PROJEK IC Sabah rupa-rupanya sudah lama dilancarkan di sana. Orang Semenanjung banyak tak tahu pun. Apabila pecah berita tentang Lahad Datu dan adanya suruhanjaya yang menyisat masalah pendatang asing di Sabah, maka orang Semenanjung baru menyedari bahawa ia adalah projek yang mendapat keizinan daripada pihak berwewenang di Pusat. Maka semua orang diam kerana ia projek Orang Besar -- rakyat kecil jangan masuk campur. Kalau Orang Besar buat projek "jual orang" pun jangan fikirkan sangat, awak orang kecil duduk diam-diam, pembangunan negara terus berjalan, dan harga barangan terus meningkat, biarlah rakyat hidup kais pagi makan pagi. Tidak mengapa, kerana rakyat memang didahulukan!
Ketika saya tinggal di Ampang, saya berjiran dengan tiga sahabat yang semuanya begitu vocal anti Barisan Nasional, namanya Pak Sham, Pak Rohman dan Pak Saifuddin. Ketiga-tiganya sudah tidak ada, seorang meninggal di Ampang, dan saya terlibat sama uruskan pengebumiannya di Jalan Quari Cheras. Urusan jenazsah yang berbayar sampai RM1200 cash [memang seronok orang yang business urusan mayat cara begini, berebut-rebut nak uruskan, solat jenazah di Hospital Ampang, empat orang sahaja].
Seorang lagi meninggal di Sabah [atau mungkin dia telah balik ke Bulungan di Kalimantan Timur, berdasarkan salinan KP yang saya simpan]. Seorang lagi Pak Sham yang pernah berkelana di surau Pudu Raya [sebelum Pudu Central, juga jemaah di Masjid Jamek LRT sejak tahun 2000 lagi, selain Masjid India dan Pakistani KL].
Yang nak saya cerita adalah Pak Rohman dan Pak Saifuddin. Dia tinggal di rumah Encik Hadi [Taman Seri Watan, Ampang] yang pernah bekerja dengan sebuah kilang orang putih di Hulu Klang. Kilang itu tutup dan buka operasi di Vietnam. Encik Hadi tak mahu ikut ke Vietnam, dan dia sendiri tidak tahu maklumat peribadi Pak Rohman dan Pak Saifuddin.
Ketika Pak Rohman meninggal [setelah mengidap kencing manis dan jari kaki dipotong] baharulah kami tahu rupa-rupanya baik Pak Rohman atau Pak Saifuddin adalah dua orang yang hadir hasil dari Projek IC di Sabah itu.
Memang orang Barisan Nasional fikir, apabila mereka sudah diberi KP Sabah [Malaysia] mereka akan bebas masuk ke Semenanjung. Mereka ini berguna untuk menaikkan undi BN. Tetapi dua orang yang saya cerita ini memang tidak suka kepada BN, kenapa? Agaknya mereka sedar bahawa kemasukan mereka ke Semenanjung adalah akibat "kena jual" -- dijual oleh orang politik, sebalin dapat wang, mereka juga dapat menambahkan undi bagi memenangkan BN.
Nama Saifuddin dan butir peribadi tidak ada bezanya. Hanya tempat kelahiran dan alamat tentulah di Sabah sana sebelum tukar alamat di Kuala Lumpur. Begitu juga Pak Rohman yang saya mati-matian ingat dia orang Sabah. Patutlah apabila berborak dengan saya, saya ajuk cakap Sabah dia tidak layan sangat. Dan keraguan saya mulai timbul apabila dia pernah mengeluarkan sepatah perkataan bahasa Indonesia yang saya jadi kaget dibuatnya.
"Kalau Pak Rohman sekolah di Sabah, mana mungkin dia tahu menggunakan perkataan itu?" keraguan saya terjawab setelah dia meninggal. Dia hanya menyewa sebuah bilik di Taman Seri Watan. Saya dan rakan-rakan geng penyokong PAS cari dokumen peribadi, tak jumpa. Ada salinan KP lama Kartu Penduduk menunjukkan dia lahir di Bulungan Kalimantan Timur. Pak Saifuddin juga dari Bulungan, Kaltim. Terjawab sudah.
Nak tahu apa cerita pada Projek IC ini?
Sesiapa yang ingin tukar nama ya silakan. Sesiapa yang nak muda semula pun silakan. Jadi Pak Rohman kawan saya ni sudah tukar tarikh lahirnya menyebabkan dia boleh bekerja lagi sehingga umur 60 tahun. Ketika dia meninggal umurnya baru 49 tahun sedangkan ikut Kartu Penduduk yang ada usianya sudah 63 tahun. Nampaknya pengubahan tarikh lahir sudah jadi fenomena sejagat dalam Projek IC.
Okaylah. Ia tidak memberi apa-apa impak kepada kita kalau mereka nak bubuh nama apa pun. Begitu juga tukar tarikh lahir jadi muda. Sudahnya dia kantoi dalam bab KWSP. Sepatutnya dia dah boleh ambil duit itu, tetapi disebabkan ganjak umur, maka dia kempunan. Warisnya cuba uruskan, tetapi apa yang jadi kemudiannya saya tidak tahu.
Sekiranya mereka yang datang dari Kalimantan mahu tuntut wang KWSP, mereka tentu akan bawa dokumen yang salah. Nama sebenarnya Syed Abdul Rahman, di Malaysia dia sanggup membuang nama Syednya [kebetulan ada saudaranya berniaga di Singapura, dia juga turut membantu urusan jenazahnya itu hari].
Berdasarkan cerita ini, saya tidak pula nak semak orang-orang pelik yang mengaku dari Sabah di KL ini. Baik para jemaah Masjid Pakistani KL yang ada. Ramai juga Pakistani dari Sabah, bebudak Sabah yang tidak bertutur dengan bahasa gaya Sabah, malah keIndonesiaan pekat. Untuk menguji pertuturan biasanya saya lebih Indonesia dari mereka. Di situlah mereka terperangkap.
Jadi, jangan hairan kalau ada orang Sabah keluyuran di KL ini. Semuanya mengaku Sabah. Padahal untuk bercakap tentang Sabah pun mereka tidak tahu. Mereka ada orang yang telah dipujuk agar memiliki KP seperti orang lain.
Di Kuala Lumpur sendiri ada seorang teman [bergelar Dato dan pernah aktif Umno di Selangor] ketika dia melepak tak berduit dia selalu tawarkan itu dan ini kepada rakyat asing. Nak IC? Kita ada kabel. Boleh uruskan. Tapi bayarlah duit. Berapa? Beratus-ratus ringgit. Jamin lulus katanya. Sampai sekarang kalau jumpa Dato ini saya akan ingat aktivitinya.
Sekarang kita nak tanya, sejauh mana Projek IC Sabah ini menjana kemenangan UBN di Semenanjung? Berdasarkan cerita kawan tadi yang memang semuanya bencikan Umno, maka tidak hairan kalau mereka yang sudah masuk dalam projek tadi akan tukar selera pula. Mungkin mereka akan undi PR pula. Tentu mereka sedar, bahawa ketika nak minta KP itu bukan main susah, dipermainkan, diperbodohkan, dijualbelikan dan macam-macam hal lagi.
Kalau Projek IC dianggap sebagai alat untuk menang pilihan raya, maka fikir dua kali. Ketika susah, siapa sahaja boleh berlakon minta bantuan. Apabila sudah bergaya ada perniagaan bagus, maka, "Sudahlah! Dulu kamu tipu kami. Kena bayar beratus-ratus, macam-macam janji, habuk pun tarak!"
Kini produk dari Projek IC Sabah itu bertaburan di Semenanjung. Hanya ia masih macam rahsia sahaja. Selagi UBN masih berkuasa, cerita projek ini akan disenyapkan dari media. Kalau dah tumbang, baharulah berebut-rebut nak bercakap, berebut-rebut nak buat kenyataan akhbar!
Diharapkan tak lama lagi, kalau angin perubahan benar-benar terjadi, akan ada sebuah akhbar baru yang menjadi bacaan rakyat. Ia sebagai ganti Utusan, Berita, NST, MM dan sebagainya. Biarkan akhbar itu pupus ditelan sejarah. []
No comments:
Post a Comment