Monday, 1 April 2013

PAKAI JUBAH ADALAH WALI ALLAH, KEBAL, TAK LUT SENJATA! BETULKAH?

Ahad lalu saya seperti biasa mengikuti kuliah mingguan di Perkim Jalan Ipoh [KL]. Walaupun teks Furu' Masail dijadikan kupasan utama, ada cerita menarik yang diceritakan oleh ustaz tentang orang Tausug Sulu. Kebetulan tadi pun saya lihat ada orang mencari buku rujukan tentang Tausug dan Suluk di sebuah kedai buku di Jalan Tuanku Abdul Rahman KL.
Pembeli buku itu beritahu, dia ingin tahu apa kisah sebenarnya orang Suluk, sambil melontarkan kritikan bagaimana orang-orang ini pun sudah banyak di Semenanjung bagi tujuan politik, didatangkan dari Sabah sana. Di JB pun ramai katanya.
Betulkah dakwaannya?
Berbalik kepada kuliah Perkim tadi, ketika bercakap tentang Sulu, ustaz beritahu bukan tidak ada rancangan yang sedang dibayangkan hendak berdakwah di Sulu, khususnya dakwah di kalangan orang-orang Tausug.
Akan tetapi apabila isu Lahad Datu sudah menjadi fenomena, maka ura-ura hendak ke Sulu sudah dibatalkan.
Keadaan tidak selamat. Kata ustaz, kalau nak pergi Sulu, kita sudah diingatkan supaya jangan memakai jubah seperti kebiasaan para ustaz di Malaysia.
Apa sebabnya?
Kata ustaz, masyarakat di sana berpandangan lain. Mereka tidak boleh melihat orang pakai jubah. Sebabnya, sesiapa yang pakai jubah, orang itu akan dianggap sebagai wali Allah.
Persepsi mereka, setiap wali Allah adalah orang yang istimewa. Dan keistimewaan orang itu sebagai wali Allah perlu diuji.
Bagaimana bentuk ujiannya?
Orang yang berjubah itu perlu diuji dengan peluru hidup. Dengan sekali tembakan, apakah orang itu tak lut? Jika dia tak lut itu tandanya dia memang wali Allah.
Habis, kalau ditembak wali Allah itu mati bagaimana?
Itu tandanya dia bukan wali Allah. Dia pakai jubah menyamar sebagai wali Allah. Kalau orang yang ditembak itu dengan izin Allah tidak mengalami apa-apa, atau peluru tak berfungsi, maka mereka akan ramai-ramai menghormati wali Allah lagi kebal peluru.
Jadi, ustaz ini nasihatkan, kalau hendak berdakwah di Sulu, kena hati-hati, jangan pakai jubah seperti yang biasa dipakai di Malaysia. Persepsi mereka terhadap pemakaian jubah masih rendah dan "ambiguous"!
Teringat penulis kepada isu sihir di kalangan orang kita dan di Nusantara umumnya.
Salah satu ajaran para dukun, paranormal, orang pintar dan sebagainya adalah menawarkan resipi kekebalan kepada peminatnya.
Mereka mengatakan bahawa ilmu yang diajarkan oleh mereka termasuklah mengisi kekebalan tubuh. Kalau betul-betul kebal, bolehlah berdakwah di Sulu [teringatkan cerita ustaz tadi].
Sebenarnya ramai orang pintar yang menawarkan aplikasi kekebalan kepada peminatnya. Ada berbagai nama benda mistik yang konon membolehkan orang itu kebal senjata.
Kisah pencerobohan orang bersenjata di Lahad Datu juga memperlihatkan ada di kalangan penceroboh itu menggunakan tangkal kebal bagi keselamatan diri.
Ramai ahli sihir yang menjual tangkal yang dipercayai boleh membawa kepada kekebalan apabila berdepan dengan situasi mendesak.
Tangkal kebal biasa diburu oleh penjenayah. Mereka juga percaya kalau pakai tangkal tertentu, dirinya akan jadi orang halimunan, masuk ke rumah orang tidak dapat dilihat. Maksudnya dia sudah jadi makhluk halus. Boleh geledah bilik, boleh ambil apa sahaja tanpa orang lihat. Ini semua ajaran dari ahli sihir yang menawarkan produk bernama tangkal kebal.
Tangkal picisan ini pada suatu ketika dulu banyak dijual di kaki lima. Ketika pihak DBKL "membenarkan" peniaga kaki lima menjalankan perniagaan, produk tangkal juga turut dijual. Akan tetapi tangkal itu tidak dipamerkan. Apabila ada orang yang minat baharulah ditunjukkan tangkal-tangkal lain yang tersimpan rapi.
Sekarang, benda-benda mistik yang dipercayai ada kaitan dengan kekebalan masih dijaja orang di sana-sini. Perkara kebal memang disukai anak-anak muda. Paling tidak pun dia berpegang kepada kata-kata peniaga tangkal itu, "Jadikan ia sebagai pegangan, malang tidak berbau."
Orang di Sulu kata ustaz tadi sangat menghormati orang yang kebal. Sesiapa yang kebal, maka itulah ciri-ciri orang yang "berilmu" dan dia layak untuk memakai jubah, boleh berdakwah, boleh berceramah, dan ia sudah diuji pun dengan kaedah tembak atau tetakan dengan senjata tajam [barong].
Ada beberapa benda magis picisan yang didakwa boleh membawa kekebalan dan masih diiklankan oleh pemiliknya. Mungkin benda itu adalah buatan para orang pintar itu sendiri bagi tujuan mendapatkan duit.
Contoh:
[1]. KESAKTIAN WOLON MERA - kata pemiliknya, ia sakti mandraguna, kebal senjata api, senjata tajam, kebal segala jenis serangan baik halus mahupun nyata. Orang yang berniat jahat kepada anda akan celaka, maklum apabila anda bertindak membalas, pukulan anda langsung mematikan orang itu. Dahsyat!
[2]. BATU UNGGUL SEJAGAT - konon boleh dijadikan pegangan kepada sesiapa yang hendak ke mana sahaja, selemat dari serangan ghaib, selamat dalam perjalanan darat, laut, udara, bahaya dalam hutan, pukulan boleh membuatkan lawan pengsan, dan kebal tetakan senjata.
[3]. SABUK KERAMAT ASMAUL HUSNA - penyedianya kata, dengan benda ini boleh dijadikan pendinding serangan senjata tajam, badan jadi kebal, dan berbagai kelebihan lagi.
[4]. MUSTIKA ENERGI HAQ - ia konon memberikan kekebalan kepada pemilik atau pemakainya. Boleh diuji baik ditetak, ditembak, kalau kemalangan jalan raya pun boleh selamat. Juga dahsyat!
[5]. TENAGA DALAM NUR ILAHI - dengan mempelajari ilmu ini anda konon jadi kebal senjata, kebal pukulan musuh, boleh mengosongkan tenaga lawan, lawan akan terpelanting, siapa nak lawan silap haribulan muntah darah atau lumpuh. Jangan main-main, itu kata yang menyajikan ramuan ilmu ini.
[6]. MUSTIKA BERKHADAM - konon sesiapa menggunakannya dia akan kebal dari senjata tajam dan boleh menghilang dari pandangan musuh. Hebat!
[7]. ILMU SUNGAI RAJA - mempunyai banyak kehebatan, termasuklah dalam soal kekebalan, selamat dari senjata tajam, termasuk bom [?], itulah yang didakwa oleh penyedianya.
Itulah beberapa contoh untuk menunjukkan bahawa "orang pintar" tetap berselera melayani kehendak orang ramai yang menagih kekebalan.
Sekiranya ada orang yang mahu melihat kehebatan yang boleh dipamerkan agar mereka menyangka itulah karomah seseorang, maka ia pun boleh dipelajari dan kemudian dibuktikan di depan mereka. Apakah setelah membuktikan kehebatan dan kekebalan itu nanti mereka akan menerima dakwah bagi menjernihkan berbagai tahayul dan khurafat yang dikatakan cukup lebat bersarang di kalangan orang-orang Tausuq. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment