Wednesday 4 April 2012

AJARAN SESAT ATAU ORANG BINGUNG?

ELOK dipaparkan kriteria ajaran sesat menurut versi Majlis Ulama Indonesia[MUI], kerana apa? Kerana kalau kita semak semula senarai ajaran sesat yang dicatat oleh Jakim, memang kebanyakannya ada ajaran "import" dari belahan Nusantara.
1.Mengingkari rukun iman dan rukun Islam.
2.Meyakini dan atau mengikuti akidah yang tidak sesuai dalil syar'i -al-Quran dan as-Sunnah.
3.Meyakini turunnya wahyu setelah al-Quran.
4.Mengingkari otentisitas dan atau kebenaran isi al-Quran.
5.Melakukan penafsiran al-Quran yang tidak berdasarkan kaedah tafsir.
6.Mengingkari kedudukan hadis Nabi sebagai sumber ajaran Islam.
7.Melecehkan dan atau merendahkan para nabi dan rasul.
8.Mengingkari Nabi Muhammad s.a.w. sebagai nabi dan rasul terakhir.
9.Mengubah pokok-pokok ibadah yang telah ditetapkan syariah.
10.Mengkafirkan sesama muslim tanpa dalil syar'i. [sumber Republika Online, 2007]
Masih dari sumber yang sama, kriteria di atas tidak boleh digunakan sebarang orang dalam menentukan suatu aliran itu sesat dan menyesatkan atau tidak. Sebelum dikatakan sesat, hendaklah diteliti dahulu, dapatkan data, keterangan, bukti, dan saksi tentang faham, pemikiran dan aktiviti kumpulan atau aliran tersebut. Kemudian panggil ketua kumpulan itu dan saksinya untuk mendapatkan rincian perkara yang dipertikaikan itu. Aliran sesat tidak boleh diatasi dengan cara kekerasan sehingga merosakkan harta benda dan sebagainya. Yang lebih penting penulis ingin menambah, kesesatan itu tidak diukur dari aliran parti politik penguasa sehingga menimbulkan kegelisahan umat. [Untuk bacaan lanjut termasuk definisi ajaran sesat versi Malaysia, bolehlah baca Ajaran Sesat Mengenali jalan Yang Terpesong, Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, PTS Publications, 2007]
Kebetulan baru-baru ini Harian Metro, ada menyiarkan kisah Ayah Pin yang dikatakan pergi berubat dan bertemu dengan adik-beradiknya di sebuah negeri. Berdasarkan maklumat daripada buku Ajaran Sesat [2007] ini disenaraikan apa sahaja tindak-tanduk luaran dan setakat yang dicatat tentang kesesatan Ayah Pin ini. Jika sebelum ini Ayah Pin terkenal dengan "kerajaan langit"nya, maka dalam senarai itu tidak menunjukkan di mana kerajaan yang dimaksudkan itu.
Sekali imbas, bahawa tindak-tanduk Ayah Pin ini hanya bersifat "ugal-ugalan" dan tidak serius dalam pengamalan yang kita sifatkan sesat. Dia seperti bermain-main dengan rekaan minda yang entah dipengaruhi oleh apa, sama sekali tidak diketahui orang luar. Sebab dari pengalaman penulis mengunjungi Rasul Melayu di Hulu Klang, dalam tahun 80-an dulu, dia menjadi tidak keruan kerana dikelilingi oleh "sahabat ganja" dan ketika dia menuturkan sesuatu perkara, jelas nampak berdengungnya pemikiran dia. Dan saya dapati dia tidak ada pengikut, hanya syok sendiri dalam rumah dan terpencil dari masyarakat. Puncanya kerana dia mempunyai pendapat dan pemikiran sendiri yang dirasakan betul apabila dipengaruhi oleh bahan yang mungkin sejenis ganja.
Baiklah, itu Rasul Melayu yang ketika saya kunjungi [sebagai wartawan majalah], saya katakan dia tidak ada pengaruh dan mengajar orang kerana dia tidak memiliki buku atau kitab-kitab rujukan. Dia hanya memiliki tafsir al-Quran keluaran Indonesia. Bagi saya Rasul Melayu itu "mabuk ganja" dan dia merasakan dirinya tersisih dari arus pembangunan, dalam keadaan serba kekurangan, dia protes dalam diri, lantas melahirkan berbagai pemikiran kacau termasuk halusinasi dan entah apa-apa lagi.
Menyemak senarai kebingungan Ayah Pin pula, saya tertarik dengan tindak-tanduk kesesatan lelaki ini. Dia memang lelaki pelik, melakukan eksperimen yang bukan-bukan, mendirikan replika, suka menghias, boleh jadi dia minat landskaping dan macam-macam lagi.
Dia pula mengaku tidak belajar agama, belajar bahasa Arab pun tidak, jadi dia macam orang kampung biasa. Berdasarkan latar belakang begini, dia tidak layak untuk "mengajarkan" sesuatu kepada orang lain, tetapi kalau dia menekuni bidang seni taman, buat ukiran kayu, simen dan batu atau apa sahaja, memang dia ahli. Kemahiran ini mengundang jiran sekeliling untuk bertandang setiap hari, dan ketika itulah dia menuturkan sesuatu yang menyimpang dari kebiasaan.
Bagi orang yang mengalami tekanan mental, mereka memang biasa menuturkan kalimat-kalimat yang bertentangan dari kebiasaan kalau tidak dianggap berlawanan dengan aqidah. Orang sakit mental memang begitu, ketika melihat keadaan wad psikiatri di Hospital Kuala Lumpur tidak lama dulu, saya dapat bermacam hal boleh dilihat, termasuk solat kilat, tidak mengadap kiblat, azan ikut suka hati, ngoceh, ketawa dan sebagainya.
Jadi, dalam kes Ayah Pin ini, dia mungkin termasuk dalam kategori bingung. Dia bingung dengan apa yang dituturkan. Mungkin dia tidak tahu apa yang dituturkannya. Begitu tindakannya yang pelik dan menggambarkan ketidakberesan pemikirannya.
Contoh, seperti yang disenaraikan (buku, 2007) dia kata bahawa tidak ada orang lain selain Ayah Pin dan Nabi s.a.w. sahaja yang berguru dengan Jibril. Saya teringat kata-kata begini juga ada dalam ajaran Salamullah di Jawa sana, mereka juga ada hubungan dengan Jibril palsu. Kemudian Ayah Pin mendakwa bahawa al-Quran itu cantuman dari Zabur, Taurat dan Injil.
Ada hal pelik yang dilakukan oleh Ayah Pin, dia meminta pengikutnya [tak ramai mana pun] membakar al-Quran dan kemudian abu kertas itu dilumurkan ke badan Ayah Pin. Buktinya, kenapa perlu pergi ke Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan, untuk ritual bakar al-Quran untuk dapatkan debu bagi dilumur ke badan Tuk Ayah Pin? Nampak sangat ini permainan perdukunan dan orang bingung.
Bukankah ritual karut begini menggambarkan individu yang sedang bingung mencari arah tujuan. Ritual ini menyamai ritual para dukun yang mengamalkan sesuatu ilmu yang diperoleh entah melalui mimpi [itupun didakwa mendapat wahyu di Jawa sana].
Adakah Ayah Pin terpengaruh dengan ajaran perdukunan? Mungkin bahagian ini tidak diteliti ketika menyiasat latar belakangnya.
Kemudian dia kata daripada seseorang itu berzikir dan solat, lebih baik menyebut-nyebut nama Ayah Pin. Begitu juga kena bayangkan Ayah Pin berada di depan setiap kali solat. Ketika mengucap dua kalimah syahadah, iktikadkan dalam hati kepada Ayah Pin. Kemudian dakwaan yang mengatakan Tuk Ayah ini tahu hal ghaib, tahu seseorang yang meninggal itu akan ke neraka atau ke syurga. Ini semua pertuturan orang linglung, atau orang bingung.
Barangkali jika Tuk Ayah yang mengarut dan bercakap ikut sedap hati ini dibiarkan, nescaya namanya tidak popular sehingga masuk carta salah satu ajaran sesat terkenal di Malaysia. Akan tetapi jika dibiarkan, jiran-jiran yang kurang ilmu mudah percaya, sanggup lepak di rumahnya setiap hari dan mendengar ocehannya yang tak tentu hala.
Gambaran orang yang bingung dan mengoceh ini juga terdapat di Jawa sana. Ramai yang mengaku jadi Nabi dan membuat ajaran baru yang pelik. Jika di Malaysia orang yang mendirikan ajaran karut ini tidak berpendidikan tinggi, setakat sekolah rendah atau sekolah agama tak habis, di sana yang belajar tinggi dan mahir bahasa Arab pun ada yang ngoceh dan bingung macam Tuk Ayah.
Contoh ajaran dari perguruan Mahesa Kurung al-Mukaramah, pimpinan asy-Syayidi al-Habib Attros al-Kindy, nama begini kalau di Malaysia sudah dikira hebat dan orang mengatakan ia adalah ilmuan yang hebat, dari ahlul bait atau berbagai keyakinan dari pendukungnya. Akan tetapi Si Habib ini bergerak di bidang perdukunan. Itu sebabnya apabila Tuk Ayah lumur abu bakaran al-Quran di hutan, ia memperlihatkan ciri-ciri perdukunan.
Bilangan Nabi palsu di Jawa sahaja lebih dari sedozen dengan menggunakan nama yang hebat-hebat. Dibimbangi kalau nama ini dipasarkan di Malaysia, orang yang kurang ilmu akan mudah terpengaruh. Seperti kes ESQ yang dari awal lagi saya memang tidak tertarik pun dengan kursus anjuran mereka, tetapi akhbar SINAR HARIAN yang editornya pun kita kenal, malah menganjurkan stafnya mengikuti kurus ESQ yang disyarahkan oleh bapak.....[tak perlu sebut namanya].
Masyarakat Malaysia mudah terpengaruh dengan nama dan gelaran hebat. Mudah terperangah mendengar perkara-perkara yang dianggap baru. Akhbar tabloid itu bukan tidak memuji, bahkan ditemu ramah para peserta kurus yang masing-masing memuji akan isi bahan ESQ. Ketika itu saya sudah tidak sedap hati kerana orang kita mudah terpengaruh jika ada perkataan yang pelik-pelik, hebat dan berbau intelektualisme.
Kenapa? Saya melihat, banyak ajaran sesat berakar umbi dari sana. Dibawa masuk ke Malaysia dan kemudian disebarkan.
Contoh (merujuk senarai Jakim): silat pukulan jarak jauh, ilmu tenaga dalam dan hikmat, asal wujud Garis Laksamana, Jawa Faradin, ajaran Wali Sembilan, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol dan banyak lagi.[]
 

No comments:

Post a Comment