Hujan lebat dan kilat, petir sabung menyabung. Kalau dalam cerita zaman dulu, itu adalah tanda-tanda ada sesuatu yang berlaku. Pengarang zaman dulu menjadikan ia sebagai mukadimah bagi menggambarkan kehebatan sesuatu, umpamanya ketika itulah konon lahirnya seorang putera atau puteri raja. Kalau lelaki digambarkan ketampanannya, kalau perempuan digambarkan kecantikan yang tiada bandingannya walaupun ia tidaklah tampan dan tidak cantik mengikut ukuran zaman sekarang.
Nah, ada cerita dari hujan lebat dan petir sabung menyabung tadi di suatu tempat.
Ceritanya ketika itulah, dari kejauhan seseorang terpandang benda pelik berputar-putar dan bertembungan di langit. Dan kemudian ia semakin mendekat, tepat di atas bumbung rumah seorang kiayi. Disebabkan kiayi itu bukan orang lain, melainkan Sang Guru yang telah memberikan seberkas ilmu, maka yang melihat tadi tidak lelap tidur memikirkan hal pelik yang berputar-putar di angkasa dan kemudian lenyap di atas bumbung rumah itu.
Apa benda yang berputaran itu?
Di zaman moden sekarang, orang tak peduli ada hujan lebat atau petir pun. Semuanya lepak dalam bangunan kerana hujan lebat. Mereka tidak melihat apa yang ada di langit. Tidak melihat pun kilat yang memancar sebelum dentuman menggelegar bumi.
NAGA
Apa yang dilihatnya? Orang itu mendakwa dia melihat dua ekor naga!
Siapa pun di dunia ini tak pernah tengok naga yang hidup. Ada tak adanya kita tengok gambar naga, tengok ukiran berbentuk naga yang menghias rumah-rumah ibadat orang bukan Islam. Lingkaran naga dengan mata besar melotot, lidahnya terjulur, itu adalah gambaran pelukis sahaja. Hakikat naga sebenarnya orang tak tahu.
Kisah naga bukan tidak ada yang mengaitkannya dengan dunia luar biasa.
Dunia mistikal yang orang biasa tak fikir apa pun tentangnya.
Maka orang yang melihat naga melingkar di langit itu kemudian menemui Sang Guru yang dianggap sebagai gurunya Syareatul Khotam.
Kenapa orang ini begitu risau terhadap Sang Guru kerana ada naga menari di atas bumbung rumahnya?
Dia risau kalau naga-naga itu membawa bencana atau alamat tak baik kepada Sang Guru.
Akhirnya, dia mendapat jawapan yang menyegarkan dari mulut Sang Guru.
Kata Sang Guru ketika hujan lebat dan petir berguntur itu, dia telah didatangi oleh tetamu asing, dua ekor naga yang kelihatan di langit itu.
"Aku dikunjungi dua tetamu istimewa," ujar Sang Guru sembari senyum. "Mereka berdua adalah makhluk suruhan dari Puteri Bilqis Alamul Azrak! Keduanya datang atas arahan puteri bagi melihat keadaanku sekarang. Keduanya mengenalkan diri sebagai Naga Tirta!"
Mendengar cerita Sang Guru, maka bertambah pelik dan kacaulah jiwanya.
Puteri Bilqis atau Puteri Balqis?
Adakah Puteri Balqis dari Saba seperti yang diceritakan di zaman Nabi Sulaiman a.s. itu?
Kemudian disebut Alamul Azrak, ini adalah istilah dalam dunia kemistikan yang tidak dapat digapai oleh orang biasa melainkan oleh Sang Guru itu sahaja.
Kalau benar "naga" itu datang atas perintah Puteri Bilqis, apakah ia ada kaitan dengan Puteri Balqis dari Saba? Sedangkan keadaan di Yaman sekarang pun tidak berapa aman, ada sahaja gangguan dari puak-puak Syiah Rafidhah, elok benar kalau "naga" itu membantu mengalahkan puak-puak Rafidhah itu.
ALAM AZRAK
Cerita bertambah pelik lagi kerana, konon dua tetamu yang datang ke rumah Kiayi itu datang dari negeri jauh dari alam Azrak.
Konon di alam sana itu, naga-naga hidup berdampingan dengan manusia [mulukul ardhi]. Ia adalah haiwan suruhan puteri.
Naga ini konon tinggalan dari zaman Nabi Sulaiman a.s. masa silam. Ia merupakan makhluk siluman dari keturunan nenek moyang Purwacarita awal [ maksudnya zaman sebelum Nabi Sulaiman a.s.].
Untuk mengetahui cerita yang berbelit macam ular naga ini, kita kena melongok zaman prasejarah, kerana pada masa itu konon ada empat jenis naga yang popular.
NAMA NAGA
Di kalangan orang Jawa, naga-naga itu diberi nama Lewang, Tanun, Taji dan Seleman.
Tidak tahu dari kitab kuno mana ada penceritaan tentang penjenisan naga ini.
[1]. Dikhabarkan, yang Lewang itu sudah ada pada zaman Nabi Sulaiman a.s., dari keturunan naga tanpa sayap, berada di bumi lapisan ke empat dan ia akan muncul sebelum kiamat kelak. Naga jenis ini melahirkan keturunan setiap seribu tahun sekali.
[2]. Naga jenis Tanun pula kononnya ada kaitan dengan penciptaan jin Irjis. Ia bersayap kecil dan boleh terbang dengan cepat macam kilat. Jin Irjis ini jenis perosak bumi dan lautan.
[3]. Naga jenis Tajik merupakan makhluk pertapaan. Ia boleh menghancurkan sebahagian dasar bumi. Ia konon dari keturunan bangsa makhluk halus [lelembut] di bawah kekuasaan Nabi Khidir a.s. Naga ini tinggal dalam lapisan bumi ke-4 dan ke-5, ia akan muncul setelah Nabi Isa a.s. turun ke bumi.
[4]. Naga Seleman pula konon lahir sejak zaman purwacarita. Peliknya orang boleh tahu ia berasal dari jenis jin "Togog" yang pernah dikalahkan pada zaman Nabi Sulaiman a.s. Setelah kalah, naga ini dijadikan tunggangan puteri, putera dan para pertapa sakti.
Naga jenis juga disebut sebagai "Mulukul Ardhi" atau penjaga bumi [saya teringat sebuah jurnal terbitan sebuah unversiti di utara yang ada memaparkan kisah naga ini dengan lebih terperinci, sayang saya lupa nama jurnal dan esei yang berkaitan tentang naga ini].
MULUKUL ARDHI
Kenapa jin itu datang menemui Kiayi ketika hujan lebat dan petir sabung menyabung?
Kata Sang Guru itu, ia adalah kunjungan biasa Sang Naga. Itu bagi menggambarkan ada hubungan antara manusia dengan bangsa makhluk halus dari puak Mulukul Ardhi. Kenapa makhluk tak kasat mata ini menemui manusia di bumi sebagai khalifahnya? Konon, seluruh makhluk halus, tak kira apa namanya yang kita biasa sebut, tidak boleh melakukan sesuatu kalau tidak meminta izin terlebih dulu daripada para "Ahlullah Wilayah" -- atau ahli ma'arif bumi.
Kedatangan makhluk ini menurut kalangan yang menekuni bidang ini dianggap sebagai thobbi'iyyah, seperti mengunjungi orang berilmu untuk mendapatkan izin bagi sesuatu perkara, kerana Sang Guru itu adalah "sultan" atau penguasa alam.
Masih menjadi rahsia, ketika ditanya bagaimana Sang Guru boleh kata bahawa naga pelik yang bertukar jadi manusia biasa itu datang dari alam Azrak?
Guru itu kata, apabila orang yang bertanya itu sudah sampai ke tahap memahami makna ROH baharulah dapat memahami kenapa ada manusia boleh berhubungan dengan makhluk yang luar biasa itu. Kata guru, hanya mereka yang faham makna TAUHID akan mudah memahami fenomena mistik ini.
Akhirnya, borak punya borak, Sang Guru pun berkisah, bukan kisah alam Azrak yang memelikkan itu, tetapi tentang apa yang dia amalkan pada masa dulu.
AMAL BACA ASMAK
Dia kata, dia telah amalkan asmak BAHROINI YALTAQIYAN. Amalan ini kata guru ada kaitannya dengan penaklukan seluruh makhluk alam semesta.
Kerana Sang Guru mengamalkan asmak pendek itulah, dia telah dikunjungi "naga mistik" ketika hujan lebat dan petir sabung menyabung.
Tentang asmak ini, tidak ada penjelasan lebih mendalam, apa yang dibaca, apa asmaknya dan kaedahnya secara terperinci. Sanad ilmu ini pun tidak diketahui asal-muasalnya, kecuali dari penceritaan sang murid tentang gurunya yang memelikkan itu. [Disari dan komentar dari Misteri, Bil.555, Ed.20 Mac 2013].
No comments:
Post a Comment