Tuesday 19 June 2012

CELENG BELES, APA BENDANYA?

DALAM bab mencari duit bagi orang yang tak berkecimpung dalam dunia politik dan business besar, maka cerita persugihan adalah perkara yang mendodoikan perasaan. Ceritanya lebih indah daripada hakikat yang sebenar.
Seperti cerita celeng beles ini. Ia sebenarnya kisah celeng atau babi. Tetapi bukan babi peliharaan seperti yang biasa saya tengok di Sekincan dalam tahun 70-an dulu. Ini babi hutan liar warna hitam.
Ada juga cerita tentang babi yang popular di Jawa sana, iaitu babi ngepet. Cerita ini juga sudah saya peroleh ketika wawancara dengan seorang warga Indonesia ketika sembang-sembang tentang hal persugihan dalam tahun 2003.
Babi ngepet adalah ilmu karut yang dipelajari bagi tujuan mengambil harta dari orang kaya yang bongkak dan sombong. Harta ditarik dengan ilmu babi ngepet. Orang itu kena menyamar jadi babi, geselkan badan di dinding rumah orang kaya, konon dengan cara begitu harta orang kaya itu akan berpindah ke rumah pemuja ilmu babi ngepet.
Wah, ia umpama ada alat penyedut di luar rumah. Dengan sekali sedut, wang ringgit atau barang kemas berharga akan masuk dalam saluran yang sedia menunggu di luar rumah. Orang yang amal babi ngepet kalau dalam bahaya, isteri di rumah akan tahu, dia akan padamkan lampu pelita minyak tanah supaya keadaan jadi gelap, maksudnya, kehadiran babi ngepet di rumah orang kaya lagi sombong itu tidak dilihat orang lain.
Menarik juga kisah mencarik adat ini.
Jadi sesiapa yang amal ilmu babi ngepet kena berpakat dengan isteri di rumah untuk mengawal lampu pelita yang berharga.Sedangkan sekarang orang sudah moden, tidak ada lilin dan lampu pelita. Tetapi untuk babi ngepet ia jadi penting, ia jadi talian hayat pengamal ilmu.

CELENG BELES
Ini lagi satu babi yang ada kaitan dengan ilmuan.
Konon pemuja ilmu ini perlu mencari mencari korban budak untuk memantapkan ilmu. Dia perlu tuju rumah tertentu yang ada anak kecil. Ketuk pintu rumah, setelah dibuka, pengamal ilmu secara mistik telah hilang dan masuk ke dalam rumah tanpa disedari oleh tuan rumah.
Tuan rumah tidak lihat apa-apa, dia hanya dengar pintu diketuk, apabila dibuka tak ada siapa. Sebenarnya "orang" itu sudah masuk ke rumah.
Pengamal ilmu akan berehat dalam rumah dan memberi tanda ke dahi anak kecil di dalam rumah. Tujuannya dia nak membawa anak kecil itu keluar rumah sebagai korban bagi pemujaannya.
Korban itu untuk siapa? Menurut cerita karutnya, ia untuk dhanyang celeng beles. Sejenis makhluk halus yang aktif kalau dipuja berlebihan.
Menurut cerita, tanda budak itu bakal dikorbankan hanya ada di alam mistik. Ibu bapa budak itu tidak melihat suatu tanda pun. Akan tetapi kalau ibu bapa budak itu ada ilmu yang lebih tinggi maka tanda itu dapat dibaca secara batin.
Tanda di dahi budak itu - biasanya warna merah - adalah cop rasmi babi babi hitam liar. Hantu hutan yang dipanggil dhanyang sedia menunggu di hutan kalau-kalau ada korban baru.
Konon setelah ditanda, budak itu akan menderita panas badan beberapa hari, kejang-kejang badan dan kemudian akan membawa maut kalau tidak diubat dengan segera secara ruqyah syarr'iyah.
Untuk mengelakkan petaka ini, jika pintu diketuk, jangan buka pintu.
Kaedah berhati-hati ini sekiranya di sesuatu tempat itu memang telah diketahui ada pengamal ilmu karut jenis celeng beles ini. Jika tidak kena berhati-hati juga, zaman sekarang banyak kejadian pelik berlaku dan tak disangka-sangka.

KAYA CEPAT
Berbalik kepada babi hitam liar ini, kenapa orang sanggup mengamalkan ilmu karut tak berguna ini?
Ia adalah sejenis ilmu persugihan atau ilmu nak kaya cepat.
Akan tetapi, ilmu ini hanya dalam bentuk cerita sahaja. Mana ada orang yang sanggup korban anak sendiri semata-mata ilmu?
Sesiapa yang ingin menyertai program kaya cepat secara karut ini, dia hendaklah sudi mengorbankan anaknya sendiri terlebih dulu. Bukan korban secara sembelih, tetapi akan berlaku sesuatu yang tak diduga, begitulah konon kisahnya.
Kemudian setelah korban terjadi, iaitu dari keluarga sendiri, barulah boleh mencari korban dari orang lain pula. Syarat tak masuk akal yang diperlukan, setiap tahun, pengamal ilmu kena korbankan budak.

CULIK KANAK-KANAK?
Adakah pengamal ilmu ini turut melakukan penculikan kanak-kanak seperti kes kanak-kanak hilang di negara kita?
Sejauh ini tidak diketahui. Mungkin ada pengamal ajaran karut sanggup melakukan tindakan nekad demikian.
Hanya orang yang berhati iblis sahaja sanggup mengamalkan ilmu ini. Sebabnya, ia bukannya senang. Pertama-tama, kena puasa mutih 3 hari dulu. Terus keluar rumah masuk ke hutan, iaitu pada malam hari ke-3 puasa mutih. Sanggupkah mutih? Makan nasi putih dan air mineral sahaja? Bukan sepinggan, tetapi sekepal sahaja.
Kedua, setibanya di hutan, sudah ada agen iblis menunggu iaitu seorang tua yang aneh, mungkin dia makhluk syaitan juga, badannya besar, hitam legam, bulu tebal dan kasar, wajahnya benjol-benjol. Gambaran begini kalau buat cerita seram memang kena kreatif buat solekan yang menyeramkan.
Kemudian makhluk itu akan mengajak penuntut ilmu melakukan ritual atau upacara memuja di perkampungan jin hitam itu.
Secara tak langsung, pelaku tadi sudah menjadi pengikut jin dan syaitan. Apa kehendaknya semua kena ikut, maklum nak dapatkan duit banyak sampai juta-juta!
Jin hitam itu konon akan ajak dia pergi ke pasar malam, ia pasar jin, macam pasar malam biasa. Di sana dia diajak melihat daging yang sedap dan bermutu.
Ketika masuk ke pasar malam itu, keduanya sempat melawat tempat perjudian besar di alam mistik. Ada orang mabuk-mabuk. Bukan hanya itu, dia juga dapat melihat orang melakukan seks secara terbuka di tepi pasar. Itulah gambaran budaya sesat dan kelakuan jahat makhluk syaitan ini.
Mereka juga melihat wajah-wajah bengis dan kasar.

JUAL DAGING
Pergi pasar malam jangan fikir nak beli apam balik, burger atau jagung rebus. Di situ hanya boleh beli daging sahaja. Mereka jual daging cincang yang masih segar. Ada yang dilonggok, ada yang digantung, macam orang jual daging di pasar.
Makhluk hitam itu memberitahu lelaki yang mengikutnya, "Kalau mahu cari daging yang bagus, cari yang muda, dagingnya enak dan lembut."
Maksudnya, carilah kanak-kanak untuk dikorbankan, daging muda yang lembut harganya mahal, bermakna dia akan dapat duit yang banyak sesuai dengan harga korban.
Di alam mereka semuanya simbolik belaka.
Kalau daging murah, maksudnya orang tua dijadikan korban. Ia hanya sesuai untuk masak sup!
Ketika berjalan di pasar malam aneh itu, pelaku tadi masih berpuasa mutih hari ke-3. Sudah tentu dia lapar bukan main, maklum telan nasi putih dan air putih.
Mengetahui si fulan itu lapar, jin hitam itu ajak dia makan di warung. Warung sup. Sudah tentu bukan sup kerbau, kambing atau ayam, tetapi sup tulang manusia berumur.
Ketika mendekati warung, jin itu membuka penutup periuk sup. Astagfirullah! Apa dia?
Dia melihat kepala manusia dengan hidung dan mata melotot, itulah sup kepala manusia!
Lelaki yang berpuasa mutih itu lari lintang pukang.
Ketika berlari itulah dia melihat anak kecil berteriak-teriak  kerana sedang diikat dan kaki digantung pada sebatang pokok besar. Mungkin budak itu akan disembelih sebagai korban baru.
Setelah si fulan tadi lari ketakutan, dia tertidur di suatu tempat. Dia tak peduli apa. Dia kelaparan kerana puasa mutih yang langsung tak ada pahala. Ia puasa tuntutan ilmu, bukan puasa syariat.
Si fulan tadi gagal hendak menuntut ilmu celeng beles.
Dia tak sanggup nak jadi kaya kalau melihat adegan ngeri begitu. Ia umpama neraka. Sadis, ganas dan karnival sifatnya.
Agaknya ada atau tidak orang yang mengamalkan ilmu gila ini?
Mungkin ada, atau mungkin tidak.
Menurut yang empunya kisah, orang yang mengamalkan ilmu babi beles ini sering batuk-batuk kecil, gemar berdehem dan berbunyi GRUKKK GRRUKK macam babi hutan.
Badannya berbau perengus macam babi, walau pakai minyak kasturi tulen pun, dan dia suka meludah. Tapi ingatlah, tanda-tanda ini pun boleh kita lihat di luar, bagi orang yang lepas demam, ada tanda-tanda begitu, janganlah dituduh amal ilmu babi pula.

ADA TIPS
Bagi yang mengesyaki ada kelompok umat yang mengamal ilmu sesat ini, letakkan najis manusia atau najis anjing di depan rumah orang yang kita syak mengamalkan ajaran karut [pastikan yakin betul], kalau boleh gunakan najis yang baru. Disebabkan ada najis begitu, pengamal ilmu tidak akan dapat mencari korban baru, bahkan akan terkena dirinya sendiri.
Elakkan dari bersentuhan dengan pengamal ilmu ini. Jika nampak babi hutam waktu malam [kalau kebetulan ada pengamal ilmu dan bukan babi liar] pukul haiwan itu di bahagian punggung dengan kayu kelor atau kayu pokok kekabu, jika terkena haiwan mistik itu akan jatuh dan bertukar menjadi manusia. Dua kayu inilah yang menjadi pantang kepada pengamal ilmu karut ini. Kenapa pukul bahagian belakang haiwan itu? Ia dipercayai adalah bahagian kepala manusia [pengamal ilmu], posisinya memang terbalik.
Ilmu karut yang diceritakan ini adalah ilmu yang pelik, dan tak pernah kita dengar di Malaysia. Tetapi bukan tidak ada, orang menuturkan cerita ini, bukankah di negara kita pun ramai pendatang dari wilayah yang berbeza? []

No comments:

Post a Comment