Monday 9 April 2012

ADA-ADA SAHAJA: DARI PENGASIH DAN KERIS GOYANG GERUDI

PENGASIH
Pengasihlah yang paling banyak dijaja orang pintar. Ada banyak bentuk pengasih, atau minyak pengasih yang dijual oleh kalangan cerdik yang mendakwa sebagai spiritualis, nama lain bagi bomoh atau dukun pengasih. Zaman sudah berubah, rasanya panggilan bomoh tidak sedap didengar, maka lahirlah spiritualis yang menawarkan minyak pengasih atau mantera pengasih. Ada yang mendakwa memiliki ilmu pengasih Bung Karno, bekas Presiden yang dikatakan hebat dalam soal wanita. Bahkan Bung Karno dulu diceritakan ingin memikat seorang juruhebah wanita RTM, hanya ada pihak tertentu menghalangnya. Selain pengasih antara lelaki dengan perempuan, baik pengasih untuk mencari pasangan atau sekadar suka-suka, ada juga pengasih pelik, iaitu pengasih bagi golongan gay, homoseks dan lesbian. Dengan sarana benda pengasih ini pasangan sejenis ini tidak akan berpaling tadah kepada orang lain, dia akan setia kepada anda.
Dalam bab pengasih ini, ada banyak benda pengasih. ada yang dinamakan pelet pengunci sukma, ada aura shinta, cakra aura pemikat, dan macam-macam. Ada juga menyarankan ayat al-Imran: 31. Ada spiritualis menawarkan susuk ghaib kerana ia memancarkan aura pengasihan luar biasa, menundukkan dan meluluhkan hari pasangan ataupun bos. Khabarnya ada juga orang politik gunakan pengasihan supaya namanya tidak tercicir dipilih sebagai calon pilihanraya nanti.

ASMA SUNGAI RAJA
Nama ini masih pelik bagi kita, tetapi ada agen di Klang yang menawarkan ilmuan seperti ini. Ilmu ini canggihnya mempunyai bermacam kegunaan, dan kalau nak disenaraikan hingga seratus lebih kegunaannya. Walaupun sekadar mengamalkan apa yang disuruh, seperti doa dan manteranya, ia boleh dipelajari secara jarak jauh. Memang canggih sekarang. Pokoknya kalau ada duit. Tidak mahal, mahar tak sampai sejuta Rp. dan yang special sahaja harganya lebih. Peliknya ilmu ini tak boleh dibaca dalam rumah, nanti dinding rumah retak tak tentu fasal, barang-barang elektrik dalam rumah pun boleh kacau jadinya. Kalau naik kenderaan jangan baca mantera atau doanya, takut tayar kereta boleh kempis, atau tiba-tiba meragam. Inilah kekuatan mistik pada ilmu ini. Tetapi bagi yang minat diberi amaran awal-awal lagi, jangan berbuat dosa besar -zina- kerana ilmu ini akan cair. Dengan ilmu ini, anda akan dikawal harimau putih [jadi-jadian], boleh redah kebakaran, boleh tundukkan musuh, boleh menagih hutang lapuk, selamat dari polis, indera ke-6 lebih tajam, ketika terdesak boleh menghilang [penglimunan], mampu buat pengasih yang dahsyat [mungkin lebih hebat daripada pengasih di atas tadi], boleh sedut benda-benda dari alam ghaib, boleh kalahkan musuh dari jarak jauh, dan macam-macam lagi. Ada pula yang nakal mereka kata, kalau dah begitu, bolehlah digunakan untuk pergi ke Palestin sana. Ini para spiritualis kena jawab.

WANG GHAIB
Ilmu ini dijaja oleh spiritualis di mana-mana. Apa maksud wang ghaib ini? Ya, konon wang yang kita belanjakan akan masuk semula ke dalam saku, ada proses ritual 24 jam. Boleh pula ilmu ini dipelajari dari jarak jauh. Peliknya ilmu yang seakan-akan "menipu" para peniaga kecil dan besar ini dikatakan berlaku untuk umum, aman dan HALAL tidak merugikan orang lain, tidak ada risiko dan tumbal. Jika dipasarkan di Malaysia, rasanya berbaris orang nak ilmu macam ini. Duit BRIM RM500 yang dah diberi, masuk semula, begitukah? Oh, tidak. Mungkin hanya cerita para spiritualis, setelah anda dapatkan ilmu ini, anda gagal nak meritualkannya.

REZEKI DARI LANGIT
Berkata pakar ilmu hikmah, bahawa dengan ilmuan ini, tanpa kerja berat [?] banting tulang, peras keringat semua, wang akan datang dari segenap penjuru. Teknik ini gunakan zikir khusus kerezekian. Sesuai untuk yang bermasalah hutang setinggi KLCC, bunga pun tinggi. Begitulah bunyi gendang iklan yang dipalu.

MENCARI BENDA-BENDA PELIK BIN AJAIB
Inilah yang hendak dicari oleh orang yang suka mengumpul benda-benda mistik yang dianggap berguna kerana mereka kenal apa gunanya, sementara kita yang tak tahu, dengar sahajalah cerita karut mereka itu. Apa yang mereka mahu?
1. Mahu ayam hitam darah hitam [dah tentu untuk tujuan melayani jin dan iblis]
2. Ayam hitam, lidahnya hitam dan darah cokelat pekat [untuk kegunaan sama]
3. Batu merah delima, tak payah ditest sampai satu kolah jadi merah, cukup tiga gelas merah pun boleh. Sanggup beli sampai 350 juta Rp. Duit kita berapa?
4. Uncang harimau, benda ini kecil sebesar ibu jari. Boleh dijadikan benda sakti untuk menghilang atau beraksi gaya harimau jadi-jadian, khabarnya nak dijadikan untuk buat jahat pun boleh.
5. Jenglot yang asli [bukan bikinan seniman jenglot]
6. Geliga lipan, konon yang asli boleh tembus pandang [apa lagi nak tengok maksiatlah]
7. Daun sirih hitam.
8. Batu rubah
9. Keris berluk boleh berdiri [lagi bagus kalau boleh menari, menyanyi dan goyang gerudi seperti Inul]
10. Yang anti-antian - anti panas, anti tembak, anti tetak, anti racun, anti rasa, anti cukur
11. Batu permata blue safir, geliga air,
12. Keris cemeti usul [keris yang mempunyai tali dipilin warna hitam seperti pegangan pengemudi kuda kepang - keris ini pernah saya temui, pernah saya sentuh, ambil fotonya, dan sayang sekali semuanya sirna].
Benda mistik yang disebutkan ini bukan saya yang mahu, tetapi ia memang sangat dicari oleh kalangan spiritualis di mana-mana. []

No comments:

Post a Comment