Khabarnya filem kita yang fokus kepada dunia rock, meledak di panggung kecil, dan pungutan dari jualan tiket pun melonjak. Kini kutipan sampai berjuta bukan sesuatu yang menghairankan kerana harga tiket pun sudah melambung, tidak boleh disamakan dengan "box office" zaman 70-an atau 80-an.
Tanpa menyentuh mana-mana judul filem [kerana saya memang tidak masuk panggung] berdasarkan laporan ada yang mengatakan sesudah fokus kepada dunia muzik rock, ada pula usaha untuk mendedahkan dunia muzik zaman "Pop Yeah-Yeah" pula.
Biasalah dalam dunia pembikinan filem, mana-mana tema yang dapat sambutan, ia akan dijadikan bahan untuk filem mendatang. Filem genre seram masih laku dan cerita yang begini masih digemari orang. Dan sudah menjadi semacam "trend" kalau filem pertama laku, maka akan disusuli dengan siri ke-2 dan ke-3 pula. Ada juga siri yang tidak menjadi kerana orang sudah tahu jalan ceritanya.
Filem yang dibikin hari ini adalah untuk orang muda. Mungkin ada penggiat filem yang masih sudi untuk masuk panggung bagi mencari idea atau mahu tahu bagaimana lakonannya di sesebuah filem yang sedang ditayangkan, atau ingin tahu tindak balas penonton apabila menyaksikan lakonannya walaupun tampil hanya beberapa saat sahaja.
Dulu kita ada dengar, gara-gara lakonan main-main seorang cikgu kampung dan mainan itu dipaparkan dalam YouTube sampai ada yang tergoda untuk membuat sebuah filem khusus, cikgu itu diminta berlakon dalam filem tersebut. Apa sudah jadi? Begitu juga filem tentang "sirah" Zaiton Sameon yang sudah siap tetapi tidak kedengaran apa ceritanya pun.
Filem yang hanya fokus kepada individu tertentu, termasuk individu dalam mitos pencarian selalunya tidak dapat bertahan. Proses pembikinan filem bukan kerja seminggu siap. Ketika ia siap dengan sempurna, orang sudah lupa dengan cikgu kampung dan Zaiton Sameon tadi. Paparkanlah dalam media tentang dua tokoh mitos pencarian ini, ia tetap gagal memikat kerana penonton tidak "sezaman", tidak sealiran dengan mereka. Akhirnya berlakulah pembaziran!
Mungkin orang sudah lupa ada penggiat filem kita yang pernah mencanangkan akan membuat filem tentang Pasir Salak, tentang pembunuhan JWW Birch itu. Ia nampaknya tidak dapat diterjemahkan dalam bentuk hasil, sebuah filem entah fiksyen atau dokumentari. Ia juga sebuah pembaziran.
Bagaimana nasib filem yang akan digarap berhubung dengan "Pop Yeah-Yeah" itu?
Ia hanya selingan, seperti filem P Ramlee yang memuatkan adegan tari menari dan kemudian diselangi dengan adegan bertumbuk kerana berebut perempuan joget? Tema "Pop Yeah-Yeah" memang tidak boleh lari daripada budaya ini. Budaya kota yang semberawut, pengadaptasian The Beattles yang mengago-ago, twist Elvis dan kehidupan malam di Kuala Lumpur yang kehilangan arah dan tujuan.
Apa tema pusat untuk sebuah filem yang fokus kepada kegemilangan "Pop Yeah-Yeah?" Memanglah dunia ini kini hanya tinggal kenangan kepada generasi berusia angka 5 dan 6. Sebahagian besar telah membuang semua longgokan sampah budaya yang tidak bermanfaat itu. Maka bagi anak muda "Pop Yeah-Yeah" akan dilihat dalam bentuk kejanggalan, suatu bentuk budaya hedonisme yang membuatkan anak muda berilmu geleng kepala.
Tema filem yang fokus kepada rock, fokus kepada "Pop Yeah-Yeah" jika dijadikan rujukan untuk mengetahui corak kehidupan masyarakat yang sezaman dengannya akan melahirkan tanggapan menyimpang.Selanjutnya memberi gambaran kehidupan umat Melayu yang "luar biasa" dipandang dari sudut budaya dan sosial. Itu belum lagi berwacana tentang bagaimana kehidupan yang luar biasa itu berdepan dengan kebangkitan Islam ketika itu? []
No comments:
Post a Comment