Di masa silam peranan Pak Dukun dan Mak Dukun memang diperlukan. Jika ada sesuatu perkara yang berkaitan dengan khidmat perdukunan, maka keduanya akan dijadikan tempat mengadu. Orang kampung biasanya tahu siapa yang jadi dukun di sesebuah kampung. Kepada dukun itulah mereka merujukkan apa perkara pun termasuk hendak mengupacarakan sesuatu peradatan yang sudah rasmi dilakukan kebanyakan orang.
Ketika itu, dukun diibaratkan "doktor" untuk mendapat penyembuhan. Ada perkara yang logik dan ada yang tidak, namun, sesuai dengan zamannya, peranan dukun hanya terbatas kepada perkara yang berkaitan kemistikan.
Tidak hairanlah, pada masa silam ada dukun yang berkhidmat untuk melayani apa sahaja kehendak orang ramai. Jika hendak menganiaya orang, sila bisikkan kepada dukun itu, mana tahu dia memiliki resipi untuk melaksanakan kehendak pasiennya.
Begitu juga kalau ada fikiran jahat hendak mengenakan orang yang dibenci, maka kepada dukun jugalah perkara itu dibisikkan. Ia jadi rahsia dukun. Pendeknya, dukun akan menyimpan rahsia pasien, jangan pecah di mulut.
Pak dukun kena menyendiri, jangan berjemaah atau bergaul lebih-lebih dengan seseorang takut nanti akan timbul fitnah.
Di sesebuah kampung, sudah menjadi lumrah, seandainya ada sesuatu kisah misteri, seumpama orang sakit misteri, maka akan timbul suatu tanggapan negatif, bahawa orang itu kena buatan orang. Siapa yang membuatnya? Sudah tentu orang yang dengki kepada orang itu. Orang yang dengki tidak ada kemahiran mengenakan sesuatu kepada orang itu, maka yang jadi perantara adalah para dukun.
Di dalam dunia penyihiran Melayu ada beberapa matlamat yang diharapkan oleh pasien apabila mendatangi pak dukun. Ingat, mendatangi pak dukun pun merupakan suatu kenistaan apalagi hendak mempercayai kata-kata mereka. Betapa bohong sekalipun, pasien akan mempercayai dan meyakini bulat-bulat kerana ia dituturkan oleh pak dukun yang kononnya mengetahui sesuatu yang "ghaib" rendahan.
Maka, pihak pasien akan meminta yang bukan-bukan kepada pak dukun.
Ada beberapa perkara yang mereka harapkan daripada orang pintar bergelar pak dukun atau mak dukun/nek dukun.
MEMBUNUH
Ada khidmat untuk membunuh atau mencederakan seseorang. Biasanya pak dukun akan meminta pasien membawakan benda-benda atau bahan sebagai alat untuk tugas pembunuhan itu. Dia akan merujuk kitab "primbonnya" dan meminta orang itu datang semula dengan membawa benda-benda mistik sebagai sarana pembuatan. Ia termasuklah benda-benda tajam yang boleh meluka dan meyakitkan; benda-benda yang bersifat panas, bisa, gatal dan miang; juga disediakan benda-benda yang boleh disapu, dicalit, ditabur dan ditanam; pak dukun juga menyediakan patung-patung yang dibentuk menyerupai seseorang sebagai penujuan simbolik.
MENGGANGGU EMOSI DAN PERASAAN
Pak dukun diminta oleh pasien agar mengganggu perasaan orang yang ditujukan dengan benda-benda yang boleh menyebabkan orang yang dituju itu persis kebingungan, berserabut dan tidak keruan hidupnya. Benda-benda bertali atau kain berbagai warna dijadikan sarana tujuan. Ada juga benda-benda mistik baik dari benda biasa atau dari haiwan yang ada karakter lembab, dungu dan pemalu [kokang]; juga menggunakan benda-benda kotor, busuk dan menjijikkan.
MENGGANGGU HUBUNGAN
Biasanya kalau pasien ada kedengkian terhadap pasangan tertentu. Pak dukun diminta mengenakan orang itu agar pasangan itu tidak haromoni lagi. Biasanya sarana yang digunakan adalah anggota bahan haiwan yang mempunyai sifat garang, suka berkelahi; termasuklah benda-benda yang bersifat panas, sejuk, busuk dan menyakitkan. Benda-benda mistik itu mempunyai ciri bertentangan dan berlainan warna.
MENGUASAI DAN MEMUKAU
Pasien berkehendak agar dia dapat menguasai, memikat, memukau seseorang yang ditujukan. Pak dukun akan menggunakan benda-benda yang menghasilkan asap, bau yang boleh dihidu, benda-benda yang boleh disapukan, dicalitkan, ditabur atau ditanam secara rahsia. Pak dukun menggunakan sarana patung bikinan yang dianggap sebagai mewakili orang yang ditujukan. Termasuklah benda kotor dan menjijikkan.
KHIANAT
Pasien meminta pak dukun agar mengenakan seseorang secara khianat. Menggunakan sarana benda-benda yang boleh disapukan, dicalit, ditabur dan ditanam seperti di atas tadi. Biasanya benda yasng kotor dan menjijikkan.
Semua perkara mistik dan pelik yang disediakan oleh pak dukun ini bukan datang dari "primbonan" atau kitab perdukunan kuno, malah ada yang dirujuk berdasarkan pengalaman diri pak dukun, atau pengalaman pak dan mak dukun lainnya. Mereka saling bertukar idea dan pengalaman dalam hubungan yang serba rahsia. Jadi, selain itu mereka juga ada hubungan secara langsung dengan makhluk halus, itulah jin-jin jahat yang dipujanya.
Apabila terjadi keperihalan misteri di sesebuah kampung, masyarakat akan memberi tanggapan bahawa semua ini dilakukan oleh seseorang yang menjadi musuh atau seteru seseorang. Masyarakat menyalahkan Si B atau Si C yang mengenakan sesuatu kepada orang yang terkena "buatan orang" sebaliknya pak dukun dan mak dukun berada dalam posisi selamat.
Seandainya, orang yang terkena penyakit buatan itu merujuk kepada pak dukun yang sama, maka pak dukun akan melayani macam biasa. Pak dukun boleh membuang semua benda yang telah dia kenakan mengikut kehendak pasiennya dulu. Dia boleh lakukan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan orang yang berkehendak mengenakan orang suatu ketika dulu.
Kepandaian pak dukun atau mak dukun "mengubati" orang yang terkena tadi dianggap suatu penghormatan. Maka naiklah kedudukan pak dukun tadi. Orang kampung akan puji dia kerana dapat membuang masalah yang menimpa pesakit. Hakikat sebaliknya orang tidak tahu, semua ini adalah permainan dia seorang.
Pihak dukun melayani kedua-duanya dengan upah yang kecil atau upah berupa barang-barang dapur, beras, ikan masin, asam garam, rokok, tembakau dan sebagainya. Tidak ada bayaran sehebat sekarang sampai mencecah ribuan ringgit bagi perkhidmatan yang bukan-bukan, atau sengaja diada-adakan.
Apabila berlaku isu pak dukun menipu atau dituduh mengenakan seseorang, maka hebohlah seisi kampung. Ada juga orang yang bertindak melulu dengan menuduh orang lain, orang yang tidak ada kait mengait dengan kerja perdukunan pun hanya kerana orang itu berwatak pelik, pakaiannya ganjil, atau jenis menyendiri tak jenguk masjid.
SUKAR
Undang-undang moden agak sukar untuk menentukan siapa yang mengenakan sihir kepada seseorang. Selama ini kita pernah mendengar bagaimana olah pak dukun termasuk pak dukun gadungan yang menipu orang ramai. Pak dukun mengeruk duit, mengeruk harta kekayaan pasien yang berkedudukan kerana bingung dan percaya bahawa pak dukun boleh memantapkan kedudukan dalam politik dan sebagainya.
Kes ini sudah terjadi di negara kita. Gejala memfitnah seseorang sebagai ahli sihir atau pak dukun juga perlu satu undang-undang khusus mengenai kesihiran. Jika tidak, memang aniayalah orang yang tak tahu apa dituduh sebagai punca orang lain sakit misteri.
Suami isteri tidak harmoni dituduhnya jiran sebelah yang cemburu kerana hidupnya mewah. Dek kerana syak wasangka ini ia jadi bahan gossip kampung. Sembang depan pintu mengatakan si fulan itu jahat, orang itu kena buatan orang, kena buatan mak atau pak dukun itu, atau dikenakan oleh si fulan dan si fulan.
BELASAH DUKUN
Di India, gara-gara tuduh menuduh ini boleh membawa kematian. Di Jawa gara-gara dituduh sebagai dukun santet, seorang penduduk kampung dibelasah ramai-ramai. Ada orang yang difitnah sebagai mak dukun telah ditangkap dan ditelanjangkan, dimalukan, bahkan ada yang dibalun sampai lembik.
Jadi, dalam perkara undang-undang membanteras gejala perdukunan, gejala ilmu sihir ini, ada beberapa pihak yang terlibat. Pak dan mak dukun sudah tentu jadi orang yang disangka sebagai pelakunya, tetapi ada juga sangkaan terkena kepada orang yang tidak berkaitan hanya kerana dia berkawan dengan pak dan mak dukun.
Di India ada kes penduduk kampung yang dituduh sebagai ahli sihir [dukun] dibunuh oleh penduduk kampung dengan kejamnya.
Dari kes itu kemudian digubal undang-undang Witchcraft Atrocities (Prevention) Act 2005 di negeri Chhattisgarh, gunanya untuk melindungi kaum wanita yang sering dituduh mengamalkan ilmu sihir. Sesiapa yang mendakwa seseorang wanita itu sebagai tonhi [ahli sihir] atau telah mengenakan gangguan fizikal atau mental kepada mana-mana wanita tersebut.
Kejadian membelasah wanita yang disyaki ahli sihir atau hanya berbentuk tuduhan sudah banyak berlaku di Afrika yang masih kuat dengan amalan menggunakan dukun atau ahli sihir.
Undang-undang terpaksa digubal untuk menyelamatkan perbuatan karut orang ramai membelasah seseorang tanpa usul periksa atau mengikut tanggapan ketua kampung yang dihormati.
JANDA BOGEL
Di India pernah terjadi kes memalukan, seorang janda berusia 54 dituduh melakukan kerja sihir. Dia telah ditangkap dan diarak ramai-ramai dalam keadaan bogel, kemudian dibelasah hingga mati. Jadi, baik di India atau Afrika, mereka telah membuat undang-undang bagi membanteras perbuatan menuduh seseorang sebagai ahli sihir oleh orang awam. Orang kampung tidak boleh suka-suka menuduh dan kemudian membelasah orang yang dituduh.
Di Arab Saudi, sudah banyak kes ahli sihir menghadapi hukuman mati dipenggal. Kebanyakan yang terlibat adalah kaum wanita.
Nampaknya, memang begitulah, baik di Afrika, India dan Arab sekalipun, kaum wanita lebih ramai yang mahir dalam bidang kesihiran [baca perdukunan].
Di negara kita pada masa silam watak-watak wanita penyihir ini memang ada apabila seseorang itu mengkaji tentang hakikat santau, hakikat tuju-tuju, langsuir, dan hal-hal lain yang berbau mistik. Gambaran ini juga terdapat dalam filem dan drama mistik.
Diharapkan, dengan dunia yang telah berubah, sikap dan pandangan serong begini boleh diubah. Namun, bukan tidak ada kaum wanita yang mengiklankan kepandaiannya dalam bab susuk, merawat kes berkaitan saka, makhluk halus dan sebagainya. Tidak diiklankan dalam akhbar tabloid atau majalah misteri, mereka iklankan di batang pokok tepi jalan, dinding bangunan kedai dan sebagainya. Sama-samalah kita jauhi amalan yang tidak bermanfaat ini, kerana ia adalah kerja kaum pagan zaman kuno. Masih disayangi oleh sebahagian umat yang ingin mencuba-cuba. Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment