskan berwacana berdasarkan ilmu. Biarlah gelombang biru sakit telinga. Apabila mereka sudah "terhantuk" nanti barulah rajin nak ikuti majlis ilmu. []

Tuesday 23 April 2013

KERIS SINGAPRAGA BALI LEBIH SAKTI DARI TAMING SARI

Cerita bab keris ini tentu tidak ada kaitan dengan politik langsung. Kecuali siapa yang perasan akan lambang sebuah parti politik yang ada gambar keris. Keris bukan milik Melaka, milik Melayu sahaja, orang Bali pun ada keris. Jika kita megah dengan Taming Sari yang sudah tercampak dalam laut [?] di Bali mereka megah kerana ada keris SINGAPRAGA.
Keris ini sesuai dengan namanya, memang hebat macam kita terserempak singa di kawasan hutan. Ibarat kita nampak singa dan mendengar aumannya, maka begitu jugalah impak maksima daripada keris Bali ini.
Mpu yang mengetuk besi merah ketika nak buat keris itu fikir, dia ingin membuat sebilah keris yang akan menjadi kenangan sampai bila-bila pun. Orang tidak akan kenang siapa ketuk besi untuk buat keris. Mpu yang ketuk besi tidak fikir pun suatu hari nanti keris ciptaannya menjadi barang sakti, digeruni musuh atau dimitoskan berlebihan.

SEJARAH
September 1906, kapal Belanda De Hertog Hendrik telah menyerang Bali. Tiga kraton di kawasan pantai menjadi sasaran -- Puri Kesiman, Puri Denpasar dan Puri Pemecutan [majalah Liberty, ed.2437, 2011].
Ketika serangan itu, orang Bali sudah bersedia pun dengan rajanya berada di barisan depan. Inilah yang sepatutnya. Raja kena berada di depan melindungi rakyat, bukan rakyat melindungi istana. Dah terbalik. Mereka siap menentang Belanda, kerana mereka fikir lebih baik mati daripada dijajah orang putih!
Sang Raja bernama Gusti Ngurah Made Agung isytiharkan perang yang dipanggil Perang Puputan.

Apa senjata orang Bali ketika itu?
Mereka telah mempersiapkan senjata pusaka yang mistik. Tombak dan keris pusaka dikeluarkan. Inilah masanya nak menguji sejauh mana kehebatan mistik orang Bali. Pusaka keris dan tombak itu mereka kata adalah yang terbaik!
Kenapa mereka berani menentang kapal Belanda itu?
Mereka jadi pemberani begitu kerana di dalam kepercayaan mereka bahawa tombak dan keris pusaka itu benda sakti. Ia benda bertuah yang mempunyai roh dari nenek moyang mereka.
Mereka juga yakin bahawa sekiranya mereka memegang keris sakti itu, badan jadi kebal tak lut senjata Belanda.
Mereka anggap dengan menghunuskan keris ke arah kapal Belanda, peluru yang kapal Belanda lepaskan akan terkena keris dan terus melemah. Mereka juga yakin kalau keris dihunuskan, peluru akan tersasar ke tempat lain.
Dengan menghunuskan keris sakti itu, musuh akan langsung lemah dan rebah tanpa perlu berlawan.
Mereka berani berdepan dengan orang Belanda yang mendarat di pantai. Lawan secara itu memang gaya orang bertombak dan berkeris. Dan perlu diingat, mereka jadi berani kerana mereka memiliki keris Singapraga yang kalau dihunuskan ke arah Belanda, mereka jadi gerun seolah-olah melihat singa yang sedang menerkam.
Raja Gusti Ngurah tadi berbekalkan keris Singapraga melawan Belanda. Nasib tidak baik, dia tidak kebal pun, Sang Raja gugur di medan perang. Keris sakti masih tergenggam di tangan.
Tentang keris ini mereka kata, ia sudah terkena peluru Belanda. Keris itu sumbing. Ada yang kata berlubang. Yang benar kata Ngurah Wijayaninggrat, kerabat dari Puri Satria, keris sakti itu sumbing dan bengkok sikit.

ASAL KERIS
Keris sakti Singapraga ini asalnya hadiah dari Raja Denpasar [teringat lagu "Denpasar Moon"] kepada pewarisnya Ngurah Made. Cerita keris tidak jelas sangat. Sebab ada sumber mengatakan keris itu sudah berada di tangan Belanda. Sebelum meninggal Sang Raja Cokorda Satria telah menghadiahkan keris itu kepada Ngurah Made [1789M].
Kalau benar seperti cerita tadi, Raja Bali terkorban dengan keris berada di dalam genggaman, ia memberi makna bahawa keris itu tidak ada kesaktian apa pun. Tidak menggerunkan dan tidak sakti. Memang ia barang pusaka. Benda pusaka tidak semestinya sakti belaka.
Disebabkan tentera Bali percaya kepada mistik, sedangkan Belanda yang tak ambil kisah, maka pertempuran tadi tidak seimbang. Belanda seolah-olah melawan senjata pusaka yang mistik.
Terbukti, kerajaan Denpasar runtuh dan dikuasai Belanda kemudiannya. Keris dibawa ke Belanda. Disimpan di Muzium Leiden. Pustakwan Belanda, David Stuart Fox beritahu, barang pusaka itu memang pernah berada di negeri Kincir Angin tetapi kemudian dipulangkan ke Indonesia [mungkin benda mistik itu membawa gangguan agaknya].
Menurut sumber, keris ini disimpan di Muzium Gajah, Jakarta. Hanya yang menjadi bahan cerita, apakah keris itu memang keris asli atau keris buatan yang lainnya? Keris yang dikatakan sakti itu telah mengorbankan Raja Bali dalam Perang Puputan dengan Belanda. Bagi kalangan tertentu mereka kata itu bukan keris pusaka yang asli, kalau asli Raja Bali tidak akan terkorban ketika memegang keris. Bayangkan, dalam cerita lisan mereka, keris sakti Singapraga itu kalau dihunuskan ke arah musuh, musuh boleh tumbang macam jurus sakti tenaga dalam juga.
Sebetulnya keris Bali dan keris Jawa ada kaitan. Ketika pasukan Majapahit masuk ke Bali, salah seorang ketuanya dibekali senjata keris Majapahit oleh Patih Gajah Mada. Apabila runtuh Majapahit, keris dari Majapahit masih tersimpan di Bali dengan banyaknya. Ada yang mengatakan banyak tukang buat keris dari Majapahit ikut sama ke Bali untuk mengetuk besi panas. Jadilah rekaan baru, keris Bali pula. Keris Bali lebih besar daripada keris Jawa. Panjang keris Bali sampai 45 cm.

SINGAPRAGA
Untuk meraikan sebilah keris diadakan satu upacara khas. Keris akan dikeluarkan dan diarak. Orang yang berarak turut membawa keris masing-masing. Dua pendeta Siwa dan Budha melakukan ritual ke atas keris sakti itu di suatu tempat.
Keris diaturkan di atas meja. Untuk upacara itu, gamelan dimainkan, seterusnya ada majlis "doa arwah" secara mereka. Mereka kemudian melakukan "Tumpek Landep" ke atas keris pusaka yang ada. Maksudnya seperti menjamas atau "melimaukan" keris.
Begitulah kisah sebilah keris yang dipanggil Singapraga. Atas kertas, keris itu dikatakan sakti, barang pusaka dan banyak kesaktiannya. Ia boleh dijadikan senjata untuk mengalahkan musuh. Sebaliknya apabila Raja Bali benar-benar yakin bahawa senjata itu boleh membawa kekebalan diri, maka dia sendiri yang terkorban. Tidak ada ralat pun yang mereka katakan. Sehingga ada yang pertikaikan apakah keris itu ori atau tidak. Kalau ori tak kan keris pusaka boleh sumbing terkena peluru Belanda?
Di sinilah ada percubaan membina mitos keris Singapraga bagi tujuan menyelamatkan kesakralan keris agar ia tetap agung, tetap sakti di mata pemujanya.
Paparan ini masih merupakan gambaran keyakinan dan kepercayaan sekelompok umat terhadap benda-benda yang dianggap mistik. Setelah diuji maka terbukti ia tidak membawa kesaktian kepada pemegangnya pun. Cerita dan fakta bertembungan. Wallahu a'lam. [ Penulis adalah pengamat budaya dan pernah menyelenggarakan majalah bulanan INTISARI].

PENJARAKAN ARWAH DALAM PERIGI, BETULKAH?

[Lagi 10 hari nak pilihan raya] Sementara ada yang berserabut membaca laporan di sana-sini tentang fitnah, kempen, pembohongan dan macam-macam lagi berkaitan politik bandar dan kampung, mari kita tengok keanehan manusia di suatu tempat bernama Srandil, Cilacap Jawa Tengah.
Diharap tidak ada sesiapa nak ikut jejak langkah mereka. Kerana ia hanya amalan penghayat kepercayaan di sebuah padepokan  yang membuatkan kita melihat kelakuan mereka begitu aneh.
Aneh dalam menanggapi sebuah perigi. Bukan sahaja airnya konon sangat bertuah untuk melunaskan apa hajat pun.
Jangan hajat nak menang pilihan raya pun ambil air perigi ini? Ke sumur ini untuk mendapatkan keberkatan selain ziarah di situ.

Kenapa perlu ziarah ke sumur?

Di dalam perigi itu airnya sangat bertuah. Dikeramatkan orang.
Pengurus padepokan di situ kata, ada 168 sumber mata air yang mengalir ke perigi itu sehingga walau musim kemarau pun airnya tetap ada.
Ambillah banyak mana pun baik untuk cuci muka, mandi, untuk menyembuhkan penyakit, melancarkan jodoh, melancarkan rezeki yang seret -- konon air perigi ini jadi rebutan.
Perigi ini orang panggil Perigi Nini Ragil Kuning.
Gelaran ini memberi maksud Si Nini itu memang anak yang "ragil" dan bergelar Si Kuning [mengikut kefahaman setengah orang].
Sama juga kalau kita sebut Perigi Nenek Si Tunggal Kuning.
Tidak ada pula orang yang tahu mengenai sejarah nama itu.
Siapa tokoh yang dimaksudkan?
Bagaimana boleh dinamakan Nini Ragil Kuning pula?
Di situ ada makluman tercatat: Bagi mereka yang nak ambil air perigi ini elok datang pada hari Khamis Wage.
Orang situ menyebutnya Sumur Kawak.

Apa lagi yang menganehkan di situ?

Nah, perigi yang satu ini merupakan penjara bagi arwah-arwah yang merayau ke hulu-hilir atau mengganggu orang lain.
Dalam masyarakat yang mempunyai kepercayaan begini, arwah gentayangan, arwah penasaran dan bermacam tuduhan sudah menjadi lumrah.
Kenapa arwah begitu penasaran dan gentayangan?
Mereka kata, disebabkan ada seseorang yang mati dalam keadaan tidak sempurna.
Maksudnya, mungkin yang bunuh diri, terjatuh, dibunuh dengan kejam atau berbagai jenayah lain.
Bagi kalangan yang menghayati kepercayaan begitu, setiap ada orang mati, kalau matinya tidak sempurna, iaitu bukan mati sakit tua atau mati kerana sakit lain, maka konon arwah si mati akan merayau-rayau tak tentu hala.

Tahu keadaan arwah

Mungkin orang akan bertanya, bagaimana mereka boleh tahu ada arwah merayau-rayau masuk kampung dan ketuk rumah orang? Atau, memang sudah jadi gosip kampung, ada tukang sibuk mengatakan itu dan ini tentang arwah itu.
Di perigi yang dikeramatkan itu ada sebuah padepokan.
Setiap hari ada sahaja orang menziarahi perigi itu. Bagi yang "mengetahui" arwah sanak saudaranya telah dipenjarakan dalam sumur itu maka mereka datang ke situ seolah-olah ziarah kubur juga. Tetapi di perigi itu mereka ngalap berkah -- atau mengharap mendapat keberkahan; mereka duduk mendoakan arwah saudara-mara mereka yang dipenjarakan di situ.

Ruang penempatan

Keanehan atau mitos yang terjadi di perigi ini adalah wujudnya kepercayaan terhadap penjara si mati. Ia seolah-olah satu ruang lain yang dicipta manusia untuk menempatkan arwah yang penasaran. Bagaimana mereka boleh tahu arwah itu begitu dan begini? Ini juga suatu keanehan bagi kita yang berada di luar masyarakat penghayat kepercayaan sedemikian.
Dekat perigi itu diletakkan altar.
Di situ ada buah-buahan, ada bunga berbagai jenis, ada colok atau bakaran colok mahupun setanggi. Mereka yang datang akan duduk bersila dan berdoa di situ.
Di atas altar itu orang boleh letakkan sesaji yang dibawa. Tak kiralah apa pun.
Menariknya di situ ada semacam penandaan lokasi atau "kimsim" yang dikaitkan dengan Ratu Kidul, Kaki Semar [watak wayang kulit Semar ada kaitan Gunung Merapi] dan Prabu Brawijaya.

Kelegaan rekaan

Yang menguruskan perigi itu kata, ia dibuat begitu bagi memberikan rasa lega kepada keluarga si mati. Lagipun di dalam dunia kepercayaan mereka, setiap orang yang mati arwahnya berada dalam keadaan tidak sempurna. Jadi penyempurnaan itu perlu dilakukan dengan mengadakan ritual tertentu.
Sudah tentu ritual ini mengikut kepercayaan mereka. Penjara yang dimaksudkan bukanlah dengan menyediakan jeriji besi agar arwah tidak lari.
Bukan itu caranya, ia hanya pengibaratan. Jika arwah tidak menganggu orang kampung dan keluarga si mati, maka ia dianggap sudah dipenjarakan.
Di dalam kelompok masyarakat yang percaya kepada benda-benda mistik dan karut, mereka anggap setiap ada kematian, arwah si mati akan berkeliaran mengganggu orang.
Kalau dia mati tidak sempurna seperti, sudahlah dirogol dicekik pula, maka arwah akan marah-marah kerana kematiannya seperti dipaksakan.
Begitulah keyakinan mereka. Dalam perkara ini golongan berilmu tidak mendekati perigi apa lagi padepokan yang menyemarakkan kekeliruan di kalangan masyarakat.
Ketika golongan penghayat kepercayaan ini melakukan ziarah, bukan tidak ada golongan yang berada di luar lingkungan sibuk mendapatkan air perigi kerana terpengaruh dengan kelakuan orang lain. Inilah yang dinamakan ikut-ikutan. Begitulah salah satu keanehan yang dikaitkan dengan perigi dan kematian. []


Friday 19 April 2013

GENDANG "PERANG" DIPALU JANGAN GENDANG WAKTU SOLAT

LEPAS ni apa lagi. Kena terus jalanlah. Buat kerja. Akan tetapi pengundi hari ini tidak macam pengundi zaman Mahathir atau Hussey Oh [jiran saya sebut gitu]. Mereka bukan boleh dirayu lagi macam dulu. Janganlah bagi topi atau baju T.
Mereka ambik, tapi tak pakainya.
Bagi air mineral kecik [macam UBN buat, siap ditulis: "DIPEK UNTUK Ibu Pejabat Barisan Nasional, Pwtc."
Cap: Pencapaian Diutamakan.

ALAT
Orang kata BN tidak akan guna alat kerajaan?
Itu cakap di luar. Hakikat sebenarnya, mereka terus guna media mereka dan segala alat untuk kempen menghentam peribadi atau parti politik lawan.
Kalau nak perang yang betul-betul perang, kedua-dua pihak kena bersedia.
Ada senjata masing-masing. Jangan musuh disuruh guna batu dan lastik dan kita guna mesingun dan bom mortar dan sebagainya.
Kena guna senjata yang lengkap baru boleh bertempur, biar sepadan.
Akan tetapi adat pertempuran politik di Malaysia sejak zaman mandi air telaga lagi, semua alat kerajaan dikerah untuk menghentam musuh politik.
Yang nak perang hanya orang politik, para pegawai kerajaan kena duduk diam-diam jaga jabatan masing-masing. Nak sibuk buat apa?

PANGLIMA PERANG DI MASJID
Begitu yang duduk dalam jabatan tertentu termasuk jabatan yang konon jaga masjid dan surau. Mereka sibuk nak atur pertemuan orang masjid bersama "panglima perang" UBN. Ini sudah melanggar peraturan perang namanya.
Apabila penamaan calon dah dibuat, alat-alat kerajaan tidak perlu berfungsi memberi bantuan kepada orang yang nak berperang.
Sebaliknya ada ketua jabatan yang buat tidak peduli. Dia masih fikir seolah-olah jabatan dengan parti politik yang dia cintai itu sama sahaja.
Yang nak perang bukan ketua jabatan. Dia patut duduk diam-diam dan jangan sesekali guna masjid untuk nak "tembak" musuh. Itu pengkhianatan namanya.
Kalau nak tembak juga di masjid dan surau, hantar penceramah yang hebat-hebat, tetapi kena bercakap atas landasan ilmu. Bagi pencerahan mengikut dasar ilmu. Kupas hadis tentang bagaimana pilih pemimpin dengan betul jangan nak sorok-sorok. Begitu juga tafsir ayat al-Quran yang disebut sebagai pendalilannya.

KARAOKE KIRA OKAY PULAK?
[Semalam di sebuah surau kecik, selepas tazkirah, saya diberitahu di Gombak ini, ada surau kecik yang tak boleh langsung adakan tazkirah. Ustaz dari masjid berdekatan pun tak nak jenguk. Sebab apa? Orang tak ada. Ada tiga orang sahaja buat apa? Padahal penduduk di situ bukan main ramai. Tapi jangan buat acara karaoke atau makan-makan time Ramadan, jauh bezanya. Dan ada jemaah surau bagi tahu dulu ada orang mati ketika sedang syok berkaraoke! -- nampaknya tempat tu kena pencerahan].
Walaupun gendang perang dah boleh palu.
Kelompok Pakatan Rakyat sebenarnya dah palu lama, kalau nak bandingkan dengan media UBN mereka bukan palu sahaja, malah balun sama. Awal-awal dah kempen.
Kasi gerun kepada rakyat jangan undi PR nanti negara huru-hara.
Atas alasan akademik apa mereka kata begitu?

SEGUNI CILI MERAH
Pendeknya, sebab ia disebut oleh panglima perang mereka. Cubalah ia disebut oleh panglima perang PR, dah lama seguni cili merah penuh laporan telah dibuat di bawah akta hasutan.
Hanya rakyat berharap, kempenlah dengan cara baik. Cara orang Melayu kempen macam mana. Kena berpaksi kepada Islam. Kempen-kempen jugak, solat jangan tinggal, doa kena ada. Kita berikhtiar, kalau tentera yang nak perang pun berkelakuan macam panglimanya yang tak tentu hala, strategi perang yang cantik pun belum tentu berhasil.
Ini perang bukan main-main. Bukan acah-acah macam di Lahad Datu [nampaknya orang tak ghairah nak sebut Lahad Datu lagi].
Perang kali ini akan menukar lanskap pemerintahan di negara kita.
Rakyat segenap lapisan memang berharap kita dapat tukar kerajaan. Rakyat sudah jemu dengan UBN. Mana-mana ahli parti yang dah berlumut pun mereka dah jemu, elok tukar parti lain.
Kita nampak senario ini sedang berlaku dalam diam-diam.

PROTES
Cara mereka protes sebab tak dipilih untuk jadi calon idaman -- biasanya mereka dah tentukan nak jadi Adun atau MP. Orang yang ada kedudukan sikit nak calon MP. Calon Adun buat apa? Kita jawatan besak dalam parti, tak kan tanding DUN? Apala!
Kini akibat pencalonan yang dibuat hari ini, kita boleh tengok mana yang ada calon BEBAS. Ia hanya alat yang dimainkan oleh seseorang. Lagipun yang bernama PARTI BEBAS memang tak ada di negara kita. Ia hanya penyendal untuk buat gangguan atau menguji populariti, atau nak pecahkan undi, atau nak lepas geram. "Kamu tak pilih aku ya, tengok nanti, aku buat pencalonan sebagai calon BEBAS!" Memang pada dasarkan ia bagai melepas geram, salah satu tunjuk perasaan walaupun dia benar-benar hantar borang pencalonan, dan tidak kurang juga yang hendak berniaga atas angin [kena faham maksudnya].

GENDANG SABAN MALAM DAN SIANG
Apabila gendang perang sudah dipalu, kita tak boleh tidur lenalah. Gendang berbunyi saban malam atau siang. Atau pintu rumah diketuk bertalu-talu. Ada yang bagi salam. Selit kertas putih di celah pintu suruh datang dengan ceramah dari pembantu panglima kecik. Inilah yang mereka lakukan sekarang.
Debaran semakin memuncak.
Tentera yang berperang entah mana yang terkorban, tidak diketahui lagi.
Kita juga harap pada masa kempen ini tidak ada sesiapa gunakan batu, kayu, botol air mineral, telur tembelang, taik kucing, taik keras, atau apa sahaja asalkan boleh dicampakkan.
Jangan gunakan cat apa warna pun untuk buat kacau ganggu.
Dan kita harapkan pihak yang menjaga keselamatan dan nak menegakkan undang-undang perlulah berlaku adil.
Kalau kerajaan yang ada bertukar nanti, tak ke rasa malu?
Atau baru nak mintak maaf kerana berkelakuan ganjil ketika kempen pilihan raya baru-baru ini?
Kemudian, tak perlulah buat kain pemidang palsu. Ada gambar pemimpin PR tetapi yang ditulisnya adalah kebalikannya. Ini adalah cara biasa yang dibuat oleh tentera perang saraf termasuk tentera semut dan kerengga UBN.
Masak dah! Nak sorok apa benda?

JANGAN GENDANG WAKTU SOLAT
Gendang dah dipalu, hanya diharapkan janganlah bergendang waktu orang solat.
Jangan bergendang tak mengira masa.
Orang nak rehat dan nak tenangkan fikiran.
Kita bukan perang guna senjata sampai nak bunuh orang.
Kita gunakan apa? Kita gunakan media, mulut, minda, alat bantuan sekadarnya.
Jangan gunakan bom, jangan gunakan kayu, parang panjang, pedang samurai atau apa sahaja senjata tajam termasuk jarum peniti. Kita bukan perang macam di Syria tu, kita hanya perang perasaan. Lepaskan geram di kertas undi, jangan lepaskan geram dengan koyak bendera, baling cat atau tumbuk tentera lawan.
Nama sahaja perang, tetapi kita bukan nak kasi cedera dan mati di pihak lawan. Kita perang manifesto. Jangan tiru manifesto lawan. Tak baik. Itu dah dikira kalah namanya.
Kalau tentera yang nak perang boleh kalah disebabkan air mineral 350ml memang teruklah pasukan kita. Lawan tetap lawan, barulah perang namanya. Wallahu a'lam. []

HUBUNGAN DALAM PAKATAN MAKIN PADU. TERIMA KASIH ABANG ROS!

Abang Ros fikir dengan cara cari hal, ganggu DAP  nak menghadapi pilihan raya, hubungan dalam Pakatan Rakyat akan jadi lintang pukang. Bayangkan di saat akhir, bagai permaian bola dalam masa kecederaan semua nak buat dalam sekelip mata. Itulah yang Abang Ros kenakan kepada DAP.
Dalam pada itu kena hati-hati juga. Ada agenda di sebalik semua cerita ini. Memang kalau boleh pihak BN nak menang selesa, pencalonan ditolak. Walau ada yang kata, DAP masih boleh sertai pilihan raya dengan menggunakan logo DAP [Roket].
Hanya, Pakatan Rakyat sedia memahami, semua ini adalah "perangkap" yang boleh mengena di saat akhir.
Kalau pihak Umno terkena bagaimana? Mungkin mereka akan kata tidak ada demokrasilah, tak acilah dan macam-macam tuduhan.
Akan tetapi betapa tenangnya para pemimpin DAP.
Mereka tahu, inilah saatnya mereka kena bertindak dengan hati-hati jangan gelojoh.
Walau guna logo DAP masih boleh, tetapi cakap yang macam main-main itu jangan dipedulikan. Kejap itu dan kejap ini. Memang jadi tak tentu arah.
Paling mudah, tetapkan satu keputusan. Dan kena semak juga dari aspek perundangan. Teliti betul-betul fasal dan perkaranya. Ini bukan hal mudah kalau orang itu tidak mahir.
Akhirnya DAP memutuskan akan guna lambang PAS. Inilah kesatuan yang ada dalam Pakatan Rakyat. Tindakan Abang Ros benar-benar menguji dan sedang diuji.
Apa pun tindakan berhati-hati ini sudahnya menjadi tamparan kepada pihak Umno dan BN.
Dari dulu lagi pihak UBN mahu lihat DAP sebagai musuh no.1. Kalau boleh biarlah DAP itu terus digeruni dan dibenci oleh orang Melayu terutamanya.
Tanpa disedari, orang Melayu sendiri sudah mula tunjuk protes. Mereka tayang kepada para pemimpin Umno, lagi mereka tak suka DAP, lagi ramai Melayu sertai DAP. Lagi ramai Melayu undi DAP. Itu gambaran betapa mereka menyampah sangat dengan orang UBN.
Rasanya DAP tidak ada masalah untuk memenangi mana-mana kerudi di bandar seluruh negara. Justeru kini, pengundi dan penyokong DAP kena faham, undi calon PAS adalah juga undi calon DAP. Undi calon PKR adalah juga DAP. Akhirnya, benar seperti analisis yang dibuat dari luar negeri, kedudukan parti dalam Pakatan Rakyat semakin padu.
Jika dulu orang kata Roket tidak akan sampai ke bulan, kini Roket benar-benar telah mendarat ke bulan. Sudah pacak bendera pun. Tak terkata apa puak-puak yang berkira nak runtuhkan Pakatan Rakyat.
Tindakan Abang Ros juga memperlihatkan betapa janggalkan sistem yang diamalkan pihak BN terhadap parti yang tidak sealiran dengannya.
Kini rakyat sudah memahami kenapa Abang Ros bertindak begitu. Lain yang dirancang, lain pula yang menjadi. Wallahu a'lam. []

KASIHAN DIA, BERKAWAN DENGAN SYAITAN KUBURAN

Kekadang pelik juga manusia ini dalam menanggapi makam lama. Pantang tengok ada makam pelik sikit, jauh dari keramaian atau di tepi bukit, tepi gunung dan sebagainya. Makam yang pelik ini selalunya dijadikan tempat untuk "ngalap berkah" -- sedangkan makam itu tidak memberi apa-apa kepada orang yang sibuk mengalap keberkatan di situ. Yang dia ngalap hanya amalan syaitan sahaja. Lagi lama seseorang itu mengalap keberkatan di kuburan itu lagilah bagus. Kalau pengalap mengharapkan kehadiran makhluk ganjil, maka syaitan penipu pun hadir menyerupai sesiapa sahaja mengikut kesukaan orang itu. Bukan penulis blog ini suka dengan amalan ngalap keberkatan begitu, sebabnya ia sudah menjadi semacam budaya sejagat, asal ada kubur lama, kubur tunggal, nisannya pelik, atau jaraknya jauh, atau terletak bawah pokok ara dan sebagainya, ada sahaja si bodoh yang mencipta cerita berkaitan dengan kewujudannya.
Contoh ada sebuah makam lama. Biasanya makam lama itu tidak diketahui siapa pemiliknya. Maka kalau ditanya orang sana-sini tak ada siapa beritahu. Kalau ada pun mungkin jawapan yang tidak tepat. Umpamanya, makam siapa itu? Oh, itu makamnya Pak Roro Kepyar! Si Kepyar tu siapa? Soal muasal makam itu tidak dipedulikan sangat. Lagipun tidak ada tanda nama pada makam lama itu. Jadinya, kalau ada seseorang itu yang kerjanya memang asyik dengan kubur lama, dia sanggup mengaku jadi tukang tengok-tengok makam atau jurukuncinya. Makam lama itu tidak ada pagar, tidak ada pintu, jadi jurukunci tak perlu. Nak dijaga pun tak perlu. Tetapi istilah perantara yang selalu hubungkan antara makam lama dengan penziarah tak tahu apa untuk ngalap keberkatan akan merujuk kepada jurukunci.
Ada cerita, disebabkan lama sangat orang itu tengok-tengokkan makam, dan dia pun berharap agar mendapat sesuatu, maka suatu ketika muncullah makhluk khayalan di depannya. Makhluk khayalan itu tidak diketahui datang dari mana. Maka di depan orang yang berharap itu, makhluk khayalan mengaku lebih kurang begini, "Akulah penghuni makam lama ini, aku selalu melihat kamu datang ke sini menjaga makamku."
Orang yang berkhidmat dengan makam lama itu bukan nak lari kerana ketakutan. Dia malah senyum suka.
"Siapa nama kamu?" Maka makhluk khayalan itu menjawab: "Akulah Puteri Kepyar!"
Kenapa orang tua ini suka sangat jenguk kubur lama? Ikut ceritanya, dia ni seorang seniman. Seniman yang suka bercakap seorang di depan kain putih yang dipanggil kelir. Dia seniman wayang kulit. Dia kena bercerita dan berdialog mengikut skrip yang sudah ada dalam kepala. Disebabkan zaman orang tengok wayang sudah menurun, bahkan kesenian ini semakin dilupakan orang, dia pun pergi makam seolah-olah nak mengadu hal. Tipe orang jenis ini memang tidak suka datang ke surau atau masjid agaknya. Seharian lepak di makam lama buat apa?
Untuk mempercantik episod, dia pun melakukan sesuatu yang biasa orang panggil lelaku. Di dalam lelaku tadi termasuklah mengadu hal kepada makhluk ciptaan Si Puteri Kepyar tadi. Apakah makhluk ciptaan ini akan menolong seniman wayang kulit? Untuk membina cerita yang masuk akal dan yang tak masuk akal, konon setelah lelaku beberapa kali di makam itu, alih-alih, ada orang mencari dia. Ada orang mahu gunakan khidmat dia. Istilahnya ada orang menanggap wayang kulit. Nak ajak dia main wayang kulit di suatu tempat keramaian. Ini sudah kira baik, wang boleh masuk. Satu show berapa bayarannya?  Cerita seniman tadi antara masuk akal dan tidak, dia kata, konon orang yang menanggap wayang kulit itu bukan dari kelompok manusia biasa. Habis siapa? Siapa lagi kalau bukan sekumpulan masyarakat makhluk halus juga. Jadi dia telah mendalang di perkampungan makhluk halus, entah perkampungan bunian, entah perkampungan jin baik atau perkampungan syaitan.
Balik dari mendalang di perkampungan yang serba misteri itu Pak Seniman ini mendapat wang yang banyak. Luar biasa. Dia dengan krewnya pun hairan. Wang dari alam misteri itu dibelanjakan macam biasa. Ada yang disimpan untuk dijadikan ibu duit. Keyakinan kepada apa yang disebut sebagai ibu duit ini adalah peniruan dari seberang. Orang Malaysia tidak tahu menyebut istilah ini. Ibu duit itu adalah duit biasa. Contoh wang RM1 atau RM5. Diserahkan kepada seseorang yang pintar kelentong. Dia kata boleh buatkan ibu duit. Kerana ibu itu melahirkan. Dia tak kata bapak duit. Di mana-manapun mereka sebut begitu. Ibu duit. Konon duit yang dia dapat dari hasil mendalang wang kulit tadi disimpan untuk dijadikan ibu duit.
Berkat menyimpan ibu duit, duit itu konon beranak, dan dia pun hairan, dia sentiasa ada duit. Bukan itu sahaja, sejak itu dia mendapat undangan mendalang wayang kulit sebagai acara kesenian. Pertunjukan di minggu budaya atau sekadar pamer dialog dan contoh sebuah pewayangan bagi para pelancong.
Setelah Pak Seniman ini diundang ke alam ghaib main wayang, rezekinya melimpah ruah. Ada sahaja undangan main wayang di pentas budaya. Itu undangan dari manusia biasa. Hanya permulaan sahaja dari perkampungan jin.
Untuk dijadikan cerita mengarut, Pak Seniman wayang kulit atau Pak Dalang tadi, baru menyedari. Bahawa usaha mendalang itu menjadi-jadi dan duit sentiasa masuk apa sebab musababnya. Dia percaya, ini semua bermula dari makam lama yang dia selalu kunjungi. Maka dia yakin, makam Puteri Kepyar itulah yang menaikkan kariernya sebagai dalang wayang kulit. Akhirnya, dia berharap dan berharap agar dapat bertemu Puteri Kepyar itu di kawasan makam. Bererti dia bukan hendak jumpa manusia biasa, sebaliknya hendak jumpa jin atau syaitan perempuan yang diberi gelaran Puteri Kepyar tadi. Puteri itu muncul. Entah dari dalam kubur atau dari atas pokok, dia pun tak tahu. Pak Seniman itu yakin, ia datang dari dalam makam lama. Disebabkan sudah banyak kali "dating" di makam lama itu, akhirnya Pak Seniman itu tawar diri nak kahwin dengan Puteri Kepyar yang pemalu! Istilah kahwin yang ini pun kena kita fahami. Bukan ada nikah macam orang kahwin. Ini kahwin dengan syaitan tak payah wali, tak payah maskahwin, tak payah wali. Ia hanya perjanjian nak saling membantu. Puteri tolong Pak Seniman, dan Pak Seniman tolong Puteri.
Sudah jadi kebiasaan, seorang dalang wayang kulit selalunya mahir dalam kerja perdukunan. Jadi, cantik sangatlah kalau dia berkawan dengan Puteri Kepyar. Kerja kedukunannya semakin menjadi-jadi berkat ditolong oleh Puteri yang konon duduk bersimpuh di sisi Pak Seniman untuk menjawab segala kemusykilan yang diajukan pasiennya. Dan dia kena layan Puteri ini macam isterinya. Isteri Pak Seniman pun tahu bahawa suaminya sudah gila dengan Puteri. Isterinya langsung tak marah pun. "Nak marah buat apa, bukan nampak pun isterinya. Dia kata sudah kahwin dengan Puteri, saya tak pernah nampak Puteri pun! Biarlah dia kahwin jin pun!" kata isterinya. Pulak dah. Sejak berkawan dengan syaitan Puteri itu, ke mana sahaja dia pergi, Puteri nak ikut sama. Jalan nak ke pasar pun dia ikut. Sudahnya Pak Seniman macam terganggu.
Kalau orang tanya dia, siapa Puteri yang selalu disebut-sebut itu? Maka dia akan cerita makam tua yang dia selalu jenguk. Kemudian dia kata, Puteri itu dari makhluk halus dari jenis roh yang pernah hidup seperti manusia pada masa lampau. Pak Seniman ini kata, bangsa jin itu ada tiga golongan --- roh, jin dan jim. Cerita Pak Seniman yang memperoleh Puteri dari kubur lama menggambarkan ketaksuban yang melampaui had. Apakah dia memang berkawan dengan syaitan bernama Puteri itu atau hanya khayalan kosong, siapa pun tak tahu. Kalau dia "kahwin" dengan syaitan itu pun, orang tak peduli. Isteri Pak Seniman sendiri tidak kisah. Sepanjang masa bersama Pak Seniman, dia tak pernah nampak Puteri muncul di tengah-tengah keramaian manusia. Kalau sudah terlalu asyik dengan amalan ngalap keberkatan dari kubur, keberkatan kubur itulah yang dia dapat. Inilah amalan kaum pagan yang masih ada di bumi Nusantara. []

Wednesday 17 April 2013

PENGASIH KAD AJAIB

ADA benda menarik yang tidak masuk akal.
Ia sudah diiklankan, hanya tak tahulah siapa atau orang bagaimana yang berani hubungi orang yang menyediakan perkhidmatan ini.
Apa dia?
Konon dia ni lebih bijak dari orang yang bijaksana dan bijaksini, yang cendekiawan dan cerdik berkawan.
Dia kata, dia menyediakan peranti berupa Kad Handphone [HP] tetapi ia bukan kad biasa.
Nama sahaja kad, tetapi sebenarnya ia adalah kad pengasih. Adik beradik senyonyonglah nak senang cakap.
Sesiapa yang memiliki kad jenis ini dia boleh hantar SMS, boleh hubungi si fulan dan nyatakan apa hajat sebenar.

KESAN PENGASIH
Kena pulak sekarang masa orang kecoh nama tidak terpilih sebagai calon pilihan raya.
Konon, sesiapa yang mempunyai Kad Ajaib ini, dia boleh hubungi seseorang dan nyatakan hajatnya.
"Datuk! Apakah saya tak ada peluang langsung untuk dipilih sebagai calon di kawasan anu-anu?"
Konon, sesiapa yang menggunakan Kad Ajaib ini kata-katanya akan meluruhkan hati orang lain.
Kalau menagih namanya dicalonkan, entah-entah boleh dipinda pula di saat akhir.
Itu kalau mengikut cerita temberang orang pintar yang menyediakan produk Kad Ajaib.
Hanya sayangnya, Kad Ajaib itu tak dijual di Kuala Lumpur, tak ada di Chow Kit atau Sogo. Tak ada di Masjid India.
Selain soal nak jadi calon, Kad Ajaib ini boleh juga digunakan untuk urusan lain, urusan nak meminang anak Raja Gondang, nak dapatkan tender projek RM2 Billion, nak itu dan nak ini.
Pendeknya, Kad Ajaib ini lebih daripada "touch 'n go!"
Kalau tak berani cakap, SMS pun boleh. Apa yang dipohon, apa yang dihajatkan ia akan dipenuhi.
Adakah kad itu kad biasa sahaja?
Sudah tentu tidak.
Kata yang empunya benda, kad itu sudah "diritualkan" --- jadi ia produk yang syubhat dengan kesyirikan. Ia boleh dihantar melalui jarak jauh asalkan ada fulus dimasukkan ke dalam akaun penjualnya. Harganya? Tak sampai sejuta Rupiah pun! Bukan nak jual kad, tapi sekadar pencerahan. []

KISAH PAK DUKUN JUAL MANI GENDERUWO, ADA-ADA SAHAJA!

Untuk mengelakkan stress memikirkan soal politik dalam negara, ada baiknya kita jenguk ilmu-ilmu karut yang diedarkan oleh pengamal ilmu kekarutan yang ada di belahan Nusantara ini.
Cerita orang berhajatkan baka terbaik dengan merujuk kepada bank mani [bukan money ya!] sudah lama jadi bualan orang putih dan kaum elitis yang nak generasi genius dan terbaik. Macam Stephen Hawking yang mencadangkan agar orang cerdik meneroka dunia luar dari planet bumi ini, mana tahu boleh jumpa planet lain yang setaraf bumi. Bolehlah pindah ke sana.
Mungkin si cerdik ini fikir kalau kiamat bumi yang ada, dia dah boleh selesa berada di planet bumi yang baru diterokai. Hanya suku-sakat dia sahajalah yang nak selamat, konon.
Baiklah. Berbalik kepada genderuwo ini, ia sebenarnya makhluk halus yang ditakuti oleh kanak-kanak. Nak takutkan budak, sebutlah genderuwo, kalau dia sedang menangis, dia akan berhenti menangis kerana takutkan genderuwo.
Hanya nama ini tidak popular di bumi Malaysia, sebaliknya ia dikenali dan amat popular di tempat lain terutama di Jawa sana.
Selain watak genderuwo yang suka menggatal dan mengacau bini orang, genderuwo ini boleh dijadikan kawan kamcing oleh pak dukun seks.
Dikatakan dukun seks kerana apabila dia berhubungan dengan genderuwo, dia akan meminta jasa baik genderuwo untuk mendapat sesuatu.
"Wo, aku ajak kamu datang ni sebab ada benda sulit nak bagi tahulah kat engkau!" kata Pak Dukun berbasa-basi.
"Katakan apa dia?" genderuwo yang berbadan besar macam king kong itu duduk di depan Pak Dukun. Bau bulunya yang hitam dan kotor betul-betul hapak, tak tahan dibuatnya. Tetapi disebabkan dukun sedang berhajat dia kena bertahan jugalah.
Bukan dia tidak ada rasa nak muntah. Tapi dia tahan juga.
"Aku ni nak minta benih kamu!" kata Pak Dukun.
"Benih apa? Awak ingat aku jagung atau kacang kedelei? Hah?" genderuwo menyergah main-main sembari tertawa ngakak.
"Gini, ada orang berhajat benih kamu Wo!"
"Aku tak faham." Genderuwo pura-pura tidak faham.
"Baiklah aku cakap terus terang...aku nak air mani kamu!" tegas Pak Dukun tanpa reaksi.
"Untuk apa? Bukankah aku ni syaitan yang selalu menggoda perempuan jahat di tempat hiburan atau taman-taman larangan? Apa kamu tak tahu?"
"Itu aku tahu, tapi Wo, kan aku ni dukun, orang sudah tahu bahawa saya ni memang menyediakan mani genderuwo untuk dijual kepada pelangganku," suara Pak Dukun tertahan-tahan. Mungkin dia malu.
"Kamu jual air mani genderuwo Pak Dukun?" tanya genderuwo sambil matanya mendelik.
"Ya, betul, sudah banyak genderuwo yang bagi percuma kepadaku. Itu dulu!"
"Berapa harganya kamu jual?"
"Tiga ratus ribu untuk 5 gram!"
"Apa gunanya Pak Dukun? Kamu pandai-pandai buat itu ini, sedangkan kami bangsa genderuwo tak tahu apa pun rahsia benda ini?"
"Kamu tak tahu? Kan aku jual mani gajah? Jadi, untuk menambah koleksi benda mistik yang aku jual, aku mahu jual mani genderuwo pula!"
Hantu genderuwo tertawa terbahak-bahak. Dia ngakak sekali. Mentertawakan Pak Dukun yang bingung.
"Apa khasiat mani kaumku yang kamu katakan kepada pelanggan kamu?" suara Genderuwo separuh berbisik.
"Kamu tau tak? Kalau ada perempuan yang mandul, susah nak dapat anak, dengan tetesan air ini membolehkan dia hamil!"
"Baru pertama kali aku mendengarnya dari manusia!" kata genderuwo sambil membetulkan letak duduknya.
"Apa lagi kelebihannya?"
"Oh, ada lagi, untuk sesiapa yang hamil di luar nikah, terutama anak perempuan yang nakal, janinnya boleh hilang kalau terkena mani genderuwo! Betul! Jangan ketawa!" ujar Pak Dukun sebaik mendengar genderuwo tertawa.
"Perutnya jadi kempis ya? Pintar-pintar kamu manusia. Bukan kamu mahu membanteras maksiat, tapi kamu semakin menggalakkan mereka buat maksiat!" komen genderuwo.
"Eh...bila kamu dah pandai macam ustaz ni?" usik Pak Dukun.
"Kan aku dari jenis jin juga, aku selalu melihat buku-buku tentang rahsia dunia jin dan syaitan. Hanya aku tak pernah melihat ada buku yang memaparkan tentang diriku!"
"Tentang genderuwo?"
"Ya!"
"Memanglah, genderuwo hanya dikenali di tempat kami, di Malaysia orang tak tahu!"
"Itu sebablah ada orang buang bayi, campak bayi, sebab mereka tak tahu Pak Dukun bijak macam kamu sudah mengeksploitasi benihku untuk dijadikan sarana mencari duit. Kamu jual air mani genderuwo? Aneh! Aneh! Kalau orang percaya dengan kata-kata kamu, memanglah mereka itu dari keturunanku jugak!"
"Habis, tentang permintaanku tadi, aku ingin dapatkan mani genderuwo, apa boleh kamu tolong?" Pak Dukun memperlahankan suaranya minta kerjasama genderuwo.
"Hairan di zaman moden ini ada orang masih berharap kepada syaitan, untuk melayani kemaksiatan!"
"Aku hanya peniaga mani gajah dan mani genderuwo!" pintas Pak Dukun.

Begitulah pertengkaran antara Pak Dukun dengan hantu genderuwo yang berbau hamis, hapak dan berbulu lebat. Hanya makhluk ini yang suka tinggal di kawasan hutan tepi bukit dan gunung hanya menggemari kaum wanita. Itu cerita orang. Daripada cerita tentang kewujudan genderuwo, ada pula orang pintar ini buat iklan dalam majalah, dia kata, dia memiliki beberapa botol mani genderuwo. Usahkan genderuwo yang hantu, yang syaitan ini, mani gajah pun mereka payah nak dapat.

Silap haribulan kena pijak gajah.
"Seorang paranormal berusia 75 tahun mati dipijak gajah gara-gara ingin mendapatkan mani gajah. Paranormal berasal dari sekian tempat itu dikatakan sudah lama menjalankan perniagaan di kaki lima Jalan Pasar Pudu. Antara barang jualan yang menjadi buruan peminatnya adalah mani gajah dan mani genderuwo."

Paparan ini bermula dari sebuah iklan kecil yang tidak bermanfaat. Pengiklan kata, dia menyediakan MANI GENDERUWO dengan harga seperti disebutkan tadi bagi ukuran 5gm. Apabila pelanggannya tidak mampu berfikir, maka tidak hairanlah kalau akan ada orang jual mani-mani hantu yang lainnya. Wallahu a'lam. []


KECOH JADI CALON, KAUM ELITIS BANGSAWAN JUGA YANG SELESA

MASA dekat nak pilihan raya ni, elok benar kalau dapat jadi calon. Tak kiralah untuk kerusi empuk DUN atau Parlimen. Sekarang di luar sana, kedengaran orang sedang bercakaran minda, perang mulut, perang sepanduk, isytihar bubar, isytihar boikot, turunkan bendera, duduk lepak dan jangan buat kerja parti, buruk-burukkan calon pilihan dan macam-macam lagi tindakan yang mereka buat.
Sebab apa mereka gaduh sangat sampai begitu?
Yalah, bukan orang tak tahu, jawatan penting dalam parti kalau dapat memerintah dan pegang Pusat, orang itu boleh kaya dalam masa sepenggal.
Itulah matlamat utamanya. Pedulikan dengan soal rakyat didahulukan atau dikemudiankan.
Bukan siapa ambil tahu pun?
Hanya, sejak Pakatan Rakyat semakin bertambah duduk dalam dua dewan, nak cari kekayaan dalam masa empat tahun lebih terasa sempit sangat.
Bukan tak mahu kaya, bukan tak nak rebut peluang, tetapi segan juga sebab nanti ia dianggap sebagai menggadai prinsip.
Orang kecoh sangat memilih siapa nak bertanding.
Bukan soal rakyat sangat yang hendak diperjuangkan, terutama kalangan yang berpaksikan kepada dacing. Lagipun sejarah telah menunjukkan, bahawa mereka telah belajar hidup selesa.
Ada yang dua tiga penggal nak duduk di kerusi salah satu dewan.
Sudahnya mereka jadi orang yang hebat, rakyat kecil tak berani rapat, nak tegur tak berani apalagi nak bercakap dengannya lama-lama.
"Kesombongan" bermaharajalela apabila seseorang itu sudah berkedudukan.
Itu zaman dacing memerintah dulu. Apabila Pakatan Rakyat sudah ramai yang dapat duduk di dua kerusi tadi, maka sikap dan pandangan itu segera berubah.
Zaman para pemimpin hendak melonggok harta sampai billion itu sudah berlalu.
Biarlah ia jadi sejarah. Adalah lebih baik harta yang banyak itu diagih-agihkan kepada orang susah.
Banyak mana yang mereka mampu telan? Makan macam itu juga, tak percaya cuba tengok kalau ada jamuan rakyat. Mereka makan apa? Macam orang kecil juga. Ketamakan mereka sahaja yang tidak dapat dibendung.

CARI NAHAS
Adakah para pemimpin parti utama tidak mengambil iktibar daripada sekian banyak kes yang melibatkan penipuan, salah guna kuasa, menyalahgunakan wang rakyat, mengkayakan anak beranak dan sebagainya? Meski hari-hari ada sahaja laporan atau berita yang tak sedap di dengar, tersebar dalam blog dan FB dan yang setara dengannya, orang masih nak redah juga.
Kalau nak redah juga, memang cari nahaslah. Itulah prinsip perjuangan pemimpin yang sudah lama berada dalam gedung keselesaan.
Dalam bab selesa ini, pemimpin UBN merasakan mereka orang yang beruntung, berada dalam keselesaan. Anak-anak bekas Perdana Menteri dulu masih ada dalam senarai.
Sedangkan rakyat kecil mahu melupuskan nama-nama itu dan membina rangkaian nama baru yang tidak bersifat elitis dan kebangsawanan.
Golongan elitis dan bangsawan ini tidak berani pijak tanah. Mereka rasa kedudukannya terlalu istimewa, orang hormat, maka apabila mereka jadi pemimpin, sesiapa pun tak berani nak lawan cakapnya.
Kini sudah berubah, kata-kata pemimpin utama sudah boleh disanggah.

PROTES
Lihatlah di sana-sini orang menyatakan protes mereka. Kalau hendak disenaraikan protes di sana-sini maka pemimpin yang selesa itu tidak boleh tidur lena. Mereka seolah-olah senang menghitung hari.
Arus perubahan dalam politik negara tidak boleh dipandang sepi. Jangan anggap suara anak-anak muda yang mereka hina sebagai jalanan itu tidak berkesan.
Jangan fikir BERSIH yang pernah buat himpunan menggegar ibu kota itu tidak ada impak maksima, semuanya akan memupuk semangat rakyat untuk segera menukar kerajaan. Maksudnya, mereka tidak mahu negara ini dikuasai oleh golongan Melayu elitis yang bilangannya kecil.
Melayu elitis ini tidak pedulikan rakyat kecil, mereka hanya menjamu selera bersama golongan atasan sahaja. Yang mereka kata turun padang bersama rakyat itu hanya lakonan sahaja.
Yang mereka naik basikal ramai-ramai itu pun hanya lakonan untuk dirakamkan bagi paparan media utama mereka.
Begitulah juga penyampaian dan pemberian segala benda yang dinamai dengan 1Malaysia itu. Pendeknya orang dah naik muak dengan jari telunjuk yang tidak bermakna, dan slogan 1Malaysia, janji ditepati.
Orang bertanya, janji apa yang telah ditepati?
Orang kecil tidak mendapat apa kalau mendukung orang atasan yang serba elitis itu. Terjadi pertembungan antara yang elitis dan yang murbawan. Konflik akan berterusan. Orang kecil lebih rela melihat kejatuhan kaum elitis dan bangsawan ini sebagai hukuman dari rakyat. Benarlah kata orang, selagi kita membantu keselesaan kaum elitis bangsawan ini, maka selama itulah rakyat kecil diperalatkan. []

Monday 15 April 2013

BALASAN SI JAGUH SEKS DI BANGKOK, SATU ULASAN

Kemaruk seks boleh digambarkan daripada kesukaan seseorang mengumpul VCD lucah banyak-banyak. Mungkin berkotak-kotak. Ia juga boleh digambarkan daripada cara mereka menghias bilik tidur, ruang tamu dengan gambar-gambar porno atau semi porno. Apakah ada orang yang melakukan tindakan berani begini? Diharapkan tidak ada.
Kemudian di kalangan penulis, keasyikan mereka menulis cerita-cerita hubungan seks dengan amat detail sehingga ia dinamakan seperti cerita pendek, cerita panjang, atau bersiri-siri tentang seks --- ia juga menggambarkan ada kesakitan dalam minda mereka.
Begitu juga kalangan penerbit, nampak macam tak ada apa benda, tetapi kalau setiap kali terbitkan majalah bulanan asyik cerita pasangan melekat ketika mengadakan hubungan intim, maka ia menggambarkan keasyikan yang bukan kepalang orang yang mengendalikan penerbitan itu.
Saya tertarik sebuah kisah benar seorang yang suka menerbitkan bahan-bahan kecabulan. Tidak ada tajuk yang baik dipaparkan melainkan semuanya tajuk-tajuk yang kasar dan tidak beretika.
Pembaca mungkin menyedari bahawa tujuan pamer tajuk yang kasar dan ganas itu adalah untuk memancing pembeli remaja yang sedang "naik minyak" -- akan tetapi dalam masa yang sama ada juga pembaca berumur yang ingin mengetahui isinya naik malu hendak membelinya.
Tajuk yang kasar dan menolak etika moral menyebabkan orang menjauhkan diri.
Salah seorang penulis yang gemar memaparkan kisah-kisah seks, sadis dan sebagainya memang seolah-olah hendak menarik pembaca sebanyak-banyaknya dalam satu masa. Akan tetapi edaran tabloid yang berjudulkan tajuk-tajuk panas itu tidak menjanjikan. Edaran masih macam itu juga. Bahkan yang dikembalikan kepada penerbit dan pengedar pun makin banyak.
Dalam tahun 90-an ada seorang penulis yang memang dikenali sebagai penggemar cerita panas dan tajuk panas sahaja. Disebabkan hobi yang bukan kepalang, sesekali dia turun gelanggang jual ubat. Dia jual ubat untuk lelaki. Ubat itu mungkin bertujuan untuk "prolong" tenaga lelaki. Maka untuk meyakinkan pembeli ubat, dia kata ubat itulah yang telah ditelan ketika berada di Bangkok.
Di Bangkok lelaki muda ini kata beliau telah menjadi juara dalam perlumbaan seks di tengah-tengah jantan handalan di Thailand itu.
Orang ramai yang mendengar celotehnya tidak ambil kisah. Tetapi saya yang kebetulan berada berhampiran kerana menemani seorang penulis buku politik tanah air [dah lama tak jumpa pun] yang juga kawan dengan peniaga ubat itu, membuat minda saya berkomentar. Sebagai seorang Melayu, beragama, kita kena beretika dalam berniaga.
Tetapi lelaki ini benar-benar menjatuhkan martabat dirinya selaku penulis, apa lagi kalau nak dikata sebagai wartawan penyelidik atau wartawan penyiasat, dia kata dialah yang jadi JUARA SEKS di kota Bangkok itu.
Pengakuan ini menjatuhkan dirinya ke dalam kawah kenistaan secara langsung.
Dan kenapa saya terusik untuk mengaitkan kisah ini?
Ya, kerana sekarang orang sedang mabuk membikin filem video seks di sana-sini untuk mengaibkan orang.
Walaupun hanya dalam bentuk tulisan panas bagi membangkitkan nafsu syahwat pembaca, mengajak kepada kebinasaan, ia memberi kesan di akhir kehidupan.
Kematian "juara seks" tadi sangat menginsafkan. Sesiapa juga yang masih berambisi untuk menulis kisah seks, membuat buku seks dan kelucahan melampau dan bukan buku bercorak akademik sebagai seorang pakar sakit tuan, maka fikirkan masak-masak. "Juara seks" tadi mengakhiri hidupnya di meja tulis, tidak ada siapa yang tahu, setelah beberapa bulan, di pejabatnya itu hanya tulang-tulang yang berserakan!
Maka sesiapa yang berfikir akan menggunakan bahan ngeseks untuk mendapatkan sesuatu, fikirkan masak-masak, termasuk yang ghairah hendak menerbitkan video seks pemimpin. Cukuplah setakat itu. []

TRANSFORMASI MENGECEWAKAN? RAMAI TERKENA!

Kenapa tiba-tiba Umno-Barisan Nasional [UBN] mengikut rentak yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat dengan mengenengahkan calon-calon muda belia sehingga menyebabkan ramai tokoh yang diharapkan tiba-tiba dipadam dari senarai calon UBN untuk pilihan raya kali ini?
Inilah penangan transformasi -- tarian kuda Gangnam sudah menjangkit, semua orang kena menari kuda, ada yang selesa, ada yang setuju, tak kurang juga ramai yang mencebik dan kecewa. Dan sesiapa yang perasan mana-mana kawasan yang dihukum dengan transformasi BN maka tempat itu seperti diabaikan. Ghairah untuk pacak bendera dan hias kain pemidang sudah mula tawar dan hambar.
Mereka fikir, setelah beberapa tahun mengabdi kepada parti, sangat aktif sehingga melampau hiperaktif, maka mereka mengharapkan dipilih untuk jadi calon, tetapi tiba-tiba calon lebih muda yang mentah dalam politik diambil untuk bertanding.
Semua ini adalah gara-gara Pakatan Rakyat sudah lama calonkan orang muda dan orang berpengalaman untuk bertanding dalam pilihan raya. Kemenangan calon muda di dalam pilihan raya 2008 telah membuka mata pemimpin UBN, dan sudahnya, terciptalah apa yang mereka namakan sebagai transformasi.
Pihak atasan mengemukakan idea itu dengan harapan untuk mengimbangi lawan dalam pilihan raya, calon-calon dari Pakatan Rakyat adalah muka-muka baru, sebaliknya UBN masih bertagankan para menteri atau setidak-tidaknya Ketua Bahagian untuk dicalonkan.
Sudah lama UBN tidak ada keberanian untuk melakukan perubahan. Mereka masih mencalonkan muka-muka lama sahaja. Akan tetapi kali ini, disebabkan faktor terdesak, faktor mahu meniru apa yang Pakatan Rakyat lakukan, maka sekali lagi UBN tetap meniru langkah-langkah ke depan Pakatan Rakyat.
Meski sakit untuk mengakui bahawa banyak perkara yang dikutip dari tindak-tanduk Pakatan Rakyat yang kaya idea, maka para pemimpin UBN yang selama ini duduk selesa, berkhayal dengan kemewahan dan kemasyhuran kena terima hakikat --- zaman selesa sudah berlalu.
Zaman orang mengharapkan sesiapa sahaja anak bekas PM akan dipilih jadi pemimpin sudah berubah. Selera rakyat nampaknya tidak berapa berkenan sistem yang demikian. Mereka mahu melupuskan nama-nama yang ada kaitan dengan saki-baki pemimpin negara masa lampau. Bolehkah? Sekiranya ia diteruskan juga, maka negara ini hanya dikuasai oleh kaum elitis bangsawan yang tidak merasai langsung kesusahan rakyat.
Jika mereka dari kalangan elitis mahu berwacana tentang rakyat didahulukan, suara mereka nampak janggal kerana mereka tidak merasai langsung masalah yang dirasai oleh rakyat. Jangan fikir kalangan rakyat yang terdiri daripada kaki tangan kerajaan negeri dan pusat yang memang sudah amat selesa. Fikirkan nasib rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kerja yang tidak menjanjikan masa tua mereka, mereka tanpa pencen dan tanpa simpanan yang besar seperti ambisi perancangan KWSP.
Jika ada para pemimpin UBN yang selama ini menikmati keselesaan dipilih untuk menyambung tugas lima tahun lagi, kali ini ada yang dilupakan, terpaksa digugurkan. Adalah sukar hendak memilih calon yang bersih pada masa sekarang kecuali calon muda yang masih kurang pengalaman dalam politik.
Mereka yang berpengalaman kekadang bukan menambah kepada kebaikan, tetapi akan merosakkan imej parti atau kerajaan jika mereka bertindak "luar biasa" mengumpul kekayaan dalam masa satu penggal. Mereka telah belajar bagaimana hendak merahsiakan kronisme yang diamalkan.
Umum telah mengetahui apabila disebut pemimpin UBN, maka kekayaan mereka adalah luar biasa. Jika mereka tinggal di kampung, keadaan hidup mereka amat menjolok. Mereka mempamerkan kemewahan yang bukan kepalang. Sedangkan kempen rakyat didahulukan telah diabaikan. Agak sukar untuk mencari pemimpin yang berjiwa pemimpin jika mereka mengabaikan ajaran agama. Jadi sukar mereka akan berubah sebagai pemimpin sempurna sekiranya menyisihkan diri dari jamaah di perkampungan.
Justeru itu, bagi mereka yang mengharap untuk mencari kekayaan peribadi, sekiranya mereka diketepikan sebagai calon, bermuhasabahlah. Tanyakan kepada diri kenapa tidak dipilih kali ini? []

FITNAH SEKS INDIKASI MORAL SEBENAR

Setiap hari ada sahaja cerita [kes] yang melibatkan persoalan seksual. Kisah seks bukan perkara luar biasa. Ia sudah jadi biasa. Dari peringkat dewasa hingga ke budak sekolah semuanya sudah pandai berwacana tentang seks. Alat perhubungan yang mereka miliki, termasuk kemudahan internet memudahkan mereka mencari bahan kegemaran.
Pendedahan yang terlalu berani menyebabkan pemantauan tidak dapat dikuatkuasakan. Jadi kita biarkan masyarakat kita hanyut dan rosak kerana menyalahgunakan kesucian seks yang telah dijadikan untuk manusia.
Hal yang berkaitan dengan seks ini cukup luas bidangannya.

BUKAN VIDEO SAHAJA
Mungkin ada yang fikir hanya setakat video seks sahaja. Sekiranya kita mahu menjadi negara yang dihormati, kita kena hapuskan kewujudan apa yang dinamakan sebagai video fitnah seks.
Satu akta perlu dikuatkuasakan bagi menghindari permasalahan ini daripada menjadi semakin kalut. Tidak dapat dikawal.
Seseorang yang berminat mengedarkan video seks sekalipun ia merupakan fitnah melulu memberi gambaran bahawa pembawa dan pengikutnya termasuk yang tidak bermoral.
Kegemaran kepada bahan-bahan yang berunsur atau mengandung bahan lucah ia memberi indikasi moral seseorang.
Orang yang sudah biasa menonton dan menyimpan bahan begitu fikirannya asyik terarah kepada persoalan ini sahaja. Apabila memandang sesuatu benda, seseorang yang berjalan atau melihat fesyen pakaian pun boleh menimbulkan keinginan kepada seks.
Kita tidak perlu malu untuk mengatakan bahawa sektor pelacuran kelas kambing adalah pendedahan tentang  seks di kalangan masyarakat kota dan desa.
Dahulu di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar besar di seluruh negara, pelacuran adalah perniagaan yang tidak diganggu-gugat oleh pihak berwewenang.
Setiap bandar ada sahaja rumah tumpangan atau hotel yang menyajikan perempuan penghibur bagi kalangan bawahan. Tidak mengira siapa pun orangnya, mereka terdedah kepada seks berbayar ini dengan harga paling murah.

BELAKANG MATI
Siapa yang tidak ingat kepada sektor pelacuran Lorong Haji Taib [KL] yang sering menjadi sebutan itu. Siapa yang tidak ingat sektor pelacuran yang disebut Belakang Mati yang terletak di kawasan Jalan Masjid India itu?
Atau setiap bandar, ada sahaja nama lorong dan jalan yang menjadi tumpuan "jantan" berkumpul untuk mengusik dan mencari-cari "pasangan" yang sesuai.
Filem Melayu hitam putih pada masa silam banyak menggambarkan kehidupan masyarakat bandar yang sebenarnya berkaitan dengan sektor pelacuran.
Hanya, dalam filem ia hanya menyentuh tentang wujudnya perempuan pelayan atau yang sekarang disebut GRO. Dahulu di bandar-bandar besar ada pertunjukan tarian separuh bogel dan diiklankan begitu sahaja tanpa rasa malu.

KABARET
Mungkin orang masih ingat ketika pertumbuhan kabaret dan kelab malam yang tidak terkawal pada masa dulu melahirkan budaya popular kota. Kebetulan BB Park atau Lucky World itu adalah dunia hiburan malam yang ada kaitan secara tak langsung dengan aktiviti pelacuran.
Di negara kita, selain sektor pelacuran dari kalangan pelayan bar, kabaret, kelab malam dan sebagainya, ada juga pelacuran kaum lelaki yang berpakaian perempuan.
Lelaki menjadi perempuan ini sering dijadikan bahan hiburan orang bandar. Padang Kelab Selangor dan kawasan sekitarnya pada tahun 80-an pernah dijadikan sarang para pondan berkeliaran.
Datang secara jantan, dan di situ juga tukar pakaian jadi perempuan siluman.
Di tengah padang yang dulu ada orang main kriket, ia dijadikan ruang pondan mencari pasangan untuk memuaskan nafsu pada waktu malam sampai pagi. Ada juga kalangan lelaki mencari lelaki -- iaitu golongan homoseksual yang pada masa itu masih tidak diketahui orang akan kewujudannya di tengah masyarakat kita.

HOTEL MEWAH
Persoalan seks, tidak habis begitu sahaja. Apabila sektor pelacuran dapat dibanteras, hotel-hotel murah dijadikan sasaran operasi, mereka menukar hala kepada hotel-hotel mewah yang lebih tersorok.
Seorang pengemas bilik di sebuah hotel sederhana memberitahu, di hotel tempat dia kerja memang disediakan beberapa bilik untuk sewaan mengikut jam atau untuk siang sahaja. Perempuan sewaan sudah disediakan di hotel itu.
Sebagai pengemas bilik, menjadi hal biasa dia mengutip kondom dibuang dalam tong sampah atau bersepah atas lantai. Dia sudah mangli kerana itulah kerjanya hari-hari.
Sektor pelacuran walaupun cuba dibanteras ia tidak dapat dimusnahkan begitu sahaja. Ada sahaja jalan untuk mewujudkan bentuk pelacuran tertutup yang orang tak pernah fikirkan.

IKLAN DIRI
Dengan mengiklankan sebagai tukang urut tenaga batin atau urut badan. Seseorang tukang urut akan dihubungi oleh pelanggannya. Dia akan membawa pelanggan balik ke rumahnya di tempat yang tersorok untuk melayani pelanggan. Pelanggan selalunya menurut sahaja apa kehendak tukang urut. Jika pelanggan lelaki dan tukang urut perempuan, ia bukan urutan biasa lagi, tetapi urutan yang benar-benar menjurus kepada hubungan seks.
Kedua, dengan cara mengajak pasangan itu datang ke rumah di tempat yang tidak menimbulkan syak. Selalunya orang yang gemar kepada skandal begini lebih suka menyewa bilik di bangunan rumah kedai di tengah bandar. Penyewa beragama Islam lebih suka mencari lokasi di tengah-tengah kawasan orang bukan Islam kerana mereka rasa lebih selamat. Mereka yang bersekedudukan pun paling ramai di tempat-tempat begini. Hanya tidak ada sesiapa buat laporan atau mengadukan hal itu kepada pihak tertentu.
Ketiga, menjadikan apartment mewah atau kondo sebagai tempat menjalin hubungan tanpa diketahui oleh orang luar. Di sebuah kondo di kawasan Belakong misalnya, menjadi hal biasa penghuni bujang termasuk pelajar dari luar negeri melanggani pelacur tempatan di tempat tinggal mereka. Biasanya maklumat tentang ini diketahui oleh pengawal keselamatan kondo berkenaan. Pemandu teksi juga tahu siapa penumpang yang dibawanya ke kondo itu seminggu sekali.
Saya tak mahu sentuh permainan orang kaya. Permainan kalangan VIP yang berada di mana-mana tempat yang eksklusif dan tersorok. Meski tersorok bagaimanapun, para pemandu selalunya tahu rahsia mereka. Di mana mereka selalu berkunjung dan untuk apa mereka ke situ.
Bagi orang biasa, mereka boleh buat seribu skandal tanpa orang peduli. Berbeza dengan kalangan VIP atau orang politik, pergerakan mereka selalu menjadi intaian. Apatahlagi sekarang orang tengah gila video seks. Jadi awaslah. Jaga perangai dan tingkah-laku. Jangan sesekali berlibur di luar rumah kalau tidak ada aktiviti. Jangan mendedahkan diri kepada aktiviti yang menimbulkan fitnah.
Jamuan meraikan majlis tertentu bersama kedutaan asing, walau nampak biasa, tetapi tingkah-laku VIP kena dikawal. Jangan dedahkan diri kepada perkara yang boleh menimbulkan fitnah. Sekarang zaman terbuka, malam minggu menari bersama perempuan berambut blonde, malam itu juga gambar akan tersebar satu dunia. Malam itu meneguk minuman panas, esok cerita akan dihebahkan. Malam itu menuju ke kelab eksklusif kaum tertentu, esok cerita panjang berjela tentang apa adanya.
Fitnah seks sudah dijadikan perkara lumrah sekarang. Lama kelamaan orang jadi tidak peduli. Fitnah apa pun orang tidak ambil peduli lagi. Hanya sayangnya fitnah begini selalu mencari sasaran di kalangan orang politik sahaja. Semua orang sudah tahu, skandal tokoh itu dan ini adalah fitnah belaka. Ia adalah cerita rekaan yang juga direka oleh para pemimpin ternama. Bermakna ia memberi indikasi moral sebenar pemimpin yang mencetuskan fitnah itu. []



Sunday 14 April 2013

ERTI DI SEBALIK MASUK PAKATAN RAKYAT ATAU PAS

Teringat saya kepada beberapa siri tazkirah di masjid dan surau atau kuliah mingguan di Perkim [Ibu pejabat KL], penceramah  kata kita orang Melayu khasnya, tidak ikut ajaran agama sangat. Mengaji al-Quran pun tidak. Maksudnya bukan setakat baca sampai khatam, tetapi nak selak kitab tafsir, menghadiri kuliah tafsir, menghadiri kuliah hadis [agar tidak berpaksi kepada hadis daif sahaja] dan mana sahaja asalkan mendapat ilmu yang bermanfaat. Membaca al-Quran sebagai rutin harian pun tidak diberatkan barangkali.

NIKAH DAN MATI
Ada dua perkara yang orang rujuk kepada ustaz, iaitu apabila seseorang hendak bernikah dan apabila berlaku kematian.
Itulah dua perkara yang orang fikirkan. Sejauh mana mereka berlari di padang bebas ini, apabila sampai masanya hendak bernikah, maka mereka kena menyusur di bawah akar. Kena cari borang, kena ikut peraturan yang sudah ditetapkan, berbagai dokumen kena siapkan. Yang penting nak nikah. Kena hadiri kursus nikah kahwin.
Hanya yang orang tak ambil peduli, sejauh mana kesannya kursus itu -- adakah ia hanya  untuk tujuan perniagaan semata-mata? Ada kursus duit pun masuk dalam akaun.

PERSEKITARAN
Kemudian, dalam kehidupan kita yang dibentuk oleh persekitaran, persekitaran demokrasi, persekitaran yang mengutamakan hiburan berlebihan, persekitaran yang selalu membangga-banggakan binaan masjid yang terindah, termahal atau apa sahaja bangunan yang dimegahkan.
Maka, orang lupa, dalam bab pengisian bangunan kebanggaan itu masih menyedihkan.
Jika tidak ada perhimpunan diadakan di situ, maka yang ada tinggal petugas rasmi masjid itu sahaja yang ada. Kita gagal nak memakmurkannya.
Mungkin faktor lokasi yang tak kena. Tidak ada kariah pun. Tengah bandar yang tak ada taman dan tak ada penghuninya.
Kalau ada penghuni pun, mereka masih lalai dan kurang ilmu. Tidak faham mengenai tuntutan berjemaah di masjid.
Tadi sudah disebut, orang merujuk kepada ustaz [ini perlambangan] ketika hendak mengadakan majlis akad nikah. Untuk majlis akad nikah ini pun, hanya bab itu sahaja, bab sampingannya tidak dipedulikan. Mereka mengadakan acara di tempat eksklusif, kemudian nak pamer bakal saudara mara yang terikat oleh perkahwinan itu, berlakukan pertembungan di antara yang sepatutnya dan yang tidak sepatutnya.
Berlaku pertembungan dedah dan tutup aurat. Berlaku pertembungan songkok tinggi dan kupiah serban. Percampuran bebas, bersalaman tanpa mengira had batasan. Mungkin ada iringan muzik dan nyanyian penyeri.
Dan orang lupa, pengaruh pendandan tadi, ada yang jenis pakai seluar pendek, jalan meliuk-lintuk [faham kan siapa dia?] -- sedangkan di majlis itu ustaz siap baca doa lagi dan berkutbah yang baik-baik untuk kedua pengantin.
Kemudian dalam bab kenduri perkahwinan, entah di padang, di dewan dan di mana sahaja, ia memang pesta perkahwinan yang mengikut acuan Melayu moden.
Acuannya sudah lari dari bab nikah tadi. Ia lari terus seperti tidak berpijak dari asas utama tadi.
Bab majlis perkahwinan ini pun perlu diperbaiki agar ia sejajar dan selaras dengan cara Islam yang sebenar. Janganlah kita membawa fesyen lama tahun 70-an atau 80-an di mana umat Melayu banyak yang tidak tahu apa. Maaf.

PAKEJ
Tadi sudah disebut, orang akan fikir hal Islam apabila nak nikah dan apabila ada kematian dalam ahli keluarga mereka.
Dalam bab ini, aktif dalam politik yang melulu pun belum tentu mampu menghadapi kes kematian ahli keluarga.
Mereka pasti akan merujuk kepada ustaz juga. Mencari orang masjid. Tetapi kalau orang masjid sendiri pun hanya suka kepada jawatan, ia tidak jadi apa.
Di situlah mustahaknya dianjurkan kurus menyelenggarakan jenazah [mandi, kafan dan menguburkan] -- bukan tidak ada orang yang berfikiran moden, menyerahkan kepada sekelompok manusia dengan bayaran tertentu.
Memang tugasnya menguruskan jenazah secara pakej. Orang kaya memang memandang penting soal pakej dalam urusan jenazah. Mentaliti duit dari gerak kerja politik sampai kepada bab menguruskan jenazah. Semuanya berlandaskan duit.

TEMPAT TEDUH
Kemudian sejak akhir-akhir ini ada kalangan veteran yang memasuki parti baru yang bukan parti nasionalis lagi. Golongan ini sebenarnya pun sedang mencari-cari tempat teduh. Bukan mencari tempat berpaut untuk dunia lagi, mereka memikirkan masa telah banyak dihabiskan untuk berpolitik, beraktiviti yang menduniawi, langsung tidak ada kaitan dengan ukhrawi.
Jadi golongan ini memilih untuk bersama golongan yang cinta kepada agama. Setidak-tidaknya, apabila menyertai kelompok yang cinta agama, di padang bola pun mereka boleh mengerjakan solat jamaah. Ini perkara yang tidak difikirkan ketika aktif dengan gologan nasionalis pekat.
Apabila usia kian meningkat, dan sudah kukuh keadaan ekonominya, mahu cari apa lagi? Kemasyhuran tidak diperlukan lagi. Pangkat dan kedudukan juga tidak perlu lagi.
Maka yang nak dicari adalah "kembali ke pangkal jalan" -- membaiki diri. Mengoreksi diri peribadi. Tanyakan, ke mana usia telah dihabisi, ke mana wang telah dihumbankan? Bagaimana hubungan akrabnya dengan masjid atau surau berhampiran?

CINTA ISLAM
Selalunya orang tidak peduli apabila mempunyai kedudukan istimewa dalam ranking duniawi.
Apabila sudah diabaikan, sudah dilupakan, tidak disebut lagi namanya, baharulah seseorang itu semacam mencari-cari arah tujuan.
Daripada menyertai kumpulan yang ingkar agama, ingkar nasihat, benci ulama, tidak cinta ilmu, lebih baiklah mencari kumpulan yang cinta agama, cinta Islam, cinta Ilmu, rapat dengan ustaz, rapat dengan ulama, mencari pencerahan dan sebagainya. Antara dua kelompok kanan dan kiri, tentulah orang akan mencari kelompok yang memberikan sedikit saham untuk akhirat.
Saham dunia sudah lama diterokai dan diikuti. Memang ia tidak ada penghujungnya kecuali, tua, sakit dan mati. Kini, ketuaanlah yang menyebabkan kita mahu beralih arah.
Itu lebih baik sebelum terlambat.
Jadi, apabila seseorang telah menyeberang, memasuki sebuah parti yang mendukung cita-cita Islam, maka kita perlu berlapang dada. Ia adalah sebahagian daripada pembaikan yang disebut tadi.
Mereka telah menemui jalan pulang. Pengisian itu yang diperlukan. Bukan sekadar megah kerana menyertai kelompok itu, tetapi muhasabah diri itulah yang lebih utama.
Apabila usia sudah meningkat, apakah masih mahu bersembunyi di tempat-tempat eksklusif, menyendiri di banglo, menyendiri di apartment atau kondo termewah?
Mereka kena turun juga menuju masjid dan surau.
Mereka kena turun dari tempat tinggal mereka yang serba mewah itu untuk mencari tempat berjemaah. Dalam hal ini, nampak betapa cantiknya sekarang, apabila seseorang menyertai parti baru yang berambisi kepada Islam, penyertaan baru itu juga disertai dengan penambahbaikan dalam bab solat.
Sudah ada pengisian dalam perkara ini, mereka tidak lagi solat di ruang khalwat bersendirian. Mereka mengetahui akan kelebihan solat berjamaah di masjid. Bukan hanya untuk solat Jumaat semata-mata. Dan mereka kena menyusur akar menghadiri majlis ilmu di masjid, surau dan mana-mana sahaja. Tua muda bukan ukuran keilmuan, jangan peduli dengan gelaran apa pun. Semua sama apabila berada di lantai masjid.
Saya nampak, kemasukan seseorang ke dalam Pas atau rakan dalam Pakatan Rakyat, turut menambahbaikkan peribadinya secara tidak langsung. Walaupun nampak kecil, ia ada kesannya jika mereka istiqamah. Wallahu a'lam. []