Wednesday, 27 March 2013

BERKAWAN DENGAN MAKHLUK ASING, BENARKAH?

Anda mungkin pernah menyaksikan filem garapan Steven Speilberg, EXTRA TERRESTRIAL [ET] yang pernah ditayangkan dulu. Buku-buku yang memaparkan makhluk pelik ini juga diterbitkan di sana-sini. Jadi kalau kita sebut bahawa makhluk halus yang hendak disebutkan ini menyerupai watak dalam ET itu membolehkan sesiapa sahaja menggambarkan bagaimana rupanya.
Kisah ini merujuk kepada filem rekaan itu yang bersentuhan tentang makhluk asing tadi.
Manusia memang suka meneroka yang baru. Sudah puas berkawan dengan manusia, mereka mahu berkawan dengan jin pula. Sudah puas dengan jin hendak berkawan dengan syaitan [sepatutnya kita usir dia dengan ayat-ayat al-Quran yang telah diajarkan]. Sudah puas berkawan dengan syaitan hendak cuba pula berkawan dengan Iblis termasuk Ifrit sekali [itupun kalau orang itu sanggup].
Kekadang, perangai jahat manusia seperti syaitan dan Iblis itu jadi pengibaratan. Kalau sesiapa berkawan dengan orang yang berperangai syaitan dan Iblis, maka orang itu mendapat keseronokan baru, menerima dosa yang lebih hebat dan parah lagi. Atau kerana ingin menambahkan koleksi dosa yang kian sarat.
Baiklah, di suatu tempat ada pula orang yang mendakwa dia boleh berkawan dengan makhluk pelik lagi asing yang rupanya serupa dalam watak filem ET. Macam tahu-tahu sahaja, agaknya, makhluk halus juga tengok wayang sekali bersama kita, setelah melihat, mereka pun menyamar sebagai makhluk yang serupa.
Seorang lelaki yang suka berkelana ke kawasan gunung, konon untuk duduk menyendiri dan memikirkan hal ehwal hutan, dia telah bertapa sampai beberapa bulan di Gunung Sumbing dan Gunung Dieng [di Jawa sana]. Sudah tentu kita tak sanggup buat begitu.
Konon ketika bertapa di gunung itu banyaklah makhluk halus yang mendekati diri orang itu dan ingin berkenalan dengannya. Ada yang dia boleh nampak makhluk itu dan ada yang bagai desiran angin angin. Hal ini sukar hendak diceritakan bagaimana situasinya.
Yang dia boleh lihat dengan mata kasar itu adalah dari ridha Allah s.w.t. Begitulah penjelasan orang itu. Dia juga selesa dipanggil ustaz.
Ketika di Gunung Sumbing, dia telah berkenalan dengan makhluk halus menyerupai makhluk dalam filem ET,  dia namakan makhluk itu sebagai Kluwuk.
Nama ini belum popular. Jangan nanti ada pembikin filem kita buat filem seram berjudul KLUWUK sudahlah.
Bagaimana rupa Kluwuk? Seperti watak dalam ET, begitulah rupanya. Matanya besar, leher jinjang, kaki pendek, tangannya panjang dan berkepala botak. Nak gambarkan bagaimana rupanya, cuba kenang semula filem garapan Steven Speilberg berjudul CLOSE ENCOUNTER [kalau tak salah penulis].
Lelaki yang pernah bertapa di gunung itu cerita, makhluk bernama Kluwuk itu sentiasa mendampinginya walau ke mana dia pergi. Pendeknya dia boleh ajak "budak" itu berjalan-jalan makan angin dan pergi ke mana sahaja. Bukan main kamcing keduanya. Kalau tak datang pun, "budak" itu boleh dipanggil supaya datang segera.
Lelaki yang orang sekeliling panggilnya sebagai ustaz itu mendedahkan kehebatan dirinya bahawa dia telah berkahwin dengan 17 jin perempuan -- cantik-cantik semuanya [cantik mengikut ukuran ustaz ini sahaja, kena faham tu].
Wah! Hebat. Ketika majlis "perkahwinan" itu diadakan, budak Kluwuk itu pun datang sama-sama meraikannya. Tetapi ini resepsi perkahwinan di alam mereka, alam bunian yang kita selalu sebut di Malaysia.
Apa kegemaran budak Kluwuk?
Katanya, Kluwuk suka makan pisang raja, pisang ambon dan hisap rokok Gudang Garam!
"Budak" ini tidak mahu makan buah-buahan lain, janganlah belikan Kluwuk anggur, epal, aprikot, betik, durian, manggis dan sebagainya. Ini "budak" jelmaan hasil daripada idea Steven Speilberg. Mungkin makhluk halus juga tengok wayang di panggung dan dapat idea agar meniru rupa dan bentuk watak dalam filem itu. Maka lahirlah Kluwuk.
Lelaki tadi, berkahwin dengan ramai isteri dari jenis jin [bunian], semua isteri-isteri itu boleh disuruh buat itu dan ini termasuk mendapatkan duit. Hebat juga lelaki itu kerana mencarik adat, mempunyai isteri "ghaib" yang ramai.
Kluwuk yang suka ikut dia tidak boleh buat apa. Hanya berkawan dan tumpang makan free sahaja. Kluwuk itu tidak ada jantina, bukan jantan dan bukan betina. Ia berbeza jika dibandingkan dengan jin biasa.
Apa faedahnya berkawan dengan "budak" serupa makhluk ET itu? Dia kata, walaupun makhluk ini tidak boleh tolong apa benda, ada kepintaran lain, Kluwuk boleh ditanya tentang fenomena alam ini. Kalau gitu dahsyatlah budak ini. Jabatan Kajicuaca kena dapatkan "seekor" budak jenis Kluwuk untuk ditanya mengenai fenomena cuaca dan gempa bumi atau tsunami. Orang yang berkawan dengan Kluwuk kata, "budak" Kluwuk itu ramalannya akurat!
Menurut kata ustaz itu, makhluk serupa watak ET itu bukannya makhluk UFO dari planet luar. Ia masih tinggal di bumi juga macam jin. Ia jin yang khusus dan bukan jin biasa. Konon jenis ini banyak tinggal di kawasan pergunungan di China sana. Akan tetapi jangan fikir ada banyak Kluwuk di seluruh dunia ini, sebab ada kira-kira 100 ekor sahaja.
Kelebihan makhluk macam ET ini adalah bergerak dengan pantas dari satu tempat ke tempat lain. Dia bergerak ikut angin. Tidak ada siapa nampak kalau ia bergerak bersama angin -- kecuali orang macam ustaz tadi [?].
Bagaimana ustaz tadi boleh berkawan dengan "budak" persis watak dalam filem ET itu? Dia kata hanya dengan bersemedi [kaedahnya] dan dengan kekuatan doa. [Misteri, Bil.555, 2013].

No comments:

Post a Comment