Teringat saya kepada beberapa siri tazkirah di masjid dan surau atau kuliah mingguan di Perkim [Ibu pejabat KL], penceramah kata kita orang Melayu khasnya, tidak ikut ajaran agama sangat. Mengaji al-Quran pun tidak. Maksudnya bukan setakat baca sampai khatam, tetapi nak selak kitab tafsir, menghadiri kuliah tafsir, menghadiri kuliah hadis [agar tidak berpaksi kepada hadis daif sahaja] dan mana sahaja asalkan mendapat ilmu yang bermanfaat. Membaca al-Quran sebagai rutin harian pun tidak diberatkan barangkali.
NIKAH DAN MATI
Ada dua perkara yang orang rujuk kepada ustaz, iaitu apabila seseorang hendak bernikah dan apabila berlaku kematian.
Itulah dua perkara yang orang fikirkan. Sejauh mana mereka berlari di padang bebas ini, apabila sampai masanya hendak bernikah, maka mereka kena menyusur di bawah akar. Kena cari borang, kena ikut peraturan yang sudah ditetapkan, berbagai dokumen kena siapkan. Yang penting nak nikah. Kena hadiri kursus nikah kahwin.
Hanya yang orang tak ambil peduli, sejauh mana kesannya kursus itu -- adakah ia hanya untuk tujuan perniagaan semata-mata? Ada kursus duit pun masuk dalam akaun.
PERSEKITARAN
Kemudian, dalam kehidupan kita yang dibentuk oleh persekitaran, persekitaran demokrasi, persekitaran yang mengutamakan hiburan berlebihan, persekitaran yang selalu membangga-banggakan binaan masjid yang terindah, termahal atau apa sahaja bangunan yang dimegahkan.
Maka, orang lupa, dalam bab pengisian bangunan kebanggaan itu masih menyedihkan.
Jika tidak ada perhimpunan diadakan di situ, maka yang ada tinggal petugas rasmi masjid itu sahaja yang ada. Kita gagal nak memakmurkannya.
Mungkin faktor lokasi yang tak kena. Tidak ada kariah pun. Tengah bandar yang tak ada taman dan tak ada penghuninya.
Kalau ada penghuni pun, mereka masih lalai dan kurang ilmu. Tidak faham mengenai tuntutan berjemaah di masjid.
Tadi sudah disebut, orang merujuk kepada ustaz [ini perlambangan] ketika hendak mengadakan majlis akad nikah. Untuk majlis akad nikah ini pun, hanya bab itu sahaja, bab sampingannya tidak dipedulikan. Mereka mengadakan acara di tempat eksklusif, kemudian nak pamer bakal saudara mara yang terikat oleh perkahwinan itu, berlakukan pertembungan di antara yang sepatutnya dan yang tidak sepatutnya.
Berlaku pertembungan dedah dan tutup aurat. Berlaku pertembungan songkok tinggi dan kupiah serban. Percampuran bebas, bersalaman tanpa mengira had batasan. Mungkin ada iringan muzik dan nyanyian penyeri.
Dan orang lupa, pengaruh pendandan tadi, ada yang jenis pakai seluar pendek, jalan meliuk-lintuk [faham kan siapa dia?] -- sedangkan di majlis itu ustaz siap baca doa lagi dan berkutbah yang baik-baik untuk kedua pengantin.
Kemudian dalam bab kenduri perkahwinan, entah di padang, di dewan dan di mana sahaja, ia memang pesta perkahwinan yang mengikut acuan Melayu moden.
Acuannya sudah lari dari bab nikah tadi. Ia lari terus seperti tidak berpijak dari asas utama tadi.
Bab majlis perkahwinan ini pun perlu diperbaiki agar ia sejajar dan selaras dengan cara Islam yang sebenar. Janganlah kita membawa fesyen lama tahun 70-an atau 80-an di mana umat Melayu banyak yang tidak tahu apa. Maaf.
PAKEJ
Tadi sudah disebut, orang akan fikir hal Islam apabila nak nikah dan apabila ada kematian dalam ahli keluarga mereka.
Dalam bab ini, aktif dalam politik yang melulu pun belum tentu mampu menghadapi kes kematian ahli keluarga.
Mereka pasti akan merujuk kepada ustaz juga. Mencari orang masjid. Tetapi kalau orang masjid sendiri pun hanya suka kepada jawatan, ia tidak jadi apa.
Di situlah mustahaknya dianjurkan kurus menyelenggarakan jenazah [mandi, kafan dan menguburkan] -- bukan tidak ada orang yang berfikiran moden, menyerahkan kepada sekelompok manusia dengan bayaran tertentu.
Memang tugasnya menguruskan jenazah secara pakej. Orang kaya memang memandang penting soal pakej dalam urusan jenazah. Mentaliti duit dari gerak kerja politik sampai kepada bab menguruskan jenazah. Semuanya berlandaskan duit.
TEMPAT TEDUH
Kemudian sejak akhir-akhir ini ada kalangan veteran yang memasuki parti baru yang bukan parti nasionalis lagi. Golongan ini sebenarnya pun sedang mencari-cari tempat teduh. Bukan mencari tempat berpaut untuk dunia lagi, mereka memikirkan masa telah banyak dihabiskan untuk berpolitik, beraktiviti yang menduniawi, langsung tidak ada kaitan dengan ukhrawi.
Jadi golongan ini memilih untuk bersama golongan yang cinta kepada agama. Setidak-tidaknya, apabila menyertai kelompok yang cinta agama, di padang bola pun mereka boleh mengerjakan solat jamaah. Ini perkara yang tidak difikirkan ketika aktif dengan gologan nasionalis pekat.
Apabila usia kian meningkat, dan sudah kukuh keadaan ekonominya, mahu cari apa lagi? Kemasyhuran tidak diperlukan lagi. Pangkat dan kedudukan juga tidak perlu lagi.
Maka yang nak dicari adalah "kembali ke pangkal jalan" -- membaiki diri. Mengoreksi diri peribadi. Tanyakan, ke mana usia telah dihabisi, ke mana wang telah dihumbankan? Bagaimana hubungan akrabnya dengan masjid atau surau berhampiran?
CINTA ISLAM
Selalunya orang tidak peduli apabila mempunyai kedudukan istimewa dalam ranking duniawi.
Apabila sudah diabaikan, sudah dilupakan, tidak disebut lagi namanya, baharulah seseorang itu semacam mencari-cari arah tujuan.
Daripada menyertai kumpulan yang ingkar agama, ingkar nasihat, benci ulama, tidak cinta ilmu, lebih baiklah mencari kumpulan yang cinta agama, cinta Islam, cinta Ilmu, rapat dengan ustaz, rapat dengan ulama, mencari pencerahan dan sebagainya. Antara dua kelompok kanan dan kiri, tentulah orang akan mencari kelompok yang memberikan sedikit saham untuk akhirat.
Saham dunia sudah lama diterokai dan diikuti. Memang ia tidak ada penghujungnya kecuali, tua, sakit dan mati. Kini, ketuaanlah yang menyebabkan kita mahu beralih arah.
Itu lebih baik sebelum terlambat.
Jadi, apabila seseorang telah menyeberang, memasuki sebuah parti yang mendukung cita-cita Islam, maka kita perlu berlapang dada. Ia adalah sebahagian daripada pembaikan yang disebut tadi.
Mereka telah menemui jalan pulang. Pengisian itu yang diperlukan. Bukan sekadar megah kerana menyertai kelompok itu, tetapi muhasabah diri itulah yang lebih utama.
Apabila usia sudah meningkat, apakah masih mahu bersembunyi di tempat-tempat eksklusif, menyendiri di banglo, menyendiri di apartment atau kondo termewah?
Mereka kena turun juga menuju masjid dan surau.
Mereka kena turun dari tempat tinggal mereka yang serba mewah itu untuk mencari tempat berjemaah. Dalam hal ini, nampak betapa cantiknya sekarang, apabila seseorang menyertai parti baru yang berambisi kepada Islam, penyertaan baru itu juga disertai dengan penambahbaikan dalam bab solat.
Sudah ada pengisian dalam perkara ini, mereka tidak lagi solat di ruang khalwat bersendirian. Mereka mengetahui akan kelebihan solat berjamaah di masjid. Bukan hanya untuk solat Jumaat semata-mata. Dan mereka kena menyusur akar menghadiri majlis ilmu di masjid, surau dan mana-mana sahaja. Tua muda bukan ukuran keilmuan, jangan peduli dengan gelaran apa pun. Semua sama apabila berada di lantai masjid.
Saya nampak, kemasukan seseorang ke dalam Pas atau rakan dalam Pakatan Rakyat, turut menambahbaikkan peribadinya secara tidak langsung. Walaupun nampak kecil, ia ada kesannya jika mereka istiqamah. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment