Thursday 28 March 2013

BUBAR: ADA BAIKNYA SAMPAI TAMAT TEMPOH

Barangkali rakyat boleh belajar daripada apa yang berlaku sekarang.
Apabila parlimen tidak dibubarkan pun, ada negeri-negeri tertentu yang DUNnya terbubar dengan sendirinya. Ini pelajaran dalam bidang politik yang orang tak tahu.
Satu lagi pelajaran dalam siasah yang orang nak tahu, bagaimana kalau Pusat dikuasai Barisan Nasional dan negeri pula oleh Pakatan Rakyat? Rakyat sudah tahu dengan merujuk kes negeri-negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Rakyat juga tahu bahawa tidak semuanya diikuti oleh pihak Pusat apabila negeri-negeri itu dikuasai Pakatan Rakyat bagi menafikan hak-hak tertentu yang sepatutnya mereka dapatkan. Nampak jelas kaedah demokrasi yang kita amalkan ini ada baik dan ada buruknya.
Rakyat juga sudah tahu bagaimana orang politik yang telah lama berkuasa akan menggelabah kalau kedudukan mereka terjejas.
Bayangkan, di malam atau di pagi hari keputusan pilihan raya itu diketahui, sana-sini sibuk kalangan mereka mengatur siasat untuk buat "kerajaan campuran" bagi menyelamatkan kedudukan mereka. Mereka lupa bahawa golongan yang hendak diajak menyertai kerajaan itu adalah dari pihak musuh politik.
Inilah yang terjadi pada tahun 2008.
Rakyat juga tahu bahawa mana-mana orang politik boleh gunakan kedudukannya untuk mendapatkan laba, dengan cara "menjual kerusi" dengan nilai tinggi sampai jutaan ringgit. Inilah masanya hendak dapatkan duit sebanyak itu. Kalau kerja biasa jangan harap nak rasa. Masa terjadilah peristiwa lompat si katak lompat yang amat mengerikan suasana politik negara.
Rakyat sudah tahu sepak terajang dalam dunia politik.
Begitu juga rakyat sudah faham, ada kes rasuah yang sengaja dipalitkan bagi mendera seseorang Adun atau MP pun agar mereka beralih arah, dan kemudian kes itu dibersihkan agar menjadi "tidak bersalah" atau tidak cukup bukti!
Kes yang berlaku di Perak itu memang jadi bahan rujukan kepada sesiapa sahaja hendak menulis tesis tentang kecelaruan dalam berpolitik secara Malaysia.
Rakyat juga tahu bahawa orang yang melakukan kesalahan jenayah tidak semestinya mereka akan berada di dalam kurungan. Politik boleh mengubah segala-galanya.
Rakyat pun sudah faham, beruntunglah jadi orang politik yang berbaik dengan pihak Pusat kerana sebarang masalah boleh dirujuk, sebarang hal yang boleh memudaratkan diri dalam politik juga boleh dipulihkan menjadi biasa-biasa sahaja.
Seperkara lagi, rakyat pun sudah jelak dengan cerita video seks. Lagipun pelakon dalam video itu hanya melibatkan tokoh dari Pakatan Rakyat, seolah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin dalam PR ini berbakat besar dalam bidang lakonan.
Hanya orang Melayu hairan, apa hukumnya menonton video seperti ini? Mengedarkanya dan menjadikan ia sebagai "bahan bukti" untuk mengaibkan seseorang? Bab ghibah ini perlu dipelajari sedalam-dalamnya oleh orang Melayu.
Betul kata orang kita, Melayu hanya faham agama setakat Maulidul Rasul, Israk Mikraj, solat Hari Raya Aidul Fitr, solat Hari Raya Qurban, solat Jumaat seminggu sekali [itupun ketika kutbah sibuk tengok FB, twitter dan sebagainya] manakala solat jenazah untuk ustaz-ustaz sahaja. Kemudian orang merasa cukup beragama tatkala menghadiri pembacaan Yasin dan Tahlil, merasa cukup beragama dengan berarak pakai baju Melayu sempena hari tertentu yang dirayakan, kemudian buka baju tuju panggung tengok wayang, atau pergi karaoke, atau dating dengan pacarnya. Sesuatu perlu diperbetulkan agar persepsi mereka tidak bercempera.
Sekarang orang bercakap tentang bubar Parlimen. Bila agaknya. Jangan ditanya lagi. Ia akan bubar dengan sendirinya. Ini mungkin sebagai kaedah pembelajaran untuk memahami politik yang sebenarnya. Ada lagi perkara yang rakyat beruntung dengan isu ini, cukuplah kita paparkan setakat ini sahaja. Wallahu a'lam. []

CERITA MENGARUT SI UMUR PANJANG

Seorang lelaki yang terlalu tua dikatakan berumur panjang sampai seratus tahun lebih gara-gara kepandaiannya menyelam ke dalam air untuk menangkap ikan dengan kedua tangannya. Dia menyelam tanpa gunakan alat apa pun. Jangan sebutlah soal pancing, tangguk, jaring, bubu, tempang, gewang dan sebagainya.
Mbah berusia lanjut ini menceritakan dia pernah mengalami kejadian misteri ketika tebing sungai runtuh kebetulan dia sedang menyelam mengejar ikan. Bagai memerang dia menyelinap dan kemudian konon memasuki dunia misteri.
Di dunia misteri itu dia sudah lupa dengan ikan yang hendak diburu, sebaliknya ketika itu satu transformasi telah berlaku secara keseluruhannya.
Alam pun berubah, dia berada di tengah kumpulan bidadari yang cantik-cantik belaka. Maka di dunia sana itu dia dilayani bagai VIP duniawi.
Maka dia dihidangkan dengan minuman yang memabukkan, dan dihidangkan dengan layanan perempuan cantik bak bidadari [tetapi tidaklah secantik bidadari syurga seperti yang diterangkan dalam al-Quran dan Hadis].
Lelaki ini berehat di alam sana dan melayani perempuan cantik itu seorang demi seorang. Dia sudah mabuk, maka ikut sahajalah jerat-jerat syaitan. Kebetulan wanita cantik yang dia temui itu adalah "tentera-tentera" syaitan belaka. Dia lupa segala-galanya.
Di daratan sana, orang ramai menunggu. Sudah dua jam. Lelaki tua itu tidak ditemui.
"Ya, apa lagi? Pasti orang ini sudah mati lemas kerana tebing sungai runtuh tadi!" kata seorang lelaki yang berada di tebing sungai. Ada yang menggagau dan cuba menyelam untuk mengesan di mana mayat lelaki itu tersangkut.
Untuk dijadikan cerita yang hebat, tatkala orang sibuk mencari orang yang disyaki mati lemas itu, tiba-tiba lelaki yang disangka mati itu keluar dari permukaan air. Dia merangkak ke tebing.
Masing-masing geleng kepala. "Hidup lagi rupanya orang ini?" masing-masing meluru dan memeluk lelaki itu biarpun basah pun tidak mengapa.
Maka ketika ditanya itu ini oleh penduduk kampung, lelaki itu pun bersembang megah, dia tidak mengalami apa-apa.
"Tidak ada apa-apa, saya hanya bertemu dengan perempuan cantik dan siap melayani saya, dihidangkan dengan makanan dan minuman di sana!" kata lelaki itu sambil tersenyum.
"Orang risau kamu tak timbul-timbul tadi, kok kamu cerita perempuan cantik?" marah Bik Suriyem kepada lelaki tua yang juga jadi jirannya itu.
Akhirnya cerita kehebatan pakcik yang menyelam tangkap ikan, selama dua jam menyelam tak timbul, ia sudah dijadikan cerita yang mencarik adat.
Memang orang tua ini hebat. Dia punya ilmu yang perlu dipelajari oleh anak-anak muda. Tetapi orang tua itu kata, dia tak ada ilmu apa. "Semuanya kebetulan, ilmu yang saya punya adalah bagaimana tangkap ikan sambil menyelam!" itu sahaja yang dia kata.
Biarlah orang buat tafsiran sendiri.
Cerita dia tenggelam sampai dua jam itu sudah dilupakan orang. Bagaimanapun, lelaki misteri ini mendakwa dia pernah bermimpi bertemu dengan dunia yang serupa ketika dia masuki dulu. Iaitu ketika dia menyelam dalam sungai. Tetapi kali ini dia tidak menyelam. Dia mimpi.
Mana mungkin orang mimpi begitu tersusun, teratur dari A sampai Z ceritanya. Lainlah mimpi seorang Nabi dan para sahabat yang terdekat. Mimpi pakcik ini boleh dengar, nak yakin jangan.
Dia kata, dalam mimpi kali ini dia jumpa semula perempuan cantik yang bilangannya cukup ramai. Dia dikira hebat kerana dikelilingi perempuan cantik. Ditawarkan minuman dan ditawarkan dakapan serta ciuman bernafsu. Maka pakcik ini tenggelam di dalam lautan nafsu, itulah pujukan perempuan-perempuan jin yang pernah dia temui ketika menyelam dalam sungai dulu. Itu cerita dah lama.
Kini apabila wartawan tanya apa rahsia panjang umur. Dia pun cerita tentang pengalaman mengadakan hubungan badan dengan perempuan jin. Bukan seorang, malah sampai berpuluh orang! Maka, mungkin orang tidak dapat menangkap mengapa orang tua ini ngoceh begitu sekali?
Menurut kepercayaan spiritual di kalangan orang yang menekuni bidang ini, setiap kali pakcik "gatal" ini mengadakan hubungan seks dengan perempuan jin [yang dia kata bidadari itu] maka usianya berganjak beberapa tahun. Jadi kalau satu orang usianya tambah 5 tahun misalnya, kiralah berapa kali dia mengadakan hubungan badan dengan makhluk syaitan itu sampai dua sesi? Pertama ketika dia disangka mati lemas. Kedua dia mimpi ketika tidur di rumah. Memang ada di kalangan tukang cerita yang mengaitkan usia manusia konon boleh diganjakkan kerana hubungan karut seperti yang diceritakan.
Apa pun ini bukan fakta untuk dijadikan ikutan. Ia hanya sembang pakcik ini bagi menunjukkan bahawa dia adalah lelaki yang hebat di antara yang terhebat dan usianya sangat lanjut. Ada yang kata sampai 130 lebih?
Wallahu a'lam. [Misteri Bil.555, 2013, dengan penambahan watak sampingan dari penulis]. []

Wednesday 27 March 2013

BERKAWAN DENGAN MAKHLUK ASING, BENARKAH?

Anda mungkin pernah menyaksikan filem garapan Steven Speilberg, EXTRA TERRESTRIAL [ET] yang pernah ditayangkan dulu. Buku-buku yang memaparkan makhluk pelik ini juga diterbitkan di sana-sini. Jadi kalau kita sebut bahawa makhluk halus yang hendak disebutkan ini menyerupai watak dalam ET itu membolehkan sesiapa sahaja menggambarkan bagaimana rupanya.
Kisah ini merujuk kepada filem rekaan itu yang bersentuhan tentang makhluk asing tadi.
Manusia memang suka meneroka yang baru. Sudah puas berkawan dengan manusia, mereka mahu berkawan dengan jin pula. Sudah puas dengan jin hendak berkawan dengan syaitan [sepatutnya kita usir dia dengan ayat-ayat al-Quran yang telah diajarkan]. Sudah puas berkawan dengan syaitan hendak cuba pula berkawan dengan Iblis termasuk Ifrit sekali [itupun kalau orang itu sanggup].
Kekadang, perangai jahat manusia seperti syaitan dan Iblis itu jadi pengibaratan. Kalau sesiapa berkawan dengan orang yang berperangai syaitan dan Iblis, maka orang itu mendapat keseronokan baru, menerima dosa yang lebih hebat dan parah lagi. Atau kerana ingin menambahkan koleksi dosa yang kian sarat.
Baiklah, di suatu tempat ada pula orang yang mendakwa dia boleh berkawan dengan makhluk pelik lagi asing yang rupanya serupa dalam watak filem ET. Macam tahu-tahu sahaja, agaknya, makhluk halus juga tengok wayang sekali bersama kita, setelah melihat, mereka pun menyamar sebagai makhluk yang serupa.
Seorang lelaki yang suka berkelana ke kawasan gunung, konon untuk duduk menyendiri dan memikirkan hal ehwal hutan, dia telah bertapa sampai beberapa bulan di Gunung Sumbing dan Gunung Dieng [di Jawa sana]. Sudah tentu kita tak sanggup buat begitu.
Konon ketika bertapa di gunung itu banyaklah makhluk halus yang mendekati diri orang itu dan ingin berkenalan dengannya. Ada yang dia boleh nampak makhluk itu dan ada yang bagai desiran angin angin. Hal ini sukar hendak diceritakan bagaimana situasinya.
Yang dia boleh lihat dengan mata kasar itu adalah dari ridha Allah s.w.t. Begitulah penjelasan orang itu. Dia juga selesa dipanggil ustaz.
Ketika di Gunung Sumbing, dia telah berkenalan dengan makhluk halus menyerupai makhluk dalam filem ET,  dia namakan makhluk itu sebagai Kluwuk.
Nama ini belum popular. Jangan nanti ada pembikin filem kita buat filem seram berjudul KLUWUK sudahlah.
Bagaimana rupa Kluwuk? Seperti watak dalam ET, begitulah rupanya. Matanya besar, leher jinjang, kaki pendek, tangannya panjang dan berkepala botak. Nak gambarkan bagaimana rupanya, cuba kenang semula filem garapan Steven Speilberg berjudul CLOSE ENCOUNTER [kalau tak salah penulis].
Lelaki yang pernah bertapa di gunung itu cerita, makhluk bernama Kluwuk itu sentiasa mendampinginya walau ke mana dia pergi. Pendeknya dia boleh ajak "budak" itu berjalan-jalan makan angin dan pergi ke mana sahaja. Bukan main kamcing keduanya. Kalau tak datang pun, "budak" itu boleh dipanggil supaya datang segera.
Lelaki yang orang sekeliling panggilnya sebagai ustaz itu mendedahkan kehebatan dirinya bahawa dia telah berkahwin dengan 17 jin perempuan -- cantik-cantik semuanya [cantik mengikut ukuran ustaz ini sahaja, kena faham tu].
Wah! Hebat. Ketika majlis "perkahwinan" itu diadakan, budak Kluwuk itu pun datang sama-sama meraikannya. Tetapi ini resepsi perkahwinan di alam mereka, alam bunian yang kita selalu sebut di Malaysia.
Apa kegemaran budak Kluwuk?
Katanya, Kluwuk suka makan pisang raja, pisang ambon dan hisap rokok Gudang Garam!
"Budak" ini tidak mahu makan buah-buahan lain, janganlah belikan Kluwuk anggur, epal, aprikot, betik, durian, manggis dan sebagainya. Ini "budak" jelmaan hasil daripada idea Steven Speilberg. Mungkin makhluk halus juga tengok wayang di panggung dan dapat idea agar meniru rupa dan bentuk watak dalam filem itu. Maka lahirlah Kluwuk.
Lelaki tadi, berkahwin dengan ramai isteri dari jenis jin [bunian], semua isteri-isteri itu boleh disuruh buat itu dan ini termasuk mendapatkan duit. Hebat juga lelaki itu kerana mencarik adat, mempunyai isteri "ghaib" yang ramai.
Kluwuk yang suka ikut dia tidak boleh buat apa. Hanya berkawan dan tumpang makan free sahaja. Kluwuk itu tidak ada jantina, bukan jantan dan bukan betina. Ia berbeza jika dibandingkan dengan jin biasa.
Apa faedahnya berkawan dengan "budak" serupa makhluk ET itu? Dia kata, walaupun makhluk ini tidak boleh tolong apa benda, ada kepintaran lain, Kluwuk boleh ditanya tentang fenomena alam ini. Kalau gitu dahsyatlah budak ini. Jabatan Kajicuaca kena dapatkan "seekor" budak jenis Kluwuk untuk ditanya mengenai fenomena cuaca dan gempa bumi atau tsunami. Orang yang berkawan dengan Kluwuk kata, "budak" Kluwuk itu ramalannya akurat!
Menurut kata ustaz itu, makhluk serupa watak ET itu bukannya makhluk UFO dari planet luar. Ia masih tinggal di bumi juga macam jin. Ia jin yang khusus dan bukan jin biasa. Konon jenis ini banyak tinggal di kawasan pergunungan di China sana. Akan tetapi jangan fikir ada banyak Kluwuk di seluruh dunia ini, sebab ada kira-kira 100 ekor sahaja.
Kelebihan makhluk macam ET ini adalah bergerak dengan pantas dari satu tempat ke tempat lain. Dia bergerak ikut angin. Tidak ada siapa nampak kalau ia bergerak bersama angin -- kecuali orang macam ustaz tadi [?].
Bagaimana ustaz tadi boleh berkawan dengan "budak" persis watak dalam filem ET itu? Dia kata hanya dengan bersemedi [kaedahnya] dan dengan kekuatan doa. [Misteri, Bil.555, 2013].

Tuesday 26 March 2013

MITOS NAGA JADI TETAMU PAK KIAYI

Hujan lebat dan kilat, petir sabung menyabung. Kalau dalam cerita zaman dulu, itu adalah tanda-tanda ada sesuatu yang berlaku. Pengarang zaman dulu menjadikan ia sebagai mukadimah bagi menggambarkan kehebatan sesuatu, umpamanya ketika itulah konon lahirnya seorang putera atau puteri raja. Kalau lelaki digambarkan ketampanannya, kalau perempuan digambarkan kecantikan yang tiada bandingannya walaupun ia tidaklah tampan dan tidak cantik mengikut ukuran zaman sekarang.
Nah, ada cerita dari hujan lebat dan petir sabung menyabung tadi di suatu tempat.
Ceritanya ketika itulah, dari kejauhan seseorang terpandang benda pelik berputar-putar dan bertembungan di langit. Dan kemudian ia semakin mendekat, tepat di atas bumbung rumah seorang kiayi. Disebabkan kiayi itu bukan orang lain, melainkan Sang Guru yang telah memberikan seberkas ilmu, maka yang melihat tadi tidak lelap tidur memikirkan hal pelik yang berputar-putar di angkasa dan kemudian lenyap di atas bumbung rumah itu.

Apa benda yang berputaran itu?
Di zaman moden sekarang, orang tak peduli ada hujan lebat atau petir pun. Semuanya lepak dalam bangunan  kerana hujan lebat. Mereka tidak melihat apa yang ada di langit. Tidak melihat pun kilat yang memancar sebelum dentuman menggelegar bumi.

NAGA
Apa yang dilihatnya? Orang itu mendakwa dia melihat dua ekor naga!
Siapa pun di dunia ini tak pernah tengok naga yang hidup. Ada tak adanya kita tengok gambar naga, tengok ukiran berbentuk naga yang menghias rumah-rumah ibadat orang bukan Islam. Lingkaran naga dengan mata besar melotot, lidahnya terjulur, itu adalah gambaran pelukis sahaja. Hakikat naga sebenarnya orang tak tahu.
Kisah naga bukan tidak ada yang mengaitkannya dengan dunia luar biasa.
Dunia mistikal yang orang biasa tak fikir apa pun tentangnya.
Maka orang yang melihat naga melingkar di langit itu kemudian menemui Sang Guru yang dianggap sebagai gurunya Syareatul Khotam.
Kenapa orang ini begitu risau terhadap Sang Guru kerana ada naga menari di atas bumbung rumahnya?
Dia risau kalau naga-naga itu membawa bencana atau alamat tak baik kepada Sang Guru.
Akhirnya, dia mendapat jawapan yang menyegarkan dari mulut Sang Guru.
Kata Sang Guru ketika hujan lebat dan petir berguntur itu, dia telah didatangi oleh tetamu asing, dua ekor naga yang kelihatan di langit itu.
"Aku dikunjungi dua tetamu istimewa," ujar Sang Guru sembari senyum. "Mereka berdua adalah makhluk suruhan dari Puteri Bilqis Alamul Azrak! Keduanya datang atas arahan puteri bagi melihat keadaanku sekarang. Keduanya mengenalkan diri sebagai Naga Tirta!"
Mendengar cerita Sang Guru, maka bertambah pelik dan kacaulah jiwanya.
Puteri Bilqis atau Puteri Balqis?
Adakah Puteri Balqis dari Saba seperti yang diceritakan di zaman Nabi Sulaiman a.s. itu?
Kemudian disebut Alamul Azrak, ini adalah istilah dalam dunia kemistikan yang tidak dapat digapai oleh orang biasa melainkan oleh Sang Guru itu sahaja.
Kalau benar "naga" itu datang atas perintah Puteri Bilqis, apakah ia ada kaitan dengan Puteri Balqis dari Saba? Sedangkan keadaan di Yaman sekarang pun tidak berapa aman, ada sahaja gangguan dari puak-puak Syiah Rafidhah, elok benar kalau "naga" itu membantu mengalahkan puak-puak Rafidhah itu.

ALAM AZRAK
Cerita bertambah pelik lagi kerana, konon dua tetamu yang datang ke rumah Kiayi itu datang dari negeri jauh dari alam Azrak.
Konon di alam sana itu, naga-naga hidup berdampingan dengan manusia [mulukul ardhi]. Ia adalah haiwan suruhan puteri.
Naga ini konon tinggalan dari zaman Nabi Sulaiman a.s. masa silam. Ia merupakan makhluk siluman dari keturunan nenek moyang Purwacarita awal [ maksudnya zaman sebelum Nabi Sulaiman a.s.].
Untuk mengetahui cerita yang berbelit macam ular naga ini, kita kena melongok zaman prasejarah, kerana pada masa itu konon ada empat jenis naga yang popular.

NAMA NAGA
Di kalangan orang Jawa, naga-naga itu diberi nama  Lewang, Tanun, Taji dan Seleman.
Tidak tahu dari kitab kuno mana ada penceritaan tentang penjenisan naga ini.

[1]. Dikhabarkan, yang Lewang itu sudah ada pada zaman Nabi Sulaiman a.s., dari keturunan naga tanpa sayap, berada di bumi lapisan ke empat dan ia akan muncul sebelum  kiamat kelak. Naga jenis ini melahirkan keturunan setiap seribu tahun sekali.
[2]. Naga jenis Tanun pula kononnya ada kaitan dengan penciptaan jin Irjis. Ia bersayap kecil dan boleh terbang dengan cepat macam kilat. Jin Irjis ini jenis perosak bumi dan lautan.
[3]. Naga jenis Tajik merupakan makhluk pertapaan. Ia boleh menghancurkan sebahagian dasar bumi. Ia konon dari keturunan bangsa makhluk halus [lelembut] di bawah kekuasaan Nabi Khidir a.s. Naga ini tinggal dalam lapisan bumi ke-4 dan ke-5, ia akan muncul setelah Nabi Isa a.s. turun ke bumi.
[4]. Naga Seleman pula konon lahir sejak zaman purwacarita. Peliknya orang boleh tahu ia berasal dari jenis jin "Togog" yang pernah dikalahkan pada zaman Nabi Sulaiman a.s. Setelah kalah, naga ini dijadikan tunggangan puteri, putera dan para pertapa sakti.

Naga jenis juga disebut sebagai "Mulukul Ardhi" atau penjaga bumi [saya teringat sebuah jurnal terbitan sebuah unversiti di utara yang ada memaparkan kisah naga ini dengan lebih terperinci, sayang saya lupa nama jurnal dan esei yang berkaitan tentang naga ini].

MULUKUL ARDHI
Kenapa jin itu datang menemui Kiayi ketika hujan lebat dan petir sabung menyabung?
Kata Sang Guru itu, ia adalah kunjungan biasa Sang Naga. Itu bagi menggambarkan ada hubungan antara manusia dengan bangsa makhluk halus dari puak Mulukul Ardhi. Kenapa makhluk tak kasat mata ini menemui manusia di bumi sebagai khalifahnya? Konon, seluruh makhluk halus, tak kira apa namanya yang kita biasa sebut, tidak boleh melakukan sesuatu kalau tidak meminta izin terlebih dulu daripada para "Ahlullah Wilayah" -- atau ahli ma'arif bumi.
Kedatangan makhluk ini menurut kalangan yang menekuni bidang ini dianggap sebagai thobbi'iyyah, seperti mengunjungi orang berilmu untuk mendapatkan izin bagi sesuatu perkara, kerana Sang Guru itu adalah "sultan" atau penguasa alam.

Masih menjadi rahsia, ketika ditanya bagaimana Sang Guru boleh kata bahawa naga pelik yang bertukar jadi manusia biasa itu datang dari alam Azrak?
Guru itu kata, apabila orang yang bertanya itu sudah sampai ke tahap memahami makna ROH baharulah dapat memahami kenapa ada manusia boleh berhubungan dengan makhluk yang luar biasa itu. Kata guru, hanya mereka yang faham makna TAUHID akan mudah memahami fenomena mistik ini.
Akhirnya, borak punya borak, Sang Guru pun berkisah, bukan kisah alam Azrak yang memelikkan itu, tetapi tentang apa yang dia amalkan pada masa dulu.

AMAL BACA ASMAK
Dia kata, dia telah amalkan asmak BAHROINI YALTAQIYAN. Amalan ini kata guru ada kaitannya dengan penaklukan seluruh makhluk alam semesta.
Kerana Sang Guru mengamalkan asmak pendek itulah, dia telah dikunjungi "naga mistik" ketika hujan lebat dan petir sabung menyabung.
Tentang asmak ini, tidak ada penjelasan lebih mendalam, apa yang dibaca, apa asmaknya dan kaedahnya secara terperinci. Sanad ilmu ini pun tidak diketahui asal-muasalnya, kecuali dari penceritaan sang murid tentang gurunya yang memelikkan itu. [Disari dan komentar dari Misteri, Bil.555, Ed.20 Mac 2013].

TENGOK SYIAH DARI JAUH [6]

Satu perkara menarik yang perlu orang bukan Syiah tahu adalah tentang kelebihan atau ganjaran yang akan diperoleh oleh penganut Syiah sekiranya mereka rajin jenguk makam-makam tokoh tertentu.
Misalnya, kelebihan kepada penganut Syiah yang menziarahi makam Hussain dan imam-imam lainnya.

Di dalam sebahagian riwayat mereka mendakwa:
"Bagi setiap langkah yang dilangkahkan oleh penziarah ke jalan menuju kuburan Hussain diberi pahala sebuah istana di syurga." [Asy-Syiah wa-Tasyhih 135].

Kemudian ada lagi yang menariknya.
"Sesiapa yang menangis atas Hussain atau berpura-pura menangis, Allah mengampunkan semua dosa-dosanya yang telah lalu dan yang kemudian." [Rijal al-Kasysyi; Bihar al-Anwar 44/287- 283].

Konon imam mereka Jaafar asy-Shadiq ada berkata, "Tak seorang pun yang menggubah syair tentang Hussain, melainkan Allah mewajibkan syurga untuknya dan Allah mengampuninya." [sama di atas, 246].

Berdasarkan riwayat di dalam kitab mereka [Syiah] mereka senang-senang mendapat ganjaran istana di syurga hanya kerana ziarah makam, jika menangis atau pura-pura menangis pun dosa mereka diampunkan, begitu jika mengarang bahasa puitis tentang tokoh bernama Hussain, dapat syurga dan diampunkan dosa-dosanya. Jadi bukan kerana amal yang difardukan, bukan perkara yang wajib dilaksanakan dan bukan kerana mengikut hukum-hukum Allah mereka mendapat ganjaran syurga dan diampunkan dosa melainkan dari amalan ziarah kubur, menangis dan kemudian bersyair puji-pujian ke atas si mati.

Di dalam ajaran mereka, Karbala itu lebih utama jika dibandingkan dengan Makkah, Masjid al-Haram dan Kaabah yang dimuliakan.

"Allah menjadikan Karbala sebagai tanah haram, aman dan berkah sebelum Allah menciptakan bumi Kaabah, dan menjadikannya haram sejak seribu dua puluh empat tahun sebelumnya. Dia menyucikan dan memberkatinya, dia sudah muqaddasah mubarokah sebelum Allah menciptakannya, dan begitu terus hingga Allah menjadikannya seakan-akan tanah di syurga, sebaik-baik rumah tempat singgah, tempat tinggal yang diduduki oleh wali-waliNya di syurga." [Bihar al-Anwar 101/267].

Peri hebatnya tanah Karbala hingga ada riwayat yang mereka cipta, konon Karbala dengan Kaabah boleh berbicara untuk menyatakan kelebihan tanah masing-masing. Mereka mengarang syair yang melebihkan tanah Karbala. Dan ada kesimpulan menarik, "Dari percakapan Karbala dan Kaabah jelaslah ketinggian martabat bagi Karbala."
Sebuah akhbar di Iran, Burjum al-Islam [10Muharram 1366H] memaparkan syair pujian ke atas Karbala. Antara lain pujian itu menyebut tentang pekerjaan tawaf tujuh kali di Karbala lebih bermakna dibanding tawaf di Kaabah. Tujuh lapis langit di Karbala tunduk kerana kelebihannya itu [?]. Cuba bandingkan dengan maksud al-Quran [al-Imran: 96 - 97].

Bagi penganut Syiah, tanah Karbala itu yang ada kuburan Hussain bin Ali bin Abu Thalib r.a. ia lebih mulia jika dibandingkan dengan Kaabah, Masjidil Haram, Makkah, Madinah, Quds dan dari semua negeri yang ada di bumi ini.

Ketaksuban terhadap tanah Karbala ini menyebabkan mereka memiliki turbah Hussainiyah [tanah Karbala] kerana mereka perlu sujud di atas tanah Karbala, mereka mendapat barokah dengan sujud di atas batu atau tanahnya. Jadi tanah Karbala mempunyai kesakralan dan keagungan yang khas. "Sesungguhnya sujud di atasnya adalah lebih afdal kerana kemuliaannya dan kesucian orang yang dikubur di dalamnya." Begitu kata Abdullah ar-Ridha al-Mur'isy as-Saharastany [As Sujud 'ala at-Turbah].

Menyebut tentang tanah, ada satu lagi aqidah yang orang kita tidak tahu.
Umat Syiah menyakini aqidah thinah, iaitu tanah asal kejadian manusia. Mereka meyakini bahawa kebaikan yang dikerja oleh orang-orang Sunni [kita semua] adalah milik orang Syiah. Manakala semua keburukan Syiah dihalakan kepada orang-orang Sunni.

Maksudnya, orang Syiah boleh sesuka hati buat dosa banyak mana pun, kerana semua ini akan ditanggung oleh orang Sunni. Bahawa maksiat dan kejahatan yang dikerjakan oleh orang-orang Syiah adalah berasal dari thinah Sunni, dan apa sahaja kebaikan dan kesalihan yang dilakukan oleh orang Sunni dalah berpunca dari pengaruh thinah Syiah.

Kajian mutakhir membuktikan bahawa ajaran Syiah adalah campuran dari ajaran Yahudi, ajaran Nasrani, ajaran Majusi [Parsi kuno], Rome dan Hindu. Mereka dikatakan telah mencampur-adukkan semuanya dan membuat adunan baru yang dinamakan sebagai Syiah.
Wallahu a'lam. []

Sunday 24 March 2013

MOTIF BUNUH PERLU JELAS DALAM FIKSYEN DAN DI LUAR FIKSYEN

Dalam dunia fiksyen, seseorang penulis perlu menyajikan cerita yang masuk akal apabila memaparkan kes bunuh. Kenapa watak itu perlu dibunuh atau dimatikan. Ketika menulis cerpen, novel, drama bersiri atau filem sekalipun, motif hendaklah ada supaya cerita itu lebih mengesankan.
Itu dalam dunia fiksyen yang boleh dirombak sesuka hati penulisnya. Bagaimana dalam dunia nyata? Bolehkah sesuatu kes bunuh umpamanya tanpa ada motif? Amat janggal kalau kes bunuh tidak ada motif, tetapi di dalam sektor politik, ia menjadi serba kemungkinan.
Kes Juraimi Hussain yang pernah menggemparkan dulu, mengaitkan Mona Fandey memotong 18 kerat Dato Mazlan Idris. Ada motif pembunuhan itu dilakukan.
Begitu juga kes Francis a/l Anthanonasamy, tertuduh membunuh mangsa bagi memenangi loteri. Semua kes ada motif pembunuhannya.
Membangun watak dalam penceritaan memang perkara mudah, begitulah yang selalu disembangkan oleh kalangan novelis muda hari ini. Zaman sudah berubah, kemudahan teknologi yang ada memungkinkan mereka menyiapkan novel setebal 500 halaman dalam waktu singkat.
Yang sukarnya membina cerita yang masuk akal. Kematian watak dalam cerita selalu dikaitkan dengan kemalangan ngeri, mati lemas, barah otak, sakit jantung dan sebagainya. Itulah cara untuk menyimpangkan cerita, agar ia berkembang dengan membawa masuk watak antagonis.
Di luar fiksyen, ada kes pembunuhan yang sampai sekarang masih menjadi bahan bualan orang ramai. Ini memberi gambaran orang ramai sudah cerdik dan ingin tahu apa motif pembunuhan itu. Orang tidak melakukan pembunuhan untuk suka-suka sahaja.
Lihatlah betapa kecohnya dulu apabila ada seorang lelaki mengamuk di Chow Kit, yang kebetulan ketika itu saya berada di Kampung Bahru, Kuala Lumpur. Apa sebab lelaki itu mengamuk gunakan senjata dan melepaskan tembakan rambang? Paparan media langsung tidak menyatakan apa motif "amukan" itu.
Bertahun-tahun cerita amukan itu pendam, orang keliru, mengapa ada watak yang begitu berani melakukan amukan seolah-olah kejadian itu berlaku di Amerika Syarikat.
Setelah suasana berubah, baharulah orang mengetahui apa motif sebenarnya amukan itu. Begitu jugalah orang mungkin merahsiakan mengapa Sultan Mahmud dibunuh ketika baginda dijulang sehingga popular dengan sebutan Mangkat Dijulang? Tidak siapa tahu motifnya kecuali memperkirakan motif umum kerana ia ada kaitan dengan istana. Apabila seorang pembesar negeri melakukan "kerja" membunuh itu baharulah orang tahu apa motifnya [semak Hikayat Siak, 1992, DBP]. Begitu juga motif kemarahan Hang Jebat di istana Sultan Melaka pada masa silam. Apa motif pembunuhan JWW Birch? Semua orang tahu bahawa pembunuhan itu hanya melibatkan politik para pembesar negeri yang berebut harta, yang jadi mangsa rakyat kecil yang diarah untuk membunuhnya dengan habuan duit [sampai sekarang amalan ini masih wujud]. Pembesar negeri menggunakan sihir untuk membunuh orang putih. Segunung kemenyan pun tidak akan mampu membunuhnya kerana semuanya mengharapkan kerjasama "Jin-jin Kerajaan" yang tidak wujud di alam nyata, kecuali supranatural.
Motif pembunuhan adalah pentng dalam cerita rekaan. Filem dan drama tv [tak tengok pun, maaf] turut menampilkan penceritaan yang ada scene bunuh. Ada tujuan. Untuk melencongkan cerita, untuk mengembangkan watak dan merangkaikan jalan cerita. Ada sebab dan akibat. Ada kesan berikutnya, dan ada ending yang menggembirakan penonton/pembaca dan ada ending yang kacau, bahkan tak berkesudahan sehingga menimbulkan tanggapan peribadi ke atas sesuatu perkata.
Kaedah pembunuhan pun beraneka ragam. Terpulang kepada penulis cerpen, novel, cerita filem dan drama melakarkannya dalam bentuk apa pun. Kalau cerita seram sudah tentu ada peranan ahli sihir atau pak dukunnya. Selain pembunuhan yang nyata, jelas, ada pembuktian, pembunuhan dengan sihir agak sukar hendak dibuktikan. Tidak ada pakar "forensik" dalam bidang sihir. Kalau dalam filem kita, adegan bomoh selalu dijadikan bahan penyendal untuk menyelitkan babak komedi, baik komedi bomohnya atau pengikut di sekitarnya. Ada motif dalam tawa.
Kes bunuh yang terjadi di sekitar kita selalu disusuli dengan laporan motif pembunuhan. Akan tetapi tidak semua kes ada motifnya kerana faktor tertentu. Kadang-kadang kita rasa pelik, kenapa perkara begini boleh terjadi? Ada kes yang perlu didedahkan secara leluasa dan ada kes yang perlu disorokkan. Kenapa hendak disorokkan? Wallahu a'lam. []

CAGAR NYAWA KEPADA SYAITAN BOLEH LEPAS

Ada orang yang meminta bantuan kepada syaitan untuk mendapatkan sesuatu [persugihan] maka konon, syaitan yang tidak dapat dilihat penampilannya itu sangup memberikan apa sahaja yang diminta, asalkan ada tumbal atau balasan kepada makhluk itu.
Cerita tentang tumbal ini memberi gambaran bahawa manusia kena tunduk kepada kehendak syaitan tidak dapat tidak.
Tumbal yang biasa disebut-sebut oleh mereka yang mengadakan perjanjian dengan syaitan adalah dengan cara mengorbankan musuh di dunia ini. Cara ini mungkin dianggap selamat kerana tidak melibatkan diri sendiri.
Akan tetapi dalam dunia ini bukan senang hendak cari orang yang dibenci untuk ditumbalkan. Akhirnya orang yang mengikat janji dengan syaitan itu kena tumbalkan ahli keluarganya sendiri secara senyap-senyap, kalau boleh jangan bagi sesiapa tahu kerja jahat yang empunya ilmu karut ini.
Kalau korban ahli keluarga pun tidak sanggup, bolehlah korbankan janin. Bayi dalam kandungan [tujuh bulan].
Andai tidak ada juga, maka kenalah korbankan diri sendiri. Ini seperti orang hendak bunuh diri. Tidak apalah dia mendapat kekayaan agar semua orang puas hati, orang tua, mertua dan ipar duai senyum lebar melihat dia telah berjaya melonggokkan harta kekayaan. Tetapi mereka semua tak tahu, kalau dia telah mencagarkan nyawanya kepada syaitan.
Ada yang mencagarkan nyawanya untuk tempoh 5 tahun, 10 tahun atau 15 tahun. Orang yang menjalin kerjasama dengan syaitan ini sanggup "bunuh diri" mengabdi kepada syaitan. Konon genap perjanjian, syaitan akan "mengambil nyawanya" dan orang itu akan dijadikan budak suruhan dalam dunia syaitan.
Ada orang mengamati kisah ini sebagai keterlaluan kerana ada sikap mengalah kepada jin dan syaitan/iblis, kenapa sebagai makhluk yang berakal tidak melawan sahaja syaitan-syaitan durjana itu?
Contohnya, sesiapa yang sudah nekat buat perjanjian hendak mencagarkan isterinya yang cantik kepada syaitan, maka apabila tempoh perjanjian sampai dia boleh menentang perjanjian itu.
Boleh atau tidak? Jika selama ini kisah-kisah persugihan atau persahabatan dengan makhluk itu memberi gambaran betapa rendahnya manusia di tangan syaitan dan iblis, maka kenapa tidak melawannya habis-habisan? Kenapa perlu tunduk kepada syaitan dan iblis?
Ada cerita menarik apabila seorang lelaki yang hidupnya susah telah menemui penjaga kawasan mistik yang dipanggil Batu Lebar. Dia yang berhajatkan bantuan dari syaitan perlu menyatakan apakah cagarannya agar permintaan itu dipenuhi oleh syaitan?
Orang itu memang sudah tahu risikonya adalah nyawa. Nyawanya sahaja yang boleh ditumbalkan. Dan dia telah menetapkan sekian tahun. Makhluk jahat itu setuju menolong orang itu dengan cara mistik, tetapi cagar nyawa itu perlu ditetapkan tahun dan tarikhnya.
Kalau dia ikat perjanjian [tidak dimatikan setemnya] dengan syaitan untuk jangka masa 10 tahun, dia akan menikmati masa panjang bersenang lenang dengan duit yang banyak. Konon, sebaik perjanjian dimatrikan, sang syaitan pun suruh orang bingung itu mengutip daun kayu yang bertaburan di situ, masukkan dalam guni, pijak sendat-sendat, bawa balik.
Biar orang kata dia sudah gila. Daun kering dibawa pulang, nak buat apa. Konon kerana dia ada perjanjian syaitan untuk dapatkan dana ghaib, maka sebaik sampai rumah, seguni daun itu telah bertukar jadi duit kertas. Maka pengsanlah isterinya melihat duit sebanyak itu. Maklum tak pernah tengok duit banyak [di Malaysia ada orang kaya memiliki wang sampai puluhan billion kerana ada kuasa dan pengaruh; tumbalnya adalah dia dibenci rakyat, sentiasa jadi bahan hinaan, ceritanya berjela-jela, jadi intipan penyiasat asing dan kemudian didedahkan kekayaannya. Ini adalah tumbal juga].
Orang tadi, kini boleh hidup senang, tetapi dia kena buat sajian bagi menjamu syaitan sebagaimana yang diajar oleh jurutunjuknya [paranormal, jurukunci, dukun, pawang].
Lain syaitan, lain pula yang diminta.
Apabila hampir genap 10 tahun, orang yang tadi kutip daun di tengah hutan naik bingung. Sebabnya dia sudah ikat janji, dia boleh hidup selama 10 tahun sahaja, lepas itu syaitan akan ambil sebagai tumbal. Itulah cagaran hidupnya untuk mendapatkan kekayaan atas bantuan syaitan.
Setelah pusing keliling mencari solusi, dia terfikir, kenapa bangang sangat? 10 tahun mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Maka baru dia teringat. Masa yang dilalui itu penuh dengan khayalan, memuja syaitan dan menjadi sebahagian ahli kelab syaitan.
Dia bertemu seorang ustaz. Dia ceritakan apa yang telah dia lakukan. Dia beritahu ustaz apa yang berlaku dulu. Dia sanggup pergi ke tempat mendapatkan dana ghaib di Batu Lebar [Watu Ombo].
Perjanjian dengan syaitan dan iblis itu boleh dibatalkan. Kenapa nak ikut cakap syaitan?
Ustaz pun suruh orang tadi melakukan beberapa tindakan, iaitu:

  • berpuasa mutih [ada mantera dibaca], makan nasi tak berlauk, dan minum air putih sahaja selama seminggu, jika mula Isnin akan tamat Isnin depannya.
  • selama puasa, kena bangun malam, solat sunat, berzikir, berdoa dan membaca al-Quran sampai ke subuh. Tindakan ini secara tak langsung membaiki dirinya yang telah melupakan solat lima waktu selama berkawan dengan syaitan.
  • dia kena berpuasa ngebleng [tak boleh makan minum, keluar rumah, kurangkan tidur, lepak di rumah 24 jam - kecuali ke tandas] selama 5 hari.
  • pada hari ke-5, hari terakhir berpuasa ngebleng itu dibenarkan keluar rumah bagi tujuan darurat, iaitu ingin ke tempat keramat itu dan mahu berjumpa dengan syaitan terkutuk [kalau ada]. Tetapi dia dinasihatkan berselawat dan berdoa di tempat syaitan itu.
Dia pun lakukan apa yang ustaz suruh. Hanya bagi kita di Malaysia, puasa mutih dan ngebleng ini adalah sesuatu yang pelik kerana ia bukan ajaran agama. Puasa menyeksa begitu tidak ada dalam mana-mana kitab agama kecuali dalam ajaran Kejawen.
Lelaki yang hendak menentang perjanjian syaitan ini berwuduk dan mencari kawasan lapang di atas batu yang agar lebar. Dia bentang sejadah, dan mengerjakan solat sunat di situ. Dia duduk bersila dan berselawat berulang-ulang di samping bacaan doa yang lain.
Apa yang terjadi?
Menurut ceritanya, ketika dia beramal begitu, syaitan yang ada di situ kepanasan, terganggu, dan makhluk itu marah bukan main. Barangkali syaitan itu hairan melihat lelaki itu. Selama ini orang yang datang ke situ semuanya ikut cakap syaitan, tetapi yang satu ini bukan main degil, keras hati nak melawan cakap syaitan.
"Kenapa kamu menyusahkan kami? Membuatkan alamku huru-hara, kacau-bilau, panas membahang? Apa yang kamu mahukan?" suara syaitan itu meledak bagai petir.
Lelaki yang telah bertaubat dan telah berubah itu mengadukan halnya kepada syaitan. Dia mahu agar perjanjian yang dulu itu dibatalkan.
Syaitan akhirnya mengalah. Ia terpaksa memenuhi permintaan lelaki itu. Doa dan ayat-ayat yang dibacakan menyebabkan syaitan kepanasan. Ada juga lelaki yang pintar. Dia tidak mahu mengalah kepada perjanjian syaitan. Memang betul dulu dia sudah cagarkan nyawanya kepada syaitan, tetapi apabila tempohnya sudah dekat, ia masih boleh dirayu. Ini hanya perjanjian dengan makhluk, boleh digugurkan jika mahu.
Hanya selama ini manusia tertipu oleh mainan syaitan. Perjanjian apa pun dengan syaitan dipenuhi. Syaitan minta apa sahaja sajian dilayani. Tetapi lelaki yang satu ini setelah merujuk kepada seorang ustaz dia dengan beraninya menentang syaitan di Batu Lebar.
Inilah kejayaan seorang yang menyedari bahawa selama ini dia sudah terikut-ikut rentak para dukun persugihan yang membawanya sampai ke Batu Lebar. Dan di situ dia benar-benar dikelirukan oleh mainan jurukunci yang juga paranormal persugihan.
Kini dia sudah bebas dari gangguan syaitan itu. Biarpun dulu dia sudah cagarkan dirinya kepada syaitan demi mendapatkan kekayaan, masalah ini sudah dapat diselesaikan. Keberanian lelaki ini menentang syaitan mungkin boleh dijadikan teladan kepada yang lain. Wallahu a'lam. []

Saturday 23 March 2013

KARAMAH BUKAN UNTUK KEMEGAHAN

Apabila orang bercakap tentang karamah, mereka akan menyenaraikan beberapa kekaramahan seseorang tokoh yang terbilang. Pencarian ke atas perkara mencarik adat ini begitu digemari sehingga lupa dengan keadaan tokoh sebenar yang dikeramatkan.
Untuk memudahkan kita memahami apa karamah yang sebenarnya, ia mempunyai beberapa ciri penting, iaitu:

  • ia adalah suatu kurniaan Allah s.w.t. dan tidak boleh dipelajari untuk mendapatkan status kekaramahan.
  • ia berlaku sekali-sekala, tidak berulangan mengikut kehendak individu tertentu, atau untuk pamer kepada orang ramai.
  • ia berlaku kepada individu yang terkenal baik, soleh dan mulia akhlaknya. Orang yang bejat akhlak yang suka pamer dan sombong tidak ada karamahnya.
  • tidak boleh dizahirkan oleh pemiliknya untuk tontonan, kalau boleh ia perlu disembunyikan, jangan diceritakan kepada orang lain, ia adalah pengalaman tokoh itu sahaja, dan bukan suatu bentuk kemegahan atau kesombongan.
  • hanya dikurniakan kepada individu yang benar tauhidnya, bertaqwa dan bertawakal kepada Allah.
Lawan kepada ciri tersebut adalah tanggapan bahawa karamah itu boleh dipelajari untuk mendapatkan statusnya, seolah-olah ia suatu gelaran pula. Karamah tidak berlaku pada bila-bila masa seperti orang belajar ilmu sihir. Yang sibuk pamer kelebihan diri itu adalah orang yang rendah akhlaknya, kebolehan yang sedikit dicanangkan lebih agar semua orang tahu.
Lawan kepada ciri karamah tadi, ada juga orang yang belajar bermacam ilmu hikmah yang boleh melakukan beberapa keajaiban sehingga orang menyangka si fulan itu mempunyai karamah. Ini pun suatu tanggapan yang salah. Jadi kesimpulannya, karamah tidak boleh dicari-cari, nak cari karamah seseorang tokoh dalam riwayatnya memang boleh, tetapi masuk akalkah? Dan ia bukan suatu kemegahan. Tokoh sanjungan tidak peduli pun dengan karamah yang ada, hanya pengikut setia sahaja yang melebihkan kisahnya. Wallahu a'lam.[]

INI BINATANG MAKAN NASI BERAKNYA DUIT!

Sekarang agak sukar untuk mencari pedagang ubat kaki lima seperti tahun 70-an, 80-an, 90-an dan 2000-an. Ketika maraknya pedagang kaki lima, bilangan peniaga kaki lima begitu besar bilangannya hingga tak muat lorong dan lokasi yang ada. Di Jalan Melayu, depan Wisma Yakin dan depan Masjid India, pernah dijadikan lokasi peniaga ubat tradisional. Ketika itu ramai yang buka gelanggang, daripada yang jual minyak pengasih, jual benda mistik, jual minyak panas dan bawa ular tedung, jual air jampi dan air Yassin, minyak dhab, cula buaya [?], teras kayu, batu-batu geliga, buntat laut, kayu limpas walang Kalimantan, minyak pengasih Pak Dayak, dan macam-macam lagi.
Ketika itulah mencelah anak-anak muda yang entah datang dari mana, mungkin dari Sumatera, Jawa, Kalimantan dan Sulawesi sana. Ada yang datang bergaya Dayak, datang bergaya Irian Jaya, cara Kejawen dan keradenan, dari Sumatera yang tidak diketahui dari marga mana. Semuanya tampil sebagai pedagang kaki lima.
Maka yang menariknya, ada anak muda yang menjerit-jerit sebagai kaedah menarik perhatian orang ramai agar berkumpul di depannya. Masa itu, kumpulan yang paling padat dan sendat membuktikan kehebatan pedagang jalanan itu menjual produknya.
Teringat saya seorang [bahkan menjadi mukadimah dalam pesta pedagang jalanan] anak muda yang memulakan lakonannya dengan meletakkan benda yang boleh bergerak-gerak kerana ada kuasa bateri. Pada masa itu, kucing mainan kanak-kanak yang menggunakan bateri masih kurang. Kesempatan ini digunakan oleh pedagang kaki lima untuk menghiburkan orang ramai.
Kucing mainan itu diisikan bateri agar ia memberikan tindak balas kalau ada orang bertepuk di depannya. Hasil dan tepukan itu kucing mainan yang lucu itu akan menggerakkan kakinya bergerak ke depan.
Anak muda pedagang kaki lima dari seberang ini telah menjadikan kucing mainan kanak-kanak ini sebagai mukadimah buka gelanggang.
Kucing mainan yang boleh bergerak itu ditutup dengan kain hitam. Dan dia pun menggunakan suaranya yang nyaring, "Hooooop! Hoooop!" Satu lorong akan mendengar jeritannya.
Orang ramai yang sudah berkumpul di tempat lain segera beredar dan mendekati lelaki itu. Itulah hiburan orang pejabat yang mengisi masa ketika rehat.
Mereka seronok tengok orang jual ubat dan jual temberang sekali.
Anak muda tadi bersuara lagi: "Hoooop!" dia boleh ulang berkali-kali sambil matanya melirik ke arah orang ramai. "Ini binatang makannya nasi, tapi beraknya duit!" katanya.
Orang ramai yang berdiri di depannya tidak pernah memikirkan kata-kata itu.
Binatang apakah yang makan nasi dan berak duit?
Memang tidak ada di dunia ini haiwan yang begitu hebat. Ia hanya mukadimah. Apabila orang sudah ramai, cerita binatang yang makan nasi berak duit langsung tidak digubris. Dia terus mengoceh tentang kepintarannya menyediakan batu cincin yang berkhasiat, sesiapa memiliki batu itu dia menjadi orang yang beruntung. Ia boleh dijadikan pegangan orang berdagang, pegangan orang bekerja, menjaga keselamatan, mengelak dari kemalangan dan sebagainya.
Pendeknya, ketika itulah dia bercakap semau-maunya tentang benda mistik yang tidak masuk akal.
Orang mudah terpengaruh sekalipun tali lehernya lebar bukan main. Termasuk pekerja bank, pegawai di syarikat perkapalan, syarikat tekstil dan macam-macam, apabila memasuki dunia pedagang kaki lima mereka ikut jadi lembab memikirkan, termasuk cerita ada binatang makan nasi berak duit tadi.
Di antara yang berkerumun itu, ramai yang jenis gelandangan dan penganggur. Maka dari mula buka gelanggang sampai tamat, dia masih nongkrong di situ. Sambil merokok atau ngobrol santai, pedagang kaki lima itu mengakhiri acaranya dengan melipat kain hitam, binatang yang katanya berak duit itu dimasukkan ke dalam beg hitam.
Tidak ada seorang pun bertanya, "Apa binatang yang kamu bilang makan nasi berak duit tadi?"
Seorang pun tidak ada yang bertanya atau melayan temberang pedagang kaki lima tadi.
Inilah kepintaran pedagang kaki lima menarik orang ramai agar berkumpul di depannya. Orang mungkin ingin tahu, haiwan apa yang makan nasi dan berak duit. Sampai ke akhir mereka tidak dapat jawapan.
Begitulah lelaki itu. Setiap kali buka gelanggang dia akan cerita perkara yang sama. Kucing mainan itu dijadikan sarana untuk membudakkan orang lain. Jadi bingung dan seronok dikelabui.
Sampai sekarang, tidak ada siapa menjawabnya. Haiwan apakah yang makan nasi dan berak duit? Wallahu a'lam. []

MEMUJA SYAITAN DALAM KESIHIRAN

Kadang-kadang pelik juga kalau memikirkan soal perdukunan ini. Seseorang yang bergelar dukun mempunyai kemahiran memuja benda dan kemudian konon akan dikunjungi sejenis makhluk yang dipuja dan disepakati untuk membantu pemujanya. Soalnya, ada orang bertanya adakah pemuja itu nampak ada sesuatu yang datang di depannya, atau sesuatu yang dipuja itu memasuki dirinya dalam bentuk rasukan?
Berikut dicatatkan bentuk pemujaan dan kaedah pemujaan yang biasa dilakukan para si pintar ilmu di dalam dunia kesihirannya.

[1]. MENYERUKAN NAMA TERTENTU.
Kaedahnya dengan menyeru nama jin, dewa-dewa, makhluk halus, panglima atau roh-roh yang telah meninggal. Selain itu mereka juga menyeru nama wali-wali atau orang-orang soleh dengan kaedah yang menyalahi; atau menyeru suatu "entiti" yang tidak diketahui makna dan gerangannya. Yang menjadi soalan, adakah dukun penyeru itu kenal dengan makhluk yang diseru, atau nama itu hanya berupa hafalan sahaja? Sudah tentu penyeru akan memanggil tokoh yang biasa diseru, atau dengan kata lain dia memilih nama-nama yang mudah dihubungi. Baik bagi masalah apa pun, dia akan menyeru nama yang sama tanpa disedari oleh pasien yang bersila di depannya. Lagipun, pasien tidak terfikir pun hendak menyelidik hal-ehwal nama yang diseru. Tambahan pula, mantera yang dibaca dengan alunan suara dan lenggoknya tidak dapat ditangkap oleh pasien yang berhajat. Lebih baik pasien tidak tahu apa benda yang dia manterakan. Ini lebih baik.

[2].KORBAN ATAU TUMBAL
Ada berbagai jenis tumbal yang disanggupi oleh orang pintar untuk melayani hajat seseorang. Sebagai perantara pak dukun akan merujuk kepada pasien yang berhajat, apa kesanggupan mereka untuk dijadikan sarana tumbal? Kena terangkan satu persatu, entah tumbal nyawa diri sendiri, nyawa ahli keluarga, nyawa musuh ketatnya, tumbal bayi dalam kandungan isteri atau tumbal lain yang lebih ringan. Biasanya, korban atau tumbal ini berupa sembilan haiwan dengan ciri tertentu, baik ayam, burung, kambing, lembu atau kerbau. Selain itu pasien kena sediakan bahan makanan tertentu konon yang digemari oleh makhluk yang telah disepakati itu, seperti kuih-muih tradisional, bunga beberapa jenis dan wangi-wangian. Ada juga yang memerlukan organ makhluk hidup termasuk manusia atau darah.

[3].SYARAT KHUSUS
Baik pak dukun yang menjadi pembimbing pasien yang berhajat, maka dia kena menjalankan pertapaan di tempat tertentu mengikut jumlah masa yang ditentukan pula. Ada yang kena berpuasa seperti amalan dukun Kejawen. Pendeknya, gara-gara melayani kehendak makhluk [syaitan] itu, dukun dan orang yang berhajatkan sesuatu "ilmu" sanggup melakukan tirakatan di mana-mana, sanggup melakukan perbuatan keji dan kotor. Dan untuk melayani syarat khusus ini ada yang kena sediakan jamuan, atau juadah istimewa pada pandangan mistik berupa sajian yang ditetapkan, itu sajian untuk syaitan, kalau ada kepala kerbau balar, atau kambing hitam pun, ia sekadar diletakkan di atas dulang khas. Ketika melakoni tirakatan termasuk puasa yang macam-macam, mereka juga membacakan mantera yang diajarkan bagi memantapkan agar perolehan yang dihajatkan itu lebih cepat. Ayat-ayat mantera yang kalimatnya ganjil dan pelik dilafazkan berulangan ada yang mengikut bilangan tertentu bagi mengisi masa terluang duduk di tempat sunyi atau menyepi [khalwat].

[4].MANTERA DAN JAMPI
Seperti disebutkan di atas, mantera yang disebutkan adalah menurut langgam puitis gaya lama, gaya kuno yang dirasakan begitu sakral. Pembaca mantera menjiwai apa yang dibaca dengan penuh perasaan, penuh penghayatan bagi memenuhi kehendak syaitan yang disepakati tadi. Lafaz mantera boleh jadi dalam bahasa Jawa halus, dan bahasa Melayu biasa tetapi menggunakan diksi perlambangan dan istilah pelik yang jarang kedengaran. Kalau menyebut nama syaitan pun, nama-nama itu begitu pelik dan jarang didengar. Tidak ada dalam buku dan kitab dukun, atau ia memang ciptaan dukun itu sendiri. Dalam bab mantera dan jampi ini mereka tidak peduli sanadnya. Kalau ia diperoleh dari ilmuan yang kaki maksiat, dukun palsu atau kitab tua yang ditulis ketika menurun pun orang tidak tahu. Sanad dalam mantera dan jampi ini tidak diambil peduli pun oleh para dukun. Jika ada yang menggunakan kalimat tertentu berbau Islam, ia hanya perhiasan sahaja bagi mengelabui pasien yang berhajat agar hatinya jadi mantap walaupun hakikatnya dia sedang ditipu.

[5].PENGERAS
Apa yang dikatakan sebagai pengeras sebenarnya bukanlah suatu etika yang telah ditetapkan dalam dunia perdukunan. Lain dukun lain pengerasnya. Ia tidak baku dalam peraturan. Ada yang meminta duit dengan jumlah tertentu. Kalau dia minta RM150 pun orang akan serahkan duit jika kebetulan pak dukun sedang menurun atau pura-pura kerasukan. Dia juga meminta makanan tertentu sebegai pengeras, kalau dia teringin makan nasi briyani Arab, dia boleh minta agar pasien bawakan benda itu. Ada yang berhajatkan jubah, baju Melayu warna merah, hitam dan sebagainya. Ada juga yang meminta pasien membawa benda-benda mistik yang mengarut, hendakkan sterika cap ayam yang kuno, keris kuno, mata tombak kuno yang pernah sentuh darah manusia, mahu batu delima merah, mahu rantai babi, mahu tulang haiwan tertentu --- pendeknya dia minta benda yang pelik dan ganjil agar menaikkan kegerunan pasien terhadap ilmu yang sedang direnangi. Semua ini sebenarnya adalah rekaan pak dukun setelah bersepakat dengan penolongnya dari kalangan manusia atau dari kalangan jin.

Begitulah sekelumit catatan tentang pemujaan dalam dunia sihir setakat yang diketahui. Mungkin ada temuan baru dari sumber pustaka atau perkhabaran di luar sana. Kalau ada penambahan akan kita buat.

MEMFITNAH PAK DUKUN

Di masa silam peranan Pak Dukun dan Mak Dukun memang diperlukan. Jika ada sesuatu perkara yang berkaitan dengan khidmat perdukunan, maka keduanya akan dijadikan tempat mengadu. Orang kampung biasanya tahu siapa yang jadi dukun di sesebuah kampung. Kepada dukun itulah mereka merujukkan apa perkara pun termasuk hendak mengupacarakan sesuatu peradatan yang sudah rasmi dilakukan kebanyakan orang.
Ketika itu, dukun diibaratkan "doktor" untuk mendapat penyembuhan. Ada perkara yang logik dan ada yang tidak, namun, sesuai dengan zamannya, peranan dukun hanya terbatas kepada perkara yang berkaitan kemistikan.
Tidak hairanlah, pada masa silam ada dukun yang berkhidmat untuk melayani apa sahaja kehendak orang ramai. Jika hendak menganiaya orang, sila bisikkan kepada dukun itu, mana tahu dia memiliki resipi untuk melaksanakan kehendak pasiennya.
Begitu juga kalau ada fikiran jahat hendak mengenakan orang yang dibenci, maka kepada dukun jugalah perkara itu dibisikkan. Ia jadi rahsia dukun. Pendeknya, dukun akan menyimpan rahsia pasien, jangan pecah di mulut.
Pak dukun kena menyendiri, jangan berjemaah atau bergaul lebih-lebih dengan seseorang takut nanti akan timbul fitnah.
Di sesebuah kampung, sudah menjadi lumrah, seandainya ada sesuatu kisah misteri, seumpama orang sakit misteri, maka akan timbul suatu tanggapan negatif, bahawa orang itu kena buatan orang. Siapa yang membuatnya? Sudah tentu orang yang dengki kepada orang itu. Orang yang dengki tidak ada kemahiran mengenakan sesuatu kepada orang itu, maka yang jadi perantara adalah para dukun.
Di dalam dunia penyihiran Melayu ada beberapa matlamat yang diharapkan oleh pasien apabila mendatangi pak dukun. Ingat, mendatangi pak dukun pun merupakan suatu kenistaan apalagi hendak mempercayai kata-kata mereka. Betapa bohong sekalipun, pasien akan mempercayai dan meyakini bulat-bulat kerana ia dituturkan oleh pak dukun yang kononnya mengetahui sesuatu yang "ghaib" rendahan.
Maka, pihak pasien akan meminta yang bukan-bukan kepada pak dukun.
Ada beberapa perkara yang mereka harapkan daripada orang pintar bergelar pak dukun atau mak dukun/nek dukun.

MEMBUNUH
Ada khidmat untuk membunuh atau mencederakan seseorang. Biasanya pak dukun akan meminta pasien membawakan benda-benda atau bahan sebagai alat untuk tugas pembunuhan itu. Dia akan merujuk kitab "primbonnya" dan meminta orang itu datang semula dengan membawa benda-benda mistik sebagai sarana pembuatan. Ia termasuklah benda-benda tajam yang boleh meluka dan meyakitkan; benda-benda yang bersifat panas, bisa, gatal dan miang; juga disediakan benda-benda yang boleh disapu, dicalit, ditabur dan ditanam; pak dukun juga menyediakan patung-patung yang dibentuk menyerupai seseorang sebagai penujuan simbolik.

MENGGANGGU EMOSI DAN PERASAAN
Pak dukun diminta oleh pasien agar mengganggu perasaan orang yang ditujukan dengan benda-benda yang boleh menyebabkan orang yang dituju itu persis kebingungan, berserabut dan tidak keruan hidupnya. Benda-benda bertali atau kain berbagai warna dijadikan sarana tujuan. Ada juga benda-benda mistik baik dari benda biasa atau dari haiwan yang ada karakter lembab, dungu dan pemalu [kokang]; juga menggunakan benda-benda kotor, busuk dan menjijikkan.

MENGGANGGU HUBUNGAN
Biasanya kalau pasien ada kedengkian terhadap pasangan tertentu. Pak dukun diminta mengenakan orang itu agar pasangan itu tidak haromoni lagi. Biasanya sarana yang digunakan adalah anggota bahan haiwan yang mempunyai sifat garang, suka berkelahi; termasuklah benda-benda yang bersifat panas, sejuk, busuk dan menyakitkan. Benda-benda mistik itu mempunyai ciri bertentangan dan berlainan warna.

MENGUASAI DAN MEMUKAU
Pasien berkehendak agar dia dapat menguasai, memikat, memukau seseorang yang ditujukan. Pak dukun akan menggunakan benda-benda  yang menghasilkan asap, bau yang boleh dihidu, benda-benda yang boleh disapukan, dicalitkan, ditabur atau ditanam secara rahsia. Pak dukun menggunakan sarana patung bikinan yang dianggap sebagai mewakili orang yang ditujukan. Termasuklah benda kotor dan menjijikkan.

KHIANAT
Pasien meminta pak dukun agar mengenakan seseorang secara khianat. Menggunakan sarana benda-benda yang boleh disapukan, dicalit, ditabur dan ditanam seperti di atas tadi. Biasanya benda yasng kotor dan menjijikkan.

Semua perkara mistik dan pelik yang disediakan oleh pak dukun ini bukan datang dari "primbonan" atau kitab perdukunan kuno, malah ada yang dirujuk berdasarkan pengalaman diri pak dukun, atau pengalaman pak dan mak dukun lainnya. Mereka saling bertukar idea dan pengalaman dalam hubungan yang serba rahsia. Jadi, selain itu mereka juga ada hubungan secara langsung dengan makhluk halus, itulah jin-jin jahat yang dipujanya.
Apabila terjadi keperihalan misteri di sesebuah kampung, masyarakat akan memberi tanggapan bahawa semua ini dilakukan oleh seseorang yang menjadi musuh atau seteru seseorang. Masyarakat menyalahkan Si B atau Si C yang mengenakan sesuatu kepada orang yang terkena "buatan orang" sebaliknya pak dukun dan mak dukun berada dalam posisi selamat.
Seandainya, orang yang terkena penyakit buatan itu merujuk kepada pak dukun yang sama, maka pak dukun akan melayani macam biasa. Pak dukun boleh membuang semua benda yang telah dia kenakan mengikut kehendak pasiennya dulu. Dia boleh lakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan orang yang berkehendak mengenakan orang suatu ketika dulu.
Kepandaian pak dukun atau mak dukun "mengubati" orang yang terkena tadi dianggap suatu penghormatan. Maka naiklah kedudukan pak dukun tadi. Orang kampung akan puji dia kerana dapat membuang masalah yang menimpa pesakit. Hakikat sebaliknya orang tidak tahu, semua ini adalah permainan dia seorang.
Pihak dukun melayani kedua-duanya dengan upah yang kecil atau upah berupa barang-barang dapur, beras, ikan masin, asam garam, rokok, tembakau dan sebagainya. Tidak ada bayaran sehebat sekarang sampai mencecah ribuan ringgit bagi perkhidmatan yang bukan-bukan, atau sengaja diada-adakan.
Apabila berlaku isu pak dukun menipu atau dituduh mengenakan seseorang, maka hebohlah seisi kampung. Ada juga orang yang bertindak melulu dengan menuduh orang lain, orang yang tidak ada kait mengait dengan kerja perdukunan pun hanya kerana orang itu berwatak pelik, pakaiannya ganjil, atau jenis menyendiri tak jenguk masjid.

SUKAR
Undang-undang moden agak sukar untuk menentukan siapa yang mengenakan sihir kepada seseorang. Selama ini kita pernah mendengar bagaimana olah pak dukun termasuk pak dukun gadungan yang menipu orang ramai. Pak dukun mengeruk duit, mengeruk harta kekayaan pasien yang berkedudukan kerana bingung dan percaya bahawa pak dukun boleh memantapkan kedudukan dalam politik dan sebagainya.
Kes ini sudah terjadi di negara kita. Gejala memfitnah seseorang sebagai ahli sihir atau pak dukun juga perlu satu undang-undang khusus mengenai kesihiran. Jika tidak, memang aniayalah orang yang tak tahu apa dituduh sebagai punca orang lain sakit misteri.
Suami isteri tidak harmoni dituduhnya jiran sebelah yang cemburu kerana hidupnya mewah. Dek kerana syak wasangka ini ia jadi bahan gossip kampung. Sembang depan pintu mengatakan si fulan itu jahat, orang itu kena buatan orang, kena buatan mak atau pak dukun itu, atau dikenakan oleh si fulan dan si fulan.

BELASAH DUKUN
Di India, gara-gara tuduh menuduh ini boleh membawa kematian. Di Jawa gara-gara dituduh sebagai dukun santet, seorang penduduk kampung dibelasah ramai-ramai. Ada orang yang difitnah sebagai mak dukun telah ditangkap dan ditelanjangkan, dimalukan, bahkan ada yang dibalun sampai lembik.
Jadi, dalam perkara undang-undang membanteras gejala perdukunan, gejala ilmu sihir ini, ada beberapa pihak yang terlibat. Pak dan mak dukun sudah tentu jadi orang yang disangka sebagai pelakunya, tetapi ada juga sangkaan terkena kepada orang yang tidak berkaitan hanya kerana dia berkawan dengan pak dan mak dukun.
Di India ada kes penduduk kampung yang dituduh sebagai ahli sihir [dukun] dibunuh oleh penduduk kampung dengan kejamnya.
Dari kes itu kemudian digubal undang-undang Witchcraft Atrocities (Prevention) Act 2005 di negeri Chhattisgarh, gunanya untuk melindungi kaum wanita yang sering dituduh  mengamalkan ilmu sihir. Sesiapa yang mendakwa seseorang wanita itu sebagai tonhi [ahli sihir] atau telah mengenakan gangguan fizikal atau mental kepada mana-mana wanita tersebut.
Kejadian membelasah wanita yang disyaki ahli sihir atau hanya berbentuk tuduhan sudah banyak berlaku di Afrika yang masih kuat dengan amalan menggunakan dukun atau ahli sihir.
Undang-undang terpaksa digubal untuk menyelamatkan perbuatan karut orang ramai membelasah seseorang tanpa usul periksa atau mengikut tanggapan ketua kampung yang dihormati.

JANDA BOGEL
Di India pernah terjadi kes memalukan, seorang janda berusia 54 dituduh melakukan kerja sihir. Dia telah ditangkap dan diarak ramai-ramai dalam keadaan bogel, kemudian dibelasah hingga mati. Jadi, baik di India atau Afrika, mereka telah membuat undang-undang bagi membanteras perbuatan menuduh seseorang sebagai ahli sihir oleh orang awam. Orang kampung tidak boleh suka-suka menuduh dan kemudian membelasah orang yang dituduh.
Di Arab Saudi, sudah banyak kes ahli sihir menghadapi hukuman mati dipenggal. Kebanyakan yang terlibat adalah kaum wanita.
Nampaknya, memang begitulah, baik di Afrika, India dan Arab sekalipun, kaum wanita lebih ramai yang mahir dalam bidang kesihiran [baca perdukunan].
Di negara kita pada masa silam watak-watak wanita penyihir ini memang ada apabila seseorang itu mengkaji tentang hakikat santau, hakikat tuju-tuju, langsuir, dan hal-hal lain yang berbau mistik. Gambaran ini juga terdapat dalam filem dan drama mistik.
Diharapkan, dengan dunia yang telah berubah, sikap dan pandangan serong begini boleh diubah. Namun, bukan tidak ada kaum wanita yang mengiklankan kepandaiannya dalam bab susuk, merawat kes berkaitan saka, makhluk halus dan sebagainya. Tidak diiklankan dalam akhbar tabloid atau majalah misteri, mereka iklankan di batang pokok tepi jalan, dinding bangunan kedai dan sebagainya. Sama-samalah kita jauhi amalan yang tidak bermanfaat ini, kerana ia adalah kerja kaum pagan zaman kuno. Masih disayangi oleh sebahagian umat yang ingin mencuba-cuba. Wallahu a'lam. []

Tuesday 19 March 2013

KEPERCAYAAN MISTIK DI LAHAD DATU

Aiyang Disayang: PEMBONGKARAN! KISAH ANGGOTA KESELAMATAN ALAMI KEJA...: Lahad Datu: Kisah Anggota Keselamatan Alami Kejadian Aneh Angkara Ilmu Hitam Pengganas Sulu LAHAD DATU: KISAH ANGGOTA KESELAM...

Monday 18 March 2013

BUDAYA KONSERT

Media memaparkan betapa hebatnya persembahan artis dari Barat sana mentas di acara parti terbesar Asia Tenggara, FUTURE MUSIC FESTIVAL ASIA 2013, diadakan di Sepang.
Artis yang datang menurut paparan media adalah artis tersohor dan hebat-hebat belaka. Rugi kalau tak tengok persembahan mereka yang bertenaga, yang memikat, yang hebat, yang membuatkan penonton histeria, yang menjadi fenomena sezaman, yang penuh warna-warni, yang mengangkat nama Malaysia sebagai salah satu tempat untuk festival apa pun di masa akan datang.
Cara wartawan hiburan kita mengulas persembahan artis luar begitu hebat. Tidak ada cacat celanya persembahan mereka. Mungkin pengulas pun tak faham di mana nak cari cacat dan celanya. Atau tergugah oleh penampilan artis Barat yang tak pernah disaksikan di mana-mana konsert setaraf fun-fair yang biasa kita adakan di mana-mana.
Wartawan tadi mengatakan, penonton telah berdatangan ke tapak festival sejak jam 4.00 petang. Wah, memang meriah sungguh pesta ini. Ramai juga rakyat asing yang berkunjung ke situ. Artis mereka, lagu mereka, muzik mereka dan gaya mereka, itulah yang mereka gemari.
Kehadiran konsert begini tidak mendapat perhatian dari mana-mana pihak mungkin kerana adanya isu Lahad Datu yang belum kendur. Masih panas dan terus panas di atas pentas politik negara. Sedangkan di pentas festival muzik yang dikatakan hebat itu adalah perulangan lagu dan nyanyian PSY penari kuda Korea yang orang kita kagumi, malah meminta agar lagu itu dinyanyikan semula. Begitulah kalau sudah mabuk kepada lagu Gangnam Style. Padahal kalau ada lagu "Haji Taib Style"  nyanyian gaya Haji Taiban maka mereka tidak mahu tengok agaknya. Itulah peranan media. Wartawan hiburan memainkan peranan memprojeksikan minda anak muda dan orang tua untuk menyukai sesuatu itu.
Apa pun, setakat ini festival yang dikatakan hebat itu belum mendapat komen dari kalangan pemikir kita. Tunggulah. Wallahu a'lam. []

BENDERA PARTI POLITIK DI SANA-SINI

Kali ini nak cerita tentang pilihan raya, cerita misteri, mistik, tangkal, khadam kita sambung lain kali. Begitu juga cerita Lahad Datu, saya tak mahu ulas lagi. Lagipun saya tengok dan dengar dari jauh. Tak pergi pun masuk ladang sawit tengok itu dan ini.

JANJI DITEPATI
Yang benar-benar saya tengok di Kuala Lumpur la ni, dinding bas pun dah ada iklan tentang Janji Ditepati dan berbagai bantuan atau perkhidmat yang didakwa sebagai mendahului rakyat.
Di KL ni, saya tengok restoran rakyat tu tidaklah padat, kecuali kalau masa rehat bebudak pejebat berdekatan, yang lainnya tak masuk situ, ramai yang kata "segan" nak masuk kedai macam itu, sebab nanti secara tak langsung sudah timbul pelabelan [label], "Oh, ini mesti penyokong gelombang biru!"
Sebenarnya bukan sahaja restoran, gerai atau apa sahaja perkhidmatan jika menggunakan logo atau lebal yang menandakan ia milik sesebuah parti dalam bidang perniagaan ia tidak sesuai sama sekali. Contoh kedai Rakyat 1Malaysia yang saya lihat, kurang sambutan, atau lokasi tidak strategik, orang ramai ada banyak pilihan untuk membeli di mana-mana.
Tinjauan di kedai itu pun menunjukkan barangan yang dikatakan murah tidaklah murah. Hanya media milik pemerintah selalu memanjangkan isu murah ini berlebih-lebihan, sedangkan mereka sendiri tak jenguk pun kedai Rakyat yang dimaksudkan.
Sebuah kedai jual kain di tengah ibu kota, tidak perlu memakai uniform dengan lambang 1Malaysia. Mereka bukan kaki tangan kerajaan pun, hanya jurujual. Apabila logo 1Malaysia dipaparkan di dada, pelanggan yang tidak "sebulu" dengan perlambangan itu akan mencari kedai lain. Maka berbahagialah mereka yang buka gerai, buka kios, buat perkhidmatan apa sahaja, andainya mereka sangka dengan logo 1Malaysia itu orang akan berduyun-duyun singgah ke situ.
Masyarakat kota memandang lain kepada logo parti politik dalam perniagaan. Sekalipun tanpa logo, orang ramai sudah tahu, ini supermarket menyebelahi sebelah mana.

SERUPA KITA
Rakan saya yang pernah mengurut seorang tauke supermarket besar yang ada cawangan di Chennai pernah cerita betapa menyampahnya dia mengurut tauke yang satu ini. Dia banyak cerita sambil diurut seluruh badan. Dia kata, "Awak tau ka? Itu Mahathir serupa kita orang jugak dia bukan Melayu, dia mamak jugak! Dia banyak pandai. Kalau dia pegang itu Indonesia, mesti Indonesia hebat!"
Kawan yang sedang mengurut rasa nak muntah. Tapi dek kerana kerja mengurut itu sudah jadi agenda sebulan sekali, maka dia bertandang juga ke rumah tauke yang terletak di sebuah bangunan tinggi, kena naik lif untuk ke situ. Terbukti, tauke ini siap paparkan gambar pemimpin Umno termasuk orang yang dipuji tadi.
Gambar itu tak akan diturunkan, macamlah dia tu pendukung parti yang hebat. Padahal sokongan dia bukan kerana parti, sebaliknya hendak berniaga.
Kemudian menjelang nak pilihanraya kali ini bendera Umno dan BN sudah dipacak siap-siap, konon itulah tempat gerakan mereka. Kenapa mereka pacak awal? Mereka bimbang tempat itu nanti dipacak oleh orang lain pula.

BENDERA
Dalam bab bendera, kalau boleh pihak PR jangan pacak apa-apa dulu. Tengok dulu sejauh mana hebatnya bendera biru dan yang bercap keris itu dipacak. Biasanya, yang pacak kemudian boleh mengatasi pacakan yang terawal.
Ini strategi namanya. Jangan kecoh kalau nampak gelombang biru. Biarkan. Lagipun yang nak mengundi bukannya bendera. Bendera tak reti berfikir pun. Kalau dipacak di situ sepanjang zaman pun, ia tidak jadi apa, akhirnya hancur juga kena hujan panas. Yang kita mahu pengundi yang hatinya tak akan berubah sekalipun dapat "sekilo" gula-gula politik.
Bendera parti yang berkibaran juga menandakan ada acara tertentu di situ. Biasanya acara yang diadakan oleh pihak UBN jauh lebih besar dan hebat kalau hendak dibandingkan dengan acara anjuran PR.
Bagaimanapun, meskipun acara PR kecil, sambutan dari pendukungnya boleh tahan. Bandingkan dengan cara yang UBN lakukan, ia semacam acara "kerahan" hanya bertujuan menyenangkan pemimpin yang diundang.
Selain isu bendera, rakyat sekarang hairan, kenapa pula baru sekarang mereka sibuk nak bagi itu dan ini? Kenapa dua tahun dulu tak nak buat? Sama halnya, kenapa apabila ada pilihanraya kecil, atau pilihanraya umum mereka nak keluarkan "versi" baru video lucah?
Sepatutnya mereka memproduksi video ini sepanjang masa, tak payah tunggu pilihanraya atau apa pun. Jika ia diwujudkan ketika masa tertentu, jelaslah, video itu hanya ciptaan orang-orang tidak berilmu. Orang berilmu tidak akan memiliki benda begitu, tidak mahu subahat, tidak mahu sebarkan, apa lagi itu sebaran dari golongan orang fasiq. Tak payah nak selidik dan nak tahu siapa dan dari mana sebaran itu datang. Kalau video begitu dan lakonan konon dari tokoh yang itu, rakyat sudah tahu jawapannya. Ia adalah idea daripada makhluk yang bejat moralnya, makhluk yang setia dengan budaya hedonisme.
Berbalik kepada cerita bendera, yang tak sedapnya, ada bendera boleh dipacak di kawasan sekolah, masjid dan surau. Lainlah kalau ia milik persendirian atau milik parti tertentu. Bukankah lebih baik diisytiharkan sahaja bahawa masjid sekian milik parti sekian. Dengan cara itu bolehlah jemaah mencari mana masjid yang bersuaian dengan citarasa mereka. Itupun selepas takzirah hari minggu lepas, di sebuah masjid ada jemaah kata, "La, kan ini masjid Barisan!" Patutlah ketika tazkirah ada 16 orang sahaja. Ustaz bersuara lantang, siap menyanyi lagi, tetapi sambutan macam itu juga. AJK pun tak kelihatan. Hanya kalau bermajlis, berupacara baharulah mereka tampil, siap pakai baju Melayu, lengkap, sedondon, "terima kasih atas kedatangan Dato..." maka disebutlah apa jawatan politiknya. Sepatutnya tak payahlah sebut. Tetapi itulah resam orang Melayu kita di mana-mana. Jadi, kalau bendera dipacak depan masjid pun tak kisahlah! []


Wednesday 13 March 2013

LEPAS ROCK ADA PULA POP YEAH-YEAH!

Khabarnya filem kita yang fokus kepada dunia rock, meledak di panggung kecil, dan pungutan dari jualan tiket pun melonjak. Kini kutipan sampai berjuta bukan sesuatu yang menghairankan kerana harga tiket pun sudah melambung, tidak boleh disamakan dengan "box office" zaman 70-an atau 80-an.
Tanpa menyentuh mana-mana judul filem [kerana saya memang tidak masuk panggung] berdasarkan laporan  ada yang mengatakan sesudah fokus kepada dunia muzik rock, ada pula usaha untuk mendedahkan dunia muzik zaman "Pop Yeah-Yeah" pula.
Biasalah dalam dunia pembikinan filem, mana-mana tema yang dapat sambutan, ia akan dijadikan bahan untuk filem mendatang. Filem genre seram masih laku dan cerita yang begini masih digemari orang. Dan sudah menjadi semacam "trend" kalau filem pertama laku, maka akan disusuli dengan siri ke-2 dan ke-3 pula. Ada juga siri yang tidak menjadi kerana orang sudah tahu jalan ceritanya.
Filem yang dibikin hari ini adalah untuk orang muda. Mungkin ada penggiat filem yang masih sudi untuk masuk panggung bagi mencari idea atau mahu tahu bagaimana lakonannya di sesebuah filem yang sedang ditayangkan, atau ingin tahu tindak balas penonton apabila menyaksikan lakonannya walaupun tampil hanya beberapa saat sahaja.
Dulu kita ada dengar, gara-gara lakonan main-main seorang cikgu kampung dan mainan itu dipaparkan dalam YouTube sampai ada yang tergoda untuk membuat sebuah filem khusus, cikgu itu diminta berlakon dalam filem tersebut. Apa sudah jadi? Begitu juga filem tentang "sirah" Zaiton Sameon yang sudah siap tetapi tidak kedengaran apa ceritanya pun.
Filem yang hanya fokus kepada individu tertentu, termasuk individu dalam mitos pencarian selalunya tidak dapat bertahan. Proses pembikinan filem bukan kerja seminggu siap. Ketika ia siap dengan sempurna, orang sudah lupa dengan cikgu kampung dan Zaiton Sameon tadi. Paparkanlah dalam media tentang dua tokoh mitos pencarian ini, ia tetap gagal memikat kerana penonton tidak "sezaman", tidak sealiran dengan mereka. Akhirnya berlakulah pembaziran!
Mungkin orang sudah lupa ada penggiat filem kita yang pernah mencanangkan akan membuat filem tentang Pasir Salak, tentang pembunuhan JWW Birch itu. Ia nampaknya tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk hasil, sebuah filem entah fiksyen atau dokumentari. Ia juga sebuah pembaziran.
Bagaimana nasib filem yang akan digarap berhubung dengan "Pop Yeah-Yeah" itu?
Ia hanya selingan, seperti filem P Ramlee yang memuatkan adegan tari menari dan kemudian diselangi dengan adegan bertumbuk kerana berebut perempuan joget? Tema "Pop Yeah-Yeah" memang tidak boleh lari daripada budaya ini. Budaya kota yang semberawut, pengadaptasian The Beattles yang mengago-ago, twist Elvis dan kehidupan malam di Kuala Lumpur yang kehilangan arah dan tujuan.
Apa tema pusat untuk sebuah filem yang fokus kepada kegemilangan "Pop Yeah-Yeah?" Memanglah dunia ini kini hanya tinggal kenangan kepada generasi berusia angka 5 dan 6. Sebahagian besar telah membuang semua longgokan sampah budaya yang tidak bermanfaat itu. Maka bagi anak muda "Pop Yeah-Yeah" akan dilihat dalam bentuk kejanggalan, suatu bentuk budaya hedonisme yang membuatkan anak muda berilmu geleng kepala.
Tema filem yang fokus kepada rock, fokus kepada "Pop Yeah-Yeah" jika dijadikan rujukan untuk mengetahui corak kehidupan masyarakat yang sezaman dengannya akan melahirkan tanggapan menyimpang.Selanjutnya memberi gambaran kehidupan umat Melayu yang "luar biasa" dipandang dari sudut budaya dan sosial. Itu belum lagi berwacana tentang bagaimana kehidupan yang luar biasa itu berdepan dengan kebangkitan Islam ketika itu? []

ISLAMOFOBIA APA SEBENARNYA?

Di masjid tadi saya sempat menyambar risalah kecil Buletin Islamofobia terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan [JAWI - www.jawi.gov.my/islamofobia 1 13.pdf]. Risalah seperti ini nampaknya tidak menarik perhatian jemaah. Mungkin mereka rasa berat nak memikirkan terminologi yang dipaparkan.
Mengikut Buletin itu, takrif kamus bagi kosa kata fobia ialah ketakutan atau kebencian yang mendalam; ketakutan dan kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap sesuatu.
Secara mudah menurut keterangan Buletin itu lagi, islamofobia ialah ketakutan atau kebencian yang tidak rasional atau amat kuat terhadap Islam. Fobia berkait Islam sebenarnya lebih dari itu, sebab ia turut melibatkan kebencian kaum, sikap tidak bertoleransi, prejudis, diskriminasi dan stereotaip.
Fenomena fobia terhadap Islam ini pada asasnya berupa kebencian yang merujuk kepada agama. Ia mempunyai dua aspek berbeza: dari sudut pemain islamofobia dan dari sudut mangsa islamofobia.
Istilah fobia ini sudah lama wujud tetapi yang dikaitkan dengan Islam hanya diperkenalkan pada tahun 1996 oleh Suruhanjaya Muslim British dan Islamofobia. Suruhanjaya tersebut mengeluarkan  laporan yang dikenali sebagai "Runnymede Trust Report Islamophobia: a challenge for all of us" dan telah menginstitusikan kosa kara tersebut bagi maksud prejudis terhadap Islam. Sedangkan kosa kata tersebut secara harfiahnya bermaksud ketakutan yang tidak berasas terhadap Islam.
Laoran Runnymede itu turut menggaris beberapa komponen yang mendefinisikan islamofobia, iaitu:

  1. Islam dilihat sebagai blok bersendiri, jumud dan tidak berkembang.
  2. Islam dilihat sebagai terpisah dan "orang lain". Ia tiada nilai persamaan dengan budaya lain, tidak mempengaruhi mereka dan tidak dipengaruhi mereka.
  3. Islam dilihat sebagai lebih lemah berbanding Barat. Ia tidak bertamadun, tidak rasional, kuno dan mendiskriminasikan wanita.
  4. Islam dilihat sebagai ganas, agresif, mengancam menyokong keganasan dan terlibat dalam pertembungan peradaban.
  5. Kritikan muslim terhadap Barat ditolak mentah-mentah.
  6. Permusuhan terhadap Islam digunakan untuk menghalalkan amalan diskriminasi terhadap Muslim dan mengasingkan Muslim dan khalayak awam.
  7. Permusuhan anti muslim dilihat sebagai biasa dan normal.
Jadi, kenapa berlaku fobia terhadap Islam? Puncanya adalah konsepsi yang salah dan tafsiran yang tidak benar terhadap Islam dan nilai-nilai yang diajarnya. Gambaran yang tidak benar, putar belit media umpamanya menyebabkan Islam sebagai mangsa diskriminasi kaum dan xenofobia - benci kepada orang asing.
Ketakutan dan kebencian yang tidak berasas ini juga turut melanda umat Melayu di negara kita. Sesiapa yang rajin melayari apa sahaja bahan dalam internet, mereka akan menemukan sejumlah kebencian yang dilontarkan meskipun dalam bentuk komen yang sedikit atau sederhana. Komen yang dipaparkan itu menandakan ada "kebencian" terhadap Islam. Perkara ini tidak dipandang sangat, mungkin yang melontarkan pandangan dan komen itu adalah orang Melayu sendiri. Contoh, mereka melontarkan komentar tentang janggut, tentang purdah, menutup aurat atau marah-marah, merungut hanya hal kecil yang berkaitan dengan majlis ilmu, atau memandang jumud kepada kelompok yang berambisikan kepada Islam.
Sikap dan pandangan ini sebagaimana Laporan Runnymede [komponen 1, 3, dan 7] juga wujud dalam dunia Melayu kita. Mereka selalu memandang sinis kepada apa sahaja agenda Islam, bahkan mereka lebih suka melakukan semacam dekonstruksi untuk disesuaikan dengan cita dan pandangan hidup atau pandangan politiknya.
Sebenarnya "perang terminologi" sudah lama berlaku. Islam lawan Barat telah menghasilkan banyak terminologi yang perlu huraian tambahan. Kerangka terminologi yang ada masih berlegar pada persepsi Barat kerana merekalah yang mencipta kosa kata itu untuk dihalakan kepada Islam.
Di negara kita, media perdana selalu memprojeksikan kerangka Islam yang diperjuangkan oleh pihak lawan sebagai perkara yang jumud, ketinggalan, bahkan ada yang mengatakan tidak sesuai dengan perubahan zaman.
Jika dicermati bahawa peranan terminologi berfungsi sebagai wadah yang diisi dengan muatan tertentu, atau sebagai alat yang membawa misi makna akan ditemukan keabsahan banyak terminologi atau ungkapan-ungkapan idiomatik untuk menyampaikan peranan sebagai wadah dan alat sepanjang perjalanan semua peradaban yang berbeza-beza, dan interaksi pemikiran  yang berlainan, ideologi dan aliran yang berbagai.
Isu fobia tadi ada kaitan dengan al-Maqasid al-Kuliyyah al-Khams li as-Syariyah iaitu melindungi jiwa, agama, akal, kehormatan dan harta.
Berkaitan dengan islamofobia tadi, dalam pada fobia terhadap Islam, umat Melayu sendiri tidak memahami terminologi sekularisme, tidak memahami terminologi fundamentalisme, demokrasi, parti politik, reformasi, revolusi, nasionalisme, batiniyah dan banyak lagi terminologi yang akrap dengan umat tanpa sangsi dan fobia pun.
Kini selain fobia dengan Islam, ada juga fobia terhadap pertukaran kerajaan pada pilihan raya kali ini. Ada yang fobia kalau negara ini muflis kerana ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Fobia dengan DAP dan PAS. Dan sangat memelikkan golongan yang merasa fobia ini tidak fobia pula terhadap Dacing. Mereka tidak fobia apabila korupsi terus menjadi barah, salah guna kuasa, banyak berlaku ketirisan dan bermacam-macam kekeliruan. Hakikat sebenarnya apabila fobia dengan pertukaran kerajaan, fobia dengan Spring Melayu, itu secara tidak langsung berkaitan dengan islamofobia. Wallahu a'lam. []

Friday 8 March 2013

KEPADA PARA SYAITAN, SILAKAN MASUK!

Begitulah agaknya. Setiap orang nampaknya mengalu-alukan kedatangan syaitan masuk ke rumah. Mana kamu tahu syaitan masuk rumah? Kamu nampakkah? Ya, tentu ada yang tanya begitu, sebab mereka tak pernah fikir pun bahawa beberapa perkara yang ada di rumah setiap orang kita adalah umpama pelawaan kepada Sang Syaitan supaya masuk ke rumah. Maka bersukacitalah para syaitan kerana banyak rumah yang  membuka laluan kepada syaitan untuk sama-sama melipur-lara dalam rumah.
Apa benda yang disukai syaitan?
Tentunya semua orang memiliki televisyen di rumah. Sesiapa yang tak ada televisyen dianggap orang tak mampu. Televisyen murah pun tak mampu beli. Tak apa. Kalau mereka fikir lebih baik tak payah tengok televisyen, ia tidak menjadi masalah. Tak dapat maklumat pun tak apa. Televisyen itu menghiburkan, ada tayangan berbagai acara, siaran secara langsung atau tak langsung. Televisyen adalah objek yang sengaja ditempah untuk penghuni rumah mengundang syaitan. Syaitan pun ikut tengok televisyen.
Selain televisyen, syaitan juga masuk ke rumah sebab nak tumpang dengar lagu dan bungi alat-alat muzik. Tidak kira apa genre lagu dan nyanyiannya. Syaitan tetap suka dengan muzik dan nyanyian. Lagipun, televisyen dan radio semuanya siarkan muzik dan nyanyian. Syaitan pun tumbang sekaki nak dengar lagu. Tambahan kalau dalam rumah suka berkaraoke sampai berjam-jam. Kalau suara dikumandangkan sampai keluar tingkap dan jiran-jiran boleh tumpang dengar lagilah bagus. Syaitan suka kalau lagu dan bunyi alat muzik itu diperdengarkan.
Syaitan pun suka kalau di rumah kita ada gambar, foto, lukisan  dan ada ukiran makhluk bernyawa. Gambar atau lukisan yang ditempat di sebuah Pusat Seni itu elok digantung, jadikan ia sebagai hiasan dinding. Ayam berlaga, gambar harimau Malaya, gambar kuda sakti, kuda terbang bersayap, dan bukan tidak ada yang gantung gambar budak terbang pegang anak panah.
Kalau pergi luar negeri, atau tempat longgokan barang antik, jangan lupa belilah patung-patung ukiran kayu, gangsa atau sebagainya. Letak di atas meja. Tetamu datang pasti bertanya, dapat dari mana benda itu? Minat seni macam ini memang bagus. Kena pula letak ukiran patung golongan pagan. Sebagai peminat seni ukir begitu, memang layaklah mempamerkan benda-benda itu semua kepada tetamu.
Ada juga hanya suka-suka nak pelihara anjing. Bukan tujuan nak berburu atau jaga kebun.
Penghuni rumah pula, mempamerkan budaya dedah aurat. Kalau emak tak tutup aurat, anak apa lagilah. Semua ini asuhan dari rumah. Dan geng yang tak tutup aurat itu selalunya mempamerkan kebiasaan mereka sampai ke majlis kenduri perkahwinan, majlis apa pun yang diadakan di mana-mana.
Tadi semasa tazkirah sebelum solat Jumaat, ustaz ada sebut mengenai tutup aurat. Masih ramai umat kita yang tidak faham, kenapa kita mesti tutup aurat. Mungkin semua ini kerana pengaruh televisyen juga, masih ada pemimpin utama kita yang buat begitu, para pegawai yang berkedudukan pun masih begitu, jadi bagi kalangan orang muda akan memikirkan, "Tak apalah, mereka pun tak pakai!"
Soal tutup aurat dan dedah aurat ini tidak ada kaitan dengan politik, kata ustaz. Ia adalah perintah Allah, bukan perintah pemimpin parti, atau kata ulamak tertentu.
Kemudiannya, budaya ikhtilat [pergaulan bebas] -- perkara yang sukar hendak dibanteras. Bukan ukuran bandar atau luar bandar lagi sekarang. Pergaulan bebas cara bandar lain, cara kampung lain pula. Kebebasan ini ada di mana-mana, lagipun anak muda memang suka kepada kebebasan. Ustaz bercakap di masjid, mana mereka dengar. Lainlah kalau ustaz bercakap di kedai mamak, atau bistro tempat bebudak kita berlonggok.
Kemudian, mereka yang mengabaikan hak-hak rumah tangga. Mereka yang mengabaikan pendidikan untuk anak-anak mereka. Membiarkan mereka tidak belajar agama, tidak kenal Islam. Semua ini adalah rambu-rambu yang digemari syaitan.
Ada perkara lain yang orang anggap enteng, iaitu mendapatkan pembantu rumah yang bukan Islam. Mereka fikir itu lebih selamat, sebab pembantu rumah ini tidak perlu sibuk solat dan puasa Ramadan. Bukan soal itu yang dibimbangi, tetapi bimbang mereka menyebarkan nilai-nilai kekufuran di rumah. Anak yang diasuh juga akan jagi begitu sikapnya; mereka boleh menularkan akhlak yang tercela; boleh bertindak apa sahaja kerana mereka tidak memiliki aqidah dan agama yang menyebabkan mereka takut melakukan sesuatu; kemungkinan mereka juga akan menyebarkan bid'ah dan khurafat; dan kalau mereka biasa berhubungan dengan ahli sihir [dukun, bomoh] mereka akan seenaknya menggunakan sihir untuk mententeramkan tuan rumah agar tidak bertindak kasar atau mendera.
Selain itu ada juga isi rumah yang terlampu mengagungkan budaya Barat, berlagak secara Barat, binaan rumah secara Barat, pemikiran pun Barat, berbicara dan berfikir secara Barat, dalam keadaan begini mereka akan memandang jiran-jirannya "kecil" sahaja sebab tidak ikut cara mereka. Padahal apabila seseorang itu terikut-ikut dengan cara mereka, maka ia umpama mengheret sejengkal atau sehasta demi sehasta, sampai masuk "ke lubang biawak" pun sanggup. Yang buat begitu bukan orang Yahudi dan Nasrani, tetapi umat kitalah!
Hal mengajak syaitan masuk rumah ini bukan perkara baru. Sudah lama diberitahu oleh Nabi s.a.w. Semak hadis-hadis yang mutawatir. Hanya kita tidak ambil peduli. Sebab bak kata ustaz atau pentazkirah umumnya, selagi Perdana Menteri tidak kempen agar umat jangan senang-senang mengajak syaitan masuk ke rumah baharulah orang lain sibuk berkempen HINDARI SYAITAN TERKUTUK! Seperti slogan 1Malaysia juga.
Tutup aurat boleh dikempenkan, berhati-hati kepada televisyen dan hiburan boleh dikempenkan, tetapi sukarlah kerana kita suka bermuka-muka. Selagi tidak dikempen, tidak potong pita, tidak diupacarakan maka syaitan bersuka-ria! [ Usamah bin Yasin al-Ma'ani, Amalan-amalan Pengundang Setan, terj. Munkaratul Insan Fima Yussalithul Jinn  asy-Syaitan, Solo: Zamzam, 2008]

Tuesday 5 March 2013

KENAPA KASAR SANGAT BAHASANYA?

Tentu ramai pendukung PR tidak membaca Utusan dan akhbar lain. Ada tak adanya, sekadar nak tahu apa yang mereka kecohkan. Itu sahaja.
Kita pun termasuk dalam kategori itu, lagipun pemboikotan itu masih berjalan sehingga keadaan yang akan menentukannya.
Cerita yang terbaru adalah kerja Utusan yang tidak habis-habis membantai, menyembelih sesiapa sahaja pemimpin dalam PR.
Utusan menganggap para pemimpin dari PR ini tidak layak bercakap untuk apa pun isu berkaitan dengan keselamatan negara. Mereka anggap, hanya pak menteri yang jaga hal ehwal itu sahaja yang layak, manakala orang lain tidak patut buat komen apa pun.
Itulah akhbar yang dikatakan sebagai penyebar fikiran rakyat. Hakikatnya, ia hanya menyebarkan fikiran para wartawan yang keadaan hidupnya seperti orang lain juga, mereka makan nasi lemak, minum teh tarik, atau roti canai dan teh "O" -- tak ada apa bezanya.
Akan tetapi kalau orang yang taksub parti Umno membacanya, timbullah rasa benci, rasa marah, darah naik, meluap-luap, sampai nak repot polis.
Keadaan di Lahad Datu itu sendiri sudahlah panas, media yang mendukung penguasa tambah memanaskan lagi keadaan, ia seolah-olah menghasut agar rakyat bencikan kepada seseorang tokoh.
Barangkali media ini mengambil kesempatan untuk membantai habis-habisan. Dikatakan orang itu biadap, tidak wajar berkata atau buat komen itu dan ini.
Kemelentingan itu terjadi begitu mendadak.
Mungkin orang akan tanya, kenapa nak melenting sangat? Tak dapat roti canai dan teh tarik lagikah? Dekat pejabat pun banyak gerai, pergilah sembang di sana, redakan fikiran, jangan ikut perasaan sangat.
Yang menjadi isu sekarang, media utama ini merasakan megah kerana mereka semacam jurubicara utama. Akan tetapi kalau kita semak laporan luar negeri, pihak luar tidak memetik pun sumber dari Utusan, malah mereka lebih yakin memetik sumber yang lain.
Paparan yang Utusan buat adalah untuk membantai dan menghentam individu sampaikan timbul gesaan nak lucutkan kerakyatan, apa salah dia? Sedangkan orang yang "menjual negara" pun tidak dilucutkan kerakyatan, kenapa begitu mudah memberi cadangan begitu ketika marah.
Cerita lucut kerakyatan ini sudah lama. Kalau ada apa-apa isu, semuanya nak buat komen, dan terlontarlah komen agar si fulan itu kerakyatannya dilucutkan.
Boleh jadi mereka fikirkan, tanah air ini hanya milik mereka sahaja. []

MASA KIAN SINGKAT, BENARKAH?

Biasa kedengaran di mana-mana orang sembang bahawa masa semakin singkat sekarang. Betapa tidak, zaman dahulu orang tidak memiliki jam tangan, tidak peduli masa. Semuanya bergantung kepada matahari, terbit fajar, matahari sepenggalah, tegak di kepala, condong, dan sebagainya. Hari ini, semua orang ada jam tangan, tidak cukup jam tangan, ada handphone dan gajet yang bermacam-macam. Semuanya mengingatkan kita kepada masa. Masa bertambah cepat kalau kita asyik fikirkan hujung bulan. Sudah masuk tengah bulan, kita asyik mengharap masa dipercepatkan. Hujung bulan boleh jadi ada acara penting, atau ada gaji, atau apa sahaja yang menggembirakan.
Selalunya kita mengharapkan masa bergulir lebih cepat kalau berhajatkan sesuatu. Tak sabar rasanya hendak sampai ke hari yang penting itu. Seperti orang yang mahu dibebaskan dari penjara. Atau menunggu tarikh mendapat ganjaran wang ringgit yang besar. Atau menunggu akan dapat anugerah yang paling berprestij. Atau menunggu hari album single akan dilancarkan. Buku baru berada di pasaran. Tidak sabar menunggu. Kalau boleh biarlah masa bergerak lebih cepat kerana ada hajat tertentu. Bagaimana kalau seseorang yang menunggu hukuman mati umpamanya? Adakah mereka mengharapkan masa dipercepatkan? Sudah tentu mereka ingin agar diperlahankan. Tidak mahu melihat kalendar dan jam. Tidak perlu bertanya warden penjara.
Berhubung perjalanan masa yang dirasakan begitu pantas sekarang, ia berpunca dari kesibukan umat. Kesibukan bekerja demi duniawi menyebabkan kita rasa masa begitu cepat berjalan.
Daripada Anas bin Malik r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (HR.at-Timirdzi)
Al-Karmani menyatakan maksud dengan singkatnya masa itu adalah apabila telah dicabut keberkatan daripada masa yang ada. Akibatnya, dalam sehari tidak banyak perkara yang boleh dilakukan oleh seseorang.
Apa yang dinyatakan dalam hadis tadi, ia adalah gambaran keadaan di akhir zaman. Umat akan merasakan masa semakin singkat. Ada orang kata, pejam celik, pejam celik, dah nak sambut puasa. Pejam celik, pejam celik, dah sampai hujung tahun. Masa dirasakan begitu pantas, padahal satu jam itu tetap 60 minit, dalam sehari semalam ada 24 jam! []

Monday 4 March 2013

TUMBAL: CAGAR NYAWA UNTUK IBLIS!

TEGANG. Begitulah keadaan yang berlaku di Sabah ketika paparan ini disiapkan.
Apa pun untuk meredakan ketegangan, elok disambung wacana tentang kemistikan yang nampaknya turut mendapat perhatian selain isu Sultan Sulu yang membingungkan itu.

Apa itu tumbal? 
Mengikut pengertian biasa di Malaysia, tumbal itu adalah berupa lakaran, tulisan jawi atau Arab, diberi grafik yang menarik seperti nak membuat wafak. Wafak sebagaimana umum mengetahui ia dibuat dalam bentuk lakaran [yang pandai melukis dan senigrafik]. Lakaran ini jika diletakkan di pintu rumah atau di mana-mana pun dalam rumah, ia dianggap sebagai tumbal. Maksudnya, kalau ada pencuri atau penceroboh [bukan Lahad Datu ya!] orang itu akan tengok rumah anda seperti kawasan tasik atau lautan. Maka penceroboh itu akan bingung, "Aku masuk rumah orang nak mencuri bukan nak tengok laut, apa nih?"
Akhirnya orang itu keluar semula. Tengok-tengok ia bukan lautan dan bukan tasik luas. Masuk lagi, dia nampak laut. Ingat, tak semua tumbal ada power demikian hebat. Ia hanya ilusi bagi penceroboh.
Tulisan huruf-huruf Arab ini tidak diketahui apa maknanya. Mungkin yang tukang lakar pun tak tahu apa maknanya, dia hanya buat benda itu untuk suka-suka. Datang orang yang kepercayaan mistiknya tinggi, maka dia berkenan untuk mendapatkannya. Ada yang ditanam bawah lantai rumah, konon untuk keselamatan dalam rumah. Inipun mitos sebenarnya. Wafak dengan tumbal ada kaitan. Itu menurut terminologi versi Malaysia. Bagaimana pula di Jawa sana?

Maksud tumbal
Dengan bahasa paling mudah, tumbal adalah apa balasan yang seseorang hendak beri kepada pihak yang telah menolongnya. Dalam kes ini tumbal lebih mengarah kepada perbuatan seseorang mengadakan perjanjian dengan syaitan atau iblis. Bukan perjanjian dengan manusia. Ini perjanjian yang hanya dilaksanakan di dalam dunia persugihan, dunia mendapatkan dana ghaib, dunia mendapatkan duit masuk dalam akaun secara ghaib dan macam-macam ilmu karut yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.
Jadi, kalau seseorang itu sudah buat aku janji dengan syaitan, iblis, atau jin [atau hantu apa pun] maka dia kena tunaikan janjinya. Biasanya seseorang yang hidupnya terdesak sanggup melontarkan janji apa sahaja termasuk ke bulan dan ke bintang.
Namun, adalah perkara yang memelikkan bagi mana-mana orang yang sanggup menggadaikan nyawa diri atau orang lain semata-mata kebingungan ketika membuat perjanjian dengan Pak Iblis tadi.

Jenis tumbal
Ada beberapa jenis tumbal yang biasa dijanjikan oleh orang yang terdesak bagi mendapatkan bantuan daripada iblis, syaitan atau sebagainya.
  • Tumbalkan nyawa musuh atau orang yang paling dibenci di dunia ini [jangan buat ya, ini hanya contoh untuk menjelaskan maksud tumbal tadi].
  • Tumbalkan nyawa ahli keluarga sendiri.
  • Tumbalkan umur sendiri.
  • Tumbalkan janin dalam kandungan.
Di antara empat jenis tumbal ini mana satu yang anda fikirkan?
Bagi yang tidak pernah menceburkan diri dalam kerja perdukunan dana ghaib, paranormal, supranatural, maka perkara ini tidak pernah dibayangkan seumur hidup pun.

Tumbalkan musuh
Inilah tumbal yang kerap dilakukan oleh mereka yang mabuk dengan keilmuan. Semua ini adalah gara-gara nasihat orang pintar atau jurukunci sesuatu ritual berkaitan dunia iblis. Kenapa mereka tumbalkan musuh yang paling dibenci di dunia ini? Dia rasa dengan menumbalkan musuh dirinya selamat, seseorang itu sanggup tumbalkan orang yang dibenci, termasuk bekas isteri, bekas tunang, saingan dalam perniagaan, atau memang bapak gangster yang digeruni. Biasanya mereka tumbalkan musuh atau orang dibenci kalau seseorang itu buat perjanjian sulit dengan Ratu Kidul, Blorong, Dewi Ayu Hutan Roban, Dewi Lanjur Sari atau Mbah Mintorejo [sebagai contoh]. Nama-nama ini semuanya berada di dalam kerajaan ghaib. Ilmu yang diguna adalah bertujuan mendapatkan kekayaan melimpah ruah untuk dunia semata-mata. Ilmu ini tidak ada kaitan dengan akhirat. Menurut sumber, musuh yang ditumbalkan itu paling lama dalam masa 100 hari akan terkena tumbalnya. Adakah orang yang berillmu atau amal ilmu Kidul atau Blorong itu yang membunuhnya? Tidak. Orang itu bersenang lenang menikmati tarian dangdut sambil mendakap pasangannya di lantai disko, sementara di luar sana, ketika masuk hari ke-100, orang yang ditumbalkan akan mengalami kecelakaan atau apa sahaja yang membawa kepada kematian.
Dalam bab ini, elok dihuraikan menurut pandangan Islam. Sebab penganut amalan ini walaupun kebanyakannya mengaku Islam, tetapi kesanggupan untuk "membunuh" orang lain secara penumbalan adalah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan Islam. Ketika bertemu pak dukun untuk mendapatkan ilmu, ketika melakukan berbagai ritual dan puasa karut semua, semua ini adalah tindakan yang bukan ajaran Islam. Ia ajaran syaitan belaka. Islam tidak mengajarkan tumbal. Istilah tumbal hanya dalam "kitab" mistik kesesatan. Kalau orang tidak tahu, angkara tumbal ini dianggap berpunca dari santet atau santau. Hakikat sebenarnya, ia memang "jerat" yang dipasang oleh seseorang yang beramal dengan ilmu karut lagi sesat.

Tumbalkan ahli keluarga
Maksudnya, sanggup buat aku janji kepada syaitan, jin, atau iblis, bahawa kalau seseorang itu telah mendapat kekayaan duniawi, limpahan wang, simpanan dalam bank tak muat buku, maka dia dengan rela menumbalkan isteri, menumbalkan anak lelaki atau perempuan, menumbalkan, ibu atau bapanya, menumbalkan nenek atau datuknya, cucu atau sesiapa sahaja. Biasanya dia menumbalkan mana-mana ahli keluarga yang bermasalah, yang menghadapi masalah penyakit, kurang upaya atau masalah mental. Orang yang itulah yang ditumbalkan. Jika isterinya termasuk dalam kategori itu, dia sanggup tumbalkan isteri. Menurut "temberang" daripada mereka yang bergelumang dalam dunia karut mistik ini, duit yang mereka peroleh dengan cara jual nyawa ini lebih banyak, berkepuk-kepuk, tidur atas duit. Jika yang dijual nyawanya itu orang yang paling disayangi, maka duitnya lagi banyak. Adakah sesiapa di dunia ini mereka yang mengaku umat Nabi Muhamad sallallahu alaihi wasallam sanggup melakukan tumbal begini? Usahkan tumbal, nak masuk kelab gila ini pun mereka tak mahu. Inilah pembunuhan misteri dalam keluarga sendiri. Sambil menunjukkan kedermawanan, membahagi-bahagi duit, ada motif di sebaliknya hendak menumbalkan seseorang yang disayangi, termasuk yang telah diberikan duit!

Tumbalkan umur sendiri
Maksudnya, tidak ada musuh atau orang dibenci untuk ditumbalkan. Tidak ada sesiapa nak ditumbalkan dalam keluarga, maka kena korban diri sendiri. Korbankan nyawanya, korban umurnya. Dia sanggup jual umur sendiri kepada Pak Syaitan, Pak Iblis dan Pak Jin Sugih.
"Kenapa kok tumbal umur sendiri?" tanya Pak Iblis.
"Saya tidak sanggup tumbalkan sesiapa pun dalam famili saya!"
"Pengakuan yang jujur," Pak Iblis memujinya. "Dan sekarang kamu tumbalkan umur kamu sendiri ya?"
"Ya, Pak Blis, lagipun saya sudah tua!" orang itu mengaku dan menyerah di depan Pak Iblis.
Pak Iblis ketawa suka. Memang ramai orang yang sanggup buat begitu seperti calon yang diperdaya itu.
"Apa kamu sudah fikir habis?" Pak Iblis seperti memelas kepada orang itu. Orang yang bodoh dan bingung kerana sanggup gadai nyawanya sendiri.
"Ya, sudah!"
"Tahu apa risikonya?"
"Tahu!"
"Kalau gitu, kamu diminta memilih, dalam jangka masa berapa tahun kamu nak tumbalkan umur kamu ini? Kamu diberi pilihan minimum lima tahun, kalau lebih tidak apa," jelas Pak Iblis.
Setelah memikir, orang itu menjawab: "Sepuluh tahun!"
"Berapa tahun? Ulang sekali lagi?"
"Sepuluh tahun!"
"Nah! Bererti anda mulai dari hari ini, dalam masa sepuluh tahun mendatang, ajalmu sudah ditetapkan," kata Pak Iblis sembari tertawa. Dia tertawa kerana dapat menyesatkan seorang lelaki dungu lagi bingung. Orang minta panjang umur dan dimurahkan rezeki bagi menambahkan amal, orang ini terjelepuk di bawah kaki iblis menyerahkan nyawanya dengan bertempoh.
Ini adalah amalan pelik dalam dunia mistik yang jarang kita ketahui.
Pak Iblis tertawa terbahak-bahak. Suaranya melengking kedengarannya, tetapi hanya lelaki bodoh itu sahaja yang mendengarnya.
"Kamu memang pintar! Kenapa saya bilang pintar? Ya kerana di antara dua tumbal, tumbal musuh dan ahli keluarga, tumbal umur ini mendatangkan wang yang banyak! Kamu akan dihormati kawan dan lawan, di dunia kamu dipandang hebat kerana kamu kaya, dengan wang yang ada kamu boleh baiki rumah kamu, besarkan, hebatkan, bina pagar besi yang tinggi, pasang pendingin hawa, pasang Astro, pasang pengawal, pasang amah, pasang isteri cantik dari kalangan selebriti, kamu boleh laburkan wang dalam bisnis apa sahaja, tapi ingat..." nasihat Pak Iblis sambil mengendurkan suaranya.
"Apa dia?"
"Sampai masanya nanti, dalam masa sepuluh tahun, kamu aku ambil untuk menjadi perajuritku! Kamu pula jadi seperti aku, jadi calon iblis untuk meramaikan umat Iblis! Mau??"
Perjanjian itu tidak boleh ditarik balik. Sudah dimaterikan. Sabar sahajalah menunggu ajalnya.
[Perjanjian iblis ini juga pelik, semuanya adalah ajaran syaitan yang merujuk kepada kitab mereka sahaja].

Tumbal janin
Maksudnya, mereka yang belajar ilmu karut untuk mendapatkan kekebalan, kekayaan, kehebatan dan sebagainya boleh menumbalkan janin dalam kandungan isteri, dalam kandungan anak yang baru melangsungkan perkahwinan, atau menumbalkan janin dalam perut cucu kesayangan yang baru menikah. Orang mabuk ilmu bukan kira apa. Kata orang, kalau ada janin yang tidak dikehendaki bolehlah ditumbalkan seperti pengamal ilmu ini. Dengan itu tidak ada kes buang bayi, kes sumbat janin dalam lubang tandas, atau sangkut janin di depan pagar masjid atau surau. Terbukti, menurut ilmu mistik karut ini, janjin yang dikehendaki untuk penumbalan adalah seperti syarat berikut:
1. Dari seorang ibu muda dan dari perbuatan jahat seorang lelaki sahaja [pengamal ilmu kena selidik dulu, dan kerja menyelidik ini macam jaga tepi kain orang, silap haribulan kena penampar pula].
2. Usia kandungan tidak boleh lebih dari 7 bulan.
Untuk mendapatkan janin seperti disebutkan bukanlah senang. Tak kan nak iklankan dalam akhbar harian atau majalah? Nak tampal makluman pada pokok kayu tepi jalan? Tampal di perhentian bas atau depan balai? Tidak ada sanggup buat kerja gila ini.
Di kalangan pengamal ilmu karut, tumbal inilah yang mereka cari. Mereka kena berkeliaran di kawasan lorong persundalan. Cari maklumat, masuk kelab dangdut, borak-borak dengan GRO atau risik pada kawan-kawan. Cari geng laluk.
Menurut kisahnya, janin ini tidak perlu menjalani operasi di klinik atau jumpa mak bidan kampung. Tak payah. Ia secara tak disedari telah "lenyap" kerana benda itu sudah ditumbalkan kepada Pak Iblis tadi.
Di antara empat tumbal tadi, orang lebih suka memilih tumbal janin dari pasangan muda.
Di tengah masyarakat yang rosak moral seperti sekarang, maka tugas untuk mencari tumbal janin tidaklah sukar. Hanya kalau seseorang itu malu dan berat mulut, maka sampai bila pun dia tak akan dapat tumbal. Kalau begitu lebih baik lupakan sahaja untuk amal ilmu tak berguna ini.

Paparan tadi bukan bertujuan mengajak orang lain ikut serta menjadi ahli kelab syaitan dan iblis. Ia dipaparkan bagi menggambarkan bahawa ada sisi lain yang orang tak peduli tentang dunia mistik yang caca-marba ini. Peminat ilmu karut yang menumbalkan empat "nyawa" tadi adalah mereka yang bukan manusia lagi. Mereka tergolong dalam kelompok iblis atau manusia iblis. Wallahu a'lam. []