Friday, 8 March 2013

KEPADA PARA SYAITAN, SILAKAN MASUK!

Begitulah agaknya. Setiap orang nampaknya mengalu-alukan kedatangan syaitan masuk ke rumah. Mana kamu tahu syaitan masuk rumah? Kamu nampakkah? Ya, tentu ada yang tanya begitu, sebab mereka tak pernah fikir pun bahawa beberapa perkara yang ada di rumah setiap orang kita adalah umpama pelawaan kepada Sang Syaitan supaya masuk ke rumah. Maka bersukacitalah para syaitan kerana banyak rumah yang  membuka laluan kepada syaitan untuk sama-sama melipur-lara dalam rumah.
Apa benda yang disukai syaitan?
Tentunya semua orang memiliki televisyen di rumah. Sesiapa yang tak ada televisyen dianggap orang tak mampu. Televisyen murah pun tak mampu beli. Tak apa. Kalau mereka fikir lebih baik tak payah tengok televisyen, ia tidak menjadi masalah. Tak dapat maklumat pun tak apa. Televisyen itu menghiburkan, ada tayangan berbagai acara, siaran secara langsung atau tak langsung. Televisyen adalah objek yang sengaja ditempah untuk penghuni rumah mengundang syaitan. Syaitan pun ikut tengok televisyen.
Selain televisyen, syaitan juga masuk ke rumah sebab nak tumpang dengar lagu dan bungi alat-alat muzik. Tidak kira apa genre lagu dan nyanyiannya. Syaitan tetap suka dengan muzik dan nyanyian. Lagipun, televisyen dan radio semuanya siarkan muzik dan nyanyian. Syaitan pun tumbang sekaki nak dengar lagu. Tambahan kalau dalam rumah suka berkaraoke sampai berjam-jam. Kalau suara dikumandangkan sampai keluar tingkap dan jiran-jiran boleh tumpang dengar lagilah bagus. Syaitan suka kalau lagu dan bunyi alat muzik itu diperdengarkan.
Syaitan pun suka kalau di rumah kita ada gambar, foto, lukisan  dan ada ukiran makhluk bernyawa. Gambar atau lukisan yang ditempat di sebuah Pusat Seni itu elok digantung, jadikan ia sebagai hiasan dinding. Ayam berlaga, gambar harimau Malaya, gambar kuda sakti, kuda terbang bersayap, dan bukan tidak ada yang gantung gambar budak terbang pegang anak panah.
Kalau pergi luar negeri, atau tempat longgokan barang antik, jangan lupa belilah patung-patung ukiran kayu, gangsa atau sebagainya. Letak di atas meja. Tetamu datang pasti bertanya, dapat dari mana benda itu? Minat seni macam ini memang bagus. Kena pula letak ukiran patung golongan pagan. Sebagai peminat seni ukir begitu, memang layaklah mempamerkan benda-benda itu semua kepada tetamu.
Ada juga hanya suka-suka nak pelihara anjing. Bukan tujuan nak berburu atau jaga kebun.
Penghuni rumah pula, mempamerkan budaya dedah aurat. Kalau emak tak tutup aurat, anak apa lagilah. Semua ini asuhan dari rumah. Dan geng yang tak tutup aurat itu selalunya mempamerkan kebiasaan mereka sampai ke majlis kenduri perkahwinan, majlis apa pun yang diadakan di mana-mana.
Tadi semasa tazkirah sebelum solat Jumaat, ustaz ada sebut mengenai tutup aurat. Masih ramai umat kita yang tidak faham, kenapa kita mesti tutup aurat. Mungkin semua ini kerana pengaruh televisyen juga, masih ada pemimpin utama kita yang buat begitu, para pegawai yang berkedudukan pun masih begitu, jadi bagi kalangan orang muda akan memikirkan, "Tak apalah, mereka pun tak pakai!"
Soal tutup aurat dan dedah aurat ini tidak ada kaitan dengan politik, kata ustaz. Ia adalah perintah Allah, bukan perintah pemimpin parti, atau kata ulamak tertentu.
Kemudiannya, budaya ikhtilat [pergaulan bebas] -- perkara yang sukar hendak dibanteras. Bukan ukuran bandar atau luar bandar lagi sekarang. Pergaulan bebas cara bandar lain, cara kampung lain pula. Kebebasan ini ada di mana-mana, lagipun anak muda memang suka kepada kebebasan. Ustaz bercakap di masjid, mana mereka dengar. Lainlah kalau ustaz bercakap di kedai mamak, atau bistro tempat bebudak kita berlonggok.
Kemudian, mereka yang mengabaikan hak-hak rumah tangga. Mereka yang mengabaikan pendidikan untuk anak-anak mereka. Membiarkan mereka tidak belajar agama, tidak kenal Islam. Semua ini adalah rambu-rambu yang digemari syaitan.
Ada perkara lain yang orang anggap enteng, iaitu mendapatkan pembantu rumah yang bukan Islam. Mereka fikir itu lebih selamat, sebab pembantu rumah ini tidak perlu sibuk solat dan puasa Ramadan. Bukan soal itu yang dibimbangi, tetapi bimbang mereka menyebarkan nilai-nilai kekufuran di rumah. Anak yang diasuh juga akan jagi begitu sikapnya; mereka boleh menularkan akhlak yang tercela; boleh bertindak apa sahaja kerana mereka tidak memiliki aqidah dan agama yang menyebabkan mereka takut melakukan sesuatu; kemungkinan mereka juga akan menyebarkan bid'ah dan khurafat; dan kalau mereka biasa berhubungan dengan ahli sihir [dukun, bomoh] mereka akan seenaknya menggunakan sihir untuk mententeramkan tuan rumah agar tidak bertindak kasar atau mendera.
Selain itu ada juga isi rumah yang terlampu mengagungkan budaya Barat, berlagak secara Barat, binaan rumah secara Barat, pemikiran pun Barat, berbicara dan berfikir secara Barat, dalam keadaan begini mereka akan memandang jiran-jirannya "kecil" sahaja sebab tidak ikut cara mereka. Padahal apabila seseorang itu terikut-ikut dengan cara mereka, maka ia umpama mengheret sejengkal atau sehasta demi sehasta, sampai masuk "ke lubang biawak" pun sanggup. Yang buat begitu bukan orang Yahudi dan Nasrani, tetapi umat kitalah!
Hal mengajak syaitan masuk rumah ini bukan perkara baru. Sudah lama diberitahu oleh Nabi s.a.w. Semak hadis-hadis yang mutawatir. Hanya kita tidak ambil peduli. Sebab bak kata ustaz atau pentazkirah umumnya, selagi Perdana Menteri tidak kempen agar umat jangan senang-senang mengajak syaitan masuk ke rumah baharulah orang lain sibuk berkempen HINDARI SYAITAN TERKUTUK! Seperti slogan 1Malaysia juga.
Tutup aurat boleh dikempenkan, berhati-hati kepada televisyen dan hiburan boleh dikempenkan, tetapi sukarlah kerana kita suka bermuka-muka. Selagi tidak dikempen, tidak potong pita, tidak diupacarakan maka syaitan bersuka-ria! [ Usamah bin Yasin al-Ma'ani, Amalan-amalan Pengundang Setan, terj. Munkaratul Insan Fima Yussalithul Jinn  asy-Syaitan, Solo: Zamzam, 2008]

No comments:

Post a Comment