Tuesday 31 December 2013

ANTARA TAZKIRAH DAN PENTAS MUZIK AMBANG TAHUN BARU

KHABARnya meriah sungguh malam ini rakyat menyambut kehadiran ambang tahun 2014.
Bukan bagai nak rak lagi. Memang rak sungguh. Anak-anak muda terutamanya, ambang tahun baru ini perlu diraikan. Kalau tak jenguk tempat konsert memang tak sah.
Biarlah mereka melayani kemudaannya itu. Tetapi jangan pula yang sudah berumur pun ikut terkinja-kinja. Ia tidak menjadi teladan yang baik.
Atau yang sudah berstatus tuk pun nak mementas lagi. Pilihlah mana yang terbaik. Untuk dijadikan teladan atau nak dijadikan bahan fitnah. Apabila kamera bersepahan di sana-sini merakam peristiwa. Jangan nanti, gambar terpampang dalam media cetak.
Bukankah malu, status yang tak sewajarnya patut berada di depan pentas untuk menyaksikan artis yang tidak dikenali menyanyi.
Mereka mementas ada bayaran. Yang kita dok bersesak disuruh bertepuk dan menyambut kehadiran penyanyi yang dah tentu tak ikut apa syariat pun.
Pasti akan kedengaran suara artis di pentas begini:
"APA KHABAR SEMUAAAAAA!"
"Macam tak semangat je! Dah makan ke belum? Sekali lagi saya nak tanya....APA KHABAR SEMUAAAA?"
Yang melayan celoteh tak berguna ini hanya mereka yang berada hampir dengan pentas. Kalau tak ada orang yang berkerumun, siapalah mereka nak menyanyi gitu-gitu.
Jadi, kepada mereka yang tinggal dekat masjid dan surau, pilihlah mana satu nak jenguk. Yalah, lagipun pentas konsert itu meriah selepas tazkirah di masjid dan surau.
Cantiknya, kalau dengar tazkirah dulu sebelum pergi konsert, mungkin orang itu akan batalkan niat mereka nak ke Titiwangsa, KLCC atau ke pentas Dataran Merdeka.
Tazkirah membuatkan mereka sedar, bahawa berada di tengah hiruk pikuk konsert itu tidak memberi sebarang faedah pun.
Kalau boleh dilupakan, ya lupakan. Tumpukan kepada program yang membawa kebaikan dunia dan akhirat, bukan dunia sahaja.
Beruntung mereka yang "lepak" di majlis ilmu dan melanjutkan agenda untuk qiamulail dan mengikuti kuliah subuh esok paginya. Itulah yang terbaik daripada mendengar nyanyian artis yang ternama atau tak ternama.
Jangan dengarkan bisikan halus dari syaitan. Kerana ketika kita menimbang terima anda keduanya, makhluk itu berbisik lebih baik tengok konsert! Wallahu a'lam. []

Monday 30 December 2013

JANGAN BISING-BISING, RASA MAHAL JANGAN BELI!

DI SANA-SINI sudah kedengaran cakap-cakap yang menyindir. Semua ini ada kaitan dengan soal kenaikan harga barang keperluan harian.
Sudah lama kita dihiburkan dengan sitcom agar semua orang kena sedar, kenaikan harga barang patut disambut dengan berlapang dada.
Terimalah seadanya. Jangan banyak komentar. Bising-bising pun tak guna. Habis bising, pergi kedai beli gula, beli apa sahaja produk untuk kegunaan harian semua orang kena bayar lebih sikit.
Tidak kira anda orang berduit atau tak berduit.
Tak kira anda orang gelandangan, kutip kotak, tin kosong dan besi karat untuk dijual. Tidak kira anda pakai basikal cabuk atau motosikal kuasa besar.
Tak kira anda berpendapatan kecil atau tak ada pendapatan langsung, semua kena membayar dengan harga lebih kalau berhajatkan sesuatu.
Kenapa nak bising-bising sampai nak berkumpul di Dataran Mereka?
Soal bising-bising dan keluhan itu, adalah gambaran sebenar huti nurani rakyat.
Kalaulah hujung tahun 2013 dan ambang awal tahun 2014 diikuti dengan PILIHAN RAYA UMUM di negara kita, maka isu kenaikan harga barangan ini pasti tidak akan berlaku.
Rakyat kecil yang kais pagi makan pagi pun sudah pandai mencongak.
Lepas pilihan raya harga barangan pasti naik. Dulu pihak BN menafikan. Sesiapa yang ada menyimpan keratan akhbar nasional tentu boleh menyemaknya.
Pemimpin BN menasihatkan agar rakyat jangan percaya dengan kenyataan dari Pembangkang yang mengatakan harga barang akan naik.
Terbukti.
Sekarang lepas pilihan raya dimenangi oleh BN, harga barang betul-betul naik mendadak.
Apabila orang bercakap atau mengeluh tentang harga barang naik, maka ada sekelompok orang sombong membantah. Buat apa bising-bising hanya kerana harga barang naik? Bukankah kita sedang melangkah untuk menjadi sebuah negara maju?
Ada komen dari bebudak facebook dan blogger yang menyentuh tentang isu ini.
Berikutan dengan kegelisahan rakyat ini, maka ada sekelompok rakyat akan mengadakan perhimpunan AMAN untuk menyatakan resah gelisah mereka.
Sayangnya, kegelisahan rakyat itu bukan hendak diredakan, tetapi mereka menerima fitnah terbaru pula, mereka dituduh hendak menentang kerajaan!
Berbagai kenyataan menghina dan mengejut dipaparkan dalam media UBN.
Yang paling pedih dan memelikkan adalah mereka dituduh hendak gulingkan kerajaan.
Ini betul-betul cerita rekaan. Fiksyen moden.
Bukan tidak ada di kalangan orang miskin yang berada di dalam kepompong NGO tertentu terpaksa berkokok dan membuat repot konon mereka menentang kawan-kawan yang nak berhimpun itu. Padahal mereka sendiri yang "dipaksa" untuk membuat kenyataan bodoh itu sama-sama miskin dan tak berduit.
Kenapalah senario begini masih ada di negara kita? Kenapa kita tidak jujur dalam menyatakan sesuatu?
Bukankah pelik namanya, orang yang gelisah kerana masalah ekonomi dituduh dengan berbagai tuduhan sampai ke peringkat tidak setia kepada negara, sampai diminta pindah ke luar negeri.
Itu adalah pandangan yang sempit. Kenapa kita tidak belajar berpolitik secara rasional?
Antara pemikiran dangkal itu adalah menyuruh agar rakyat jangan bising-bising. Kalau rasa semua perkhidmatan atau barangan itu mahal, jangan beli, cari pilihan lain! Bukan sahaja barang keperluan harian dan perkhidmatan, malah rakyat disuruh memilih NEGARA mana untuk dihijrahi kerana sudah mual dengan negara sendiri.
Inipun perlu pembetulan. Yang berpandangan begitu, elok mendiamkan diri dan bermuhasabah. Kalau sekadar hendak bersuara bagi menyatakan KESEHALUAN kita dengan pihak penguasa, tidak perlulah berpura-pura menjadi orang yang terkecuali daripada kesan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang ada.
Berlaku jujurlah menghadapi kegelisahan massa! Semoga! []

Sunday 29 December 2013

SAMBUTAN AMBANG 2014 "RITUAL" LAMA DIULANG-ULANG

SEPATUTNYA kita tidak bersungguh sangat nak sambut ambang 2014.
Keghairahan masyarakat kita hanya sekadar untuk meniru-niru apa yang dilakukan di semua kota-kota besar seluruh dunia.
Barangkali KL tidak mahu ketinggalan, agar nanti ada wartawan melaporkan bagaimana hebatnya sambutan itu, bunga api berpercikan di sana-sini, lambang keceriaan.
Cuba semak semula, ritual yang pernah kita lakukan 10 tahun dulu, atau 20 tahun dulu!
Tentunya, tak ada bezanya.
Kita masih meraikan kedatangan ambang 2014 dengan bersungguh-sungguh sekali. Seolah-olah kalau tak ada sambutan begitu, kalau tak ada keriuhan dan sorak-sorai itu, atau tidak ada gedung-gedang di pentas, artis terkinja-kinja begitu, maka rugilah andai detik itu tidak dikira beramai-ramai.
Kalaulah begitu, mana yang lebih utama, Awal Muharam yang telah berlalu atau detik 1 Januari 2014?
Media kita, tidak kira apa media pun terlalu fokus kepada acara tahunan yang berulangan itu. Keesokan harinya, mereka pasti paparkan ritual sambutan itu di sana-sini.
KL hendak digandingkan dengan kota besar lainnya, sama-sama menyambut detik dan debaran 1 Januari.
Di sana-sini telah dirancang. Semuanya lebih menjurus kepada hiburan yang meleka dan melalaikan.
Hiburan begitulah yang sebenarnya perlu dikawal, tidak perlu diberi publisiti berlebihan. Kenapa begitu? Mungkin para wartawan kita masih memakai acuan 20 atau 30 tahun dulu!
Tidak ada perubahan. Sambutan ambang 2014 seperti tidak sempurna kalau barisan artis tidak ditampilkan.
Sanjungan kepada kelompok artis tidak berkesudahan. Pewatak dalam dunia hiburan diberi sanjungan yang berlebihan. Dan mereka perlu dibariskan untuk memeriahkan sambutan ambang tahun baru itu.
Barangkali sambutan itu hanya untuk meredakan permasalahan rakyat yang berpendapatan kecil. Agar mereka lupa kepada soal kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Biar mereka leka dengan lagu, muzik dan percikan bunga api. Setiap orang diminta mendongak memandangnya sambil bertepuk tangan.
Setelah upacara tamat, anak-anak muda yang berpendapatan rendah itu teringat semula dengan masalah kos kehidupan yang semakin meningkat.
Mereka tak akan mendengar suara seorang Dekan, Profesor atau Dr yang bercakap tentang permasalahan ini. Mereka bercakap kerana mereka berada di zon selesa. Bayangkan mereka dipecat dan tidak ada pekerjaan? Prof atau apa pun, tentu tak mampu hendak bercakap lagi tentang masalah orang miskin.
Sekarang, mereka yang gemar bercakap tentang orang miskin agar bersabar, dan terima sahajalah apa yang berlaku ini, kerana harga barangan tidak akan turun. Ia akan naik dan terus naik.
Ya, kita tahu mereka bercakap kerana mereka selalu diberi ruang untuk bercakap dalam media tertentu. Mereka sentiasa bercakap tentang isu apa sahaja pun kerana memang itulah yang diminta oleh pihak media. Percakapan itu bukanlah percuma!
Bagi kita, sambutan ambang 2014 tidak perlu dibuat dengan meniru-niru ragam negara Barat. Ia hanya sebuah ritua tahunan yang berulangan.
Janganlah dimegahkan bunga api yang memercik di angkasa itu. Sedangkan keresahan tentang kenaikan kos kehidupan dan perkhidmatan rakyat sekarang menjadi bahan fitnah yang terlalu memualkan.
Bayangkan orang miskin dituduh hendak menguasai saham konglomerat! Seperti biasa, kita tak akan mengikuti siaran televisyen tentang sambutan itu. Bukan begitu cara kita.
Untuk nota tambahan, menjelang ambang tahun baru 2014, rakyat diajak bergembira menyaksikan konserta teragung dan terhebat, sesuai dengan namanya, nak sambung ambang tahun baru. Ambang Maal Hijrah orang sudah lupa.
Kali ini rakyat dihidangkan dengan konserta yang pelbagai yang semuanya menguntungkan penganjur dan peserta konserta, termasuk para pemuzik dan mereka yang menyediakan segala fasilitas.
Konserta 1: di Dataran Putrajaya, anjuran sebuah bank.
Konserta 2: di Dataran Merdeka, KL.
Konserta 3: di KLCC,KL.
Konserta 4: di Taman Tasik Titiwangsa, KL.
Tiga konserta yang paling mudah dijengah oleh penulis adalah konserta 2, 3 dan 4. Konserta 4 paling dekat rumah. Soalnya, cuba tanya, bermanfaatkah seseorang itu mendekati konserta begitu? Memang berhibur tidak dilarang, tetapi biasanya konserta begitu melanggar segala peraturan dan merobohkan sesuatu yang mubah menjadi sebaliknya. Wallahu a'lam. [] 

Friday 27 December 2013

PASAR KARAT PETALING STREET MASIH RELEVAN!

SESIAPA yang ada masa, jenguklah pasar karat di Kuala Lumpur.
Kalau ada sesiapa yang sudah pernah jenguk pasar karat di Ipoh atau di Penang, jangan lupa jenguk sekali pasar karat KL.
Lokasi pasar karat di KL semakin melebar. Tak cukup tempat. Bilangan peniaga makin bertambah. Entah dari mana mereka datang. Ada sahaja barang yang dijajakan.
Kalau dulu lokasi itu terkenal sebagai tempat mendapatkan VCD lucah, sekarang perkara lucah melucah sudah tidak menarik lagi.
Nampak benar, orang sekarang perlukan duit. Duit semakin sukar dicari. Kalau dulu pakaian terpakai masih boleh main harga, sekarang jatuh merundum sampai RM2 atau RM3 sahaja, bergantung kepada kualiti pakaiannya.
Para peniaga yang datang, bercampur-campur. Anak Melayu masih pemalu nak berniaga. Sampai bila pun di mana tempat pun, orang luar yang menguasainya. Agaknya kerana malu berniaga inilah, program membina usahawan muda atau tua selalu tersangkut dalam proposal sahaja.
Berniaga apa nak malunya? Bukan barang curi.
Tetapi bukan tidak ada orang yang berniaga benda "curi" --- hanya kita tidak boleh buat tuduhan melulu. Barang terpakai paling mudah diperoleh terutama di kawasan apartment mewah, kondo mewah dan tempat orang elitis.
Benda berharga boleh dikutip dan dijual semula. Bayangkanlah, jam tangan tak kira berjenama atau tidak, masih boleh dijual. Ada peminatnya. Peminat jam tak guna. Ada yang suka nak belajar baiki jam, atau saja-saja nak kumpul jam begitu. Hobi orang bukan sama.
Ada yang hobinya cari telefon tangan terpakai. Telefon lama pun masih ada orang cari. Bukan tak ada orang jual tablet dan telefon canggih manggih. Ada. Tapi kalau ada duit di tangan, gatal nak beli itu memang tak boleh nak tahan. Ada sahaja benda nak dibeli.
Dari dulu lagi dalam blog penulis mengatakan bahawa semakin lebar kawasan peniaga di sekitar pasar karat, ia memberi gambaran bahawa rakyat di kota kita ini menghadapi masalah betapa sukarnya mencari DUIT.
Dan penulis dapat tahu, ada peniaga yang hanya dapat RM2 sahaja berniaga di situ. Orang kaya apa peduli dengan masalah mereka?
Pasar karat ini adalah wadah untuk orang sesak. Nak dapatkan duit memang susah sekarang. Jadi, ada yang sanggup jual telefon tangan mereka. Jual lap top mereka. Kamera atau kalau seluar dalam laku, mereka akan jual benda itu. Maaflah. Itulah gambaran sebenar di situ. Orang luar tak tahu menahu.
Sabtu dan Ahad ini, pasar karat beroperasi macam biasa. Bilangan peniaga lebih ramai dari pelanggan. Hanya, yang tak sedapnya, ada peniaga yang cuba membolot ruang niaga selebar-lebarnya. Nama pun pasar karat. Orang nak cari barang terpakai. Namun ada yang ambil kesempatan menjual barang baru!
Disebabkan ia lokasi barang terpakai, orang tetap mencari yang terpakai dan bukan barang baru. []

BROKER DAN KEHEBATAN SEMBANGNYA

TIDAK diketahui bagaimana keadaan dunia para broker sambilan pada hari ini. Dulu dalam tahun 80-an, 90-an dan berikutnya, penulis kerap benar terserempak dengan para broker KL. Mereka tersadai di mana-mana di celah KL ini.
Di antara lokasi broker sambilan yang popular adalah bawah pokok ketapang baik di Chow Kit atau di Jalan Masjid India. Maka mereka menggelarnya Ketapang Holdings. Betapa tidak, di bawah pokok ketapang itu mereka masih boleh sembang tentang pelan tanah projek besar dan projek kecil. Mereka boleh sembang tentang hutan balak, tanah KSK kerajaan negeri, kenal orang dalam, kabel kuat dan kabel tali guni.
Pendeknya, cerita broker sangat mengasyikkan.
Ketika Bangunan China Insurance masih wujud [sekarang dah jadi SOGO KL] ada sekelompok broker pemberani yang sembang tentang duit palsu Amerika. Mereka sembang di kedai kopi Cina yang sekarang masih wujud lagi. Ada gerai nasi Minang di situ. Beberapa orang broker wang ini selalu berkumpul di meja bulat kedai kopi.
Sementara itu, di Bangunan MARA, mereka juga kerap berkumpul. Broker sambilan baik bekas kaki tangan kerajaan atau swasta yang sudah bersara. Mereka akan berkumpul dan bersembang sambil menunjukkan kehebatan masing-masing.
Ada yang berurusan tanah balak. Ada yang berurusan ladang sawit. Berurusan tentang lombong emas. Tentang menubuhkan Bank Perdagangan. Tentang projek lautan dalam. Termasuk yang dibincangkan adalah projek lebuhraya.
Seorang teman penulis sembang tentang touch 'n go. Ketika itu orang belum kenal pun apa benda touch 'n go itu. Begitu juga projek buat lebuhraya.
Melihat cara mereka sembang, baik di kedai kopi, restoran makanan segera besar atau kecil, di lantai masjid [Masjid Jamek LRTKL atau Masjid Pakistan, Chow Kit KL], mereka seperti ada cable hebat. Ada sahaja maklumat itu dan ini. Projek besar dan kecil, menyebut nama tokoh-tokoh politik, koperat dan sebagainya.
Biasanya, dalam sembang para broker sambilan ini, mereka selalu mengira-ngira berapa % yang mereka boleh dapat. Angan-angan membumbung tinggi. Pendeknya pandai sungguh gesek biola [sehinggakan penulis pernah tulis cerpen untuk Berita Minggu, bertajuk "Penggesek Biola"].
Para broker sambilan ini ada yang serius dengan kerjanya dan ada yang hanya pandai sembang sahaja. Mereka mesti bawa beg sandang, paling tidak sampul surat ukuran besar. Di dalamnya ada pelan dan aneka pelan siap ditanda atau dilorekkan.
Seorang teman berasal dari Yan, Kedah, broker juga, tetapi dia boleh dapat projek mencari ruang kedai untuk disewa. Penyewanya termasuk bank. Pihak bank memberikan senarai di mana mereka nak buka cawangan. Maka, sesekali sangkut juga projek kawan kita ini. Ketika dapat duit dia melangkah penuh keyakinan. Di Masjid Jamek KL itulah kita bertemu dan mendengar perkembangan mutakhir.
Ada yang berurusan di Taiwan, Hong Kong, dan tak kurang hebatnya tahu pula projek nak buat filem PASIR SALAK. Pada masa yang sama tahu pula ada projek lebuhraya Grik, Perak dan Sitiawan.
Itu belum projek ganti papan pelapik landasan kereta api yang ada. Sepanjang landasan kena ganti, bayangkan berapa keping sleeper diperlukan? Pendeknya para broker mencongak berapa yang mereka boleh dapat.
Ketika itu penulis juga melihat bagaimana bentuk sleeper yang diceritakan itu. Kayu jenis apa, dan dari mana boleh dapat benda itu. Berapa harga paling murah dan nak mark up harga berapa? Wah, para broker pandai pula nak main harga.
Selain itu, pernah suatu masa mereka sibuk bercakap tentang glove, ada yang nak order sampai berkontena banyaknya.
Pendeknya para broker sambilan ini dahsyat sungguh bidang yang diceburinya. Ia meliputi segenap aspek, tak kira apa, asalkan ada % yang menguntungkan.
Dari situlah mereka sibuk pergi ke Pejabat Tanah, beli pelan, menjejaki pemilik harta walau di mana, termasuk sampai ke Singapura. Kalau tuan tanah ada di Hong Kong, jemputlah mereka balik ke KL.
Ada masanya mereka sibuk dengan scrap iron untuk disumbatkan ke kapal dagang. Eksport ke luar negeri. Mana dapat lubang semua ini?
Ada yang kaki sembang mereka sebut tentang offshore loan, tentang collateral, tentang power attorney dan berbagai lagi.
Ada pula geng yang mengaku dari kerabat diraja, nak usahakan agar dapat membawa pulang harta warisan yang disimpan di London. Nilainya ratusan juta!
Seorang broker dari Ipoh, menceritakan bagaimana dia nak bantu pewaris Kapitan Kling Abdul Qadeer untuk mendapatkan harta moyangnya yang ada di Melaka, Singapura dan Pulau Pinang [Negeri Selat]. Gara-gara harta Kapitan Kling itu, penulis menjejaki makam Mak Mah di George Town, tempatnya dekat Masjid Kapitan Kling, Penang yang ada hari ini.
Broker sambilan terus aktif. Ada yang mengeluh restoran boleh lingkup kalau para broker bersidang. Apa tidaknya, dari pagi sampai petang asyik sembang juta-juta, minum teh tarik, air suam, makan tak seberapa. Berlonggok dan buka pelan lebar-lebar. Ada pelan yang dilipat-lipat disumbat dalam saku seluar. Ada yang bawa beg sandang atau sampul surat besar.
Memang ada restoran yang terpaksa tutup dek angkara broker yang suka berlonggok. Khabarnya, tempat broker begini berlonggok bukan ada di KL sahaja, malah melarat ke JB, Kuantan, Melaka, Seremban, Kota Bahru, dan banyak lagi.
Tentang betapa gigihnya broker sambilan bekerja, pernah suatu ketika semasa penulis berada di Tanah Merah, Kelantan, terserempak dengan broker dari KL yang penulis kenali. Dia baru turun dari kereta api, ada urusan di Tanah Merah fasal lombong emas! Wah, hebat pakcik kita ni. Dari KL datang ke Kelantan berurusan tentang lombong emas.
Tahun 2013, penulis jejaki petilasan kaum broker sambilan, baik di Jalan Masjid India, Semua House, Bangunan MARA, SOGO, Maju Junction, Chow Kit atau Masjid Jamek KL, broker sambilan seperti tidak kelihatan lagi. Sudah pupuskah?
Difahamkan, sudah ramai yang menamatkan hobi memburu % yang tak ada kesudahan. Penat sahaja yang dapat. Sata projek tidak menjadi. Ada yang mengeluh, tak pernah jadi apa pun. Sembang sahaja yang lebih.
Dalam dunia broker ini jangan fikir setakat projek ladang sawit, ladang getah, lombong emas, balak, atau lain-lain property, malah ada yang menceburi dunia mistik sekali.
Penulis juga kerap ditanya di mana nak cari rantai babi, batu delima merah, sabuk hikmat, dan macam-macam benda pelik yang tak masuk akal. Termasuk yang kalau nak cerita memang mengarutlah, betapa tidak, mereka nak cari keris berdiri, senjata pusaka yang dah makan darah dan macam-macam lagi.
Broker mistik lagi mengarut, sampai ke peringkat gali kubur nak dapatkan kain mori mayat. Konon kalau ada kain mori orang yang memiliki boleh ghaib dan boleh masuk ke rumah orang senang-senang sahaja.
Ini semua pengaruh dari mistik Indonesia sebenarnya.
Apakah menjelang tahun 2014 ini kaum broker sambilan masih dapat bernafas lega?
Yang penulis rasakan, amat sukar untuk mengenal siapa broker sebenar pada hari ini. Wallahu a'lam. []

KEMEGAHAN MASA SILAM

SEMUA orang mempunyai kenangan manis dan pahit di masa silam. Kenangan pahit selalunya menjadi manis apabila dikenang ketika diri telah berada di puncak kejayaan. Memang itulah yang kerap dijadikan bahan bualan atau bahan dalam buku mengenai biografi peribadi.
Ada orang mengenang zaman jahiliyah yang sangat menghibakan diri. Justeru setelah memperoleh input berguna, seseorang perlu bermuhasabah diri, membuang segala kecelaan dalam diri. Kalau boleh rahsiakan sahaja masa silam yang penuh noda itu. Untuk apa diceritakan semula sekalipun diri sudah berada di puncak kehidupan.
Ada perkara yang boleh dijadikan kebanggaan dan ada juga kebanggaan yang menjadi bahan celaan. Di zaman yang telah berubah, seseorang tidak menilai sesuatu perkara mengikut standard masa silam lagi.
Ukuran masa lampau tidak boleh digunakan lagi untuk dijadikan kemegahan di masa sekarang. Megah masa lampau, ada yang tidak berguna langsung di masa sekarang.
Apakah seseorang mahu bermegah dengan dunia jahiliyah di masa silam? Memang pada masa dahulu ukuran jahiliyah atau bukan tidak dijadikan kayu ukur. Namun apabila zaman telah berubah, telah memperoleh semacam pencerahan dalam diri, seseorang terpaksa menerima ukuran itu.
Umpamanya, ada orang bermegah kerana dulu pernah dipanggil atau dinobatkan oleh para wartawan sebagai primadona. Gelaran hebat itu memang kena pada zamannya pada masa lampau. Akan tetapi keprimadonaan itu tidak boleh diusung lagi di masa sekarang ketika semua orang sedang bermuhasabah diri, membuang segala perkara yang tidak sesuai untuk dijadikan bahan usungan lagi.
Tanggungjawab wartawan hiburan aman berat. Mereka tidak boleh sekadar melaporkan pewatak dalam dunia hiburan mengikut ukuran masa lampau. Sudah tiba masanya mereka mempraktikkan tanggungjawab yang membina dan bukan lentur dengan arus hiburan yang melalaikan.
Gelaran primadona untuk seseorang itu dilihat dari sudut kemegahan masa kini, ia memberi gambaran yang tidak sesuai, malah berkonotasi negatif. Memang pada dunia hiburan, seseorang yang diberi gelaran primadona itu seperti berada di puncak kejayaan.
Dari sudut yang lain, ia memberi gambaran yang tidak perlu dikenang sama sekali. Biarlah ada deretan anugerah atau gelaran apa sahaja berkaitan dengan pencapaian yang telah diperoleh pada masa lalu. Namun dari satu segi, ia memberi gambaran negatif dalam kehidupan.
Orang yang menolak kemasyhuran, mereka tidak mahu diberi gelaran yang bukan-bukan termasuk sebagai bintang atau primadona. Justeru kena muhasabah diri. Para wartawan perlu faham dalam konteks penulisan yang berkaitan dengan dunia hiburan. Zaman sudah berubah. Acuan masa lampau tidak sesuai lagi untuk dibawa di zaman moden sekarang.
Gelaran apa pun terhadap seseorang pewatak dalam dunia hiburan yang kecil dan sempit bukanlah satu anugerah yang perlu dibanggakan. Sesuai dengan kefahaman kita, kehidupan di dunia ini hanya permainan yang memperdaya, kita semua ramai yang terpedaya olehnya. Wallahu a'lam. []

KELUHAN HARGA BARANG MILIK RAKYAT

SEMUA ORANG mengeluh kerana tahun 2014 bakal disambut dengan kemuraman. Tidak perlu terkinja-kinja sambut tahun tahun baru, lagipun kita semua sudah sambut Maal Hijrah. Nak berapa kali tahun baru?
Tahun baru hijrah kali ini kita sambut dengan nada berhati-hati. Semua kos telah naik. Apa sahaja barangan keperluan pengguna naik mengejut. Satu naik yang lain pula naik.
Apabila ada kalangan rakyat yang berpendapatan bawah RM1 000 [seribu ringgit maksudnya ada yang dapat RM900 sebulan, RM750 sebulan atau RM 350 sebulan] mengeluh tentang kenaikan harga barang, pihak di atas, terutama kaum menteri, kaum CEO yang tidak pernah merasai penderitaan orang kecil, mereka janganlah melatah dengan membuat jawapan bodoh.
Di antara jawapan bodoh yang telah didengar oleh rakyat miskin adalah sebagaimana berikut:
1. Kenaikan harga gula, rakyat diminta kurangkan manis dalam minuman dan makanan [sedangkan mereka yang berduit berkilo-kilo gula dihabiskan di dapur mereka, siapa pun tak tahu].
2. Kenaikan harga tol, rakyat dinasihatkan gunakan jalan alternatif, ikut jalan kampung, biar lambat dan jem teruk pun tak apa.
3. Kenaikan tambang LRT dan seumpamanya, maka elok benar orang ramai disarankan jangan gunakan khidmat LRT lagi. Gunakan pengangkutan lain. Kalau tak mampu, berhenti kerja. Duduk rumah. Tambang mahal, tak mampu nak bayar. Kalau kerja pun tolak tambang LRT dah tinggal RM120 nak makan apa?
4. Tambang teksi pun khabarnya akan naik. Sekali buka pintu, sekian bayar. Maka orang ramai disarankan tidak gunakan teksi jika tak ada keperluan mendesak. Maknanya, sesiapa yang terdesak sahaja baharulah guna teksi.
5. Tambang bas henti-henti pun akan naik, maka kedengaran, syor agar orang naik motosikal. Termasuk yang merungut tentang tol mahal. Mereka galakkan orang naik motosikal [dan khabarnya kemalangan penunggang motosikal juga menggerunkan statistiknya].
6. Harga ayam naik, mulai sekarang kurangkan makan daging ayam. Makanlah yang lain yang murah-murah.
Ada banyak lagi komen yang orang politik luahkan apabila mendengar rakyat mengeluh tentang kenaikan harga serba-serbinya.
Ada juga pemimpin kecil dalam Umno yang meluahkan betapa tidak cerdiknya jawapan para menteri apabila mengulas tentang isu rakyat. Itu pencerahan di kalangan pemimpin kecil, sedangkan yang di atas sering memberi ulasan mentah yang boleh dianggap gambaran minda para menteri di dalam BN sendiri.
Sebenarnya sampai sekarang pun, belum ada jawapan yang cerdik diluahkan oleh para menteri dari BN. Jawapan yang ada masih berlegar di sekitar jawapan bodoh. Rakyat menunggu jawapan pemimpin cerdik.
Pihak atasan tidak perlu marah kepada rakyat yang mengeluh atau nak buat tunjuk perasaan. Itu hak rakyat. Tak kan pihak atasan nak berperang dengan rakyat? Di mana logiknya, setelah mendapat mandat dari rakyat, mereka hendak menggempur rakyat pula?
Andainya rakyat ditekan agar jangan mengeluh daripada kenaikan harga barang, maka itu menggambarkan ketidakcerdikan pemimpin kita. Wallahu a'lam. []

Thursday 19 December 2013

DUKUNGAN TERHADAP KHOMEINI BUKAN BERERTI JADI SYIAH

ENTAH bagaimana isu Syiah yang bermain di kalangan kita sekarang seolah-olah perkelahian di zaman budak-budak. Apabila bergaduh, maka semua perkara disebut.
Dalam hal politik negara yang beriak di cawan teh tarik, berlakulah tuduh menuduh konon seseorang itu penganut Syiah, yang satu lagi penganut liberalisme, yang satu lagi pluralisme, dan macam-macam isme lagi yang melanda Ahlussunnah.
Sebenarnya, sejak isu itu timbul, kebanyakan orang tidak percaya bahawa Mat Sabu itu seorang pendukung Syiah. Langsung tidak nampak ciri-ciri Syiah dalam dirinya, dan ketika sesi bicara tentang tuduhan terhadap dirinya baru-baru ini, Mat Sabu hanya setakat mendukung Khomeini sesuai dengan ketokohannya.
Tentunya, pada ketika itu, bukan Mat Sabu sahaja, ketika saya berada di Pahang, saya pun mengikuti perkembangan yang berlaku di Tehran, mengikuti apa sahaja peristiwa walaupun ketika itu berita banyak dikutip dari media tempatan.
Majalah berbahasa Inggeris berkaitan revolusi Islam sangat memikat masyarakat ketika itu. Bukan wacana tentang revolusi sahaja, malah ada tafsir al-Qur'an [yang saya ingat surah al-Balad], itu di tahun 70-an.
Gambar Khomeini ada di mana-mana.
Orang menyambut kehadiran tokoh ini bukan kerana dia Syiah. Dia hanya sebagai ikon golongan yang tertindas, ditindas oleh kaum bangsawan. Orang seronok apabila melihat raja yang disanjung rakyat itu akhirnya dapat dijatuhkan. Inilah momentum yang sebenarnya sangat memikat rakyat.
Orang angkuh, orang sombong, orang zalim, kaum bangsawan kaya raya, orang yang perlu disembah-sembah telah tumbang, ditumbangkan oleh rakyatnya sendiri. Itulah moral yang hendak dijadikan iktibar. Dan Mat Sabu atau orang lain pun begitu.
Ketika itu tidak ramai orang mengkaji tentang masalah ajaran Syiah. Bahkan kalau ada buku tentang Syiah, pembacanya tak ramai. Apa buktinya? Dalam tahun 80-an saya terlibat dengan sebuah penerbitan di Kuala Lumpur, kita juga ada terbitkan buku-buku tulisan Dr Lutfi Ibrahim, Universiti Malaya.
Buku beliau sudah tentu tentang Syiah belaka. Sejauh mana sebarannya meluas?
Buku itu tidaklah laris kerana tahun 80-an orang kita masih tak suka membaca benda pelik, tetapi kalau cerita orang bunian, jin, mistik dan sebagainya, itulah yang dicapai dulu.
Buktinya, kawan penulis Wak Jemari [orang Johor] terbitkan majalah KOLEKSI yang kemisterian meniru majalah Misteri atau Liberty di Jakarta sana. Majalah Wak Jemari pun laris. Maklum ada gambar buka-bukaan, dedah aurat.

REVOLUSI SYIAH
Ketika itu tidak timbul isu ajaran Syiah pun. Majalah atau terbitan persendirian semuanya fokus kepada Iran. Mereka menyambut kejayaan Revolusi Islam Iran. Tanggapan atau persepsi masyarakat Islam ketika itu berbeza dengan yang ada hari ini. Revolusi Islam sudah bertukar menjadi Revolusi Syiah. Daripada rasa simpati, mendukung revolusi, kini sudah bertukar jadi semacam kebencian pula setelah menyedari pergolakan yang berlaku di Timur Tengah.
Setelah mengkaji corak perkembangan di Lubnan Selatan, perkembangan di Syria, di Yaman, Bahrain, dan jangan lupa kedudukan Iraq yang sudah jadi negara selesa kepada Syiah adalah rangkaian kejayaan daripada dasar meluaskan empayer Syiah untuk menakluk dunia Islam.
Dunia Islam akan diSyiahkan dan kalau boleh semuanya berkiblatkan ke arah tanah suci yang mereka agungkan. Sesiapa yang menyemak peta peluasan impian Syiah di seluruh dunia, mereka lihat perluasan itu sudah memijak beberapa negara Islam, dan yang terjadi sekarang adalah proses ke arah itu tanpa kira sedari.

ISU DANGKAL
Apakah Mat Sabu atau orang lain setuju jika perluasan kuasa itu sampai merungkai habis ajaran ahlussunnah yang kita bina selama ini. Persepsi terhadap Mat Sabu bukanlah kerana isu Syiah. Apa yang Utusan Malaysia atau Mingguan Malaysia paparkan masih isu yang dangkal.
Bahkan terlalu dibuat-buat bagi menutup kelemahan yang lain. Ia sekaligus menutup isu kenaikan harga barangan, isu hidup bermewah dan membazir seorang tokoh di negara kita. Kemudian isu pengaliran wang haram yang melampau-lampau. Agar orang tidak menumpukan kepada isu yang parah itu, maka isu Syiah dijadikan bahan wacana. Orang sudah maklum kenapa ia dijadikan bahan utama.
Ia memang isu, tetapi bukanlah isu besar. Lihatlah ketika kutbah Jumaat yang membicarakan tentang Syiah dan ajarannya. Ia tidak memberi gambaran yang sebenar.
Tanyalah kepada rakyat biasa, apa yang mereka tahu tentang Syiah? Kabur! Mereka tak tahu apa pun. Tidak ambil peduli langsung. Lagipun mereka bukan orang Syiah, buat apa nak ambil tahu. Inilah yang kita boleh buat kesimpulan secara rawak. Bahkan kalau ada pihak tertentu nak buat kajian tentang perkara ini apa salahnya, untuk tesis umpamanya.
Kebetulan penulis pun dulu pernah mengendalikan akhbar Mingguan Bumi, yang ketika itu merupakan alternatif bagi orang Pas untuk membaca akhbar. Penulis pun kerap bertandang ke pejabat di Jalan Pahang untuk temu ramah dengan tokoh-tokoh Pas di situ. Ketika siapkan bahan, banyaklah penyumbang dari luar, kawan-kawan dari Pakatan Rakyat [sekarang] pun ada yang menyumbang bahan.
Ada seorang tokoh kecil yang saya ingat, Tuan Syed Jaafar al-Saggof dari Johor [sudah arwah]. Pernah kerja di London dalam menyebarkan bahan dari negara dunia ketiga. Beliau satu-satunya kawan penulis di Kuala Lumpur yang aktif menulis. Ada sahaja bahan yang ditulisnya. Dia juga rajin menulis tentang hal ehwal berkaitan Khomeini. Jadi, dia memang pendukung tokoh besar itu pada masa itu.
Terus terang dia adalah pendukung Khomeini dan juga "pengikut" Syiah. Ketika solat di sebelah saya, dia keluarkan batu kecil "Karbala" , dan saya tak pernah tanya pun soal batu itu.

PEMBACAAN
Tidak pernah tertarik pun dengan ajaran Syiah kerana sebagai orang dalam penerbitan, bahan mentah tentang Syiah telah dibaca dahulu sebelum masuk ke kilang cetak. Pembacaan sahaja tidak menjadikan seseorang itu pencinta Syiah.
Umpamanya, seseorang ada menyimpan kitab KASYFUL ASRAR, AL-HUKUMAH-AL-ISLAMIYAH dan WASIYAT oleh Khomeini.
Sebagai penulis, ustaz, pengkaji, mereka perlu memiliki buku itu sebagai referensi. Ia tidak menjadikan pemilik buku itu sebagai orang Syiah.
Teringat penulis kepada kertas kerja Ustaz Nakhaie Ahmad, yang menceritakan pengalamannya pergi ke Iran. Bukan dia sahaja pergi ke Iran, ramai tokoh lain tak kira tokoh dari PAS atau UMNO, bahkan Anwar Ibrahim sendiri ada pergi ke Iran.
Dan baru-baru ini pembesar negara kita pun pergi ke Iran. Langsung tak jadi isu. Hanya Mat Sabu yang disebut-sebut disebabkan agenda politik yang dipersembahkan di dewan PWTC, ketika tengah bersidang, maka seronoklah mereka berkompang.
Tidakkah mereka sedar, tuduhan ke atas Mat Sabu akan terkena juga kepada tokoh-tokoh lain? Berapa ramai cerdik pandai kita yang cenderung kepada Syiah di pusat-pusat pengajian tinggi? Hanya kita belum lihat fenomena berjubah hitam dan serban besar seperti yang mereka pakai.

WACANA
Teringat penulis kepada WACANA PEMIKIRAN DAN PERADABAN UMMAH KE-5 di Pusat Islam bulan September/Dzulkaedah 1434. Pembentang kertas kerja pun ada yang mengakui pada masa kemuncak Revolusi di Iran itu, mereka juga menyokongnya.
Tidak kira siapalah. Hanya yang orang nampak adalah tokoh-tokoh dari PAS sahaja, bagaimana tokoh dari UMNO? 
Ini yang penulis kata, macam budak-budak bergaduh, semua yang lepas disebut-sebut tetapi ada batasnya. Tengok orang itu ahli parti mana. Bukan soal aqidah. Dan peliknya ada akhbar tabloid baru-baru ini menggesa Mat Sabu bertaubat. Taubat untuk apa? Ustaz yang mengulas pun seperti ada persepsi perseteruan kerana politik sempit.
Elok saya paparkan apa pengakuan Ustaz Nakhaie Ahmad yang ketika itu berada dalam PAS.

"Saya yang pada ketika itu menjadi salah seorang pemimpin kanan PAS, turut terpengaruh dan terpesona dengan perjuangan mereka. Namun, dari sejak awal saya tidak tertarik dengan mazhab Syiah, walaupun pada ketika itu pengetahuan saya mengenai Syiah terlalu tohor. Minat saya terhadap Revolusi Syiah itu terbatas kepada perjuangan menentang kezaliman dan tertarik kepada slogan Islam serta menyifatkan diri mereka sebagai Revolusi Islam." [kertas kerja beliau yang pernah dibentangkan anjuran MUAFAKAT, 8 September 2013].

Beliau juga menyebut bahawa di kalangan mereka yang berkunjung ke Iran dalam siri lawatan itu ada yang kagum dengan revolusi politik yang berlaku. Mereka turut kagum dengan semangat dan perjuangan para ulama Syiah. Itulah yang kemudian mengilhamkan  Muktamar Pemuda PAS memperkenalkan kepimpinan ulama di dalam PAS. Ada yang kagum  dengan radikalisme para ulama Syiah bahkan tertarik kepada doktrin Syiah dan menganut fahaman itu [siapakah mereka?].
Di sinilah agaknya tuduhan itu bermula apabila seseorang telah meninggalkan wilayah politik yang pernah didukungnya dahulu.  
Berdasarkan kertas kerja itu juga penulis difahamkan, beliau turut dibekalkan dengan bahan-bahan fotokopi dari kitab rujukan Syiah dari Jabatan Pengajian Islam Universiti Malaya [kertas kerja hal.15]. Agaknya pada masa itulah ahli akademik dari Universiti Malaya itu menyusun beberapa buku untuk diterbitkan oleh Pustaka Ilmu Raya dalam tahun 80-an. Dan perlu dicatatkan, buku tentang Syiah pada masa itu tidaklah laris seperti buku misteri. Sejauh mana pemikiran Syiah Dr Lutfi tersebar di seluruh Semenanjung?
Sampai sekarang pun, buku-buku yang memaparkan tentang ajaran Syiah baik dalam bentuk pendedahan dan sebagainya tidaklah dianggap buku yang TOP 10, kerana pembaca buku di Malaysia sangat bermusiman.
Mereka tidak suka meneroka perkara baru, apa pemimpin negara selalu ucapkan, apa yang dipaparkan oleh TV dan radio, apa yang dipaparkan dalam media cetak kerajaan, itulah yang orang buru. Apabila skop tentang isu ini sudah senyap, orang pun lupa. Bahkan di kalangan bawahan, mereka langsung tak terpikat dengan isu Syiah. Hanya tajuk KAHWIN MUT'AH sahaja yang mereka nak ambil tahu. Wallahu a'lam. [Pendapat peribadi penulis untuk blog ini sahaja].