Kalau dilihat dari luaran, tanpa mengira peratusan pengundi yang telah memilih Pakatan Rakyat, kita dulu ada beberapa buah negeri kebanggaan ditadbir oleh Pakatan Rakyat [PR].
Bayangkan, dulu kita ada Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Sayangnya, apabila telah diberi mandat untuk mentadbir urus negeri-negeri tersebut, kita semacam cuai dan gagal menarik hati rakyat yang telah mengundi kita.
Tanpa mengira adanya permainan daripada pihak musuh kita -- Barisan Nasional [BN], kita kena melihat ke dalam diri kita, apakah kita ini benar-benar berkemampuan mentadbir urus negara, sedangkan untuk mengurus sebuah negeri yang telah dimenangi pun kita tidak berupaya.
Di mana silapnya?
Mungkin ada yang telah lupa, negeri-negeri yang disebut ini bukanlah kita takluk dalam satu pilihan raya. Dulu umpamanya kita pernah menguasai Terengganu. Hanya sepenggal sahaja negeri itu berada dalam cengkaman Pas.
Dulu kita pernah menguasai Perak, tetapi sayangnya permainan licik puak BN kita tidak ambil kira. Berbagai kaedah pecah belah telah dilakukan, dan akhirnya Perak pun terlepas walaupun ceritanya sangat melucukan, sampai berusung-usungan, bersidang bawah pokok dan macam-macam cerita lucu lagi.
Kemudian setelah Perak terlepas begitu sahaja, kita hanya ada Kedah, Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang.
Kekuatan PR di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor memang tidak boleh dipertikaikan.
Akan tetapi, apakah kita tidak terfikir bahawa suatu masa nanti, kalau kita terus berpolitik, masih berbangga-bangga dengan sesuatu isu, dalam masa yang sama, musuh kita selain BN, ia adalah media yang sentiasa mengintai di mana ada kelemahan kita.
Media akan mainkan peranan melakukan kacau ganggu, mengocakkan kedamaian yang ada. Mereka telah berjaya melakukan kacau ganggu di Kedah. Terbukti Kedah sudah jatuh ke tangan BN.
Apakah kita mampu merampas Kedah,Terengganu dan Perak yang sudah terlepas?
Soalan ini sukar juga nak dijawab.
Jangan mengira fenomena ceramah yang hebat sebagaimana yang anda telah saksikan melalui YouTube atau Video apa pun, kita kena terjemahkan keramaian itu dalam bentuk undi popular pula.
Pilihan raya akan datang masih jauh lagi. Tetapi jangan difikir jauh sangat, kerana masa terus berjalan. Tahu-tahu sudah masuk tahun ke empat, dan bermulalah musim kacau ganggu oleh media.
Media adalah musuh kita. Kita tersepit oleh mainan media yang begitu ganas dan kasar. Ketika mereka bercakap tentang perpaduan ummah mereka tetap meneruskan agenda pecah belah. Ketika mereka bercakap tentang kesederhanaan dalam Islam, mereka terus berkasar dalam melaporkan sesuatu.
Sebenarnya, silap kita sendiri. Begitu ramai pemimpin PR yang ada hari ini, sesekali terperangkap oleh mainan media.
Hari ini mereka laporkan cerita baik. Bulan depan mereka cetuskan kontroversi hasil dari pertanyaan melalui telefon sahaja. Soalan provokasi yang menyebabkan kecoh satu Malaya.
Bukan kita tidak ingat bagaimana media mainkan berbagai isu sebelum tarikh mengundi sampai baru-baru ini. Peliknya, tokoh kita tak kira dari mana parti pun selagi masih dalam PR, mereka kena satu hati, satu pendirian, jangan terkecoh oleh soalan bodoh dari wartawan. Kenapa kita layan soalan bodoh dari wartawan yang menyebabkan kita ditertawakan orang lain?
Bukankah baru-baru ini ada tokoh berwibawa boleh buat kenyataan seolah-olah tidak ada penyatuan dalam PR. Kenapa isu seperti hudud, atau isu tentang chauvinistik sesuatu kaum masih nak dilayan.
Patutnya mereka bagitahu, "Tak ada apa nak komen buat masa ini. Titik."
Ingat, belajarlah jadi matang dalam berpolitik. Lihat apa yang BN cuba kawal. Media mereka kawal sehingga tidak ada perbezaan pendapat di kalangan mereka walaupun mereka telah bertelagah begitu punya lama dalam berbagai isu. Berbeza dengan kita. Kena jolok sudah melatah. Kita kena faham, siapa yang bertanya? Siapa yang menjolok soalan itu? Fikirkan buruk baiknya dalam PR. Jangan fikir buruk dan baiknya dalam parti yang kita miliki sahaja. Kita berada dalam PAKATAN. Kena faham. Mereka yang berada dalam BARISAN cukup jaga perkara ini, sedangkan kita langsung tidak ambil peduli.
Tokoh parti Pas kata begitu dan begini. Tokoh PKR juga bercakap. Tokoh DAP juga nak bercakap. Tiga-tiga tidak sekata. Akhirnya ia akan dimainkan oleh media longkang. Nah, sekarang masa untuk kita berfikir dan merenungkan nasib masa depan PR. Bukan di tangan kita, tetapi di tangan Allah SWT jua. Kita memang lemah. Sudahlah lemah, kita perlu mengawal diri sebagai orang politik. Jangan sampai rakyat mentertawakan kebodohan kita. Buat setakat ini, tidak ada isu lain yang terus dimainkan oleh BN. Jadi kita tengok sahaja, jangan layan sangat gerak-geri mereka. Teruskan agenda, bukan konflik dalam PR. - [Penulis adalah bekas editor akhbar tabloid].[]
No comments:
Post a Comment