Tuesday 31 December 2013

ANTARA TAZKIRAH DAN PENTAS MUZIK AMBANG TAHUN BARU

KHABARnya meriah sungguh malam ini rakyat menyambut kehadiran ambang tahun 2014.
Bukan bagai nak rak lagi. Memang rak sungguh. Anak-anak muda terutamanya, ambang tahun baru ini perlu diraikan. Kalau tak jenguk tempat konsert memang tak sah.
Biarlah mereka melayani kemudaannya itu. Tetapi jangan pula yang sudah berumur pun ikut terkinja-kinja. Ia tidak menjadi teladan yang baik.
Atau yang sudah berstatus tuk pun nak mementas lagi. Pilihlah mana yang terbaik. Untuk dijadikan teladan atau nak dijadikan bahan fitnah. Apabila kamera bersepahan di sana-sini merakam peristiwa. Jangan nanti, gambar terpampang dalam media cetak.
Bukankah malu, status yang tak sewajarnya patut berada di depan pentas untuk menyaksikan artis yang tidak dikenali menyanyi.
Mereka mementas ada bayaran. Yang kita dok bersesak disuruh bertepuk dan menyambut kehadiran penyanyi yang dah tentu tak ikut apa syariat pun.
Pasti akan kedengaran suara artis di pentas begini:
"APA KHABAR SEMUAAAAAA!"
"Macam tak semangat je! Dah makan ke belum? Sekali lagi saya nak tanya....APA KHABAR SEMUAAAA?"
Yang melayan celoteh tak berguna ini hanya mereka yang berada hampir dengan pentas. Kalau tak ada orang yang berkerumun, siapalah mereka nak menyanyi gitu-gitu.
Jadi, kepada mereka yang tinggal dekat masjid dan surau, pilihlah mana satu nak jenguk. Yalah, lagipun pentas konsert itu meriah selepas tazkirah di masjid dan surau.
Cantiknya, kalau dengar tazkirah dulu sebelum pergi konsert, mungkin orang itu akan batalkan niat mereka nak ke Titiwangsa, KLCC atau ke pentas Dataran Merdeka.
Tazkirah membuatkan mereka sedar, bahawa berada di tengah hiruk pikuk konsert itu tidak memberi sebarang faedah pun.
Kalau boleh dilupakan, ya lupakan. Tumpukan kepada program yang membawa kebaikan dunia dan akhirat, bukan dunia sahaja.
Beruntung mereka yang "lepak" di majlis ilmu dan melanjutkan agenda untuk qiamulail dan mengikuti kuliah subuh esok paginya. Itulah yang terbaik daripada mendengar nyanyian artis yang ternama atau tak ternama.
Jangan dengarkan bisikan halus dari syaitan. Kerana ketika kita menimbang terima anda keduanya, makhluk itu berbisik lebih baik tengok konsert! Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment