Thursday, 28 March 2013

BUBAR: ADA BAIKNYA SAMPAI TAMAT TEMPOH

Barangkali rakyat boleh belajar daripada apa yang berlaku sekarang.
Apabila parlimen tidak dibubarkan pun, ada negeri-negeri tertentu yang DUNnya terbubar dengan sendirinya. Ini pelajaran dalam bidang politik yang orang tak tahu.
Satu lagi pelajaran dalam siasah yang orang nak tahu, bagaimana kalau Pusat dikuasai Barisan Nasional dan negeri pula oleh Pakatan Rakyat? Rakyat sudah tahu dengan merujuk kes negeri-negeri Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.
Rakyat juga tahu bahawa tidak semuanya diikuti oleh pihak Pusat apabila negeri-negeri itu dikuasai Pakatan Rakyat bagi menafikan hak-hak tertentu yang sepatutnya mereka dapatkan. Nampak jelas kaedah demokrasi yang kita amalkan ini ada baik dan ada buruknya.
Rakyat juga sudah tahu bagaimana orang politik yang telah lama berkuasa akan menggelabah kalau kedudukan mereka terjejas.
Bayangkan, di malam atau di pagi hari keputusan pilihan raya itu diketahui, sana-sini sibuk kalangan mereka mengatur siasat untuk buat "kerajaan campuran" bagi menyelamatkan kedudukan mereka. Mereka lupa bahawa golongan yang hendak diajak menyertai kerajaan itu adalah dari pihak musuh politik.
Inilah yang terjadi pada tahun 2008.
Rakyat juga tahu bahawa mana-mana orang politik boleh gunakan kedudukannya untuk mendapatkan laba, dengan cara "menjual kerusi" dengan nilai tinggi sampai jutaan ringgit. Inilah masanya hendak dapatkan duit sebanyak itu. Kalau kerja biasa jangan harap nak rasa. Masa terjadilah peristiwa lompat si katak lompat yang amat mengerikan suasana politik negara.
Rakyat sudah tahu sepak terajang dalam dunia politik.
Begitu juga rakyat sudah faham, ada kes rasuah yang sengaja dipalitkan bagi mendera seseorang Adun atau MP pun agar mereka beralih arah, dan kemudian kes itu dibersihkan agar menjadi "tidak bersalah" atau tidak cukup bukti!
Kes yang berlaku di Perak itu memang jadi bahan rujukan kepada sesiapa sahaja hendak menulis tesis tentang kecelaruan dalam berpolitik secara Malaysia.
Rakyat juga tahu bahawa orang yang melakukan kesalahan jenayah tidak semestinya mereka akan berada di dalam kurungan. Politik boleh mengubah segala-galanya.
Rakyat pun sudah faham, beruntunglah jadi orang politik yang berbaik dengan pihak Pusat kerana sebarang masalah boleh dirujuk, sebarang hal yang boleh memudaratkan diri dalam politik juga boleh dipulihkan menjadi biasa-biasa sahaja.
Seperkara lagi, rakyat pun sudah jelak dengan cerita video seks. Lagipun pelakon dalam video itu hanya melibatkan tokoh dari Pakatan Rakyat, seolah-olah memberi gambaran bahawa pemimpin dalam PR ini berbakat besar dalam bidang lakonan.
Hanya orang Melayu hairan, apa hukumnya menonton video seperti ini? Mengedarkanya dan menjadikan ia sebagai "bahan bukti" untuk mengaibkan seseorang? Bab ghibah ini perlu dipelajari sedalam-dalamnya oleh orang Melayu.
Betul kata orang kita, Melayu hanya faham agama setakat Maulidul Rasul, Israk Mikraj, solat Hari Raya Aidul Fitr, solat Hari Raya Qurban, solat Jumaat seminggu sekali [itupun ketika kutbah sibuk tengok FB, twitter dan sebagainya] manakala solat jenazah untuk ustaz-ustaz sahaja. Kemudian orang merasa cukup beragama tatkala menghadiri pembacaan Yasin dan Tahlil, merasa cukup beragama dengan berarak pakai baju Melayu sempena hari tertentu yang dirayakan, kemudian buka baju tuju panggung tengok wayang, atau pergi karaoke, atau dating dengan pacarnya. Sesuatu perlu diperbetulkan agar persepsi mereka tidak bercempera.
Sekarang orang bercakap tentang bubar Parlimen. Bila agaknya. Jangan ditanya lagi. Ia akan bubar dengan sendirinya. Ini mungkin sebagai kaedah pembelajaran untuk memahami politik yang sebenarnya. Ada lagi perkara yang rakyat beruntung dengan isu ini, cukuplah kita paparkan setakat ini sahaja. Wallahu a'lam. []

No comments:

Post a Comment