Tentu ramai pendukung PR tidak membaca Utusan dan akhbar lain. Ada tak adanya, sekadar nak tahu apa yang mereka kecohkan. Itu sahaja.
Kita pun termasuk dalam kategori itu, lagipun pemboikotan itu masih berjalan sehingga keadaan yang akan menentukannya.
Cerita yang terbaru adalah kerja Utusan yang tidak habis-habis membantai, menyembelih sesiapa sahaja pemimpin dalam PR.
Utusan menganggap para pemimpin dari PR ini tidak layak bercakap untuk apa pun isu berkaitan dengan keselamatan negara. Mereka anggap, hanya pak menteri yang jaga hal ehwal itu sahaja yang layak, manakala orang lain tidak patut buat komen apa pun.
Itulah akhbar yang dikatakan sebagai penyebar fikiran rakyat. Hakikatnya, ia hanya menyebarkan fikiran para wartawan yang keadaan hidupnya seperti orang lain juga, mereka makan nasi lemak, minum teh tarik, atau roti canai dan teh "O" -- tak ada apa bezanya.
Akan tetapi kalau orang yang taksub parti Umno membacanya, timbullah rasa benci, rasa marah, darah naik, meluap-luap, sampai nak repot polis.
Keadaan di Lahad Datu itu sendiri sudahlah panas, media yang mendukung penguasa tambah memanaskan lagi keadaan, ia seolah-olah menghasut agar rakyat bencikan kepada seseorang tokoh.
Barangkali media ini mengambil kesempatan untuk membantai habis-habisan. Dikatakan orang itu biadap, tidak wajar berkata atau buat komen itu dan ini.
Kemelentingan itu terjadi begitu mendadak.
Mungkin orang akan tanya, kenapa nak melenting sangat? Tak dapat roti canai dan teh tarik lagikah? Dekat pejabat pun banyak gerai, pergilah sembang di sana, redakan fikiran, jangan ikut perasaan sangat.
Yang menjadi isu sekarang, media utama ini merasakan megah kerana mereka semacam jurubicara utama. Akan tetapi kalau kita semak laporan luar negeri, pihak luar tidak memetik pun sumber dari Utusan, malah mereka lebih yakin memetik sumber yang lain.
Paparan yang Utusan buat adalah untuk membantai dan menghentam individu sampaikan timbul gesaan nak lucutkan kerakyatan, apa salah dia? Sedangkan orang yang "menjual negara" pun tidak dilucutkan kerakyatan, kenapa begitu mudah memberi cadangan begitu ketika marah.
Cerita lucut kerakyatan ini sudah lama. Kalau ada apa-apa isu, semuanya nak buat komen, dan terlontarlah komen agar si fulan itu kerakyatannya dilucutkan.
Boleh jadi mereka fikirkan, tanah air ini hanya milik mereka sahaja. []
No comments:
Post a Comment