Thursday 12 April 2012

ANTARA SYIAH DAN TAREQAT: NOTA KECIL

BERDASARKAN PEMBACAAN, ditemukan beberapa fakta untuk direnungkan.
Antara Syiah dan tareqat ada semacam persamaan dari segi:
1. Memiliki ilmu khusus untuk mereka yang tidak dimiliki oleh kelompok lain. Ilmu khusus ini tidak diketahui oleh orang awam yang tidak menyertai salah satu kelompok ini.
2. Ilmu khusus itu dinisbahkan kepada Ali bin Abi Thalib yang dikatakan memiliki rahsia-rahsia agama [bagi Syiah].
3. Kalangan tareqat pula mendakwa memiliki ilmu laduni yang tidak dipunyai oleh kelompok lain. Hanya pada tahap tertentu sahaja seseorang itu dapat meraih ilmu istimewa ini. Mereka juga mendakwa memiliki ilmu kasyaf yang dikatakan dapat tembus pandang untuk mengetahui soal-soal keghaiban.
Contoh SYIAH RAFIDAH.
Kelompok ini mempunyai imam yang merupakan insan pilihan Allah untuk membimbing umat setelah Nabi s.a.w. wafat. Imam juga dibekali ilmu laduni agar tidak melakukan kesalahan dan tidak lupa. Mereka ada hak khususiyah -keistimewaan- di sisi Allah s.w.t. Kelompok ini berlebih-lebihan [ghuluw] terhadap imam-imam mereka yang dianggap maksum.
Contoh TAREQAT.
Mereka mengagungkan syeikh hingga bertaraf kewalian. Wali ini menurut mereka ada kemampuan mengatur alam. Ia mampu mengatur alam bawah dan alam atas. Mengetahui semua keghaiban, dikatakan mengetahui hal yang kecil atau besar di dunia ini. Wali mereka dianggap sebagai wakil Allah dalam kerajaan -Nya. Mereka boleh "masukkan" sesiapa sahaja ke dalam syurga yang dikehendaki. Juga didakwa boleh mengeluarkan sesiapa sahaja dari neraka.

Wali-wali yang disebut tadi berfaham Syiah tetapi bermazhab Syafie. Disebutkan juga bahawa dalam tradisi tareqat ada acara HOL [haul] untuk memperingati kematian seorang syeikh setiap tahun. []

PAK DUKUN YANG HEBAT LAGI SINTING

ORANG BILANG PAK DUKUN INI HEBAT. ya memang hebat kerana dia boleh berkomunikasi dengan makhluk halus. Boleh jadi dia selalu berurusan dengan berbagai jenis makhluk halus jika didatangi orang-orang yang bodoh. Ya, jumpa Pak Dukun meminta yang bukan-bukan, sedangkan urusan Pak Dukun pun belum sempurna. "Belum beres, kok mahu mengurusi hal orang lain!"
Peduli dengan kata-kata orang.
Begitulah setiap waktu praktek dia akan menunggu kedatangan orang yang berhajat di pejabatnya. Untuk apa sahaja hajat, Pak Dukun akan merujuk kepada sahabat baiknya yang terdiri daripada berbagai jenis makhluk halus. Memang ini idea gila. Dan dia pun tak kisah kalau dipanggil Pak Dukun Edan [=gila].
Kalau ada klien yang bermasalah dia akan menyanggupi biarpun sebenarnya secara logik dia tak akan mampu mengatasi segala masalah orang lain.
Disebabkan dia bersahabat dengan makhluk yang bukan-bukan, dia konon sangat dihormati oleh syaitan dan jin, sejenis banaspati, jurig, hantu peri, prayangan, roh yang berkeliaran timur-barat, dan banyak lagi.
Dengan bangganya Pak Dukun mendakwa segala jin dan syaitan itu tunduk dan patuh kepadanya.
Dia berada di bilik segi empat empat, memanggil makhluk itu, bergelap dan hanya pasang sebatang lilin. Konon itulah saatnya dia hendak merujuk segala masalah kepada bangsa mahluk halus.
Di dalam bilik itu sudah semerbak bau wangian dupa, klien yang berhajat duduk bersila dalam suasana gelap dan bersumber cahaya lilin.
Dia seram sendiri. Bulu romanya naik. Pak Dukun Edan itu membaca mantera, puisi semacam kidung suci, konon dengan cara itu dia memanggil jin atau syaitan kawannya. Mulut komat-kamit.
Klien duduk dengan tenang. Entah apa hajatnya. Selalunya nak kaya, dapat duit banyak. Khamis malam Jumaat ketika orang lain sibuk baca Yasin di lantai masjid dan surau.
Pak Dukun pun bersuara seperti pelakon teater di pentas budaya.
"Hey...datanglah ...hadir...hadir sangkama...[tak jelas apa yang disebut] hadir begundulku..." [lantaklah nak sebut apa pun Pak Dukun!]
Tidak lama kemudian di dalam bilik yang remang dengan cahaya lilin itu terjadi semacam keanehan. betapa tidak aneh, sehelai kain hitam lapan kali dua meter yang terbentang tiba-tiba bergerak. Bergerak bagai ada makhluk masuk menyusup di bawahnya. Itu, kata Pak Dukun Edan, tandanya makhluk halus sudah masuk dalam bilik.
"Hadir! Hadir! Jangan tak hadir!"
Kain hitam terangkat separas kepala klien yang sedang duduk bersila. Klien rasa seram sejuk melihat kain hitam terangkat. Inilah sihir Pak Dukun.
Suasana begitu menakutkan klien. Dia tak pernah menyaksikan kain hitam boleh bergerak dan bergelombang, seterusnya terangkat bagai ada tangan misteri yang mengangkatnya.
Bakaran dupa dan kemenyan memang amat menyucuk. Bau-bauan yang begini adalah aroma pemanggilan makhluk halus. Memang dasar Pak Dukun Edan yang bersahabat dengan makhluk jahat.
Apabila diperhatikan baik-baik ada botol minuman keras di sisi Pak Dukun ini. Ada yang berlabel Chivas, Jack Daniel, ada segelas kopi 'o' pekat, teh tarik mamak, dan entah apa lagi sebab keadaan gelap.
Ketika kain hitam terangkat itu kedengaran dentingan kaca botol, dan ada bunyi gelas kopi pecah.
Kenapa pecah? Klien mesti ingin tahu.
Klien yang berhajat sudah diberitahu, apa pun yang berlaku jangan lari dari situ. Tunggu. Sebab Pak Dukun Edan ada di situ. Yang datang adalah jin atau syaitan yang berkawan rapat dengan Pak Dukun Bingung.
Maka, dengan keajaiban sihir karut Pak Dukun, dari arah kain hitam yang terangkat itu muncullah suara. Tapi tetap suara Pak Dukun.
Bagai teater. Pak Dukun bertanya dan dia juga yang menjawabnya.
"Ada apa kamu panggil saya ni?"
"Klien saya ini mengadu bisnisnya ada masalah, dia mahu supaya banyak dapat tender dari projek sekian-sekian. Kamu sanggup membantu Mbah?" begitu Pak Dukun mengadukan hal. Klien yang mendengar hairan juga. Ada komunikasi mistik.
"Ya, saya sanggup!"
"Okay, kalau kamu sanggup apa yang kamu mahu?"
"Saya mintak darah kambing, minyak apel jin, nasi putih, ayam hitam, telur ayam, wang logam lama." Suara Pak Dukun terketar-ketar.
Klien yang duduk bersila terdiam.
"Apa kamu sanggup menyediakan permintaan ini?" tanya Pak Dukun kepada klien yang bingung.
"Ya, sanggup Pak Dukun Edan!"
"Begundulku sanggup membantu kamu," bisik Pak Dukun sambil mencuit klien yang bisu.
Dia angguk.
"Bila kamu nak mula?"
"Lagi tiga hari," jawab klien. Maksudnya dia kena sediakan benda-benda karut yang diminta oleh Pak Dukun tadi termasuk kambing dan ayam semua.
Sebelum makhluk pelik itu keluar dari bilik, klien diminta bersalam sebagai tanda perpisahan. Bersalaman dengan makhluk mistik ciptaan Pak Dukun Edan.
Pak Dukun memang pandai bercerita tentang kebolehannya. Dia tunjukkan gambar-gambar klien yang pernah datang. Wah, ada orang besar yang dikenali pun bertemu dia. Soal ampuh atau tidak tidak dipedulikan oleh klien itu.
Pak Dukun memberitahu dia telah menjalani pati geni ngeplas sampai 72 jam, tak makan dan tak minum dan tidak tidur. Ini ajaran apa Pak Dukun? Ia adalah ilmu yang dipelajari, soal sanadnya bagaimana dia tidak peduli, entah dari kubur tua atau dari khayalannya sendiri. Pati geni itu konon telah dilakukan sebanyak sembilan kali. Kemudian dia pun pandai melakonkan merogo suka sampai tujuh hari tujuh malam.
Dia terbang ke sana-sini menziarahi tempat-tempat para jin dan syaitan lepak santai.
Pak Dukun yang hebat lagi sinting ini mendapat perhatian dari  kalangan orang bingung. Orang cerdik tak jumpa Pak Dukun. Jika dia buat trik menaikkan kain hitam dengan tali halus pun klien itu tidak tahu. Kemudian suara yang bergetar itu, ia adalah suara Pak Dukun juga. Dia bertanya dan dia sendiri menjawabnya.
Klien kemudian keluar dari bilik Pak Dukun. Menyerahkan envelop berisi wang pendahuluan. Itu belum lagi bab kambing dan ayamnya. Andai klien ini orang yang berilmu, dia tidak akan datang mengetuk pintu pejabat Pak Dukun Edan. Dia tak akan percaya dengan temberang Pak Dukun. Entah trik atau apa, di luar sana, Pak Dukun memelihara ayam hitam dan kambing kendit yang dilepaskan di sebuah kampung. Bderapa harga seekor kambing dan ayam itu?
Dengan mendakwa kambing itu akan dikorbankan untuk menjamu Pak Iblis dan Mbah Syaitan dia meneruskan kegiatannya. Selagi masih ada orang bingung setaraf klien tadi, maka Pak Dukun boleh bertahan untuk meneruskan dagangannya. Ya, asalkan bikin iklan. Soal tender dapat atau tidak, terpulang.
Apa kaitan tender dengan kambing dan ayam? Apa kaitan tender dengan kain hitam terangkat? Hantu apa pun tak akan membantu untuk merebut tender. Bagi orang bingung, dia tak peduli asalkan dapat jumpa Pak Dukun Edan. []

Tuesday 10 April 2012

TENTANG LELAKI PAKAI PEREMPUAN

Tulisan ini bukan wacana ilmiah. Sekadar hendak berkongsi pendapat. Masyarakat kita terutama penggemar hiburan selalunya fanatik sekali dengan halaman hiburan. Sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan dunia artis atau selebriti akan dijadikan bahan bacaan di waktu lapang dan waktu sendat.
Baru-baru ini saya terbaca sebuah rencana mengenai seorang "artis" yang selalu tampil dengan pakaian wanita. Daripada kenyataan artis itu, dia memang sejak dulu jadi sasaran kritik. Walaupun dikritik dia tetap ngotot dengan pendiriannya, bahawa dia adalah orang yang berbakat besar, apa salahnya bakat yang dikurniakan Allah SWT itu dipergunakan sepenuhnya.
Selalunya, kita bersandarkan kepada bakat. Bakat seni selalunya dipandang mulia ketimbang bakat sebagai penipu, penyamun, perompak, perogol atau bentuk kemaksiatan lainnya. Kalau tidak ada bakat, seseorang tidak akan cenderung ke arah itu. Ingatlah, selalu orang ungkit soal bakat, sehingga program tv kita bahkan di mana-manapun orang sibuk nak mencungkil bakat terpendam.
Lahirlah macam-macam idea diputarkan oleh mereka yang nak mempopularkan diri, jadi penganjur dan sanggup menaja program itu. Program mencari bakat sangat digemari umum hinggakan untuk mencari imam muda pun terpaksa diadakan program pemilihan dengan meniru gaya program realiti dari Barat.
Meski telah berlaku penyimpangan kaedah, ia masih berpaksi kepada program realiti di sana. Ia bukanlah program yang asli muncul daripada pemerahan otak daripada orang kita.
Kemudian, sejak akhir-akhir ini berlaku semacam kecelaruan dalam menentukan sesuatu itu boleh atau tidak boleh. Kalangan ilmuan nampaknya tidak berminat langsung hendak campur tangan dalam urusan warganegara penduduk dunia hiburan yang melata di dunia ini. Mereka membisu dan tidak berapi dicap ulama penyibuk, masuk campur urusan orang, buatlah urusan anda sendiri yang masih belum beres.

KATA-KATA JADI IKUTAN
Ingatlah, bahawa seseorang artis yang dijadikan idola kelompok tertentu kata-kata mereka akan dijadikan sandaran hujah. Berpaksi dari sini, sesiapa pun, terutama wartawan hiburan adalah pemangkin utama dalam penyebaran bahan yang tidak bermanfaat.
Contohnya, mengenai kritik sebahagian kelompok terhadap penampilan seseorang artis yang meniru-niru wanita. Bukankah kita sudah mengetahui bagaimana hukumnya kalau seseorang lelaki itu meniru-niru wanita? Baik berpakaian, berpenampilan, gaya suara, memakai cincin emas, rantai emas, bertindik, dan macam-macam lagi yang feminin, maka jika ia berlaku kerana dorongan yang bukan alami, bukan yang semulajadi, maka ia berlawanan dengan fitrah seseorang.
Apabila telah jelas hukumnya, wartawan hiburan tidak perlu menjadikan isu berpakaian wanita itu sebagai satu wacana untuk memberikan keringanan [rukhsah?]  berdasarkan cara mereka menulis.
Contohnya, artis berkenaan sebenarnya pernah ditegur oleh jiran-jirannya. "Tak malu ke anak kamu pakai perempuan dalam tv? Bapak dia ulang alik pergi masjid anak pula jadi begitu?"

APA KOMEN IBU YANG ANAKNYA JADI ARTIS?
Dia kata mudah sahaja untuk menutup mulut jiran-jiran.
Dia kata, "Dia pakai perempuan pun dia dapat DUIT."
Alasannya, penampilan sebagai perempuan itu hanya sebahagian "kecil" daripada persembahannya. Kebetulan artis ini dikenali sebagai penghibur [?] yang suka menggayakan pakaian begitu. Dia suka mengajuk karakter artis wanita ketika di pentas.Ia gerak kerja profesional, jadi jangan komen lebih-lebih. Habis di pentas, dia akan pakai biasa.
Pihak artis pula komen: "Tengok diri dulu, tahu siapa diri kita dan yang penting keluarga tahu apa yang kita lakukan."

NASIHAT ARTIS
Kemudian artis itu beri nasihat kepada umum. "Jangan peduli dengan apa yang orang kata. Kalau kita goyah dengan kata-kata orang, tentu kita tak bertahan lama dalam apa bidang pun."
"Kita kena jujur, bahawa kita tak boleh paksa diri kita  buat kerja yang kita tidak suka dan DUIT persembahan itu jugalah yang membawa saya ke Makkah DUA KALI untuk mengerjakan umrah."

KATA ARTIS
Dia sedar sebagai orang islam haram bagi lelaki memakai pakaian wanita tetapi dia hanya tampil untuk tempoh 2-3 jam sahaja. Dia bukan tidak menangis kerana rasa bersalah melakukan perkara ini. Percayalah! Kemudian dia berkata, Tuhan tidak akan menjatuhkan hukum ke atas makhluk-Nya sesuka hati tetapi menilai HATI manusia ciptaan-Nya. DIA lebih faham dengan apa yang kita lakukan terutama mencari rezeki.

KOMEN ARTIS LAGI
Tengoklah, baik pak imam, tahfiz, jutawan pun dan siapa sahaja, mereka nak pergi ke Makkah jauh sekali. Tetapi kalangan artis, mereka boleh pergi bila-bila masa, dan beberapa kali hasil dari rezeki mengartiskan diri. Bukan mahu bongkak tetapi ini semua kuasa Allah.
Dan menurut keyakinan artis itu, semua ini terletak pada hati seseorang.

ISU UTAMA
Berbalik kepada isu pertama tadi, tentang lelaki memakai pakaian wanita, jelas kalau merujuk kepada apa pun sumbernya, kelompok ini termasuk golongan yang tidak taat dan tunduk kepada hukum Allah dan rasulnya. Juga golongan yang menurut kehendak nafsu sendiri, juga yang membantah tanpa ilmu pengetahuan yang benar, juga mereka yang memilih bersangatan kepada perkara-perkara hiburan yang melalaikan dan mengejek-ejek agama Allah.
Ini semua sebenarnya adalah apa yang para penganalisis sosial katakan sebagai kesan negatif daripada media massa. Paparan dalam ruang hiburan akan membentuk pandangan dan keyakinan pembaca, bahawa sesuatu itu dibenarkan jika sesuai dengan HATI seseorang.
Kemudian ia memberi gambaran buatlah sesuatu yang menyalahi pun asalkan anda rajin mengerjakan UMRAH itu lebih baik daripada golongan yang selalu "berkutbah" dan masyarakat diajar agar lebih mengutamakan DUIT daripada soal bagaimana dan kaedah memperoleh sumber itu. Ia secara tak langsung seakan-akan telah "memfatwakan" bahawa ia tidak mengapa.
Maka kesannya, para pembaca yang kurang ilmu membenarkan kenyataan yang dituturkan oleh artis mengenai pemakaian di pentas hiburan tadi.
Nanti orang bertanya, lelaki berpakaian wanita di Alor Star, Penang, Kuala Lumpur dan Johor Bahru kena kejar penguatkuasa agama kerana berpakaian sedemikian, kenapa pula dibenarkan untuk tampil di atas pentas? Sedangkan pentas ratu cantik pun pernah kena serbu, apalagi artis buat persembahan begitu?  []

TENTANG INUL DARATISTA GOYANG GERUDI

NAMA INUL DARATISTA kembali menjadi sebutan di Kuala Lumpur. Khabarnya dia akan datang ke KL untuk bikin show, persembahan lagu-lagu dangdut campur goyang gerudi kalau diizinkan. Apa pun kerana namanya sudah begitu dikenali sebagai kaki goyang dan berputar-putar di pentas, mungkin penyanyi dangdut Malaysia cuba meniru gaya Inul, dan ada juga penyanyi lelaki kita yang suka menggerudi di atas pentas.
Kenapa tiba-tiba Inul menjadi perhatian? Ya, kerana peminat Inul terutama dari kalangan warga Indonesia memang cukup ramai. Sekiranya Inul bikin show, sudah tentu sebahagian besar audien adalah anak-anak Indonesia di perantauan.
Jangan hairan, mereka yang berjejal mahu lihat show Inul itu ada yang tidak pernah melihat Inul bikin show di sana, tetapi peluang yang ada di Malaysia akan dipenuhi.
Pendangdut dari Jawa Timur yang nama sebenarnya Ainnur Rokhimah, 33, akan mengadakan pertunjukan di KL. Sudah pasti dia akan hanya menyanyikan lagu-lagu danggut dan sedikit goyang sahaja sebagai memenuhi syarat show. Dalam temuramah dengan wartawan hiburan, Inul bilang kerja nyanyi ini macam menguruskan sebuah business. Dia hidup dengan dangdut, dangdut adalah jiwanya, ia rezeki kepada Inul, dia tidak mahu munafik meskipun orang bilang dangdut ini hiburan murahan, terserah, dangdut baginya adalah "the best". Dia juga beritahu dia semakin susut kerana kesibukan menyanyi, terlalu banyak nyanyi dan bergoyang sambil nyanyi lagu "Buaya Buntung" dan lagu-lagu ngetop lainnya.
Selain KL dia juga akan bikin show di Korea Selatan. Wah! Dangdut sudah ada di sana dan dikenali rupanya. Khabarnya, masa kempen pilihanraya Presiden nanti dia juga akan bikin show goyang gerudi untuk meraih undi popular.

PATUNG INUL
Ada perkara menarik yang sengaja nak dipaparkan dalam blog ini. Inul dahulu pernah bikin kecoh kerana buat projek mendirikan patung ukuran batang tubuhnya sendiri sebagai penyanyi dan penari dangdut. Itu kisah tahun 2007.
Ratu Goyang Ngebor ini telah mengupah tukang bikin patung dan ditegakkan di depan rumahnya di Pondok Indah Jakarta. Bayangkanlah, anda yang rasa diri terkenal, lalu mengupah kontraktor buatkan sebuah patung yang serupa dengan penampilan anda. Ini ketika Inul masih hidup, buat patung untuk mendapatkan perhatian masyarakat sekitar.
Sebagai penghibur dia lupa dengan masyarakat sekitarnya. Membuat patung adalah perkara yang pelik. Tambahan dia kata nak pergi haji di Makkah pada ketika itu. Kenapa perlu buat patung dan nak ditegakkan di laman rumah? Akhirnya orang marah dengan cara Inul itu. Ketika dia nak rasmikan patung itu, orang ramai mendesak agar dibatalkan, dan patung itu dirobohkan. Inilah projek sesia kerana tidak pernah merujuk kepada fatwa. Usahkan fatwa, jiran-jiran pun tidak diberitahu.
Akhirnya, projek patung Inul itu gagal dirasmikan kerana dibantah oleh sebahagian besar orang yang sedar bahawa membikin patung adalah perbuatan yang tidak dibenarkan dalam Islam. Apabila telah didirikan, tentu akan menggalakkan orang memandang setiap hari, justeru ia seperti menghormati patung Inul bahkan menjurus kepada pengibadahan kepada yang lain.
Patung berharga Rp12 juta itu akhirnya jadi pembaziran. Apabila usahanya untuk merasmikan patung peribadi gagal, maka Inul sibuk menghubungi wartawan hiburan untuk bikin sidang akhbar. Dia bilang, "Saya hanya dapat bersabar, mungkin ini cobaan sebelum saya berangkat ibadah haji." [Warta Kota, 13/11/2007]

KOMEN ORANG SANA
Orang mengancam hendak merosakkan patung Inul walaupun ia berada di laman rumah Inul sendiri. Akan tetapi Inul beranggapan lain. Dia kata ancaman dan bantahan dirikan patung itu sebagai ujian dan dikaitkan dia nak pergi ke Makkah. Bimbang nanti jadi semacam "syariat" sesiapa nak pergi haji, hendaklah mendirikan sebuah patung ukuran yang serupa dirinya sendiri dan tegakkan di halaman rumah. Jika tidak dibanteras dari mula oleh massa, maka ia jadi ikutan kerana golongan artis atau selebriti ini sangat disanjung dan dimuliakan peminatnya sampai tidak ada komen apapun.
Hartono Ahmad Jaiz, bekas wartawan dan penulis buku-buku kajian tentang Nabi palsu dan islam liberal berkomentar, jika dibenarkan nanti ia jadi ikutan pula. Tengoklah, sekarang pun, ketika orang pergi haji di Makkah, di kampung sibuk mengadakan RATIBAN setiap malam Jumaat.
Kalau patung sudah didirikan, nanti akan ada orang menyembahnya, maka baik pembuat, pemodalnya serta orang yang berhajat kepada pendirikan patung itu sama-sama mendapat "durian runtuh" dosa yang tetap mengalir kerana dosa kemusyrikan. Dosa ini katanya, tidak akan diampunkan jika pelakunya tidak taubat ketika masih hidup.

Sengaja penulis paparkan perkara ini kerana Inul akan manggung di KL. Sudah tentu peminat fanatiknya sanggup memakai baju T siap gambar Inul. Dipakai ke sana-sini, naik LRT, naik Metro, naik Monorail dan naik Rapid. Wah! hebat sekali penyanyi dangdut ini.
Selain kisah mentas dangdut, apa salahnya kita melongok kisah silam berkaitan dengan kemusyrikan yang seperti tidak diketahui oleh kalangan artis ternama. Begitulah yang selalu ulama nasihatkan kita, biarlah hidup berilmu, kalau tidak berilmu nanti akan jadi persis Inul, mahu bikin patung sendiri tetapi orang di sekitar marah-marah dan mengancam. Orang sekitar bilang, GUA BUKAN PAHLAWAN, GUA NGGAK PANTES DIPAJANG DI SINI, PANTESNYA GUA DIPAJANG DI KAMAR MANDI. Itulah kain pemidang yang digantung di laman rumah Inul ketika protes massa terjadi. []

Monday 9 April 2012

MENCARI BERKAH DI KUBURAN TUA LAGI KERAMAT

Di kalangan penziarah mana-mana kuburan tua yang dianggap keramat atau berkeramat, mereka sebenarnya tidak mengetahui versi cerita sebenar tokoh yang dikeramatkan. Cerita itu mungkin telah disampaikan oleh orang tua mereka, datuk atau nenek, kawan-kawan atau hasil dari pembacaan [selalunya majalah mistik misteri], selainnya adalah versi cerita penduduk setempat yang tinggal berhampiran kubur.
Sebuah kubur yang dianggap keramat ia telah lama dinobatkan sebagai keramat, orang terdahulu telah melabelkan kubur itu sebagai keramat, akan tetapi kemudian seiring dengan perjalanan waktu, kubur yang dulu keramat kini status kekeramatannya sudah sirna.
Kubur yang ada ciri-ciri keramat ini biasanya dijaga dengan rapi oleh petugas [jurukunci makam] dan bergantung kepada sejauh mana kubur yang ada itu popular atau tidak.
Status populariti kubur memungkinkan bilangan penziarah yang ramai. Ada juga kubur yang dianggap keramat pada zaman oang putih dulu dan kini setelah orang Melayu mempunyai ilmu, mereka tidak lagi mengunjungi kubur sedemikian. Semua ini adalah asuhan dan didikan daripada orang tua.
Setakat ini nilai keramat yang masih dipandang tinggi adalah perkuburan yang ada di Pulau Besar, terutama makam Sultanul Ariffin. Ciri kubur keramat adalah nisannya yang berjarak luar biasa melebihi kubur biasa.
Kemudian kubur itu terasing dari kubur umum. Kedua nisannya sering dihias dan dijaga rapi dengan kain kuning, ada bekas bara dan surat Yasin yang sudah lusuh.
Bahkan, keramat yang bukan keramat pun dikunjungi orang, contohnya replika kubur Keramat Anak Dara di Kuala Selangor [jalan Tg. Keramat], kisah mistik anak dara hilang ketika berwuduk dan meninggalkan selendang putih sahaja di ranting pokok.
Dulu, di Pulau Pinang, banyak kubur yang dianggap keramat. Baik Keramat Nagore, Keramat Tuk Koya, Keramat Paniama atau Keramat Kapitan Kling [nilai keramatnya pudar sejalan dengan peredaran masa], sementara Keramat Jugra, di Banting masih lagi disebut-sebut orang.
Soal orang mengunjungi makam yang dianggap keramat ini memang sangat merisaukan, kerana tujuan sebenar mereka ziarah bukanlah kerana hendak mendoakan kepada si mati atau sebagai sarana untuk mengingati mati, tetapi biasanya mereka datang dengan harapan sesuatu yang dihajatkan akan ditunaikan.
Jadi, mereka gunakan kubur lama sebagai media untuk mendapatkan sesuatu, paling taling kata orang di Jawa sana untuk ngalap berkah.
Ngalap berkah di Jawa boleh dikatakan suatu matlamat asal mereka datang ke kubur tua. Pernah terjadi kekecohan dalam soal keramat ini contohnya dulu ada kes pemujaan di Keramat Tanjung Tuan, Negeri Sembilan. Kini tidak kedengaran lagi.
Biasanya, ada versi cerita menarik di setiap kubur tua yang dikeramatkan itu. Keramat Tanjung Tuan ada kaitan dengan seorang nelayan yang dikatakan dapat mengharungi Selat Melaka. Ada satu kawasan yang dianggap setara Bermuda Triangle di Tanjung Tuan, sesiapa yang bersampan ke situ pasti karam atau hilang. Kecuali, seorang yang dikatakan punya ilmu, dia dapat mengatasi masalah air pusaran di laut. Dia selamat. Kehebatannya itu menyebabkan dia setelah meninggal dianggap orang sakti dan keramat.
Di Tanjung Priok ada makam yang disebut sebagai Makam Keramat Mbah Priok. Priok ada kaitan dengan pelabuhan Tanjung Priok di utara Jakarta. Ia juga dikaitkan dengan ditemukan sebuah periuk di sisi mayat Mbah Priok yang nama sebenarnya Habib Hassan bin Muhammad al-Haddad Hussain as-Syafie.
Biasanya kalau ditanya wartawan, penjaga makam akan bercerita apa sahaja walaupun dalam bentuk rekaan atau bayangan sekilas. Seperti kebanyakan makam keramat, penjaga makam akan bercerita dia melihat cahaya memancar dari makam ke angkasa raya. Cahaya ini dianggap hebat. Atau ada semacam api berekor yang bergerak pantas dari arah lain menunju ke makam.
Biasanya, makam yang dianggap keramat dikaitkan dengan cerita wali. Disebabkan orang itu berstatus wali, maka kuburnya dimuliakan dan dikeramatkan.
Ada juga orang datang ke makam keramat semata-mata hendak berdialog dengan penghuni makam. Penghuni makam tidak mungkin arwah yang berada di dalamnya, tetapi jelmaan makhluk lain yang memperdaya orang yang berhajat.
Makhluk itu datang kerana telah diseru dengan bahasa yang indah-indah dan penuh harap. Maka datanglah dia baik dari alam jin, alam syaitan atau alam iblis.
Tidak kurang juga mereka yang ngalap berkah mendapat benda-benda mistik. Dari pengalaman membuat temu ramah dengan orang yang pernah ziarah di makam tertentu, mereka ada yang mendapat batu permata, keris kecil, benda-benda logam sekalipun paku biasa. Semua benda itu akan disimpan sebagai kenangan. Ada pula yang membungkus dengan kain kuning dan diberi wangian sehingga nampak sakral sekali.
Bagaimanapun, makam di Kota Tinggi, seperti Makam Sultan Mahmud, Makam Puteri Jalang atau Makam Panglima Bentan tidak dianggap keramat.
Selain makam keramat yang popular, ada juga makam kecil yang dianggap keramat oleh orang yang tinggal berhampiran. Kekeramatannya tidak dikenal orang luar. Hanya sesekali apabila wartawan misteri menjejaki tempat yang terpencil itu, kisah misteri makam itu diketahui orang.[]

ADA-ADA SAHAJA: DARI PENGASIH DAN KERIS GOYANG GERUDI

PENGASIH
Pengasihlah yang paling banyak dijaja orang pintar. Ada banyak bentuk pengasih, atau minyak pengasih yang dijual oleh kalangan cerdik yang mendakwa sebagai spiritualis, nama lain bagi bomoh atau dukun pengasih. Zaman sudah berubah, rasanya panggilan bomoh tidak sedap didengar, maka lahirlah spiritualis yang menawarkan minyak pengasih atau mantera pengasih. Ada yang mendakwa memiliki ilmu pengasih Bung Karno, bekas Presiden yang dikatakan hebat dalam soal wanita. Bahkan Bung Karno dulu diceritakan ingin memikat seorang juruhebah wanita RTM, hanya ada pihak tertentu menghalangnya. Selain pengasih antara lelaki dengan perempuan, baik pengasih untuk mencari pasangan atau sekadar suka-suka, ada juga pengasih pelik, iaitu pengasih bagi golongan gay, homoseks dan lesbian. Dengan sarana benda pengasih ini pasangan sejenis ini tidak akan berpaling tadah kepada orang lain, dia akan setia kepada anda.
Dalam bab pengasih ini, ada banyak benda pengasih. ada yang dinamakan pelet pengunci sukma, ada aura shinta, cakra aura pemikat, dan macam-macam. Ada juga menyarankan ayat al-Imran: 31. Ada spiritualis menawarkan susuk ghaib kerana ia memancarkan aura pengasihan luar biasa, menundukkan dan meluluhkan hari pasangan ataupun bos. Khabarnya ada juga orang politik gunakan pengasihan supaya namanya tidak tercicir dipilih sebagai calon pilihanraya nanti.

ASMA SUNGAI RAJA
Nama ini masih pelik bagi kita, tetapi ada agen di Klang yang menawarkan ilmuan seperti ini. Ilmu ini canggihnya mempunyai bermacam kegunaan, dan kalau nak disenaraikan hingga seratus lebih kegunaannya. Walaupun sekadar mengamalkan apa yang disuruh, seperti doa dan manteranya, ia boleh dipelajari secara jarak jauh. Memang canggih sekarang. Pokoknya kalau ada duit. Tidak mahal, mahar tak sampai sejuta Rp. dan yang special sahaja harganya lebih. Peliknya ilmu ini tak boleh dibaca dalam rumah, nanti dinding rumah retak tak tentu fasal, barang-barang elektrik dalam rumah pun boleh kacau jadinya. Kalau naik kenderaan jangan baca mantera atau doanya, takut tayar kereta boleh kempis, atau tiba-tiba meragam. Inilah kekuatan mistik pada ilmu ini. Tetapi bagi yang minat diberi amaran awal-awal lagi, jangan berbuat dosa besar -zina- kerana ilmu ini akan cair. Dengan ilmu ini, anda akan dikawal harimau putih [jadi-jadian], boleh redah kebakaran, boleh tundukkan musuh, boleh menagih hutang lapuk, selamat dari polis, indera ke-6 lebih tajam, ketika terdesak boleh menghilang [penglimunan], mampu buat pengasih yang dahsyat [mungkin lebih hebat daripada pengasih di atas tadi], boleh sedut benda-benda dari alam ghaib, boleh kalahkan musuh dari jarak jauh, dan macam-macam lagi. Ada pula yang nakal mereka kata, kalau dah begitu, bolehlah digunakan untuk pergi ke Palestin sana. Ini para spiritualis kena jawab.

WANG GHAIB
Ilmu ini dijaja oleh spiritualis di mana-mana. Apa maksud wang ghaib ini? Ya, konon wang yang kita belanjakan akan masuk semula ke dalam saku, ada proses ritual 24 jam. Boleh pula ilmu ini dipelajari dari jarak jauh. Peliknya ilmu yang seakan-akan "menipu" para peniaga kecil dan besar ini dikatakan berlaku untuk umum, aman dan HALAL tidak merugikan orang lain, tidak ada risiko dan tumbal. Jika dipasarkan di Malaysia, rasanya berbaris orang nak ilmu macam ini. Duit BRIM RM500 yang dah diberi, masuk semula, begitukah? Oh, tidak. Mungkin hanya cerita para spiritualis, setelah anda dapatkan ilmu ini, anda gagal nak meritualkannya.

REZEKI DARI LANGIT
Berkata pakar ilmu hikmah, bahawa dengan ilmuan ini, tanpa kerja berat [?] banting tulang, peras keringat semua, wang akan datang dari segenap penjuru. Teknik ini gunakan zikir khusus kerezekian. Sesuai untuk yang bermasalah hutang setinggi KLCC, bunga pun tinggi. Begitulah bunyi gendang iklan yang dipalu.

MENCARI BENDA-BENDA PELIK BIN AJAIB
Inilah yang hendak dicari oleh orang yang suka mengumpul benda-benda mistik yang dianggap berguna kerana mereka kenal apa gunanya, sementara kita yang tak tahu, dengar sahajalah cerita karut mereka itu. Apa yang mereka mahu?
1. Mahu ayam hitam darah hitam [dah tentu untuk tujuan melayani jin dan iblis]
2. Ayam hitam, lidahnya hitam dan darah cokelat pekat [untuk kegunaan sama]
3. Batu merah delima, tak payah ditest sampai satu kolah jadi merah, cukup tiga gelas merah pun boleh. Sanggup beli sampai 350 juta Rp. Duit kita berapa?
4. Uncang harimau, benda ini kecil sebesar ibu jari. Boleh dijadikan benda sakti untuk menghilang atau beraksi gaya harimau jadi-jadian, khabarnya nak dijadikan untuk buat jahat pun boleh.
5. Jenglot yang asli [bukan bikinan seniman jenglot]
6. Geliga lipan, konon yang asli boleh tembus pandang [apa lagi nak tengok maksiatlah]
7. Daun sirih hitam.
8. Batu rubah
9. Keris berluk boleh berdiri [lagi bagus kalau boleh menari, menyanyi dan goyang gerudi seperti Inul]
10. Yang anti-antian - anti panas, anti tembak, anti tetak, anti racun, anti rasa, anti cukur
11. Batu permata blue safir, geliga air,
12. Keris cemeti usul [keris yang mempunyai tali dipilin warna hitam seperti pegangan pengemudi kuda kepang - keris ini pernah saya temui, pernah saya sentuh, ambil fotonya, dan sayang sekali semuanya sirna].
Benda mistik yang disebutkan ini bukan saya yang mahu, tetapi ia memang sangat dicari oleh kalangan spiritualis di mana-mana. []

Friday 6 April 2012

NAIK KUDA MASUK HUTAN DAPAT ILMU

SEORANG LELAKI YANG MENGGELAR DIRINYA ABAH, [jika di tempat kita digelar Tuk Ayah] berkata, dia selalu bersiar-siar ke hutan dengan menaiki kuda. Kalau naik pacuan empat roda tentu lain pula ceritanya. Jadi, dia naik kuda masuk hutan seperti pahlawan atau pendekar masa silam dengan tujuan mengharapkan wangsit atau bisikan dari mana-mana.
Bisikan apa yang ada di tengah hutan itu? Bisikan riang-riang? Bisikan unggas? Selain itu dia juga suka ziarah makam. Bukan asal makam, tetapi makam yang dikaitkan dengan Sunan Bejagung Tuban. Itu nenek moyang Abah.
Dia mendakwa, dengan kunjungi makam, naik kuda, bersiar-siar di tengah hutan itu dia mendapat sejumlah ilmu yang dia peroleh secara bisikan - hawa-tif - tapi dia dakwa ilmu dari sumber ulama ahluss sunnah.
Kenapa kisah ini dipaparkan?
Ini untuk membuktikan bahawa untuk belajar sesebuah ilmu itu kita kena pastikan dari mana ilmu itu diambil. Dalam kes Abah ini, dia seperti Wak Aji, mengaku mendapat ilmu daripada kawasan hutan. Makam yang dia kunjungi itu hanya sebagai kebiasaan kerana dia percaya dengan mengunjungi makam leluhurnya dia akan mendapat sesuatu secara psikologi.
Hasilnya, sesiapa yang menganggap dia sebagai "pakar" tentulah akan mengambil ilmu dari sumber tadi, sumber dia peroleh dari atas kuda. Bisikan siapakah yang menuturkan segala macam ilmu.
Nampaknya, masih ada orang yang merawikan kisah dongeng seperti cerita dulu.
Di negara kita bukan tidak ada si pintar yang mendakwa pernah berguru di Gunung Kumbang, dan dia memiliki sejumlah ilmu yang ada kaitan dengan kehaiwanan, iaitu harimau putih.
Harimau putih memang jarang ada. Jika ada pun ia hanya dalam bentuk mistik. Bukan tidak ada orang mendakwa memiliki benda-benda mistik yang kalau digunakan sebagai pendinding, ia akan memperlihatkan kelibat harimau putih yang menakutkan orang lain. Atau dia mendakwa bahawa di rumah pemilik akan kelihatan beberapa ekor harimau putih duduk seperti menunggu rumah. Semua ilmu ini didakwa diperoleh dari kawasan hutan.
Cerita macam ini kita boleh dengar sebagai bahan penglipur lara, tetapi nak percaya memang tak kena andai kita menjaga waktu solat dan yang selainnya. []

WAK AJI YANG HEBAT

IKLAN WAK AJI

WAK AJI ini bolehlah dianggap hebat. Di dalam sebuah iklan tentang kepandaian dan keahlian ilmunya, Wak Aji kata dia pernah merantau ke segenap ceruk rantau, termasuk ke hutan rimba di sebuah pulau yang berhampiran kediamannya.
Ketika melanglang buana itu, dia telah singgah di tempat yang sunyi, tempat yang orang tak jenguk, kata orang tempat jin bertendang. Dia pun duduk melakukan tirakat, bermeditasi yang entah bagaimana kaedahnya, sebab sebagai orang pakai kupiah, meditasi bukanlah kaedah yang sesuai. Tetapi itulah yang Wak Aji kata, dia melakukan tirakat dan meditasi di tempat sunyi. Maknanya di kawasan hutan rimba.
Kenapa dia sanggup melakukan langlang buana begitu?

OPEN UNIVERSITY

Kata Wak, dia nak cari ilmu. Kalau begitu inilah ilmu yang istimewa, universiti terbuka di kawasan rimba dengan kaedah tirakatan dan meditasian.
Tujuan Wak lakukan semua hal ini adalah untuk mendapatkan petunjuk pada yang kuasa.
Tidak terfikir di dalam minda orang lain seseorang boleh mendapat petunjuk di celah rimba dengan meditasi begitu.
Tetapi itulah yang Wak Aji kata.
Selama tiga tahun dia duduk dalam rimba, dekat sebuah gunung bernama Maja. Tidak hanya itu, dia melakukan puasa khusus, iaitu puasa bid'ah yang tidak ada dalam syariat agama.

RAJA JIN

Puasa khusus ini maksudnya seperti mutih, pati geni, ngalong, ngeluwang, lelono dan macam-macam lagi.
Ketika nyepi di tengah hutan itulah, dia mendakwa apa yang diharapkan dan apa yang dihajatkan telah ditemui. Dia bertemu dengan Tengku Raja Jin Muslim.
Wak Aji pun berkenalan dengan jin bangsawan ini. Dia berbaik sangka dengan jin ini dan seterusnya bersahabat dengan jin-jin yang ada di negeri antah berantah itu.
Kata Tengku Jin, "Anda tolong saya, saya akan tolong anda walaupun kita berbeza dimensi!"
Dalam pada berbuat baik itu, Wak Aji sempat bertanya tentang amalan ilmu duniawi yang dihajatkan.
"Ilmu ini hanya perlu ritual, tak ada pantangnya," kata jin berpura-pura.
Wak Aji diberitahu, bahawa jin itu sanggup menolong Wak. Kalau ada sesiapa yang jumpa Wak Aji minta tolong itu dan ini, misalnya nak kekayaan, persugihan, nak wajah cantik, nak naikkan karisma diri, nak bangkitkan aura dan macam-macam lagi, silakan jumpa Tengku Raja Jin yang baik hati.

SAHABAT JIN

Andai jin ini menyebabkan Wak Aji semakin bertambah sesat pun, Wak Aji tak akan tahu. Dia kena beringat, jin ini dari alam lain, sedangkan alam Wak Aji adalah alam nyata.
Sesiapa yang inginkan ilmu dari sumber jin ini kena tunggu di rumah sahaja, Wak Aji yang akan hantarkan semua perkara kepada jin di tengah hutan.
Bagaimana ritual dan tatacaranya tidaklah diketahui. Tetapi Wak Aji sudah lama berkawan dengan jin. Jika ada sesiapa yang tak percaya dengan kaedah Wak dan nak ikut, silakan. Wak akan ajak orang itu masuk hutan.
"Tapi ingat, kalau jin itu muncul nanti, kamu jangan lari lho!" pesan Wak Aji.
"Kenapa Wak?"
"Jin ini menakutkan, tapi saya udah biasa bertemu setiap kali masuk hutan, jadi tak gerun lagi," tutur Wak.
Sesiapa yang belajar sesuatu ilmu daripada Wak Aji, maka orang itu adalah berguru kepada jin.
Dari Tengku Jin, ilmu itu diturunkan kepada Wak Aji. Kemudian Wak akan bagi kepada sesiapa sahaja yang sudi mampir dan bersila di depannya.
"Oh, ini tak apa kok. Ini halal, tidak menyalahi..." kata Wak Aji. Entah apa yang halal dan entah apa yang tidak menyalahi, inilah proses mendapat ilmu yang agak pelik.
Wak Aji bolehlah dianggap salah seorang yang pernah berguru kepada jin di tengah hutan untuk meraih secebis ilmu guna berbakti kepada masyarakat umum yang tak tahu apa itu tirakat, semedi, medtiasi dan puasa dalam hutan. []

UNCANG RIMAU SEBUAH MISTIK SILAM

BERKATALAH YANG EMPUNYA CERITA bahawa ada sebuah uncang warna hitam yang diperbuat daripada kulit haiwan. Uncang ini kecil sahaja, hanya sebesar ibu jari. Dulu, orang memanggilnya uncang rimau, itu di zaman Majapahit. Ada yang kata uncang ini jadi pusaka orang zaman ini.
Orang dulu tidak ada kegiatan lain untuk mencari wang. Mereka sangat bergantung kepada alam sekitar. Di keliling mereka penuh hutan dan haiwan buas, maka timbul kepercayaan dan keyakinan bahawa sesuatu benda yang bersifat mistik jika dipegang atau dipakai, ia akan menyelamatkan diri dari gangguan haiwan buas.
Diriwayatkan, banyak benda-benda mistik zaman silam yang sudah lenyap -mokswa- tetapi ada juga yang dengan cermat menyimpan benda itu sebagai pakaian harian, dibawa ke sana-sini, lalu timbul kepercayaan bahawa benda mistik itu boleh dijadikan pendinding dari sesuatu.
Uncang rimau ini tidak diketahui wujud di Semenanjung Emas pada masa dulu, tetapi kalau ada sesiapa yang berasal dari kerajaan Majapahit, tentu mengetahui keberadaannya.
Uncang rimau ini pada zaman dulu dijadikan tangkal atau azimat dengan cara menyarungkan uncang pada ibu jari tangan kanan atau kiri. Uncang sebesar ibu jari ini jika dipakai di ibu jari, pemakainya konon boleh berubah menjadi harimau, bukan harimau betul, tetapi kemampuan melompat seperti harimau, kemampuan memanjat, kemampuan menyerang atau mempertahankan diri. Pendeknya dia memperoleh tiger power yang sakti. Pemakainya tangkas seperti harimau.
Di Mataram, khabarnya, uncang kecil ini dipakai pada ibu jari kaki. Uncang rimau ini jika dimiliki seseorang datuk, dia akan menyerahkan kepada warisnya. Uncang rimau perlu diwarisi sebagai benda saka. Nenek moyang mereka menjaga uncang harimau dengan berhati-hati, setia dan tetap kerana keyakinan mereka jitu terhadap objek yang satu ini.
Menurut sumber, uncang rimau ini mempunyai khadam dampingan yang memiliki kekuatan harimau. Khadam ini berpunca daripada bahan kulit itu adalah dari harimau pilihan. Ia memberi unsur khadam dan tenaga luar biasa.
Menganehkan, sesiapa yang menyimpan uncang rimau ini di rumah, mereka akan mendengar suara auman harimau dalam rumah. Suara auman itu berpunca daripada uncang rimau ini. Jika berbunyi demikian bermakna ia masih aktif dan perlu dijaga dengan betul. Maksudnya uncang rimau perlu diritualkan walaupun ia memang berbau khurafat.
Uncang rimau juga ada yang dikaitkan dengan jelmaan harimau putih -jadi-jadian- Pemilik uncang ini tidak boleh meletakkan uncang sesuka hati. Jika uncang itu dijadikan benda mainan oleh kanak-kanak, iaitu dengan menyarungkan kepada ibu kaki kanan atau kiri, atau menyarungkan pada ibu jari tangan, maka kanak-kanak itu akan membawa tabiat liar seperti harimau.
Dikatakan, ada kes di mana pemilik uncang harimau lupa meletakkan di tempat tersorok, uncang itu dijadikan mainan oleh si anak. Apa lagi, setelah disarungkan pada ibu jari tangan, si anak terus agresif, dia masuk ke hutan dan tidak mahu balik ke rumah. Dia khabarnya telah diresapi semangat harimau.

RAHSIA
Uncang rimau ini memang asalnya diperbuat daripada kulit harimau, sesuai dengan namanya. Ia jadi hitam kerana disimpan terlalu lama. Pemilik uncang perlu menyimpan dengan cermat, tidak boleh dipakai oleh seseorang dengan tujuan menguji keampuhannya. Sebab ada ketikanya, uncang rimau akan menjadikan anak pemilik berkelakuan harimau atau menjelma menjadi jadi-jadian harimau. Biasanya harimau warna putih. Tidak hanya itu pemilik uncang yang memang tahu cara menggunakannya, ia boleh dijadikan sebagai sarana untuk kemaksiatan.
Jadi, objek mistik seperti ini tidak sesuai sebagai pakaian umat. Ia hanya objek kenangan zaman silam, zaman orang belum mengenal tauhid, zaman orang masih berfaham animisme. Di zaman sekarang bukan tidak ada orang yang ingin menguji kebenaran cerita, mencari uncang rimau sekadar untuk main-main.
Memang pada zaman silam uncang harimau dijadikan pakaian diri untuk menentang atau melindungi dari serangan haiwan buas, melindungi diri dari gangguan orang-orang yang berperangai gangster. Di zaman dulu, gangster hutan ada di mana-mana, mereka menghadang orang dan merampas apa sahaja barang milik yang ada. Justeru uncang rimau telah dijadikan senjata untuk perlindungan.
Sesiapa yang menggunakan uncang hitam ini, dia dikatakan boleh menghilang dengan tangkas, setangkas harimau. Pada saat terdesak, musuh tidak dapat melihat kehadiran pemakai uncang rimau.
Uncang ini menurut mereka adalah sarana untuk menjadi makhluk halimunan. Pemakai uncang akan hilang dari pandangan manusia biasa. Apa uncang rimau dipanek [dipakai] orang itu akan lenyap dari pandangan.
Benda mistik ini sesuai sebagai pakaian ahli maksiat, baik untuk mencari harta kekayaan, mencari kepuasan biologis atau mengelabui orang. Sekarang, istilah yang tepat, ia dianggap sebagai sarana penting untuk persugihan [sugih=kaya].
Pemilik uncang ini perlu mempelajari mantera yang diajarkan nenek moyang dulu. Selain untuk pakaian diri, uncang ini boleh digunakan secara rantaian. Boleh digandingkan dengan cara berpegangan tangan. Secara otomatis, power harimau itu menjalar kepada mereka. Kedua-duanya juga dikatakan boleh menghilang.
Konon, ada pengamal ilmu uncang rimau ini boleh pergi ke sesuatu tempat yang jauh dalam masa beberapa minit. Dia seolah-olah mempunyai tenaga luar biasa.
Hasil dari salah guna uncang ini, konon di hutan sana ada makhluk jadi-jadian yang asalnya manusia. Dia lari dari rumah sebagai harimau jelmaan [reinkarnasi?] dan kekal dalam dunia mistik rimba.
Biasanya kalau cerita mistik akan ditambah dengan rambu-rambunya. Maka tidak hairan uncang rimau juga konon pernah dipakai oleh tokoh ternama seperti Sultan Agung, Angling Dharma dan Sabda Palon.

MATI KELAPARAN
Ada kisah apabila si anak tadi sudah lari ke hutan kerana bermain-main dengan uncang harimau, maka dia tidak tahu bagaimana hendak memulihkan diri sendiri kecuali orang tuanya yang tampil atau gurunya sendiri.
Si anak tetap berada di alam rimba, hakikatnya dia manusia tetapi telah "memakai" pakaian harimau. Maka dia merayau-rayau tetapi tidak dapat menangkap seekor haiwan pun. Puncanya, jelmaan ini adalah manusia, di tengah hutan dia perlu makanan seperti manusia. Disebabkan tidak akan makanan sesuai, lagipun dia bukan anak harimau, maka dia mati kelaparan.  
Bangkai yang ditemui itu masih melekat uncang hitam di bahagian ibu jari. Uncang ini boleh diambil dibersihkan dan dipakai semula oleh orang lain. Putaran hidup uncang ini akan berterusan.
Jadikan kisah ini sebagai dongeng penglipur lara, hendak diyakini jauh sekali. Sebab ia adalah kepercayaan dan mainan umat di zaman silam. []
 

KUTBAH JUMAAT, ANNUAR MUSA DAN NEGARA SELAMAT UNTUK MENIPU

KUTBAH SOLAT JUMAAT para jemaah hari ini dijejalkan dengan wacana kerajaan pusat sempena perhimpunan warga masjid Wilayah Persekutuan KL di Putrajaya. Jadi, kutbah pun berisikan bahan yang ada kaitan dengan warga masjid bersama Perdana Menteri. Janggal sangat kutbah hari ini, macam berita perdana TV kita, atau laporan Utusan Meloya dengan wartawan Bernama. Disebutnya tentang wasatiyah berulang-ulang, kerana konsep inilah yang Tuk Jib tahu sebut, secara retorik, aplikasinya jauh sekali. Wasatiyah memang tidak dapat dilaksanakan kerana dasar-dasar pemerintah pusat hari ini begitu kelam-kabut, tak tentu arah, hari ini cakap wasatiyah, esok tabur dana projek pembangunan untuk RAKYAT.
Rakyat kena disebut dulu sebab bukanlah rakyat didahulukan? Sejauh ini rakyat pun pandai komen, rakyat apa yang didahulukan? Setahu mereka, yang didahulukan adalah saudagar kaya, para pelabur, konglomerat yang bersepah di sana-sini, kepada kelompok ini kita perlu bersahabat, dan buat apa ambil peduli kepada rakyat? Rakyat hanya layak untuk mancing undi sahaja. Sudah menang, lantaklah rakyat nak tunggang terbalik, sebab kalau rakyat nak projek kena janji, undi lagi pilihanraya akan datang. Jadi, cerita wasatiyah di lantai masjid memang tidak  sesuai, bahkan pihak pusat sudah bagi amaran, jangan jadikan masjid gelanggang politik. Rupanya, yang dimaksudkan itu adalah gelanggang politik pembangkang, kaalau politik Umno tak mengapa. Padanlah semua jawatankuasa masjid macam dijaring pemikirannya agar satu arah sahaja. Keseluruhan isi kutbah di masjid hari ini hambar, orang mengantuk, sampai sekarang orang tak faham apa itu wasatiyah, kesederhanaan macam mana? Orang tak faham, macam Islam Hadhari yang sudah disimpan di rak-rak. Mungkin konsep wasagtiyah pun akan mengalami nasib yang sama dengan Hadhari. Kebetulan tadi ada solat jenazah sekali.

BOLA SEPAK DAN FAM
Bukankah satu kelucuan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) boleh mengenakan hukuman terhadap Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa. Dia diharamkan terbabit dengan sebarang aktiviti bola sepak selama dua tahun enam bulan berkuatkuasa kelmarin.
Kesalahan dia bukan kerana main kotor, tendang kaki orang atau pegang bola, tetapi memberi pendapat setelah diprovok oleh wartawan akhbar unduk ruang sukan yang ada. "Tan Sri apa komen Tan Sri mengenapi prestasi pasukan bola sepak negara dalam persiapan untuk menghadapi kejohanan...." Begitulah lebih kurang soalan wartawan.
Maka sebagai pegawai FAM dia pun menjawablah berdasarkan pengamatan dan pengalamannya. Dia bercakap jujur tentang pasukan bola sepak negara. Kalau wartawan tak tanya begitu, sudah tentu tidak timbul hukuman dua tahun enam bulan itu.
Dalam Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM menyebut, hanya Presiden dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan. Kalau ada di kalangan mereka nak bercakap juga, mereka kena minta kebenaran kongres dulu.
Undang-undang FAM ini cukup hebat, kalau dalam politik pun ada begini, banyaklah orang politik kena bungkus tak boleh bercakap selama beberapa bulan atau tahun macam Tan Sri Annuar. Peliknya, tidakkah pihak berkenaan menyedari, seseorang pegawai tidak akan bercakap sesuka hati jika tidak ditanya oleh para wartawan sukan yang selalu bikin sibuk? Sepatutnya, pihak FAM kena bagi peraturan dan amaran keras kepada pihak akhbar, nasihatkan para pengasuh ruang sukan agar jangan banyak soal kepada pegawai FAM.
Kes Annuar adalah berpunca daripada kerja wartawan yang hendak highlightkan sesuatu isu, kemudian buat susulan laporan dan berita, buat provokasi untuk mencungkil berita, kerana setiap akhbar di negara kita berlumba-lumba nak cungkil bahan baru. Kini Annuar jadi mangsa dek kerja wartawan. Atau jika Annuar sengaja nak tempah maut, sengaja adakan sidang akhbar di restoran mamak atau mana-mana pejabat, maka itu memanglah melanggar peraturan.
Mengadakan sidang akhbar memang ternyata hendak menyebarkan idea atau komen tentang FAM, sebaliknya jika dia bercakap setelah disoal maka itu kena tanya kepada wartawan sukan yang bertanya. Wartawan sukan pun patut mendapat amaran dari pihak FAM supaya keadaan jadi adil.
Sudahnya nanti, setiap pegawai FAM selain Presiden dan Setiausaha Agung kena tampal mulut dengan plaster sebagai tanda, JANGAN TANYA APA-APA YA!
Para wartawan sukan rasanya tahu bahawa FAM ada peraturan sedemikian, tetapi kenapa gatal mulut nak bertanya bagi mendapatkan komen pegawai FAM? Bukankah ini sengaja mencari nahas? Pelik juga, kes Annuar ini jadi bahan jenaka pula.
Bak kata Datuk Taufek Abd Razak, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, pertikaian tidak akan timbul kalau ada pihak tertentu membuat cadangan untuk menggubal peraturan yang ada, Jika peraturan itu nampak rigid, maka ia perlu diberli kelonggaran. Buat meeting dan gubal semula. Nampak mudah tetapi banyak geleknya!

MALAYSIA NEGARA SELAMAT UNTUK MENIPU ORANG!
Sejak kebelakangan ini cerita orang Malaysia kena tipu semakin galak. Misalnya, peniaga emas kena tipu budak Nigeria sampai ratusan ribu ringgit. Seorang lelaki ditipu HAJI rugi puluhan ribu. Kemudian ada pula dekan kena tipu isteri ketiganya seorang lelaki. Kemudian Pak Sanggup "cina buta" kena tipu. Jika ada gadis terjebak di kancah pelacuran pula gara-gara kena tipu. Ini belum bab pilihanraya, nama yang ada digugurkan, atau yang patut tak undi pos boleh undi pos, inipun tipu juga. Jadi, penipuan ini tidak mengira di mana dan melibatkan sesiapa sahaja. Seperti kes kahwin dengan "lelaki" kenapa nak mengaku dekan? Kalau mengaku tukang sapu atau tukang kutip siput sedut tak lah malu sangat. Nasib baik tidak dikata seorang profesor kena tipu kahwin dengan lelaki, barulah heboh betul. Kemudian konon ada tuan kadi tepi jalan, nikahkan orang dan buat sijil nikah paslu, inipun salah satu penipuan. Jadi, senang sangat nak menipu.
Dalam bab tipu ini ada juga ketikanya Syabas (Bekalan Air Selangor) pun kena tipu, ada bangunan perniagaan di Loke Yew,KL, buat penyambungan air "halal" dan menikmati bil yang rendah. Tipu lagi.
Kemudian ada budak ditahan polis ketika memandu sebuah kereta, dia kata itu kereta pinjam, dia tak tahu itu kereta curi. Tipu lagi.
Lepas itu ada pula stesyen minyak yang menipu dengan membuat pengubahan terhadap pam minyak mereka. Maknanya di negara kita ini, peluang untuk menipu terbuka luas. Siapa cerdik dia boleh menipu. Macam orang politik juga, tak kira siapalah, termasuk orang BN sekali pun pandai menipu rakyat. Kemudian ada kes pembantu rumah lari membawa duit dan barang kemas tuannya. Tipu lagi.
Seorang gadis Orang Asli diajak kakak angkat raikan hari jadi, tapi kena noda bergilir-gilir pula. Inipun penipuan yang paling kerap terjadi di tempat kita.
Ada juga penipuan dek ledakan media sosial. Walaupun banyak yang kena tipu, ia tetap dianggap ada kebaikannya. Lepas tu, cafe internet 24 jam, cermin gelap, eksklusif, nak masuk bukan senang, tentu nak tipulah tu.  Macam penipuan tukang urut, dari urut kaki naik ke paha, lepas tu naik lagi. Di luar sana ditulis TUKANG MASAK bukan Tukang urut macam di sutu tempat di Bukit Bintang [kalau tak tukar lagilah]. Inipun tipu juga.
Soal tipu ada di mana-mana, orang jual ikan, jual ayam daging, jual daging, jual durian, jual mangga pun macam-macam "penipuan" dibuatnya. Pendeknya kalau nak cerita bab TIPU memang kita jadi negara yang selamat untuk para penipu menipu. Macam gores dan menang, entah berapa kali dipaparkan, tapi masih ada lagi yang kena tipu. Macam bomoh atau dukun yang konon boleh kasi ONG kepada pelanggannya. Saya teringat ada kawan beri tahu seorang "dukun" menggunakan nama BABA jual tangkal buang sial, jual batu hikmat yang serasi dengan diri, kemudian siapa nak buang sial kena mandi bunga, suruh bogel, terlentang dan ambik cota, dipukulnya kemaluan pelanggan dan ditenyeh-tenyeh dengan cecair entah apa-apa, dah kena bogel dan mandi di bilik air, lelaki itu kena bayar lagi beratus-ratus. Tipu lagi.
Cukuplah setakat ini bab tipu menipu ini. Di zaman dulu ada orang bernama Tipu Sultan. Itu nama sahaja, bukan ada kaitan dengan tipu pun. []

Thursday 5 April 2012

SPR SERONOK JADI POPULAR

NAMPAK GAYANYA pihak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia [SPR] enggan tunduk kepada kehendak kelompok Bersih. Walaupun sudah dua kali berhimpun, dan menyatakan pendirian agar SPR melakukan sesuatu, ia masih tidak berganjak, hanya berkutik sedikit sahaja, sebagai membuktikan rakyat didahulukan.
Apa ertinya rakyat didahulukan sekiranya permintaan Bersih tidak dipedulikan? SPR seolah-olah menerima tekanan daripada pihak Umno agar tidak tunduk kepada tekanan, biarlah Bersih menjadi perhimpunan bersiri, dan yang akan datang, ia akan diadakan di Dataran Merdeka. Kita tunggu apakah penguasa pusat memberi izin kepada Bersih duduk berhimpun di atas dataran itu atau ada kelompok NGO akan membuat nota bantahan kerana dataran itu khusus untuk pelancong asing ambik gambar. Pasti ada NGO yang akan buat nota bantahan termasuk aduan kepada polis menjelang perhimpunan itu. Kononnya itu kehendak rakyat majoriti yang ingin keamanan, konon para peniaga kecil membantah, dan macam-macam lagi alasan. Sebenarnya perhimpunan Bersih pun boleh dijadikan salah satu "show" kepada para pelancong bukti bahawa Malaysia ini negara demokrasi, bukan negara kuku besi, bukan negara "baru" yang mula mengukubesikan perundangan setelah Mynmar berubah angin.
Memang pun, kemenangan Aung San Suu Kyi mendapat liputan dari segenap ceruk rantau, dan Malaysia yang sekian lama dikuasai oleh parti "tua" sudah tiba masanya untuk direhatkan. Para pemimpin yang ada hari ini sudah lama duduk di takhta kuasa dan harta melimpah ruah dengan mengenepikan kegelisahan rakyat bawahan tetap berdegil dan enggan memenuhi permintaan Bersih.
Dikatakan pihak pusat enggan menerima tuntutan Bersih kerana dalam perhimpunan itu memuatkan sejumlah tokoh pembangkang. Alasannya tuntutan Bersih bukan dari pihak NGO, tetapi dipergunakan oleh Pakatan Rakyat. Dan jangan lupa, ada juga NGO yang pro-kerajaan menghantar memo bantahan atau repot polis kerana disentuh bahunya agar melakukan sesuatu sebagai tanda sokongan. Jika tidak... yalah, anda pun tahu bagaimana sebuah NGO mahu hidup. Ada NGO yang digeruni dan ada NGO yang mahu dijadikan sahabat pemerintah. NGO yang bersahabat dengan pemerintah biasanya tidak dihormati rakyat, kerana mereka adalah NGO angguk.
Berbalik kepada tuntufan Bersih yang dulu, sampai sekarang tidak ada tanda-tanda separuh daripada tuntutan itu diambil peduli. Nampaknya, SPR tetap patuh dengan arahan pemimpin atasan Umno agar tidak tunduk kepada tuntutan. Ia bukan tuntutan rakyat, tetapi tuntutan pembangkang. Di sini istilah rakyat sudah menjadi lain, mereka yang sokong Bersih bukan rakyatkah? Mereka yang menyertai pembangkang bukan rakyatkah?
Ingatlah, NGO yang menyokong pusat pun belum tentu berkekalan menyatakan sikapnya apabila senario politik negara berubah. Ingatlah, SPR perlu menyelesaikan masalah daftar pemilih, bukan mengeluh sehingga sekarang masih ramai tidak mendaftar. Kenapa orang tidak mendaftar? SPR sendiri seolah-olah menjadi musuh kepada rakyat. Ada yang geram dengan sikap SPR, akhirnya mereka ambil jalan "boikot" tak perlu daftar, yalah, selagi SPR tidak memenuhi tuntutan rakyat. SPR itu siapa? Bukankah ia badan yang perlu memenuhi kehendak rakyat, SPR tidak boleh berdiri sendiri tanpa rakyat.
Kemudian dilaporkan MIMOS mengesan ada 78,000 kes orang yang berdaftar itu menggunakan alamat yang sama, hingga 100 nama tinggal serumah. Kalau sebuah taman perumahan boleh tahan juga, ini sebuah rumah, mungkin itu rumah burung merpati agaknya, waktu mengundi burung itu akan datang dan lepas mengundi semua pulang ke sarang masing-masing. Ini burung hijrah yang diberi segala kemudahan sehingga nama burung itu didaftarkan dan boleh buat sarang sementara dan diperakui pula. Waktu mengundi nanti disediakan sangkar emas untuk mengangkut merpati ke lokasi tertentu. Undilah parti yang banyak berjasa kepada anda wahai merpati, taburan segala bijirin di laman itu untuk santapan anda semua...
Alangkah gembiranya merpati luar. Dan sehubungan dengan burung hijrah ini, khabarnya ada yang dapat kad pengenalan entah kekal atau sementara, ini semua boleh dilakukan dengan dukungan tangan-tangan ghaib. Saya ada sentuh bagaimana propaganda kecanggihan sistem yang ada di JPN itu, kalau menteri punya siap ketika itu juga, tetapi kalau rakyat jembel, yang datang dari latar belakang yang lintang pukang mereka tidak utamakan, tunggu empat bulan baru siap Mykad yang terkini.
Kemudian dilaporkan ada pengundi yang masih hidup dikatakan mati, yang mati dikatakan hidup. Inilah yang orang kata pengundi hantu. Mana ada orang yang sudah meninggal boleh mengundi? Kalau dia mengundi juga, itu ertinya ada hantu yang mengundi. Jadi, awaslah kepada mereka yang mempunyai sanak saudara telah meninggal, semak nama arwah itu, mungkin terpacul dalam senarai. Itulah komen orang ketika gebang-gebang di laman masjid baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, ada pula tanda tangan palsu mengatakan minta tukar alamat, tukar tempat mengundi. Ini apa cerita? Ini membuktikan SPR bukanlah badan yang profesional, tetapi masih bertatih seperti negara miskin yang baru belajar mengadakan pilihanraya.
Pada pandangan rakyat bawahan, SPR itu dikendalikan oleh orang-orang yang mahir dan boleh menyelesaikan masalah data dengan tangkas. Sebaliknya, teguran demi teguran, kritik demi kritik diterima, dan semua ini dipaparkan dalam media bukan pemerintah. Kenapa? Media kerajaan tidak mahu melaporkan kelemahan SPR, sebab mereka hanya menyalahkan rakyat yang tidak mahu mendaftar sebagai pemilih. Itulah keluhan dan rintihan yang kita dengar saban hari. Mereka gelisah kerana peratusan yang mendaftar berdasarkan orang yang layak masih tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Kenapa gelisah?
Kegelisahan pihak SPR sudah dibaca rakyat bawahan, ia bukan kerana orang enggan daftar sebagai pengundi, tetapi bimbang pengundi yang ada sekarang tidak berpihak kepada UBN.
Tindak-tanduk pihak SPR ini bertambah jelas apabila menubuhkan Jawatankuasa Penambaikan Sistem Pilihanraya Parlimen [PSC] dengan tujuan memenuhi hasrat Bersih yang terdahulu. Jawatankuasa ini khabarnya telah bersidang selama enam bulan dengan enam pendengaran awam, tapi macam itu juga. Penuh retorik. Masih ada penipuan dalam daftar pemilih yang masih kelam-kabut. Adakah dalam keadaan daftar pemilih yang tidak bersih ini pilihanraya nak diadakan juga?
Barangkali SPR seronok jadi popular. Apabila orang berhimpun dalam Bersih 3.0 nanti nanti SPRlah yang akan sibuk menjawab dan menangkis tuduhan. SPR jadi sasaran, sedangkan para pemimpin yang duduk di pusat berpeluk tubuh atau mengarahkan agar ada tangan-tangan ghaib menyuraikan mereka yang berhimpun di Dataran Merdeka dengan tindakan keras. Atau, bersediakah pihak tertentu menyediakan nasi briyani kambing di tempat orang yang ditahan dilabuhkan di suatu lokasi istimewa. Kemudian wartawan dan jurugambar berebut menemuramah orang yang sedang menikmati briyani.
"Tak sangka kami mendapat layanan begini istimewa, walaupun ditahan, kami dilayan dengan baik, diberi makanan dan minuman horlicks ais percuma!" ujar seorang pakcik dari pedalaman Perak yang berada di lokasi penyantunan rakyat.
Seorang wartawan media utama terkejut mendengar komen pemuda kampung dari Kedah. "Saya kalau boleh nak buat lagi Bersih 4.0 kalau dapat layanan istimewa seperti ini." Beranikah wartawan ini laporkan dalam media utama? Sudah tentu tak akan berani. Ini semua adalah andaian yang tak mungkin terjadi lagi kali ini jika Bersih 3.0 membuahkan hasil. []

Wednesday 4 April 2012

AJARAN SESAT ATAU ORANG BINGUNG?

ELOK dipaparkan kriteria ajaran sesat menurut versi Majlis Ulama Indonesia[MUI], kerana apa? Kerana kalau kita semak semula senarai ajaran sesat yang dicatat oleh Jakim, memang kebanyakannya ada ajaran "import" dari belahan Nusantara.
1.Mengingkari rukun iman dan rukun Islam.
2.Meyakini dan atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dalil syar'i -al-Quran dan as-Sunnah.
3.Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
4.Mengingkari otentisitas dan atau kebenaran isi al-Quran.
5.Melakukan penafsiran al-Quran yang tidak berdasarkan kaedah tafsir.
6.Mengingkari kedudukan hadis Nabi sebagai sumber ajaran Islam.
7.Melecehkan dan atau merendahkan para nabi dan rasul.
8.Mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasul terakhir.
9.Mengubah pokok-pokok ibadah yang telah ditetapkan syariah.
10.Mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syar'i. [sumber Republika Online, 2007]
Masih dari sumber yang sama, kriteria di atas tidak boleh digunakan sebarang orang dalam menentukan suatu aliran itu sesat dan menyesatkan atau tidak. Sebelum dikatakan sesat, hendaklah diteliti dahulu, dapatkan data, keterangan, bukti, dan saksi tentang faham, pemikiran dan aktiviti kumpulan atau aliran tersebut. Kemudian panggil ketua kumpulan itu dan saksinya untuk mendapatkan rincian perkara yang dipertikaikan itu. Aliran sesat tidak boleh diatasi dengan cara kekerasan sehingga merosakkan harta benda dan sebagainya. Yang lebih penting penulis ingin menambah, kesesatan itu tidak diukur dari aliran parti politik penguasa sehingga menimbulkan kegelisahan umat. [Untuk bacaan lanjut termasuk definisi ajaran sesat versi Malaysia, bolehlah baca Ajaran Sesat Mengenali jalan Yang Terpesong, Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, PTS Publications, 2007]
Kebetulan baru-baru ini Harian Metro, ada menyiarkan kisah Ayah Pin yang dikatakan pergi berubat dan bertemu dengan adik-beradiknya di sebuah negeri. Berdasarkan maklumat daripada buku Ajaran Sesat [2007] ini disenaraikan apa sahaja tindak-tanduk luaran dan setakat yang dicatat tentang kesesatan Ayah Pin ini. Jika sebelum ini Ayah Pin terkenal dengan "kerajaan langit"nya, maka dalam senarai itu tidak menunjukkan di mana kerajaan yang dimaksudkan itu.
Sekali imbas, bahawa tindak-tanduk Ayah Pin ini hanya bersifat "ugal-ugalan" dan tidak serius dalam pengamalan yang kita sifatkan sesat. Dia seperti bermain-main dengan rekaan minda yang entah dipengaruhi oleh apa, sama sekali tidak diketahui orang luar. Sebab dari pengalaman penulis mengunjungi Rasul Melayu di Hulu Klang, dalam tahun 80-an dulu, dia menjadi tidak keruan kerana dikelilingi oleh "sahabat ganja" dan ketika dia menuturkan sesuatu perkara, jelas nampak berdengungnya pemikiran dia. Dan saya dapati dia tidak ada pengikut, hanya syok sendiri dalam rumah dan terpencil dari masyarakat. Puncanya kerana dia mempunyai pendapat dan pemikiran sendiri yang dirasakan betul apabila dipengaruhi oleh bahan yang mungkin sejenis ganja.
Baiklah, itu Rasul Melayu yang ketika saya kunjungi [sebagai wartawan majalah], saya katakan dia tidak ada pengaruh dan mengajar orang kerana dia tidak memiliki buku atau kitab-kitab rujukan. Dia hanya memiliki tafsir al-Quran keluaran Indonesia. Bagi saya Rasul Melayu itu "mabuk ganja" dan dia merasakan dirinya tersisih dari arus pembangunan, dalam keadaan serba kekurangan, dia protes dalam diri, lantas melahirkan berbagai pemikiran kacau termasuk halusinasi dan entah apa-apa lagi.
Menyemak senarai kebingungan Ayah Pin pula, saya tertarik dengan tindak-tanduk kesesatan lelaki ini. Dia memang lelaki pelik, melakukan eksperimen yang bukan-bukan, mendirikan replika, suka menghias, boleh jadi dia minat landskaping dan macam-macam lagi.
Dia pula mengaku tidak belajar agama, belajar bahasa Arab pun tidak, jadi dia macam orang kampung biasa. Berdasarkan latar belakang begini, dia tidak layak untuk "mengajarkan" sesuatu kepada orang lain, tetapi kalau dia menekuni bidang seni taman, buat ukiran kayu, simen dan batu atau apa sahaja, memang dia ahli. Kemahiran ini mengundang jiran sekeliling untuk bertandang setiap hari, dan ketika itulah dia menuturkan sesuatu yang menyimpang dari kebiasaan.
Bagi orang yang mengalami tekanan mental, mereka memang biasa menuturkan kalimat-kalimat yang bertentangan dari kebiasaan kalau tidak dianggap berlawanan dengan aqidah. Orang sakit mental memang begitu, ketika melihat keadaan wad psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tidak lama dulu, saya dapat bermacam hal boleh dilihat, termasuk solat kilat, tidak mengadap kiblat, azan ikut suka hati, ngoceh, ketawa dan sebagainya.
Jadi, dalam kes Ayah Pin ini, dia mungkin termasuk dalam kategori bingung. Dia bingung dengan apa yang dituturkan. Mungkin dia tidak tahu apa yang dituturkannya. Begitu tindakannya yang pelik dan menggambarkan ketidakberesan pemikirannya.
Contoh, seperti yang disenaraikan (buku, 2007) dia kata bahawa tidak ada orang lain selain Ayah Pin dan Nabi s.a.w. sahaja yang berguru dengan Jibril. Saya teringat kata-kata begini juga ada dalam ajaran Salamullah di Jawa sana, mereka juga ada hubungan dengan Jibril palsu. Kemudian Ayah Pin mendakwa bahawa al-Quran itu cantuman dari Zabur, Taurat dan Injil.
Ada hal pelik yang dilakukan oleh Ayah Pin, dia meminta pengikutnya [tak ramai mana pun] membakar al-Quran dan kemudian abu kertas itu dilumurkan ke badan Ayah Pin. Buktinya, kenapa perlu pergi ke Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan, untuk ritual bakar al-Quran untuk dapatkan debu bagi dilumur ke badan Tuk Ayah Pin? Nampak sangat ini permainan perdukunan dan orang bingung.
Bukankah ritual karut begini menggambarkan individu yang sedang bingung mencari arah tujuan. Ritual ini menyamai ritual para dukun yang mengamalkan sesuatu ilmu yang diperoleh entah melalui mimpi [itupun didakwa mendapat wahyu di Jawa sana].
Adakah Ayah Pin terpengaruh dengan ajaran perdukunan? Mungkin bahagian ini tidak diteliti ketika menyiasat latar belakangnya.
Kemudian dia kata daripada seseorang itu berzikir dan solat, lebih baik menyebut-nyebut nama Ayah Pin. Begitu juga kena bayangkan Ayah Pin berada di depan setiap kali solat. Ketika mengucap dua kalimah syahadah, iktikadkan dalam hati kepada Ayah Pin. Kemudian dakwaan yang mengatakan Tuk Ayah ini tahu hal ghaib, tahu seseorang yang meninggal itu akan ke neraka atau ke syurga. Ini semua pertuturan orang linglung, atau orang bingung.
Barangkali jika Tuk Ayah yang mengarut dan bercakap ikut sedap hati ini dibiarkan, nescaya namanya tidak popular sehingga masuk carta salah satu ajaran sesat terkenal di Malaysia. Akan tetapi jika dibiarkan, jiran-jiran yang kurang ilmu mudah percaya, sanggup lepak di rumahnya setiap hari dan mendengar ocehannya yang tak tentu hala.
Gambaran orang yang bingung dan mengoceh ini juga terdapat di Jawa sana. Ramai yang mengaku jadi Nabi dan membuat ajaran baru yang pelik. Jika di Malaysia orang yang mendirikan ajaran karut ini tidak berpendidikan tinggi, setakat sekolah rendah atau sekolah agama tak habis, di sana yang belajar tinggi dan mahir bahasa Arab pun ada yang ngoceh dan bingung macam Tuk Ayah.
Contoh ajaran dari perguruan Mahesa Kurung al-Mukaramah, pimpinan asy-Syayidi al-Habib Attros al-Kindy, nama begini kalau di Malaysia sudah dikira hebat dan orang mengatakan ia adalah ilmuan yang hebat, dari ahlul bait atau berbagai keyakinan dari pendukungnya. Akan tetapi Si Habib ini bergerak di bidang perdukunan. Itu sebabnya apabila Tuk Ayah lumur abu bakaran al-Quran di hutan, ia memperlihatkan ciri-ciri perdukunan.
Bilangan Nabi palsu di Jawa sahaja lebih dari sedozen dengan menggunakan nama yang hebat-hebat. Dibimbangi kalau nama ini dipasarkan di Malaysia, orang yang kurang ilmu akan mudah terpengaruh. Seperti kes ESQ yang dari awal lagi saya memang tidak tertarik pun dengan kursus anjuran mereka, tetapi akhbar SINAR HARIAN yang editornya pun kita kenal, malah menganjurkan stafnya mengikuti kurus ESQ yang disyarahkan oleh bapak.....[tak perlu sebut namanya].
Masyarakat Malaysia mudah terpengaruh dengan nama dan gelaran hebat. Mudah terperangah mendengar perkara-perkara yang dianggap baru. Akhbar tabloid itu bukan tidak memuji, bahkan ditemu ramah para peserta kurus yang masing-masing memuji akan isi bahan ESQ. Ketika itu saya sudah tidak sedap hati kerana orang kita mudah terpengaruh jika ada perkataan yang pelik-pelik, hebat dan berbau intelektualisme.
Kenapa? Saya melihat, banyak ajaran sesat berakar umbi dari sana. Dibawa masuk ke Malaysia dan kemudian disebarkan.
Contoh (merujuk senarai Jakim): silat pukulan jarak jauh, ilmu tenaga dalam dan hikmat, asal wujud Garis Laksamana, Jawa Faradin, ajaran Wali Sembilan, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol dan banyak lagi.[]
 

HARTA MEMANG UJIAN SEBENAR UMAT

"SESUNGGUHNYA setiap umat itu akan dihadapkan dengan ujian yang terbesar. Dan termasuk ujian terbesar itu yang menimpa umatku adalah harta." [HR. at-Tirmidzi]
Memanglah harta dan dunia bukanlah tolok ukur seseorang itu dimuliakan atau dihinakan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud:
"Adapun manusia apabila Rabbnya mengujinya lalu dimuliakan-Nya dan diberi-Nya kesenangan, maka dia berkata, "Rabbku telah memuliakanku." Adapun bila Rabbnya mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata: "Rabbu menghinakanku." [al-Fajr: 15-16]
Mengenai ayat di atas, Ibnu Qayyim menjelaskan, bahawa tidak setiap orang yang Allah beri kedudukan dan limpahan nikmat di dunia bererti Allah melimpahkan keridhaan-Nya kepada hamba-Nya. Ia hanya ujian dan cubaan dari-Nya. Tidak semua orang yang disempitkan rezekinya, Allah hanya memberikan sekadar keperluan tanpa kelebihan, tidak bererti dihinakan. Allah menguji hamba-Nya dengan kenikmatan sebagaimana juga manusia diuji dengan musibah [Ijtima'ul Juyusy, hal.9].
Dek kerana dunia dan harta boleh menyebabkan pemiliknya selamat serta mulia di dunia dan di akhirat. Iaitu apabila dia mendapat harta dunia dengan cara diperbolehkan dan bukan dengan cara yang batil. Cara yang batil ini melibatkan tipu helah, habuan kerana khidmat tertentu atau orang tafsirkan sebagai rasuah projek.
Memang Nabi s.a.w. ada berpesan, "Tidak boleh iri kecuali kepada dua kelompok: orang yang Allah SWT kurniakan harta kepadanya lalu dia infakkan di jalan yang benar, serta orang yang Allah SWT kurniakan ilmu kepadanya lalu dia mengamalkan dan mengajarkannya." [Muntafaqun 'alaih dari Ibnu Mas'ud]
Kita seronok melihat orang kaya raya tetapi dia menginfakkan hartanya ke jalan kebenaran dan bukan ke jalan kemasyhuran. Begitu yang kaya dengan ilmu mereka mengamalkan ilmu dan mengajarkan kepada orang lain. Ilmu adalah harta bagi seseorang yang berilmu, sama juga orang yang memiliki harta. Baik harta atau ilmu kedua-duanya bukan untuk pakaian sendiri, sebaliknya dipergunakan untuk orang lain, itulah kelebihan orang berharta dan berilmu.
Sayangnya di dalam amalan harian kita, terutama masyarakat kita, kekayaan harta yang merupakan ujian dari Allah SWT tidak digunakan dengan sepenuhnya ke jalan yang benar. Tidak banyak yang diinfakkan ke jalan Allah. Bahkan bukan tidak ada, orang kaya hanya menghamburkan wang untuk tujuan kemaksiatan. Itu tandanya mereka sedang diuji.
Orang yang tidak punya harta juga diuji dengan bermacam ujian. Sebagai contoh, ada seorang jutawan yang mendapat wang hasil daripada projek tol [tak boleh sebut tol yang mana] dan khabarnya dia menerima wang tunai yang besar setiap bulan, entah komisyen atau entah bayaran perundingan apa yang disepakati sekian lama. Wang itu khabarnya disimpan di dalam bonet kereta Mercedez sport. Disimpan di kawasan perumahan yang yang diduga. Sebagai orang kaya, tempat itu hanya dijenguk olehnya bersama pengawal peribadi cum pemandunya.
Pemandu diuji dengan amanahnya. Tidak membocorkan rahsia duit bos yang banyak di rumah itu. Akan tetapi, siapa akan amanah melihat kekayaan orang itu. Menurut kisah, orang kaya itu hanya memberikan wang kepada pengawal peribadi asalkan wang itu digunakan untuk minum khamar, melanggan perempuan urut atau pelacur. Orang kaya akan hulur duit untuk tujuan maksiat sahaja. Mungkin tidak terfikir untuk menghamburkan wang ke jalan yang diredhai Allah SWT lagi. Hatinya belum terbuka.
Disebabkan sikap jutawan yang sedemikian, pengawal peribadi merancang menggunakan ilmu karut bagi mengambil wang berjuta-juta di dalam bonet kereta itu. Dia merujuk kesnya kepada orang pintar yang kemudian menyuruhnya, dapatkan kain kafan. Caranya korek kubur.
Maka, entah khabar sahih atau daif, atau sanadnya terputus, kain kafan mayat perempuan tua di sebuah perkuburan telah diambil. Jalan masuk ke kawasan kubur khabarnya dikawal ketat oleh bodyguard berbayar dan beruniform.
Dapatkah pengawal peribadi ini menggunakan kain kafan untuk mengambil duit dengan cara ilmu karut kebatinan begitu? Melalui kontak telefon, penulis diberitahu oleh orang pintar itu, sehingga kini kain kafan itu disimpan di dalam tajau. Tidak dapat digunakan kerana pengawal dan orangnya mungkir janji. Ini pun ujian juga. Dia diuji dengan keamanahannya. Dia diuji dengan ilmu karut sekali, jumpa dukun dan mempercayai kata dukun.
Ini contoh bagaimana dengan harta orang boleh melakukan apa sahaja. Orang boleh mendakwa bahawa semua ini angkara iblis yang memang tugasnya menyesatkan umat.
Pernah para sahabat menceritakan kepada Abu Dzar r.a. dia bertanya kepada Nabi s.a.w., "Wahai Rasulullah, orang-orang kaya telah mendahului kami untuk mendapatkan pahala. Mereka solat sebagaimana kami solat, mereka juga berpuasa sebagaimana kami berpuasa, namun mereka bersedekah dengan kelebihan harta mereka." [HR.Muslim]
Menurut pandangan umum, orang kaya tentu diberi kelebihan daripada orang miskin, mereka boleh berhaji dan berumrah banyak kali. Mereka ada duit. Sedangkan orang miskin tidak dapat pahala kerana tidak mampu pergi haji dan umrah berkali-kali. Nabi s.a.w. mengingatkan hamba Allah itu, habuan kepada mereka yang tidak punya harta agar mengamalkan kalimat: subhanallah, alhamdulillah, dan Allahu Akbar. Ganjarannya sebesar Gunung Uhud.
Jadi, janganlah tertipu dengan harta dunia sehingga dia diperhambakan olehnya. Kes lelaki jutawan tadi membuktikan dia telah diperdayakan oleh hartanya sendiri. Allah SWT telah mengingatkan kita, "Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan." [al-Imran: 185]
Bergantung kepada sejauh mana seseorang itu berilmu atau tidak. Jika orang kaya itu berilmu, dia akan tahu bagaimana membelanjakan hartanya di jalan yang benar. Jika tidak berilmu, maka seperti jutawan tadi, dia hamburkan wang untuk tujuan kemaksiatan.
Pengawal peribadinya juga terfitnah sekali dengan harta dunia, didorongkan ke ruang maksiat seperti khabar yang disampaikan itu. Bukan setakat itu, geram kerana wang hanya diberi ketika bermaksiat, dia ingin mencuba kaedah lain, guna kain kafan untuk mengambil wang yang ada. Logikanya di mana tidak diketahui. Tetapi khabar yang daif mengatakan, sesiapa yang mengenakan pakaian ahli kubur, maka orang itu tidak dapat dilihat oleh manusia pada mata kasar. Konon, pemakai kain kafan ketika di dunia sudah berada di alam arwah alam ghaib yang tidak dapat kita bayangkan.[] 

SETELAH DIPERGULA-GULAKAN DENGAN GULA SUBSIDI

BEGITULAH KOMEN ORANG KAMPUNG. Mereka sudah sedar bahawa selama ini mereka telah dipergula-gulakan oleh penguasa di sana.Projek di sana-sini yang dihebahkan kepada rakyat disambut dengan tepuk sorai akan terkena orang kampung yang bertepuk juga. Apa tidaknya, apabila projek dilaksanakan, orang kampung kena mengalah. Mereka yang tepuk tangan pun kena mengalah. Berundur, pindah dan merempat semula.
Bilangan rakyat yang merempat memang cukup ramai. Hanya kita tidak turun padang dan menjejaki mereka di mana-mana. Jangan percaya dengan program TV3 itu kerana ia hanya propaganda, terlalu banyak persiapan sehingga yang kita tengok adalah gambaran indah, hingga puak-puak UBN pun hulur bantuan. Bayangkan dari keadaan yang serba daif sudah bertukar kerana ada tangan misteri UBN turun. Ini semua program TV yang ada agenda di sebaliknya.
Kemudian dulu semua orang diberi RM500 kepada sesiapa yang layak. Memang ramai yang layak. Mana ada orang berpendapatan RM3000 seperti yang disebut itu. Banyak di bawah RM1000 sebulan. Inilah gambaran rakyat kecil yang sebenar.
Dan apabila kita dengar PM dan TPM janjikan 176 projek di seluruh negara dengan peruntukan RM608.68 juta orang pun tepuk tangan. Seronok. Yang paling seronok, projek itu menguntungkan para kroni, yang tentu di pihak bahagian sana. Perak paling banyak projek kerana maklumlah,Perak adalah negeri yang dirampas dengan "tipu muslihat" dan dukungan tertentu sehingga terlepas dari Pakatan Rakyat.
Adakah dalam pilihanraya akan datang Perak boleh dipertahankan oleh UBN? Ini pun jadi teka-teki yang menarik. Selama ini PM dan TPM sudah tabur banyak duit di mana-mana sahaja keduanya pergi. Itu bukan duit mereka, tapi duit negara, yang juga duit rakyat. Jadi kedua orang ini tidak boleh megah dengan projek-projek yang hebat itu sebab tempias kena pada penduduk kampung juga.
Kita tunggulah nanti, apabila projek dilaksanakan selepas pilihanraya, itu pun andai UBN masih berkuasa, banyak tanah Melayu yang kena kaut. Penduduk kampung yang dulu dapat RM500 difikirkan akan terhutang budi dan sanggup pindah ke hutan paya bakau, atau masuk ke tanah gambut, merempat kerana tanah yang ada milik kerajaan, sampai masa kena usir, merempat lagi. Jadi kisah jerkah setinggan tak habis-habis selagi kita kemaruk dengan pembangunan.
Kemudian ada kisah sedih, tol yang ada di sana-sini semuanya dah menguntungkan mereka. Sayangnya ikut perjanjian mereka kena kutip duit sampai berpuluh tahun. Keuntungan lebih daripada beratus-ratus peratus, bukan seratus peratus lagi. Maknanya, kutipan sudah boleh dihentikan. Bagi laluan percuma.
Tapi tidak, dalam otak pengendali di sisi penguasa kita mereka sanggup menciptakan projek bagi memberi kerja atau jawatan atau apa sahaja atau habuan kerana sesuatu hal. Khabarnya (sumber Roketkini.com) hasil dari rampasan kuasa di Perak tahun 2009 dulu, ada hubaya-hubaya mendapat projek besar bernilai RM2.2 bilion untuk projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan kemudian projek besar lagi Lebuhraya West Coast bernilai RM7.1 bilion.
Anda boleh bayangkan bagaimana corak kehidupan orang-orang yang mendapat anugerah projek berkenaan. Bandingkan dengan orang kecil yang hina dina, yang datang bertongkat dan berpapah nak kutip RM500 di tengah panas, dijerkah lagi oleh petugas di bangunan parti utama. Bayangkan, alangkah jauhnya pemberian RM500 sebagai gula-gula subsidi, dan kemudian projek bernilai bilion itu.
Ada orang tua kampung beritahu penulis, ini semua gula-gula PM, dia beri RM500 supaya kita orang kecil tutup mulut kes kehancuran projek ternak lembu NFC. Dengan duit sebanyak itu orang tutup mulut kalau banyak lagi berlaku penipuan dan skandal kewangan yang tersembunyi. Ini belum bab ketirisan wang hingga ratusan bilion. Siapa nak dipertanggungjawabkan? []

CERITA TENTANG KAD PENGENALAN MYKAD

KETIKA MENTERI berkenaan berada di JPN utama Putrajaya, gembar-gembur mengatakan MyKad itu boleh siap dalam waktu terdekat. Itu cakap politik. Sebenarnya, di tangan saya sekarang ada tiga resit rasmi JPN Wangsa Maju KL, seorang penduduk di Gombak Bt.4, diminta hubungi pejabat dalam masa 10 hari, tetapi secara lisan sebulan lebih baru boleh ambil kad baru.
Kemudian seorang warga emas dari Ampang pula diminta mengutip sebelum satu bulan dari tarikh membuat gantian kad pengenalan CIP/KAD ROSAK. Sebenarnya bukan rosak, saja nak buat kad baru. Orang tak ramai, tak sibuk lagi.
Seorang warga emas lagi diminta kutip kad setelah 4 bulan dari tarikh buat gantian kad pengenalan, gantian dibuat bukan kerana rosak, tapi nak dapatkan MyKad yang terkini .
Jadi, kita janganlah dengar laporan berita akhbar media perdana kerana apa yang dilaporkan itu tidak tepat, ia hanya retorik para wartawan yang tak reti apa ketika melaporkan bahan. Laporan hanya bersifat mengampu.
Kemudian baru hari ini (Rabu) saya terbaca laporan mengatakan ada TASK FORCE yang bertindak untuk daftarkan warga asing dan dapat Mykad. Jika begini, mungkin ada udang di sebalik batu mengapa MyKad yang ada hari ini perlu ditukar lagi kepada yang paling canggih.
Setahu saya, di Malaysia ini tidak ada yang canggih. Tengok duit syiling baru, tak boleh digunakan untuk bayar pada mesin apa pun. Kena tukar mesin lain baru boleh. Duit kertas RM5 tak usah kiralah, terlalu sensitif, mudah koyak, sebab kertas tidak canggih. Kita sahaja yang perasan canggih.
Kita bimbang MyKad baru pun macam tu juga, khabarnya liut sikit. Jika benarlah ada projek menarik seramai mungkin warga asing buat Mykad bagi tujuan mengundi UBN maka malanglah. Rakyat Malaysia ditipu hidup-hidup. Inilah yang dikatakan kelompok yang sanggup menjual tanah air apabila terdesak.
Kepada kelompok ini, sedarlah, jika selama ini anda bermati-matian mengenai perjuangan Melayu di dewan PWTC, dan kini jika benarlah Penasihat Khas PM, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Timbalan Pengerusi SPR, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, dan beberapa pegawai JPN terlibat dalam usaha pengkhianatan ini, sudah sampai masanya kita mengundi Pakatan Rakyat.
Golongan ini jika diberi kemenangan dibimbangi., secafra perlahan-lahan akan menggadai negara kepada rakyat asing. Sedangkan kita umat Melayu masih asyik dengan hiburan, artis, selebriti, mentor, program realiti dan macam-macam. Warga asing jadi Malaysian kita tak sedar![]