Wednesday, 17 April 2013

KECOH JADI CALON, KAUM ELITIS BANGSAWAN JUGA YANG SELESA

MASA dekat nak pilihan raya ni, elok benar kalau dapat jadi calon. Tak kiralah untuk kerusi empuk DUN atau Parlimen. Sekarang di luar sana, kedengaran orang sedang bercakaran minda, perang mulut, perang sepanduk, isytihar bubar, isytihar boikot, turunkan bendera, duduk lepak dan jangan buat kerja parti, buruk-burukkan calon pilihan dan macam-macam lagi tindakan yang mereka buat.
Sebab apa mereka gaduh sangat sampai begitu?
Yalah, bukan orang tak tahu, jawatan penting dalam parti kalau dapat memerintah dan pegang Pusat, orang itu boleh kaya dalam masa sepenggal.
Itulah matlamat utamanya. Pedulikan dengan soal rakyat didahulukan atau dikemudiankan.
Bukan siapa ambil tahu pun?
Hanya, sejak Pakatan Rakyat semakin bertambah duduk dalam dua dewan, nak cari kekayaan dalam masa empat tahun lebih terasa sempit sangat.
Bukan tak mahu kaya, bukan tak nak rebut peluang, tetapi segan juga sebab nanti ia dianggap sebagai menggadai prinsip.
Orang kecoh sangat memilih siapa nak bertanding.
Bukan soal rakyat sangat yang hendak diperjuangkan, terutama kalangan yang berpaksikan kepada dacing. Lagipun sejarah telah menunjukkan, bahawa mereka telah belajar hidup selesa.
Ada yang dua tiga penggal nak duduk di kerusi salah satu dewan.
Sudahnya mereka jadi orang yang hebat, rakyat kecil tak berani rapat, nak tegur tak berani apalagi nak bercakap dengannya lama-lama.
"Kesombongan" bermaharajalela apabila seseorang itu sudah berkedudukan.
Itu zaman dacing memerintah dulu. Apabila Pakatan Rakyat sudah ramai yang dapat duduk di dua kerusi tadi, maka sikap dan pandangan itu segera berubah.
Zaman para pemimpin hendak melonggok harta sampai billion itu sudah berlalu.
Biarlah ia jadi sejarah. Adalah lebih baik harta yang banyak itu diagih-agihkan kepada orang susah.
Banyak mana yang mereka mampu telan? Makan macam itu juga, tak percaya cuba tengok kalau ada jamuan rakyat. Mereka makan apa? Macam orang kecil juga. Ketamakan mereka sahaja yang tidak dapat dibendung.

CARI NAHAS
Adakah para pemimpin parti utama tidak mengambil iktibar daripada sekian banyak kes yang melibatkan penipuan, salah guna kuasa, menyalahgunakan wang rakyat, mengkayakan anak beranak dan sebagainya? Meski hari-hari ada sahaja laporan atau berita yang tak sedap di dengar, tersebar dalam blog dan FB dan yang setara dengannya, orang masih nak redah juga.
Kalau nak redah juga, memang cari nahaslah. Itulah prinsip perjuangan pemimpin yang sudah lama berada dalam gedung keselesaan.
Dalam bab selesa ini, pemimpin UBN merasakan mereka orang yang beruntung, berada dalam keselesaan. Anak-anak bekas Perdana Menteri dulu masih ada dalam senarai.
Sedangkan rakyat kecil mahu melupuskan nama-nama itu dan membina rangkaian nama baru yang tidak bersifat elitis dan kebangsawanan.
Golongan elitis dan bangsawan ini tidak berani pijak tanah. Mereka rasa kedudukannya terlalu istimewa, orang hormat, maka apabila mereka jadi pemimpin, sesiapa pun tak berani nak lawan cakapnya.
Kini sudah berubah, kata-kata pemimpin utama sudah boleh disanggah.

PROTES
Lihatlah di sana-sini orang menyatakan protes mereka. Kalau hendak disenaraikan protes di sana-sini maka pemimpin yang selesa itu tidak boleh tidur lena. Mereka seolah-olah senang menghitung hari.
Arus perubahan dalam politik negara tidak boleh dipandang sepi. Jangan anggap suara anak-anak muda yang mereka hina sebagai jalanan itu tidak berkesan.
Jangan fikir BERSIH yang pernah buat himpunan menggegar ibu kota itu tidak ada impak maksima, semuanya akan memupuk semangat rakyat untuk segera menukar kerajaan. Maksudnya, mereka tidak mahu negara ini dikuasai oleh golongan Melayu elitis yang bilangannya kecil.
Melayu elitis ini tidak pedulikan rakyat kecil, mereka hanya menjamu selera bersama golongan atasan sahaja. Yang mereka kata turun padang bersama rakyat itu hanya lakonan sahaja.
Yang mereka naik basikal ramai-ramai itu pun hanya lakonan untuk dirakamkan bagi paparan media utama mereka.
Begitulah juga penyampaian dan pemberian segala benda yang dinamai dengan 1Malaysia itu. Pendeknya orang dah naik muak dengan jari telunjuk yang tidak bermakna, dan slogan 1Malaysia, janji ditepati.
Orang bertanya, janji apa yang telah ditepati?
Orang kecil tidak mendapat apa kalau mendukung orang atasan yang serba elitis itu. Terjadi pertembungan antara yang elitis dan yang murbawan. Konflik akan berterusan. Orang kecil lebih rela melihat kejatuhan kaum elitis dan bangsawan ini sebagai hukuman dari rakyat. Benarlah kata orang, selagi kita membantu keselesaan kaum elitis bangsawan ini, maka selama itulah rakyat kecil diperalatkan. []

No comments:

Post a Comment