Dalam dunia fiksyen, seseorang penulis perlu menyajikan cerita yang masuk akal apabila memaparkan kes bunuh. Kenapa watak itu perlu dibunuh atau dimatikan. Ketika menulis cerpen, novel, drama bersiri atau filem sekalipun, motif hendaklah ada supaya cerita itu lebih mengesankan.
Itu dalam dunia fiksyen yang boleh dirombak sesuka hati penulisnya. Bagaimana dalam dunia nyata? Bolehkah sesuatu kes bunuh umpamanya tanpa ada motif? Amat janggal kalau kes bunuh tidak ada motif, tetapi di dalam sektor politik, ia menjadi serba kemungkinan.
Kes Juraimi Hussain yang pernah menggemparkan dulu, mengaitkan Mona Fandey memotong 18 kerat Dato Mazlan Idris. Ada motif pembunuhan itu dilakukan.
Begitu juga kes Francis a/l Anthanonasamy, tertuduh membunuh mangsa bagi memenangi loteri. Semua kes ada motif pembunuhannya.
Membangun watak dalam penceritaan memang perkara mudah, begitulah yang selalu disembangkan oleh kalangan novelis muda hari ini. Zaman sudah berubah, kemudahan teknologi yang ada memungkinkan mereka menyiapkan novel setebal 500 halaman dalam waktu singkat.
Yang sukarnya membina cerita yang masuk akal. Kematian watak dalam cerita selalu dikaitkan dengan kemalangan ngeri, mati lemas, barah otak, sakit jantung dan sebagainya. Itulah cara untuk menyimpangkan cerita, agar ia berkembang dengan membawa masuk watak antagonis.
Di luar fiksyen, ada kes pembunuhan yang sampai sekarang masih menjadi bahan bualan orang ramai. Ini memberi gambaran orang ramai sudah cerdik dan ingin tahu apa motif pembunuhan itu. Orang tidak melakukan pembunuhan untuk suka-suka sahaja.
Lihatlah betapa kecohnya dulu apabila ada seorang lelaki mengamuk di Chow Kit, yang kebetulan ketika itu saya berada di Kampung Bahru, Kuala Lumpur. Apa sebab lelaki itu mengamuk gunakan senjata dan melepaskan tembakan rambang? Paparan media langsung tidak menyatakan apa motif "amukan" itu.
Bertahun-tahun cerita amukan itu pendam, orang keliru, mengapa ada watak yang begitu berani melakukan amukan seolah-olah kejadian itu berlaku di Amerika Syarikat.
Setelah suasana berubah, baharulah orang mengetahui apa motif sebenarnya amukan itu. Begitu jugalah orang mungkin merahsiakan mengapa Sultan Mahmud dibunuh ketika baginda dijulang sehingga popular dengan sebutan Mangkat Dijulang? Tidak siapa tahu motifnya kecuali memperkirakan motif umum kerana ia ada kaitan dengan istana. Apabila seorang pembesar negeri melakukan "kerja" membunuh itu baharulah orang tahu apa motifnya [semak Hikayat Siak, 1992, DBP]. Begitu juga motif kemarahan Hang Jebat di istana Sultan Melaka pada masa silam. Apa motif pembunuhan JWW Birch? Semua orang tahu bahawa pembunuhan itu hanya melibatkan politik para pembesar negeri yang berebut harta, yang jadi mangsa rakyat kecil yang diarah untuk membunuhnya dengan habuan duit [sampai sekarang amalan ini masih wujud]. Pembesar negeri menggunakan sihir untuk membunuh orang putih. Segunung kemenyan pun tidak akan mampu membunuhnya kerana semuanya mengharapkan kerjasama "Jin-jin Kerajaan" yang tidak wujud di alam nyata, kecuali supranatural.
Motif pembunuhan adalah pentng dalam cerita rekaan. Filem dan drama tv [tak tengok pun, maaf] turut menampilkan penceritaan yang ada scene bunuh. Ada tujuan. Untuk melencongkan cerita, untuk mengembangkan watak dan merangkaikan jalan cerita. Ada sebab dan akibat. Ada kesan berikutnya, dan ada ending yang menggembirakan penonton/pembaca dan ada ending yang kacau, bahkan tak berkesudahan sehingga menimbulkan tanggapan peribadi ke atas sesuatu perkata.
Kaedah pembunuhan pun beraneka ragam. Terpulang kepada penulis cerpen, novel, cerita filem dan drama melakarkannya dalam bentuk apa pun. Kalau cerita seram sudah tentu ada peranan ahli sihir atau pak dukunnya. Selain pembunuhan yang nyata, jelas, ada pembuktian, pembunuhan dengan sihir agak sukar hendak dibuktikan. Tidak ada pakar "forensik" dalam bidang sihir. Kalau dalam filem kita, adegan bomoh selalu dijadikan bahan penyendal untuk menyelitkan babak komedi, baik komedi bomohnya atau pengikut di sekitarnya. Ada motif dalam tawa.
Kes bunuh yang terjadi di sekitar kita selalu disusuli dengan laporan motif pembunuhan. Akan tetapi tidak semua kes ada motifnya kerana faktor tertentu. Kadang-kadang kita rasa pelik, kenapa perkara begini boleh terjadi? Ada kes yang perlu didedahkan secara leluasa dan ada kes yang perlu disorokkan. Kenapa hendak disorokkan? Wallahu a'lam. []
No comments:
Post a Comment