Sunday 24 June 2012

MAJLIS PERKAHWINAN JADI SASARAN PENYAMUN

SUDAH BANYAK KALI terjadi majlis perkahwinan dijadikan sasaran penyamun. Ketika tuan rumah sibuk-sibuk melayan tetamu ada sahaja "penyamun bertudung" masuh menyelinap, berpura-pura jadi rakan pengantin lelaki atau perempuan, berpura-pura menghantar sesuatu benda atau bungkusan hadiah, berpura-pura jadi orang penting walaupun tidak penting lagi.
Mereka yang pernah mengalami kerugian gara-gara penyamun tak diundang ini memang anggap semua kisah yang terjadi seperti gurauan belaka. Tahu-tahu wang hantaran lesap. Tahu-tahu barang perhiasan lenyap. Tahu-tahu beg duit salah seorang pengantin atau tetamu atau saudara-mara pengantin lesap.
Kenapa penyamun berwatak baik ini boleh menyelinap masuk ke rumah pengantin yang sedang sibuk-sibuk membuat persiapan?
Mereka sebenarnya telah mengkaji keadaan rumah pengantin di mana-mana pun. Semuanya sibuk dengan hal tertentu. Perkara remeh, bilik pengantin, tempat meletak beg tangan, barang perhiasan dan duit-muit semuanya tidak diperkirakan sangat kerana yang utama adalah bagaimana dengan sajian atau menu untuk tetamu?
Ada pula yang sibuk menunggu salaman bagi mendapatkan duit seolah-olah mengadakan majlis perkahwinan bagi tujuan mendapatkan duit berganda. Maka sibuknya menghitung berapa bilangan tetamu yang diundang, dan bilangan tetamu yang diundang oleh kedua-dua pengantin yang sudah tentu tak dikenali oleh kedua ibu bapa dan sanak saudara mereka.
Dalam kesibukan inilah, sesiapa pun boleh datang untuk bersalaman. Penyamun pun berpeluang untuk bersalaman dan dipersilakan masuk ke dalam. "Terima kasih!" Maka sesuatu yang sepatutnya tak terjadi akan terjadi juga sudahnya.
Satu lagi, majlis perkahwinan Melayu hari ini sudah dibentuk oleh institusi yang mencari keuntungan. Bermula daripada tempahan pakaian pengantin [empat pasang atau lebih], kemudian penentuan dekorasi pelaminnya, kemudian acara iringan dan selinganya, di mana hendak diadakan - sewa dewan atau pasang kanopi besar, dan kateringnya.
Pendeknya, dalam bab majlis perkahwinan umat Islam lupa sama sekali dengan matlamat majlis perahwinan itu. Bak kata ustaz yang memberikan tazkirah di surau, masjid atau di kuliah mana-mana pun, orang sekarang mengadakan majlis perkahwinan macam orang berniaga. Sudah dicongak, satu kepala berapa ringgit dan berapa pula perolehan dari wang sampul yang diterima.
Perkiraan yang silap ada yang mendatangkan rasa kecewa, stress kerana apa yang diharapkan tidak kesampaian. "Perniagaan" katering yang dijalankan tidak memenuhi sasarannya, merugikan!
Apabila kita mementingkan untung, mementingkan prestij dalam pengadaan majis perkahwinan, maka timbullah adegan penyamun tadi secara tidak disedari.
Lagipun, majlis perkahwinan yang ada hari ini sudah banyak lari dari matlamat sebenar. Majlis perkahwinan dijadikan tempat untuk berlumba-lumba siapa hebat majlisnya. Anak siapa? Artis atau bukan? Kerja apa? Bahkan amat membanggakan kalau terjadi perkahwinan silang budaya - Melayu dengan orang putih.
Sebenarnya umat Melayu, muda-mudi kita hari ini menjadikan kalagan artis sebagai acuan untuk majlis perkahwinan. Mereka juga kerap menjadikan kalangan yang buta tentang busana muslim sebagai rujukan untuk mendapatkan stail pakaian pengantin yang sesuai, konon dianggap sebagai pengantin muslim!
Mereka yang berkecimpung dengan bidang pakaian pengantin dan persiapan lainnya adalah yang memikirkan citarasa budaya Melayu menurut acuan baru, mereka langsung tidak fikir apakah ia sesuai dengan citarasa Islam?
Maka itulah, berlaku percampuran lelaki perempuan, boleh bersalaman sesuka hati tanpa peduli mahram atau bukan; begitu dengan iringan muzik dan nyanyian yang langsung tidak kena, sebab ia hanya sesuai untuk tamadun Melayu lama era 70-an dan 80-an yang tidak faham apa sebenarnya majlis perkahwinan ini? Kenapa orang perlu menjalani kursus perkahwinan, kenapa perlu tahu bab solat, bab taharah, dan lain-lainnya? Maknanya ia menjurus kepada pembentukan keluarga Islam dalam neukleus kecil.
Hari ini majlis perkahwinan Melayu dibentuk oleh pengendali pakaian pengantin dengan berbagai fesyen, oleh pengendali solekan yang melibatkan jurusolek lelaki tanpa mengambil kira boleh dan tidak bolehnya lelaki menyolek perempuan. Dalam bab kesibukan inilah, ibu bapa pengantin meskipun "orang masjid" mereka jadi kalut dan tidak dapat mengamati segala keganjilan yang terjadi. Ini belum lagi melihat fesyen pakaian yang dikatakan fesyen pakaian pengantin muslim itu.
Selain lebih mementingan faktor gaya avant garde yang diburu anak-anak muda, kaum ibu bapa juga terlena dengan permainan golongan muda membentuk budaya yang tak sesuai sama sekali dengan sebuah perkahwinan Islam. Ia hanya wajar untuk dikatakan perkahwinan Melayu sahaja. Ciri-ciri keislaman itu telah menjauh kerana orang memikirkan lagak dan gaya, dan bukan soal aurat dan pendedahan aurat.
Begitu juga bagi mereka yang tidak faham, mereka masih membesarkan muzik dan nyanyian, membesarkan acara-acara yang kebaratan dan bercorak paganisme bagi kalangan bangsawan atau pembesar negara.
Dan lebih menarik lagi, penyamun yang tidak diundang pun menyelinap turut sibuk membantu tuan rumah membuat pesiapan! []   

CERITA PELIHARA ANAK DEWA

ADA orang mencari belalang dewa. Apa gunanya? Untuk dibuat ubat tradisional, boleh dijadikan makjun tradisional bernama makjun belalang dewa. Ia ditujukan khas kepada kaum lelaki untuk menambah tenaga. Dulu, peniaga makjun belalang dewa selalu pamer barang dagangan di Chow Kit, Kuala Lumpur atau pasar malam.
Ada lagi benda yang berkaitan dengan dewa, iaitu mencari kekayaan dengan memelihara anak dewa. Anak dewa adalah makhluk halus, dari keturunan dewa-dewa menurut kepercayaan kuno. Ada yang mengaitkan dengan keyakinan orang Parsi kuno.
Sebenarnya perkara anak dewa ini masih samar-samar kepada saya, kerana nama ini tak pernah ada di bumi Malaysia. Lagipun, masyarakat kita tidak mengenal dengan istilah pesugihan atau kekayaan. Yang orang kita tahu, perjudian, tidak kiralah judi bola, judi internet, judi nombor ekor atau judi peramalan.
Konon sesiapa yang ingin kaya raya bolehlah mencuba resipi kekayaan dengan memelihara anak dewa.
Anak dewa yang dimaksudkan adalah berkaitan dengan Dewa Besar penguasa harta kekayaan dunia. Sesiapa yang ingin memelihara anak dewa, ada salurannya, ada orang yang pakar untuk melatih anda menjadi pemelihara anak dewa.
Anda juga disyaratkan jangan banyak bertanya, atau nak selidik sedalam-dalamnya tentang anak dewa ini. Jangan tanya anak dewa apa, jangan peduli dewa kayangan atau dewa gunung.
Dengan kata lain tak payahlah nak kaji asal-usul dewa, terminologi dewa, atau cara yang lebih detail tentang bagaimana dewa itu dihubungi dan bagaimana cara kerjanya.
Orang yang menyediakan keahlian ini hanya menyediakan kunci istimewa untuk membuka dan menutup khazanah dari anak dewa. Anda hanya diminta ikut sahaja aturannya.

RITUAL SEKS
Untuk memelihara anak dewa, sesiapa pun kena "berkahwin" dulu dengan seseorang untuk melahirkan "janin" anak dewa.
Walaupun peminat anak dewa digalakkan tinggal di rumah yang sunyi dan sepi, tidak kecoh, ia membenarkan anda memiliki anak dan beberapa isteri. Hanya untuk keperluan anak dewa, anda perlu mengadakan hubungan badaniah agar lahir bibit anak dewa di alam ghaib atau fantasi.
Tidak kira anda lelaki atau perempuan. Biasanya, penggemar anak dewa adalah kaum lelaki. Justeru dia perlu mengadakan hubungan seks baik dengan nikah atau tanpa nikah. Bukan hubungan intim sebagaimana yang orang fikirkan dalam bentuk perkahwinan biasa.
Jadi, orang bujang boleh memelihara anak dewa.
Syaratnya pelik sedikit. Inilah kali pertama saya temui syarat aneh begini. Untuk "berkahwin" dengan pasangan anda yang ghaib itu, anda dikehendaki melakukan perkahwinan mistik secara "onani" iaitu mengeluarkan mani dengan tangan.
Konon, dengan proses mengarut ini, anda telah melakukan "pernikahan mistik" dengan makhluk dewa yang bakal menurunkan anak dewa. Anak dewa ini adalah anak anda di alam ghaib, alam fantasi!
Walaupun secara onani, konon telah berlaku percantuman benih di antara manusia dengan makhluk halus fantasi.
Boleh juga dengan pasangan manusia biasa sebagai ibu tumpang. Tempoh hamil tidaklah lama, hanya 3 bulan 10 hari, atau 100 hari. Cukup masanya anak dewa anda akan lahir di alam mistik, alam yang anda sendiri tidak tahu, hanya teori yang dijabarkan oleh penyedia sistem mistik dan mengarut ini.
Anak yang lahir itu adalah anak dewa milik anda. Untuk mengikuti program gila ini anda kena bayar hingga RM1700 paling kurang, dan paling besar hingga RM2000 [tak banyak, campur konsultasi].
Kemudian anda perlu yakin dengan sistem karut ini. Bermakna anda sanggup jadi lembu bodoh, ikut sahaja apa kehendak "pengarah" sistem kewangan ini.
Perempuan yang menumpangkan kandungan tidak perlu khuatir, kerana cukup masa kandungan akan hilang. Janin tidak hilang ke mana ia telah lahir dan diasuh di alam fantasi dewa-dewa, bukakah dia adalah anak dewa?
Sesiapa yang ingn memelihara anak dewa [versi toyol dalam bentuk lain] dia kena patuh dengan aturan. Ada kunci yang disediakan untuk setiap peserta.
Apa yang orang itu dapat?
Memang ini cerita fantasi, antara percaya dengan tidak sahaja. Menurut pendongeng pesugihan secara ini, sesiapa yang ikut program memelihara anak dewa, dia kena bekerja, paling tidak jadi jurujual, atau buka perniagaan kecil, kerana ia jadi pelindung. Hanya biarlah berniaga dengan bersungguh-sungguh, kalau setakat jual gula-gula dan rokok, tentu orang tak percaya.
Penganjur cadangkan anda jadi jurujual. Temberang sahajalah, anda boleh jual produk harga mahal harga puluh ribu. Nampak macam tak sibuk, tapi anda ada duit, sentiasa berduit. Siapa yang bagi? Itulah anak dewa yang merupakan anak anda di alam pendewaan mistik.
Anak dewa anda bekerja secara mistik di alam sana, dan dengan usaha yang ala kadar, anda konon akan mendapat kekayaan yang tidak diduga. Itulah kekayaan atau pesugihan anak dewa.
Sudah barang tentu, program ini ada kaitan dengan dewa-dewa atau mahluk jin. Biar dengan nama apa pun, ia tetap makhluk halus yang boleh diperguna untuk kepentingan duniawi. Wallahu a'lam.[]

Friday 22 June 2012

HARTA KARUN TAK SUDAH-SUDAH

SEMBANG BOLEHLAH.
Itu yang orang boleh kata dalam bab cari harta karun.
Dari dulu sampai sekarang, ada sahaja orang buka topik harta karun. Banyaklah teori tentang penyimpanan dan pemendapan harta karun yang tidak terungkai.
Sesiapa yang rajin semak sejarah asal-usul nama tempat misalnya, mungkin ia ada kaitan dengan harta karun. Misalnya nama Bukit Tajau, di Maran, Pahang. Konon di sana ada beberapa buah tajau menyimpan harta karun di kawasan ladang getah. Tidak diketahui di peringkat mana lokasinya.
Kesan daripada cerita orang, ada kumpulan pencari harta karun dari Masjid India pergi Maran. Mereka berpandukan kepada arahan seseorang yang mengatakan lokasinya di sekian tempat.
Maka dikoreklah tanah di kebun getah itu pada waktu sunyi. Ada yang siap mengalunkan azan ketika kerja mengorek dibuat.
Setelah siap korek, habuk pun tak ada. Macam biasa, kalau perkara begini terjadi, orang pintar akan kata, "Mungki tajau itu dah beralih tempat. Khadam penunggu tajau ini aktif. Dia tidak boleh dengar orang bising-bising nak ambik harta karun dalam tajau!"
Jadi bagaimana nak mengambil harta karun itu?
Kena tunggulah sampai mood khadam itu baik. Kalau begitu, ini kerja sia-sia. Apa yang dikatakan khadam itu sendiri pun tak wujud. Hanya cerita mimpi.
Kemudian, ada orang sembang di Sg Lembing, Pahang, ada orang simpan kepingan emas tulen yang disorokkan oleh tok dia di kawasan bukit pada masa darurat dulu. Tok yang dimaksud pernah kerja di lombong emas [di mana agaknya?]
Dia sorokkan tiga keping emas tulen di tepi bukit. Bubuh tanda batu. Nanti kalau keadaan sudah tenang, dia akan datang ke situ korek semula. Masa berlalu, tok pun sudah tak ada, dan yang tinggal adalah cerita tok antara fakta atau khayalan, cucu yang mendengarnya antara percaya dengan tidak.
Apabila keadaan sudah jauh berubah, cucu ini sibuk hendak mendapatkan emas yang tok ceritakan. Bagaimana hendak mengambilnya?
Cerita punya cerita, sampai ke Masjid India, seorang paranormal yang pakar harta karun pun tumpang sekaki.
Mereka pun pergi ke bukit yang dimaksudkan. Bukan senang nak mengesan bukit yang mana satu. Semua sudah berubah, pokok kayu sudah tinggi-tinggi di kaki bukit. Main agak-agak sahajalah. Mana jalan utama? Di mana lombongnya. Arah mana emas itu diletakkan.
Hendak menyemak peta lokasi memang tak ada. Paranormal gunakan ilmu terawangan ghaibi rendahnya. Dia pun mengatakan, ada getaran, ada tanda-tanda memang ada. Ada tindak-balas dari khadam.
Maka senyumlah cucu tadi mendengar khabar dari paranormal hebat itu.
"Hanya saya tak tahu boleh dikeluarkan atau tidak aje," katanya.
"Kenapa pulak?"
"Emas ni sudah terpendam lama, sekarang dipegang oleh khadam jin!"
Inilah alasan gombal yang biasa orang dengar. Kalangan "kaki" harta karun dari JB hingga ke KB selalu mendengar alasan begini.
Akhirnya atas desakan cucu tadi, paranormal perguruan Wali Songo itu pun mencuba. Dia nak dapatkan kepingan emas itu juga. Emas itu sudah timbul secara terawangan [macam x-ray mistik], maka ghairahlah cucu tadi nak dapatkan emas, angan-angan sudah membuak nak jual emas ke Kuantan atau Tong Kiat.
Apakan daya, episod cari harta karun ini sama sahaja mainannya.
"Bukan tak boleh ambik dik, emas ni sudah ada, tempatnya dah tepat, hanya..."kata paranormal itu.
"Hanya apa bang?"
"Khadam ini kata, dia dah jaga lama emas dalam tanah, jadi dia nak kamu tebus emas ini dulu kemudian barulah dia kasi," terang paranormal yang pernah berguru di Cirebon itu.
"Tebus?"
"Kamu tak faham, tebus maksudnya, kamu kena korbankan sesuatu, macam ayam hitam, kambing hitam atau kerbau balar!"
"Boleh!"
"Nanti dulu, jangan kata boleh. Maksudnya yang disebut tadi aku belum cakap. Yang khadam jin ni nak adalah nyawa manusia!"
Begitu mendengar keterangan paranormal, cucu terketar-ketar.
Nyawa siapa hendak dikorbankan? Kemudian paranormal bercerita panjang tentang perkara itu. Semua ini disembangkan setelah cucu tadi angkat tangan. Dia tak berani ambil emas itu walaupun emas itu dulu adalah kepunyaan tuknya.

PATUNG PULA
Di sebuah tempat bernama Jengka [tak perlu sebut Jengka berapa] juga ada harta karun bawah rumah peneroka. Harta karun itu dijaga oleh khadam. Suka ganggu, mimpi karut, mimpi menakutkan, akhirnya apabila diselidik secara terawangan, di bawah rumah peneroka itu ada patung emas sebesar budak atau nak senang cakap sebesar toyol ukuran dahsyat.
Apabila sudah disahkan ada patung bawah rumah, mulalah tuan rumah jadi tamak haloba. Patung itu pernah dinaikkan oleh orang pintar. Siap dibasuh sebab berselimut lumpur dan tanah liat bawah rumah.
Patung itu memang sembahan orang bukan Islam.
Apa hukum berjual-beli barang sembahan bukan Islam? Itu tolak tepi, yang mereka fikir, patung tu ada harga. Kalau dijual, "Aku kaya!"
Patung itu sudah diusung jauh dari Jengka, tetapi kemudian dibawa semula ke Jengka dan ditanam di bawah rumah.
Kenapa?
Tuan rumah macam diganggu.
Dalam diam-diam dia lakukan adegan berani tanpa pengetahuan orang pintar yang sudah menolong mengesan dan mengeluarkan patung emas.
Dengan perasaan tamak dia telah memotong dengan gergaji besi tangan patung emas itu. Dia jual kepada seorang peraih di pekan. Tangan patung itu telah menghasilkan duit. Dapat duit, apa lagi, mulalah gelap mata. Kalau aku potong semua sekali dan jual, tentu dapat pitih lagi banyak. Belanar!
Duit jualan tangan patung masih ada. Belikan anak lelaki sebuah motosikal baru. Maka si anak pun melaramlah ke hulu-ke hilir, semua anak dara di situ diberitahu: "Saya dah beli motor baru!"
Daripada cerita paranormal itu, motor baru itu telah jadi korban pertama kerana patung emas. Jangan main-main. Konon patung itu telah dihantar ke suatu tempat, tapi di mana? Tidak diketahui.
Paranormal yang dulu tidak mahu ambil tahu lagi. Sebabnya, peneroka itu sudah langgar nasihat. Gelojoh sangat.
Kemudian yang terbaru, ada pula seorang peremuan yang hebat, dia ikut kumpulan peburu harta karun yang pernah berjaya banyak kali. Kepandaiannya mengesan harta karun cukup dahsyat. Di sebuah pula terpencil, kumpulan telah mendapat harta karun yang ditaksirkan berjuta ringgit. Bayangkan dia boleh beli bot besar secara tunai! Operasinya di Palembang, Sumatera Selatan.
Khabar terbaru dia hendak ambil harta karun dari dalam kapal karam di laut Selat Melaka. Sudah tentu perempuan yang pernah menyertai misi tarik harta karun di pulau itu akan ikut sama. Dia berani menyelam sebab dia tahu kaedahnya. Dia memang mahir kendalikan bot besar sebab sejak kecil ayahnya suruh dia kendalikan feri untuk orang awam.
Untuk naikkan harta karun di Selat Melaka ini, mereka turut menggunakan kepakaran di bidang lain. Dia perlu gunakan kaedah mistik, harta karun itu akan dinaikkan setelah umbo rampenya tersedia dan sudah cukup syarat. Maklum, khadam penjaga di lautan ini lebih ganas sifatnya. Wah! Kalau misi mereka berjaya nanti, entah berapa nilai harta karunnya.[]

TENTANG KEJAWEN

Dikatakan bahawa ajaran kejawen yang dulu adalah berasal dari Temenggung Majapahit (abad ke-14). Antara yang diterapkan agar menjadi amalan penganut kejawen adalah tidak membunuh apa sahaja, tidak merosakkan apa sahaja, tidak makan daging haiwan (vegetarian sahaja maksudnya), tidak menipu, berfikir dan kerja keras, rajin membaca dan mencari ilmu, bijaksana dalam bertindak,jauhi orang-orang jahat, kejam dan bahaya.
Begitulah antara lain ajaran kuno yang telah diamalkan oleh para penganut kejawen.
Selain itu ada lagi lelaku istimewa di kalangan orang Jawa yang orang tak tahu sangat, iaitu dalam bab upacara samadhi yang disertai puasa mutih.
Mutih ini adalah "puasa" yang hanya makan nasi putih sekepal dan minum air putih segelas. Makan nasi sekepal siang pagi dan sekepal lagi waktu petang menjelang waktu berbuka, dan juga air putih.
Apa pula yang dikatakan samadhi ini? Adakah bersemadi?
Ia adalah perbuatan duduk bersila, menutup mata, letak kedua belah tangan di dada selama 15 - 30 minit, tumpukan sesuatu terhadap kebaikan, ketenangan dan kebahagiaan.
Samadhi ini menurut kepercayaan akan dapat menghindarkan dari kecemasan dan ketakutan; juga menjadikan jiwa lebih tabah.
Menurut kepercayaan, Tuhan disembah atau tidak ia tidak akan memberi kesan kepada Tuhan. Jadi terpulang kepada manusia hendak menyembah-Nya.
Di antara kepercayaan dalam kelompok kejawen kuno adalah kelompok yang tidak percaya adanya neraka dan hukuman Allah. Mereka juga tidak percaya kepada adanya seksaan dari Tuhan di hari kemudian, lagipun mereka memang tidak percaya kepada seksaan neraka. Mereka membawa keyakinan bahawa apa pun agama dan kepercayaan yang dianuti manusia, Tuhan mereka tetap Satu.
Begitulah sesuatu yang perlu diketahui lebih mendalam tentang sisi lain berkaitan dengan kejawen. []

GENDERUWO HANTU GATAL KACAU PEREMPUAN

WAKTU KECIL saya pernah mendengar orang tua saya menyebut nama hantu ini. Genderuwo, tapi apa dia?
Timbul soalan bagaimana rupanya? Kenapa dia digeruni kanak-kanak? Saya sendiri tak pernah melihat bagaimana rupanya hantu genderuwo ini, yang ada adalah gambaran fantasi berdasarkan penceritaan orang.
Contoh, orang kata genderuwo ini berasal dari mitos Jawa. Ia sejenis bangsa jin yang menyerupai manusia, mirip kera, bertubuh besar, kekar, kulitnya warna gelap dan kemerahan. Agaknya seperti gorila atau king kong?
Di mana makhluk itu berada? Ada yang kata ia tinggal di kawasan batu berair, bangunan lama yang sudah ditinggalkan, pokok besar yang teduh dan rimbun, atau tempat yang sunyi dan gelap.
Pendeknya dia suka tempat yang jauh dari manusia, tempat yang orang tak suka.
Secara etimologi ia berasal dari bahasa kawi gendharwa, asal dari bahasa Sanskerta gandharva. Dalam kepercayaan Hindu, Buddha, ia digambarkan makhluk yang menyerupai manusia lelaki dan tinggalnya di kayangan sana.

HANTU GATAL
Di dalam mitos Parsi kuno, gandarewa ia adalah sejenis siluman air. Dan dalam budaya Jawa, genderuwo ini boleh hidup membiak dengan manusia. Makhluk ini boleh mengubah bentuk untuk mengoda manusia.
Maksudnya hantu jelmaan dari genderuwo ini bersifat gatal dan suka menggoda perempuan dan kanak-kanak. Konon dia suka kacau perempuan, kadang-kadang tepuk punggung dan meraba-raba perempuan yang sedang tidur. Jadi awaslah, genderuwo palsu pun ada.
Hantu ini suka kacau perempuan. Kadangkala dia boleh pindahkan pakaian dalam ke tempat lain hingga orang tercari-cari dan hairan.
Jika begitulah teruknya genderuwo, maka tidak hairanlah orang kata dia adalah hantu gatal. Ada yang kata hantu cabul. Dia juga suka lempar batu atas bumbung rumah.
Akan tetapi perangai yang paling digemari genderuwo adalah kacau perempuan. Tidak kira siapa, anak atau isteri orang, janda-janda pun dikacaunya. Matlamat hantu ini adalah seksual. Jadi bagi mana-mana puak yang gemar mengusung cerita seks untuk mengaibkan orang atau memfitnah, maka mereka itu boleh kita anggap sebagai GENDERUWO POLITIK.
Hantu cabul, hantu lucah, gila seks dan macam-macam gelaran lagi memang sesuai untuk genderuwo. Dan kalau ada orang yang mabuk seks, gila seks, suka kecabulan, video seks diusung sana-sini, mereka itu adalah mewarisi kaum genderuwo!
Menurut cerita dulu-dulu, ada juga kalangan manusia yang tergoda oleh rayuan gombal genderuwo ini. Mereka secara sunyi-sunyi dating bawah pokok rendang untuk adakan pertemuan dan mengadakan hubungan seks. Ada yang sampai mengandung luar nikah kerana genderuwo. Ada perempuan yang boleh hamil kerana mengadakan hubungan seks dengan hantu genderuwo.

TEBO
Sebagai contoh, kes Tebo dalam tahun 1970. Dia konon manusia istimewa yang lahir hasil dari hubungan sulit manusia dengan genderuwo. Sudahlah abnormal, dia berbulu, muka menakutkan macam genderuwo. Ia dipercayai hasil kahwin silang manusia dengan makhluk genderuwo.
Semua ini mungkin kerana genderuwo pandai menyamar. Jika dia berkenan dengan seseorang perempuan, genderuwo sanggup menyamar sebagai saudara mara atau suami kepada seseorang perempuan idaman. Dia juga boleh menyamar sebagai kekasih.
Ada juga cerita pelik mengatakan genderuwo yang dari jenis hantu ini boleh tinggal di dalam rahim wanita! Ini kerana hantu ini jenis gila seks, lebih baik dia tinggal di situ. Memang karut dan tak masuk akal pun.
Menurut kisah, ada juga genderuwo yang baik, dia menyamar sebagai lelaki tua berjanggut putih. Dia boleh tolong orang dan menolong apa sahaja termasuk menunggu rumah.

ASAL-USUL
Cerita ini tetap tidak masuk akal. Penutur kisah mengatakan genderuwo berasal daripada orang yang mati secara tidak sempurna, seperti mati bunuh diri atau kemalangan ngeri. Ini adalah kepercayaan sahaja. Di Malaysia cerita genderuwo memang tidak ada, tetapi fakta tentang makhluk ini pertama kali dipaparkan di Muzium Negara ketika diadakan pameran hantu.
Bagaimana cara memanggil genderuwo?
Menurut paranormal silam, bakar satey gagak adalah cara mudah untuk seru genderuwo. Gagak konon dipercayai haiwan peliharaan hantu ini. Kaedahnya sama seperti jual satey gagak di kubur untuk mendapatkan duit dari alam misteri.
Bolehkah saja-saja bakar daging gagak di kuburan untuk panggil hantu. Ada mantera yang dibaca. Ada tatacara yang dilakukan. Jika ingin panggil genderuwo, lakukan di tempat yang lapang [termasuk kuburan] sebab pembakaran satey adalah kaedah yang sesuai untuk genderuwo.
Apabila ada bau bakaran satey, genderuwo akan mencari sumber bau. Konon, hantu ini keluar ketika lapar, kalau kenyang, dia tidur dan tidak peduli daging gagak sedap macam mana pun!
[baca juga Suryono,R.P.(2007) Doa Mistik Orang Jawa:Roh Ritual, Benda Magis, Penerbit LKiS]. []

PERINGATAN UNTUK SESEORANG DIKENALI, APA SEBENARNYA?

KITA selalu dengar ada orang mengadakan hari peringatan terhadap seseorang tokoh. Tokoh yang yang dikenang selalunya berkaitan dengan bidang hiburan semata-mata. Bukan tidak ada tokoh di bidang lain, tulisan ini sengaja hendak mengelak dari membicarakan tokoh dalam bidang lain, dan hanya menumpukan kepada bidang hiburan -nyanyian dan muzik.
Dunia hiburan adalah dunia yang terasing dari perkara lain. Orang selalu menumpukan dunia muzik dan nyanyian secara intensif supaya namanya melonjak di dalam arena seni. Bidang seni adalah bidang yang sangat glamor, kebanyakan ibu bapa mengidam agar anak-anak mereka menjadi orang seni suatu masa nanti.
Idaman ibu bapa terhadap bidang yang hanya menjanjikan pulangan duniawi dan menolak ukhrawi adalah gambaran sebenar mentaliti ibu bapa Melayu yang telah dipupuk sejak zaman kebagkitan budaya popular.
Budaya popular ini pengaruhnya cukup dominan. Jika kita ingin tahu bagaimana corak budaya pada ketika itu, tengoklah filem-filem Melayu hitam putih di zaman lampau, zaman Cathay Kris, zaman Shaw Brothers dan yang seangkatan dengannya.
Perhatikan juga senarai warga dunia seni pada ketika itu. Sejauh mana pencapaian mereka, corak kehidupan mereka dan bagaimana pandangan dunia mereka.
Sebenarnya, perhatian masyarakat terhadap dunia dan hiburan dan filem lama kelamaan akan menurun juga apabila semua orang telah mula kembali kepada al-Quran dan Hadis. Dunia hiburan dan muzik adalah dunia sementara, dunia angan-angan yang banyak meniru perkembangan seni hiburan semasa yang melanda dunia ketika itu.
Kita pernah dilanda muzik Barat, bermula dari muzik rock 'n roll, twist, a gogo, cha-cha, rumba, raggaie, the beattles, bee gess dan sebagainya.
Jangan lupa, masyarakat kita telah dicorakkan oleh pengaruh filem Hindustan yang keterlaluan, hinggakan tidak ada rumah Melayu yang sunyi dari lagu Hindi, dinding rumah ditampal gambar artis filem Bollywood, entah gambar apa, mereka tidak peduli pun akan larangan menampal gambar dalam rumah. Masa itu bukan tidak ada ilmu dalam kumpulan kitab, tetapi tazkirah seperti hari ini amat kurang.
Kehidupan umat Melayu memang terasa macam kekosongan. Institusi masjid hanya jadi tempat persinggahan untuk hari Jumaat atau hari peringatan tertentu seperti Maulud Nabi, Israk Mikraj atau Solat Tarawih.
Umat Melayu mengutamakan hiburan dan nyanyian.
Hingga sekarang, orang masih memperingati penyanyi atau artis tertentu. Mengenang lagu-lagu yang popular pada zaman dulu. Ketika seseorang mengenang, usia masing-masing sudah menjengah angkat 5, 6 atau 7.
Wajarkah dalam angka begitu masih hendak mengenang atau mengingati perkara yang tidak memberi faedah sedikit pun kepada diri seseorang?
Adakah mengenang lagu-lagu itu akan mendapat pahala dan ganjaran tertentu?
Memang tidak ada apa-apa pahala dan ganjaran.
Kita hanya mengingat zaman kelekaan yang telah ditingalkan, dan sepatutnya dilupakan terus bagi membina hidup baru, meneguhkan keimanan agar tidak berpaling lagi kepada kenistaan yang tak berfaedah itu.
Ada pesta memperingat tokoh penyanyi dengan cara yang keterlaluan. Mereka raikan tokoh itu seolah-olah ia sangat penting dan amat berharga untuk diraikan, untuk diingati setiap tahun, hanya kerana nyanyian, hanya kerana hiburan yang tak berfaedah pun di hari tua seseorang.
Bayangkan, apakah setiap tahun mahu meraikan hari peringatan penyanyi si fulan atau si fulan? Sedangkan yang kita raikan itu hanya bidang hiburan, bidang perfilem yang membawa seseorang ke kancak kemaksiatan? Di sinilah, umat Melayu masih menganggap nyanyian dan muzik tidak ada apa-apa.
Dengan sebab itulah apabila ada artis yang terkenal pernah jadi juara Ratu Kebaya tahun 60-an, ia tetap diperingati sepanjang hayat, sedangkan menyertai pertandingan ratu apa lagi namanya Ratu Kebaya, ia tidak ada dalam kamus Islam. Ia hanya ada dalam dunia hiburan jahiliyah kita masa silam.
Ada orang megah kerana suaranya sedap, menjadi juara sekian zone, maka namanya pun melonjak. Memang hebat dalam bidang itu, tetapi anda belum tentu hebat dalam bidang ukhrawi. Anda tertinggalan jauh dalam bidang keagamaan, tertinggal jauh dalam bab majlis ilmu, mengimarahkan masjid dan berkecenderungan kepada Islam.
Ingatlah, jika kira sama-sama meraikan orang yang tak sepatutnya diraikan, bererti kita mengagungkan kenistaan yang tak layak disanjung pun. Sanjungan dalam bentuk kebendaan apa lagi yang tidak membawa kebaikan kepada agama, apalagi menimbulkan fitnah, maka kita harus lupakan.
Sebaliknya, kita perlu mengajak muda-mudi Islam yang ada hari ini, hendaklah mengurangkan segala aktiviti yang berkaitan dengan muzik dan nyanyian. Kurangkan menyertai program realiti dari televisyen tempatan atau radio tempatan kerana semuanya menjurus kepada fitnah dan kerosakan akhlak.
Lihatlahlah bagaimana pengaruh program Akademi Fantasi, bagaimana pengaruh Malaysian Idol?
Bilangan anak Melayu yang ghairah ingin menempa nama menjadi popular begiru ramai. Inlah bidang yang boleh menonjakkan nama, melonjakkan kreativiti yang tak seberapa, dan yang penting dapat meraih pendapatan yang lumayan.
Tawaran-tawaran hadiah, baik rumah, kereta dan sebagainya adalah lambang kemewahan yang ditanamkan kepada generasi muda. Idea tawaran hadiah ini adalah dari sumber Islam. Mereka telah melihat di mana kelemahan orang Melayu dalam bidang hiburan. Inilah tempat musuh-musuh umat masuk mencelah.
Musuh umat jika diceritakan orang tak akan kata ilblis laknatulah, tetapi Melayu penghasut yang anti hiburan dan muzik. Inilah jawapan yang mereka lontarkan.
Apabila ada di antara orang hiburan yang menyertai kelompok parti yang menjurus Islami, ia ada tanda bahawa umat kita mulai bertanya, hendak ke mana aku ini? Muzik dan nyanyian ini bolehlah membimbing aku ke syurga?
Nah, setelah bertanya dan mengintrospeksi diri, maka dia telah mendapat jawapannya. Muzik dan nyanyian sebenarnya tidak ada apa-apa. Ia malah lebih menjurus kepada fitnah. Ia menjurus kepada kelekaan, melalaikan kepada agama, melalaikan solat, tidak peduli garis panduan halal dan haram, berlaku percampuran lelaki dan perempuan, kemudian masih mendabik dada lagi mengatakan rezeki yang "halal" - jadi awaslah, dengan sikap berhati-hati, kita akan dapat mengenal di mana letak kebenarannya.
Justeru, apabila masa beredar, kita tidak perlulah mengadakan majlis memperingati seseorang tokoh artis tertentu kerana ia belum tentu memberi kebahagiaan kepada yang empunya diri.
Apakah setiap tahun kita hendak mendendangkan cerita bohong tentang sesuatu perkara yang kita tidak punya ilmu? Di sinilah kesilapan kita. Kita sanggup berhabisan demi memperingati seseorang tokoh yang masyhur di bidang nyanyian atau filem, tetapi kita lupa memilah-milah sesuatu yang haq dengan yang batil. Wallahu a'lam.[]

LAGI TENTANG TOYOL

CERITA TENTANG TOYOL memang tidak akan habis. Ada sahaja versi baru, penambahan dan sebagainya.
Contoh: kalau orang tanya toyol itu berasal dari apa?
Memang tidak ada orang boleh jawab.
Tetapi di kalangan cerdik pandai dan ahli para normal di Jawa, mereka mengatakan toyol itu berasal dari janin manusia yang tidak sempat membesar. Ia telah menjalani keguguran. Dan dalam proses keguguran itu, ada orang yang cuai, ada yang buang janin begitu sahaja ke longgokan sampah, dalam longkang, dalam lubang tandas, bagi makan kucing atau anjing atau ke mana sahaja asalkan dapat cuci tangan!
Tetapi menurut pengamatan kalangan spiritual ghaib, janin yang terlantar itu akan menjadi habuan dengan mahluk jin sejenis toyol, janin itu dikutip dan dipelihara hingga membesar sebagai toyol.
Menurut versi Petaling Jaya pula, seorang ustaz ada beritahu cucuk satey atau daging panggang di tanah Arab pun boleh dijadikan toyol kalau pandai memuja dan menjadikannya berjin bertoyol.
Jadi, maklumat ini tentulah tambahan daripada cerita janin tadi.
Biarlah kita temukan banyak versi cerita tentang toyol.
Mengenai janin ini pula ada yang kata janin berusia 7 bulan pun boleh diproses untuk dijadikan toyol. Maknanya ada keahlian seseorang untuk membentuk benda itu agar menjadi berjin dan bertoyol. Janin itu besarnya lebih kurang 20 sm.
Hal toyol ini pun perkara pelik. Jika seseorang ingin memelihara toyol dia kena jumpa dukun yang bela toyol. Macam orang nak beli anak anjing atau anak kucing. Kena jumpa pekedai haiwan. Bukan semua orang pakar dalam pentoyolan. Banyak yang tak tahu apa pun.
Lalu jumpalah orang yang ahli di bidangnya. Di negara kita tidak ada iklan PAKAR TOYOL dalam akhbar atau majalah. Tetapi di negara jiran kita ada jurukunci yang siap membawa anda berjumpa pakar toyol.
Boleh dinyatakan berapa harga toyol yang anda sanggup atau mampu bayar.
Paling murah adalah Rp5 juta dan paling mahal hingga Rp10 juta [x RM350 l.k sejuta Rp.]
Ada jurukunci kata, jika ingin beli toyol cantik datanglah ke Kunigan, Jawa Barat; atau ke Tulung Agung, Jawa Tmur; atau Karang Pucong, Cicalap; atau jenguk ke Cirebon.
Ketika saya di kampung, ada juga orang kampung kata ada orang Jawa di Sg Panjang, Selangor, disyaki memelihara toyol [sudah jadi tanggapan biasa, jika ada orang Jawa pergi ke Jawa untuk ngelencer berhati-hatilah dengan fitnah toyol].
Menurut yang empunya kisah, hanya perempuan sahaja yang layak bela toyol. Sebab toyol itu macam bayi, suka merengek, minta disusui dan diberikan makanan. Jadi, sesiapa yang bela toyol kalau lepas makan tak perlu cuci tangan sebab toyol nak jilat jari tuannya.
Paling lama toyol dipelihara sampai 10 tahun. Apabila cukup tahun, kena cari toyol baru.
Orang yang bela toyol pun bukan terus kaya. Kena tunggu bertahun-tahun baru boleh kaya raya. Tapi kaya guna toyol tidak sama dengan kekayaan bela lembut NFC atau dapat projek politik.
Ada orang kata, kita boleh tangkap toyol. Memang boleh, tapi kena ada kepakaran. Kemudian ada yang kata boeh sumbat toyol dalam botol. Boleh dilihat. Hanya, tak boleh dirakamkan gambarnya. Kalau guna kamera canggih pun, hanya botol kosong yang dapat dirakamkan gambarnya.
Khabarnya, orang Cirebon pun ahli dalam toyol. Toyol dari daerah ini dianggap yang terbaik. Ada juga toyol yang dijual, toyol yang dilelong dan toyol yang boleh dibeli dengan ansuran!
Sesiapa yang ingin beli toyol, kena sediakan sangkar toyol, bilik tidurnya, ada tilam dan bantal kecil [bayi], kena mandikan toyol dan menyusui macam bayi. Leceh juga.
Ada pula yang kata, toyol dari Cirebon kecil-kecil, manakala toyol dari tempat lain ada yang besar macam budak remaja atau orang dewasa. Kalau besar begitu tentulah tak dipanggil toyol lagi, kerana ia sudah jadi makhluk lain - mungkin hantu raya atau belaan lain.
Entahlah. Mana ada orang kaya kerana toyol? Kalau ada lebih baik buka business francais pembrong toyol, edarkan ke Malaysia. Buka cawangan. Hebat. Toyol diternak dan dijual merata-rata. Meriah sungguh! [] 

Tuesday 19 June 2012

CELENG BELES, APA BENDANYA?

DALAM bab mencari duit bagi orang yang tak berkecimpung dalam dunia politik dan business besar, maka cerita persugihan adalah perkara yang mendodoikan perasaan. Ceritanya lebih indah daripada hakikat yang sebenar.
Seperti cerita celeng beles ini. Ia sebenarnya kisah celeng atau babi. Tetapi bukan babi peliharaan seperti yang biasa saya tengok di Sekincan dalam tahun 70-an dulu. Ini babi hutan liar warna hitam.
Ada juga cerita tentang babi yang popular di Jawa sana, iaitu babi ngepet. Cerita ini juga sudah saya peroleh ketika wawancara dengan seorang warga Indonesia ketika sembang-sembang tentang hal persugihan dalam tahun 2003.
Babi ngepet adalah ilmu karut yang dipelajari bagi tujuan mengambil harta dari orang kaya yang bongkak dan sombong. Harta ditarik dengan ilmu babi ngepet. Orang itu kena menyamar jadi babi, geselkan badan di dinding rumah orang kaya, konon dengan cara begitu harta orang kaya itu akan berpindah ke rumah pemuja ilmu babi ngepet.
Wah, ia umpama ada alat penyedut di luar rumah. Dengan sekali sedut, wang ringgit atau barang kemas berharga akan masuk dalam saluran yang sedia menunggu di luar rumah. Orang yang amal babi ngepet kalau dalam bahaya, isteri di rumah akan tahu, dia akan padamkan lampu pelita minyak tanah supaya keadaan jadi gelap, maksudnya, kehadiran babi ngepet di rumah orang kaya lagi sombong itu tidak dilihat orang lain.
Menarik juga kisah mencarik adat ini.
Jadi sesiapa yang amal ilmu babi ngepet kena berpakat dengan isteri di rumah untuk mengawal lampu pelita yang berharga.Sedangkan sekarang orang sudah moden, tidak ada lilin dan lampu pelita. Tetapi untuk babi ngepet ia jadi penting, ia jadi talian hayat pengamal ilmu.

CELENG BELES
Ini lagi satu babi yang ada kaitan dengan ilmuan.
Konon pemuja ilmu ini perlu mencari mencari korban budak untuk memantapkan ilmu. Dia perlu tuju rumah tertentu yang ada anak kecil. Ketuk pintu rumah, setelah dibuka, pengamal ilmu secara mistik telah hilang dan masuk ke dalam rumah tanpa disedari oleh tuan rumah.
Tuan rumah tidak lihat apa-apa, dia hanya dengar pintu diketuk, apabila dibuka tak ada siapa. Sebenarnya "orang" itu sudah masuk ke rumah.
Pengamal ilmu akan berehat dalam rumah dan memberi tanda ke dahi anak kecil di dalam rumah. Tujuannya dia nak membawa anak kecil itu keluar rumah sebagai korban bagi pemujaannya.
Korban itu untuk siapa? Menurut cerita karutnya, ia untuk dhanyang celeng beles. Sejenis makhluk halus yang aktif kalau dipuja berlebihan.
Menurut cerita, tanda budak itu bakal dikorbankan hanya ada di alam mistik. Ibu bapa budak itu tidak melihat suatu tanda pun. Akan tetapi kalau ibu bapa budak itu ada ilmu yang lebih tinggi maka tanda itu dapat dibaca secara batin.
Tanda di dahi budak itu - biasanya warna merah - adalah cop rasmi babi babi hitam liar. Hantu hutan yang dipanggil dhanyang sedia menunggu di hutan kalau-kalau ada korban baru.
Konon setelah ditanda, budak itu akan menderita panas badan beberapa hari, kejang-kejang badan dan kemudian akan membawa maut kalau tidak diubat dengan segera secara ruqyah syarr'iyah.
Untuk mengelakkan petaka ini, jika pintu diketuk, jangan buka pintu.
Kaedah berhati-hati ini sekiranya di sesuatu tempat itu memang telah diketahui ada pengamal ilmu karut jenis celeng beles ini. Jika tidak kena berhati-hati juga, zaman sekarang banyak kejadian pelik berlaku dan tak disangka-sangka.

KAYA CEPAT
Berbalik kepada babi hitam liar ini, kenapa orang sanggup mengamalkan ilmu karut tak berguna ini?
Ia adalah sejenis ilmu persugihan atau ilmu nak kaya cepat.
Akan tetapi, ilmu ini hanya dalam bentuk cerita sahaja. Mana ada orang yang sanggup korban anak sendiri semata-mata ilmu?
Sesiapa yang ingin menyertai program kaya cepat secara karut ini, dia hendaklah sudi mengorbankan anaknya sendiri terlebih dulu. Bukan korban secara sembelih, tetapi akan berlaku sesuatu yang tak diduga, begitulah konon kisahnya.
Kemudian setelah korban terjadi, iaitu dari keluarga sendiri, barulah boleh mencari korban dari orang lain pula. Syarat tak masuk akal yang diperlukan, setiap tahun, pengamal ilmu kena korbankan budak.

CULIK KANAK-KANAK?
Adakah pengamal ilmu ini turut melakukan penculikan kanak-kanak seperti kes kanak-kanak hilang di negara kita?
Sejauh ini tidak diketahui. Mungkin ada pengamal ajaran karut sanggup melakukan tindakan nekad demikian.
Hanya orang yang berhati iblis sahaja sanggup mengamalkan ilmu ini. Sebabnya, ia bukannya senang. Pertama-tama, kena puasa mutih 3 hari dulu. Terus keluar rumah masuk ke hutan, iaitu pada malam hari ke-3 puasa mutih. Sanggupkah mutih? Makan nasi putih dan air mineral sahaja? Bukan sepinggan, tetapi sekepal sahaja.
Kedua, setibanya di hutan, sudah ada agen iblis menunggu iaitu seorang tua yang aneh, mungkin dia makhluk syaitan juga, badannya besar, hitam legam, bulu tebal dan kasar, wajahnya benjol-benjol. Gambaran begini kalau buat cerita seram memang kena kreatif buat solekan yang menyeramkan.
Kemudian makhluk itu akan mengajak penuntut ilmu melakukan ritual atau upacara memuja di perkampungan jin hitam itu.
Secara tak langsung, pelaku tadi sudah menjadi pengikut jin dan syaitan. Apa kehendaknya semua kena ikut, maklum nak dapatkan duit banyak sampai juta-juta!
Jin hitam itu konon akan ajak dia pergi ke pasar malam, ia pasar jin, macam pasar malam biasa. Di sana dia diajak melihat daging yang sedap dan bermutu.
Ketika masuk ke pasar malam itu, keduanya sempat melawat tempat perjudian besar di alam mistik. Ada orang mabuk-mabuk. Bukan hanya itu, dia juga dapat melihat orang melakukan seks secara terbuka di tepi pasar. Itulah gambaran budaya sesat dan kelakuan jahat makhluk syaitan ini.
Mereka juga melihat wajah-wajah bengis dan kasar.

JUAL DAGING
Pergi pasar malam jangan fikir nak beli apam balik, burger atau jagung rebus. Di situ hanya boleh beli daging sahaja. Mereka jual daging cincang yang masih segar. Ada yang dilonggok, ada yang digantung, macam orang jual daging di pasar.
Makhluk hitam itu memberitahu lelaki yang mengikutnya, "Kalau mahu cari daging yang bagus, cari yang muda, dagingnya enak dan lembut."
Maksudnya, carilah kanak-kanak untuk dikorbankan, daging muda yang lembut harganya mahal, bermakna dia akan dapat duit yang banyak sesuai dengan harga korban.
Di alam mereka semuanya simbolik belaka.
Kalau daging murah, maksudnya orang tua dijadikan korban. Ia hanya sesuai untuk masak sup!
Ketika berjalan di pasar malam aneh itu, pelaku tadi masih berpuasa mutih hari ke-3. Sudah tentu dia lapar bukan main, maklum telan nasi putih dan air putih.
Mengetahui si fulan itu lapar, jin hitam itu ajak dia makan di warung. Warung sup. Sudah tentu bukan sup kerbau, kambing atau ayam, tetapi sup tulang manusia berumur.
Ketika mendekati warung, jin itu membuka penutup periuk sup. Astagfirullah! Apa dia?
Dia melihat kepala manusia dengan hidung dan mata melotot, itulah sup kepala manusia!
Lelaki yang berpuasa mutih itu lari lintang pukang.
Ketika berlari itulah dia melihat anak kecil berteriak-teriak  kerana sedang diikat dan kaki digantung pada sebatang pokok besar. Mungkin budak itu akan disembelih sebagai korban baru.
Setelah si fulan tadi lari ketakutan, dia tertidur di suatu tempat. Dia tak peduli apa. Dia kelaparan kerana puasa mutih yang langsung tak ada pahala. Ia puasa tuntutan ilmu, bukan puasa syariat.
Si fulan tadi gagal hendak menuntut ilmu celeng beles.
Dia tak sanggup nak jadi kaya kalau melihat adegan ngeri begitu. Ia umpama neraka. Sadis, ganas dan karnival sifatnya.
Agaknya ada atau tidak orang yang mengamalkan ilmu gila ini?
Mungkin ada, atau mungkin tidak.
Menurut yang empunya kisah, orang yang mengamalkan ilmu babi beles ini sering batuk-batuk kecil, gemar berdehem dan berbunyi GRUKKK GRRUKK macam babi hutan.
Badannya berbau perengus macam babi, walau pakai minyak kasturi tulen pun, dan dia suka meludah. Tapi ingatlah, tanda-tanda ini pun boleh kita lihat di luar, bagi orang yang lepas demam, ada tanda-tanda begitu, janganlah dituduh amal ilmu babi pula.

ADA TIPS
Bagi yang mengesyaki ada kelompok umat yang mengamal ilmu sesat ini, letakkan najis manusia atau najis anjing di depan rumah orang yang kita syak mengamalkan ajaran karut [pastikan yakin betul], kalau boleh gunakan najis yang baru. Disebabkan ada najis begitu, pengamal ilmu tidak akan dapat mencari korban baru, bahkan akan terkena dirinya sendiri.
Elakkan dari bersentuhan dengan pengamal ilmu ini. Jika nampak babi hutam waktu malam [kalau kebetulan ada pengamal ilmu dan bukan babi liar] pukul haiwan itu di bahagian punggung dengan kayu kelor atau kayu pokok kekabu, jika terkena haiwan mistik itu akan jatuh dan bertukar menjadi manusia. Dua kayu inilah yang menjadi pantang kepada pengamal ilmu karut ini. Kenapa pukul bahagian belakang haiwan itu? Ia dipercayai adalah bahagian kepala manusia [pengamal ilmu], posisinya memang terbalik.
Ilmu karut yang diceritakan ini adalah ilmu yang pelik, dan tak pernah kita dengar di Malaysia. Tetapi bukan tidak ada, orang menuturkan cerita ini, bukankah di negara kita pun ramai pendatang dari wilayah yang berbeza? []

TARIK KHADAM MASUK BENDA PUSAKA

SAYA pernah mendengar seseorang berkata, bahawa benda-benda biasa boleh diisi agar ia menjadi benda berguna. Maksudnya, kalau ia kosong, ia boleh diisikan sesuatu ke dalamnya secara mistikal, itulah yang orang sebut khadam.

Siapakah khadam yang selalu disebut orang? 
Ada orang sanggup membayar beratus hingga beribu ringgit semata-mata ingin mendapatkan khadam. Nama khadam pun macam-macam, ada khadam jin, khadam "malaikat" dan khadam pusaka.
Keris pusaka boleh dimasukkan khadam ke dalamnya. Di mana khadam itu bersemayam? Ada yang di dalam sarung keris, di hujung keris, pangkal keris dan sebagainya, terpulang kepada kepandaian orang yang memasukkan khadam.
Sebenarnya di Jawa Timur, memang ada upacara khas sidhikarta pusaka adalah perawatan benda pusaka dalam bentuk non-fisik iaitu yoni atau khadamnya.
Memang ada istilah jamasan pusaka, iaitu perawatan dalam bentuk fisiknya benda-benda pusaka yang ada.
Sidhikarta pusaka adalah sebuah upacara yang dikatakan sudah turun-temurun dilakukan. Ada yang mengatakan sejak zaman kerajaan Kediri, Singasari dan Majapahit dulu.

Kenapa ia diadakan? 
Ia konon untuk menjaga kekeramatan dan tuah barang pusaka yang ada, terutama pusaka raja-raja dulu.
Ritual di kraton tentulah diadakan secara tertutup dan untuk kalangan pemilik pusaka yang elitis sahaja. Contoh yang dilakukan di kraton Yogyakarta atau Surakarta.
Tidak di ketahui ada atau tidak upacara seperti ini di Perak atau di istana Melaka?
Sebenarnya, upacara yang berkaitan dengan pusaka ini juga melibatkan orang kampung. Mereka yang menyimpan pusaka juga ikut merawat benda pusaka masing-masing.
Menurut ceritanya, ritual sidhikarta pusaka ini dimulai dengan kirap pusaka di keliling kampung, konon untuk mohon perkenan kepada Yang Maha Esa, kepada para leluhur dan para danyang [yang telah meninggal, iaitu peneroka kampung asal]. Mereka berkumpul di balai seperti balai raya.

Sajian
Yang utama dalam perkumpulan itu adalah membawa sajian seperti berbagai jenis makanan tradisional,, bubur, bunga-bunga berbagai jenis, nasi tumpeng, berbagai buah-buahan dari dalam tanah, atas tanah  dan di atas tanah, juga buah yang tergantung seperti pisang, manakala ayam, telur, tebu dan berbagai sajian lain juga dibawa sama.
Setelah sajian diletakkan, maka sidhikarta pusaka pun dilaksanakan, iaitu dengan membasuh benda pusaka itu atau yang biasa kita sebut dilimaukan, mereka basuh benda pusaka dengan air suci secara simbolik dan diteruskan dengan bacaan mantera dan doa.
Doa yang dibacakan diambil dari al-Quran yang dipercaya memiliki kekuatan untuk menjaga keghaiban benda pusaka.
Selain itu ia disusuli pula dengan mantera dan suluk dalam bahasa Jawa. Mereka kata ia diambil dari kitab-kitab kuno [tulisan Jawa kuno seperti tulisan Tamil].
Rawatan itu dalam bentuk non fisiknya, iaitu khadamnya. mereka berharap dengan majlis itu benda-benda pusaka yang ada akan diberi kekuatan magisnya dan memberi manfaat kepada pemilik pusaka.
Ritual itu umpama mengcharge "power" kepada benda pusaka supaya tuahnya terjaga.
Apakah ia proses untuk memasukkan khadam?
Sebenarnya menurut sumber cerita, ada dua jenis khadam. Khadam dari dalam benda pusaka itu dan khadam yang berasal dari luar.
Pada barang pusaka memang ada khadam yang sudah menempel atau berada di dalam benda pusaka itu. Ia sudah sedia ada sejak benda pusaka itu ditempa oleh Mpunya [contoh keris].
Khadam dari luar pula adalah khadam yang berasal dari keris kuno yang telah hancur atau rosak, dan ia tertarik untuk mengikut khadam lain berada pada pusaka yang lain pula.
Khadam yang baik ialah yang telah melekat sekian lama sejak ia dibuat oleh Mpu.
Menurut kisah, apabila sidhikarta pusaka dilakukan, yang penting adalah pembacaan doanya yang islami kerana memetik dari ayat-ayat al-Quran, kemudian disusuli pula dengan suluk atau syair-syair kuno yang fungsinya untuk merawat atau menyebabkan khadam itu selesa berada di dalam barang pusaka.
Jika khadamnya selesa duduk dalam benda pusaka, konon benda pusaka itu akan memancarkan tuah yang kuat sehingga ia dapat memberi manfaat yang maksimum kepada pemiliknya, yang paling penting, apa sahaja yang dihajatkan akan tercapai. Itulah kepercayaan mereka terhadap benda pusaka yang disimpan dan dirawat setiap tahun.
Tidak semua pusaka yang ada adalah barang kuno atau simpanan sejak ratusan tahun. Ada juga pusaka yang baru. Ia turut dirawat bagi menjaga keselesaan khadamnya.
Benda baru boleh diisi oleh khadam kuno yang "keluar" dari barang pusaka lama yang telah rosak atau hancur. Secara mistik, khadam, atau yoni itu sifatnya abadi, ertinya jika keris yang diduduki atau dihuni itu rosak dan hancur, maka ia akan "keluar" mencari keris lain yang masih kosong tanpa penghuni.
Dalam upacara itu dipercayai ada keris yang kehilangan khadam [koncatan tayuh] akan didatangi semuila oleh khadam yang telah keluar. Khadam itu masuk semula ke dalam keris itu. Inilah peliknya.
Untungnya, kepada sesiapa yang kerisnya atau barang pusakanya kosong tanpa khadam, apabila mengikuti upacara "sakral" ini benda-benda itu akan dihuni oleh khadam secara otomatik.
Tidak diketahui sejauh mana kebenaran kenyataan ini, tetapi ritual ini memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang gila benda pusaka. [Liberty, ed. 2487, 2012]. 

Wednesday 13 June 2012

POLITIK MELAYU MAKIN KALUT

SETIAP HARI kita dengar pihak Barisan Nasional buruk-burukkan para pemimpin atau negeri yang ditadbir oleh pembangkang.
Pihak BN anggap pihak Pakatan Rakyat tidak tahu mentadbir, tidak tahu mengurus kewangan dan macam-macam lagi tuduhan. Pendeknya, rakyat sejak dahulu lagi sudah diberitahu bahawa hanya Umno sahaja yang tahu memerintah negara.
Tetapi pihak Umno lupa, bahawa zaman sudah berubah. Apa yang mereka kata sudah tidak sesuai lagi dengan zamannya. Tuduhan bahawa Pas, DAP atau PKR tidak tahu memerintah sudah dapat dipatahkan oleh pemerintahan contoh di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang. Sepatutnya PR mempunyai contoh tambahan, iaitu Perak untuk mendampingi Kedah yang juga ditadbir oleh kerajaan Pas.
Kini teori karut yang mengatakan hanya Umno yang tahu memerintah sudah lebur. Puak Umno terpaksa memikirkan teori lain pula.
Sama kesnya apabila pihak pusat seperti mencabar kerajaan Selangor supaya uruskan pelajar Universiti Selangor dan sebuah kolej lainnya.
Apabila kerajaan Pusat mengugut menarik bantuan pinjaman kepada pelajar, kerajaan Selangor tidak mati arah, sebaliknya Menteri Besar, Khalid Ibrahim dapat alternatif lain. Apabila alternatif itu dinyatakan kepada umum, pihak pusat jadi kebingungan. Tidak terfikir pun hendak mengatasi masalah itu dengan sumber dari dana lain.
Jika Selangor dibiarkan mengurus, maka pihak pusat akan terpinga-pinga. Sedangkan pihak pusat bercita-cita besar hendak merampas Selangor dari Pakatan Rakyat. Akhirnya, pihak pusat malu sendiri.
Politik Melayu semakin kalut sejak terjadinya kebangkitan rakyat, kebangkitan sebuah kuasa politik baru di Malaysia, Pakatan Rakyat.
Sejarah kelahiran Pakatan Rakyat sudah diketahui umum. Sejarah moden Malaysia perlu mencatatkan pertumbuhan kerajaan baru ini tanpa selindung atau rasa malu. Pihak arkib perlu menyimpan khazanah negara yang memalukan.
Sebenarnya terlalu banyak perkara duka yang berlaku dalam sejarah negara. Agak sukar hendak membersihkan negara menjadi seperti sedia kala.
Bayangkan, pertumbuhan parti-parti baru ini ada kaitan dengan orang yang bernama Anwar Ibrahim. Jika orang itu bernama Ibrahim Ali, Hassan Ali, Najib atau siapa pun, nescaya tidak akan lahir parti baru, tidak akan wujud Bersih 1.0. Bersih 2.0 dan Bersih 3.0.
Percayalah, hanya Anwar Ibrahim seorang yang mampu mencorakkan sejarah politik negara dengan corak yang lebih ketara. Ibrahim, Hassan atau Najib tidak mampu membawa Malaysia ke mana-mana. Mereka memang tokoh politik, tetapi ketiga-tiganya tidak ada karisma. Tanpa dukungan orang di sekitarnya, ketiga-tiga nama ini tenggelam ditelan zaman. Percayalah.
Satu lagi nama yang jangan lupa disebut ialah Dr M.
Dia adalah pencanai masa depan Malaysia sejak tahun 1989. Itulah momentum yang merancakkan percaturan politik Melayu. Sayangnya, percaturan politik ketika itu terlalu kalut.
Dr M terkial-kial mencari punca. Dia menggunakan jabatan utama untuk membantu meluruskan pandangan rakyat.
Media dijadikan tukul sepenuhnya. Undang-undang dikuatkuasakan walaupun tidak membawa kepada keadilan sosial. Kes dan entah apa-apa kes ditimbulkan di zaman beliau. Ketika itu orang menganggap apa yang diceritakan, apa yang dipaparkan benar belaka.
Kini setelah berlalu lama dan Dr M telah terguling, tembelangnya semakin nyata. Terlalu banyak kecacatan dalam pentadbiran beliau. Beliau layak dinilai di bawah satu tribunal, bukan tribunal jenayah perang, tetapi tribunal jenayahnya, menyalahgunakan kuasa, meletak kuasa sewenang-wenang, semua tindakannya betul belaka, tidak boleh disanggah, maka kini rakyat melihat Dr M adalah seburuk-buruk pemimpin yang pernah dilahirkan di Malaysia.
Menyusul nama Dr M adalah pemimpin berikutnya yang naik dengan membawa skandal Scorpene dan kes Altantunya.
Rakyat ingin melihat pemimpin tanpa skandal. Skandal yang bersifat fitnah masih boleh diterima oleh rakyat, seperti kes yang menimpa Anwar Ibrahim. Dia meskipun dihina, diaibkan sampai begitu teruk sekali, hingga tak ada ulama berani bersuara, dia tetap gagah. Kini terbukti Pakatan Rakyat semakin kukuh.
Disebabkan faktor inilah BN sekarang benar-benar goyah. Pemimpin BN naik dengan membawa masalah yang semuanya telah diketahui oleh rakyat. Hanya media membodohkan rakyat.
Sampai bila orang Melayu akan dibodohkan oleh medianya sendiri?
Kita akan lihat suatu hari nanti, media Melayu memohon maaf kerana dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Bukan medianya, tetapi orang yang terlibat mencorakkan media itu sebegitu rupa. Insya-Allah, jika keadaan telah ditetapkan begitu. []

BOMOH ARTIS: MEMBOMOHI ARTIS?

APAKAH MEMANG ADA PROFESION bomoh yang hanya menumpukan kepada kalangan artis sahaja? Ia sebenarnya hanya gelaran sahaja, meskipun mungkin seseorang itu bergelar bomoh artis. Tidak semestinya menjadi bomoh kepada para artis sahaja.
Jika benar ada bomoh yang melayani artis dalam kerjayanya, maka ia mungkin bomoh yang hebat. Sebabnya, hanya artis sahaja yang berani bertemu dengannya, kerana maklumkan dia seorang bomoh artis.
Mungkin pada masa jahiliah lampau, memang ada kalangan artis yang mengunjungi seseorang pintar bertujuan mendapatkan seberkas ilmu.
Biasanya bagi artis, populariti, gosip dan selalu terpampang dalam media menjadi kegembiraan mereka. Akan tetapi adatlah, dunia artis ini umpama lalang ditebas, ia sentiasa tumbuh, setiap hari ada sahaja artis baru muncul di tengah-tengah persada dunia seni.
Untuk naik di pentas seni seseorang itu ada yang sanggup bersila di depan bomoh bagi mendapatkan berbagai ilmu. Biasanya ilmu yang ada kaitan dengan soal penampilan diri, guna menarik perhatian orang ramai, menambahkan bilangan peminat.
Justeru bomoh dengan bijaksana melayani mereka. Artis itu ditawarkan dengan ilmu pengasih, menaikkan seri muka, aura dan kharismanya menyerlah, dikagumi.
Bomoh main peranan untuk menaikkan imej artis. Bagaimanapun, kalau sekadar mantera dan pengasih sahaja, ia belum boleh dijadikan jaminan untuk menanjak popular.
Artis bergantung kepada produk yang hendak dijual kepada peminatnya. Kalau dia seorang pelakon, kena menunjukkan kehebatannya dalam lakonan. Kalau dia mahu jadi penyanyi, dia perlu dapatkan lagu yang memikat dan bukan lagu tangkap muat!
Bomoh artis tidak mampu menaikkan populariti seseorang artis. Ia hanya label profesion yang tidak diuji keampuhannya. Ia hanya gelaran semata-mata dikunjungi artis yang tidak ternama. Artis yang kurang menyerlah memang suka menemui bomoh bagi mendapatkan berbagai petua menaikkan seri muka.
Di Kuala Lumpur, pada suatu ketika dulu ada bomoh yang menggelar dirinya Bomoh Malaya. Kemudian ada juga yang dikenal sebagai Wak Malaya, tetapi kehebatan kedua bomoh ini tidak diketahui umum

KISAH PERSUGIHAN SAMA SAHAJA JALAN CERITANYA

SETELAH MENELITI berbagai kisah persugihan yang ada di Nusantara ini, saya dapati jalan ceritanya sama sahaja. Bermula daripada penampilan seorang lelaki yang hidupnya susah, atau seorang perempuan yang hidup terlonta-lonta membawa diri.
Kemudian bertemu dengan seseorang yang biasanya ada pengalaman bergaul dengan pawra dukun, para tukang ramal atau tukang apa sahaja, asalkan boleh mengupgradekan kehidupan seseorang yang yang telah dilanda masalah.
Inilah yang saya teliti dalam kisah mistik BUTO IJO. Ia sebuah nama hantu yang tidak dikenali di bumi Malaysia, tetapi cukup biasa dibicarakan, diceritakan dan disarankan kepada sesiapa sahaja yang sedang kesusahan.
Maksudnya, Buto Ijo adalah solusi akhir.
Bagaimana? Menurut ceritanya [sebab saya sendiri mengumpul cerita mistik dari berbagai penjuru] makhluk ini tampil dengan tubuh yang tinggi, besar, seorang lelaki, hanya ia berbau busuk, bau bangkai. Inilah ketikanya makhluk bergelar Buto Ijo itu tampil mendekati seseorang yang ingin berdampingan dengannya.
Kenapa Buto Ijo? Menurut orang yang ketagih dengan kemistikan, makhluk ini jika didampingi ketika seseorang sedang kesusahan, ia akan memberikan kekayaan dan apa sahaja yang dipinta.
Ketika seseorang berkeinginan bertemu makhluk ini, dia hendaklah nekad, jangan takut, jangan terkencing, jangan menjerit, relaks sahaja, sebab kehadiran makhluk mistik ini dipantau dari jauh oleh perantara iaitu dukun pemanggilan makhluk ini.
Pak dukun selalunya sudah beritahu, "Kalau nanti makhluk menyeramkan itu datang, jangan kamu lari, kalau makhluk itu tanya kamu hendak apa, katakan sahaja kamu inginkan kekayaan!"
Akan tetapi sesiapa yang nekad hendak berjumpa makhluk warna hijau ini, dia hendaklah berjanji, jangan menyesal. Kenapa? Kekayaan yang dikehendaki hasil bantuan daripada Buto Ijo ini memerlukan pengorbanan. Maksudnya, kamu boleh jadi kaya raya seperti yang kamu inginkan, tetapi salah seorang atau kedua sekali ibu bapamu akan diambil, maksudnya akan dijadikan korban kekayaan yang kamu inginkan.
Atau dia akan mengambil isteri, anak-anak dan sesiapa sahaja yang berada di bawah tanggungan seseorang yang kecanduan ilmu karut persugihan.
Apabila ditanya oleh makhluk mistik itu, seseorang perlunya tegas, katakan bahawa ia inginkan kekayaan dalam bentuk harta benda, emas atau wang yang banyak.
Biasanya, makhluk berwarna hijau yang menjijikkan dan berbau bangkai yang dahsyat itu tidak banyak bicara. Setelah sesiapa juga menyatakan hajatnya nak kekayaan, makhluk itu terus lenyap.
Kemudian perantara dukun yang menjadi pembimbing akan memberitahu anda supaya balik ke rumah. "Kamu tunggu sahaja keputusannya nanti, tapi jangan kecoh dan buat diam sahaja tentang kedatangan kamu ke tempat ini," itulah nasihat Pak Dukun yang juga menjadi "guru mursyid" kepada ilmuan karut ini.
Pak Dukun sanggup jadi perantara kerana dia mahukan imbalan jasa. Sesiapa yang sudah berhasil pasti akan datang jumpa Pak Dukun menyerahkan seikat wang kertas kepadanya. "Lumayan kamu!" katanya sambil tertawa.
Setelah orang yang ingin persugihan sanggup menghadapi segala-galanya, proses kehidupan mulai bergulir. Esok harinya, berita menyedihkan menyelubungi rumah lelaki itu. Kedua ibu bapanya atau sesiapa sahaja ahli keluarga meninggal dunia.
Menurut kepercayaan khurafat karut dari "modus operandi" kisah ini, kematian merupakan korban yang diharapkan dari makhluk hijau tak berguna ini.
Dengan adanya kematian, bererti proses persugihan sedang berjalan.
Kematian tidaklah berlangsung begitu drastik sekali. Ada kalanya sebulan setelah perjanjian lisan dibuat bersama Pak Dukun di tempat yang angker menyeramkan.
Cerita yang memualkan daripada persugihan Buto Ijo ini ialah adegan seks yang keterlaluan di antara manusia yang menyertai program persugihan.
Jika yang menyertai solusi ini seorang wanita, maka Buto Ijo lelaki akan datang menuntut janjinya. Dia akan melakukan zina. Ketika datang, makhluk hijau ini menyamar sebagai lelaki tampan, dengan wangi-wangian bak manusia biasa.
Mana mungkin makhluk hijau ini berbau bangkai, buruk, hodoh dan menakutkan boleh datang bertemu wanita yang mengadakan perjanjian untuk kekayaan?
Begitu juga jika lelaki. Buto Ijo akan menghantar wakilnya daripada kalangan puteri yang cantik sehingga kaum lelaki lupa daratan dan lupa asal-usulnya.
Seperti biasa, bagaimana orang yang mengamalkan ilmu karut ini boleh mendapat wang? Adakah makhluk ini tinggalkan duit berikat-ikat di tepi katil?
Menurut cerita yang entah benar atau hanya khayalan di padang pasir [fatamorgana] - selesai makhluk tadi melakukan hubungan zina, sebagai memenuhi janji persugihan, makhluk itu akan tinggalkan emas dan barang-barang perhiasan yang dikutip dari dunia mistik.
Setelah peserta persugihan itu mendapat apa yang dihajatkan, emas atau benda-benda berharga itu akan dijual kepada peraih yang berminat. Tentulah sukar hendak menjawab soalan dari mana boleh dapat emas begitu banyak?
Jika diberitahu ia diperoleh dengan cara mistik berhantu, pembeli pun takut. Mereka bimbang emas bertukar jadi tanah liat, emas jadi daun dan macam-macam lagi.
Inilah kesukaran bagi mereka yang menyertai skim pelaburan persugihan Buto Ijo.
Ada lagi yang orang lupa.
Mereka yang menyertai skim gila ini akan jadi orang gila. Betapa tidak. Dia akan rasa resah gelisah. Bagi lelaki, dia resah kerana perlu mengadakan hubungan badan dengan jin perempuan. Meskipun jin itu datang ke rumah dan memberikan emas dan perhiasan berharga, tetapi, lama kelamaan badannya berbau, berbau hapak, bau hanyir, bau yang sesekali menerkam hidung. Itulah bau bangkai.
Baik peserta lelaki atau perempuan, kehanyiran, kebusukan, sesekali menerpa hidungnya sendiri. Baharulah dia perasan, bahawa duit boleh dicari, kemewahan boleh didapat, tetapi kehanyiran, bau busuk, ia bukan bau badan semulajadi, tetapi kesan batiniah yang melekat dalam kalbunya.
Dia sendiri merasa seperti ada bangkai di sekitarnya, sedangkan orang lain tidak peduli apa pun. Keresahan inilah yang menyebabkan harta dan wang ringgit tidak berguna lagi.
Ini semua adalah efek psikologi kerana melakukan dosa besar, bersekongkol dengan makhluk bernama syaitan atau iblis.
Kisah orang yang beramal dengan ilmu Buto Ijo menunjukkan malang akan terjadi bertimpa-timpa. Jika pengamal adalah seorang janda, dan dia berkahwin lagi, suaminya akan terkena bala. Begitu juga kalau lelaki yang beristeri lagi, isteri baru itu akan terkena kesannya.
Ini merupakan kesan daripada melakukan perjanjian dengan syaitan.
Buto Ijo hanya panggilan. Boleh disebut apa sahaja. Hantu hijau, pak hijau, syaitan hijau atau iblis hijau pun boleh.
Apa sebabnya orang bercerita tentang persugihan Buto Ijo?
Ia sebenarnya sebuah kisah rekaan atau kalau terjadi pun, penceritaannya telah ditokok-tambah. Ia sebenarnya memberi nasihat, biar apa pun yang dijanjikan oleh makhluk bernama syaitan ini, anda jangan terpedaya.
Anda akan disesatkan semahu-mahunya. Buktinya, menyertai persugihan seperti juga menyertai peredaran hidup. Kitaran hidup dari susah menjadi senang, tetapi anda ada tanggungjawab terhadap makhluk yang anda sudah ikatjanji di depan Pak Dukun.
Untuk kembali ke pangkal jalan memang boleh. Cukup berat. Pak Dukun akan marah. Buto Ijo lagi marah. Umpama marahnya syaitan dan iblis kalau ada umat yang mahu sujud kepada Allah s.w.t.
Akhirnya, cerita persugihan Buto Ijo adalah dongeng moden. Dongeng yang melekakan orang miskin berangan-angan nak jadi kaya. Untuk jadi kaya banyak cabarannya, perlu bertarung dengan kehidupan yang misteri dan mistik. Inilah jalan cerita yang biasa di dalam dongeng persugihan Buto Ijo.
Sayangnya versi cerita seperti ini tidak ada di Malaysia. Ia cerita dari wilayah Nusantara kita juga. []