Kenapa tiba-tiba Umno-Barisan Nasional [UBN] mengikut rentak yang dimainkan oleh Pakatan Rakyat dengan mengenengahkan calon-calon muda belia sehingga menyebabkan ramai tokoh yang diharapkan tiba-tiba dipadam dari senarai calon UBN untuk pilihan raya kali ini?
Inilah penangan transformasi -- tarian kuda Gangnam sudah menjangkit, semua orang kena menari kuda, ada yang selesa, ada yang setuju, tak kurang juga ramai yang mencebik dan kecewa. Dan sesiapa yang perasan mana-mana kawasan yang dihukum dengan transformasi BN maka tempat itu seperti diabaikan. Ghairah untuk pacak bendera dan hias kain pemidang sudah mula tawar dan hambar.
Mereka fikir, setelah beberapa tahun mengabdi kepada parti, sangat aktif sehingga melampau hiperaktif, maka mereka mengharapkan dipilih untuk jadi calon, tetapi tiba-tiba calon lebih muda yang mentah dalam politik diambil untuk bertanding.
Semua ini adalah gara-gara Pakatan Rakyat sudah lama calonkan orang muda dan orang berpengalaman untuk bertanding dalam pilihan raya. Kemenangan calon muda di dalam pilihan raya 2008 telah membuka mata pemimpin UBN, dan sudahnya, terciptalah apa yang mereka namakan sebagai transformasi.
Pihak atasan mengemukakan idea itu dengan harapan untuk mengimbangi lawan dalam pilihan raya, calon-calon dari Pakatan Rakyat adalah muka-muka baru, sebaliknya UBN masih bertagankan para menteri atau setidak-tidaknya Ketua Bahagian untuk dicalonkan.
Sudah lama UBN tidak ada keberanian untuk melakukan perubahan. Mereka masih mencalonkan muka-muka lama sahaja. Akan tetapi kali ini, disebabkan faktor terdesak, faktor mahu meniru apa yang Pakatan Rakyat lakukan, maka sekali lagi UBN tetap meniru langkah-langkah ke depan Pakatan Rakyat.
Meski sakit untuk mengakui bahawa banyak perkara yang dikutip dari tindak-tanduk Pakatan Rakyat yang kaya idea, maka para pemimpin UBN yang selama ini duduk selesa, berkhayal dengan kemewahan dan kemasyhuran kena terima hakikat --- zaman selesa sudah berlalu.
Zaman orang mengharapkan sesiapa sahaja anak bekas PM akan dipilih jadi pemimpin sudah berubah. Selera rakyat nampaknya tidak berapa berkenan sistem yang demikian. Mereka mahu melupuskan nama-nama yang ada kaitan dengan saki-baki pemimpin negara masa lampau. Bolehkah? Sekiranya ia diteruskan juga, maka negara ini hanya dikuasai oleh kaum elitis bangsawan yang tidak merasai langsung kesusahan rakyat.
Jika mereka dari kalangan elitis mahu berwacana tentang rakyat didahulukan, suara mereka nampak janggal kerana mereka tidak merasai langsung masalah yang dirasai oleh rakyat. Jangan fikir kalangan rakyat yang terdiri daripada kaki tangan kerajaan negeri dan pusat yang memang sudah amat selesa. Fikirkan nasib rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan tetap, kerja yang tidak menjanjikan masa tua mereka, mereka tanpa pencen dan tanpa simpanan yang besar seperti ambisi perancangan KWSP.
Jika ada para pemimpin UBN yang selama ini menikmati keselesaan dipilih untuk menyambung tugas lima tahun lagi, kali ini ada yang dilupakan, terpaksa digugurkan. Adalah sukar hendak memilih calon yang bersih pada masa sekarang kecuali calon muda yang masih kurang pengalaman dalam politik.
Mereka yang berpengalaman kekadang bukan menambah kepada kebaikan, tetapi akan merosakkan imej parti atau kerajaan jika mereka bertindak "luar biasa" mengumpul kekayaan dalam masa satu penggal. Mereka telah belajar bagaimana hendak merahsiakan kronisme yang diamalkan.
Umum telah mengetahui apabila disebut pemimpin UBN, maka kekayaan mereka adalah luar biasa. Jika mereka tinggal di kampung, keadaan hidup mereka amat menjolok. Mereka mempamerkan kemewahan yang bukan kepalang. Sedangkan kempen rakyat didahulukan telah diabaikan. Agak sukar untuk mencari pemimpin yang berjiwa pemimpin jika mereka mengabaikan ajaran agama. Jadi sukar mereka akan berubah sebagai pemimpin sempurna sekiranya menyisihkan diri dari jamaah di perkampungan.
Justeru itu, bagi mereka yang mengharap untuk mencari kekayaan peribadi, sekiranya mereka diketepikan sebagai calon, bermuhasabahlah. Tanyakan kepada diri kenapa tidak dipilih kali ini? []
No comments:
Post a Comment