Thursday 30 May 2013

KISAH MENYELAM DALAM AIR TAIK

HANYA dengan kesalahan yang kecil anda diminta merangkak macam kerbau. Perbuatan anda disaksikan ramai orang yang lalu-lalang.
Dengan sebab tidak memahami arahan ketika berbaris, kanan, kiri, kanan, kiri, pusing ke kiri atau pusing ke kanan, anda diminta menyelam dalam air.
Kalau air bersih sedap juga, ini air bercampur taik. Entah taik siapa? Adakah taik guru mengaji di pusat latihan pengajian "agama" itu?
Kisah ini saya terbaca kebetulan ketika menyemak bahan lama tentang Syiah dan persoalannya.
Pelajar berusia ini bukan budak hingusan, sudah mampu berdikari, boleh merantau, pernah mengusahakan sawah yang membentang di tempat lain, pernah jadi pengusaha beras, tetapi apabila masuk ke pusat pengajian yang berlabel Hadis, dia jadi bodoh. Dia macam kena guna-guna.
Pernah suatu hari dia dan pelajar lain diminta merangkak macam kerbau sejauh 300 meter, dari pasar ke Masjid berhampiran.
Dia jadi kerbau sekejap dengan seorang ketua pelajar menjadi komandonya. "Bah! Bah! Bah!" Kedua pelajar pusat pengajian itu merangkak dalam genangan air yang menjijikkan dan berbau, maklum lepas hujan, air dari semua longkang melimpah ke situ.
Terima sahajalah seadanya, ketika jadi pelajar. Konon untuk menguji ketahanan diri. Ia adalah test untuk menguji ketaatan kepada Sang Amir.
Sayangnya, tempat pengajian yang berlabelkan Al-Hadis itu sudah tutup kerana Sang Gurunya termasuk penganut aliran ajaran menyesatkan. Patutlah pelajarnya disuruh merangkak macam kerbau begitu.
Kemudian yang bab berendam dalam air taik pula memang menarik.
Kenapa kena denda begitu?
Kesalahannya kerana tidak memahami arahan ketika berbaris. "Kanan, kiri, kanan, kiri, balik kanan gerakkkk!"
Kerana salah gerak, dia kena panggil dan diarahkan masuk ke kolam taik. Sebelum masuk kolam, dia kena tobat dulu. Ini arahan ketua pelajar yang mewakili Sang Amir pusat pengajian.
Pelajar berakal ini diminta berendam di situ, menyelam dan timbul semula. Kalau ada taik yang melekat atas kepala pun "apa aku kisah?" -- maka ketua pelajar tersenyum menyaksikan dua pelajar berakal itu menyelam dan timbul.
Ada kalanya taik itu termasuk dalam mulut. Salah seorang yang kena denda itu kata, tahi yang terapung dan berkecaian itu ada yang masuk dalam mulut.
Ketika ditanya apa rasanya taik? "Wah! Sepet!" katanya. Perkataan ini memang orang kita tak faham. Apa maksudnya? Pahit? Manis? Masam manis campur kelat dan ntah apa-apa lagi. Kalau nak tahu rasanya tak payah tanya orang, buat sendiri! [?]
Tetapi pelajar itu kata, "Inilah kali pertama saya merasakan taik manusia!"
Kemudian pada sesi yang lain, apabila pelajar cerdik ini sudah berkelayakan, dia pula dilantik sebagai guru. Meski sudah jadi guru jangan fikir dia bebas denda!
Inilah peliknya pusat pengajian Hadis yang beraliran menyesatkan.
Ada satu peraturan pelik, kalau ketika mengajar anak murid, murid mengantuk adalah hal biasa. Mungkin banyak makan nasi lemak, roti canai atau belum sarapan. Tetapi, kes di pusat pengajian Hadis ini, guru yang mengajar atau ustaznya janganlah pemer sangat kalau mengantuk.
Biar mengantuk macam mana pun kena gagahkan diri. Jalan-jalan dan duduk berdiri dalam kelas pengajian. Kalau ada guru atau ustaz yang mengantuk, maka ustaz akan kena DENDA!
Ini sistem pengajian apa?
Ketua pelajar tadi akan memanggil ustaz dan diberi amaran kerana mengantuk ketika mengajar! Rasanya peraturan macam ini elok dikuatkuasakan di Malaysia, terutama di sekolah rendah dan menengah. Mana-mana cikgu yang mengantuk dalam kelas, ketua murid atau ketua kelas akan mendenda cikgu supaya berlari keliling padang, ketuk ketampi, cuci tandas dan sebagainya. Namun tak lah sampai mandi air taik macam cerita di pusat pengajian Hadis tadi.
Ustaz yang mengantuk ketika mengajar dalam kelas akan didenda, dikenakan infak sekian ringgit. Ada yang sampai habis duit simpanan kena bayar infak.
Tidak cukup dengan infak begitu, ustaz kena denda lagi masuk dalam kubangan taik.
Apa yang diceritakan oleh seorang bekas pelajar dan bekas ustaz di pusat pengajian ini macam tak masuk akal. Boleh sampai begitu sekali diperlakukan oleh rakan-rakan dalam pusat pengajian.
Khabarnya, pelajar yang suka denda orang ini, terbawa-bawa apabila berada di luar pusat pengajian.
Ketika berada di lapangan pekerjaan, mereka bertemu semula. Wah, ketua pelajar tadi tetap menagih infak sekian ringgit kerana melakukan kesalahan di tempat kerja. Nampaknya denda sudah melarat-larat sampai ke tempat kerja, sampai ke pejabat. Ini apa cerita?
Inilah yang lucunya.
Orang yang didenda menyelam dalam air taik oleh Sang Guru mengarut ajaran sesat itu akhirnya jadi ustaz juga. Dia melanjutkan pelajaran di Arab Saudi. Dia mahu tahu benarkah Sang Guru dulu mengaji di Arab Saudi sana tu? Selidik punya selidik, tahulah dia. Sang Guru bukan belajar di situ. Habis di mana?
Apa pun tempat pengajian itu sudah tidak ada lagi. Ia ditutup kerana dikaitkan dengan kes aliran ajaran sesat. Ada-ada sahaja! []

Monday 27 May 2013

MITOS DALAM AJARAN SYIAH [MELIHAT SYIAH DARI JAUH]

Ketika berlakunya gerak Revolusi Iran yang mengangkat nama Khomeini, seluruh dunia tertumpu kepada Iran. Anak-anak muda di Malaysia pun apa kurangnya. Gambar Khomeini adalah wajib. Setiap hari ada sahaja gambarnya dipaparkan dalam media Malaysia. Semua orang sokong orang tua berjanggut lebat ini kerana ia berpenampilan ulama. Dia berani membantah Shah Iran yang mendapat dukungan dari Amerika Syarikat. Ramai rakyat Iran sokong matlamat perjuangan Revolusi Iran meskipun bukan tidak ada orang menyebut Revolusi Islam!
Ketika itu, tidak terfikir pun bahawa ajaran Syiah itu bukan apa-apanya kepada kita di Nusantara. Sejak dulu, kita selalu berdendang dengan bermacam budaya dari Parsi yang dibawa oleh penghijrah yang mendapat didikan dari sana. Di Acheh umpamanya, begitu banyak karya sastera yang mengangkat bahan-bahan berbau Parsi sehingga ada nama universiti mengambil nama Syiah pun. Apabila raja Melaka konon belajar ilmu agama, mereka juga mempelajari bahan yang berlumut dengan dunia Parsi.
Kehebatan Khomeini mengusir seorang raja yang agung di bumi Iran membuatkan semua orang celik. Tidak ada orang yang berani melawan raja [mungkin di Perancis sehingga semuanya dipenggal dengan alat pemotongan] pada ketika itu.
Apabila Revolusi Iran sudah bertapak di tanah Iran, masyarakat luar tidak mengesyaki apa-apa tentang matlamat sebuah revolusi. Kalau dikatakan sebuah revolusi menentang kezaliman untuk Iran itu memang wajar. Tetapi untuk dikatakan revolusi atas nama Islam, maka orang yang berfikir banyak kali.
Betapa tidak, selepas revolusi itu, mulalah kotak ilmiah di dalam perpustakaan Iran itu terbuka. Kemasukan orang luar, termasuk anak-anak muda yang syok habis dengan revolusi, tertarik dengan penampilan Khomeini yang alim dan warak -- maka ciri luaran ini dipandang melebihi dari segalanya.
Mereka yang diajak datang ke Iran dan belajar ilmu tentang aqidah mereka yang pelik, dengan alasan mendapat bantuan kewangan untuk belajar, maka mereka belajar bersungguh-sungguh. Sebagai anak-anak dari Ahlus Sunnah wal Jamaah, mereka diminta menambah kosa kata, menambah ilmu lain yang berada di luar Islam.
Sudah tentu, indoktrinisasi yang dilakukan oleh Sang Guru di benua "suci" itu membuatkan anak-anak muda yang faham ilmu dapat membezakan. Mereka yang lahir dalam kelompok ASWJ tiba-tiba diminta berbaju Syiah. Maka mereka menerima dengan separuh hati atau sepenuh hati -- disini mereka belajar taqiyah. Maklum, tugas belajar adalah dibiayai sepenuhnya oleh mereka. Sudah tentu ada tujuannya, bukan tajaan atau bantuan kosong. Mereka bakal dijadikan agen yang menyebarkan ajaran Syiah di tanah air mereka.
Terbukti, kini sudah ramai yang bersuara dengan baju Syiah, meski mata batinnya masih bersalut dengan ASWJ. Cerdik pandai universiti mula membelek buku-buku tebal karya orang-orang Syiah. Mereka mula mengambil riwayat daripada tokoh-tokoh mereka tentang para Imam yang semuanya hebat-hebat belaka kedudukannya. Mereka mula berani mengkritik para Sahabat Nabi Sallallahu alahi wasallam.
Imam 12 yang mereka yakini itu adalah manusia biasa tetap di dalam kepompong Syiah ia menjadi Imam luar biasa. Mereka yang melihat Syiah dari jauh, iaitu yang hanya membelek kitab-kitab "shahih" Syiah, akan mengetahui bahawa ada semacam keraguan yang amat mendasar tentang ajaran atau aqidah Syiah.
Sukar bagi orang luar hendak mengetahui dengan lebih mendalam tentang Syiah. Mungkin ada yang mengambil perkara penting sahaja. Misalnya tentang Imam mereka yang ma'shum. Orang tentu menyoal, apakah ada manusia lain yang bersifat ma'ashum selain daripada Nabi sallallahu alahi wa sallam? Barangkali kerana tanggapan ma'shum itu tidak mendapat protes dan komen dari cerdik pandai Syiah, maka ia semakin galak menambahbaikkan dengan cara meningkatkan lagi status Imam mereka menjadi hampir Ketuhanan.

IMAM 12 SYIAH
Jika menyemak riwayat yang dipaparkan di dalam kitab induk mereka seperti ciptaan al-Kulaini itu, terdapat sejumlah mitos berkaitan Imam Syiah.
Ada 12 Imam Syiah yang popular, selalu disebut-sebut sepanjang pembicaraan tentang Syiah.
1. Ali bin Abu Abu Thalib r.a. digelar al-Murtadha [m.40H].
2. Al-Hassan bin Ali r.a. digelar az-Zaki [m.50H].
3. Al-Hussain bin Ali r.a. digelar asy-Syahid [m.61H].
4. Ali bin al-Hussain r.a. digelar Zainal Abidin [m.95H].
5. Muh.bin Ali bin al-Hussain, digelar al-Baqir [m.114H].
6. Jaafar bin Muh.bin Ali, digelar ash-Shadiq [m.148H].
7. Musa bin Jaafar bin al-Hussain, digelar al-Kadzim [m.183H].
8. Ali bin Musa bin al-Hussain, digelar ar-Ridha [m.203H]
9. Muh.bin Ali bin Jaafar, digelar al-Jawad [m.220H].
10. Ali bin Muhammad bin Jaafar, digelar al-Hadi [m.254H].
11. Al-Hassan bin Ali al-Askari, digelar al-Askari [m.260H].
12. Muhammad bin al-Hassan al-Askari, digelar al-Mahdi [belum pernah dilahirkan tetap ada yang dakwa lahir pada 256H].

Begitulah nama-nama 12 Imam Syiah yang ma'shum. Status ma'shum ini diterimapakai oleh mereka yang mendukung Syiah. Kalau kitab mereka kata para Imam itu berstatus ma'shum, maka semua pengikutnya kena ikut dan tanpa membuat sanggahan.

MITOS IMAM SYIAH
Berdasarkan riwayat yang mereka nyatakan di dalam kitab-kitab mereka, jelaslah bagi mereka yang bukan penganut Syiah, bolehlah setakat nak tahu cerita mitos yang mereka peragakan.
Bukan soal mitos itu sahaja, malah soal Imamiah ini menjadi semacam penggerak kesatuan mereka, meski ia penuh kepalsuan dan kesesatan mereka tetap berkeras menegakkannya.
Hasilnya, di mana mereka aktif, disitu berlaku pertumpahan darah, berlaku kekecohan yang tidak sedikit. Lihatlah apa yang terjadi di Iran, Iraq, Pakistan, India, Lebanon, dan negara lain di wilayah kita.
Ketika Revolusi Iran dulu, tidak ada orang bercakap tentang Syiah dan Imamiah. Jika itulah yang didedahkan dari awal, nescara kebanyakan orang tutup kitab. Boleh buka, tetapi sekadar untuk mencari di mana kelemahannya.
Kita cakap tentang Imam dulu.
Tak perlu soal al-Quran versi mereka.
Kerana daripada bab Imam inilah ia akan menjadi beberapa perkara lain yang saling berkaitan.
Imam Syiah yang disebutkan di atas kedudukannya terlalu istimewa, nak kata taraf malaikat pun tidak, ada yang kata di atas malaikat, di atas para Rasul dan Nabi.
Bahkan kalau disemak lebih teliti, ada riwayat yang menggambarkan ketokohan Imam itu menduduki status Ketuhanan yang mengetahui umur manusia, mengetahui bila ajalnya, dan boleh pilih nak hidup atau mati, imam mengetahui sesuatu yang ghaib [sudah tentu berlawanan dengan al-Quran dan as-Sunnah], mereka mengetahui segala-galanya, memiliki dunia dan boleh mengatur alam, alam sejagat gementar dan gerun kepada para Imam, malaikat pun patuh kepada Imam.

KELEBIHAN ALI
Al-Kulaini menyebut di dalam satu riwayat tentang kelebihan Ali r.a. Antaranya:
  • Soal kecil atau besar yang dibawa oleh Ali, janganlah dibantah, kalau dibantah ia syirik kepada Allah SWT.
  • Beliau mempunyai kurnia atas segala makhluk Allah.
  • Apa yang dibawa dan dilarangnya, hendaklah dipatuhi, sebab ada kemuliaan pada diri Imam ini sebagaimana kedudukannya dengan Nabi Muhammad sallallahu alahi wasallam.
  • Imam ini adalah pintu Allah Taala.
  • Jalan Imam yang diikuti adalah selamat, sebaliknya jalan yang lain adalah kebinasaan.
  • Imam sebagai pilar bumi agar tidak bergoncang penghuninya.
  • Imam diberi bebanan Rabb.
  • Imam mengetahui ajal maut seseorang, perkara yang ghaib tidak samar kepadanya.
  • Imam juga pembahagi yang diutus Allah ke atas syurga dan neraka.[Al-Hujjah min al-Ushul, Jil.1: 175].
Peri hebatnya Imam yang diyakini puak Syiah ini jika kita semak akan kelebihan orang menziarah makam di Karbala, maka sudahnya seseorang itu tidak perlu pergi ke Makkah lagi. Inilah kesan pengaruh ziarah Karbala dan kelebihan ziarah makam-makam suci mereka. Penziarahan makam yang merupakan ajaran Syiah ini kemudian diubah dalam bentuk lain di Nusantara kepada ziarah makam-makam tokoh tertentu yang tidak ada kaitan dengan Islam.
Jika kita semak tentang kelebihan pada Imam kepercayaan Syiah itu, para Imam telah beroperasi dengan leluasanya di seluruh mayapada ini, dari zaman Nabi Adam 'Alahissalam, Imam juga berperanan menyejukkan api yang membakar Nabi Ibrahim 'Alahissalam, menyelamat Nabi Nuh 'Alahissalam dari bah besar dan banyak lagi. Pendeknya, tanpa menyemak fakta sejarah sebenar, tarikh kelahiran imam-imam 12 yang disebutkan tadi, seseorang boleh terpedaya bahawa ada "pengembaraan suci" untuk menolong para Nabi di panggung sejarah. Itulah hebatnya mitos Imam 12 dalam dunia Syiah. []

Tuesday 21 May 2013

ILMU PENGASIH, CINTA PAKSA YANG MISTERI

KATA yang empunya ilmu, bahawa ilmu guna-guna, ilmu pelet atau pengasih itu digunakan untuk memikat seseorang. Lelaki pikat perempuan, dan perempuan pikat lelaki.
Jangan terkejut, ada juga dukun pengasih yang menyediakan pelet atau guna-guna untuk kegunaan kaum lelaki yang nak memikat lelaki; juga kaum perempuan yang nak memikat perempuan -- cinta pengasih pelik ini bukan barang baru, sudah lama orang iklankan, sudah lama orang cari dan amalkan.
Di Malaysia, tidak diketahui apakah golongan homoseks dan lesbians itu mengamalkan ilmu seperti ini.
Kaedah mengamalkan ilmu begini pun berbagai kaedah bergantung kepada siapa yang menyediakan aturan pakainya. Ada yang suruh orang itu berpuasa dan amalkan beberapa perkara yang diberitahu secara peribadi.
Ada yang menggunakan benda-benda mistik tak masuk akal untuk dijadikan pegangan atau untuk digenggam sambil membacakan doa atau mantera pemanggilan "cinta" pada masa yang ditetapkan.
Ada yang gunakan kulit harimau atau taring harimau. Ini belum lagi bab minyak bulu perindu, minyak mati dibunuh atau minyak senyoyong Siam.
Tentang kulit harimau tadi, ada maklumat mengatakan, yang diperlukan bukanlah selebar kain serban. Dapat sedikit pun sudah memadai.
Kulit harimau ini hanya digunakan untuk membuat Guna-guna Asmara, satu nama ilmu pengasih yang jarang kita dengar. Ilmu ini sebenarnya tidak memberi manfaat kepada pasangan yang dikenakan, ia merbahaya dan akan merugikan pada masa akan datang.
Kata mereka, ilmu ini memang luar biasa kesannya. Orang yang dicalit memang boleh mengikut kata, tetapi si dia seperti kehilangan kesedaran, hingga sepanjang masa asyik mendengar kata sahaja. Kalau pasangan yang diharapkan jadi bingung begitu tentulah tidak sedap jadinya!
Kenapa jadi begitu, ia berpunca dari pengaruh makhluk ghaib yang berterusan mempengaruhi tindakan orang itu sepanjang masa.
Adakah orang yang gunakan ilmu pelet atau ilmu asmara ingin melihat pasangannya jadi orang "tak betul" begitu? Perkara ini lama kelamaan jadi bahan gunjingan jiran, jadi fitnah yang memang pun fitnah hasil dari ilmu pengasihan tingkat tinggi.
Bagi yang terkena ilmu asmara begini, watak semulajadinya akan berubah. Orang yang periang akan jadi pendiam, suka melamun atau menangis tak tentu pasal. Inilah kesan minyak pengasih. Ketika nak guna dulu tak fikir buruk baiknya. Lagipun menggunakan minyak pengasih begini adalah perbuatan dosa. Ia termasuk dalam kategori pengamal sihir walaupun yang membeli minyak pengasih itu bukan ahli sihir.
Bagi yang sudah terkena ilmu asmara begini, lama kelamaan kalau tingkat kesedarannya tinggi, dia akan bertanya kawan-kawan, meminta pendapat dan ingin dengar komen kawan-kawan. Kelakuan ganjil, perubahan perangai yang seperti angin bermusim itu akan diberitahu oleh orang di sekitarnya.
Lama kelamaan ada kecurigaan. Timbullah tanda tanya. Maka timbullah kalimat, "Jangan-jangan..." Dia mencipta banyak soalan dan jawapan. Ada rasa syak wasangka.
Kalau di Jawa, ada yang melukis rajah di atas kulit harimau ini hanya pada awal bulan Suro [baca:Muharram], ada kalimat atau rajah yang perlu ditulis dan lukis di atas kulit harimau dalam masa 4 hingga 5 tahun!
Sudah tentu yang inginkan cinta kilat, mereka tak akan bersabar dengan penantian yang menyeksakan ini.
Tentang bagaimana ilmu itu boleh bekerja, ia sebenarnya mendapat bantuan dari jin suruhan yang berfungsi untuk tugasan kepeletan.
Bagi yang membiasakan diri membaca al-Qur'an, maka orang itu akan terhindar dari gangguan ilmu pelet. Apabila mereka membaca surat-surat  yang mengandung ayat sajdah [akhir surat al-A'raf; ar-Ra'd: 15; an-Nahl: 50; al-Isro: 109; Maryam: 58; al-Haj: 18 & 77; al-Furqan: 60; an-Naml: 26; as-Sajdah: 15; Shaad: 24; Fushshilat: 38; an-Najm: 62; al-Insyiqaq: 21 dan al-'Alaq: 19]
Kekuatan ilmu pelet atau pengasih asmara yang dikatakan hebat itu akan hilang dengan sendirinya apabila orang yang merasai dirinya diguna-gunai itu membaca al-Qur'an.
Cukupkah dengan membaca al-Qur'an daripada ayat-ayat yang disebutkan itu sahaja? Sudah tentu, apabila seseorang membaca al-Qur'an mereka akan bertanya kepada diri sendiri, kenapa tidak gunakan wuduk baca al-Qur'an itu untuk mengerjakan solat sunat dan fardu sekali? Bagi yang menambah dengan puasanya, dan solat tahajjudnya, maka ia akan menjadi benteng diri dari ilmu pengasih apa pun.
Sejauh ini, orang yang bergelumang dengan dunia ilmu pengasih adalah dari kalangan yang menjauhkan diri dari majlis ilmu, menjauhkan diri dari masjid dan surau -- maksudnya langsung tidak peduli dengan sejadah.
Dukun pengasih yang ramai temui hari ini, bijak berlakon, menampilkan gaya seperti orang alim, padahal ilmuan yang dikutip dan dijajakan kepada orang ramai adalah ilmu yang gunakan bantuan jin.
Sarana kulit harimau dan perlu ditulis atau dirajah pada bulan Muharram adalah tanda-tanda ada kecenderungan ke situ.
Itu sebab, menjadi mudah bagi golongan pemulih ilmu pengasih untuk melakukan tindakan. Dengan bertanya soalan mudah tentang amalan solat dan membaca al-Qur'an pun sudah memadai untuk mendidik pasien mereka agar terhindar dari ilmu pengasihan begitu. Wallahu a'lam. []


MAKAM PEZINA JADI TUMPUAN NGALAP KEBERKATAN?

PAPARAN ini adalah biasan daripada kisah orang tua bersekedudukan sampai lima tahun dengan isteri orang dari Jawa. Sampai sekarang masih meneruskan kehidupan yang serba bejat itu. Ini kisah benar. Nak jaga tepi kain orang bukannya mudah. Bukan tidak benci kepada maksiat. Benci sangat malah.
Begitulah bagi yang mengada-ngada nak belajar ilmu bagi mendapatkan kekayaan. Contoh, cerita mudah nak mengamalkan persugihan BABI NGEPET.
Menurut cerita kawan wartawan dari Jawa, Gunung Kemukus di Jawa sana memang jadi perhatian kebanyakan orang yang ingin menjenguk sekadar nak tahu, atau kalau ada peluang, boleh ciluk sekali.
Betapa tidak, sesiapa yang nak belajar ilmu karut di gunung ini, mereka kena jenguk gunung pada waktu dan malam tertentu.
Seseorang itu kena pergi beberapa kali barulah ilmunya mantap!
Ada banyak benda persugihan yang mereka harapkan. Semuanya bergantung kepada tuan guru, tuan bomoh, atau paranormal yang membimbingnya. Paling tidak jurukunci gunung itu [tak tahu besar mana kunci gunung itu].
Kenapa anak muda dan anak tua digalakkan naik ke Kemukus? Apa kelebihannya?
Kekadang, kita terima cerita yang tak masuk akal. Anehnya, orang tidak pernah menyoal logik atau tidak tindakan yang mereka lakukan di gunung itu.
Dulu, ada anak bangsawan yang dibuang dari istana gara-gara anak bangsawan ini melakukan sumbang mahram. Anak lelaki ketagih cinta kepada ibunya sendiri.
Cerita macam ini nak cari satu pun payah dalam ratusan ribu. Mungkin kerana itu nak dijadikan cerita agaknya. Akibat perbuatan durjana anak bangsawan dengan ibunya yang juga orang istana, maka kedua-duanya macam terusir. Si ibu dah tentu malu nak jenguk istana.
Si anak bangsawan pun berkelana ke sana-sini hingga akhirnya sampai ke Kemukus. Dia menetap di situ beberapa lama. Tetapi si ibu tetap mencari anaknya yang terbuang itu. Keduanya pun bertemu lagi.
Apabila telah bertemu, maka mereka pasti akan menimbulkan syak di kalangan orang kampung.
Orang kampung bertindak. Mereka mengepung dan menangkap keduanya. Pasangan tak senonoh emak dengan anak lelaki ini dihukum dengan rejam sampai mati.
Ketika hukuman akan dilangsungkan, anak bangsawan dari istana yang dipanggil Pangeran Samudera itu telah berwasiat.
Sesiapa yang dapat melakukan hubungan zina di Kemukus sebagaimana yang keduanya telah lakukan, maka orang itu hajatnya akan dipenuhi, dan yang paling penting, perlakuan keji yang dilakukan oleh pasangan zina mana pun akan memberi pertolongan kepada Samudera dan ibunya, dosanya akan ditebus dengan melakukan zina.
Maka, kalau difikirkan "pesanan" atau "sumpah" mengarut Pangeran Samudera ini, ia adalah pesan atau sumpah yang tak boleh dipakai. Elok dibakulsampahkan sahaja.
Akhirnya, sejak dulu sampai sekarang, makam Pangeran Samudera itu dengan ibunya sudah dijadikan makam keramat, makam yang sering dikunjungi orang, mereka datang ke situ dengan harapan untuk mengutip keberkatan darinya.
Tokoh Pangeran Samudera itu, jika benar dia adalah tokoh yang tidak perlu dimuliakan. Kelakuannya sangat jorok. Dia berzina dengan ibunya. Kalau menurut hukuman, tentulah berbeza, hukuman untuk ibu dan si anak. Tetapi pada masa dulu, agaknya orang terlalu marah, maka keduanya direjam terus!
Sepatutnya, orang yang ziarah ke makam Pangeran Samudera itu bukan hendak ngalap berkah dan melakukan hubungan seks haram seperti yang disyaratkan sekarang. Bahkan ada yang mengatakan, kalau suami isteri mahu melakukan pun apa salahnya. Orang sinting sahaja yang mahu melakukan begitu. Alasan apa pun, syarat apa pun, memang tidak boleh dijadikan pelajaran.
Seharusnya, makam yang ada di Kemukus itu dijadikan peringatan keras. Anak-anak muda tidak dibenarkan membawa pasangan masing-masing, atau tidak dibenarkan menyewa wanita untuk ditiduri sebagai syarat ngalap berkah dan ilmuan karut di situ.
Kini, gara-gara fatwa dan sumpah Pangeran Samudera itu, ribuan orang terjun ke lembah kehinaan. Nak dapatkan ilmu perlu melakukan zina dulu. Perbuatan mengunjungi makam dengan tujuan dan matlamat yang tidak benar itu sepatutnya ditegah.
Bukan tidak ada para ustaz yang geleng kepala dan sudah berbuih nasihatkan anak-anak muda agar jangan naik ke Gunung Kemukus. Jangan ziarah makam Pangeran Samudera itu. Buang masa. Tidak ada manfaatnya. Bahkan kesyirikan yang mereka peroleh. Belum lagi dosa berzina. Dosa mengagungkan kelakuan bejat yang sepatutnya dibanteras!
Bagi orang yang mencari keseronokan, mereka pergi ke Kemukus bukan soal mahu ngalap berkah lagi, tetapi mahu ngalap ketelanjangan yang ada. Syarat ilmu bukan begitu. Tidak perlu mensyaratkan mereka perlu melakukan kerja hina itu sampai tujuh kali atau berbelas kali agar keberkatan itu tumplek di depannya! Ada-ada sahaja! []

KES BERSEKEDUDUKAN SI TUA DENGAN INDON MUDA

TADI petang saya menjengah Chow Kit sebab ada urusan yang tak berapa penting pun. Terserempak dengan kawan lama Pak Jalal, orang Perak yang sudah lama tinggal di celah Kuala Lumpur, tinggal di Flat Selayang, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur. Dia tarik saya ke sebuah restoran Jawa di JTARKL. Saya sebenarnya tak berapa berkenan masuk ke situ, hanya kerana nak memenuhi hajatnya, saya masuk juga. Rupa-rupanya ada masalah besar untuk pesan minuman. Kalau pelayan tanya nak minum apa, kena jawab, "Teh tarik atau kopi tarik!" itu yang pelayannya faham. Kalau hanya sebut nak minum teh! Maka kelam-kabut pelayannya. "Teh panas?" itu yang ditanya balik. Sebenarnya dalam bab order ini, dari dulu saya sudah jelaskan. Selagi orang tak sebut ais atau es, jangan sibuk nak tanya ais atau es. Pelayan warga Indonesia masih tidak memahami budaya memesan minuman di Kuala Lumpur. Akhirnya cerita lama berulang lagi. Kalau anda hanya memesan teh! Mereka pening kepala. Memang tak reti nak buat. Lantaklah.
Cerita sebenarnya, Pak Jalal nak beritahu, dia tinggal berjiranan walaupun berlainan lantai flat. Dia tinggal di lantai UG sementara Pak Ranrif di tingkat empat. Dia kenal sangat dengan Pak Ranrif [bukan nama sebenar]. Dia polis pencen. Asal dari Perak.
Yang Pak Jalal risau sangat, sebab masa depan polis pencen ini tidak menentu kerana dia sedang dikuasai sepenuhnya oleh seorang wanita genit, 36 tahun, isteri orang dari Jawa Timur. Setepatnya dari Desa Maron, Boyolangu, Kab.Tulungagung, Jawa Timur. Si Minah Indon yang naksir lelaki pencen ini, bukan kerana cinta, bukan kerana sayang atau apa, tetapi kerana dia kini berkuasa untuk memegang kad ATM Pak Ranrif. Maka setiap bulan, dia boleh jolok mesin ATM sesuka hatinya. Khabar dari pelapor ini, pencen dia dan isterinya tidaklah banyak, ada dalam dua ribu lebih. Tetapi Minah Indon ini boleh bergaya sakan di tengah Kuala Lumpur bersama Si Tua yang kini berkerusi roda. Dialah yang menolak kalau nak pergi ke mana-mana. Itulah pembantunya yang setia.
Semalam, jam 1.00 pagi kata Pak Jalal, satu operasi kes bersekedudukan sudah dilaporkan. Pak Jalal pun duduk menunggu di rumah. Dia mahu dirinya dirahsiakan. Jangan bocorkan, nanti riuh satu flat di situ. Pak Jalal terpaksa repot kerana dia dah tak tahan. Tak tahan melihat polis pencen ini tak sedar diri, tak mahu dengar nasihat. Dulu kedua matanya yang rabun kelam terus. Tak boleh nak tengok apa. Pak Jalal yang ajak dia berubat, jumpa doktor pakar. Sebelah mata boleh melihat. Cadang nak jumpa doktor lagi untuk mata yang sebelah. Maklum kawan ni polis pencen, kawan satu kampung juga dari Teluk Intan, Perak sana.
Nak tolong dia apa salahnya. Tetapi Minah Indon sudah marah-marah.
"Jangan sibuk-sibuk mahu tolong laki saya, saya tahu kamu memang nak butakan laki saya!" kata Minah Indon itu. Pulak dah! Dia nak tolong kawan, dia pula kena tuduh begitu.
Jadi, dalam pengamatan Pak Jalal, Minah Indon ini memang suka kalau Pak Ranrif atau Abang Ran ini terus buta matanya. Sebab, kalau dah buta, hal ehwal duit, semuanya adinda Indon boleh uruskan. Cukup cerdik!
Kata Pak Jalal, minah Indon ini dulu pernah kena tangkap. Masuk tahanan dan kemudian hantar ke kampung asalnya. Selama lima bulan kelibatnya tidak kelihatan. Dasar kerinduan sudah membuak-buak, maka si genit pun datang semula mencari abang sayangnya di Kuala Lumpur.
Setelah bertemu, mereka menyambung persahabatan. Abang sayang, adik sayang. "Abang saya perlu wang untuk bikin rumah di Maron, itu rumah kita jugak!" rayunya sambil bermanja.
"Berapa kamu mahu?" Si Tua pantang dimanjai di genit. Apa kemahuannya dituruti.
Maka lurutlah wangnya. Menurut Pak Jalal dulu RM17,000 dihabiskan untuk dihantar pulang ke kampung. Urusan hantar wang cukup mudah sekarang. Di mana-mana ada ejen penghantaran wang.
Begitulah setiap bulan. Selagi abang disayang masih ada tabungan, maka adik cantik ini mendapat wang belanja. Dia tak perlu kerja di warung mamak. Tak perlu jadi pembersih lantai di mana-mana pejabat atau gedung. Tak perlu naik bas turun bas pagi-pagi.
Si Tua ini tidak sedar diri kata Pak Jalal. Ketika dia leka tinggal berduaan dengan si genit itu, setiap hari akal pendeknya merancang untuk berkahwin di Kuala Lumpur ini. Minah tadi isteri orang. Si suami ketika dihubungi, bagaimana isteri kamu kok mahu kahwin sama orang Kuala Lumpur? "Gila! Dia, aku kan suaminya, nggak ada problem perkahwinan kami! Masak mau cereiii!"
Kecoh juga di kampung sana. Sebenarnya, ramai yang tidak perasan, berapa ramai Minah dari seberang yang nikah lagi walaupun masih bersuami? Kes melucukan ini memang pernah terjadi.
Kenapa Pak Jalal sibuk-sibuk? Dia mahu menyelamatkan Si Tua itu agar tidak jadi bongok dimainkan Si Bunarti yang ayu. Pak Jalal kawan senegeri, kawan sekampung.
Cara nak selamatkan diri Si Tua itu adalah dengan menghubungi penguatkuasa jabatan agama tempatan. Setelah dihubungi, Pak Jalal menunggu hasilnya.
Operasi jam 1.00 pagi gagal menemui Si Tua dan pasangannya. Mereka seperti telah menghidu ada "checking" di rumah tingkat 4 itu. Sekarang Pak Jalal musykil, munasabahkah Si Tua yang berkerusi roda dan perlu ditolak oleh wanita Indon itu boleh melarikan diri pada waktu pagi ketika operasi dijalankan. Ia dijalankan setelah ada aduan! Tidak cukup itu dia juga sudah buat aduan ke Kedutaan Indonesia. Surat menyurat ditunjukkan kepada saya. Nampaknya, dia bersungguh-sungguh sekali.
"Habis malam ini nak panggil lagi jabatan agama buat tangkapan?" tanya saya kepada Pak Jalal.
"Seganlah, nanti mereka kata saya menipu. Dah panggil bilik kosong tak ada orang, ke mana mereka lari?" rungut Pak Jalal.
Pak Jalal juga risau ada ada permainan lain yang menyebabkan tangkapan itu gagal. Baginya, pasangan Si Tua dengan wanita Indon yang juga isteri orang itu elok disegerakan. Jangan tangguh. Sudah lima tahun mereka bersekedudukan di situ! Bukan sehari atau dua hari!
Kalau kita baca akhbar, wah, tangkapan sana, tangkapan sini, baru lepak di hotel murah sudah kena cekup. Sedangkan yang ini, inilah yang menghairankan Abang Gambar, kawan kita ini, LIMA tahun berada dalam keadaan aman -- seolah-olah suatu istidraj pula!
Abang Gambar ada bagi nombor hpnya. Nombor telefoon rumah sekali di Jalan Raja Laut. Nak buat lagu mana? Plan A tak jadi, kena tukar Plan B. Tapi mereka ada Plan C pula.
Menariknya, sejak Si Tua ini lepak di bilik pengap yang disewa [tuan rumahnya dari seberang juga, sewa atas sewa] Si Tua itu sudah kehilangan hartanya satu persatu. Tanah sawit dan bendang sudah dijual oleh adik beradiknya di kampung. Tanah sekangkang kera di Gopeng pun sudah habis. Sedangkan ketika sembang cadang nak buka stesen minyak di Gopeng.
Habis sekarang nak buat apa? Telahan awal saya, Si Tua ini jadi bodoh kerana ada "ilmu" yang dikenakan oleh wanita dari Tulungagung ini. Rupa-rupanya benar. Sudah tiga kali lemparan bola api ditujukan ke rumah Pak Jalal. Kali pertama ke arah pintu depan pada waktu tengah hari. Kali kedua menghala ke dapur ketika isterinya sedang memasak. Dan ketiga ke meja komputerinya. Dia tidak ada di rumah.
Jadi, memang ada kerahan dari pihak sana, agar gangguan itu hadir di KL. Bukan setakat bola api, kemungkinan Si Tua itu juga sudah diguna-gunai oleh wanita itu. Ambisinya mahu menjadi isteri Si Tua itu biarpun isteri seminggu. Dia mahu merebut hartanya meskipun tinggal secuil dalam bentuk duit pencen. Itu akal dia. Tetapi Pak Jalal ada akal lain pula. Dia tidak mahu Si Tua ini ludes dikerjakan oleh adik manis dari Tulungagung ini.
Walaupun saya ada nombor telefon Abang Gambar, saya tak akan hubungi. Sebab saya sudah jelaskan begitu. Biar dia berurusan dengan pegawai penguatkuasa itu lagi. Kita nak tengok apa hasil dan apa tindakan mereka! []

Tuesday 14 May 2013

MITOS PETANI LAWAN PETIR, SIAPA MENANG?

CERITA mengenai petir ini sudah lama orang dengar. Ada kalangan tertentu kalau mendengar bunyi guruh di langit air dalam pasu dicurahkan untuk menadah air baru. Ada orang marah-marah kalau sedang asyik bekerja tiba-tiba diganggu oleh suara petir yang dahsyat. Apabila tidak ada pertimbangan, orang itu akan memandang ke langit dan mencabar ke arah langit.
"Turun kalau berani lawan denganku!" begitulah cabaran seorang petani bernama Bagus Songgom. Nama yang asing kepada kita di Malaysia. Bahkan di Jawa pun orang tidak tahu siapa lelaki ini selagi tidak disebut nama lain yang dikenali Ki Ageng Selo.
Di Malaysia pula menurut cerita arwah Pak Wan Kelantan, ada petani ladang tembakau marah kerana duit sudah dihabiskan untuk tanaman tembakau tiba-tiba apa yang diharapkan dibantai angin ribut. Petani itu mengamuk seolah-olah mencabar sesuatu -- entah siapa yang dia nak marah.
Adakah dia marah kepada angin? Dan semena-mena kata Pak Wan, lelaki itu telah dipatuk ular tedung berbisa. Maka tamatlah riwayat lelaki itu kerana "mencabar" sesuatu yang tidak sepatutnya dicabar. Itu cerita kita, entah betul atau fiksyen untuk mengajar umat agar jangan celopar.
Berbalik kepada Ki Ageng Selo tadi, dia pun tergolong orang yang bengkeng juga di zaman muda. Maklum dia keturunan bangsawan. Di kalangan kaum Melayu pun ada yang begitu, memandang keturunan, kalau bergaduh atau bertengkar, dia akan ungkit siapa keturunannya.
Ageng Selo memang nampak hebat dari pertuturannya, tetapi dia takutkan darah seladang. Masa dulu sesiapa nak jadi prajurit Tamtama, Demak, dia kena berlawan dengan binatang dulu. Kira macam adu lembu liar atau kerbau liar. Disebabkan anak bangsawan ini takut darah mencurat, dia tak layak jadi tentera.
Dia balik kampung jadi bodoh. Masuk ke hutan, duduk sana, duduk sini. Masuk ke gua, duduk bawah pokok, naik gunung, turun gunung -- pendeknya apa yang dibuat oleh Ageng Selo itu betul belaka. Orang kata, dia bertapa di situ. Untuk apa? Mencari ilmu. Ngalap berkah di mana-mana.
Tak dapat jadi tentera, dia memilih jadi petani. Kalau sudah popular, apa yang dia buat semua orang nak tahu. Dia telah marah-marah kepada petir. Dia ajak petir berlawan kalau berani.
Maka Sang Petir pun turun ke bumi. Sang Petir konon menyamar sebagai seorang lelaki tua terbongkok-bongkok. Orang tengah marah, datang pula orang tua ini. "Kamu siapa? Kamu tak tau aku sedang marah-marah kepada petir di langit, kamu pula datang ke sini, mahu apa? Mau penampar?" herdiknya.
Lelaki tua yang dianggap sebagai Sang Petir itu terpinga-pinga.
"Bukankah kamu tadi mencabar supaya aku turun?" ujar Sang Petir.
"Memang!" jawab petani. "Aku memang mencabar petir, tapi bukan kamu lelaki tua tak berdaya!"
Lelaki tua itu tertawa. Dengan sebab dia tertawa maka Ageng Selo pun terus menangkap lelaki tua itu dan kemudian ditambat macam lembu pada sebatang pokok kayu.
"Kenapa kamu ikat aku begini?" tanyanya.
"Kamulah petir yang aku cabar tadi. Aku akan serahkan kamu kepada Sultan agar kamu dihukum!" ujar Ageng Selo.
Esoknya, memang benar, Ageng Selo membawa lelaki tua yang disangka sebagai Sang Petir pergi ke istana. Tetapi pihak istana tidak ambil kisah. Mana mungkin petir yang merbahaya itu boleh jadi seorang lelaki tua begitu.
"Jangan-jangan Ageng Selo sudah gila?" bisik seseorang kepada Sultan.
Maka pihak istana pun sekadar melayan begitu sahaja. Lelaki yang disangka petir itu akhirnya beredar dari istana menemani Ageng Selo.
Sayangnya, Ageng Selo tidak mahu bertanya mengenai asal-usul lelaki tua itu. Betulkah dia turun dari langit atau dari celah awan? Tidak juga. Minda kewartawanan penyiasat tidak ada dalam benak Ageng Selo waktu itu. Jadi dia tetap yakin lelaki tua itu adalah petir. Petir yang dicabarnya untuk berlawan. Adu kekuatan!
Agar cerita jadi lebih menarik, konon kehadiran lelaki tua yang disangka petir itu memberi pertanda ada kematian pembesar negeri.
Memang betul pun. Pangeran Sabrang Lor telah meninggal dunia. Penggantian pemimpin perlu diadakan segera. Majlis diadakan di kawasan masjid -- lepas solat Jumaat. Cuaca kebetulan mendung. Kilat sudah bersabungan. Ketika itulah, Ageng Selo dengan lelaki tua itu sampai ke situ.
Keduanya menadah tangan berdoa dan berharap agar cuaca yang buruk ini segera beredar kerana ada acara penting hendak dilaksanakan di situ. Mereka berdoa agar terelak dari sambaran petir.
Tiba-tiba muncul seorang perempuan tua. Dia bawa bekas berisi air. Lalu disiramnya lelaki tua yang disangka petir itu. Nah, apa lagi? Petir dan kilat sabung menyabung. Semuanya berlari mencari tempat teduh.
Apabila keadaan reda, mereka tercari-cari. Mana lelaki tua dan perempuan tua tadi? Kedua-duanya hilang. Sahlah, mereka memang keturunan manusia petir belaka.
Peristiwa itu memang menakjubkan. Semua orang kehairanan. Mungkin kerana peranan Ageng Selo yang berdarah bangsawan itu, kejadian manusia petir yang membingungkan itu dijadikan kenangan untuk sampai bila-bila pun.
Sesiapa yang pergi ke Masjid Jamek Ki Ageng Selo [dibina tahun 1885M] maka mereka boleh lihat adanya petilasan yang dikaitkan dengan nama besar ini. Ageng Selo, selain sebagai petani, khabarnya dia juga mendirikan sebuah sekolah pondok untuk anak-anak kampung belajar.
Kesan daripada cerita Ageng Selo ini amat membekas apabila masih ada orang meyakini adanya "api abadi" yang dikaitkan dengan peristiwa petir turun ke bumi sebagai lelaki tua tadi. Kalau ada acara Grebeg Maulud, seseorang petugas akan pergi ke makam dan kemudian membawa "api" ke istana untuk acara seterusnya.
Dan yang memelikkan, ada orang Jawa yang masih meminta perlindungan agar terhindar dari tembakan petir. Kalau mendengar petir, mereka akan kata, "Jangan! Kita semua ini cucunya Ageng Selo!" Dengan mengingat kata-kata itu [penulis paparkan mengikut Bahasa Malaysia, ketepatannya jauh sekali] seseorang akan terhindar dari bahaya.
Mereka berlindung dari ancaman petir dengan mengatakan bahawa mereka semua adalah cucu Ageng Selo. Jadi, sempena cerita tidak masuk akal itu, di mana Ageng Selo boleh mencabar petir untuk bergocoh di bendang, akhirnya sampai sekarang nama Selo disebut-sebut setiap kali mendengar bunyi petir.
Itu belum lagi kisah Ponari budak kecik yang katanya memiliki sejenis batu yang dipanggil batu petir. Ponari yang mendakwa jumpa batu gledek selepas hujan dan petir berdentuman, maka orang ramai pun ingin melihat batu itu. Tak pasal-pasal Ponari sudah jadi dukun cilik. Orang tua yang datang hendak memegang atau menyentuh batu itu pun ramai. Yang ingin dapatkan air batu gledek pun tidak terkira. Mereka anggap ada keberkatan air rendaman batu gledek yang Ponari miliki. Sayangnya, cerita Ponari sudah tenggelam. Di tahun 2013 ini tidak adakah wartawan buat tinjauan susulan, bagaimana nasib Ponari cilik yang sudah remaja kini?
Tadi ada disebut lelaki tua yang turun ke bendang dan disangka Si Petir telah ditambat pada sebatang pokok. Orang menyebutnya pokok gandrik [apa padanan di Malaysia tidak diketahui]. Pokok ini menjadi tumpuan orang kerana ingin mendapatkan daun kering pokok gandrik yang gugur ditiup angin. Jangan petik daunnya, nanti kamu kesurupan atau kena sampuk. Begitulah punya power pokok itu. Apa gunanya daun kering itu? Wah, boleh dijadikan azimat, tangkal, ibu duit dalam dompet. Pendeknya, kalau direndam dalam air putih lalu diminum pun ada khasiatnya.
Mengenai lelaki tua tadi, tidak dinyatakan apakah dia seorang manusia atau iblis. Ketika permulaan hijrah ke Madinah, ada pertemuan rahsia di Darun Nadwah. Dalam kumpulan itu menyusup Iblis menyamar lelaki tua. Dia mengaku dari Najed. Ikut meeting bersama untuk merancang membunuh Nabi sallallahu alaihi wasallam. Rancangan jahat mereka diketahui Nabi sallallahu alaihi wasallam melalui maklumat daripada Malaikat Jibril.
Sebaliknya Ki Selo tidak tahu apa-apa. Dia hanya percaya bahawa itu adalah petir!
Nampaknya begitulah kepercayaan dan keyakinan sebahagian kecil masyarakat yang masih belum mendapat pencerahan. Dan keadaan inilah yang orang kata memperkayakan budaya. Khabarnya, masjid yang disebut tadi turut menjadi tempat lawatan di hari Khamis malam Jumaat, termasuk orang dari Malaysia! Wallahu a'lam. [ paparan dengan penambahan penulis, baca Misteri, Bil.558, 2013, Musdar Bustamam Tambusai, Buku Pintar Jin, Sihir & Ruqyah Syar'iyyah, 2010: 222; Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtasar Zadul Maad, 2013]. []

Sunday 12 May 2013

PERCAYA CAKAP DUKUN, HABIS KENA JUAL

NAK tahu seseorang itu dukun atau bukan tidaklah mudah kalau mereka jenis memendam perasaan, langsung tak berani tampal kertas di stesen bas, pada pokok tepi jalan atau dinding rumah kedai di mana-mana taman.
Seseorang boleh tahu kalau si fulan itu jadi dukun melalui kawan-kawan, pesanan ringkas dan gosip sekampung. Ramai juga dukun yang berani tampil. Siap memasang iklan kecil atau besar.
Kalau dukun pengasih siap dengan motonya yang menarik: Kalau cinta ditolak, pak dukun siap bertindak!
Memang hebat kerja dukun. Selagi orang masih percaya kepada dukun, maka mereka boleh cari duit dengan cara mendukuni apa sahaja masalah yang diajukan orang ramai.
Dukun ada macam-macam dukun. Ada dukun baru belajar, ada dukun sudah berpengalaman, dan kurang juga dukun kurang ajar.
Ada satu cerita menarik seorang dukun yang ilmunya boleh mematikan orang lain. Orang kita sebutnya sebagai santau.
Jadi, sebagai dukun dia siap melakukan apa sahaja tugasan yang diminta oleh pasiennya dengan syarat, khidmat yang melelahkan itu dibayar.
Contoh, ada seorang wanita yang kecewa setelah mendapat tahu suaminya yang bekerja di tempat lain tiba-tiba jatuh cinta dan berkahwin dengan perempuan orang putih dari Amerika.
Maka greget yang ada dalam diri diterjemahkan dengan cara berjumpa dukun.
Apakah dia akan jumpa dukun nombor ramalan 4D? Dia mencari dukun yang sudah pasang iklan, awaslah. Sesiapa yang terkena dek amalan dukun ini orang itu akan nahas!
Wanita tadi bersila depan dukun santet. Dia minta pak dukun tolong santetkan wanita orang putih yang sudah berkahwin dengan suaminya hingga lupa dengan anak dan isteri yang tempatan.
Nah, walau dukun pura-pura geleng kepala, susah nak buat tindakan, tetapi hatinya tertawa. Wanita ini boleh dipujuk agar meneruskan niatnya.
"Aku harap kamu dapat membunuh wanita muda Amerika itu," kata wanita itu berharap.
Pak dukun bukan berkira-kira sangat dengan tugasan membunuh secara santet itu, kalau dibawa ke pengadilan pun, pihak pendakwa sukar nak buktikan.
Pak dukun berada di sebuah pulau, sementara wanita orang putih muda itu berada di daratan yang jauh. Kena menyeberangi laut juga ilmu itu.
Dipendekkan cerita, dukun itu telah mengeluarkan semacam patung buatan. Dan kemudian gambar kecil wanita Amerika itu diletakkan di bahagian mukanya.
Dia pun kumat-kamit membaca mantera karut. Kemudian dia mengambil semacam jarum lalu dicucukkan ke bahagian dada patung buatan itu. Konon, dengan cucukan jarum itu, ia akan terkena jantung orang yang dimaksudkan.
Maka di daratan sana, di rumah mewah di mana orang putih itu berada, dia telah rebah gara-gara serangan jantung mendadak.
Ikhtiar yang dilakukan oleh wanita tadi dengan bersila di depan dukun telah berjaya dilaksanakan. Berita kematian sang isteri muda turut dikirimkan kepada isteri tua. Isteri tua yang merancang "pembunuhan" itu diam sahaja dan pura-pura kaget.
Pak dukun dah dapat duit. Orang yang dikenakan santet sudah tamat riwayatnya. Jenazah dibawa pulang ke Amerika. Apa cerita sekarang?
Kerana hati sudah sakit, diperlakukan oleh suami begitu, dia mogok. Tidak mahu berdamai. Tinggal berasingan.
Pak dukun yang sudah dapat duit lumayan dari wanita itu menghubungi wanita itu lagi. Kali ini apa kelentong pak dukun pula?
Dia sudah nasihat kepada wanita itu agar berbaik semula dengan suaminya. Jangan fikirkan sangat soal dulu pernah kahwin dengan perempuan Amerika. Perempuan itu sudah disingkirkan dengan santet pak dukun.
Mungkin ada rasa bersalah yang bersarang dalam hati. Dia telah membunuh wanita Amerika itu dengan cara santet.
Pak dukun buat cerita lain pula. Seperti kisah Pak Subur yang suka mencari gadis cantik untuk dijadikan isteri tambahan sampai lebih daripada empat orang, maka pak dukun ini pun dua kali lima. Dia merancang akan jadikan wanita yang bermasalah ini calon isterinya meski wanita itu sudah ada anak dua.
Apa temberang pak dukun, konon dia sedang menggelabah kerana dapat SMS dari dalam laut. Dari istana Ratu Kidul.
Pesanan SMS dari Ratu Kidul itu mengatakan, bahawa pak dukun sakti mandraguna ini perlu segera dinikahkan dengan wanita yang pernah jadi pelanggannya untuk menyantet perempuan Amerika.
Pulak dah!
Pandai-pandai pak dukun kata Ratu Kidul buat pesanan ringkas dan padat.
Boleh percayakah pesanan dari Ratu Kidul itu?
Sudah tentu, pak dukun memberi dua pilihan, nak kahwin dengan pak dukun atau anak-anak wanita itu akan mengalami accident maut di jalan raya.
Inilah ugutan pak dukun tadi. Dengan menggunakan nama Ratu Kidul, dia paksa wanita yang juga isteri orang, yang masih belum cerai agar sudi berkahwin dengan pak dukun pula.
Mungkin pak dukun lain pun pernah buat begitu. Benda macam ini boleh direka.
Contohnya, mendapat pesan daripada gurunya yang sudah lama meninggal agar pak dukun kahwin dengan gadis genit yang sedang bersila di depan dukun.
Atau dia kata dapat pesanan dari Nabi Khidir a.s. Pesanan dari Prabu Siliwangi. Pesanan dari Hang Tuah, pesanan dari Panglima Sifulan Selempang Hitam dan macam-macam lagi.
Wanita yang diugut anaknya akan menghadapi kemalangan terus membacakan ayat-ayat perlindungan. Alhamdulillah, kata-kata pak dukun tak menjadi pun.
Itu ugutan paksa kahwin namanya. Pak dukun selain melayani orang ramai, mereka juga sesekali bernafsu lain macam. Mana yang menggetarkan sukma, itulah yang diincarnya. Maka wanita isteri orang tadi pun dia gila sangat. Entah gila keseksiannya atau gila duitnya [teringat dukun di Hotel Kowloon, KL].
Pelawaan untuk kahwin dengan pak dukun yang isterinya sudah lebih dari lima tentulah mengejutkan. Dukun apa ini? Tidak tahu hukum agamakah?
Itu sebab orang sudah nasihat, percaya cakap dukun, habis kamu kena jual.
Lagipun wanita tadi tentu sedar, "Barang siapa yang mendatangi dukun atau arraf lalu membenarkan apa yang ia katakan, maka ia telah kafir terhadap apa yang diturunkan  kepada Muhammad." [HR Ahmad, al-Hakim dan al-Baihaqi].
Ada juga hadis yang menyebut, solat seseorang itu tidak diterima selama 40 hari hanya kerana duduk bersila bertanyakan itu ini dan percaya kepada dukun [baca HR.Muslim, 2230].
Mungkin bagi orang yang taksub kepada Ratu Kidul akan percaya kepada kata-kata pak dukun tadi. Agaknya kalau disuruh kahwin dengan dukun pun dia sanggup.Lagipun kata pak dukun, Ratu Kidul akan datang menyaksikan majlis pernikahan itu nanti.
Jadi, bukan sebab nak nikah dengan dukun, sebaliknya nak tengok bagaimana rupa Ratu Kidul itu. Nah, sekali lagi, percaya cakap dukun, habis kena jual!
Cerita orang kena jual pak dukun sudah banyak dilaporkan di negara kita. Yang kena potong-potong macam lembu korban pun ada. Jadi, berhati-hatilah dengan kata-kata pak dukun. Wallahu a'lam. []

MITOS DAN MISTIK DI SISI JENGLOT

JENGLOT ini apa bendanya?
Di Malaysia, kalau ada pameran benda-benda mistik atau misteri, maka makhluk yang bernama jenglot itu akan dipamerkan.
Pedagang kaki lima juga ada yang membawa jenglot. Ditata rapi dan disimpan dalam bekas. Ia begitu berharga untuk dipamerkan walaupun sekejap.
Dilihat sekali lalu, jenglot ini seperti makhluk hidup yang mati dan kemudian diawetkan.
Rupanya menyeramkan bagi kanak-kanak.
Kalau yang lemah semangat boleh meracau waktu malam. Orang Jawa sebut "gilapen" - susahlah emak bapak hendak redakan tangisan.
Kalau gerun kepada jenglot, baik jangan tengok.
Di Malaysia ramai juga orang yang memiliki makhluk jenglot ini. Dengan tubuh yang kecil, berambut hitam dan panjang berjurai, ada sepasang gigi taring yang terlalu menjolok, matanya melotot hitam, mata si mayat jenglot.
Ada yang menyebutnya bethara karang. Jadi, baik jenglot atau bethara karang, ia adalah benda yang sama.
Ia adalah sejenis mumi berukuran kecil, paling kecil 5cm atau 10cm. Jenglot awetan itu seperti tubuh manusia yang kurus kering, berkuku panjang, rambut sampai ke kaki, mata melotot tidak berkedip. Hanya ada yang hitam sahaja, warna putih langsung tak ada.
Kalau sesiapa yang biasa melihat barongan, topeng Leak di Bali itu ada persamaan kerana ia bertaring besar dan mata melotot yang menakutkan.
Apa sebenarnya jenglot ini? Apakah ia berasal dari manusia? Dari bayi yang diawetkan seperti "anak kerak" yang dicipta oleh cerdik pandai ahli spiritualis Thai?
Sudah ada kajian para doktor untuk menentukan makhluk apakah jenglot ini. Dikaji DNAnya semua. Apa hasilnya?
Mereka kata jenglot ini mempunyai kromosom yang mirip manusia.
Tentang asal-usulnya?
Ada yang kata ia dicipta oleh manusia dengan melakukan ritual tertentu seperti membuat "Anak Kerak" Siam [bayi dilayur di atas bara api sehingga kecut sambil dipuja dengan mantera mereka].
Ada pula yang kata bahawa jenglot ini adalah makhluk yang sedang menjalahi hukuman kerana banyak melakukan kesalahan.

KISAH BERKAITAN DENGAN JENGLOT
Pandangan ini akan dikaitkan dengan kisah yang berlaku di Sumatera tidak lama dulu oleh seorang lelaki yang dikatakan menyimpan jenglot sekadar untuk suka-suka sahaja. Dia minat kepada benda mistik, dan salah satunya jenglot.
Kisah menjelang tahun 2009 selepas sambutan tahun baru yang gemilang. Berlaku perkara yang tidak diduga, rumah jiran di depan telah roboh menyebabkan malam itu kecoh benar. Rumah yang roboh itu mungkin hanya kebetulan kerana fenomena cuaca, hujan dan angin kencang.
Tetapi lelaki yang menyimpan jenglot di atas almari dikejutkan oleh suara lelaki tua: "Kulonuwuun!"
Lelaki itu tidak mengucapkan salam seperti kebiasaannya, tetapi dengan bahasa Jawa halus.
Setelah dilihat, lelaki tua yang berdiri itu kelihatannya berpakaian secara orang zaman dulu.
Bolehkah anda bayangkan tahun 1400 yang silam? Zaman Melaka di Semenanjung Tanah Melayu. Kita pun tak tahu apa bahan pakaian dan warna serta potongannya.
Lelaki tua itu sudahlah kurus, berambut putih, kulit kehitaman dan kerepot, kelihatan tulang belakangnya menonjol, badannya bongkok membawa haruman seperti ada bakaran dupa [wangian zaman dulu agaknya].
Ikut cerita, lelaki tua ini bertutur dalam bahasa Sanskrit dan Jawa Kawi.
Mengikut kefahaman lelaki itu, orang tua yang datang itu ingin menumpang di rumahnya. "Nama saya Mpu Suro!"
Biasanya kalau dipanggil Mpu ia memberi gambaran keahlian orang itu. Mpu Gandring umpamanya orang yang mahir mencipta keris. Apakah Mpu Suro ini ahli dalam pembuatan keris di masa silam?
Kehadiran orang tua misteri itu berulangan lagi.
Mpu Suro masih ingin bertemu dengan lelaki itu, untuk apa? Maka, akhirnya tahulah dia bahawa lelaki misteri itu ingin bertemu dengan "jasad"nya yang diletakkan di atas almari itu. Itulah benda jenglot yang orang tak tahu misteri di sebaliknya.
Mungkin ini kes yang terpencil. Tidak semua jenglot mengalami perkara yang sama.

SEJAK 1400 TAHUN SILAM
Daripada kedatangan lelaki pelik itu tahulah, bahawa jenglot yang disimpan itu ada kaitan dengan lelaki misteri yang mendakwa telah hidup sejak 1400 tahun silam.
Melalui temu-bual dengan "kembaran" jenglot itu, lelaki itu berkata dia bukan manusia biasa. Dia tidak makan roti canai, nan dan nasi lemak. Dia hanya mahu minum darah binatang. Tak kira binatang apa yang dia temui. Jadi manusia jangan takut kepada jenglot. Jenglot tak makan darah jenis "O" tetapi darah haiwan. Tentang cara bagaimana jenglot makan darah itu hanya misteri mereka sahaja.
Kenapa Mpu Suro merayau-rayau ke situ waktu malam dan membuat pengakuan bahawa dia telah hidup sejak tahun 1400 itu?
Bukankah nanti akan mengejutkan para budayawan dan sejarawan tanah air?
Ahli sejarah mana peduli kepada jenglot. Sebut jenglot pun mereka ada yang tak tahu!
Daripada pengakuan mistik itu, jelaslah, dulu Mpu Suro yang tidak beragama itu [dia hidup sebelum Islam disebarkan] dia orang yang berilmu. Ilmu yang dipelajari masa itu adalah ilmu keabadian. Apa matlamatnya? Ya, tidak lain, agar badannya kekal dan tidak akan mati dan hancur.
Kalau jadi jenglot begitu, apakah badannya yang dulu tinggi dan besar, ia semakin mengecut mengikut tahun? Bayangkan sejak 1400 badannya mengecut sehingga seperti jenglot dalam kotak itu.
Tidak siapa boleh jawab soalan mistik ini. Atau hanya penipuan jin dan syaitan yang menyamar?
Konon, lelaki misteri itu mengadu dia tidak boleh meninggal dunia hingga sekarang gara-gara amalan sesat yang dipraktikkan.
Tambahan ketika itu dia belum tahu tentang Islam. Kerana ilmu itulah kata lelaki misteri itu dia dalam keadaan terseksa. Betapa tidak, dia tidak boleh makan kecuali darah sahaja. Dia tidak tidak boleh mati dan bumi tidak menerima jasadnya. Ia sedang menjalani hukuman, sebagai hukum karma Hyang Wisesa kerana kesalahan yang telah dia lakukan pada masa silam.
Sejak sekian lama, katanya dia sentiasa meminta ampunan kepada Hyang Wisesa [Tuhan yang dia yakini pada zaman itu] dia berharap agar dia boleh mati dan jasadnya hancur dimakan tanah.

MINTA DIDOAKAN
Mengikut cerita mistik ini, Mpu Suro datang dan berharap sangat agar pemilik jenglot itu mendoakannya. Mintalah kepada Hyang Wuhud -- menyempurnakan -- agar dia boleh mati.
Akhirnya lelaki itu berjanji akan memohon ampunan itu kepada Allah Subhanahu wa Taala. Semoga ia diperkenankan walaupun lelaki itu ketika hidup dulu kepercayaannya berbeza.
Dia terkejut apabila disebut Allah Subhanahu wa Taala, kerana seribu tahun dulu dia tidak mendengar nama itu disebut orang. Atau dia tidak bertembung langsung dengan para mubaligh yang mengembangkan Islam ketika itu. Setelah diterangkan siapa Allah itu, lelaki itu lenyap dari pandangan.
Apa kaitan cerita lelaki ini dengan jenglot?
Ketika ingin melihat jenglot di atas almari, lelaki itu perasan ada makhluk mengekori di belakang. Tidak salah lagi, itulah lelaki misteri itu. Dia datang lagi rupanya.
Lelaki itu beritahu, bahawa dulu dia pernah dipelihara oleh seorang lelaki Jawa, Kang Man namanya.Kang Man dulu tinggal di rumah yang telah roboh itu.
"Pak Man telah menjual diriku dengan harga ratusan juta, dengan duit itulah Kang Man beli rumah. Rumah yang roboh itu," terang lelaki tua itu lagi.
Maksud menjual dirinya itu, dulu Pak Man ada menyimpan jenglot. Jenglot itu dijual dengan harga yang tinggi dan duitnya digunakan untuk membeli rumah. Secara tak langsung "jenglot" itu tinggal di rumah yang roboh itu.
Lelaki tua itu walaupun merupakan "kembaran" kepada jenglot, ia masih sempat memberi nasihat kepada manusia. Dia kata, manusia walaupun diberi ilmu kesakstian sehebat dan sebesar manapun, jangan sampai lupa dan menafikan kewujudan Gusti Allah [dia tahu sebut setelah mendengar orang tadi menyebutnya].
Itu gara-gara mengamal ilmu keabadian. Dia kata, dia telah menerima hukum karma sejak ratusan tahun dulu lagi. Mujur dia boleh bertemu dengan lelaki yang menyimpan jenglot mistik itu. Rupa-rupanya jenglot itu ada di rumah berhampiran walaupun sudah lama dijual oleh orang lain. Tidak diketahui pada tahun bila jenglot itu dijual dan kemudian dimiliki oleh seseorang yang membelinya. Dari pembeli itu kemudian ia bertukar tangan. Bagi yang tahu mistik jenglot mereka akan menyimpannya. Yang tidak tahu, akan membiarkan sahaja [ulasan paparan Misteri, Ed. bil.558, 2013]. []

Saturday 11 May 2013

LARUNG SESAJI RATU KIDUL BAKAL LUPUT

KESAN daripada majlis ilmu, penerangan dan forum yang dianjurkan di mana-mana, belum lagi kritik dan saran melalui laman sosial, maka masa depan aktiviti budaya yang dimegahkan larung sesaji untuk Ratu Kidul mungkin akan luput tarikh juga pada suatu masa nanti.
Orang yang berkeyakinan tinggi akan kewujudan perempuan mistik itu memang tidak mahu mengalah, kerana mereka mahu meneruskan kegiatan melarung sajian bagi tujuan budaya.
Bahkan bukan tidak ada hujah dari kalangan tertentu mengatakan kalau pun disediakan kepala kerbau dan berbagai benda lainnya untuk ritual larungan itu, ia bukan untuk santapan perempuan mistik itu. "Dia tidak perlu kepala kerbau atau sajian untuk dimakan. Kalau mahu dia boleh ambil tumbal kepala manusia!"
Begitulah yang membidas dengan nada marah-marah.
Komentar tentang larungan sesaji ini timbul kerana mereka ada yang merasakan bahawa ritual melarung sajian sudah kehilangan bobot.
Apalagi ada pihak yang melarang perbuatan mempersembahkan kepala kerbau begitu kepada Ratu Kidul. Ini sudah kira baik. Maknanya, sudah ada kesedaran pihak tertentu di kalangan para ulama untuk tampil menasihatkan umat yang selama ini berkeyakinan tinggi terhadap Ratu Kidul agar mengendurkan keyakinan itu dengan penambahan ilmu pencerahan.
Pemerintah Kabupaten Sukabumi sudah melarang larungan kepala kerbau untuk Ratu Kidul. Memang, pada mula-mula orang rasa luar biasa larangan itu. Akan tetapi lama kelamaan ia akan jadi biasa. Dan pada masa akan datang orang tidak membuat larungan lagi seperti itu.

PARANGKUSUMO
Perlu dicatat, ada beberapa tempat untuk membuat larungan sajian untuk Ratu Kidul. Yang selalu disebut orang adalah di pantai Parangkusumo, Parantritis, Bantul, Jogjakarta. Lagipun konon di pantai itu adalah kesan sejarah peninggalan yang dikaitkan dengan tokoh Senopati. Dalam rekod sejarah kaum spilirutalis, Senopati adalah manusia pertama yang telah melakukan pertemuan dengan perempuan mistik bernama Ratu Kidul itu. Ritual yang dilakukan pada zaman dulu adalah ritual para kaum bangsawan, tetapi kemudian, ia menjadi ritual yang mahu dilakukan oleh semua orang, asalkan mereka fanatik kepada Ratu Kidul, yakin akan wujudnya, yakin akan keberadaannya dan menyakini hubungan misitk kraton dengan perempuan itu.

PELABUHAN RATU SUKABUMI
Selain itu di Pelabuhanratu, Sukabumi, Jawa Barat, ritual diadakan di sini kerana ada orang percaya bahawa di situ ada sebuah gerbang yang menghubungkan dunia manusia dengan dunia Ratu Kidul. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana rupa gerbang itu [simbolik sahaja] -- di situ pun terdapat beberapa lokasi yang dianggap keramat kerana ada kaitan dengan Ratu Kidul.
Ada tempat yang dipanggil muara Sakawayana, ia dianggap lokasi paling strategik untuk berhubungan dengan makhluk mistik itu. Sesiapa yang ingin memasuki dunia ghaib Ratu Kidul, bolehlah bermula di sini. Ada yang  mandi di tengah malam di kawasan muara itu. Konon untuk mendapatkan keberkatan.
Silap haribulan gelombang laut ganas yang menelan mereka. Itupun nanti akan jadi cerita lain, yang ditelan [mati lemas] itu telah diambil untuk dijadikan abdi di kraton Ratu Kidul di dalam laut.
Muara yang disebut ini menjadi begitu bererti kerana ia konon merupakan lokasi Prabu Siliwangi ghaib atau mereka istilahlah sebagai MOKSWA. Ia ghaib dan memasuki "alam kayangan" ---mokswa ini maksudnya telah memasuki tingkatan kehidupan yang bebas lepas dari ikatan keduniaan, kelepasan kenirwanaan; satu keyakinan yang ada kaitan dengan ajaran Hindu Majapahit [meniru kisah Pandawa Lima?]

Di tempat lain pun ada orang melakukan larungan sesaji untuk Ratu Kidul. Di Acheh khabarnya, ada kalangan tertentu yang yakin dengan kewujudan Ratu Kidul melakukan larung atau yang dikenal di Malaysia sebagai membuang ancak. Sekitar tahun 2003, ada ritual larung sajian oleh seorang paranormal Malaysia yang mengaku pernah berguru di Cirebon. Dia melakukan ritual larung sajian kepala kerbau balar untuk pelanggannya seorang lelaki keturunan Cina dari Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Larungan itu dilakukan waktu maghrib di Pantai Cahaya Bulan, Kelantan.

PENGARUH LUKISAN BASUKI ABDULLAH
Sebenarnya, bagi kalangan spiritualis yang ada sejak dulu pun, mereka tidak dapat menggambarkan bagaimana wajah Ratu Kidul yang sebenar. Rakan penulis di Malaysia yang mendakwa pernah pergi ke istana Ratu Kidul juga tak dapat menggambarkan bagaimana rupanya.
Tetapi kalau ditunjukkan gambar lukisan yang Pak Basuki Abdullah pernah lukis dulu, maka Ratu Kidul itu adalah mirip sekali dengan lukisan itu. Dia bilang "Persis!"
Sebenarnya, Pak Basuki tidak melukis gambar Ratu Kidul itu kalau tidak ada perintah daripada Presiden Sukarno ketika itu.
Sukarno yang konon pernah melakukan semedi di kawasan pantai itu pernah bertemu dengan Ratu Kidul. Kesan dari pertemuan itulah ia menjadi semacam kesinambungan cerita, baik lukisan Ratu Kidul yang dikerjakan oleh Basuki Abdullah dan pembangunan sebuah hotel yang menempatkan sebuah bilik khas, Bilik 308 Samudra Hotel untuk perempuan mistik itu.
Walaupun Basuki melukis gambar perempuan itu menurut khayalannya sahaja, namun kemudian semua orang menyatakan ia persis!
Tidak diragukan lagi ia ada persamaan. Begitulah rupanya Ratu Kidul.
Padahal Basuki melukis main agak-agak, menggunakan imaginasinya, ia berkarya secara bebas untuk sebuah potret khayalan yang tidak menyangkut pun dengan Ratu Kidul sebenar. Ia khayalan Pak Basuki.
Kini, di mana-mana pun gambar itulah yang digantung, dipamer, bahkan di hotel itu lukisan Basuki menjadi suatu perkara yang penting termasuk gambar kecil Sukarno. Maklum tokoh itu dikatakan pernah bertemu dengan Ratu Kidul. Perlu diingat gambar-gambar begini semakin mengundang syaitan kalau digantung di ruang tamu rumah kita. Kalau di bilik 308 itu, memang sesuai benar tempatnya!
Mengambil berkat cerita itu kemudian ia diusung oleh para jurukunci gerbang ghaib. Sesiapa yang ingin bertemu dengan Ratu Kidul ya silakan.
Tetapi, tetapkan di hati, untuk apa kamu nak jumpa perempuan mistik ini?
Mahu jawatan Perdana Menteri? Mahu jadi kaya billionaire! Kebanyakannya nak kayalah. Tidak tahu pula apa yang warga keturunan Cina dari Bukit Bintang, KL hajatkan.
Mereka yang sudah berkawan atau "berkahwin" dengan perempuan cantik seperti gambaran lukisan Pak Basuki itu kena siapkan sajian, kena sediakan bilik khas di rumah.
Sama seperti keadaan Hotel Samudra yang ada bilik 308, maka sesiapa yang berkawan dengan Ratu Kidul kena sediakan biliki juga di rumah. Itu bilik khusus, isteri dan orang gaji tak boleh masuk kemaskan. [ada filem SAMUDRA HOTEL, sebuah filem horor yang akan ditayangkan 5 Jun 2013 ini di Indoesia, kalau di Malaysia mungkin lewat sikit].
Berbalik kepada cerita bilik tadi, anak-anak tak boleh masuk bilik khas Ratu Kidul.
"Itu bilik khusus untuk abah nak jumpa Ratu Kidul ketika malam bulan purnama,"  begitulah kata-kata yang agaknya diluahkan oleh kaum lelaki yang sudah ikat perjanjian dengan Ratu Kidul.
Maka anak-anak pun hairan, "Mak? Siapa Ratu Kidul yang abah sebut tu mak?"
"Hiss, kamu budak-budak apa nak tahu?"
"Abah kahwin lagi ke mak?"
"Hiss budak ni, karang aku cili baru tahu!"
Begitulah agaknya insiden yang ada di rumah-rumah orang yang berkawan dengan Ratu Kidul.
Jadi, bukan sahaja di Jawa sana, amalan yang sama juga ada di Malaysia ini. Kita tidak buat kajian ada berapa ramai ahli KELAB RATU KIDUL di Malaysia ini. Namun setakat yang penulis ketahui hasil dari temubual dengan orang yang pernah berguru di sana, ada enam orang di sekitar Lembang Klang sahaja.

Kalaulah penguasa di Jawa sana telah melarang umat Islam daripada melemparkan sajian untuk Ratu Kidul, maka umat kita juga patut mengambil iktibar dari arahan ini. Meskipun yang menyertai kelab itu dari kalangan bukan Islam, kita tidak tahu, mungkin ramai lagi kalangan pekerja rakyat asing di Malaysia, baik yang asal Jawa Barat, asal dari Sunda, Sukabumi atau mana sahaja pun masih melakukan ritual kecil untuk menjaga hubungan baik mereka dengan Ratu Kidul. Andai larung sesaji Ratu Kidul ini kurang sambutan, orang tidak perlu rasa sedih atau gundah gulana. Sepatutnya mereka rasa bersyukur kerana telah ada pencerahan di mana-mana. Wallahu a'lam. []

Friday 10 May 2013

ISU MB PUN JADI KALUT?

Pada perkiraan rakyat biasa, mana-mana parti yang mempunyai kerusi lebih, maka kerusi MB kena bagi kepada parti itulah.
Tetapi dalam perkiraan Pakatan Rakyat, di mana ada tiga parti komponen utama - Pas, PKR dan DAP pertimbangan lain perlu dititikberatkan.
Bukan soal siapa mempunyai kerusi lebih. Kalau nak beri kepada DAP pun apa salahnya, biar orang DAP jadi MB Selangor.
Akan tetapi mungkin para pemimpin PR ada perkiraan lain, sekiranya DAP sudah memiliki Ketua Menteri dari DAP, Kelatan sudah ada MB dari Pas, apakah Selangor yang menjadi negeri kesayangan UBN akan diberi kepada Pas pula?
Jika begitu, Pas memiliki dua negeri -- Kelantan dan Selangor. DAP ada Pulau Pinang. Maka meloponglah PKR kerana tidak ada negeri yang nak diuruskan.
Ada perkiraan lain, bahawa PR berpaksi kepada PKR. Ia yang menggerakkan penyatuan parti-parti lain. Fenomena rakyat berhimpun juga ada kaitan dengan kebersatuan tiga parti ini di dalam PR. Ia tidak mampu bergerak sendiri.
Sudah diketahui umum, dari pengalaman lampau, mana-mana negeri yang ditadbirurus oleh MB Pas semuanya terlepas hanya sepenggal atau tak sampai sepenggal kecuali negeri Kelantan yang perlu dilihat dari sudut lain pula.
Kemungkinan sekiranya Kelantan itu bukan di negeri Kelantan, atau di mana-mana negeri lain di Semenanjung, ia juga sudah lama terlepas. Itu menurut analisis para peminat politik di Lembah Klang.
Jadi, kita kena renungkan. Janganlah isu MB dijadikan punca perbalahan. Jika kita terus berbalah hanya sebab kerusi siapa yang banyak, maka jangan marah, Selangor juga akan diberikan oleh rakyat kepada UBN sebagai tanda protes!
Apakah bukan suatu penilaian yang salah jika dikatakan bahawa Selangor tetap bertahan kerana ia ditadbirurus oleh orang yang berpengalaman dalam hal ehwal kewangan dan korporat? Sementara yang kurang mahir dalam soal ini mereka gagal mengekalkan momentum sokongan rakyat.
Bukti telah ada apabila Terengganu, Perak dan Kedah [yang terbaru] hanya sekejap sahaja di tangan PR.
Jadi, untuk apa kita berbalah hanya kerana MB?
Kena buktikan dulu kemampuan mentadbirurus sebuah negeri. Percayalah, bahawa Selangor tidak sama dengan Kedah, tidak sama dengan Perak dan Terengganu. Bahkan ada kalangan penulis politik di Lembah Klang berpendapat kalau Selangor diterajui oleh MB dari Pas, kemungkinan kerusi yang dipertandingkan oleh PR makin merosot.
Sekarang, sesiapa pun yang kemaruk jawatan, bermulalah dengan jawatan Exco dulu. Tunjukkan kemampuan dan kebolehan. Bukan terus kepada jawatan MB. Sebab jawatan ini bukan untuk bermegah dan menerima ucapan tahniah setiap hari selama setahun. Bukan itu. Kesinambungan rentak pentadbiran itu perlu ada agar ia tidak diganggu gugat oleh musuh utama iaitu Umno.
PR akan jadi tempang kalau PKR langsung tidak diberi hak menjaga negeri. Lagipun telah banyak diperkatakan bahawa kekuatan yang menyatupadukan rakyat sekarang adalah dari PKR. Sama juga orang memerlukan Anwar dalam perjuangan PR. Di Kelantan sendiri pun sudah merasakan sesuatu yang berbeza apabila TG Nik Aziz tidak jadi MB Kelantan. Suasananya lain, meskipun MB sekarang adalah orang baru.
Percayalah, ia akan jadi sasaran puak-puak Umno pula untuk menguji kemampuannya. MB yang lepas memang telah diuji dengan bermacam perkara.
Mulai sekarang, kita kena fokus kepada urusan mentadbirurus negeri yang kita jaga. Ingat. Daripada bilangannya cukup sebelah tangan, kini kita ada tiga negeri sahaja. Maknanya semakin kecil. Apakah nanti tinggal jari telunjuk macam 1Malaysia juga?
DAP tak mungkin dapat dikalahkan oleh UBN kerana kerajaan Pulau Pinang memang mantap. Hanya yang dirisaukan adalah di Selangor dan Kelantan. Kenapa? Ada perkiraannya, andai kekalutan menentukan MB pun sampai jadi kecoh seperti yang berlaku baru-baru ini. Jarum Umnoisme pun menyucuk sama. Wallahu a'lam. []

TERUSKAN AGENDA BUKAN KONFLIK

Kalau dilihat dari luaran, tanpa mengira peratusan pengundi yang telah memilih Pakatan Rakyat, kita dulu ada beberapa buah negeri kebanggaan ditadbir oleh Pakatan Rakyat [PR].
Bayangkan, dulu kita ada Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Sayangnya, apabila telah diberi mandat untuk mentadbir urus negeri-negeri tersebut, kita semacam cuai dan gagal menarik hati rakyat yang telah mengundi kita.
Tanpa mengira adanya permainan daripada pihak musuh kita -- Barisan Nasional [BN], kita kena melihat ke dalam diri kita, apakah kita ini benar-benar berkemampuan mentadbir urus negara, sedangkan untuk mengurus sebuah negeri yang telah dimenangi pun kita tidak berupaya.
Di mana silapnya?
Mungkin ada yang telah lupa, negeri-negeri yang disebut ini bukanlah kita takluk dalam satu pilihan raya. Dulu umpamanya kita pernah menguasai Terengganu. Hanya sepenggal sahaja negeri itu berada dalam cengkaman Pas.
Dulu kita pernah menguasai Perak, tetapi sayangnya permainan licik puak BN kita tidak ambil kira. Berbagai kaedah pecah belah telah dilakukan, dan akhirnya Perak pun terlepas walaupun ceritanya sangat melucukan, sampai berusung-usungan, bersidang bawah pokok dan macam-macam cerita lucu lagi.
Kemudian setelah Perak terlepas begitu sahaja, kita hanya ada Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Kekuatan PR di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor memang tidak boleh dipertikaikan.
Akan tetapi, apakah kita tidak terfikir bahawa suatu masa nanti, kalau kita terus berpolitik, masih berbangga-bangga dengan sesuatu isu, dalam masa yang sama, musuh kita selain BN, ia adalah media yang sentiasa mengintai di mana ada kelemahan kita.
Media akan mainkan peranan melakukan kacau ganggu, mengocakkan kedamaian yang ada. Mereka telah berjaya melakukan kacau ganggu di Kedah. Terbukti Kedah sudah jatuh ke tangan BN.
Apakah kita mampu merampas Kedah,Terengganu dan Perak yang sudah terlepas?
Soalan ini sukar juga nak dijawab.
Jangan mengira fenomena ceramah yang hebat sebagaimana yang anda telah saksikan melalui YouTube atau Video apa pun, kita kena terjemahkan keramaian itu dalam bentuk undi popular pula.
Pilihan raya akan datang masih jauh lagi. Tetapi jangan difikir jauh sangat, kerana masa terus berjalan. Tahu-tahu sudah masuk tahun ke empat, dan bermulalah musim kacau ganggu oleh media.
Media adalah musuh kita. Kita tersepit oleh mainan media yang begitu ganas dan kasar. Ketika mereka bercakap tentang perpaduan ummah mereka tetap meneruskan agenda pecah belah. Ketika mereka bercakap tentang kesederhanaan dalam Islam, mereka terus berkasar dalam melaporkan sesuatu.
Sebenarnya, silap kita sendiri. Begitu ramai pemimpin PR yang ada hari ini, sesekali terperangkap oleh mainan media.
Hari ini mereka laporkan cerita baik. Bulan depan mereka cetuskan kontroversi hasil dari pertanyaan melalui telefon sahaja. Soalan provokasi yang menyebabkan kecoh satu Malaya.
Bukan kita tidak ingat bagaimana media mainkan berbagai isu sebelum tarikh mengundi sampai baru-baru ini. Peliknya, tokoh kita tak kira dari mana parti pun selagi masih dalam PR, mereka kena satu hati, satu pendirian, jangan terkecoh oleh soalan bodoh dari wartawan. Kenapa kita layan soalan bodoh dari wartawan yang menyebabkan kita ditertawakan orang lain?
Bukankah baru-baru ini ada tokoh berwibawa boleh buat kenyataan seolah-olah tidak ada penyatuan dalam PR. Kenapa isu seperti hudud, atau isu tentang chauvinistik sesuatu kaum masih nak dilayan.
Patutnya mereka bagitahu, "Tak ada apa nak komen buat masa ini. Titik."

Ingat, belajarlah jadi matang dalam berpolitik. Lihat apa yang BN cuba kawal. Media mereka kawal sehingga tidak ada perbezaan pendapat di kalangan mereka walaupun mereka telah bertelagah begitu punya lama dalam berbagai isu. Berbeza dengan kita. Kena jolok sudah melatah. Kita kena faham, siapa yang bertanya? Siapa yang menjolok soalan itu? Fikirkan buruk baiknya dalam PR. Jangan fikir buruk dan baiknya dalam parti yang kita miliki sahaja. Kita berada dalam PAKATAN. Kena faham. Mereka yang berada dalam BARISAN cukup jaga perkara ini, sedangkan kita langsung tidak ambil peduli.
Tokoh parti Pas kata begitu dan begini. Tokoh PKR juga bercakap. Tokoh DAP juga nak bercakap. Tiga-tiga tidak sekata. Akhirnya ia akan dimainkan oleh media longkang. Nah, sekarang masa untuk kita berfikir dan merenungkan nasib masa depan PR. Bukan di tangan kita, tetapi di tangan Allah SWT jua. Kita memang lemah. Sudahlah lemah, kita perlu mengawal diri sebagai orang politik. Jangan sampai rakyat mentertawakan kebodohan kita. Buat setakat ini, tidak ada isu lain yang terus dimainkan oleh BN. Jadi kita tengok sahaja, jangan layan sangat gerak-geri mereka. Teruskan agenda, bukan konflik dalam PR. - [Penulis adalah bekas editor akhbar tabloid].[]

Wednesday 8 May 2013

PERGI ZIARAH MAKAM LEPAS PILIHAN RAYA?

Apa yang nak diwacanakan ini bukanlah satu amalan orang kita. Memang bukan budaya kita yang suka mengunjungi makam-makam orang tertentu, tokoh tertentu bagi ngalap berkah [kata di Jawa] -- ziarah makam bagi mendapatkan sesuatu.
Jangan kata kita tak akan buat. Kalau seseorang itu pergi dengan ilmu yang sedikit, mereka akan terpengaruh oleh cakap penjaga makam. Penjaga makam yang orang sebut jurukunci itu akan membeberkan tentang keistimewaan ziarah makam itu.
Bukan setakat makam, ada suatu daerah di Nusantara tu, pokok ara, pokok besar ratusan tahun usianya, batu besar, gua, pergi, air terjun atau kesan sejarah masa lampau zaman Majaphit atau Sriwijaya pun dianggap ada sesuatunya untuk diziarahi.
Kenapa perlu ziarah ke situ? Ini semua kerana ikut-ikutan dan dengar cerita orang. Orang kata, kalau nak mudah dengan urusan dunia dan politik, agar nama kita sentiasa bermain di bibir rakyat, agar disukai rakyat, agar kita terpilih, agar undi kita lebih banyak, maka kena ngalap berkah di tempat begitu.
Amalan ini belum ada di kalangan orang politik kita yang memiliki pencerahan ilmu. Sebaliknya mereka yang tidak begitu, lebih suka mendengar kata-kata temberang orang pintar. Merujuk kepada orang pintar maka jadilah tindakan yang macam-macam.
Kalau orang pintar kata pergilah ke makam sekian, kerana dulu pun ada tokoh terkenal telah buat begitu. Tengok bagaimana kedudukannya sekarang?
Termakan gula-gula orang pintar, maka dia pun setuju untuk ke makam itu.
Ngalap berkah atau mencari berkah merupakan ibadah yang perlu didasari keikhlasan dan ilmu. Mencari berkah dari Allah Subhanahu wa Taala tetapi mereka salah tuju, mencari kepada makhluk dan tempat-tempat yang tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Termasuk dalam senarai ziarah sudah tentu apa sahaja makam yang dikaitkan dengan wali-wali Allah, kuburan para Syeikh, kuburan pahlawan kuno, kuburan pahlawan mistik, pahlawan mitos, pahlawan legenda dan macam-macam pahlawan lagi.
Sesiapa yang mengunjungi Melaka, ke Makam Hang Jebat, Kasturi dan Tuah? Tak ada nampaknya, atau kita tidak tahu mereka sudah jenguk tempat itu. Atau paling tidak ke sebuah pulau di Melaka itu.
Kenapa mereka jenguk makam itu dan sanggup datang dari jauh?
Mereka sudah ditazkirahi oleh orang tertentu, termasuk orang pintar atau orang yang memang hobinya ziarah tempat begitu. Orang inilah yang ngoceh mengatakan kelebihan ziarah itu dan ini. Akhirnya termakan cerita.
Mereka meyakini bahawa penghuni di tempat itu mempunyai berkah yang layak didapatkan dan boleh meminta sesuatu kepada merela melalui ikrar atau bisikan.
Demi mendapatkan keberkatan itu mereka melakukan berbagai ritual ibadah yang tidak pernah Allah perintahkan untuk melakukannya, seperti amalan kebiasaan menyirami dengan air tertentu bercampur wangian, menaburi bunga berbagai jenis [beli di Petaling Street je], mengusap atau menyentuh nisannya, membaca al-Quran dan lain-lainnya.
Bukan tidak pelik, menurut satu sumber dari seberang, ada pula yang sampai mengerjakan solat sunnah [selalunya ada semacam pondok untuk melakukan pekerjaan ini], bernadzar, ada yang menyembelih haiwan tidak jauh dari kawasan itu, berdoa di sisi makam atau sekitarnya, dan banyak lagi tatalaku yang mereka lakukan. Semua bergantung kepada ikut-ikutan, atau setelah mendapat fatwa dari orang yang hobinya begitu.
Semua ini mereka lakukan dengan harapan ngalap berkah dari selain Allah, sedangkan perintah untuk melakukan perkara itu tidak ada.
Berkah itu sendiri apa sebenarnya? Kalau ngalap di sekitar makam, bagaimana kedudukannya? Berkah yang mereka maksudkan itu adalah sesuatu yang bukan konkrit. Bukan benda.Ia memberi maksud banyaknya, tetapnya dan kesinambungannya sesuatu yang memiliki kebaikan.
Berkah itu adalah kebaikan yang banyak dan berterusan pada sesuatu [At-Tamimi, At Tauhid li Syarh Kitab at-Tauhid].
Bagi ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah, berkah itu hanya berasal dari Allah, Dialah yang berhak memberikan berkah kepada sesuatu dan bukannya makhluk [seperti yang mereka fahami dengan melakukan ziarah di makam tokoh pahlawan, tokoh legenda dan sebagainya]. Al-Furqan itu sendiri adalah berkah kepada hamba-Nya [Furqan:1]. Dan kita selalu bercakap semoga sesuatu itu diberkhati Allah. Sebagaimana yang Nabi Isa katakan: "Dan Dia menjadikan aku seorang yang diberkati di mana sahaja Aku berada, dan dia memerintahkan kepadaku mendirikan solat dan menunaikan zakat selama aku hidup." [Maryam: 31]
Kalau menyemak ayat-ayat dari al-Quran, menunjukkan keberkahan itu tidak diperoleh dari makhluk, apalagi dari kawasan makam yang diziarahi atau tempat bersejarah masa silam. Keberkahan hanya dari Allah. Tidak boleh kita kata boleh dapat berkah hanya dengan ziarah makam, seperti berharap akan mendapat keberkahan menang dalam pilihan raya, terpilih sebagai calon dan sebagainya.
Jadi, amalan ngalap berkah yang biasa orang Nusantara lakukan tidak mempunyai dasarnya dari segi ajaran. Ia tidak diperintahkan dan tidak dibolehkan kerana ia memang sudah menjadi kebiasaan kaum musyrikin terhadap berhala mereka. Mereka yang meniru ini tidak pergi ke berhala tetapi mendekati makam termasuk makam tokoh legenda, tokoh mitos yang tidak diketahui bagaimana bentuk keberkahannya.
Kalau di luar negeri sana ada yang ziarah ke makam Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, dan bagi penganut Syiah lebih lagilah makam-makam di Karbala dan di Qum sana.
Sikap ghuluw atau ekstrim ini memang ada pada kaum tertentu baik dalam kelompok besar atau kelompok kecil. Kalau ditanya mereka akan kata bukan mereka meminta kepada si mati sebaliknya mereka tetap meminta kepada Allah Subhanahu wa Taala.
Contoh, "Kita beristighasah kepada wali-wali itu bukan kerana nak harapkan sesuatu dari si wali, tetapi hanya menjadikan makam wali-wali itu sebagai perantara!"
Maksudnya, mereka berdoa di situ kepada wali-wali [kalau memang wali] dengan harapan wali itu akan menyampaikan doanya  kepada Allah Subhanahu wa Taala. Biasanya begitulah.
Berbalik kepada isu ziarah tadi, bukan tidak ada, setelah ziarah dan di dalam hati terucaplah bisikan kecil bahawa sekiranya apa yang diharapkan menjadi [dimakbulkan] maka dia akan datang semula ke situ dengan membawa sesuatu sebagai tanda terima kasih.
Ini sudah jadi amalan di sesetengah tempat. Bahkan kajian membuktikan, memang begitulah yang difikirkan oleh kebanyakan penziarah yang memang sudah dilitupi oleh fahaman begitu. Asal ziarah kena mohon sesuatu di tempat ziarah, dan kalau sudah berhasil [tak kiralah soal perniagaan, jodoh, hajat tertentu atau menang dan terpilih jadi calon atau menang pilihan raya], maka mereka akan datang lagi.
Kunjungan hormat kerana segala yang diharapkan telah menjadi. "Kalau tak datang jenguk tempat itu, rasa macam tak sedap pulak! Lagipun sudah janji dengan Jurukunci dulu, nak datang lagi!" begitulah agaknya kata-kata yang terlintas.
Adakah sketsa yang penulis paparkan ini juga berlaku di negara kita? Maksudnya mereka ziarah dan menyatakan sesuatu. Setelah berhasil mereka kena pergi lagi secara diam-diam jangan sampai diketahui orang lain. Maksudnya sama sahaja dengan perbuatan ngalap berkah tadi. Wallahu a'lam. []

TERIMALAH KEKALAHAN JANGAN BISING-BISING!

Ketika orang Pakatan Rakyat berhimpun di stadium besar, dengan jumlah rakyat yang membeludak begitu, bukan tidak ada orang yang geleng kepala dan melepas geram.
"Apa lagi yang mereka nak? Dah kalah tu sudahlah, terima sahaja kekalahan itu jangan nak kata pengundi hantu, bawa lari kertas undi dan macam-macam cerita," itulah komen seseorang yang saya dengar semalam. Siapa yang komen tak perlu dinyatakan, sepuluh kali dia komen, ia tidak memberi bekas pun!
Memanglah, buat masa ini tidak ada topik paling hangat tetapi soal pilihan raya baru-baru ini. Meja segi empat, meja lonjong dan meja bulat semua sudah jadi tempat orang berbahas soal politik pilihan raya.
Pendeknya sekarang, tak kira siapa, semuanya nak bercakap soal politik. Tahu atau tak tahu, semua nak bercakap. Jadi biarlah. Apa salahnya mereka berlatih bagaimana nak berhujah. Mula-mula di meja gerai, lepas tu naik ke meja restoran, lepas tu nanti naik ke meja besar dalam dewan, naik lagi ke meja besar atas pentas, naik lagi ke meja besar di Parlimen, dan naik lagi sampai ke meja besar stadium, padang atau di padang pasir yang luas lagi tandus!
Kita nak marah kepada orang yang bising-bising tentang kalah pilihan raya pun tak guna. Apa sebab? Tengoklah akhbar seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, NST, sampaikan Metro yang selalu laporkan kemalangan dan sukan sibuk nak main politik. Sampaikan ada kawan syor agar Metro pun kena masukkan dalam senarai bacaan yang diboikot kalau masih main politik Umno.
Perhimpunan bukan sahaja diadakan di Selangor, bahkan di Terengganu, dan dirancang nak buat di Pulau Pinang pula. Eloklah mereka berhimpun. Kerja berhimpun macam ini memerlukan kemahiran, dan ada seni berhimpun yang orang UBN tak reti nak buat kalau tak ada penajaan. Percayalah!
Nak tegah mereka berhimpun pun tak boleh sebabnya media milik UBN masih bantai PR hari-hari. Walaupun pilihan raya sudah selesai, mereka masih menggigau lagi seolah-olah nanti ada pilihan raya kecik pula. Juga kerisauan ada orang berpaling tadah. Bukan kita tak tahu, ini sudah jadi budaya tak rasmi masyarakat kita. Tengoklah nanti, hanya sebab murtad, sebab gereja ada yang merajuk dan keluar dari jemaah. Hanya dengan sebab isu longkang, isu rumput tak potong, isu rambut panjang, isu sampah dan pasir pun orang boleh merajuk. Ini ahli politik separuh masak. Itu belum lagi tengok orang tunjuk perasaan di sana-sini. Kalau begitu sudah lama Tan Sri Khalid cabut.
Sekarang, kalau ada sesuatu isu, kita kena fahami isu itu. Siapa yang tetaskan isu itu. Apa latar belakangnya. Dari situ kita tahu, isu itu bagaimana kedudukannya sama ada hendak layan atau boleh jalanlah!
Ini sudah masuk dalam bab seni memahami tindak-tanduk rakyat bawahan. Rakyat bawahan kena ada ketua. Kalau tak ada ketua yang bangkitkan isu, mereka tak ada isu. Mereka tak akan berfikir sampai ke situ. Jadi ketua ini yang bangkitkan isu ada matlamat juga.
Selain nak tonjolkan bakat terpendam sebagai ketua, dia juga nak cari batu untuk dia bertenggek bagi membolehkan lompat ke batu yang lebih tinggi lagi. Orang seni cakap, nak dijadikan batu loncatanlah!
Terbukti, sesiapa yang cerdik dia boleh bangkitkan isu. Kalau isu itu munasabah, ia akan menjadi isu nasional. Kalau tak pun setakat isu daerah atau kampung terpencil sahaja.
Sekarang, orang masih bercakap soal undi hantu, pilihan raya tipu dan sebagainya. Jika Pakatan Rakyat menang nanti, apakah undi hantu dan pilihan raya tipu akan lenyap?
Tidak juga. Ketika itu puak-puak yang kalah pula akan kata PR tipu, PR bawa pengundi hantu genderuwo, pelesit, toyol, bajang, parakang, langsuir, dan sebagainya. Pendeknya, pengundi hantu akan pakai nama yang pelik-pelik pula.
Di luar negeri pun ada kedengaran bising-bising macam ini. Ia sudah jadi fenomena sejagat dalam masa pilihan raya. Kalau ada pemimpin yang dibenci, yang tidak disukai rakyat, maka isu ini sentiasa berbangkit. Lainlah kalau pemimpin yang dipilih itu memang digemari ramai, maka tak sampai hati orang nak ungkit.
Apa betul? Ini hanya wacana dalam minda penulis sahaja. Yang baik dari Allah SWT manakala yang tidak itu adalah dari cetusan minda peribadi yang banyak kelemahannya. Wallahu a'lam. []

DAP JOIN BN SATU SOLUSI?

Sudah diketahui lama, Umno berangan-angan dan bersungguh-sungguh, bahkan sampai beberapa tokoh muda dalam Pas terpelanting kerana perangai suka berangan-angan itu. Apa yang mereka angan-angankan? Bukankah ada beberapa kerat yang bersungguh sangat nak satukan Pas dengan Umno bagi mentadbir sebuah negeri pada masa lalu, ingat lagi tak?
Dan sejak beberapa lama dulu pun para pemimpin Umno bahkan dalam seminar besar dan kecik, mereka ada bagi cadangan seolah-olah elok benar kalau Umno itu bersatu dengan Pas demi kemaslahatan orang Melayu [ingat, mereka tak fokus sangat demi Islam tu!].
Kini Zainuddin Maidin yang orang tahu dialah juga Awang Selamat yang menyebabkan BN berada dalam keadaan tidak selamat sejak pilihan raya yang lalu [2008], sekarang nak main teori penyatuan masyarakat Malaysia agar DAP berada dalam kerajaan.
Ini katanya untuk kepentingan masyarakat Cina pula.
Kenapa apabila sudah tahu pengundi hari ini beralih arah kepada PR baharulah timbul idea seperti ini?
Rakyat faham, tujuan penyatuan ini bukanlah soal nak menyatukan rakyat yang berbilang kaum sangat. Ia lebih demi menjaga kedudukan para pemimpin dalam BN agar kedudukan mereka terus berkuku di singgahsana impian itu.
Lagipun bukit dan gunung emas ada di mana-mana sekarang.
Apa perlunya bercakap tentang perpaduan kaum lagi pada masa sekarang?
Jika mereka masih bercakap dan mengulangi kempen "zaman silam" maknanya kita langsung tak ada kemajuan. Jabatan Perpaduan Negara yang wujud dulu langsung tak reti buat kerja. Agaknya hanya seronok buat program sana-sini, pukul gong, tengok orang menari, tengok orang berlari, memupuk golongan kanak-kanak pula, semuanya seolah-olah tidak menjadi.
Sekarang bolehkah DAP join BN untuk dijadikan solusi?
Rakyat lebih suka kalau DAP tetap dalam PR. Bukankah BN sudah ada rakan karib mereka MCA dan Gerakan?
Mungkin generasi muda tidak ingat langsung bagaimana percaturan politik masa lampau sehingga Gerakan memegang tampuk pemerintahan di Pulau Pinang? Kena kaji balik sejarah lampau. Kaitkan sekali dengan peristiwa 13Mei dulu. Siapa yang main peranan? Ketika itu DAP tidaklah menonjol macam sekarang. Masa itu ada zaman "keagungan" Gerakan.
Disebabkan Gerakan itu dianggap memiliki "Alexander The Great"nya, maka BN memang mengidam agar ia berada dalam dakapannya. Kini Zainuddin Maidin pula syorkan agar DAP join BN.
Apakah pada perkiraannya apabila DAP boleh bekerjasama dengan BN maka tidak berlaku perkara lain pula? Sudah tentu sebahgian besar orang DAP akan tetap berada dalam PR dan yang sebahagian kecil diberi pangkat dan kedudukan seronok bermanja dengan pemimpin BN.
Mereka pun bersenandung itulah MALAYSIA BARU!
Rakyat tahu, jangan mimpilah DAP nak berpakat dengan BN. Ajakan untuk berpakat itu bukan demi menjaga perpaduan kaum di kalangan rakyat. Tidak. Mereka nak menjaga kepentingan para pemimpin yang berada di kedudukan yang mantap tetapi "terjejas" sedikit.
Jika pemikir tangguh dari kalangan pendukung BN anggap penyatuan DAP dan BN sebagai solusi sebenar, mereka telah melakukan kesilapan. Itu congak atas kertas. Kenyataannya? []

Tuesday 7 May 2013

MAKNANYA, TAK ADA PERUBAHANLAH?

ADA ORANG kata, setelah pilihan raya baru-baru ini, keadaan kita macam biasa. Kalau seseorang itu jadi pemulung atau tukang kutip botol, tin aluminium, kertas kotak [kerdus], besi buruk, zink dan sebagainya, maka kerja itu kena teruskan.
Kalau yang biasa tidur di jejambat kota, maka aktiviti ini kena teruskan. Walaupun ada orang meraikan kemenangan pilihan raya, nasib mereka tetap macam itu juga.
Sesiapa yang jadi kuli angkut barang ke atas lori, lepas pilihan raya dia macam itu juga. Begitu juga sesiapa yang berniaga pagi-pagi di pasar karat Petaling Street, sampai sekarang teruskan berniaga.
Jangan fikir kalau lepas pilihan raya "kerjaya" rakyat marhaen macam mereka itu akan berubah, mungkin jatuh terperosok lebih teruk pun ada.
Hal yang kita sebut ini adalah untuk mengingatkan pemimpin atasan yang sudah berkira-kira hendak menambahkan kekuatannya dengan jawatan penting dan selanjutnya menambah simpanan harta untuk anak cucu mereka.
Ada seorang "penulis surat" di Jalan Tuanku Abdul Rahman yang masih guna mesin taip lama. Zaman berubah, dia masih di takuk lama. Macam dulu juga, padahal dia pendukung bendera cap keris. Kefanatikannya begitu melulu sampai tak boleh diajak berbincang lagi. Tapi biarlah, bak kata orang yang cari tin bekas tadi, kehidupan tak akan berubah biarpun PM telah dilantik untuk sepenggal lagi.
Percayalah, rakyat di bawahan ini tetap begitu. Mereka tidak akan berubah. Tidak menerima tempiasan daripada kemenangan yang diraikan. Tempias yang kena pada mereka adalah kenaikan harga barangan dan perkhidmatan! Kalau rakyat yang ada pendapatan bulanan pun terasa kesannya, apalagilah mereka yang kutip kertas untuk dijual dengan harga tak seberapa, jangan marah kalau mereka tidur di kaki lima kedai. Inilah lambang kemewaan di negara kita. Bab makan sudah selesai sebab ada makanan percuma dari Baitul Mal Wilayah Persekutuan KL.
Keadaan rakyat bawahan tidak berubah.Yang berubah adalah orang yang menang. Rakyat kecil macam inilah -- berlawan dengan kenaikan harga barang.
Keadaan AJK Masjid pun tak berubah. Cengkaman makin kuat. Maka orang tertentu sahaja boleh bercakap di kawasan masjid.
Di tempat yang lengang, akan terus lengang, untuk tazkirah harian adalah 9 orang jemaah yang mendengarnya. Ini sudah kira hebat. Ada kalanya empat orang sahaja. Mujur bilal ikut sama, kalau tidak, tiga orang sahaja. Kira sambutan untuk majlis ilmu macam ini sangat memuaskan hati AJK Masjid.
Di Selangor agak meriah sedikit kerana kerajaan negeri masih dipegang oleh Pakatan Rakyat. Orang tak perasan, sebenarnya ada bezanya antara UBN dan PR. Tengok keadaan masjidnya bagaimana?
Kemudian orang yang marah-marah tak dapat itu dan ini, menuntut janji manifesto pilihan raya 2008 itu dulu, ia bukan idea spontan daripada makcik yang unjuk rasa itu. Ia ada penggerak di belakangnya. Jadi, kita faham sangat. Bukan kerana janji manifesto PR kerajaan negeri, tetapi agenda lain.
Bising-bising pihak tertentu nak dapatkan balik Selangor sudah senyap. Moga kebisingan ini timbul lagi pada tahun 2016 atau 2017. Mereka sayang kepada Selangor kerana negeri kaya ini dipegang oleh orang yang tidak pandai mengurus macam orang UBN.
Macam-macam tuduhan. Semua sudah senyap. Penat kempen pun belum hilang. Lepas ni nak ke mana?
Teruskan menjalani kehidupan macam biasa. Ke laut, ke sungai, ke bendang, ke hutan, ke baruh, ke Main Cannal, ke pekan, ke bandar, ke pejabat itu dan ini, teruskan. Orang kecik, macam itulah. Mereka tak berubah sekalipun pilihan raya sudah selesai! [] 

PERPADUAN KAUM KITA GAGAL?

KETIKA kempen baru-baru ini Kak Umno dan Makcik Umno beritahu supaya kita satu rumah undi BN, alasannya buat apa undi calon Cina. Kita kena undi calon orang Melayu. Dari rayuan pengembara wanita Umno itu jelas mereka ini memang diajar agar rasis.
Sedangkan seisi rumah kita, langsung tidak peduli dengan rayuan pengembara orang Umno itu. Memang semua orang sudah tahu, di depan Melayu mereka cerita lain, di depan berbagai kaum mereka cerita lain. Inilah cara kempen UBN.
Orang Melayu masih seronok berada dalam kepompong lama. Mereka masih seronok bercakap tentang 13Mei bagi menakut-nakutkan orang Melayu, padahal wanita tadi bukan tahu pun bahawa peristiwa tahun 1969 itu dimainkan oleh Gerakan dan bukan DAP.
Agaknya kalau mereka tahu bahawa Gerakan main peranan dalam peristiwa itu; itu belum lagi kes perarakan bawa mayat aktivist Parti Buruh yang mati ditembak polis, maka wanita tadi termenung. Tambahan parti yang pernah terlibat dengan huru-hara itu menjadi rakan BN. Nak marah apa? [Tunku Abdul Rahman, 13Mei Sebelum dan Selepas, Utusan Publications, 2012].
Apabila keputusan pilihan raya sudah diperoleh, maka kedengaranlah rasa geram, kecewa, memberi label Tsunami Cina dan sebagainya. Ada orang marah-marah terhadap sikap orang Cina yang memilih pembangkang juga [PR].
Sebelum pilihan raya, orang bercakap tentang orang Melayu yang mereka kata tidak mahu bersatu. Apabila bercakap tentang bersatu kita kena tengok dulu siapa yang bercakap [Perkasa, Jati dan NGO lain juga asyik bercakap tentang penyatuan Melayu mengikut acuan mereka].
Kalau orang Umno, mereka anggap Melayu bersatu sekiranya mereka semua menyertai Umno, sokong Umno supaya kedudukan PM Umno semakin kukuh. Itulah maksud bersatu yang mereka mahukan.
Sedangkan di luar UBN, orang-orang Melayu sudah bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat. Penyatuan orang Melayu di bahagian ini jauh lebih meyakinkan jika dibandingkan dengan perpaduan dalam Umno.
Rasanya lepas ini akan banyak lagi seminar dan forum tentang perpaduan ummah, perpaduan kaum diadakan di sana-sini.
Diajaknya sarjana yang hebat-hebat untuk bentang kertas kerja -- hasilnya macam itu juga.
Kenapa kita masih bercakap tentang perpaduan kaum sejak lepas 13Mei sampai sekarang, tahun 2013? Bukankah telah banyak program yang dianjurkan, yang dikempenkan saban hari bagi perpaduan kaum sehingga ada kementerian atau jabatan tertentu yang sinonim dengan perpaduan kaum.
Beratus juta, dan mungkin sejak dulu sampai sekarang sudah billion dihabiskan untuk program bagi memupuk perpaduan kaum, sayangnya ia hancur setiap kali pilihan raya diadakan. Inilah kesan buruk dari kempen politik ketika pilihan raya. Lepas pilihan raya barulah nak menyatukan semula. Masa terlalu singkat, lima tahun bukannya lama.
Usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat sebaliknya telah membuka mata orang Melayu yang perkauman, bahawa tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan parti-parti dalam PR.
Gambaran yang dipaparkan oleh media kepunyaan Umno bahawa negara ini sedang menuju ke ambang kehancuran dek kerana tidak ada perpaduan. Media mereka selalu menyeru agar orang Melayu bersatu di bawah satu payungan.
Bagi penganalisis politik kita, orang Melayu wajar bersatu di bawah payungan Pakatan Rakyat, kerana ia tidak memerlukan jabatan atau kementerian untuk bercakap tentang perpaduan kaum.
Perpaduan kaum terbukti di kalangan anggota Pakatan Rakyat. Inilah fakta yang para pemimpin Umno tidak berani sentuh. Mereka sedaya upaya hendak memecahkan perpaduan kaum di kalangan Pakatan Rakyat.
Kalau UBN begitu gerun dengan corak polarisasi kaum yang katanya lebih Cina, maka mereka kena fikir dua kali.
Di dalam Pakatan Rakyat, orang Melayu tidak payah dirayu, mereka tahu menjaga parti yang disokong, mereka dengan rela mengundi calon DAP. Berbeza dengan orang Melayu di bawah didikan Umno, mereka memilih kaum apa yang hendak dipangkah. Akhirnya, banyak juga calon BN yang tergolek kerana permainan ini.
Dalam pilihan raya, kita tidak boleh menanamkan semangat kebencian terhadap sesuatu kaum. Kaum Melayu yang berada dalam kepompong Melayu merasakan hanya kaum mereka sahajalah yang hebat dan kaum-kaum kena kena ikut cakap mereka.
Begitu di dalam kepompong orang Cina, mereka hanya fokus kepada kepentingan kaum mereka sahaja. Akan tetapi corak yang dipraktikkan oleh Pakatan Rakyat, tidak mengira ia orang DAP, orang PAS atau PKR, selagi mereka berada di bawah payung PR, maka mereka perlu bekerjasama.
Tidak ada curiga antara kaum. Perkara ini dibuktikan daripada perhimpunan massa baik Bersih, isu Lynas, dan isu-isu lainnya. Dah tentu perhimpunan tentang bantahan terhadap "penipuan" dalam pilihan raya baru-baru ini yang dirancang hari ini [Rabu 8/5/13] dapat memberi gambaran bahawa semua kaum berhimpun di situ.
Jika sudah puluhan tahun UBN mendakwa merekalah parti yang hebat, dapat bertahan sampai sekarang, mereka kena fikir dua kali. Mereka masih gagal dalam bab perpaduan kaum. Setiap kaum masih bercakap tentang kaum masing-masing. Padahal tugas seorang khalifah yang sempurna bukan begitu. Justeru penasihat PM perlu membelek kitab tentang bab khalifah bagi pencerahan para pemimpin yang berkuasa.
Apabila ada ura-ura DAP tak boleh guna lambang parti bagi tujuan "merendamkan" parti itu dalam pilihan raya yang baru lepas, pihak Umno terpaksa fikir banyak kali. Banyak untungnya kalau calon DAP guna lambang PAS atau PKR. Mujur Umno cepat sedar, dan mereka bertolak ansur untuk membenarkan DAP guna lambang partinya. Jika tidak? Senario politik kita tentu berubah!
Kita tidak tahu apa lagi yang UBN nak lakukan untuk memantapkan perpaduan antara kaum di negara kita. Ia tidak cukup dengan jamuan rakyat, makan besar atau makan kecik. Tidak cukup dengan acara pentas dan konsert. Tidak cukup setakat tarian zapin dan inang, tidak cukup dengan Tarian Singa atau Ngajat. Tidak cukup. Sebab itu hanya acara yang diprogramkan. Hakikat sebenarnya polarisasi perkauman di negara kita masih macam itu juga. Jawabnya, kita masih gagal. Entah kenapa? Agaknya kita terlalu banyak berpolitik? Terlalu banyak berteori? Terlalu banyak nak memuaskan satu-satu kaum sampai terlupa corak demografi kita bagaimana. Wallahu a'lam. []

Monday 6 May 2013

MB SELANGOR, JANGAN SALAH PILIH

MASIH jadi teka-teki siapa bakal menjadi MB Selangor.
Perlu diingat, jawatan MB di Selangor sangat penting bagi memberi nyawa kepada Pakatan Rakyat. Sesuai dengan kedudukannya yang mengelilingi Kuala Lumpur, dan kawasan Lembah Klang, maka Menteri Besar Selangor hendaklah dipilih dari kalangan yang ada pengalaman dan tahu selok belok pengurusan kerajaan negeri.
Kenapa dikatakan begitu? Barisan Nasional memang mengidam hendak merampas Selangor dari PR. Akan tetapi kerana kekuatan yang ada pada team kerajaan negeri di bawah Tan Sri Khalid Ibrahim yang ada pengalaman luas dalam soal pengurusan wang ringgit dalam sektor koporat, maka pihak yang nak menentukan siapa bakal MB kena fikir dengan cermat.
Jangan fikir siapa mempunyai kerusi paling banyak. Kerana sistem yang ada di Kedah tidak sama dengan Selangor. Selangor sebenarnya menjana KDNK negara, kekuatan transformasi yang ditaja oleh UBN juga mengharapkan kekuatan dari Selangor.
Disebabkan Selangor masih dalam genggaman PR maka dalam perkiraan Najib ia memberi kesan kepada transformasi yang dicanangkan.
Dalam menjaga negeri, pengalaman mentadbir adalah mustahak. Jawatan MB patut diberikan kepada Tan Sri Khalid, manakala timbalannya bolehlah dari mana-mana parti. Biar mereka belajar selok belok mentadbir urus kerajaan negeri.
Lagipun kita hanya ada tiga negeri, Kelantan biarlah MB orang PAS. Pulau Pinang KM orang DAP dan Selangor tak kan orang PAS lagi? Bagi mengimbangi keadaan, MB Selangor kenalah orang PKR, baharulah ia seimbang.
Kita tidak mahu nanti disebabkan orang lain memegang teraju kepimpinan kerajaan negeri, ia memberi peluang kepada musuh kita iaitu Umno yang semakin galak untuk mencari apa sahaja kesalahan dan kelemahan kerajaan negeri.
Kita tidak mahu memilih orang yang pandai bercakap atau berpolitik sahaja di pentas tetapi tidak mampu mengurus kerajaan negeri dengan cekap. Kepada Adun yang baru menang dalam pilihan raya, janganlah mengira pangkat dan jawatan dalam kerajaan negeri -- tumpukan tugas menurut kemampuan masing-masing.
Jangan memberikan tugas kepada mereka yang tidak mampu memikul amanah.

INGAT
Kesannya, kerajaan negeri akan bergolak. Apabila bergolak jarum jahat akan menyucuk terutama dari sekitarnya. Ingat, Umno memang berdendam untuk menjatuhkan kerajaan negeri. Lihat apa yang sudah berlaku di negeri Kedah.
Hanya sebab perbezaan pendapat, media mereka dengan rakusnya memutarbelitkan cerita. Aneh sekali, kita masih tidak sedar perangkap musuh ada di mana-mana.
Ada Adun dari PR masih gila publisiti melayani media seperti Utusan Malaysia itu atau TV3. Semua Adun dan Ahli Parlimen dalam PR hendaklah berhati-hati. Musuh PR bukan sahaja orang UBN malah pekerja media yang makan gaji dan sentiasa patuh kepada tuannya.
Kini, sudah pasti media mereka akan mainkan peranan melaga-lagakan PR dalam soal memilih siapa paling layak untuk jadi MB Selangor.

LAYAK
Jadi pilihlah orang yang paling layak, bukan orang yang paling banyak bercakap. Biar kurang bercakap tetapi boleh bekerja. Ingat. Selangor adalah negeri idaman UBN. Mereka akan main peranan untuk menjatuhkan kerajaan negeri jika kita tidak mahu berpakat.
Memanglah di atas kertas mengikut congak kita, orang PAS layak jadi MB. Perlu diingat, Selangor tidak sama seperti negeri lain. Tengok apa sudah jadi dengan Terengganu dan Kedah. Apabila terlepas dari tangan, amat sukar hendak mendapatkan semula.
Selepas ini mungkin kita hanya berangan-angan hendak dapatkan Kedah. Percayalah, jika kita masih mengamalkan sistem yang kita amalkan seperti menjelang nak pilihan raya baru-baru ini, kita tak akan dapat merampas semula Kedah. Kita kena sepakat.
Baiklah, mungkin itu pengalaman kedua selepas 2008 dulu. Tetapi kita kena belajar membaiki kesilapan. Jadi, dalam pilihan raya akan datang jangan berlaku lagi pertindihan calon seperti baru-baru ini. Keadaan ini menjadi bahan ejekan sahaja.

PAKSI PR
Jadikan Selangor sebagai negeri paksi kepada kekuatan PR. Jadikan ia kekuatan dalam PR. Jika Selangor terlepas, maka mungkin kekuatan PR akan beransur kurang. Dan kita bimbang lama kelamaan orang tidak sebut lagi PR.
Ingat. Jangan kerana jawatan MB kita nak bergaduh. Nampak sangat bahawa masing-masing nak rebut jawatan. Serahkan kepada orang yang tahu mentadbir sebuah kerajaan, cari orang yang berpengalaman. Dalam konteks ini hanya Tan Sri Khalid sahaja. Lagipun beliau telah berjaya membaiki hubungan penduduk di kawasan Dun Pelabuhan Klang yang "ditinggal pergi" DUN PKR yang tidak tahu bekerja dan kemudian berpaling tadah menjadi "makanan" Utusan Malaysia dan TV3.
Ingat memilih MB bukan berdasarkan merit kerusi mana banyak. Kita kena sepakat. Kita tidak tahu pengaruh Khalid di Selangor yang menyebabkan rakyat tetap kukuh memilih PR. Mungkin andainya berganti MB nanti sokongan rakyat akan berubah.
Selepas ini, walaupun siapa yang dipilih, andai berdasarkan pengalaman mentadbir, kita kena terima dengan berlapang dada. Tidak ada cakap-cakap di luar atau di belakang. Kita hendak menguruskan sebuah kerajaan negeri yang paling kaya di Malaysia. Ia menjadi rebutan Umno dan sekutunya.
Dan ingat, pastikan MB Selangor yang dipilih tidak menjejaskan sokongan rakyat kepada kerajaan negeri. Andai dipilih calon yang silap, kita bimbang nanti akan berlaku tindak-balas yang akhirnya merugikan PR untuk jangka masa panjang.
Sekali lagi, jadikan apa yang berlaku di Terengganu dan Kedah sebagai iktibar. Begitu juga yang pernah berlaku di Perak dulu. Kita tidak mahu kerana "pertikaian" atau berebut jawatan, kesatuan kita hancur sudahnya. Tengoklah, tiba-tiba Hassan Ali bersuara menyatakan pendapatnya untuk menentukan calon MB Selangor. Apa kaitan Hassan Ali dengan PR?
Berita terbaru, pihak PAS tidak ada halangan sekiranya Tan Sri Khalid menerajui Selangor yang memang telah cemerlang di bawah kepemimpinannya. Inilah yang diharapkan rakyat. Kita tidak mahu negeri yang dijaga oleh Pakatan Rakyat semakin kecil. Dulu ada lima negeri, jadi empat, dari empat jadi tiga. Kalau tidak dijaga, yang tiga pun boleh terlepas! Bukan soal kerusi siapa yang banyak, tetapi kebolehan mengurus dan memahami selok belok ekonomi dan kewangan yang mustahak. Dan banyak lagi kepandaian yang diperlukan untuk jadi MB walaupun di kanan-kirinya ada pakar-pakar tertentu. []